Monday, March 31, 2008

SIAPA IMAM KAMU ???


Alhamdulillah…………..
Allah telah memberi kepada aku kekuatan untuk pergi ke masjid semalam. Dan Alhamdulillah, di masjid tadi ada ceramah sebagai pengisian untuk hati yang sudah agak lama tak terisi ni walaupun terlambat hampir sejam. Terdetik di hati bila pulang dari masjid untuk menggerakkan jari jemari, menulis sedikit sebanyak isi kandungan ceramah yang aku dengar tadi yang diadakan sempena sambutan maulid-al-rasul. Moga-moga dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Ustaz menceritakan tentang persoalan2 yang akan disoal kepada seluruh umat manusia di dalam kubur apabila telah dijemput oleh Allah, Tuhan Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Salah satu soalan yang dikupas ialah, siapa imam (ikutan / panduan) kamu ???.. Maka hati2 yang dahulunya di dunia mengikut dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan serta ikutan dalam hidupnya akan menjawab, “ Al-Quran ikutan aku.”

Tetapi, bagaimanakah bisa seseorang itu menjawab soalan itu jika di dunia dia meninggalkan suruhan dan panduan yang telah diturunkan oleh Allah kepada manusia di dalam Al-Quran. Bahkan bagaimana seorang manusia itu mampu menjawab soalan itu jika dia tidak pernah mengambil tahu isi kandungan Al-Quran sedangkan dia seorang yang selalu membaca Al-Quran….??

Satu perumpamaan dibuat, jika di dalam solat berjamaah kita perlu mengetahui pergerakan imam samada melihat ataupun dengan mendengar. Jika kita tidak tahu perbuatan imam, bagaimana kita hendak mengikut imam itu. Dan jika tidak dituruti segala perbuatan imam, maka solat itu tidak diterima oleh Allah..

Begitulah, jika kita tidak mengikut panduan atau ikutan yang telah diturunkan oleh Allah iaitu Al-Quran, maka amalan kita di dunia ini tidak akan diterima oleh Allah.
Al-Quran diturunkan kepada manusia bukan semata-mata untuk menjadi bahan bacaan dan dilagukan. Benar bahawa dengan membaca Al-Quran akan memperoleh pahala yang banyak. 1 huruf dibaca diberikan ganjaran sebanyak 10 pahala. Benar bahawa Al-Quran itu mampu menjadi asbab untuk mendapat berkat dalam hidup. Dan benar dengan membaca al-quran itu, mampu menenangkan hati2 orang yang membacanya.
Tetapi, bukanlah itu tujuan utama Allah menurunkan Al-Quran kepada manusia melainkan untuk menjadi petunjuk kepada sekalian manusia.

Kita sering berdoa di dalam solat kita ”kepada Engkau sahaja kami sembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan..Tunjukkanlah kami jalan yang lurus..
Maka di dalam surah Al-Baqarah :2, Allah menjawab “Kitab (Al-Quran) itu, tidak ada keraguan padanya, petunjuk kepada orang2 yang bertaqwa.” Itulah tujuan utama Allah menurunkan Al-Quran kepada kita melalui lidah kekasihNYA, rasulullah SAW.
Tidak salah jika kita membaca Al-Quran untuk mendapatkan pahala yang telah dijanjikan oleh Allah. Tetapi jika itu merupakan tujuan utama kita membaca Al-Quran, maka kita berada dalam bahaya. Bahaya kerana, segala pahala yang dikumpulkan itu bisa terhapus andai kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Al-Quran disebabkan kita tidak mahu mengambil tahu isi2 yang terkandung di dalam Al-Quran.

Petunjuk atau hidayah ini, Allah berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan mengambilnya daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Maka kita perlulah sentiasa berdoa kepada Allah dan mengambil tahu segala isi kandungan Al-Quran serta mengamalkannya supaya diberikan hidayah untuk sentiasa berada pada jalanNYA..

Ada segolongan manusia sengaja tidak mahu mengikut ajaran dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah samada kepada individu, keluarga, masyarakat malah pemerintahan negara. Golongan ini mengetahui bahawa sesuatu perkara itu ditetapkan oleh Allah dengan hukum-hukum tertentu, tetapi kerana kepentingan-kepentingan tertentu, mereka tidak mahu mengikuti panduan-panduan ini. Maka, bagaimana Allah akan memberikan hidayah kepada mereka. Mereka menutup hati-hati mereka untuk hidayah Allah dengan perbuatan mereka.

Satu botol air umpamanya, jika ditutup penutup botolnya, tidak akan dapat diisi dengan air walaupun dicurah dengan selautan air. Juga tidak dapat terisi dengan air jika dicampakkan ke dalam laut. Tetapi jika dibuka penutup botolnya, maka air akan dapat masuk ke dalam botol. Botol air ini juga, jika diisi dengan air zam-zam yang baik, maka ia dapat memberi manfaat. Tetapi jika diisi dengan arak, maka ia akan memudaratkan..

Kesimpulannya yang dapat dibuat ialah peri pentingnya kita sebagai hamba Allah, untuk mengambil tahu tentang isi kandungan Al-Quran yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kita. Perlu ada usaha ke arah itu. Sekurang-kurangnya kita mengetahui maksud ayat-ayat Al-Quran dengan merujuk kepada terjemahan serta tafsir. Jika kita sanggup membeli rumah bernilai ratusan ribu untuk melindungi diri dan keluarga daripada panas dan hujan, adakah kita tidak sanggup membelanjakan ratusan ringgit membeli tafsir yang insyaallah dapat melindungi kita di dalam kubur serta hari akhirat. Dan jika kita sanggup membeli kereta bernilai puluhan ribu untuk membawa kita ke destinasi2 di dunia, takkan tidak sanggup untuk menghabiskan puluhan ringgit yang insyaallah dengannya, mampu memandu dan membawa kita menuju ke syurga Allah..sama-sama kita fikirkan..

Moga Allah memberi kekuatan kepada diri ini untuk mengamalkan apa yang telah ditulis dan juga kekuatan kepada sahabat2 sekalian…AMIIIINN..

-hisyam-

No comments: