Wednesday, November 24, 2010

Aku, kilang dan ....

“Kamu kena tegas. Tak boleh macam tu. Kamu QC, lagi tinggi daripada mereka. Mereka kena ikut cakap kamu.” Aku hanya mampu menundukkan muka mendengar ‘nasihat’ daripada seorang senior QC di kilang. Semenjak QA manager yang selama ini menjadi mentor aku melepaskan jawatannya setelah 10 tahun bekerja, senior inilah yang menjadi rujukan utama QC baru seperti aku untuk mengutip ilmu daripada pengalamannya selama 9 tahun bergelut dalam kesibukan dan kekalutan mengendalikan produksi di kilang.

“Saya dah cakap dengan diorang kak, tapi diorang jawab balik. Diorang kata kalau barang tak rosak buat apa nak komplen-komplen.” Aku seperti mengadu kepada senior yang lebih didengari suaranya itu. Selain daripada aku dan senior ini, ada seorang lagi QC yang baru mula bekerja, lewat 1 bulan setengah daripadaku. Kini hanya kami bertiga bertanggungjawab mengendalikan hampir keseluruhan perjalanan produksi di kilang; daripada bahan mentah ‘mendarat’ di depan kilang, sehinggalah sampai produk siap dibungkus dengan dibantu oleh ‘QC line’ yang terdiri daripada para warga asing.
Sebelum ini, 3 orang yang berpengalaman lebih 5 tahun yang mengendalikan tugasan ini. 2 daripadanya baru melepaskan jawatan. Senior QC ini pula sedang mengandung. Awal tahun hadapan akan melahirkan anak. Semestinya dia akan bercuti. Lebih menakutkan, pulang sahaja daripada cuti, dia bercadang untuk berhenti kerja. Genap 10 tahun di kilang. Aku dan seorang rakan lagi yang baru berkira-kira, bagaimana ‘nasib’ kami nanti. Kerja yang ada sekarang ini pun tak menang tangan untuk dibuat.

“Tak boleh. Biar mereka nak kata apa pun. Kamu kena buat kamu punya kerja.” Suaranya meninggi. Semua orang di kilang sudah sangat kenal dengan senior ini. Apabila dia marah, satu kilang yang luas ini boleh mendengar suaranya. Siapa yang tidak pernah kena marah dengannya. Tapi itu bukan masalah bagiku. Aku tak pernah menganggap aku dimarahi, tapi semua itu hanyalah nasihat, walaupun kadang-kadang memang aku benar-benar dimarahi. Sabarlah wahai diri.

Setelah hampir 2 bulan aku mengendalikan bahagian filling, aku ditukar ke bahagian lain untuk belajar dengan lebih mendalam. Kali ini aku bertugas di bahagian seaming dan bahagian retort, antara tempat yang paling panas dalam kilang. Retorting ialah proses memasak menggunakan suhu dan tekanan yang tinggi. Paling lama aku boleh menetap di situ, setengah jam. Kedua-dua proses ini pula merupakan antara proses yang paling penting dalam keseluruhan proses produksi di kilang. Apa-apa masalah yang terjadi kepada produk siap yang berkaitan dengan kedua-dua proses ini, maka akulah yang akan disoal.

Hari itu aku bertekak sedikit dengan operator di bahagian seaming. Aku ditugaskan oleh general manager yang baru untuk memastikan setiap tin mengandungi ‘vacuum’, satu perkara yang cukup penting dalam makanan tin. Selain untuk mengelakkan tin menjadi kemek setelah di retort, vacuum juga diperlukan untuk memastikan tiada mikroorganisma yang tertinggal di dalam tin setelah di seam. Adat di kilang selama bertahun-tahun, jika tin yang siap dimasak tiada masalah, maka tak perlu buat apa-apa. Tak kisah sama ada menepati kehendak proses atau tidak. Bagi operator, mereka hanya mahu menghabiskan tugasan secepat mungkin. Apa terjadi dengan produk akhir, itu cerita lain. Itulah masalahnya, jika adat sudah berakar, sangat susah untuk diubah.

“Dulu tak ada masalah pun. Sekarang kenapa mau bising-bising.” Kata seorang operator berbadan besar yang berbangsa Nepal kepada aku. Aku hanya diam. Sudah aku maklumkan tadi hanya menjalankan tugas. Aku ditugaskan untuk memastikan semuanya mengikut kehendak pihak atasan. Akhirnya aku pergi dari situ setelah aku tinggalkan pesan untuk QC line. Aku biarkan saja. Malas hendak melayan. Takut-takut gunung berapi dalam diriku meletus keluar.

Semasa aku bertugas di bahagian filling, aku juga sering ‘tercabar’ dengan kata-kata operator yang lebih lama bekerja daripada aku. Bahagian ini boleh dikatakan yang paling memeningkan kepala kerana tidak hanya habis setakat mengisi makanan ke dalam tin, tetapi masalahnya akan berlanjutan sehingga barang siap dimasak. Tak mampu untuk menjelaskannya di sini.

Pernah satu hari, setelah memeriksa berat tin-tin yang telah ditimbang, ada masalah yang perlu diberitahu kepada semua operator. Lalu aku khabarkan kepada mereka dengan nada yang cukup rendah dan sopan aku kira. Lantas seorang operator perempuan dari Vietnam bersuara. “Hey, saya sudah tiga tahun kerja sini, kamu baru berapa bulan saja.” Aku terdiam seketika. Kalau hendak membalas, boleh sahaja aku membalas. Tetapi memandangkan di situ ramai orang, terutamanya makcik-makcik yang selama ini tak pernah melihat aku meninggikan suara, aku terus berdiam. Aku hanya melepaskan kata-kata tersebut dalam hati. “Aku peduli apa hang baru ka lama. Awat, hang ingat kalau hang kerja lama, semua hang buat tu betoi. Kalau betoi, awat banyak yang aku check tak betoi. Awat, hang ingat aku baru kerja, aku ni tak reti apa?” Aku terus berlalu dari situ, pergi ke kawasan lain untuk melakukan pemeriksaan.

Pernah juga aku dikata sebegitu oleh seorang makcik, tapi nadanya tidak sombong seperti perempuan Vietnam yang selalu saja buat kacau di kilang.
“Kami ni orang lama Syam…” kata makcik tersebut dengan nada yang lembut sambil tersenyum. Aku tidak terasa pun dengan kata-kata itu. Lalu aku membalas, “itulah makcik. Saya pun jadi serba salah. Nak cakap salah, tak cakap pun saya yang salah. Tapi saya kena bagitau jugak lah.”

Kekadang ada juga masalah yang memang aku tidak dapat tangani sendiri akibat ‘ego’ orang lama yang terlalu menebal. Walaupun telah berkali-kali dibasuh otak oleh senior supaya tegas dengan operator, hatta supervisor jika berlaku apa-apa masalah, tetapi kali ini aku terpaksa ‘mengangkat tangan’. Sudah berkali-kali aku jelaskan kepada supervisor dari Nepal yang memang selama ini agak kurang senang dengan para QC, juga sering memarahi operator-operator di bawahnya. Aku meminta dia menukar ‘brine’ di dalam tuna yang telah sejuk kepada yang baru yang lebih panas kerana telah lama menunggu akibat mesin rosak. Katanya “tak apa, boleh jalan”.

Aku pergi bertanya kepada QC senior tentang masalah tersebut untuk benar-benar pastikan keputusan yang aku ambil. Ternyata, memang perlu ditukar. Aku maklumkan lagi kepada supervisor tadi, kali ini dengan gaya bertanya supaya tidak ternampak aku terlalu memaksa. Dia bertegas tidak perlu tukar. Masalah mereka bukannya tidak perlu tukar, tetapi malas untuk menukar. Bosan, aku pergi memberitahu QC line yang lebih lama bekerja di situ, tetapi dia juga tidak berjaya mengubahnya, malah kembali mengadu kepada aku. Ketika produksi, supervisor yang bertugas mengarahkan para operator untuk melakukan kerja. Kami para QC pula akan memastikan semuanya berjalan mengikut kehendak prosedur.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk memanggil sendiri senior datang ke situ. “Sekejap, saya panggil kak Begum.” Kata aku. Muka mereka berubah kerana mereka tahu jika senior itu yang memberi arahan, pasti mereka akan segera melakukannya. Malangnya setelah mencari seluruh kilang, tetap tak berjumpa. Senjata terakhir aku ialah Hassan. QC dari Bangladesh yang agak lama bekerja di situ. Aku pernah mendengar cerita, Factory Manager yang bertanggungjawab ke atas semua bahagian produksi juga akan mendengar kata-kata daripada QC ini. Aku juga banyak belajar daripadanya. Lantas aku memanggilnya datang ke tempat proses. Sekali sahaja dia memberi arahan, para operator terus akur. Walaupun aku melihat mereka sedikit bertekak dalam bahasa ibunda mereka yang tidak aku fahami, tapi aku merasa puas. 1-0. Aku tidak peduli apa yang mereka hendak kata di belakang aku, yang penting aku telah menjalankan tugas aku sebaik mungkin.

Antara banyak-banyak pengalaman ‘bertekak’ dengan orang di kilang, yang paling aku ingat dan ‘puas hati’ ialah peristiwa aku ‘bergaduh’ dengan seorang supervisor cina yang telah sangat lama bekerja di kilang, padahal aku ketika itu baru 2 bulan bekerja. Masalahnya sangat kecil iaitu masalah tempat letak kasut, tetapi dia yang membesar-besarkan cerita. Seperti biasa, aku akan meletakkan boot di bawah tangga, tempat khas untuk para operator yang bertugas di bahagian coldroom, yang diketuai oleh si supervisor ini. Aku meletakkan kasut di situ pun atas arahan QA manager yang ketika itu masih bekerja di situ akibat sudah 2 kali kasutku hilang gara-gara meletakkannya di tempat para operator lain meletakkan kasut, walaupun nama dan nombor tertulis besar di sisi kasut.

Selesai kerja hari itu, aku pulang bersama-sama QC yang baru seminggu bekerja. Aku menunjukkan kepadanya tempat aku meletakkan kasut kerana selama ini dia meletakkan kasut di tempat operator. Kebetulan, hari pertama dia hendak meletakkan kasut di situ, kami dimarahi.

“Apa pasal U letak kasut di sini.” Jerkah pendek, nama gelaran yang dipanggil orang kepadanya di kilang dari tingkat atas. Aku memberitahu bahawa kami memang diminta meletakkan kasut di situ. Lalu dia terus memarahi kami. Katanya tidak boleh letak kasut di situ. Alasannya nanti tempat itu kotor, padahal bersepah kasut-kasut operator coldroom berada di situ. Aku semakin berang, lantas menjawab kembali dengan nada yang agak keras, salah satu sebabnya kerana dia berada di tingkat atas. Kalau cakap perlahan, takut-takut tak dengar pula. Dia terus menerus memarahi kami walaupun aku telah memberi alasan yang benar-benar kukuh. Akhirnya, aku berkata kepadanya. “Takpa, besok saya bagitau Ms. Ng.” lantas aku membuka kasut dan terus meletakkannya kasut di situ. Aku berlalu pergi tanpa mempedulikannya lagi. Buang masa sahaja melayan orang gila seperti itu, bisikku dalam hati. Hari itu, mood aku terus berubah sampai ke rumah kerana memikirkan kejadian tadi. Tambahan pula, ada seorang operator Nepal yang sama-sama ‘naik’ memarahi kami tadi.

Keesokan paginya, aku tetap meletakkan kasut di situ, lantas aku masuk ke kilang dan memberitahu seorang senior yang bertugas mengawal hal ehwal semua operator di kilang. Dia juga yang mencarikan kasut baru untuk aku dan juga menyuruh aku meletakkan kasut di situ setelah 2 kali hilang. Dia kemudiannya mengadukan masalah itu kepada general manager yang kami panggil ‘bapak’. Kemudian, sampai di pejabat, aku memberitahu pula kepada Ms. Ng, QA manager yang mula-mula meminta kami meletakkan kasut di situ. Akhirnya, pendek dimarahi oleh mereka. Aku puas. Seorang pakcik, pak Rasyid namanya yang telah lebih 20 tahun bekerja dengan syarikat itu kebetulan berada bersama-sama dengan pendek sewaktu dia memarahi kami. Ketika itu juga, dia memarahi pendek kerana bercakap kasar terhadap kami orang baru. Dia sendiri menceritakan kepada aku, kerana aku rapat dengannya. Aku bertambah puas.

Ketika hendak pulang, aku mendengar Ms Ng berkata sesuatu dengan Danny, QC baru yang sama-sama dimarahi ketika itu. Aku tidak memahaminya kerana mereka bertutur dalam bahasa mandarin. Kemudian aku bertanya kepada Danny apa yang telah diberitahu kepadanya tadi kerana aku tahu mereka berbicara tentang kejadian itu. Katanya Ms Ng sudah marah kepada pendek. Kemudian pendek berkata orang kamu juga, yang merujuk kepada aku sendiri meninggikan suara kepadanya. Lantas Ms. Ng berkata dia tidak percaya kerana aku ini orang baru. Mana mungkin aku meninggikan suara kepada pendek. Danny juga menafikan aku meninggikan suara apabila dia ditanya oleh Ms Ng. Setelah mendengar semua itu, aku bertambah-tambah puas. Aku berbisik dalam hati. “Sebenarnya memang aku tinggikan suara semalam, sebab geram sangat.” Aku tersenyum sendiri. Puas.

Setelah hari itu, aku dapat tahu memang pendek memang bersikap sebegitu. Suka marah-marah orang tak tentu pasal. Dan dia juga agak anti dengan orang yang bergelar QC. Semenjak itu, setiap kali kami bertembung, dia akan berjalan sambil memandang ke bawah, tidak pernah lagi melihat muka aku. Aku tak peduli. Kalau betul, buat apa nak rasa bersalah. Biarlah apa orang nak kata.

Itulah sebahagian pengalaman berhadapan dengan pelbagai ragam manusia di kilang. Terlalu banyak pengalaman untuk diceritakan. Belum lagi yang berkaitan dengan makanan. Lebih banyak cerita yang tercoret di belakangnya…

P/s: Ustaz pesan supaya terus bekerja di situ…..