Friday, October 16, 2009

Assignment HALAL- status kehalalan ikan yang diberi makanan yang haram.

***berikut merupakan sebahagian daripada assignment yang dibuat untuk subjek 'pengurusan halal'. Artikel ini ditulis berdasarkan kajian dan pembacaan yang amat terhad. jika ada apa-apa kekurangan atau komen, sila berikan..TQ.

KAJIAN KES : STATUS KEHALALAN HAIWAN TERNAKAN YANG DIBERI MAKANAN DARIPADA SUMBER YANG TIDAK HALAL

SUBJEK KAJIAN: IKAN PATIN DIBERI MAKANAN DARIPADA BABI.

Pengenalan
Ikan Patin ini atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi merupakan spesis ikan air tawar jenis meserba yang mendiami kawasan-kawasan sungai besar, muara dan lombong ini gemar bermigrasi dari satu tempat ke tempat yang lain. Terdapat beberapa jenis ikan patin yang biasa dikenali antaranya ialah patin kolam, patin sungai, patin buah, patin muncung, dan patin juara. Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan, tidak bersisik dan lembut. Ia mempunyai identiti yang tersendiri iaitu mempunyai bahagian belakang yang berwarna gelap dan perut yang berwarna putih. Sementara saiznya pula boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20kg. Diet utama spesis ini adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai, udang dan bangkai binatang.Oleh yang demikian ia dikenali sebagai ikan vegetarian dan omnivor di kalangan haiwan akuatik. Lebih 90% dietnya terdiri daripada kacang soya dan dedak beras

Isu
“BATU GAJAH, 17 Jan (Bernama) -- Orang ramai khususnya umat Islam hari ini dinasihati berwaspada apabila membeli ikan air tawar jenis patin, tilapia dan keli Afrika ternakan kolam kerana ada pengusaha di sini yang didapati menggunakan daging babi dan isi perut ayam sebagai bahan makanan.”

Berikut merupakan petikan yang diambil daripada berita yang dikeluarkan oleh BERNAMA. Terdapat ikan yang diternak di dalam Negara ini yang diberi makanan bersumberkan yang haram.

Dalam menentukan hukum kepada masalah di atas, kita perlu melihat kepada beberapa pandangan yang dikeluarkan oleh para ulama dunia berkaitan hal tersebut.

Pandangan pertama mengatakan bahawa hukum memakan haiwan (dalam kes ini ialah ikan) yang diberi makanan bersumberkan yang haram ialah halal dan harus berdasarkan proses istihalah atau transformasi yang telah berlaku.

Istihalah adalah proses berubahnya sesuatu 'ain kepada 'ain yang lain dimana berlaku perubahan dalam sifatnya sehingga menjadikan sesuatu yang najis berubah kepada bahan baru yang suci dan sebaliknya.

Ulama kumpulan ini berpegang kepada fatwa berkenaan proses ‘istihalah' atau 'transformasi' bahan dari babi kepada menjadi bahan lain yang bukan lagi babi disebabkan molekul dan susunan zarah babinya sudah bercampur aduk dengan zarah-zarah bahan lain. Hasilnya, ia bertukar sifat kepada bahan lain dan menghilangkan sifat ‘babi' nya itu.

Dalam keputusan persidangan ulama Islam bagi isu-isu perubatan di Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Mereka ada membincangkan tajuk "Bahan-bahan Haram dan Najis di dalam makanan dan ubat" yang mana keputusannya menyebut :-

a) Gelatin yang terbentuk dari proses 'istihalah' tulang, daging dan kulit haiwan najis adalah dikira suci dan halal dimakan.
b) Sabun yang dibuat hasil proses 'istihalah' lemak babi atau bangkai telah menjadi suci melalui proses istihalah dan halal digunakan.
c) Krim, gel, minyak dan bahan kecantikan yang mengandungi bahan dari lemak babi adalah tidak harus digunakan kecuali apabila dapat dipastikan proses istihalah lemak babi tadi telah berlaku sehingga 'ainnya ( atau molekul ain) telah berubah ke satu sifat baru. Selagi tidak dapat dibuktikan, ia adalah najis.

Bagaimanapun, sebahagian ulama lain seperti Dr Md al-Hawari (Mesir), Dr Abd Naseer Abul Basal (Jordan) dan lain-lain menganggap juzuk, zarah atau molekul dari seekor babi mengikut kajian mereka yang bertawliah, tidak boleh berubah walaupun melalui proses 'istihalah' atau 'transformasi' berbeza dengan molekul dari haiwan-haiwan lain.

Ujian DNA yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Malaysia ke atas ikan yang diberi makan babi mendapati masih terdapat DNA babi pada ikan tersebut.

Jika hukum istihalah hanya dikira berdasarkan perubahan yang dapat dilihat dengan mata, maka ikan tersebut dibolehkan untuk dimakan berdasarkan hujah istihalah dan transformasi zat tersebut. tetapi jika perubahan tersebut diambil kira sehingga ke peringkat DNA dan molekul haiwan tersebut, maka hukumnya telah berbeza.

Contoh yang boleh dikaitkan dengan hal ini ialah makanan dan minuman yang mengandungi makanan yang diubahsuai secara genetik atau Genetically Modified Organisms(GMOs). Dalam kes GMO, makanan atau bahan yang dibuat daripada genetik haiwan yang haram adalah haram digunakan.

Jadi, jika dalam kes GMO, pengharaman berlaku disebabkan oleh kehadiran sumber yang haram sehingga ke peringkat genetik, maka seharusnya istihalah bagi kes ikan ternakan ini juga seharusnya dirujuk sehingga peringkat genetik dan DNA.

Pendapat yang mengatakan HARAM memakan haiwan yang diberi makan makanan yang haram pula berdasarkan beberapa faktor.

Firman Allah dalam surah al-mukminun ayat ke 51 yang bermaksud:

“Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Dalam ayat Al-Quran, Allah memerintahkan para rasulNYA, termasuk umat kepada rasul tersebut untuk memakan makanan daripada sumber yang halal lagi baik.

Dalam kajian kes di atas, ikan patin yang pada asalnya halal dan baik untuk dimakan telah diberi makanan daripada sumber yang haram iaitu babi. Hal ini boleh dikaitkan dengan hadis nabi:

Diriwayatkan daripada Amr bin Syuaib daripada ayahandanya, datuknya bahawa Nabi SAW melarang memakan daging keldai belaan, menunggangi haiwan jalaalah dan memakan dagingnya. (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari).

Kalangan ulama hadis menjelaskan jalaalah bermakna haiwan yang memakan daripada sumber yang kotor ataupun najis. Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah Nabi melarang memakan haiwan jalaalah daripada disembelih untuk dimakan dagingnya dan daripada meminum susunya.

Berpandukan kepada mafhum dua hadis di atas, Muslim dilarang memanfaatkan binatang yang memakan kekotoran (jalaalah) ini untuk kegunaan berikut :

1.Menunggangnya
2.Meminum susunya
3. Memakan dagingnya

Juga hujah yang telah diterangkan di atas berkaitan dengan makanan berasaskan GMO menjadikan ikan tersebut haram dimakan.

Tetapi berdasarkan amalan Abdullah bin Umar, beliau pernah mengurung ayam jalaalah (pemakan kekotoran) selama tiga hari sebelum menyembelihnya. Maka, sebelum haiwan itu dimakan, hendaklah dipastikan bahawa kekotoran dalam badannya itu telah tiada.

Di Malaysia, beberapa pihak telah mengeluarkan fatwa mengharamkan haiwan yang diberi makan makanan yang haram. Antaranya ialah Sahibus Samahah Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria yang membuat ulasan berhubung isu di atas. Beliau menyatakan bahawa ikan atau haiwan air terbabit adalah haram dimakan oleh umat Islam sekiranya bahan yang kotor itu (usus babi) menjadi makanan utama berbanding makanan lain.

Malah, Jabatan Mufti Negeri Kelantan juga mengeluarkan kenyataan berikut:

“Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju menfatwakan bahawa ikan yang dipelihara di dalam kolam, tasik, lombong dan seumpamanya serta diberi makanan yang berasal daripada daging babi dan anggota-anggotanya yang lain adalah haram dimakan dan para penternak ikan dilarang memberi ikan ternakan dengan makanan yang berasal daripada daging babi dan anggota-anggotanya sebagai langkah sadduz zarai'. (berjaga-jaga)”

Kita telah melihat pendapat kedua-dua pihak yang mengharuskan dan mengharamkan memakan haiwan yang diberi makan makanan yang haram.

Islam amat menitikberatkan soal pemakanan kerana ianya berkaitan dengan ketaqwaan kita kepada Allah.

Dari Abu ‘Abdullah Al-Nu’man bin Basyir radiyallahu anhuma katanya: Aku dengar Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara ( dirinya dari ) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekelilingnya. Ketahuilah ! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangannya. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

Perkara yang menimbulkan syubhah seharusnya dielak oleh umat islam, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan soal pemakanan.

Imam al-Ghazali telah menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan timbulnya perkara-perkara syubhah. Faktor-faktor tersebut ialah:

1) Syubhah kerana timbul keraguan disebabkan terdapat perbezaan sebab-sebab penghalalan dan pengharaman sesuatu perkara umpamanya sesuatu yang telah diketahui halalnya, tetapi kemudiannya terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kepad pengharaman atau sebaliknya.

2) Syubhah kerana keraguan yang timbul disebabkan berlaku percampuran antara barangan yang halal dengan yang haram seperti percampuran benda cair yang tidak dapat dibezakan.

3) Syubhah yang disebabkan oleh perkara halal yang berdosa seperti menyembelih binatang halal dengan menggunakan pisau yang dicuri. Perbuatan mencuri pisau adalah haram, manakala menyembelih binatang sembelihan pula adalah halal. Oleh itu percampuran di antara kedua-dua perkara haram dan halal ini dikategorikan sebagai syubhah secara umum kerana pengertian syubhah juga ialah sesuatu yang meragukan disebabkan percampuran antara halal dengan haram.

4) Syubhah yang terjadi akibat pertentangan antara dalil-dalil halal dan haram atau terdapat pertentangan tanda-tanda yang menunjukkan tentang halal dan haram sesuatu perkara.

Jadi, adalah lebih baik bagi kita umat islam terutamanya di Malaysia supaya mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang diragui status kehalalannya supaya tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram.

***sesetengah pendapat yang diutarakan sukar untuk diterima oleh kebanyakan masyarakat islam di Malaysia.(sama seperti yang berlaku kepada para mahasiswa yang mengambil subjek ini). Jika kita melihat kepada pendapat dan hujah-hujah ulama'2 mazhab yang berbeza dan juga pengamalan di negara-negara islam yang lain, bahan-bahan bersumberkan babi seperti kulit dan tulang ada digunakan. Malah, gelatin daripada sumber babi juga ada digunakan. Jadi, berlapang dada dengan pendapat yang berbeza. Tidak perlu menghukum mana-mana pihak silap atau benar, melainkan jika terang-terangan ianya bertentangan dengan ajaran islam tanpa ada hujah yang disandarkan. Tidak semestinya sesuatu yang berat pengamalannya itu merupakan yang terbaik dalam islam, lebih-lebih lagi yang melibatkan masyarakat umum/awam.

Artikel ini juga sekadar perkongsian bersama. mungkin suatu ilmu yang baru untuk kita semua....

"Apa yang penting...KERJASAMA..!!!!"

ALLAHU 'ALAM...


No comments: