Saturday, June 13, 2009

nasihat ustaz...


Selesai solat jumaat, aku terus bergegas berjumpa dengan Ustaz yang menjadi khatib dan imam sebentar tadi.

“assalamualaikum ustaz.” Kami bersalam dan kemudian aku terdiam. Mencari-cari kata untuk bermula.

“Ustaz, macam mana untuk konsisten dalam ibadah? Ana ni ustaz, kekadang alhamdulillah, tapi kekadang tu, bila ‘down’, ana rasa teruk sangat.”

“Sepatutnya solat tu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar kan? Kalau tidak, maksudnya solat kita belum sempurna.” Ustaz sekadar mengangguk, mengiyakan apa yang aku katakan.


“Macam mana ya Ustaz. Ana ni tak boleh nak konsisten, lebih-lebih lagi kalau balik ke rumah. Nak datang solat ke masjid pun kekadang berat. Kalau dekat kampus, insyaallah OK.” Hampir sebak aku menceritakan keadaan kepada ustaz.

Terdiam… ustaz tidak berkata apa-apa.

“sahabat nabi” ustaz memulakan bicara.

“mereka juga pernah mengadu kepada nabi. Mereka kata, apabila bersama-sama dengan nabi, mereka benar-benar beribadah dan ingat kepada Allah. Tetapi, apabila mereka pulang ke rumah bersama-sama keluarga, mereka tidak seperti ketika bersama-sama dengan nabi.”

“kemudian nabi menjawab bahawa itulah hakikat insan. Kekadang imannya meningkat, dan kekadang menurun. Tambah nabi, sekiranya manusia dapat kekal dalam keadaan terbaik, malah semakin baik, nescaya malaikat akan datang bersalaman dengan manusia itu.” aku mendengar, tetapi mahu sahaja aku beritahu ustaz bahawa keadaan aku berbeza dengan keadaan para sahabat.

”apa ana boleh buat, ustaz?”

”Setiap hari, kamu beristighfar seratus kali. Jangan kurang daripada seratus kali. Amalkan secara berterusan. Buat selepas setiap kali solat. Selepas subuh dua puluh kali, selepas zohor, asar, maghrib dan isya’. Istighfar dua puluh kali.”

”istighfar penting untuk mencuci hati. Seperti baju kita, setiap kali kotor kita kena cuci. Begitu juga dengan hati. Sangat penting istighfar ni. Kekadang dosa-dosa kecil menyebabkan kita susah untuk buat ibadah. Tiap-tiap hari, jangan tinggal. Kalau dosa dah menebal dalam hati, susah untuk dicuci lagi. Seperti baju, kalau dah terlalu kotor, tak boleh hilang. Akhirnya baju tu kita buang.”

Aku hanya menggangguk mendengar.

”kemudian, apa lagi yang boleh kita buat ialah ingatkan mati. Bila kita ingat kepada mati, kita akan mudah beribadah dan tinggalkan dosa.

”kekadang hati kita jadi keras. Untuk lembutkan hati, selalulah mendampingi ulama’. Datang ke majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh ulama’.” aku benar-benar terasa. Rasanya, sudah agak lama aku tidak pergi ke kuliah-kuliah di masjid.

”satu lagi, bacalah fadhail ’amal. Kitab yang orang tabligh baca tu, kamu kena ada satu. Mesti ada. Baca fadhail amal untuk bantu meningkatkan ibadah. Kalau tak ada, pergi cari di masjid-masjid.” aku sekadar mengangguk.

Ustaz bangun perlahan-lahan. Kami bersalaman dan berpisah.

Sebenarnya, semua perkara-perkara yang ustaz sebutkan di atas sudah terlalu maklum kepada kita. Istighfar, ingatkan mati, hadiri majlis ilmu dan lain-lain. Tetapi, manusia sifatnya memang pelupa.

Mintalah pendapat daripada orang lain yang lebih berilmu. Sebelum aku berjumpa dengan ustaz, aku berkira-kira adakah perlu berjumpa atau tidak. Akhirnya aku memutuskan untuk berjumpa kerana aku merasakan bahawa masalah yang aku hadapi, perlu aku luahkan. Tiada apa yang perlu dimalukan untuk meluahkan masalah kepada orang yang sepatutnya. Malah, dengan meluahkan masalah yang terpendam itu, sedikit sebanyak dapat merungkai masalah yang kita hadapi.

Jangan dipendam masalah yang terbuku. Takut-takut akan membusuk menjadi penyakit. Usah malu untuk bertanya, kerana bertanya bukan beerti bodoh, tetapi untuk mncari kebenaran.....

Allahu’alam....



No comments: