Sunday, November 17, 2024

Jangan Berhenti Kongsi Kebaikan


Sekarang ni zaman podcast. Di YouTube bercambah podcast dalam pelbagai genre. Satu perkembangan yang sangat bagus terutamanya untuk orang 'auditori' macam aku ni. Dan podcast juga dah kurangkan screen time aku dengan video-video pendek di FB dan Tiktok.

Aku tertarik dengan perbincangan dalam podcast oleh Mr. Kokom dan tetamu undangan Naszkenyang. Kebetulan, aku memang meminati kedua-dua content creator ni. 

Satu perkara yang betul-betul beri kesan kepada aku ialah apabila Nasz ceritakan antara sebab dia masih berada dalam industri sebagai content creator ialah respon daripada orang ramai terhadap video yang dia buat.

Katanya satu hari ada seorang peniaga bazaar menahan dan memeluk dirinya. Peniaga tersebut memberi tahu bahawa dia pernah bankrap dan mengalami tekanan serta hampir berputus asa. Tetapi disebabkan satu video si Nasz yang lalu di FB dan asbab video tersebut telah memberi kesan dalam diri dan mengubah hidup peniaga tersebut. Kini peniaga tersebut sudah mempunyai beberapa cawangan gerai yang menjual air kelapa.

Kisah lain, Nasz juga menceritakan berkenaan seorang lelaki yang hampir membunuh diri kerana kecewa akibat putus tunang. Namun disebabkan video karya si Nasz betul-betul related dengan keadaan dia dan memberi kesan yang mendalam di hati, lelaki tersebut tidak jadi untuk bunuh diri. 

Nasz sendiri beritahu tujuan dia membuat video adalah disebabkan minat dan ingin kembangkan bakat dalam bidang lakonan. Tapi tak disangka, sekecil-kecil perkara seperti video tersebut mampu beri kebaikan dan mengubah hidup orang lain. Perkara tersebut telah memberi semangat dan tujuan untuk dia terus berkarya. 

Pengajaran yang boleh kita ambil ialah, teruskan lah berkongsi perkara-perkara kebaikan. Kadang kala kita tidak tahu, walaupun posting kita tiada LIKE, pasti ada insan-insan yang dah lihat dan ada kemungkinan memberi kesan positif dan kebaikan kepada mereka. Sudah tentu ada bahagian kebaikan untuk kita yang berkongsi.

"Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun."
(Riwayat Muslim)

Tuesday, October 8, 2024

Koleksi #NasihatHati 1

Jika salam mu tak berbalas berkali-kali, 
apa perlunya mengetuk pintu lagi. 
Boleh jadi suaramu yang kurang didengari. Atau boleh jadi si penghuni di dalam sedang diam-diam bersembunyi.

Toleh ke belakang dan terus lah melangkah pergi. Mungkin engkau bukan tetamu yang penghuni itu ingini. 

#######

Jangan salahkan si kera andai bunga yang diberi rosak tak terjaga.

Jangan salahkan si pegar andai padi yang diharap dimakan tak bersisa. 

Jangan salahkan bulan andai rindu si pungguk tak terubat rasa. 

Namun salahkan diri sendiri andai hati diberi kepada yang tak sudi menerima.

########

Hargai apa yang ada di tangan, kerana itu adalah pemberian yang telah dipertanggungjawabkan.

Ada pun yang tidak kita punyai, usah memasang angan-angan untuk memiliki. Kerana pasti ada sebab mengapa takdir ditetapkan sebegini.

Jangan lah jadi seperti si pungguk. Walaupun di hadapan mata terbentang segala nikmat yang boleh dirasa dan disentuh. Namun masih tetap merindui bulan yang berada di angkasa nun menjauh.

***
#NasihatHati adalah nukilan apa yang terlintas di hati dan diabadikan di status WhatsApp. 😊

BETULKAN POSISI RUKU' DALAM SOLAT.!!!

Sahabat.
Ketahuilah andai tapak tangan kau berada di bawah paras lutut ketika sedang rukuk, bukan lah sebab tangan kau panjang daripada orang lain, tapi badan kau tak lurus ketika membongkok.

Betulkanlah posisi rukukmu..!!!

Daripada Abu Humaid as-Sa’idi beliau berkata:

Aku telah melihat Rasulullah SAW ketika baginda bertakbir, Baginda menjadikan kedua-dua tangannya setentang dengan dua bidang bahunya dan apabila rukuk, Baginda meletakkan kedua-dua tangannya pada kedua-dua lututnya, kemudian meluruskan belakangnya

HR: Bukhari

Adalah Nabi SAW menekankan kedua-dua tangannya ke atas kedua-dua lututnya seolah-olah Baginda menggenggam kedua-dua lututnya.

Riwayat Bukhari dan Abu Dawud

Merenggangkan Jari-Jemari Ketika Rukuk
Dalil kepada perbuatan ini adalah:

Apabila kamu rukuk, maka letakkan kedua-dua tapak tanganmu ke atas kedua-dua lututmu, kemudian jarakkan di antara jari-jarimu, kemudian tenanglah sehingga tetap segala ruas tulang belakangmu

Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban

Allahu'alam.

#InfoIbadah
#CatatanFB

Hisyam
8/10/2024


Monday, October 7, 2024

INFO HARTANAH: SALAH FAHAM MEMBACA PENYATA PEMBIAYAAN ISLAMIK.

Aku berkongsi satu komen daripada seseorang berkenaan pinjaman islamik yang pada anggapan beliau adalah mahal. Lalu beliau menyangka pinjaman konvensional lebih rasional untuk diambil. (gambar) 

Sahabat kita ini atau kita sendiri apabila melihat penyata bank pinjaman perumahan islamik, mungkin kurang faham dengan angka yang berkali ganda besar yang tertulis di dalam penyata bank tersebut. 

Dalam pembiayaan perumahan islamik, bank sudah tetapkan kadar maksimum (ceiling rate) yang boleh bank kenakan kepada pelanggan. Maksudnya andai kata dalam tempoh pinjaman selama 35 tahun itu, OPR naik melangit, kadar keuntungan bank hanya boleh naik sehingga kadar ceiling yang telah ditetapkan, tidak seperti pinjaman konvensional yang diapung tanpa had.

Kita ambil contoh di bawah, kadar ceiling yang bank kenakan ialah 10.x%, bersamaan jumlah bayaran sehingga RM541k untuk pinjaman selama 35 tahun. Itu situasi sekiranya bermula tahun pertama, kadar keuntungan (interest) bank ialah 10.x% sehingga 35 tahun. 

Tapi, situasi sebenar yang berlaku sekarang ialah, kadar keuntungan yang bank kenakan sekitar 4.0 - 5%. Kita ambil contoh di atas; jumlah pinjaman RM134k (full loan). Sekiranya keuntungan yang bank kenakan ialah 4.5%, bayaran bulanan adalah sekitar RM640. Jika kadar ni berterusan sehingga 35 tahun, jumlah bayaran akhir yang selesai dibayar akan menjadi sekitar RM269k. (640x12x35). Tetapi perkara ini tak mungkin terjadi begini kerana kadar keuntungan bank bergantung kepada kadar OPR yang sifatnya naik turun.

Jadi, point di sini ialah, jangan terkejut dulu dengan jumlah 'ceiling profit rate' yang tertulis dalam bank statement tu. Dan ya, memang kita kena bayar hampir sekali ganda jumlah pinjaman kita. Namun, begitu lah perniagaan yang bank jalankan. Kita yang setuju untuk ambil pembiayaan daripada bank. Kan?

#InfoHartanah #InfoJualBeliRumah #REN53556 #PerundingHartanahBerdaftar
#CatatanFB

Saturday, October 5, 2024

Nota Diri: Belanja Akhirat

Dalam khutbah tadi, khatib bagitau lebih kurang begini:-

".. Kita ni walaupun harga barang naik, kos makin meningkatkan, susah macam mana pun hari-hari mesti keluar duit jugak untuk belanja kehidupan kat dunia.." 

".. Tapi untuk kehidupan kita kat akhirat, nak bina rumah dan mahligai kat sana, nak keluar duit sehari seringgit pun payah. Padahal kehidupan kat sana lebih susah daripada kehidupan kat dunia ni.."

Tepuk dada, tanya iman. 
Begini kan yang terjadi dalam kehidupan kita seharian? 

Tiada apa yang percuma di dunia. 
Begitu juga dengan kehidupan di sana.

#NotaDiri
#TazkirahHati
#CatatanFB

Nota Diri : Belajar Daripada Batu


Ketika aku sedang menyusun batu-batu di sungai ni, aku sedar beberapa perkara:-

1) Dalam sesebuah organisasi, apa 'bentuknya' tak penting, asalkan diposisikan dengan cara yang betul dan di tempat yang betul.

2) 'Kepala' yang paling atas adalah yang paling sukar untuk diposisikan, dan sedikit kesilapan saja akan menyebabkan seluruh organisasi runtuh. Jadi, berhati-hati memilih dan meletakkan 'kepala' yang paling atas.

Begitu lah kita dalam kehidupan berorganisasi. Setiap ahli ada peranan dan kepakaran masing-masing untuk saling menguatkan antara satu sama lain. Namun paling penting, ketua perlu berperanan memposisikan tugasan yang paling sesuai dengan kepakaran setiap ahli.

Hisyam
7 JULAI 2024

#NotaDiri 
#CatatanFB


P/s: #CatatanFB ialah nukilan penulisan yang aku tulis di FB Hisyamuddin Kamarudin. Jemput jadi friend FB 😊

Sunday, March 3, 2024

Ingin Kembali Menjadi Blogger

Bismillah...

Hampir 12 tahun aku meninggalkan dunia blogspot, sejak facebook mula menjadi popular. Aku merasakan ketajaman penulisan semakin mengikis dan menipis. 

Beberapa kali aku cuba untuk mendapatkan kembali akaun blogspot ini, namun gagal.

Hari ini aku bercadang untuk menghidupkan kembali ruangan ini. Walaupun tiada yang singgah membaca, sekurang-kurangnya aku harap segala idea dan buah fikiran ada tempat untuk aku pahatkan. 

Cukup sekadar ini dahulu sebagai pembuka bicara, setelah sekian lama menyepi tanpa kata.

Yang ingin kembali menulis,

Din Hisyam,
Bertam, Kepala Batas
3/3/24


Wednesday, June 20, 2012

Catatan Buat Renungan. Khas buat sahabat...



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Sudah lama benar rasanya diri ini tidak menulis sesuatu untuk diisi di sini. Sejak membuka akaun Facebook, alam maya blogspot seolah-olah rumah tumpangan yang hanya dijenguk sekali sekala. 

Sebenarnya tiada apa yang ingin dikongsi bersama-sama. Cuma terdetik di hati untuk mencoret sedikit kata-kata apabila terkenang kepada suatu peristiwa.

Sahabat kepada isteri saya baru ditimpa kemalangan. Keadaannya kritikal. Berlaku pendarahan teruk di otak. Otak kirinya terpaksa dibuang. Para doktor telah cuba sedaya upaya, dan sekarang seluruh ahli keluarga dan sahabat hanya mampu berdoa; doa memohon kepada Allah agar dikurniakan kebaikan kepadanya. 

Andai Allah tetapkan usianya panjang, maka itulah yang terbaik untuk dirinya. Dan…. Andai Allah takdirkan dia pergi meninggalkan dunia fana, maka itu juga yang terbaik untuknya. Sesungguhnya Allah tidak pernah tersilap dalam membuat keputusan. Mungkin pandangan manusia melihat sebaliknya, namun Allah Maha Mengetahui segala-galanya.


Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)


Hasrat mahu menulis terdetik apabila saya singgah di blog sahabat tersebut. Seorang sahabat yang lain telah meletakkan link blognya di dalam facebook, lalu dari situ saya sampai ke blog sahabat tersebut.

Katanya:-

 “Dia orang yang sering mengingatkan orang disekelilingnya tentang ISLAM.”

Benarlah! Dia sering mengingatkan manusia kepada kebaikan. Maka mungkin atas sebab itu Allah sayang kepadanya melebihi sayangnya makhluk kepada dirinya. Lalu Allah tetapkan rencana berupa kemalangan kepadanya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang tidak diketahui oleh hamba-hambaNYA.

Saya meletakkan link blog tersebut di dalam ruangan komen seorang sahabat lain.

“Ini blog sahabat kita itu… ambil lah manfaat, moga jadi bekalan untuknya & untuk kita.” Komen saya di situ.

Ambil lah manfaat! Ayat ini begitu memberi kesan dalam diri. Terdetik di hati, sejauh mana kita telah memberi manfaat kepada manusia? Andai ditakdirkan kita menerima nasib yang sama, adakah kita telah benar-benar bersedia.


“Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” 
(HR Thabrani dan Daruquthni – Disahihkan oleh al-Albani)


Saya dimaklumkan, sahabat kita ini seorang aktivis dakwah dalam Persatuan Islam di kampusnya dan juga di luar kampus sehinggalah saat beliau ditimpa musibah. Beberapa hari sebelum kemalangan, saya menghantar isteri menghadiri mesyuarat bersama-sama dengan sahabat tersebut. Semoga amalannya itu dikira sebagai kebaikan, dan semoga Allah memberi kebaikan kepadanya dan kepada kita semua…

Semoga sedikit coretan ini benar-benar ikhlas daripada hati. Semoga ia memberi manfaat walau sebesar zarrah kepada sahabat yang membaca. Dan semoga catatan ringkas ini bisa menjadi bekalan buat menampung segala dosa dan kemaksiatan yang telah banyak dilakukan sepanjang menumpang di bumi Tuhan.

Astaghfirullah al ‘azim… Astaghfirullah al ‘azim… Astaghfirullah al ‘azim.

Semoga Allah sudi mengampunkan dosa-dosa kita semua. Amin...

p/s: Singgahlah di blog sahabat kita tersebut. Kutiplah mutiara kata di dalamnya. Semoga ilmu dan pengajaran yang terdapat didalamnya dapat memberi manfaat serta syafaat kepada diri kita dan dirinya... link--------> http://sifrulmind.blogspot.com/

Syafakallah.......

Thursday, May 3, 2012

KENALI JENIS-JENIS ALKOHOL




Alkohol boleh wujud dalam pelbagai jenis dan sumber. Setiap satu mempunyai hukum yang berbeza-beza berdasarkan sumber dan jenisnya. Berikut merupakan contoh-contoh alkohol daripada pelbagai sumber serta hukum penggunaannya keatas umat islam.

1) ARAK
Hukum: 1) Najis (Jumhur)  2) Tidak Najis (Al-Shaukani dan Rajih)  3)Najis maknawi, bukan ‘aini (Syed Sabiq dalam kitab Fiqh Al-Sunnah)

2) ALKOHOL YANG DIHASILKAN DALAM PEMBUATAN MAKANAN (BUKAN UNTUK DIMINUM) eg. TAPAI
Hukum: Tidak najis (Ijmak)


3) ALKOHOL DALAM ARAK
Hukum: Najis & haram diminum. Wajib dibasuh. (Jumhur)
Contoh: Alkohol dalam semua jenis arak

4) ALKOHOL DIHASILKAN BUKAN UNTUK MEMBUAT ARAK
Hukum: Tidak najis tetapi haram diminum kerana beracun dan memabukkan (Jumhur)

5) ALKOHOL BUKAN HASIL FERMENTASI
Hukum: Tidak najis. Haram diminum kerana beracun. (Jumhur)
Contoh: Alkohol daripada proses kimia (bukan daripada buah-buahan bergula). Bahan cucian/perubatan.

6) FERMENTED ETHANOL
Hukum: Tidak najis kerana diproses untuk mengeluarkan etanol & bukannya untuk pembuatan arak.
Haram diminum kerana memabukkan. (Jumhur dan JK Fatwa Kebangsaan Malaysia)
Contoh: Etanol ‘gred makanan’ yang dihasilkan dalam industri.

7) FERMENTED WINE (Arak) DARI JUS BUAH DAN PENULINAN ALKOHOL DARI BUAH UNTUK MENGHASILKAN ARAK.
Hukum: Najis & haram diminum kerana ia terhasil daripada proses menghasilkan arak. (Jumhur)
           : Al-Shaukani – tidak najis kerana tiada nas yang jelas mengatakan najis.

8) ARAK YANG DIUSIK ATAU DIUBAH MENJADI CUKA:
Hukum: Najis & haram (Halal jika berubah menjadi cuka secara semulajadi ~hadis)

9) MINUMAN YANG DISULINGKAN ALKOHOL DARIPADANYA. (JIKA MENGGUNAKAN KAEDAH YANG SAMA DENGAN PEMBUATAN ARAK)
Hukum: Najis & haram. (Shafi’iah)
Contoh: Minuman buah-buahan 0% alkohol yang menggunakan kaedah pemeraman seperti arak. 


Nota kaki:
i) Rajih ialah pendapat yang kuat antara beberapa pendapat. (daripada kesimpulan Dr. Abu Sari' Abdul Hadi.
ii) Jumhur ialah pendapat golongan ramai ulama yang menyepakati sesuatu hukum
iii) Ijmak ialah kesepakatan pendapat ulama' yang berijtihad tentang sesuatu hukum.

Tuesday, April 10, 2012

Wine Halal – Adakah ia benar-benar halal?

Gambar sekadar hiasan
Gambar sekadar hiasan


Minuman jenis ‘sparkling grape’, 'bir halal' atau ‘wine halal’ atau yang serupa dengannya amat popular pada hari ini. Ramai pengusaha mendakwa bahawa minuman mereka adalah bebas daripada alkohol. Persoalannya adakah minuman ‘0% alcohol’ ini hukumnya halal untuk diminum?

Ketika saya menyertai MIHAS 2012 baru-baru ini, saya ditegur oleh seorang ‘sheikh’ berbangsa Arab yang mengatakan bahawa minuman yang diperam walaupun didakwa tidak mengandungi alkohol tetap haram hukumnya. Atas desakan tersebut, saya mencari maklumat yang berkaitan supaya lebih jelas tentang statusnya.


Untuk merungkai masalah ini, ada persoalan yang perlu dijawab terlebih dahulu iaitu adakah ‘arak’ menjadi haram kerana kehadiran alkohol di dalamnya ataupun arak adalah haram kerana ia adalah arak? Persoalan ini penting kerana jika arak menjadi haram kerana kehadiran alkohol, maka minuman peraman yang tidak mengandungi alkohol akan bertukar hukumnya menjadi halal. Berikut saya sertakan beberapa maklumat yang berkaitan dengan permasalahan ini ialah:-

1) Alkohol yang terkandung dalam minuman arak adalah daripada jenis ethanol / ethyl alcohol.

2) Jika alkohol yang terdapat di dalam sesuatu minuman itu yang menentukan status halal/ haram sesuatu minuman, maka ia bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis fatwa kebangsaan pada tahun 1988 yang mengatakan bahawa alkohol dalam kuantiti yang sedikit adalah diharuskan. (1)

“Kordial yang mengandungi bahan citarasa (flavor) yang dimasukkan untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

i)Alkohol itu bukan hasil dari proses pembuatan arak
ii) Bahawa kuantiti alkohol dalam citarasa (flavor) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan


3) Alkohol adalah haram sekiranya ia terhasil daripada penapaian atau pembuatan minuman ‘arak’ tersebut, tetapi bukanlah haram sekiranya ia dihasilkan melalui cara lain seperti melalui kaedah kimia untuk kegunaan industri.

4) Ulamak mengatakan bahawa arak ialah najis. Keseluruhan minuman tersebut adalah najis, dan bukan hanya kandungan alkohol di dalamnya. Maka alkoholnya adalah najis, airnya adalah najis, malah segala kandungan nutrient di dalamnya juga adalah najis.

5) Mengambil pendapat ulamak di atas, sekiranya suatu minuman tersebut melalui proses yang sama dengan pembuatan arak iaitu penapaian dan sebagainya, lalu pada akhir proses tersebut kandungan alkohol yang terdapat di dalamnya diekstrak keluar, maka ia masih tetap dikira sebagai najis kerana keseluruhan minuman tersebut adalah najis, walaupun kandungan alkoholnya telahpun dihilangkan.

6) Perkara di atas mungkin boleh disamakan dengan sifat keharaman pada babi. Babi diharamkan bukanlah disebabkan oleh kandungan ‘ulat / cacing’ yang terkandung dalam dagingnya, tetapi keseluruhan babi tersebut adalah haram dimakan walaupun ‘cacing’ pada dagingnya dapat dibuang atau dimatikan.

7) Sesuatu perkara juga boleh menjadi haram apabila ianya menyerupai sesuatu yang haram. ‘Wine halal’ yang terdapat di pasaran sangat menyerupai ‘wine haram’ dari segi cara pembotolan, pengiklanan, promosi dan sebagainya. Bezanya hanya pada kandungan alkohol di dalamnya yang didakwa 0% alcohol.

8) Minuman ‘0% alkohol’ tetap mengandungi alcohol dalam kuantiti yang sedikit kerana ketika proses penghasilannya, kehadiran alkohol tidak dapat dielak. (2)

9) Memetik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang ‘Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan’:- (3)

Keputusan:

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

i) Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

ii) Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

iii) Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

iv) Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

v) Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.

vi) Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dankuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

vii) Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranyaalkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.


Mengambil kira semua pendapat dan maklumat diatas, pihak yang bertanggungjawab perlu menyatakan secara jelas dan tegas status minuman ‘0% alkohol’ yang banyak terdapat di pasaran pada hari ini kerana ia semakin diterima oleh masyarakat islam. Malah tidak kurang daripada 3 syarikat yang mempromosikan minuman jenis ini dalam MIHAS 2012 baru-baru ini.

Kehadiran minuman jenis ini seolah-oleh menunjukkan bahawa umat islam terlalu ingin meminum ‘minuman keras’ tetapi terhalang disebabkan hukumnya yang haram. Lalu mereka berusaha supaya hukumnya bertukar menjadi halal dengan membuang alkohol yang terdapat padanya.

Saya tidak meletakkan apa-apa hukum pada minuman tersebut kerana saya juga pernah suatu ketika dahulu mencubanya, tetapi setelah mendapat teguran dan nasihat daripada beberapa pihak, pandangan saya terhadap minuman jenis ini telah berubah. Terpulang kepada anda untuk menilai apa yang terbaik setelah meneliti maklumat-maklumat yang telah dikemukakan.

Sebarang perbezaan pendapat amatlah dialu-alukan asalkan ia diberi dengan sokongan fakta dan alasan yang dapat meyakinkan.
Allahu’alam…

Sumber maklumat:

(1) http://www.hdcglobal.com/ - Alkohol sebagai penstabil minuman ringan (Local Fatwa) Link klik sini.

(2) http://www.hdcglobal.com/ - Non-alcoholic Beer (Global Fatwa) Link klik sini

(3) http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-dalam-makanan-minuman-pewangi-dan-ubat-ubatan. Link klik sini

Lain-lain.

1) http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-menurut-pandangan-islam Link klik sini

2) http://www.hdcglobal.com/ - Alcohol in soft drink (Global Fatwa) Link klik sini

3) http://www.malaysiakini.com/news/165428 - Umat Islam diingatkan tak minum 'bir halal' Link klik sini

4) Utusan – Syarkat iran mahu buka kilang bir tanpa alkohol. Link klik sini

Friday, November 4, 2011

Mahkamah hati

"Mujur dosa itu tidak berbau.
Jika tidak, tiada siapa yang sudi mendekati kita.."



Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan akibat terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.



Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama mahkamah di dunia yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti ktia juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan.



Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering digilis.



Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan menang, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata.



Ketika itu, tidak payah didatangkan saksi ataupun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan ‘hidup’ untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya body yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di Mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.



Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrah sucinya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan jika terus-terusan diabaikan.



Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setiap masa, setiap ketika dan setiap suasana, hati kecil akan bersuara. Ia tidak akan tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran.



Dosa itu derita kerana dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa, hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah yang tabii. Kedua perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.



Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi, jagalah hati agar hati itu tidak mati.



Rasulullah S.A.W sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila baginda ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab:



“Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”



Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan-lahan atau mendadak. Mujurlah doasa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada sesiapa yang sudi mendekati kita.



Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati. Dan sentiasalah percaya di mahkamah hati itu, Allah sentiasa dekat denganmu, sekalipun bila bersendirian.





Dipetik daripada buku: -Di Mana DIA Di Hatiku- (Pahrol Mohd Juoi)

Wednesday, October 5, 2011

TAKKAN KU BIARKAN IA PERGI...




MASALAH DATANG.... MASALAH PERGI...
GELISAH DATANG... GELISAH PERGI...

TAPI KINI...

KETENANGAN DATANG...
KETENANGAN PERGI...

KU MAHU MENCARI KEMBALI KETENANGAN YANG TELAH BERLARI PERGI...

Tuesday, June 7, 2011

Don't judge the book by its cover...

Al-kisah suatu hari seorang pemuda yang kepenatan berjalan duduk bersandar pada sebatang pokok mangga yang berbuah lebat untuk menghilangkan penat lelah. Ketika pemuda tersebut sedang berehat dia terpandang sebuah kebun tembikai di hadapannya. lalu terdetik di dalam hatinya.

"Pohon tembikai itu pokoknya kecil, tetapi buahnya besar. Pokok mangga ini pula pokoknya besar, tetapi buahnya kecil sahaja. Sungguh tidak patut. Mengapa Allah mencipta sebegitu rupa? Bukankah sepatutnya pokok besar mengeluarkan buah yang besar, dan pokok yang kecil menghasilkan buah yang kecil?"

Sedang dia berfikir, pemuda tersebut tertidur akibat keletihan. Tiba-tiba sebiji buah mangga terjatuh lalu menimpa kepala pemuda tersebut. Pemuda itu terjaga dari tidur akibat kesakitan, lalu dia mencapai buah mangga yang jatuh ke atas kepalanya tadi. Dia terdiam seketika.... Dia berfikir.

"Nasib baik buah mangga ini kecil. Kalaulah buah mangga ini besar, tak tahulah apa nasib aku tadi..."


>>>Fikir2kanlah...

Monday, April 18, 2011

INGAT!!! Anda orang kepercayaan Allah...


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”
(Surah Al-Ahzab; 72)


AMANAH

Dalam ayat di atas diterangkan kepada kita bahawa Allah telah memilih manusia untuk memegang amanah iaitu agamaNYA. Amanah atau kepercayaan itu diberikan kepada manusia kerana antara makhluk-makhluk Allah di alam ini, manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dengan dikurniakan akal dan hati.

Jadi, setiap daripada kita telah memegang amanah dan telah diberi kepercayaan oleh Allah untuk memikul tanggungjawab ini.

Jika hari ini, kita diberikan amanah atau dilantik menjadi orang kepercayaan kepada seorang yang ternama, contohnya menjadi orang kepercayaan kepada Perdana Menteri, atau pemimpin-pemimpin besar, kita akan merasa hebat dan megah dengan kepercayaan yang diberikan kepada kita. Lantas dengan kepercayaan yang diberikan itu, sanggupkah kita mengkhianati pemimpin tersebut? Malah kita akan melaksanakan tugasan dengan penuh bertanggungjawab kerana kita memegang amanah seorang yang besar di sisi manusia.

Tetapi sedarkah kita bahawa kita semua sebenarnya memikul amanah dan menjadi ‘orang kepercayaan’ Allah. Jika ditanya, adakah kita sanggup mengkhianati Allah? Pasti jawapannya tidak. Padahal hakikatnya kehidupan kita dipenuhi dengan pengkhianatan terhadap Allah. Tidak melaksanakan suruhan dan hukuman yang ditetapkan olehNYA adalah pengkhianatan terhadap Allah. Melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah adalah pengkhianat terhadap Allah. Pendek kata, kita lebih patuh kepada manusia berbanding Allah…

ALLAH ITU TUAN PUNYA ALAM

Allah ialah TUHAN; terjemahan dalam bahasa melayu daripada perkataan RABB. Dalam bahasa arab, rabb boleh diterjemahkan sebagai Yang Mencipta; Yang Mentadbir; Yang Menghidup dan Yang Mematikan; Tuan Punya serta beberapa terjemahan yang lain.

Allah mencipta, memiliki dan mentadbir seluruh alam. Allah merupakan tuan punya kepada alam raya ini. Langit, bumi, gunung-ganang, malah diri kita serta semua yang ada pada kita hakikatnya adalah milik Allah. Mata kita, telinga kita, ibu bapa kita, harta kita dan segala-galanya adalah milik Allah. Maka jika Allah hendak mengambil kembali apa-apa yang telah dikurniakan kepada kita, tiadalah harus bagi Allah untuk meminta izin terlebih dahulu daripada kita. Jika Allah mengambil kembali insan yang kita cintai, atau harta yang kita sayangi, atau anggota badan yang kita membesar dengannya, sesungguhnya kita tidak dapat menghalang kerana semua itu adalah harta kepunyaan Allah.

Sekalian alam merupakan milik Allah, harta kepunyaan Allah. Manusia, haiwan, tumbuhan serta seluruh alam dimiliki oleh Allah. Lalu apakah bezanya manusia dengan ciptaan Allah yang lain? Kita dijadikan sebagai sebaik-baik ciptaan atas kelebihan akal dan hati kurniaan Allah. Jadilah kita lebih sempurna dan lebih baik penciptaannya daripada sekalian makhluk yang lain. Maka, ingatlah…
“KITA MERUPAKAN HARTA ALLAH YANG TERBAIK!!!”

NILAI PEMBERIAN ALLAH

Berapakah nilai semua pemberian Allah kepada kita itu?

Hari ini kita bekerja makan gaji. Katakan kita diberi gaji bulanan sebanyak RM2000 sebulan oleh majikan. Dengan pemberian sebanyak itu, atau mungkin lebih kurang daripada itu, kita berterima kasih dan sanggup bekerja bersungguh-sungguh untuk majikan yang memberi gaji kepada kita; lalu bagaimana pula pekerjaan dan amal kita kepada Allah?

Mari kita menilai secara kasar pemberian Allah kepada kita.

Mata kita; jika hari ini ada orang mahu menukar sebelah mata kita dengan harga timbunan jongkong-jongkong emas, sanggupkah kita menukarnya?

Tangan kita; jika hari ini ada insan yang mahu membeli sebelah tangan kita dengan wang yang berjuta-juta nilainya, adakah kita sanggup memotongnya?

Akal kita, jika hari ini ada seorang hartawan mahu memberikan seluruh hartanya kepada kita dengan syarat kita perlu menjadi gila, adakah kita sanggup menerima tawaran tersebut?

Pasti dan pasti tiada sesiapa pun yang sanggup. Malah, tidak mungkin penilaian kasar di atas dapat menghitung nilai pemberian Allah kepada kita setiap hari. Malah, gaji yang kita terima setiap bulan juga sebenarnya adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada kita melalui tangan majikan.

Maka, tanya kembali kepada diri, berapa banyak amal kita untuk manusia yang memberi secebis nikmat Allah kepada kita, dan bagaimana pula amalan kita kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Pemberi segala nikmat… Pastinya nikmat Allah itu tak terhitung banyaknya…

KENAL ALLAH SYARAT MENJAGA AMANAH


Semua nikmat yang Allah kurniakan itu merupakan amanah yang perlu dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Mengenali Allah adalah syarat utama untuk kita menjalankan amanah yang dipikulkan kepada kita. Mana mungkin kita mampu menjaga sesuatu yang tidak diketahui siapa pemiliknya.

Kuasa merupakan nikmat dan amanah kurniaan Allah. Tanpa mengenali Allah, seseorang itu akan cenderung untuk menyalahgunakan kuasa yang diberi.

Nafsu juga adalah amanah Allah kepada manusia. Gagal mengenal Allah menyebabkan manusia gagal mengawal nafsunya, lalu menggunakannya ke arah kemaksiatan.

Kasih sayang itu juga merupakan nikmat dan amanah kurniaan Allah. Sesiapa yang tidak mengenali tuhannya pasti cenderung untuk menyalurkan kasih sayang itu ke tempat yang tidak sepatutnya.

Maka, dengan mengenali Allah, serta mengetahui kehendak serta larangan Allah barulah kita mampu mengendalikan dan memikul amanah serta nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita sebaik mungkin…

PENTING DAN YANG LEBIH PENTING

Adakah kita dapat hidup tanpa makanan? Ya, kita dapat hidup tanpa makanan. Buktinya ketika ini adakah kita sedang makan? Mungkin ya, dan mungkin tidak. Makanan itu penting, tetapi kita tidak memerlukannya sepanjang masa. Ada masa dan ketikanya kita perlukan makanan dan minuman.

Bagaimana pula dengan kasih sayang? Adakah ia penting? Ya, kasih sayang penting untuk menyempurnakan kehidupan seorang manusia. Tetapi untuk hidup, kita tidak memerlukannya sepanjang masa kerana ada anak-anak yatim yang membesar tanpa kasih sayang.

Tetapi adakah kita dapat hidup tanpa perlu kepada Allah? Jika ada yang menjawab YA, sila nyatakan bila saat dan ketikanya kita tidak perlukan Allah? Ketika tidur? Lalu siapakah yang menggerakkan jantung kita sepanjang masa? Ketika mati? Bukankah jasad kita disemadikan di tanah milik Allah. Jelas, Allah itu lebih penting daripada segala-gala yang penting kerana setiap perkara penting di dunia, hakikatnya tidak akan wujud tanpa kehendak dan izin Allah.

Apakah ranking pertama dalam hieraki kepentingan dalam diri kita? Anda ada jawapannya…

KASIH SAYANG ALLAH

Tanpa kasih sayang, kehidupan manusia akan terencat kerana kasih sayang itu baja yang menyuburkan dan menumbuhkan hati yang sihat dalam kehidupan. Seorang anak menyayangi ibu, seorang suami mengasihi isteri, ibu bapa menyayangi anak-anak. Kerana kasih sayang, ibu bapa sanggup berkorban dan bersusah payah untuk anak-anaknya.

Mintalah seorang ibu menggambarkan rasa kasih sayang terhadap anaknya. Tidak tergambar dan terungkap kasih itu dengan kata-kata. Ibu bapa mencurahkan kasih sayang untuk anak-anak, mengerahkan keringat demi anak-anak, sanggup bersusah payah demi melihat kesenangan anak-anak. Bayangkan apabila anak itu membesar lalu dia lupa segala pengorbanan dan kepayahan ibu bapanya, apakah pandangan masyarakat terhadap anak itu? - Anak derhaka, tak mengenang budi, anak kurang ajar atau mungkin anak syaitan dan sebagainya.

Begitu tinggi nilai kasih sayang ibu terhadap anak, tetapi pasti tidak dapat menandingi kasih sayang Allah yang mengasihi hamba-hambanya 70 kali lebih daripada kasih sayang seorang ibu. Bayangkan pula situasi sekarang ini, betapa ramai manusia termasuk yang pernah mengucap kalimah syahadah yang lupa kepada Allah; tidak solat, tidak pernah beribadah, hidup penuh dengan maksiat, malah lebih malang lagi langsung tidak mengenali siapa sebenarnya tuhan yang harus disembah. Jadi, bagaimana kedudukan mereka ini? – 70 kali lebih derhaka daripada anak-anak derhaka, 70 kali lebih kurang ajar daripada anak-anak yang kurang ajar. Tetapi Allah masih membuka pintu taubatnya.

Manusia bukannya anak-anak Tuhan, tetapi kita adalah hamba kepada Allah. Di sisi manusia, kedudukan hamba adalah yang paling hina. Jika kuli, sekurang-kurangnya dia dibayar gaji untuk melaksanakan tugasan. Hamba pula merupakan harta pemiliknya. Tuan kepada hamba memberi segala keperluan hamba tersebut seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagai balasan, si hamba perlulah mengikuti segala kehendak tuannya. Jika tuannya itu mati, hamba tersebut tidaklah menjadi bebas kerana hamba adalah harta- boleh ‘difaraid’kan. Begitulah kedudukan seorang hamba yang dimiliki oleh manusia.

Allah merupakan tuan kepada manusia. Allah telah memberi segala keperluan untuk manusia hidup sempurna di muka bumi. Sebagai balasan, manusia perlu taat dan patuh serta mengikuti segala suruhan yang telah ditetapkan oleh tuannya, iaitu Allah. Tetapi cuba kita lihat bagaimana hamba-hamba ini berkelakuan kepada tuannya. Lupa, derhaka, malah menghina tuannya sendiri. Sepatutnya hamba-hamba ini telah lama diseksa atas perbuatannya. Namun Allah bukanlah tuan yang terus mahu membalas perbuatan hamba-hamba terhadapNYA. Allah Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang. Itulah sifat pertama yang diperkenalkanNYA kepada hamba-hambaNYA.

Manusia sering berlagak seperti tuan, padahal kita hanyalah hamba kepada Tuhan…

Kenalilah Tuhan, nescaya kita akan menemui jalan…
Jalan yang lurus, bukan bersimpang siur…
Jalan yang mencari redha, bukan jalan derhaka…
Jalan menuju ke syurga, bukan ke neraka…