Saturday, March 14, 2009

praktikal LANDAS (laporan)

Latihan Praktikal dakwah lapangan diteruskan pada sebelah malam, selepas sesi muhasabah dan penerangan daripada Ustaz Kamarudin. Dalam slot muhasabah, para peserta menceritakan pengalaman turun ke lapangan pada sebelah petang di Central Square, Sungai Petani.

Kawasan sekitar Lagenda Park, Sungai Petani menjadi medan kepada para peserta mempraktikkan segala teori pada sebelah malam. Aktiviti remaja pada sebelah malam tertumpu kepada penggunaan arak secara terbuka. Penulis sempat bertemu dengan sekumpulan remaja sedang melepak sambil meminum arak.


Setelah mendapati terdapat botol arak berhampiran dengan remaja terbabit, penulis mengambil botol arak tersebut. Satu botol yang masih penuh dan satu botol telah habis diminum. Pada mulanya, remaja terbabit tidak mengaku arak tersebut milik mereka, tetapi apabila penulis bercadang mengambil botol terbabit, seorang daripada remaja tersebut mengaku miliknya dan mengambilnya daripada tangan penulis.

Penulis mula bersembang dengan remaja-remaja terbabit. Penulis bertanya mengapa mereka minum arak sedangkan masing-masing mengetahui hukum meminum arak adalah haram. Malah, seorang daripada remaja terbabit memberitahu kepada semua bahawa ibadah tidak akan diterima selama 40 hari jika kita meminum walau setitik arak. Persoalan hukum, semua sudah jelas. Tetapi mengapa mereka masih meminum arak? Penulis terus bertanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut perihal mereka semua.

“Kami dan kawan-kawan yang lain, sebelum masuk ke dalam tentera, semuanya baik, tidak tinggal solat, tidak minum arak. Tetapi selepas masuk ke dalam tentera, mula kenal perempuan, kenal arak, tinggal solat dan lain-lain.” Seorang remaja yang merupakan anggota tentera di salah sebuah kem latihan tentera membeitahu.

Keempat-empat remaja yang berumur antara 20-23 tahun terbabit merupakan anggota tentera yang datang dari kem-kem latihan yang berbeza. Mereka berkumpul pada hujung minggu untuk melepak bersama-sama. Apabila ditanya, mengapa mereka meminum arak, penjelasan yang diberikan mudah.

“Kami terpaksa membuat latihan yang keras di dalam kem. Apabila kami minum arak, badan kami akan rasa segar setelah bangun daripada tidur keesokan harinya.”

”tak mabukkah minum arak?” penulis bertanya apabila melihat label 35% alcohol tertera pada botol arak tersebut.

”kami tak minum sampai mabuk. Kalau mabuk, kami tak duduk sini lah. Dah lama kami ambil motor, pergi berlumba.” seorang remaja menjawab.

Penulis terus bertanya untuk mengetahui tentang masalah yang berlaku dalam kem tentera.

”ragging (buli) di dalam tentera merupakan perkara biasa. Kepala saya pernah dihantuk ke lantai, kemudian dipijak sehingga bengkak oleh senior. Kemudian, apabila ada junior yang masuk, kami pula akan melakukan perkara yang sama. Perkara ini akan berterusan.”

”tak boleh ubah kah cara dan pendekatan tu. Buat usrah ka, perbincangan agama sesama senior dan junior. Kita boleh buat kalau kita nak berubah kan?” penulis sengaja menduga remaja terbabit.

“ini tradisi. Memang tak ubah. Apa yang kami terima, kami buat pula dekat orang bawah.” seorang tentera memberi penjelasan.

”bagaimana pula dengan orang atasan. Mereka tidak peduli kah dengan kes-kes seperti ini? Takkan langsung tak peduli dengan semua ni.”

“pihak atasan? Kalau kami teruk, diorang lagi teruk. Arak ni, orang atasan siap ada pub sendiri. Bila kami minum, depa marah. Tapi depa sendiri buat, tak apa.” Agak keras remaja terbabit memberitahu penulis.

“orang atasan pun teruk, macam mana nak bagi elok orang bawah?” seorang lagi menambah.

“rasanya tak semua orang atas macam tu kan?” penulis mahu meredakan ‘kemarahan’ tentera tersebut. “masih ada yang baik. Kenapa tak ikut yang tu.”

“susah nak cakap.”

Penulis berhenti menyoal tentang perkara tersebut. Penulis mula mempersoalkan tindakan mereka meminum arak. Penulis memberitahu kepada mereka tentang keburukan meminum arak, lebih-lebih lagi arak yang diminum mengandungi peratus alkohol yang tinggi. Penulis juga mengingatkan mereka tentang tujuan manusia diciptakan oleh Allah.

”kita semua nanti akan mati. Takkan nak mati dengan cara ni?

Mereka tidak menjawab, sebaliknya seorang daripada mereka memberi satu soalan yang pelik.

”jika semua air di dunia ni tak ada, kecuali arak ni, hang akan minum tak?”

Penulis tidak menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya penulis mengatakan kembali kepada tentera yang bertanya tadi bahawa soalan tersebut hanya sebagai alasan untuk ’menghalalkan’ perbuatan mereka.

”anda merupakan baris hadapan negara sekiranya ada perkara yang tak diingini berlaku kepada negara. Tapi kalau barisan hadapan pun dah macam ni, bagaimana nak mempertahankan negara.”

Penulis sedikit kesal dengan keadaan tentera harapan dan kebanggaan negara terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral, lebih-lebih lagi mereka merupakan seorang muslim. Dan, apa yang mereka ceritakan kepada penulis tentang keadaan di dalam kem tentera menyebabkan penulis tertanya-tanya tentang kredibiliti tentera. Mungkin ini hanya sebahagian kecil sahaja. Penulis berharap begitulah keadaannya. Hanya sebahagian kecil...

Penulis tidak pernah memandang serong terhadap tentera, malah penulis begitu berbangga dengan tentera. Keluarga penulis sendiri ada yang pernah menjadi pegawai di dalam tentera. Namun, penulis masih beranggapan bahawa tidak sepatutnya perkara sebegini berlaku di dalam tentera.

Ramai yang maklum bahawa kebanyakan anggota tentera terdiri daripada orang melayu islam. Hal ini merupakan satu peluang kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membentuk mereka menjadi seorang muslim yang berkualiti.

Perkara yang dimaklumkan kepada penulis oleh anggota tentera yang penulis jumpa tentang perubahan sikap anggota tentera yang baru menyertai kem tentera bermula dari ’rumah bujang’ tentera. Di dalam rumah tersebut, para tentera bersama-sama dengan rakan-rakan mereka menerima ’tarbiyyah’ sebagai seorang tentera. Di sana, mereka mengenal dunia tentera, istilah ragging, mengenal arak, mengenal perempuan, dan mengenal segala-gala yang dikaitkan dengan tentera.

Perlu ada perubahan yang harus dilakukan kepada ’rumah bujang’ tersebut. Adakah sanggup kerajan melihat tentera-tentera yang ’dilahirkan daripada kem-kem tentera di seluruh negara menjadi tentera yang hanya kuat dan sihat dari segi fizikal, tetapi lemah, dan rosak dari segi rohani.

Sirah membuktikan bahawa kekuatan dalaman, keimanan dan keyakinan kepada Allah yang melahirkan dan menghasilkan kekuatan fizikal.

Tentera Badar yang serba kekurangan dari sudut kuantiti dan juga kelengkapan mampu mengalahkan tentera musyrik yang berjumlah seribu orang. Tentera Talut yang terlalu sedikit bilangannya berbanding tentera si kafir Jalut mampu mengalahkan lawannya. Semua ini berpunca daripada kekuatan ’dalaman’. Malah kekuatan dalaman ini juga mampu mengundang pertolongan daripada Allah sebagaimana yang berlaku kepada para pejuang di Palestin.

PIHAK BERKUASA

Amat memalukan sekiranya ayat ini keluar dari mulut orang bawahan:

”Orang atas pun teruk, macam mana nak jadikan orang bawah baik?”

Tidakkah pihak yang bertanggungjawab merasa ’terpukul’ dengan kata-kata tersebut.

Suka penulis ingatkan bahawa para tentera merupakan ’benteng hadapan’ negara. Jika benteng hadapan sudah ’rapuh’, bagaimana pula mahu menjaga segala isi negara? Amanah yang diberikan oleh Allah untuk menjadi pemimpin, memimpin sebuah organisasi, persatuan mahupun kerajaan bukanlah untuk menjaga kepentingan diri. Malah pemimpin perlu menggunakan ’kuasa’ yang diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan bumi Allah dengan syariatNYA. Nilai-nilai islam perlu diterapkan dalam segenap lapisan masyarakat. Pemimpin, golongan atasan, golongan pertengahan, mahupun golongan bawahan perlu dididik dengan nilai-nilai islam. Sudah jelas masalah yang berlaku di depan mata, namun pemimpin masih lagi mampu membutakan mata, membiarkan kemaksiatan berlaku.

Penulis tidak mengatakan bahawa pemimpin atau pihak atasan perlu sama untuk turun ke lapangan berjumpa dengan golongan-golongan bermasalah. Penulis yakin, para pemimpin mempunyai bebanan dan tanggungjawab tersendiri untuk membolehkan mereka dapat bersama-sama turun dan bergelumang dengan golongan bawahan, walaupun yang demikian merupakan perkara terbaik sekiranya dapat dilakukan. Namun, penulis sangat berharap agar pemimpin, dengan kuasa yang diberikan mampu untuk menyumbang dari sudut bantuan dan sokongan, kewangan dan peruntukan, serta menggerakkan badan-badan dan organisasi yang berkaitan untuk sama-sama ’menziarahi’ golongan bermasalah dalam masyarakat. Penulis sebagai seorang remaja merasa sangat sedih dan terkilan melihat golongan yang memenuhkan pusat-pusat hiburan serta yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral adalah di kalangan remaja MELAYU-ISLAM.

Tidak ramai orang yang mahu melakukan aktiviti seperti ini. Berjumpa dengan golongan bermasalah, mengambil tahu tentang masalah dan latar belakang mereka, lalu cuba memberi nasihat dan membantu menyelesaikan masalah tersebut. Sudahlah kuantitinya sedikit, tidak pula diberi sokongan dari sudut bantuan kewangan dan kemudahan.

Bukanlah niat penulis hendak ’merayu’ memohon bantuan daripada pihak berkuasa dan pemimpin. Namun, ketiadaan bantuan sedikit sebanyak membantutkan usaha yang murni ini. Perkara sebegini berpotensi untuk lebih dikembangkan lagi dengan adanya sumbangan dan sokongan daripada pihak berkuasa.

MASYARAKAT

Sejauh mana masyarakat pada hari ini cakna dan mengambil peduli terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Penulis tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Malah penulis juga, hanya mampu untuk mengambil inisiatif berjumpa dengan saudara-saudara seagama yang bermasalah apabila berada dalam program. Jika pada hari-hari yang biasa, mungkin penulis juga termasuk dalam golongan kelompok masyarakat yang tidak peduli tentang masalah di sekeliling mereka.

Alasannya, dia bukan anak aku. Dia bukan saudara aku. Aku tak kenal pun dengan orang itu, mengapa harus aku peduli apa yang dia hendak buat? Jangan suka menjaga tepi kain orang.

Dalam masalah ini, bukan soal menjaga tepi kain orang, tetapi menjaga kain di badan sendiri, kerana Rasulullah pernah bersabda, yang membawa maksud:

"Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidah (lisan dan penulisan), jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati (membenci perbuatan tersebut). Yang demikian itu merupakan selemah-lemah iman."

Jelas, mengambil peduli masalah orang lain bukannya menjaga tepi kain orang, tetapi menjaga diri sendiri daripada termasuk dalam golongan orang yang tidak beriman. Mati tanpa iman, tempatnya di dalam neraka. Jadi, soal siapa kalau bukan soal diri sendiri?

Aku tiada ilmu. Aku bukan ustaz dan ustazah. Aku pun masih belum sempurna. Adakah ini akan dijadikan alasan di hadapan Allah untuk tidak bersama-sama mengambil tahu keadaan masyarakat dan kemudian berusaha untuk sama-sama membanterasnya?

Rata-rata peserta yang terlibat dalam program latihan dakwah dalam masyarakat ini bukanlah mempunyai latar belakang pendidikan agama, malah ada yang masih baru hendak ‘berjinak-jinak’ dengan agama. Kemahuan itu yang penting. Kemahiran dan ilmu boleh diasah dan dipertingkatkan. Jika hendak menunggu diri menjadi sempurna, penulislah orang yang paling tidak layak untuk berada bersama-sama mereka.

PARA GURU / ORANG AGAMA / PENDAKWAH

Golongan pendidik, para guru dan ustaz/ustazah merupakan golongan yang paling hampir dengan remaja, selepas ibu bapa mereka. Mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan para remaja yang menjadi anak didik mereka.

Seorang guru juga perlu bertindak sebagai pendidik atau murabbi. Seorang pendidik bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga cuba menjadikan ilmu yang disampaikan itu berguna. Seorang guru juga merupakan seorang kaunselor. Seorang guru juga merupakan ibu dan bapa. Rasulullah merupakan contoh seorang guru. Baginda tidak hanya menyampaikan ajaran, tetapi mendidik masyarakat serta umatnya mengikut segala isi kandungan ajarannya.

Tetapi, apa akan terjadi kepada anak murid sekiranya seorang guru itu hanya melihat kerjanya meyampaikan ilmu yang berada di dalam buku? Samalah seperti pelajar bukan islam yang belajar subjek agama islam dan mampu mendapat skor A di dalam subjek pendidikan islam, tetapi langsung tidak dapat menghayati isi kandungan islam tersebut.

Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ‘kuliah ilmu’, tetapi juga membimbing anak bangsa mengenal makna serta hakikat diri mereka diciptakan oleh Allah.

Tetapi, para guru terlebih dahulu harus mampu menjadi contoh teladan dan role model kepada anak-anak muridnya. Jangan pula guru menjadi lebih teruk daripada anak murid. Guru bukanlah satu ‘kerjaya’ tetapi merupakan satu ‘tanggungjawab dan amanah’.

Begitu juga dengan para ustaz/ustazah. Andalah sumber ilmu agama kepada anak-anak bangsa. Apa salahnya keluar sedikit daripada silibus agama yang hanya mampu melahirkan seorang muslim yang TAHU tentang islam, tetapi tidak MAHU kepada islam.

Penulis berasa berat hati sebenarnya untuk menulis sesuatu yang seolah-olah mahu ‘menegur’ para guru dan ustaz/ustazah. Bukanlah niat penulis mahu mengajar golongan yang paling penulis hormati dan sanjungi selepas ibu bapa, tetapi sekadar mahu menyampaikan hasrat di dalam hati penulis, kerana antara kelompok yang ditemui semasa latihan diadakan merupakan bakal pendidik anak bangsa. Malah, realiti di Universiti, bakal-bakal pendidik anak bangsa inilah yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang kurang bermoral, tidak mahu bersama-sama dengan kelompok yang mahu melihat islam dimartabatkan, malah menjadi golongan yang cuba menentang. Allahu’lam, jika penulis tersilap. Namun itulah hakikat dan realitinya bakal-bakal pendidik anak bangsa. Maaf sekiranya ada di kalangan para guru dan bakal guru yang terasa hati dengan apa yang penulis cuba sampaikan.

IBU BAPA / KELUARGA

Tiada guru yang lebih baik daripada ibu bapa.

Semasa menjalankan gerak kerja di lapangan, kumpulan kami berjumpa dengan seorang bapa yang mendapat tahu anaknya datang ke Central Square, lalu bergegas ke sana untuk mencari anak gadisnya itu. Anak gadis itu akhirnya pulang ke rumah setelah tidak henti-henti dihubungi oleh bapanya. Hasil tindakan segera dan ambil peduli bapa itu menyebabkan anak itu merasakan dirinya sentiasa dikawal, lalu gerak gerinya juga akan terkawal. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak peduli ke mana dan dengan siapa anak mereka keluar. Buktinya, seorang sahabat memberitahu bahawa ada seorang anak muda lelaki yang keluar bersama-sama dengan kawannya, seorang perempuan. Apabila ditanya, adakah ibu bapanya maklum tentang kedatangannya ke pasaraya tersebut, dia menjawab ibu bapanya tahu. Malah tahu dia keluar dengan perempuan. Namun, apa tindakan ibu bapa anak muda tersebut?

Apabila tertanam dalam benak pemikiran ibu bapa bahawa perkara-perkara tersebut bersifat “tidak apa”, maka anak-anak juga merasakan “tidak apa” untuk melakukan apa-apa sahaja, dengan alasan ibu bapanya tidak kisah.

Penulis bukan seorang bapa untuk memberi komen tentang tanggungjawab ibu bapa. Masa depan yang lebih mencabar pastinya akan penulis hadapi pada masa akan datang. Cuma, penulis risau dengan sikap segelintir ibu bapa yang langsung tidak mengambil peduli perbuatan dan tindakan anak-anaknya. Perkara sebegini akan melahirkan generasi yang terus menerus tidak peduli tentang apa yag bakal berlaku kepada sesiapa pun.

INDIVIDU.

Penulis berada di dalam kelompok ini. Dan setiap daripada kita juga berada di dalam kelompok yang sama.

Apabila ada istilah ‘dakwah’, pastinya di sana terdapat juga istilah mad’u (sasaran dakwah) dan juga dai’e (pendakwah). Penulis cuba fokuskan tentang DAI’E. Hakikatnya, kita semua merupakan dai’e kerana kita merupakan ummat Nabi Muhammad dan bukannya ummat Nabi Musa. Amanah dakwah telah terpikul di bahu masing-masing. Cuma sama ada kita sedar atau tidak, itulah yang menjadi persoalan.

Dakwah dapat dijalankan dengan pelbagai pendekatan. Turun berjumpa masyarakat di lapangan merupakan salah satu kaedah daripada berbagai-bagai kaedah. Menyedari hal tersebut, hampir tiada alasan untuk setiap daripada kita mengelak daripada menjalankan amanah dakwah tersebut. Penulis juga sebagai ‘pendakwah’, tidak pernah memikirkan bahawa penulis mahu ‘mengajar’ orang semasa melakukan gerak kerja. Tetapi, lebih kepada saling ingat mengingati. Penulis sering memberitahu orang yang penulis temui, bahawa tujuan penulis bukan untuk mengajarnya, tetapi untuk mengingati diri penulis sendiri, sambil mengingatkan orang lain. Dan penulis juga memberitahu bahawa adalah menjadi tugas mereka untuk mengingatkan kembali diri penulis sekiranya mereka melihat penulis melakukan sesuatu yang dimurkai Allah. Itulah konsep “fazakkir” yang diajar dalam islam.

Apabila kita pergi dengan membawa pemikiran ‘mahu mengajar’ orang lain, hal itu yang menyebabkan kita melihat tugas kita itu terlalu besar sehingga kekadang membantutkan niat dan tujuan asal, kerana tidak mampu melakukan perkara yang ‘besar’ tersebut. Tegurlah dengan niat menegur diri sendiri. Betulkan orang lain, dengan hasrat mahu membetulkan diri sendiri. Ingatkan masyarakat dengan harapan dapat mengingatkan diri sendiri. Insyaallah, itulah yang akan mendorong kita untuk terus berada pada jalan ini.

PENUTUP

Segala catatan di atas merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis memohon maaf sekiranya tulisan yang mewakili kata-kata penulis di atas kurang disenangi oleh mana-mana pihak. Penulis tidak bercadang untuk menyakitkan hati dan perasaan sesiapa. Sekadar mahu betulkan diri jua.

Allahu’alam..

-HISYAMUDDIN BIN KAMARUDIN-
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM),
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)
a.k.a
Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM)


No comments: