Friday, August 20, 2010

Buletin Masjid Tasek Gelugor Edisi 1

Edisi 1 merupakan 'edisi percubaan' -
Blog rasmi masjid dalam proses pembinaan...
Bantuan anak jati Tasek Gelugor atau sesiapa sahaja yg berminat amat2 diharapkan...


sila klik gambar untuk besarkan...







p/s: Buletin Masjid Tasek Gelugor mengambil inspirasi daripada buletin rasmi PMIUSM 'Tinta Raudah'

Monday, August 16, 2010

KEMBALI (episod 2)


Sambungan daripada episod 1...



“Jadi, kau fikir mati itu boleh selesaikan masalah?” Zainal mula menyoal.

“Sekurang-kurangnya aku tidak menyusahkan orang lain.” Pandai Azzam menjawab. Kononnya.

“Siapa kata kau tak menyusahkan orang lain, Zam. Kau fikir mati itu dapat selesaikan masalah? Makin banyak masalah adalah. Mak bapak kau belum tahu lagi tentang perkara ni. Macam mana kalau mereka tahu?” Azzam terdiam. Tidak mahu berbalah dengan sahabatnya itu. Dia tahu, apa saja hujahnya pasti akan disangkal. Hujahnya hanya hujah dangkal. Sedangkan Zainal berkata-kata menggunakan pertimbangan akal, juga iman yang menebal.

“Azzam. Kita ni dah lama kenal. Aku dah anggap kau macam saudara aku sendiri. Ceritalah apa masalah kau.” Zainal memujuk lembut.

Azzam diam lagi. Ego diri bernama lelaki menebal di hati. Mengaku diri bermasalah umpama menyerah kalah. Sebolehnya semua masalah, dia mahu selesaikan sendiri. Barulah harga diri bernama lelaki itu tidak dinodai. Itu fikir Azzam. Tapi fikiran begitu tidak boleh dipakai lagi di saat ini. Azzam perlukan bantuan. Biarlah kali ini dia ‘menyerah’, kerana menyerah tidak semestinya kalah, tetapi mahu menyelesaikan masalah.

“Aku banyak hutang Nal. Aku pinjam dengan Along. Banyak. Semalam along tu datang ugut aku. Dia minta aku bayar segera. Tapi aku tak ada duit nak bayar.”

“Ya Allah. Kau pinjam daripada Along? Berapa banyak Zam?”

“RM10000” jawab Azzam ringkas. Matanya mula basah. Egonya sudah remuk. Seremuk hatinya yang penuh masalah.

“Se..sepuluh ribu Zam? Ya Allah, apa kau buat dengan duit tu Zam? Gaji kau tak cukup kah?”

“Mana cukup. Aku ni kuli saja Nal. Berapa sangat gaji yang aku dapat?” Azzam mula meninggikan suara.

“Apa yang kau buat dengan duit gaji kau tu, sampai tak cukup jadinya? Kau bukannya ada tanggungan. Kau tinggal dengan mak bapak kau. Makan minum kau, mereka yang tanggung. Kau pun bukannya ada anak isteri lagi.” Zainal membalas dengan lemah lembut. Azzam tidak membalas kata-kata Zainal. Memang benar apa yang sahabatnya itu katakan.

“Azzam, kau terlibat dengan perkara yang tidak elok kah?” Zainal mula mengesyaki sesuatu.

“Mana kau kenal dengan Along tu? Setahu aku, orang-orang sebegitu hanya berkawan dengan orang-orang jahat. Jawab Zam.”

Azzam diam, tertunduk. Matanya berair kembali. Seolah-olah mengiyakan ‘tuduhan liar’ sahabatnya.

“Zam, bagi tahu aku. Kau terlibat dengan kumpulan samseng kah?”

“Mana ada.” Segera Azzam menyangkal.

“Habis tu? Apa yang kau buat dengan duit sebanyak tu? Mana kau kenal dengan Along tu?” Ataupun kau…” Zainal tidak menghabiskan ayat. Dia tidak sanggup mengetahui kebenaran sekiranya sahabatnya Azzam terlibat dengan perkara tersebut.

“Ya Nal. Aku main…” Ringkas Azzam menjawab. Namun sudah cukup untuk memahamkan Zainal, membenarkan apa yang Zainal takutkan itu. Azzam terlibat dengan judi. Telahan Zainal memang benar. Kumpulan-kumpulan Along ini banyak terlibat dengan aktiviti perjudian. Mereka mendekati para ‘tahi judi’ ini kerana mereka tahu manusia seperti ini pasti memerlukan duit segera.

“Tapi mengapa Zam?” judi tu kan….”

“Aku tahu Nal. Aku tahu. Tapi aku perlukan duit tu.” Segera Azzam memintas kata-kata Zainal. Dia tahu berjudi itu haram hukumnya. Tetapi, apalah sangat makna haram itu bagi orang yang telah dibutakan mata hatinya dengan dunia.

“Sebab kau nak beli kereta tu? Sebab kau nak hidup mewah? Ada telefon bimbit mahal. Ada pakaian yang mahal. Bergaya seperti orang kaya? Itu yang kau nak?” Zainal sedikit membebel. Dia tahu cara hidup sahabatnya yang suka bergaya dan berlagak kaya. Mahu memikat si dara katanya.

“Zam. Kalau nak kaya, bukan begitu caranya. Cara kau tu salah. Di kilang, kau malas bekerja. Selalu ponteng kerja. Orang lain buat kerja lebih masa, kau kurangkan masa kerja. Gaji kena potong. Macam mana nak kaya Zam? Walaupun duit gaji kita tak banyak, tapi kalau keberkatannya ada, insyaallah cukup Zam.”

“Nal, tolonglah jangan membebel dekat aku. Aku ni banyak masalah. Janganlah serabutkan lagi kepala otak aku ni. Kau nak tolong aku atau tak ni?” Azzam yang sejak tadi mendiamkan diri mula berkata-kata. Tidak tahan mendengar leteran sahabatnya. Walaupun perkara itu semuanya benar belaka.

“Ok, baik…baik. Aku minta maaf. Begini Zam. Aku boleh tolong setakat yang aku mampu saja Zam. Tapi masalah kau insyaallah boleh diselesaikan Zam.”

“Macam mana?”

“Minta lah daripada pemilik diri kita Zam.”

“Maksud kau?”

“Ya, kembalilah kepada Allah Zam. Kau perlu tahu punca masalah sebenar kau Zam. Masalah yang kau lihat dan rasa ni sebenarnya hanyalah cabang dan ranting sahaja Zam. Pokok masalah kau ini disebabkan akarnya yang berpenyakit. Tak ada gunanya kau merawat ranting yang rosak, tetapi akar yang berpenyakit itu kau biarkan. Kalau kau ubati penyakit akar yang utama, insyaallah semua masalah akan selesai Zam. Yakinlah.”

“Cuba kau terus terang. Janganlah terlalu berfalsafah.” Azzam mula bosan.

“Aku lihat kau semakin hari semakin jauh daripada Allah. Selama ini aku tak pernah tengok kau bersolat. Waktu solat jumaat pun kau tiada di masjid. Majikan kita dah beri masa bersolat, itu dah cukup baik. Tapi kau tak pernah hargai. Sedangkan kawan-kawan kita di kilang lain terpaksa mencuri-curi masa untuk bersolat, dan kemudian bekerja lebih masa untuk mengganti balik waktu kerja yang 'dicuri' untuk bersolat. Bulan puasa pun kau hisap rokok, tak berpuasa. Dah berkali-kali aku nasihatkan, tak pernah kau peduli.”

“Zainal. Aku....” Azzam cuba memintas sahabatnya.

“Cuba kau dengar dulu Zam. Aku cakap ni sebab nak tolong kau. Kau sahabat aku. Ini masalah sebenar kau Zam.” Kali ini Zainal bertegas. Perkara sebegini telah banyak kali Zainal nasihatkan Azzam. Tetapi tak pernah dilayan. Tak pernah dipeduli. Itu dahulu, ketika sahabatnya tiada masalah. Sekarang ini peluang baginya untuk mengulang kembali soal prinsip dan tujuan kehidupan kepada sahabatnya itu, ketika musibah melanda diri. Fitrah manusia, apabila ditimpa musibah yang berat, barulah sedikit lembut hati yang selama ini keras membatu untuk menerima kebenaran. Itulah manusia.

“Tapi masalah aku…”

“Minta daripada Allah, Zam. Sungguh-sungguh minta daripada Allah. Mohon supaya Allah bantu kau. Tetapi kau sendiri kena bantu diri kau untuk kembali ke pangkal jalan. Tinggalkan perkara-perkara kotor yang kau buat dulu tu. Ini saja cara penyelesaiannya Zam.”

Azzam tersentak. Bagaikan diketuk kepalanya dengan tukul. Sangat jauh dirinya daripada memikirkan tentang tuhan.

“In…Insyaallah aku akan cuba. Kau pun kena tolong aku jugak. Aku bukannya pandai bab-bab begini.” Azzam terpaksa mengaku, untuk mengambil hati Zainal yang sudi membantu. Pada masa yang sama, dia terus menerus berfikir tentang kebenaran yang diperkatakan oleh Zainal. Itulah dirinya yang sebenar.

“Insyaallah aku akan tolong kau. Bimbing kau.”

“Ajarkan aku Zam…” pinta sahabatnya itu. Rasa malu tiada lagi. Tidak malu untuk menuntu ilmu, itu suatu yang mulia.

“Baik. Aku ajarkan kau satu doa ni. Amalkanlah selalu. Kalau kau bersungguh-sungguh, Insyaallah segala masalah kau Allah akan selesaikan, dengan syarat kau juga berusaha.”

“Baik. Apa doanya?”

“Suatu hari, ada seorang sahabat Rasulullah sedang bersedih. Lalu Rasulullah mendekati sahabat tersebut dan bertanya; mengapa kau bersedih? Lalu sahabat tersebut menjawab; aku bersedih kerana beban kehidupan yang terlalu berat dan hutang yang membelenggu hidupku serta kesedihan yang melanda diriku. Sama macam kes kau ni. Lalu Rasulullah bertanya kepada sahabat tersebut adakah dia mahu diajarkan satu doa yang jika dia amalkan nescaya Allah akan hilangkan segala masalah yang menimpa dirinya dan menyelesaikan segala hutang walau banyak mana sekalipun hutang tersebut. Kemudian Rasulullah mengajarkan kepadanya doa ini;

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kegelisahan dan kesedihan, dan aku berlindung denganMu daripada rasa lemah dan sifat malas, dan juga aku berlindung denganMu daripada sifat penakut dan kedekut, serta aku berlindung denganMu daripada belenggu hutang dan penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia terhadapku.”

“Sahih ka Nal?” Azzam cuba berseloroh. Dia bukannya arif dalam bab agama, apatah lagi pengkhususan ilmu hadis. Tapi saja-saja mahu mengusik rakannya yang terkenal dengan ketegasan dalam bab agama.

“Iye. Ada dalam sunan Abu Dawud. Riwayat daripada Abu Said Al-Khudry. Semak lah.” Zainal membalas pedas.

“takpe, takpe. Aku percaya. Tapi Nal, nak tanya sedikit. Apa beza gelisah dengan sedih. Macam sama saja kan?” Mood Azzam kembali ceria. Walaupun masalahnya belum selesai, tetapi hatinya terasa sedikit tenang.

“Sama saja. Dua-dua masalah yang kau hadapi. Betul tak?” Giliran Zainal mengusik Azzam.

Azzam hanya mampu tersenyum kelat mendengar.

“Gelisah atau al-hamm tu ialah perasaan tak tenang terhadap sesuatu yang kita tak tahu. Contohnya, kau tak tahu bila lagi along-along tu akan datang ugut kau. Itu namanya gelisah. Sedih atau al-hazan pula, bila along-along tu dah ugut kau, pukul kau, minta kau bayar, tapi kau tak boleh bayar. Itu menyebabkan kau sedih. Pendek kata semua lapan masalah dalam doa tu kau hadapi. Aku pun tak terkecuali. Jadi ada baiknya kita amalkan sama-sama.

“Baiklah Nal. Terima kasih banyak-banyak. Tapi, nanti pinjamkan aku duit sedikit untuk aku bayar along tu. Aku janji akan pulangkan balik duit kau tu. Aku tau, kau simpan duit tu untuk belanja kahwin kan?”

“Tau takpa…”



-TAMAT-

KEMBALI (episod 1)



Angin dingin menampar wajah kusam Azzam. Keras tujahan angin di bumbung Bangunan Wisma Perdana sepuluh tingkat itu. Sesekali Azzam menjenguk mukanya ke bawah. Rasa gayat menyebabkan bulu tengkuknya terpacak menegak. Azzam gagahkan juga dirinya berada di situ. Badannya sedikit bongkok memegang tembok yang hanya separas dengan pehanya. Dia memandang kelibat manusia yang sibuk mengejar masa dan dunia di bawah. Besarnya tak lebih daripada patung askar hijau miliknya sewaktu kecil dahulu. Dia menghembus nafas kuat. Mengeluh, melepaskan resah yang teramat sangat.

Lama dia berada di situ. Jiwanya sangat kacau ketika ini. Otaknya ligat berfikir tanpa zikir. Dadanya berombak deras dek kerana jantungnya yang bekerja keras mengepam darah ke seluruh tubuh. Azzam merenung ke bawah tanpa dapat melihat apa-apa. Kabur. Matanya sahaja yang melihat, tetapi otaknya sedang sibuk memikir perkara yang lain. Perkara yang sangat serius. Terasa seram tatkala perkara itu singgah di benak fikirannya. Azzam memejam matanya rapat. Setitis air jernih mengalir setelah beberapa ketika bertakung di kelopak matanya. Angin lalu segera menepis air matanya. Dingin terasa pipi. Sedingin hati yang semakin kosong tidak terisi.

Kali ini dia benar-benar tekad. Lantas kakinya diangkat tinggi, menapak di atas tembok bata yang menjadi penghadang dirinya dengan ruang udara. Dia terus berdiri. Matanya dipejam. Kakinya menggigil, begitu juga dengan hatinya. Takut memikirkan nasibnya sebentar lagi. Azzam begitu nekad untuk mengambil nyawanya sendiri. Seolah-olah dia itu Tuhan. Dia ingin terjun meninggalkan dunianya. Dunia yang penuh sengsara dan derita. Dunia yang penuh mehnah dan masalah. Baginya mati itu penamat cerita untuk menyelesaikan semua masalah yang melanda dirinya. Tetapi dia tidak sedar bahawa mati sebegitu merupakan pendahuluan cerita kepada episod sengsara yang tiada sudahnya. Bagi Azzam, falsafah sebegitu tidak pernah wujud dalam kehidupannya. Hidup itu di dunia. Mati itu kembali ke dalam tanah. Selesai.

Suasana di tingkat bawah Wisma Perdana menjadi kecoh. Orang ramai berkumpul mahu menyaksikan sesuatu yang sangat jarang boleh dijumpai. Semuanya gara-gara seorang perempuan muda menjerit mengatakan ada orang mahu membunuh diri. Seorang lelaki tua yang berada di situ segera menghubungi polis supaya diambil tindakan segera. Azzam sedar akan hal tersebut. Pemikirannya bertambah kusut. Dia buntu. Tindakannya untuk terjun ke bawah terbantut. Dia menangis teresak-esak, seperti seorang bayi yang dahagakan susu ibu. Begitu jugalah dengan dirinya yang dahagakan kasih sayang dan kebahagiaan. Kononnya.

Kekecohan orang ramai itu menyebabkan Azzam membatalkan niatnya seketika. Dia menapak turun ke lantai. Dadanya terasa agak lapang, walaupun dirinya menyesal kerana tidak meneruskan niat untuk terjun. Tiba-tiba, lengannya dipegang dari belakang. Azzam segera menoleh. Dua orang inspektor polis lengkap beruniform mencengkam erat lengannya. Takut-takut Azzam lolos, lalu terjun ke bawah.

“Lepaskan aku… lepas aku.” Azzam menjerit, meronta-ronta. Namun sekali-kali tidak dilepaskan. Malah makin erat lengannya dicengkam. Azzam diusung secara paksa masuk ke dalam bangunan. Dia terus menjerit, meronta seperti orang gila yang kehilangan barang kesayangan. Badannya teruk menggigil. Lantas akibat tidak tertanggung lagi beban yang sengaja diciptanya, Azzam jatuh, rebah ke lantai. Dia pengsan.

Para pekerja di Wisma Perdana mengerumuni tubuh kaku Azzam yang diusung pergi. Tak ubah seperti mayat, kerana memang itu kehendaknya.

Azzam terjaga. Mukanya dibasahi tompok-tompok percikan air sejuk. Matanya galak memandang. Tempat itu sangat asing bagi dirinya. Kosong dan putih. Hanya sebuah meja stainless steel panjang dan beberapa kerusi yang menjadi hiasan bilik itu. Di hadapannya, seorang pegawai polis lengkap berseragam. Mukanya tegas. Tangannya kemas memegang cawan berisi air sejuk. Air itulah yang digunakan untuk menyedarkan Azzam dari pengsan.

“Apa kamu buat di atas bangunan tu?” Suara garau Inspektor Jamil memecah sunyi.
Azzam diam membisu. Mukanya tertunduk ke bawah. Tidak berani memandang wajah bengis pegawai polis itu. Dia disoal berkali-kali, tetapi reaksinya tetap sama. Diam tiada sepatah kata. Dia tahu itu haknya untuk tidak menjawab apa-apa yang ditanya. Mungkin kerana bosan, pegawai polis itu bangun menuju ke muka pintu.

“Aku mahu call kawan aku.” Tiba-tiba Azzam bersuara.

“Ikut sini.” Ringkas saja jawapannya.

Azzam segera menelefon Zainal, sahabat yang dikenalinya sejak kecil. Zainal segera sampai ke balai polis. Dia terkejut mendapat penjelasan pegawai yang bertugas. Setelah beberapa lama berbincang, akhirnya Azzam dilepaskan tanpa sebarang tindakan.

“Apa yang kau cuba buat ni Zam? Tak tahu kah, bunuh diri tu dosa besar. Tak diampun Allah. Apa yang berlaku ni.” Zainal merupakan sahabat Azzam di tempat kerjanya. Dia juga merupakan supervisor di kilang tersebut. Mereka berdua berkenalan sejak kecil lagi, dan sama-sama mula bekerja di situ 2 tahun yang lalu.

“Aku tahu.” Ringkas jawapannya. Kakinya mengocak air, menghasilkan riak gelombang yang akhirnya hilang. Setelah keluar daripada balai polis, Zainal membawa temannya itu ke kawasan air terjun. Sengaja dipilih tempat itu kerana tidak banyak orang pada hari bekerja. Juga supaya kawasan yang dingin itu dapat menyejukkan hati sahabatnya Azzam. Zainal terpaksa mengambil cuti separuh hari kerana kejadian tersebut.

“Habis tu? Mengapa kau buat jugak?” Lembut suara Zainal menyoal sahabatnya.

Azzam diam. Mukanya tertunduk. Tangannya menggaru peha yang tidak gatal. Zainal juga turut terdiam. Mahu memberi masa kepada Azzam. Dia tahu sahabatnya itu sukar meluahkan masalah yang terpendam. Hatinya sedang berkecamuk. Jiwanya sedang remuk. Dia baru sahaja terlepas daripada maut yang diciptanya sendiri. Keadaan sunyi sepi. Hanya desiran dedaunan yang bergeselan serta bunyi air terjun menjunam menghentam batu yang kedengaran.

“Aku dah tak sanggup untuk hidup lagi Nal. Hidup aku penuh dengan masalah. Aku dah tak tahu nak buat macam mana? Tak ada guna lagi aku hidup. Baik aku mati saja.” Azzam bersuara. Tangannya menyeluk poket, mengeluarkan sebatang rokok daripada kotak. Lantas pemetik api dihidupkan, lalu dihalakan ke hujung batang rokok. Dia menyedut hujung yang satu lagi. Setelah puas menyedut, dia menghembuskan asap ke sebelah kiri bahunya, arah bertentangan daripada kedudukan Zainal. Dia tahu Zainal tidak suka menghidu asap rokok. Zainal pula membiarkan saja. Selalunya di kilang, dia tegas. Tidak dibenarkan menghisap rokok di kawasan kilang. Tetapi kali ini dia membiarkan Azzam dengan tabiat buruknya itu. Pernah beberapa kali dia mengingatkan Azzam bahawa merokok itu telah difatwakan haram oleh para mufti kontemporari. Tetapi, nasihatnya bagai asap rokok. Masuk ke mulut, lalu dihembus keluar kembali.


Sambungan di episod 2...

Saturday, August 7, 2010

MELAYUKAH KITA?

*AMARAN: Artikel ini tiada kena mengena dengan mana-mana politik kepartian.

Bahasa Malaysia ialah bahasa melayu. Semua maklum benar tentang itu. Saban hari kita mendengar laungan supaya pertahankan bahasa melayu, cintakan bahasa Malaysia, kekalkan pembelajaran dalam bahasa Malaysia dan sebagainya.

Semestinya menjadi kewajipan warga Negara Malaysia (Melayu, India, Cina dll) untuk mempertahankannya tanpa menggugat mana-mana bahasa milik mana-mana bangsa. Dan seharusnya, tunjang untuk mempertahankannya adalah bangsa melayu sendiri.

Hari ini bahasa melayu mempunyai terlalu banyak versi, tidak termasuk perbezaan dialek percakapan negeri-negeri di Malaysia.

Seperti bible yang mempunyai pelbagai versi akibat umatnya yang tidak menjaga ketulenan kitab wahyu tersebut, begitu jugalah yang terjadi kepada bahasa melayu akibat sikap dan perbuatan pemilik bahasa tersebut iaitu bangsa melayu.

Apakah versi-versi bahasa melayu tersebut?

Bahasa melayu kini ditutur oleh orang melayu dalam versi yang pelbagai seperti melayu tulen, melayu versi cina, melayu versi india dan tidak ketinggalan melayu versi inggeris yang memualkan.

Jika mahu mengajar kanak-kanak kecil melaungkan takbir, ajarkan kepadanya laungan yang tepat. Allahuakbar!!! Bukannya ‘Allahbat’ seperti yang sering kita dengar. Biarkan kanak-kanak kecil itu menyebut ‘allahbat’ kerana memang itu sebutan yang mampu ditutur olehnya. Tetapi sebagai seorang dewasa yang fasih, adalah salah (malah berdosa) jika kita sengaja menyebut laungan suci itu dalam keadaan salah, sedangkan kita tahu yang sebenar.

Begitu juga dengan bahasa melayu. Bila saja orang melayu bertutur dengan bangsa cina, maka terdengarlah ayat seperti ini;

“Aiiya, auntie. Wa manyak soli laaa. Wa butut-butut lupa mau bawa itu duit kasi sama lu.”

Apabila berjumpa bangsa india pula;

“Aiyoyo Bala, apa you buat sini? Tarak kerja ka ini hari. Kalau hari-hari ini macam, mati looo.”

Versi inggeris pula;

“….%^&*(&^%)…”

Tak mampu untuk ditulis disini kerana bunyinya sangat merimaskan perut.

Tidak bolehkah kita bercakap dengan bangsa lain menggunakan bahasa melayu yang ‘betul’, sama seperti ketika kita bertutur dengan bangsa melayu yang lain? Mengapa tidak?

Adakah kerana kita takut nanti ayat kita tidak akan difahami oleh mereka? Atau kita merasakan bahawa kita sangat jauh dengan mereka apabila menggunakan ayat melayu yang fasih? Tidak dapat ‘menyelam’ ke lubuk hati mereka? Atau apa-apa saja alasannya.

Sebelum temuduga kerja, aku menghubungi pengarah kilang yang berbangsa cina. Aku cuba bertutur dalam bahasa inggeris sehabis baik, tetapi ada beberapa perkataan yang terlalu sukar untuk meluncur keluar dari mulut. Maka aku terpaksa mencampur adukkan dengan bahasa melayu. Kebetulan dia berada berhampiran. Terus dia mematikan perbualan telefon dan ‘memarahi’ aku dengan berkata;

“tak boleh cakap bahasa melayu saja kah? Wa faham lah. Wa pun belajar bahasa melayu jugak.”

Terdiam aku dibuatnya.

Nah! Adakah bahasa melayu yang mereka belajar di sekolah diajar dalam versi cina atau india atau inggeris? Tentunya tidak. Jadi, mengapa kita tidak bertutur dengan bangsa lain menggunakan bahasa yang betul?

Jika mahu mengajar kanak-kanak kecil melaungkan takbir dengan betul, janganlah ajarkan kepadanya sebutan ‘Allahbat’. Jika itu yang diajar, nescaya sampai bila pun dia akan bertutur dengan kesalahan.

Kita tahu bangsa lain bertutur bahasa melayu dalam versi yang ‘bukan melayu’. Mungkin itu kemampuan mereka, atau mungkin itu kemahuan mereka supaya ‘tradisi kecinaan atau keindiaan’ dapat dikekalkan dalam diri meskipun mereka bertutur bukan dalam bahasa ibunda.

Bagaimana pula dengan kita? adakah kerana tidak mampu? Ah! Pastinya tipu. Atau mungkin kita tidak mahu, kerana malu dengan bahasa sendiri? Malanglah kalau begitu.

“berkatalah yang benar walaupun pahit..”

Mungkin kata-kata diatas bukanlah di’sabda’kan kerana hal ini, tetapi ada kaitannya jika diteliti dengan hati yang tulus dan mulus.

Sia-sialah jika kita melaungkan BAHASA JIWA BANGSA jika kita sendiri tidak menjiwai bahasa kita.

Mungkin satu soalan patut dilontarkan kepada diri kita….

MELAYU kah kita?

***tulisan ini sekadar cetusan yang terlintas di fikiran. Sama-sama kita fikirkan.


Siapa tak mesra…?

Hari ini merupakan hari Jumaat pertama aku di dalam industri. Sejak awal ketika temuduga lagi, aku telah bertanya kepada pengarah kilang tentang waktu untuk solat.

Jawabnya mudah saja;

“Jangan selalu sangat, nanti orang nampak orang akan ikut.”

Aku hanya pendam, diam. Waktu rehat seperti ‘sengaja’ diawalkan pada hari biasa, kecuali pada hari Jumaat pada pukul 1.00-2.00 pm.

Aku tidak terkejut, malah seperti yang dijangka akan terjumpa. Terpaksa aku ‘lari’ untuk solat ketika waktu bekerja.

Selesai makan tengah hari, aku bergegas ke masjid. Ketika itu, azan kedua dikumandangkan. Jam kira-kira pukul 1.35 petang. Masjid masih lagi tidak penuh, jika dibanding dengan kawasan itu yang berpenduduk agak padat.

Khutbah hari ini cukup bertenaga. Khatib menyampaikan (membaca) khutbah dengan penuh semangat, tentang ciri-ciri manusia yang wujud di muka bumi.

Aku lihat jam di tangan. Lagi 5 minit hendak pukul 2 petang. Jam sengaja dicepatkan 6 minit, mengikut jam di pondok pengawal di kilang.

“You kena adjust itu jam kasi sama dengan ini jam. Kalau tidak nanti you masuk lewat 6 minit.” Lebih kurang begitu pesan pengawal keselamatan berbangsa india di kilang tempatku bekerja.

Ini hari ketiga. Sebolehnya aku mahu kekalkan rekod datang tepat pada waktunya setiap kali pertukaran fasa kerja. Tetapi, khatib masih lagi dengan dunianya yang penuh semangat berkobar-kobar.

Akhirnya khutbah selesai dibaca. Jarum jam masjid sedikit terpesong di sebelah angka dua. Bilal melaungkan iqamah. Solat jumaat didirikan hingga selesai. Aku segera menoleh ke belakang. Ramai yang berpusu-pusu keluar meniggalkan masjid. Aku berdiri, lalu menyelit di celah-celah makmum lain yang bersedia untuk berdoa.

Aku memecut pulang ke kilang. Sampai di pondok pengawal, aku mencapai ‘punch-card’ lalu memasukkannya ke dalam mesin masa.

“tupp!!!”

2.17pm. Itu waktu aku sampai di kilang. Aku telah berhutang 17 minit dengan pengusaha kilang, dan aku gantikannya semula dengan pulang kerja lebih lewat daripada biasa.

Sebaik saja aku menjejakkan kaki di ‘production area’, semua pekerja telah mula bekerja. Seakan-akannya telah lama berada di tempat masing-masing. Padahal boleh dikatakan aku antara yang ‘paling pantas’ meninggalkan masjid tadi. Ringkas cerita; TIDAK SOLAT JUMAAT.

Aku tertanya-tanya, malah persoalan ini telah bermain di minda sejak aku beri’tikaf di masjid tadi. Apa puncanya ramai muslim yang tidak hadir menunaikan solat jumaat.

Adakah kerana bos tidak benarkan keluar solat jumaat. Itu suatu yang mungkin.

Atau mungkin kerana mereka diberi masa sehingga pukul 2 petang sahaja, seperti aku. Lalu mereka telah tahu jika mereka pergi bersolat di masjid, pasti mereka akan pulang lewat ke kilang.

Lantas aku terfikir lagi, tidakkah pihak pengurusan masjid sedar akan hal ini. Aku yang baru sehari ‘berjumaat’ di situ sudah perasan ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dengan kehadiran solat jumaat di masjid.

Jika keadaan seperti ini yang berlaku, masihkah perlu dipanjangkan khutbah sehingga melepasi pukul 2 petang. Bukankah khutbah yang dituntut itu ringkas waktunya.* Tidak perlulah ‘membebel’ di dalam khutbah. Cukuplah nasihat dan peringatan buat bekalan kehidupan buat seminggu.

Khutbah selama 10 minit sudah memadai. Ditambah pula solat selama 10 minit. Jika khutbah tamat awal, Insyaallah ramai yang lebih ‘berani’ untuk hadir solat jumaat. Maklumlah, dunia sekarang ini lebih ramai muslim yang takut kepada ‘bos’ daripada takutkan ‘Raja sekalian raja.’

Lebih-lebih lagi di kawasan perindustrian sebegini, pastinya lebih memerlukan kepekaan daripada pengurusan masjid. Agama jangan dilihat sebagai beban. Jika muslim sendiri melihat agamanya sebagai beban, bagaimana agaknya pandangan non-muslim terhadap islam. Pasti sangat buruk.

Kemungkinannya ada dua;

Sama ada MASJID TIDAK MESRA- Jika masjid tidak mesra ‘pelanggan’, maka nelayan tidak akan kembali bertandang ke masjid.

Atau mungkin sahaja MUSLIM TIDAK MESRA MASJID- kerana yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari pembalasan.

Apa yang pasti, masjid perlu sentiasa memikirkan masalah-masalah seperti ini dan mengambil tindakan yang paling wajar untuk mengatasinya.

Semoga minggu depan lebih baik daripada minggu ini. Amin…

* http://www.muftiwp.gov.my/pmwp/soaljawab/soal7.htm



Sunday, August 1, 2010

Aku penjual ubat...

04-5382###

Nombor telefon tidak bernama ini berkelip-kelip di skrin telefon bimbitku, seolah-olah merayu supaya segera diangkat. Lagu tobat maksiat dendangan wali band memecah sunyi. Aku yang sedang asyik menggelintar ruang maya, mencari jawapan untuk membantu kakak yang sedang kebuntuan terus mencapai telefon bimbit.

"Hello assalamualaikum..." aku mulakan perbualan.

"Haa... ni yang jual ubat kan." suara seoarang lelaki tua kedengaran di corong telefon bimbitku. Salamku tidak dijawab.

"Ubat? salah nombor kot." aku menjadi hairan dengan pertanyaan lelaki tua tersebut.

"Ni... saya dapat nombor telefon ni dalam surat khabar XXXXXXX." lelaki tua itu menjelaskan.

aku semakin ditimpa kehairanan bin kemusykilan. Dengan segera aku memindahkan bekalan oksigen semaksima mungkin ke otak supaya ia dapat diperah untuk mengingati dakwaan lelaki itu..

Surat khabar? betul ka? pastilah tidak betul. cuma aku perlukan kepastian yang betul-betul jitu dan padu.

"saya ada call nombor yang satu lagi, tapi dia tak angkat. jadi saya call lah nombor ni." pakcik itu cuba menjelaskan.

"Ni... saya nak tanya. Ubat tu sapu saja kah atau macam mana?" pakcik itu terus masuk ke topik utama.

"Ya Allah. Ubat apa pulak ni?" aku yang kehairanan terus dilanda kebuntuan.

"Ni... ubat... mati pucuk ni."

"Hah!!!" aku terjerit dalam hati.

"Saya rasa silap nombor kot. No ni 013-44241##. betoi ka?"

"013-4428.... owh salah-salah..." terus pakcik tu tamatkan perbualan.

aku tergelak seorang memikirkan peristiwa tadi. menjadi penjual ubat...



Saturday, July 31, 2010

Kembara mencari Tuhan. (episod 2)

“Jadi, maksud tok kura….” Raja rimba tidak menghabiskan ayatnya.

“Ya, kita minta daripada tuhan supaya selamatkan kita daripada malapetaka ini.” Bersemangat tok kura menjelaskan.

“tapi………” burung hud-hud tidak menghabiskan bicara.

“kenapa hud-hud?” raja rimba menyoalnya.

“Manusia menyembah banyak tuhan, tuanku. Patik mengembara hampir ke seluruh benua. Patik melihat ada pelbagai tuhan yang disembah oleh manusia. Ada yang tunduk menghadap patung, menyembah haiwan, ada yang menjamu makanan kepada berhala, ada yang mengukir batu, ada yang menyembah pokok, ada yang menyembah kepada tuhan yang macam-macam, ada yang langsung tidak menghadap apa-apa.”

“jadi, tuhan yang mana patut kita minta pertolongan.” Ujar si burung hud-hud.

Masing-masing menjadi keliru. Yang tidak tahu bertambah-tambah celaru.

“jadi sekarang bagaimana? Tok kura? Masih mahu teruskan dengan cadangan tersebut?” raja rimba bersuara.

“patik juga tidak tahu tuanku. Tetapi bagi patik, tuhan itu tetap ada dan sangat kuat kuasanya. Patik yakin hanya tuhan saja yang mampu menolong kita semua ketika ini. Kita lemah tiada kuasa.”

“Jadi, apa cadangan tok kura?” sang harimau mula membuka mulut.

“Ya, tok kura ada apa-apa buah fikiran?” raja rimba menambah tanya.

“kita mesti cari tuhan itu. Patik yakin antara tuhan-tuhan yang manusia sembah itu, ada tuhan yang benar-benar tuhan.” Tok kura menambah keyakinan di hati.

“Bagaimana?” serentak semua haiwan bertanya.

Perbincangan menjadi semakin menarik minat semua. Perkara ini tidak pernah berlaku dan tidak pernah terlintas di fikiran mereka semua untuk berlaku.

“Jika tidak khilaf, manusia-manusia yang menyembah tuhan ini mempunyai kitab yang menjadi rujukan mereka.”

“benar! Patik juga mendengar perkara yang sama. Sering juga patik melihat manusia menyemak lembaran-lembaran yang dipanggil kitab itu sebagai rujukan mereka.” Burung hud-hud mencelah.

“jadi? Apa yang kalian mahu lakukan?” soal si raja.

“kita dapatkan kitab-kitab tersebut.” Tok kura memberi cadangan.

“kemudian kita kaji kitab-kitab tersebut. Mungkin kita akan berjumpa dengan petunjuk-petunjuk yang boleh memberitahu kita siapa dia tuhan itu.” Burung hud-hud menambah.

Dia dan tok kura sudah nekad mahu meneruskan pencarian.

“ini kerja gila.” Dubuk membentak. Tidak bersetuju dengan cadangan yang pada fikirannya tidak masuk akal itu.

“selama ini kita tidak pernah kisah pun tentang tuhan ni. Ketika senang, kita tidak pernah terfikir pun tentang tuhan. Tiba-tiba, terkena malapetaka baru hendak mencari tuhan?”

Semua terdiam. Bagai penampar terkena di pipi, tok kura terpaku. Ada benar kata dubuk. Setelah berlaku bencana, baru hendak mencari-cari siapa itu tuhan.

“ketika senang, kita menyangka kita yang berkuasa. Kita merasa, segala keamanan dan kesenangan ini kerana kita pandai mentadbir rakyat jelata.” serentak dubuk memandang si raja rimba. Sengaja mahu menikam raja rimba dengan kata-kata. Dubuk memang tidak pernah takut dengan sesiapa. Sejak dahulu lagi dubuk tidak serasi dengan kaum singa. Malah dubuk sering mencuri hasil buruan singa. Cuma dia masih menghormati sang singa sebagai raja rimba.

“Sudah, sudah. Memang kita yang salah. Sekarang kita mahu menyelesaikan masalah, bukan mahu menambah masalah.” Tok kura cuba meredakan keadaan yang semakin tegang.
Semua akur.

“jadi, tuanku. Adakah tuanku terima cadangan patik dan burung hud-hud?”

“Ya, beta perkenankan. Beta serahkan tugasan ini kepada tok kura. Tok kura cubalah sedaya upaya. Semoga usaha kita akan mendapat kebaikan.”

“patik faham, tuanku. Patik memerlukan pertolongan beberapa sahabat untuk melaksanakan misi ini.”

“baik, jadi beta mahu tok kura uruskan perkara ini. Ada sesiapa mahu membantah atau menambah?”

Semua diam. Dubuk mencemik tanda mengejek.

“lantaklah apa yang mereka mahu lakukan. Aku tidak akan kisah.” Katanya itu sekadar berlegar-legar di lubuk hati.

“jika tiada tambahan, perjumpaan ini akan beta tamatkan. Semua boleh bersurai.”

“Tapi….. sebelum itu. Beta ingatkan kepada semua supaya tidak menceritakan perkara ini kepada sesiapa pun. Hanya antara ketua-ketua haiwan sahaja. Faham!” Raja rimba memberi amaran kepada semua.

Masing-masing beredar. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ada yang masih keliru. Si murai berdiam diri, sedang memikirkan sesuatu.

.................................................................

Semua mangsa musibah diberi bantuan yang sewajarnya. Semua haiwan berkampung di tanah lapang. Tempat perlindungan dibina untuk menempatkan mangsa yang tercedera. Mangsa yang terkorban dikumpul lalu dikambus di satu tempat khas.

Sementara itu tok kura mengumpul beberapa haiwan yang boleh dipercayai untuk memulakan misi, mencari kebenaran. Siapa itu tuhan.

Tok kura menjadi ketua. Yang lain-lain diberikan tugas sesuai dengan kebolehan dan kepandaian.

Si monyet diberi tugas untuk mengumpul kitab-kitab yang dibaca oleh manusia. Bagaimana hendak dilaksanakan, terserah kepada monyet dan helahnya.

Burung hud-hud diarahkan untuk pergi ke tempat-tempat ibadah manusia. Tugasnya memerhatikan apa yang dilakukan oleh manusia terhadap tuhan-tuhan mereka.

Sang kancil nanti akan mengkaji kitab-kitab tersebut. Segala-gala berkaitan tuhan perlu dicari dan diteliti. Kemudian mereka semua akan simpulkan.

Tugasan ini teramat berat. Hampir-hampir semua yang terlibat mahu menolak kerana tidak sanggup untuk melaksanakannya. Tetapi kerana amanah telah diberi, mereka terpaksa merelakan diri. Mereka inilah yang akan mencipta sejarah dalam perjalanan panjang kehidupan haiwan.

.............................................................

Tok kura menghadapkan wajahnya ke langit. Otaknya ligat memikir kata-kata burung hud-hud;

“manusia menyembah banyak tuhan, menyembah patung, menyembah batu, menyembah haiwan.”

“Benarkah manusia menyembah banyak tuhan? Manusia menyembah haiwan? Mengapa mereka menyembah haiwan seperti kami? Sedangkan kami haiwan juga mahu meminta pertolongan daripada tuhan.” Bisik tok kura dalam hatinya.

Tok kura hanya sekali melihat manusia beribadah. Tetapi tidak pula dia melihat manusia-manusia itu menyembah apa-apa di hadapan mereka.

“aku mesti membongkar kekeliruan ini. Tuhan itu pasti ada.”

..............................................................

“tok kura hendak mencari tuhan? Bagaimana?” si tupai bertanya kepada tenggiling.

“Entah lah. Agak-agaknya tok kura tu sudah nyanyok. Maklumlah, umurnya dah lebih seratus tahun.” Jawab tenggiling tanpa mahu berbaik sangka.

“ishh, tak baik kata begitu. Tok kura sangat berpengalaman. Walaupun dia bergerak perlahan, tapi aku dengar dia pernah mengembara keliling dunia.” Si tupai menambah-nambah cerita.

Cerita Tok kura hendak mencari tuhan telah menjadi buah mulut hampir semua haiwan di belantara. Macam-macam tuduhan telah dilemparkan kepada tok kura dan raja rimba. Gila, tidak waras, hilang akal, buat kerja bodoh; semuanya menjadi gelaran terkini tok kura, tak terkecuali raja rimba. Itulah akibat mendapat berita separuh cerita.

Raja rimba telah memberi amaran kepada semua ketua-ketua haiwan supaya tidak menceritakan perihal perbincangan di istana tempoh hari. Raja rimba tahu, jika berita sebegini sampai ke pengetahuan rakyat biasa yang tidak tahu hujung pangkalnya, pasti permata akan dinilai sebagai kaca.

Di satu sudut rimba raya, kedengaran bisik-bisik haiwan berbicara.

“Kamu tahu tak beruk, tok kura sekarang ni hendak mencari tuhan. Dalam mesyuarat dengan raja rimba kelmarin, tok ketua cadangkan kepada raja rimba supaya minta pertolongan daripada tuhan. Katanya tuhan itu ada kuasa yang hebat.” Si murai membuka rahsia pertemuan ketua-ketua haiwan dengan raja rimba.

Si murailah dalang disebalik bocornya rahsia besar belantara. Amaran raja rimba langsung tidak dihiraukannya. Dasar si mulut murai, memang tidak boleh menyimpan rahsia. Akibatnya nama tok kura, malah nama raja rimba sudah tercalar teruk. Pasti nahas jika diketahui raja rimba.

.........................................................

Tiga hari berlalu. Si monyet masih belum pulang membawa kitab-kitab yang dibaca manusia. Dia telah keluar daripada hutan, pergi ke kediaman manusia. Si monyet mengikut petunjuk yang telah diberikan oleh burung hud-hud. Tugasan ‘mencuri’ memang kena dengan dirinya. Jika di Negara India, kaum kerabatnya menggunakan helah licik untuk bertarung dengan manusia bagi mendapatkan susu. Susu di tangan lagikan dicuri, apatah lagi kitab di atas almari.

Burung hud-hud dan beberapa ahli keluarganya yang boleh dipercayai sudah tiga hari menjadi pemerhati. Setiap gelagat manusia di rumah ibadat atau di mana-mana saja diperhati dengan teliti. Setiap gerak geri, tutur bibir dan perbuatan satu persatu dihalusi. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci dalam perbicangan nanti. Setelah berpuas hati, mereka bergegas pulang ke belantara.

Sang kancil menanti penuh sabar. Beberapa ekor kancil yang paling cerdas mindanya dikumpul bersama. Tok kura juga bersama mereka. Mereka menunggu kepulangan monyet dan burung hud-hud. Tidak terbayang apa yang akan mereka jumpa. Hanya cerita daripada tok kura dan burung hud-hud sahaja yang menjadi bekal buat akal berfikir.

Bagaimana rupa kitab manusia terus menjadi rahsia. Sang kancil pernah melihat lukisan pelik di dalam gua. Lukisan purba yang ditinggalkan oleh manusia. Entah apa maksudnya, dia sendiri kurang tahu. Tambah hairan, gambar kaumnya juga ada terpahat di dinding gua. Manusia memang kaum yang tidak dapat dijangka.

“Sabar….” hanya itu pesan tok kura.



akan bersambung.... Insyaallah

Wednesday, July 21, 2010

Alahai facebook...

“Kamu ni pelik lah.”

“Mengapa pulak?”

“Kenapa tutup akaun facebook time birthday? Kan orang lain boleh tahu tarikh birthday kamu, then make a wish to you?”

“Owh, pasal tu kah? Saja ja. Memang tak mahu orang wish dekat wall tu. Banyak lagi cara nak wish kan? SMS ka, Email ka… Apa-apa lah..”

“Tapi kan, dekat facebook ada reminder pasal birthday. Dah kamu tutup, orang tak tahu lah.”

“Tak tahu pun takpa. Bukannya wajib tahu dan wajib sambut pun birthday tu.”

“Loh. Tak salah kan sambut birthday?”

“Memang tak salah. Terpulang diri masing-masing lah. Aku bukan apa, taknak nanti penuh dekat wall tu wish birthday. Ntah sapa-sapa yang wish pun tak tahu. Kalau kawan-kawan lelaki dan family aku saja ok lah. Ni ntah perempuan mana ka, maklum la main add saja kenalan dalam facebook tu.”

“Biasa lah.”

“Biasa ka? Bagi aku, kurang biasa. Tapi terpulang lah. Dah aku yang tak nak, tak boleh paksa lah.”

“Hmmm, terpulang lah.”

“Aku ni konservatif sikit. Maklum lah, sekarang ni perhubungan semakin mudah. Waktu dulu-dulu, main surat saja. Lepas tu pondok telefon muncul. Advance sikit, ada telefon bimbit, boleh SMS. Sekarang ni masing-masing ada facebook. Perhubungan jadi sangat mudah.”

“Jadi?”

“Jadi, lagi mudah lah orang nak berhubung.”

“So?”

“Sama saja kan jadi dengan so? Hmmm, so lagi sukar untuk mengawal batasan sesama kita. Yang baik aku tak nafikan. Memang baiklah. Tak pulak aku kata facebook tu tak baik. Tapi maklum lah. Nothing perfect.”

“Apa masalah kamu sebenarnya ni?”

“Takdak masalah apa pun. Cuma kekadang kurang gemar sikit melihat trend ‘perhubungan’ di facebook tu.”

“Maksud kamu?”

“Perhubungan, batasan sesama lelaki dan perempuan. Kekadang ayat-ayat yang ditulis tu, melampau-lampau. Di situ lah nak bercinta, di situ lah nak bergurau senda, di situ lah nak usik anak dara. Kekadang, melampau-lampau pun ada.”

“Owh.”

“Ada orang pernah kata dekat aku, kalau tak tahan kena usik, tak payah berfacebook lah. Open lah sikit. Hmmm, suka-suka ja dia suruh aku open. Kalau aku open sungguh nanti baru dia tau.”

“Lelaki ka perempuan?”

“Perempuan lah. Sudah lah siapa pun aku tak kenal. Kalau setakat kawan-kawan lelaki yang usik, takdak masalah. Tapi tengok jugak lah usik macam mana kan? Kalau usik lebih-lebih atau tentang perkara-perkara yang sensitif, itu sudah lebih namanya. Mungkin orang ni tak sedar kot yang sapa-sapa saja boleh baca apa yang dia tulis dekat wall tu. Kalau perkara-perkara baik takpa.”

“Maksudnya?”

“Berapa kali mau tau maksud lah… Iya lah. Tengok-tengok lah sama siapa yang diusik, dengan siapa yang hendak bergurau.”

“Maksudnya?”

“Ishhh… kekadang tu yang paling rancak mengusik tu bini orang, suami orang, tunangan orang. Tak sedar diri kah atau macam mana? Si isteri atau suami tu, tak tahu kah perbuatan begitu boleh mengundang sesuatu yang kurang baik kepada pasangan dia? Cemburu, jealous, makan hati, patah hati. Macam mana pulak dengan orang-orang lain yang dia kenal. Kekadang boleh datangkan fitnah.”

“Fitnah macam mana tu?”

“Fitnah, kata-kata orang di belakang… macam-macam lagi. Contoh, tak padan dah ada suami/isteri, tapi buat-buat macam bujang. Kekadang mungkin orang tak kisah sangat. Entah-entah suami/isteri dia pun tak kisah sangat, aku saja yang kisah. Tapi kita kena ingat, kita ni orang islam. Ada batasnya.”

“Batas macam mana tu?”

“Sebab tu aku kata, nak bergurau, nak usik-usik kena tengok orang sama. Islam ni sifatnya mengelak fitnah, mengelak susah. Kalau si lelaki suka sangat mengusik si wanita. Kalau bujang, single and available malas lah aku nak komen. Kalau yang dah jadi isteri orang, tunangan orang, sedar-sedar lah sikit. Lebih-lebih lagi yang ada basic islam yang kukuh. Pasangan dia takkan takdak perasaan kot. Kalau pasangan jenis yang tak kisah atau kasar sikit ‘bacul’, tak kisah lah.”

“Dan…. Sendiri mau ingat lah. Kalau kita tak suka pasangan kita bergaul terlalu bebas walaupun dalam facebook dengan orang yang tak sama gender, tak suka pasangan kita mengusik-usik, bergurau senda dengan orang lain yang tak sama gender, kita pun pandai-pandai lah kawal. Lelaki ni, kalau tak dilayan, dia takkan nak kacau-kacau sangat (kecuali yang miang).”

“Alah kamu ni, kawan-kawan. Apa salahnya?”

“Iye lah. Tak salah. Kawan-kawan saja, malah dah lebih dari kawan-kawan… Sebab kita ni dah terlalu biasa dengan perkara-perkara macam ni. Sebab tu kita nampak semua ni tak salah. Aku pernah sound seorang perempuan ni. Tujuannya memang nak bergurau saja. Kamu tahu apa dia kata dekat wall facebook? ‘Jom kahwin’…”

“Hahahaha. Then apa kamu buat?”

“Aku suruh dia padam time tu jugak. Aku kata, awat tulis macam tu? Kalau orang lain baca macam mana? Aku tambah, kalau aku ni dah ada isteri, atau tunang, apa perasaan dia kalau terbaca statement macam tu? Sudah tu pulak, walaupun dah terpadam di wall, jangan lupa facebook ni pun hantar jugak dekat email.”

“Hohoho, sampai macam tu?”

“Hmmm, silap aku jugak. Dulu pun aku ni memang jenis layan jer. Tapi entah tiba-tiba macam ada tongkat dari langit yang mengetuk kepala otak aku. Lepas tu baru aku sedar, kekadang perkara yang orang lain nampak kecil tu yang jadi punca berbalah laki bini. Kekadang orang tak sedar, sebab apa? SERONOK…!!!”

“Macam-macam kan?”

“Memang macam-macam. Banyak lagi cerita facebook ni. Tapi malas nak sembang banyak-banyak. Takut-takut, aku sendiri pulak yang buat. Tak ke namanya dilaknat kalau begitu? Cuma satu lah kan, tolong tengok-tengok sama lah, dan tahu siapa diri kita.”

“Iye lah… kamu memang begitu.”

“Hahahaha, aku memang begini. Konservatif, ortodoks, berfikiran kuno, orang lama… semua itu aku lah. Tapi dah tau aku begini, pandai-pandai lah.”

“Hmmm, terasa jugak aku dibuatnya. Macam kena penampar. Hahahahaha.”

“Takdak niat pun nak bagi terasa, Cuma aku cakap apa yang aku rasa saja. Kalau orang lain nak rasa macam lain, diri masing-masing lah. Taknak terima apa yang aku cakap ni pun takpa. Aku bukan nak paksa orang ikut aku. Free country, hahahaha…”

“OK lah…”

“OK….”


***sekadar sembang-sembang kosong di alam maya yang tidak wujud lagi tidak bermaya.


Thursday, July 15, 2010

Kembara mencari Tuhan. (episod 1)

Bumi semakin menggila. Bergoncang, bergegar mengeluarkan isi segala. Pokok, balak, bukit habis runtuh semuanya.

“bencana apakah ini?” pekik si ibu kancil cuba menyelamatkan anak-anaknya.

“kiamat sudah berlaku…!!!” jerit si murai yang memang tidak pandai menjaga kata-kata.

“mungkin bumi sudah tidak rela dihinjak, dipijak.” Balas sang kera yang terjatuh dari pohon ara.

Keadaan hutan menjadi huru-hara. Gempa bumi menggegarkan hutan, tempat kediaman segala haiwan. Tidak pernah berlaku keadaan sedemikian sejak beberapa keturunan.


Setelah beberapa ketika, keadaan mula reda. Bumi yang bergegar kembali tenang. Sang helang terbang tinggi, melihat kemusnahan hutan yang telah terjadi. Setelah beberapa ketika di udara, sang helang mula terbang rendah, menuju ke satu arah.

“tuanku, hutan habis musnah. Mayat haiwan bergelimpangan di merata-rata tempat. Patik tidak pasti berapa ramai yang terselamat.” Helang memberi laporan kepada raja rimba, sang singa.

Raja rimba menggelengkan kepala. Fikirannya buntu memikirkan nasib yang menimpa rakyatnya. Kekandanya sendiri telah mati ditimba pohon balak ketika keluar berburu.

“Patik fikir, gempa akan kembali melanda tuanku. Patik hanya berfirasat, kerana patik melihat langit tidak seperti biasa. Ada tanda-tanda bumi bergegar kembali.”

“Hmmm…” Raja rimba mengeluh berat. Dia benar-benar mati akal. Sejak dia memerintah hutan ini, tidak pernah berlaku keadaan yang sebegini gawat. Masalah ini benar-benar berat.

“panggil si murai datang menghadap beta.” Raja rimba mengeluarkan titah.

“baik tuanku.” Patuh helang terhadap pemimpin kesayangan semua.

Si murai mendapat khabar dengan hati yang berat. Hatinya berdebar-debar. Jarang sekali dirinya dipanggil menghadap raja. Kali terakhir si murai berjumpa raja rimba kira-kira beberapa purnama yang lepas. Si murai dijatuhkan hukuman berat dek selalu membawa mulut ke seluruh pelusuk hutan belantara.

“Hamba datang tuanku.” Si murai tertunduk ke tanah. Tidak berani menatap wajah sang raja rimba.

“Beta ada tugasan untuk kamu, murai. Kerahkan seluruh kerabat kamu supaya khabarkan kepada seluruh warga rimba yang terselamat untuk berkumpul di dataran lapang besok petang. Dan, maklumkan kepada setiap ketua haiwan supaya datang ke istana beta. Ada perjumpaan tergempar yang harus dilaksana.” Sang singa tegas memberi arahan.

“Bbbb…baik tuanku.” Si murai segera beredar. Tidak sanggup lagi berada di situ menghadap raja.

Murai terbang ke seluruh pelusuk belantara, mengkhabarkan kepada seluruh warga rimba akan titah sang raja. Ketua-ketua haiwan yang mendapat berita tertanya-tanya. Tidak pernah tuanku kumpulkan seluruh haiwan pada satu-satu masa, kecuali jika berlaku kemangkatan mana-mana ahli keluarga raja.

Ketua gajah mula tidak tentu arah mendengar arahan sang pemerintah. Walaupun kaumnya paling gagah dalam hutan, tetapi soal pemerintahan tidak pernah dilibatkan. Tugas mereka selama ini hanyalah mengawal keselamatan seluruh hutan bersama-sama sang badak sumbu satu keturunan.

“hendak membuat polisi baru kah? Atau tuanku mahu arahkan kita semua berpindah?” ketua harimau menimbulkan persoalan.

“mungkin raja rimba mahu adakan gotong royong perdana, memandangkan hutan kita sudah huru hara.” Telah sang dubuk beramai-ramai. Kerja sukarelawan adalah kerja yang paling dibencinya, kerana selama ini pun, dubuk hanya pandai mencuri hasil buruan keluarga harimau dan singa. Inikan pula mahu disuruh menyumbang tenaga bersama-sama.

Tok kura mendapat berita si murai dengan tenang. Hidupnya yang sudah lama menjadikan ia berfikir panjang. Tok kura benar-benar mahu menghadiri perjumpaan khas tersebut. Pasti ada buah fikiran yang boleh disumbang. Beberapa lama dahulu, tok kura sering dipanggil memberi nasihat kepada raja rimba. Namun kerana faktor usia, tok ketua tidak lagi terdaya melaksanakannya. Tok kura mengarahkan kaum kerabatnya bergerak segera, kerana dia tahu pasti mereka yang terakhir akan tiba di sana.

Keesokan harinya, semua rakyat jelata berkumpul di tanah rata. Raja rimba tidak hadir bersama, tetapi hanya menghantar menterinya ke sana. Raja rimba menunggu di istana. Murai sejak awal telah berada di pintu istana. Risau ada haiwan yang tidak hadir bersama-sama. Pasti dirinya yang akan dipersalahkan, padahal seluruh warga rimba telah dikhabarkan.

Ketua sang kancil mengambil kehadiran. Semua jenis haiwan telah berada di istana kecuali tok kura. Sang kancil khabarkan kepada sang raja. Seperti di duga, sang murai dipanggil menghadap.

“cari tok kura sampai jumpa. Katakan kepadanya, datang ke istana dengan segera. Jika tidak, kamu akan beta hukum.” Si murai kecut perut mendengar. Di dalam hatinya, dia menyumpah-nyumpa si raja kerana sengaja mahu menderanya.

“bukannya dia tak tahu tok kura tu jalannya perlahan. Tahulah dia tu raja. Tapi, janganlah asyik nak mengarahkan orang lain saja.” Si murai mengomel sendirian.

Walaupun telah tahu keadaan tok kura, sang raja tetap bertegas. Baginda perlu mulakan mesyuarat dengan segera.

“hamba sampai tuanku.” Tiba-tiba tok kura muncul di depan pintu. Gembira sungguh hati murai kerana tidak perlu bersusah payah mencari tok kura. Dia tersenyum sendirian.

Semua ketua haiwan berkumpul menghadap raja yang beradu di atas singgahsana.

“ada apa tuanku panggil kami semua ke mari? Mahu menggubal undang-undang baru kah?” si murai bersuara. Semua ketua haiwan segera memandang ke arahnya. Si murai memang gila. Berani berkata-kata begitu di hadapan tuanku. Raja rimba merenung tajam ke arah si murai. Baru dia tahu bahawa dirinya tersilap. Memang sukar menutup mulut yang becok jika sudah biasa membukanya. Nasib baik raja rimba tidak murka.

“beta panggil kalian ke mari kerana beta mahu berbincang tentang masalah yang telah melanda hutan kita. Sang helang memberitahu bahawa bala bencana itu akan muncul lagi. Segala burung-burung telah terbang jauh meninggalkan tempat ini. Pasti ada firasat yang tidak enak yang mereka ketahui. Jadi, beta mahu kita semua memerah fikiran memikirkan jalan penyelesaian. Sila kemukakan cadangan kalian.” Raja rimba bertitah.

Sunyi sepi. Tiada siapa yang bersuara. Masing-masing juga buntu tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mahu bersuara, takut tersilap kata. Di hadapan mereka bukan kawan-kawan, tetapi raja rimba yang memerintah seluruh belantara.

“Patik cadangkan kita berpindah, tuanku.” Sang gajah memulakan kata-kata.

“Patik rasa tempat ini tidak selamat lagi untuk kita diami. Banyak tempat telah musnah. Carikan saja tempat baru yang lebih selamat.”

“Patik tak bersetuju!” sang monyet memintas.

“Banyak haiwan yang tercedera. Bagaimana mereka mahu bergerak. Tak mungkin kita tinggalkan mereka.”

Lagipun tempat ini telah lama kita duduki. Sejak kecil kita berada di sini. Patik tidak sanggup untuk meninggalkan tempat ini tuanku.” Monyet seakan-akan merayu.

“betul, kami juga tidak bersetuju untuk kita berpindah.” Sahut haiwan-haiwan yang lain.

“hmmm…” raja rimba tidak berkata-kata. Sekadar suara yang bermain-main di tekaknya saja.

“Mengapa menyepi? Berikan sebarang cadangan.” Raja rimba menegur ahli mesyuarat yang diam seribu bahasa.

“Patik ingatkan tuanku mahu adakan gotong-royong perdana, bersihkan kembali tempat-tempat yang telah musnah?” Si dubuk meluahkan rasa hatinya.

“Kita memang akan adakan gotong-royong, tetapi hanya setelah semuanya kembali kepada asal. Firasat para burung tidak boleh kita abaikan. Mereka mempunyai kelebihan tersebut.” Balas raja rimba.

“Beta berharap kalian memberi cadangan untuk kita menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Lebih baik lagi jika kita mampu atasi bencana yang mendatang ini.”

“Tok kura… Beta fikir pasti tok kura punya buah minda untuk dikongsi bersama-sama. Tok kura hidup paling lama dikalangan kita semua.”

“Ampun tuanku, patik sedang memikirkan sesuatu yang belum pernah terfikir dek warga haiwan semua tuanku. Tetapi patik khuatir buah fikir patik ini dilihat sebagai kurang waras atau gila.” Getus tok kura, berkira-kira untuk menyampaikan apa yang terpendam di hati.

“Teruskan tok kura. Kami semua mahu mendengarnya. Dalam perbincangan, semua buah fikiran harus dikeluarkan. Jangan disimpan-simpan.”

“Begini tuanku…”

“Ketika muda dahulu, patik pernah mengembara. Dari paya ke paya. Dari sungai ke muara. Banyak perkara patik temui. Suatu ketika, patik melalui satu daerah, kawasan kediaman manusia yang sangat panas. Sungai-sungainya hampir kering. Patik melihat suasana di sana sangat susah. Rakyatnya menderita kerana kekurangan air. Tanaman dan ternakan mati kekeringan. Patik juga sangat susah ketika itu.”

“suatu hari, patik melihat manusia-manusia itu berkumpul di padang. Mereka melakukan sesuatu yang belum pernah patik pandang. Mereka berdiri beramai-ramai, mereka tunduk beramai-ramai, mereka mencium tanah beramai-ramai. Kemudian, seseorang di hadapan mereka berkata-kata sesuatu. Yang lain menyahut dengan satu perkataan. Mereka meminta kepada sesuatu supaya musibah yang melanda diri mereka dihindari.”

“apa kena mengena dengan keadaan kita ni tok kura?” Murai menyampuk cerita tok kura.

“Murai! Sekali lagi kamu menyampuk, beta arahkan kamu keluar daripada istana beta. Faham!” bentak raja rimba. Murai tertunduk malu. Haiwan lain tersenyum sinis. Tok kura sekadar memerhati. Darah muda, memang selalu kurang kesabaran. Semuanya mahu cepat belaka.

“Baik, patik sambung tuanku.” Kata tok kura.

“Langit seperti biasa. Panas terik menikam kepala. Tetapi ajaib. Keesokan harinya hujan turun dengan lebat sekali. Sungai-sungai yang hampir kering penuh melimpah. Tanah-tanah yang gersang kembali subur. Para penduduk di situ begitu gembira dengan kehadiran hujan yang datang tanpa diduga.”

“firasat hamba, pasti ada kena mengena dengan perbuatan mereka sehari sebelum hujan tersebut.” Ujar tok kura.

“Jadi, apa maksud yang tok kura ingin sampaikan.” Sang gajah inginkan kepastian.

“Tuhan… minta daripada tuhan.” Ringkas tok kura membalas.

“Tuhan???” hampir serentak sidang mesyuarat bertanya. Kehairanan…

“Apa tu tok kura?” si murai bersuara. Serta merta, semua wajah memandang ke arahnya. Si murai serba salah. Dia segera memandang raja rimba.

“Ya, apa tu tok kura?” raja rimba mengulang soalan si murai. Si murai tersenyum, lega serta bangga kerana tidak dimarahi. Tambahan pula, soalannya diulang oleh raja.

“Menurut apa yang patik tahu, tuhan itu satu kuasa yang sangat kuat. Tuhan itu yang menjadikan kita, manusia serta seluruh alam ini. Patik yakin, para manusia itu meminta hujan supaya turun daripada tuhan ini.”

“Tuhan? Yang menciptakan alam? Bukankah alam ini terjadi dengan sendiri tok kura. Wujudkah apa yang dikatakan sebagai tuhan itu? Biar betul tok kura ni.” Si dubuk seolah-olah menyindir. Dia sebenarnya sudah bosan berada di dalam perhimpunan itu. Baginya semua ini hanyalah sia-sia.

“Pasti ada. Mana mungkin sesuatu perkara itu terjadi dengan sendiri. Cuba lihat istana ini. Adakah ia terjadi sendiri?” soal tok kura kepada dubuk, dan kepada semua.

“pastinya tidak. Semua tahu, istana ini sang gajah dan lain-lain haiwan yang bina.” Gajah terasa bangga namanya disebut.

“jika istana yang sebegini rupa pun ada yang membuatnya, pasti alam yang indah ini ada penciptanya. Mana mungkin terjadi sendiri. Tak begitu?” jawapan tok kura benar-benar mengetuk minda mereka yang terlena.

“Benar…” burung hud-hud mencelah.

“patik pernah mengembara hampir ke seluruh pelusuk dunia. Pelbagai ragam manusia telah patik lihat. Benar apa yang dikatakan oleh tok kura itu, tuanku. Para manusia ini ada menyembah sesuatu yang dinamakan tuhan. Apabila susah mereka mengadu kepada tuhan. Apabila sakit mereka meminta tuhan sembuhkan. Dan ada juga yang terlalu mengagung-agungkan tuhan itu.”

“Jadi, maksud tok kura….” Raja rimba tidak menghabiskan ayatnya.

“Ya, kita minta daripada tuhan supaya selamatkan kita daripada malapetaka ini.” Bersemangat tok kura menjelaskan.

“tapi………” burung hud-hud tak menghabiskan bicara.

“kenapa hud-hud?” raja rimba menyoalnya.


akan bersambung.... Insyaallah.

Tuesday, July 13, 2010

mari kira membawa bekal

Teringat zaman sekolah rendah dahulu. Setiap kali waktu rehat, murid-murid berpusu-pusu menuju ke kantin, berebut membeli makanan. Kekadang terasa cemburu melihat rakan-rakan membawa bekalan makanan ke sekolah. Sejak itu, diri mencuba-cuba untuk membawa bekal makanan ke sekolah..

Pertama, duit dapat dijimatkan. Sekurang-kurangnya RM1 dapat disimpan setiap hari (RM1 sangat besar nilainya ketika itu). Kedua, tak perlu bersusah payah untuk berebut makanan di kantin. Sesak dan padat. Kekadang sangat merimaskan. Ketika waktu rehat, bolehlah melepak sambil makan di dalam kelas. Ketiga, boleh berkongsi makanan bersama-sama rakan-rakan. Makanan percuma, kuranglah sikit rasa berkira untuk berkongsi. Pendek kata, jika ada bekalan pasti lebih baik.

Sekarang, diri sudah meningkat dewasa. Alam kampus semakin hari semakin menjauhi. Alam pekerjaan masih lagi mengintai-intai tidak menunjukkan diri. Dalam fikiran, asyik berfikir mahu mencari duit untuk bekalan masa depan. Membaiki taraf hidup yang sedia ada, mendirikan rumah tangga, membeli ‘gadget’ yang selama ini hanya mampu dimiliki dalam mimpi. Sekali lagi, perkataan ‘bekalan’ muncul dalam diari kehidupan.

Ramai manusia memikirkan soal yang sama. Bangsa cina lebih lagi menonjol dalam soal ini. Bekas bos ketika latihan industri selalu berpesan; “ketika muda perlu kerja kuat. Cari bekalan untuk hari tua. Nanti bila sudah kaya, barulah boleh berehat.”

Cuba klik di google, ‘bisnes online’. Bermacam-macam jenis perniagaan yang menjanjikan kekayaan. Ada yang hanya dengan ‘klik’, duit masuk ke dalam akaun. Ada yang kononnya menjual e-book dan menawarkan ‘kedai maya’, dengan tujuan mahu menaja orang baru. Semuanya menawarkan pendapatan bernilai ribuan ringgit. Maka ramailah manusia yang berpusu-pusu memasuki pelbagai program yang ditawarkan ini.

Belum lagi pergi ke mana-mana ‘preview’ network marketing. Berasap-asap para leader memberi penerangan, supaya semua ahli bangkit mengubah nasib diri, keluarga dan bangsa.

Sebaik-baik bekalan.

Semua manusia mahukan yang terbaik. Pekerjaan yang terbaik, kehidupan yang terbaik, perhubungan yang terbaik, dan bekalan juga yang terbaik. Tetapi apakah sebenarnya bekalan yang terbaik? Dan jika dikatakan yang terbaik, pada pandangan siapakah ia diambil kira?

Bekalan terbaik pastinya bekalan yang berkekalan. Terbaik di dunia, dan yang paling penting, juga terbaik di akhirat. Jadi, apakah bekalan terbaik itu?

“Dan berbekallah kamu sekalian, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah Taqwa…..” (Al-baqarah; 197)

Antara doa yang menjadi kemestian setiap muslim seusai solat ialah “Ya Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat. Dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”

Kita sering meminta diberikan kebaikan di dunia dan akhirat, tetapi kebanyakan kerja buat kita hanya tertumpu kepada kebaikan di dunia. Lebih malang lagi, kebaikan di dunia selalunya disandarkan kepada kekayaan harta benda. Maka, setiap hari manusia berlumba-lumba mengejar dunia dan harta. Dunia dijadikan matlamat, seolah-olah itulah akhirat.

Hari ini, kebanyakan orang tidak cukup sekadar bekerja makan gaji. Mereka mencari ‘side-income’ untuk mencari keselesaan hidup. Sekali lagi, faktor dunia diletakkan di hadapan. Bekerja tetap + membuat kerja sampingan. Masih ada lagikah masa untuk mencari sebaik-baik bekalan?

Kerja sampingan untuk menjana sebaik-baik bekalan.

Ada juga yang bekerja seperti orang lain, malah melakukan kerja sampingan lebih daripada orang biasa. Tetapi kerjanya itu menjana taqwa. Sebenarnya setiap pekerjaan yang kita lakukan boleh menghasilkan ‘sebaik-baik bekalan’. Tetapi tanpa ilmu dan iman, kebanyakan manusia hanya berhasil menjana harta tanpa taqwa.

Jika ditanya, mengapa manusia terlalu asyik mengejar harta kekayaan, jawabnya untuk mengecap kebahagiaan. Tetapi adakah harta punca kepada kebahagiaan? Jika begitu, mengapa ramai manusia kaya yang tidak bahagia. Malah ramai yang terlalu sibuk mengumpul harta sehingga tidak sempat untuk menikmatinya.

Namun, jika ditanya pula kepada manusia yang langsung tidak mahu berusaha memperoleh kekayaan, jawabnya harta bukan segala-galanya. Harta tidak boleh membeli bahagia. Tetapi adakah akan bahagia jika tidak berharta? Mengapa banyak rumah tangga yang porak peranda kerana tiada harta.

Jelas, kebahagiaan sebenar bukan berpunca daripada harta, tetapi bukanlah bermakna harta tidak diperlukan.

Jadi, mengapa habiskan terlalu banyak waktu untuk mengejarnya? Cukuplah sekadar yang diperlukan. Gunakanlah waktu melakukan ‘part-time’ itu untuk mengumpul ‘sebaik-baik bekalan’. Selalunya ‘sebaik-baik bekalan’ diperoleh dengan memberi. Harta, masa, tenaga, pemikiran atau apa-apa saja sumbangan semata-mata kerana Allah. Sedekah, pergi ke kuliah-kuliah ilmu, solat jamaah di masjid, jihad fi sabilillah, memikirkan tentang permasalahan umat, semua ini sumber-sumber untuk memperoleh ‘sebaik-baik bekalan’.

Jika benar kita beramal untuk mencari sebaik-baik bekal, mengapa tabung jihad masih kosong tak terisi, kuliah-kuliah agama lengang tiada orang, masjid hanya penuh ketika solat jumaat, tiada yang berminat untuk berjihad?

Jika masa dipenuhkan hanya dengan mencari dan bukannya memberi, dibimbangi bekalan yang sedia ada akan semakin berkurang dan bukannya bertambah.

“mengumpul tak bertambah, menyemai tak bercambah.”

Adakah kita mempunyai kerajaan yang menguasai manusia dan jin seperti nabi Sulaiman sehingga tidak sempat untuk mencari bekalan akhirat?

Tepuk dada, tanya iman. Jangan tanya selera, kerana selera hanya mencari kesedapan dunia. Mari kita mengumpul sebaik-baik bekal, tetapi jangan pula kita terlupa berbekal untuk dunia.

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi (Al-Qashash (28): 77)


Friday, July 9, 2010

Kerja tanpa gaji...

**baca sampai habis...

Apakah perasaan anda jika anda bekerja selama beberapa bulan di sebuah syarikat tanpa dibayar walau satu sen?


Pekerjaan yang sia-sia?

Hanya membuang masa?

Menyesal tak sudah?

Bagaimana pula jika anda telah rasakan bahawa di dunia ini anda telah ‘menutup aurat’, tetapi kelak di hari pembalasan, semuanya dikira sebagai dosa.

Panas, rimas, out-dated… semuanya anda tempuhi dengan bersusah payah, tetapi hakikatnya kesusahan itu tiada makna di sisi tuhan.
Mengapa?


"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim).

“tapi aku memakai tudung!”. Anda mula mempersoalkan. Cukupkah sekadar bertudung?

“aku juga ber T-shirt lengan panjang!”. Anda mula menambah alasan.

Lalu kamu fikirkanlah mengapa pakaianmu itu hanya menambah dosa…

“Bagaimana mahu tahu pakaian saya telah menutup aurat dengan sempurna?”

Bagaimana? Anda lihatlah kepada pakaian anda, lalu tanya pada diri sendiri;

Adakah pakaian ini boleh dipakai untuk melakukan solat? (tanpa memakai telekung atau kain pelikat.)

Jika hati kecil anda rasakan jawapannya ‘TIDAK’, nescaya itu salah satu ‘petunjuk’ bahawa anda tidak menutup aurat dengan sempurna.

Kita wajib menutup aurat ketika bersolat, BENAR???

Allah juga mewajibkan kita menutup aurat di luar solat, BENAR dan BENAR !!!

Jadi apa beza antara keduanya? Sama bukan?

Telekung dan kain pelikat itu bukanlah ‘pakaian rasmi’ ketika solat. Wanita boleh menunaikan solat tanpa telekung, asalkan telah menutup aurat. Syarat bersolat bukanlah bertelekung atau berkain pelikat, tetapi hanya menutup aurat…

Tidakkah anda wahai kaum wanita merasa sia-sia memakai pakaian yang ‘memanaskan’ seumur hidup anda, tetapi di sisi Allah, sebenarnya anda bertelanjang?

Anda bertudung, tetapi T-shirt yang dipakai berlengan pendek. Adakah tanganmu itu bukan aurat?

Anda bertudung, berT-shirt lengan panjang, tetapi pakaian anda terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Bukankah ‘perhiasan’mu itu harus diperlihara?

Bagaimana dengan seluar? Baik, anda telah berseluar panjang, tetapi terlalu sendat. Terlihat segala bentuk yang terpahat. Lebih malang lagi, seluar berkain nipis.
Ternampak di sana corak seluar yang di sebelah dalam itu.

T-shirtnya pula terlalu singkat. Setiap kali tunduk, nampaklah segala-gala yang tidak patut dilihat.

Adakah ini yang anda katakan sebagai ‘menutup aurat’?

Aurat dari sudut bahasa beerti perkara yang aib. Menutup aurat ialah menutup perkara-perkara yang aib. Kita malu jika dada dilihat orang, tetapi masih ‘cuba-cuba’ untuk mendedahkannya.

Maaf bertanya, jika saya (atau mana-mana lelaki) merenung tajam ke arah dada-dada wanita yang sengaja ‘ditayangkan’ dek berpakaian ketat ataupun yang memang sengaja dibuka, adakah anda wanita-wanita yang berpakaian sedemikian akan marah? (memandang itu memanglah satu dosa.)

Dan…pernahkah anda melihat seorang wanita yang memakai skirt yang singkat, ketika hendak duduk terpaksa bersusah payah menyilangkan kaki supaya tidak terlihat dek orang lain perkara yang sepatutnya tidak dilihat?

Kekadang diri sendiri terfkir, buat apa susah payah hendak melenguhkan kaki mengepit. Bukankah lebih baik bukakan saja supaya mana-mana orang yang berkeinginan untuk melihat dapat melihat dengan jelas.

“Eh, mana boleh. Malulah kalau orang lain nampak!”

Bukankah kamu berpakaian sedemikian dengan tujuan supaya orang ramai dapat melihat ‘perkara-perkara’ rahsia tersebut?

“Mana ada… saya pakai sekadar suka-suka. Inikan fesyen semasa.”

Setahu saya, jika barang-barang berharga di kedai ditayangkan untuk khalayak umum, biasanya adalah untuk dijual, atau setidak-tidaknya supaya orang ramai mencuci mana melihatnya. Tetapi ada juga manusia yang menayangkan sesuatu supaya orang ramai tidak melihatnya. Bukankah hal ini suatu yang ganjil?

“…eerrrr!!!...”

Jadi, bolehlah kami lelaki ini melihat?

“..tidak!....”

Kalau tak hendak, tolonglah tutup elok-elok. Jangan lupa, kami lelaki ini ada nafsu. Lebih malang lagi, ‘nafsu’ kami ini hanya satu. 100% nafsu tertumpu ke arah itu. Lainlah kamu wanita, ‘nafsu’nya ada sembilan. Setiap satu hanya 1/9 sahaja. Kalau kamu hendak tolong diri sendiri, maka kenalah tolong juga kami ini. Tolong ‘tutupkan’ mata-mata kami si lelaki. Anda dapat pahala, kami juga terhindar daripada dosa.

Jangan lakukan perkara yang sia-sia.

Berpakaian litup, tetapi telanjang….

Si lelaki pula, masih selesa dengan seluar pendek.

Bangga mendedahkan bulu kaki yang berbelit seperti berus besi…

Aurat lelaki sangat mudah, antara lutut dan pusat.

Tetapi mengapa yang mudah itupun masih dianggap payah…

Kekadang di dalam asrama, berasa bangga hanya dengan berseluar pendek keluar ke mana2. Hatta di dalam bilik sekalipun, rakan sebilikmu tetap haram memandang auratmu.
Susah sangat kah?

Panas? Mengapa orang arab di padang pasir tak pernah mengeluh panas walaupun berpakaian litup di tengah terik mentari.

Panas itu bukan kerana cuaca, tetapi kerana panasnya hatimu tidak mahu patuh kepada perintah agama. Semakin hari semakin panas terasa.

Kalau kamu mahu salahkan cuaca, orang lain juga merasai cuaca yang sama. Mengapa mereka boleh menutup aurat dengan sempurna?

Pernah diberitahu, seorang perempuan membawa sepucuk surat daripada doktor, ditunjukkan kepada si ustaz. “surat ini menyatakan bahawa saya tidak boleh memakai tudung. Jika saya pakai tudung, saya akan rasa seperti hendak pitam.”

Si ustaz selamba berkata, “mengapa tunjukkan kepada saya surat ini. Bukan saya yang mewajibkan menutup kepala. Bawalah surat ini nanti berjumpa dengan tuhan ketika di padang mahsyar nanti. Katakan kepada tuhan, doktor tak benarkan saya memakai tudung.”

Nah, jika kita rasa mampu menjawab sedemikian rupa, buka lah.!!!

Soalan-soalan kubur sudahpun bocor. Siap sedialah dengan jawapannya. Dan jangan lupa, sediakan juga skema jawapan untuk soalan ‘mengapa kamu tidak menutup aurat dengan sempurna…’

Itu saja mahu dileterkan kali ini… Banyak-banyak, takut diri sendiri tak terlaksana…

maaf jika ada yang terasa. kalau badan gatal-gatal, mesti garu sampai terasa, barulah lega. kalau setakat gosok perlahan-lahan, bukan saja gatal tak hilang, geli pula yang datang....

Thursday, July 1, 2010

proposal LOGO MASJID


Gambar di atas merupakan cadangan LOGO MASJID JAMEK TASEK GELUGOR yang akan diutarakan kepada Pengerusi Masjid Jamek.

Dalam perancangan mahu mencadangkan kepada AJK masjid supaya diterbitkan buletin mingguan / bulanan masjid untuk diedarkan kepada ahli qariah. Mahu menawarkan diri untuk menjalankan tugas tersebut. (belum ada apa2 perbincangan lagi setakat ini. Siapkan bahan dulu sebelum berjumpa)

Dah lama tak buat kerja2 sebegini. Kalau dulu jadi admin kepada blog PMIUSM dan terlibat serta memantau buletin PMIUSM (tinta raudah), maka pengalaman tersebut Insyaallah boleh disumbangkan di tempat sendiri. Nama laman blog sudah ada, tapi blognya masih belum wujud. (huh! bagaimana itu..???)

Harap2 cadangan ini diterima oleh pengerusi masjid...

Monday, May 3, 2010

Tuan aku dan tuan kamu

“Wah, sombongnya lelaki ini. Mengapa dia berkelakuan begitu?” getus hari seorang pemuda apabila melihat gelagat seorang pembesar istana.

“Wahai orang muda, mengapa engkau sombong begini?” Tanya si pemuda kepada pembesar istana.

Aku adalah pembesar istana. Aku orang yang paling penting di sisi raja.” Jawab pembesar istana dengan nada yang angkuh.

“Apa yang engkau telah lakukan di istana sehingga engkau menjadi sesombong ini?

“Tanpa aku, raja tidak boleh berbuat apa-apa. Setiap waktu baginda memerlukan khidmat aku.” Kata si pembesar istana bangga.


“Kalau dia sunyi, aku hiburkannya. Aku sentiasa berada di sampingnya. Kalau baginda lapar, aku sediakan makanan dan minuman untuknya. Kalau baginda sakit, akulah yang mencari ubat untuknya. Kalau baginda tidur, aku setia menjaganya sehingga baginda bangun dari tidur. Kalau baginda menemui rakyatnya, akulah yang akan menyediakan segala pakaian dan keperluannya. Kalau baginda ditimpa masalah, baginda akan mengadukan masalahnya kepadaku dan akulah yang akan menyelesaikan masalahnya itu.” Riak si pembesar istana menceritakan khidmatnya kepada raja.

“Hah! Lihat betapa pentingnya aku kepada raja. Layaklah sekiranya aku berlagak sombong.”

“Hmm, baiklah… aku ingin bertanya kepada engkau. Jika engkau melakukan kesilapan, apakah yang akan raja lakukan terhadapmu?” soal si pemuda.

“Pastinya baginda akan menghukum aku. Apa aku boleh buat.” Jawab si pembesar istana.

“Owh! Kalau begitu, akulah yang selayaknya berlaku sombong. Apa yang berlaku antara aku dan tuan aku jauh berbeza daripada apa yang berlaku antara engkau dengan tuan engkau.” Kata si pemuda menimbulkan tanda tanya kepada si pembesar istana.

“Begitukah? Apa yang berlaku antara engkau dan tuan engkau?” tanya si pembesar istana.

“Tuan aku amat baik skali. Ketika aku sunyi, tuan aku akan menghiburkan hatiku. Jika aku lapar dan dahaga, tuan aku yang memberi makanan dan minuman kepadaku. Kalau aku sakit, tuan akulah yang akan sembuhkan aku. Ketika aku tidur, tuan aku menjagaku dan tuan aku aku juga yang akan membangunkan aku semula.”

Sambung si pemuda itu lagi. “Ketika aku dalam kesusahan, tuan aku lah yang akan melindungi aku. Aku juga boleh mengadu selalu tentang kesedihan aku atau apa saja yang menimpa diriku, dan tuan aku akan memujukku. Bahkan kalau aku membuat kesalahan, tuan aku akan memaafkan aku. Aku amat bahagia bersama-sama tuan aku.”

“Bukankah jauh berbeza antara tuan aku dan tuan engkau?” si pemuda bertanya kepada pembesar istana.

“Ya, memang berbeza. Baiknya tuan engkau. beruntungnya engkau wahai pemuda. Boleh aku tahu siapakah tuan engkau yang hebat itu?” si pembesar bertanya dengan penuh minat.

“Dia sebenarnya ialah Tuhan yang menciptakan engkau dan aku. Tanpa dia, engkau dan aku tidak akan wujud di dunia ini. Dia adalah Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.” Jelas si pemuda dengan penuh rasa bangga terhadap ‘tuannya’ itu.

“Kalau begitu aku juga mahu bertuankan Tuhan engkau yang baik itu. Agung benar cintaNYA. Aku juga mahu merasa bahagia seperti engkau. Mulai saat ini, aku akan tinggalkan raja dan istana. Bawalah aku bersama engkau, aku mahu mengenali Tuhanmu yang baik dan panyayang itu.” Pinta si pembesar istana.

Hilanglah segala perasaan sombong dan bongkaknya apabila mengetahui bahawa terdapat tuan yang lebih agung dan mulia daripada tuannya. Andai dahulu, dia merasakan dirinya mulia kerana dapat berkhidmat sepenuh hati kepada rajanya, kini dia tahu bahawa ada insan yang lebih bahagia, memiliki tuan yang sentiasa kasih dan saying kepadanya.

DIA lah Allah, Tuhan yang memiliki segala-galanya di langit dan di bumi. SUBHANALLAH…!!!