Sunday, January 31, 2010

Gula Putih VS Gula Merah


“kak, bagi air soya dua bungkus.”

”nak gula putih atau gula merah ?”

”gula merah.”


Apa bezanya antara gula putih dan gula merah?
Kedua-duanya memberi rasa manis......
Bagi sesetengah orang, tiada bezanya antara gula putih dan gula merah. Tetapi bagi yang mengetahui, pastinya dapat membezakan antara gula putih dan gula merah. Gula putih sebenarnya tidak mengandungi khasiat melainkan hanya menambah kalori dalam badan. Tetapi sebaliknya, gula merah mengandungi pelbagai khasiat berbanding gula putih.

Sebenarnya, dalam kehidupan kita, seringkali kita bertemu dengan situasi ‘gula putih dan gula merah.’ Zahirnya sesuatu itu dilihat serupa, tetapi hakikat disebaliknya amat berbeza……………


Sebagai contoh, dua individu memberi derma kepada anak yatim. Seorang meminta supaya tidak diberitahu sesiapa tentang derma yang disumbangnya. Ikhlas kerana Allah katanya. Seorang lagi pula mengenakan syarat untuk derma tersebut. Syaratnya, mestilah dihebahkan di akhbar tentang dermanya. Tujuannya supaya nama individu atau syarikat tersebut mendapat publisiti masyarakat.

Amal yang sama. Tetapi memberi kesan dan natijah yang berbeza.
Amal kebajikan sepatutnya dapat memberi ‘kemanisan’ serta ‘khasiat’ kepada pengamalnya. Malangnya, amalan yang diselitkan dengan tujuan tertentu selain kerana Allah, hanyalah menatijahkan ‘kemanisan’ kepada pengamalnya, tetapi tidak mendapat ‘khasiat’ atau ‘kebaikan’ daripada amal tersebut.

Kemanisan yang ditafsirkan sebagai kebaikan di dunia semata-mata, sebagaimana manisnya gula yang hanya dapat dinikmati pada lidah. Tetapi yang lebih penting dalam kehidupan seorang muslim ialah ‘khasiat’ atau kebaikan yang bakal diperoleh di akhirat.
Allah tidak melarang kita untuk merasai ‘kemanisan’ di dunia, tetapi yang lebih utama ialah ‘khasiat’ dan kebaikan di akhirat.

Dalam surah Al-Qasas ayat 77, Allah berfirman ;-

“dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia……….”

Tujuan manusia diciptakan oleh Allah ialah untuk beribadah kepadaNYA. Ibadah tidak hanya terhad kepada apa yang terkandung dalam rukun islam semata-mata, tetapi merangkumi seluruh amalan seharian kita. Syaratnya, NIAT semata-mata kerana Allah.
Hal inilah yang menentukan ‘kemanisan’ dan ‘khasiat’ yang akan dirasai serta dinikmati.

Ramai yang mengatakan bahawa mereka berjuang. Sanggup menghabiskan harta, tenaga dan masa semata-mata kerana perjuangan. Malah ada yang sanggup menggadaikan nyawa demi perjuangan yang dianggap suci, semata-mata untuk menegakkan apa yang diperjuangkannya tersebut. Seluruh hidupnya ditumpukan kepada perjuangan. Malah ada yang menjadikan perjuangan tersebut sebagai matlamat hidupnya. ‘Kemanisan’ hidupnya hanya dapat diperoleh dalam perjuangan tersebut.

Namun disebalik ‘kemanisan’ perjuangan yang dirasai, adakah di sana terdapat ‘khasiat’ yang bakal diperolehi?

"Sesungguhnya, Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Qur`an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan, dan itulah kemenangan yang besar." (at-Taubah: 111)

Syarat mendapat ‘khasiat’ iaitu ‘kemenangan yang besar’ dan syurga yang dijanjikan oleh Allah ialah berperang atau berjuang di jalan Allah. Berjuang tidak semestinya dengan senjata serta mengorbankan diri. Sebaliknya, seorang muslim dan mukmin juga menggunakan hartanya, masanya, tenaganya serta dirinya untuk kebaikan agamanya. Maka itulah yang dikatakan sebagai perjuangan yang menjanjikan kemanisan serta khasiat dan kebaikan.

Perjuangan yang meletakkan Allah di hadapan, yang menjadikan Al-quran dan As-sunnah sebagai pegangan, serta bercita-cita melihat tertegaknya kalimah Allah di muka bumi sebagai impian dan harapan.

Malanglah bagi mereka yang telah bersusah payah berjuang sepanjang hayatnya, tetapi silap dalam memilih perkara yang diperjuangkan.

"Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)


Allah telah menjelaskan setiap sesuatu kepada hamba-hambaNYA. Pilihan berada di tangan kita. Sama ada mahu memilih dunia atau syurga. Bahagia atau derita. Gula putih atau gula merah………


No comments: