Sunday, July 20, 2008

beriman dengan DEMOKRASI.. ???

Pada zaman cabaran yang menimpa umat islam semakin mendesak, maka para pendokong agama Allah ini juga perlu mempelbagaikan method serta cara mereka berdakwah menyampaikan islam kepada umat manusia. para mufti, teruskan menegur dan memberi pandangan kepada rakyat dan pemerintah. para cendikiawan islam, kajilah ilmu-ilmu Allah supaya dapat mengeluarkan hukum-hukum yang berguna. dan para pendokong islam yang lain, terokalah dan masuklah ke dalam ruang-ruang dan lubang-lubang yang wujud selagi ia dapat memberi manfaat kepada islam.

Tetapi apabila menyentuh soal demokrasi, ada pendokong islam yang mengambil keputusan untuk terlibat sama dan ada yang menolak sekeras-kerasnya..

Demokrasi sememangnya bukan berasal dari Islam. Ia adalah salah satu dari sistem jahiliyah moden. Kita umat islam tidak pernah menyatakan beriman dengan Demokrasi dan menganut fahaman demokrasi. Begitu juga, kita tidak memperjuangkan ideologi Demokrasi.


Apa yang perlu ialah umat islam memanfaat beberapa peraturan dan amalan yang ada dalam sistem demokrasi sebagai salah satu medan baginya untuk mencapai tujuannya iaitu dakwah. Amalan Demokrasi yang dimanfaatkan itu antaranya ialah amalan Pilihanraya dan kebebasan untuk menyatakan pandangan kepada rakyat.

Di dalam sistem jahiliyah dan undang-undang jahiliyah terdapat beberapa kesempatan dan peluang yang boleh diambil manfaat untuk menegakkan Islam dan mempertahankan Islam. Cara ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya iaitu
melalui peraturan al-himayah dan al-jiwar (memberi perlindungan kepada orang-orang yang lemah dan dizalimi).

Rasulullah s.a.w. sendiri memanfaat peraturan tersebut dengan mengambil al-Himayah dari bapa saudaranya (Abu Thalib). Saidina Abu Bakar juga pernah mengambil al-Himayah dari Ibnu Al-Daghnah. Terdapat beberapa sahabat lagi yang memanfaatkan perturan tersebut. Kedua perturan tersebut (yakni al-Himayah dan al-Jiwar) menjadi amalan kebanggaan di dalam masyarakat jahiliyah. Adalah menjadi suatu kemegahan kepada seseorang yang kuat kedudukannya dalam masyarakat jahiliyah kalau ia dapat membela atau memberi perlindungan di bawah pengaruhnya.

Dari apa yang berlaku dan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu, menunjukkan kepada kita bahawa dibenarkan kita mengambil kesempatan dari peraturan-peraturan atau amalan-amalan jahiliyah jika sekiranya ia tidak merugikan perjuangan dan tidak menjejaskan dasarnya. Dari sinilah maka gerakan Islam di zaman kini mengambil kesempatan dari sistem demokrasi dan menyertai pilihanraya. Bukan kerana mereka beriman dengan sistem itu tetapi mengambil kesempatan dari peluang yang diizinkan untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dan menyampaikan mesej Islam kepada manusia.

Memanfaatkan sesuatu dari seorang kafir tidak bermakna kita turut beriman dengan aqidahnya. Begitu juga, memanfaatkan sesuatu amalan atau peraturan dari sistem jahiliyah, tidak bermakna kita mengiktiraf sistem tersebut apatahlagi dalam keadaan kita terpaksa melakukannya. Apabila kita mengambil seorang pekerja kafir dan memanfaatkannya untuk urusan-urusan kita, tidak bermakna kita mengiktiraf/menyetujui agama atau aqidah anutannya.

Apabila Rasulullah s.a.w. memanfaatkan perlindungan dari bapa saudaranya (Abu Thalib) di Mekah, adakah bermakna baginda mengiktiraf kemusyrikan bapa saudaranya itu? Apabila Rasulullah s.a.w. mengizinkan para sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyah bernaung di bawah Raja Habsyah (An-Najasyi) kerana keadilannya, adakah bermakna baginda beriman dengan aqidah kristian Najasyi itu?

Apabila dalam peperangan-peperangan baginda, Rasulullah s.a.w. memakai sistem al-Khumus (iaitu sistem membahagikan angkatan tentera kepada lima battalion) yang asalnya merupakan corak peperangan dari Parsi, adakah bermakna baginda juga turut mengiktiraf Parsi dan agama Majusinya? Apabila Saidina Umar meniru sistem ad-Diwan yang diamalkan dalam kerajaan Parsi, adakah bermakna beliau mengiktiraf kerajaan Parsi dan agama Majusi yang dianuti Parsi?

Banyak perkara baru yang berlaku dalam dunia hari ini yang memerlukan para ulama’ ,pendokong islam dan pimpinan Islam menetapkan pendirian yang tepat dari sudut siayasah dengan mera’ikan pandangan Syara’.

Amalan pilihanraya adalah kaedah yang diterima-pakai oleh masyarakat dunia hari ini –termasuklah dalam negara-negara umat Islam- untuk menentukan siapakah pemimpin yang akan menerajui negara mereka untuk suatu tempoh tertentu?. Hari ini, sama ada umat Islam menerima atau tidak, pilihanraya apabila tiba masanya tetap akan dilaksanakan dalam negara mereka –oleh pemerintah yang sedia ada- dan wakil-wakil yang dipilih rakyat akan menerajui negara dan kerajaan.

Pilihanraya menjadi fenomena yang berlaku di hadapan mata umat Islam hari ini. Dalam hal ini umat Islam mesti menetapkan pendirian mereka sama ada akan turut terlibat atau memulau sahaja pilihan raya yang berlaku dan menerima siapa sahaja pemimpin yang bakal naik; apakah ia memanfaat Islam atau akan menjahanamkan Islam?

Menetapkan pendirian Syara’ dalam sesuatu urusan –apatahlagi yang berkait dengan hal-hal umat dan kemaslahatan mereka- bukan suatu yang mudah. Hanya orang-orang yang pendek aqal sahaja yang cepat/tergesa-gesa membuat keputusan dalam hal-hal yang rumit dan ternyata memerlukan pemerhatian teliti.

Pendirian Syara’ tidak boleh dibuat hanya melalui pemerhatian yang rambang dan dangkal terhadap sesuatu masalah. Ia hendaklah dibuat melalui pemerhatian yang teliti, dengan mera’ikan nas-nas Syara’, maqasid-maqasid Syari’ah, qaedah-qaedah Syara’ dan sebagainya yang menjadi bidang usul Fiqh. Penelitian juga bukan hanya melihat kepada teori-teori di atas kertas sahaja, tetapi juga dengan mengkaji implikasi-implikasi yang bakal diterima umat jika keputusan di ambil untuk menerima atau menolak sesuatu perkara baru itu.

Semenangnya mudah bagi para pendokong islam membuat keputusan tidak menyertai pilihanraya dengan alasan; pilihanraya adalah dari sistem Demokrasi dan sistem Demokrasi itu adalah sistem Kafir dan Jahiliyah. Tetapi pastikah kita bahawa memulau pilihanraya itu benar-benar suatu sikap yang akan menguntungkan Islam dan umat Islam pada masa ini dan akan datang?

Sebagaimana dinyatakan tadi bahawa, pilihanraya tetap akan berjalan dalam sebuah negara Demokrasi seperti Malaysia ini. Sama ada Jama’ah Islam melibatkan diri atau memulaukannya, pilihanraya tetap akan dijalankan. Wakil-wakil yang dilantik rakyat akan tetap menguasai negara sama ada kita umat Islam bersetuju atau tidak.
Memulau pilihanraya bermakna memberi kemenangan mudah kepada golongan secular untuk terus menguasai negara dalam keadaan kita mampu memberi saingan dan cabaran kepada mereka.

Apatahlagi dalam sebuah negara bermasyarakat majmu’ (yang terdiri dari orang Islam dan bukan Islam) seperti Malaysia, memulau pilihanraya memberi implikasi yang lebih buruk iaitu memberi peluang kepada kaum bukan Islam untuk menguasai politik negara dan menjadi pemimpin ke atas umat Islam sendiri.

Tidakkah akan memudaratkan masa depan Islam dan juga umat Islam jika golongan secular terus memerintah negara atau jika kuasa politik negara diambil alih oleh orang-orang bukan Islam kerana tindakan kita umat Islam memulau pilihanraya?

Mafsadah Demokrasi –sebagaimana yang diketahui umum- ialah ia memberi hak yang mutlak kepada pemimpin untuk menggubal undang-undang di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Wakil-wakil rakyat yang dilantik melalui proses pilihanraya diberi mandat oleh rakyat untuk meminda atau menggubal undang-undang melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tanpa tertakluk kepada ketetapan Syara’. Sama ada sesuatu undang-undang yang digubal itu bercanggah atau tidaknya dengan ketetapan Syara’, itu tidak menjadi persoalan asalkan wakil-wakil rakyat yang dipilih menyetujuinya.

Kefasadan tersebut sebenarnya dapat kita atasi jika sekiranya wakil-wakil rakyat yang dipilih adalah dari kalangan orang-orang memahami Islam dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin Islam. Jadi tugas dan peranan Jama’ah Islam ialah meletakkan seberapa ramai calon-calon yang mempunyai kelayakan mengikut Islam dan menanamkan kesedaran dalam hati rakyat sebagai pengundi supaya membuat pemilihan yang tepat iaitu dengan melihat kepada kepentingan agama dan umat.

Kita akui bahawa pilihanraya ala Demokrasi hari ini tidaklah bersih secara mutlaknya. Sebagai suatu amalan yang datang dari sistem jahiliyah, ia tentunya mempunyai sedikit-sebanyak mafsadah yang tidak dinafikan akan mengenai kita umat Islam apabila terlibat dengannya. Namun kita juga terpaksa menerima bahawa memulau pilihanraya dalam suasana hari ini akan mendatangkan mafsadah yang lebih buruk lagi kepada masa depan Islam dan nasib umat Islam itu sendiri.

Memulau pilihanraya akan membawa kepada semakin kukuhnya penguasaan golongan sekular, berterusannya kemaharajalelaan mereka dan mungkin membawa kepada penguasaan orang-orang bukan Islam ke atas umat Islam (khususnya bagi negara yang masyarakatnya terdiri dari orang-orang Islam dan bukan Islam.

Dalam hal ini Syara’ memutuskan bahawa apabila bertembung dua mafsadah di mana salah satu daripadanya terpaksa kita tunggangi, maka hendaklah kita tunggangi mafsadah yang paling ringan. Dalam hal pilihanraya ini, mafsadah yang paling ringan kita akan terima ialah dengan melibatkan diri dalam pilihanraya, kerana memulaukannya mendatangkan mafsadah yang lebih berat/besar. Kaedah Syara’ menyatakan;

الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف

“Harus untuk mengelak suatu kemudaratan yang lebih besar dengan mengambil kemudaratan yang lebih ringan”.

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمها ضررا بارتكاب أعظهما

“Apabila bertembung dua mafsadah (di mana salah satu darinya terpaksa dilakukan), maka hendaklah diberi perhatian kepada mafsadah yang lebih besar mudaratnya (untuk dielakkan), dengan dilakukan mafsadah yang lebih ringan”.
Islam bukanlah agama yang bersifat teorikal semata-mata tetapi juga praktikal. pendokong Islam yang memikul idealisme perjuangan Islam hendaklah menjadi alternative kepada masyarakat untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu yang berlaku di kalangan mereka.

Dengan cara ini salah satunya,kesyumulan dan keindahan Islam dapat dilihat oleh masyarakat. Adapun jika kita hanya melaung-laungkan kebaikan dan kesempurnaan Islam itu di dalam tulisan-tulisan atau majlis-majlis usrah sahaja, tanpa terjun ke tengah-tengah masyarakat untuk mengemukakan penyelesaian secara Islam terhadap masalah-masalah atau isu-isu yang timbul di kalangan mereka, maka sampai bila-bila pun masyarakat tidak akan dapat melihat keindahan dan kesempurnaan Islam.

- Adakah kita hanya melihat sahaja golongan sekular mendekati masyarakat dengan idea-idea sekular mereka untuk menyelesaikan masalah masyarakat, sedangkan kita umat islam yang faham Islam tidak ada kesedaran untuk mendekati mereka dengan membawa mesej penyelesaian secara Islam. ???


Allahua’lam...

No comments: