Monday, January 5, 2009

perjalananku...

Aku meredah hujan pulang ke rumah menaiki motorsikal untuk mengambil kereta. Singgah sebentar di sebuah pasaraya berjumpa dengan mak dan bapak.

”abang kata kereta tu kena servis. Suhu dia naik tinggi sangat. Abang suruh repair tapi tak repair lagi” bapak memberitahu tentang keadaan kereta yang kurang baik.

”tak pa la. Nak buat macam mana. Nak kena guna jugak kereta tu.” Aku bertegas untuk membawa pulang kereta tersebut ke kampus.

“Hmm, nanti balik periksa air kereta tu.”

“Hmm..” lalu aku pulang ke rumah untuk mengambil kereta.

Selesai mengisi penuh air dalam kereta, aku bertolak dari rumah untuk ke kampus. Sampai di Sungai Dua, baru aku perasan suhu kereta sudah terlalu tinggi. Hampir saja mencecah huruf ’H’ yang menandakan suhu terlalu tinggi. Mahu tak mahu, terpaksa aku berhenti di tepi jalan. Enjin dimatikan. Jarum suhu jatuh mendadak.

Aku membuka bonet hadapan kereta. Asap keluar meluru seakan-akan mahu lari melepaskan diri.

”penuh lagi air dalam tangki nie.” Hendak memeriksa air dalam radiator, suhunya masih tinggi.

”Ish. Teruk jugak.” aku berbisik.

Terpaksalah aku melepak sebentar, membiarkan enjin sejuk kembali. Beberapa minit kemudian, aku hidupkan kembali enjin dan meneruskan perjalanan.

Baru 5 minit, suhu kembali naik ke paras kritikal.

Ya rabbi. Sabar saja la. Aku melencong keluar dari lebuh raya Seberang Jaya. Sekali lagi, aku memberhentikan kereta di tepi jalan. Susah juga kalau jahil tentang kenderaan ni. Aku terpaksa berhenti lebih lama daripada tadi dengan harapan dapat bertahan lebih lama jika kereta kembali bergerak.

Selang beberapa minit, aku meneruskan perjalanan.

”kali ni, kalau suhu naik jugak, aku akan berhenti dekat tol saja.”

Tak seperti yang dirancang, aku sekali lagi terpaksa memberhentikan kereta. Kali ini di atas lebuh raya yang mengarah ke Ipoh dan Georgetown. Bahaya sebenarnya memberhentikan kereta di situ. Bahaya kepada penunggang motorsikal. Namun aku benar-benar terpaksa kerana sudah terdapat tanda-tanda asap yang keluar.

Aku mula menjadi ’panas’, sepanas enjin kereta aku. Panggilan telefon daripada bapak pun dijawab dengan acuh tak acuh. Malah ayat-ayat di dalam mesej kepada seorang sahabat juga berbaur sedikit ‘kepanasan’.

Allah menguji hambaNYA dengan pelbagai ujian. Kekadang ada ujian yang ‘besar’ sanggup kita hadapi. Namun ada masa, kita tertewas dengan ujian yang sangat kecil.

“tak boleh jadi ni. Aku mesti bergerak jugak. Bahaya berhenti dekat sini. Tak kisah, kali ni aku mesti berhenti dekat tol.” aku terpaksa meneruskan perjalanan kerana keadaan tak mengizinkan untuk berhenti lama di situ.

Tak berhenti-henti bertawakal, memohon pertolongan daripada Allah. Hanya itu sahaja yang mampu aku lakukan.

Sampai di tol, hendak membayar duit, aku terdengar bunyi yang sangat pelik pada enjin.

”ahh !! tak kisah. Sikit saja lagi hendak sampai ke tempat perhentian tu.”

Satu lorong sudah ditutup untuk kerja-kerja pembinaan jambatan. Terpaksa aku mengalihkan kon di tengah jalan untuk berhenti di tepi. Beberapa pekerja melihat perbuatan aku.

”hmm, tak kisah lah. Yang aku tau, aku ada masalah.”

Kali ni, aku mesti berhenti lebih lama. Bonet hadapan di buka. Lalu aku masuk ke dalam kereta. Bapak telefon sekali lagi. ’kepanasan’ yang dirasa tadi sudah kembali sejuk.

”tak apalah. Aku rehat dulu kat sini. Pukul 12 lebih sikit aku bertolak balik.” bisikku di dalam hati. Aku bertolak keluar rumah tadi pada pukul 10.40. sekarang sudah hampir pukul 12. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa selama 40 minit, menjadi lebih 1 jam.

Sebenarnya aku takut untuk melintasi jambatan yang panjang tersebut. Tambahan pula, hanya satu lorong dibuka menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan.

Aku mencapai novel bertajuk ’Cogito Allah Sum’ dan mula membaca. Sesekali aku memandang ke arah bonet yang terbuka.

SMS singgah ke telefon bimbit.

”hah! Terkandas kat tol?.....nak mintak tolong sape p amik?”

”tak apa. Boleh di ’settle’kan. Tolong jangan bagitau sesapa pun.” aku membalas. Padahal aku dah kering idea apa yang harus dibuat. Cuma aku tak mahu susahkan sesiapa.

Baru tiba di muka surat 8, aku melepaskan novel lalu keluar daripada kereta.

”tak boleh jadi macam nie. Kalau duduk saja sampai bila pun tak jadi apa.”

Aku kembali ke bonet hadapan dan memeriksa minyak hitam.

”Hmm, kalau tak pandai tanyalah orang.” aku membisik hatiku yang semakin buntu.

Lalu aku gagahkan diri berjalan menuju ke arah beberapa orang lelaki di hadapan.

”bang, mintak tolong jap. Suhu dia naik tinggi sangat la. Ada problem apa ya?”

Serentak, keempat-empat orang lelaki tersebut menuju kereta aku.

”dah check air?” kalau suhu naik, dua saja kena check. Sama ada air ataupun minyak hitam.” Seorang abang memberitahu aku.

“air dah check tadi. Penuh lagi. Tapi dalam radiator tu belum la. Panas lagi tu. Saya ni tak pandai sangat bab-bab macam ni bang.” Aku mengaku kelemahan diri.

“Hmm, minyak hitam? Tengok la aras dia. Tak pa lah. Mai sini nak buat.” minyak hitam masih di paras yang selamat.

Lalu, abang tersebut membuka penutup radiator.

”Huh!! Dah kering. Isi tak air dalam ni tadi.?”

”Tadi kat rumah saya dah isi, sampai melimpah-limpah. Lagipun kalau isi dekat tangki tu, dia masuk ke dalam ni jugak.”

”Ada bawak air tak?”

”ada.ada..” lalu aku mengambil 3 botol air yang memang disediakan untuk situasi sebegini.

Tiga botol air tak mencukupi. Terpaksa ditambah lagi dua botol.

“hmm, air tak dak. Patut suhu naik.”

“dah isi tadi bang. Bocor kot.?”

Abang tersebut tunduk ke bawah.

”Hmm, memang bocor pun. Dah melimpah keluar. Macam ni satu baldi pun tak cukup.”

Perkara tersebut memang dah dijangka. Cuma tadi di rumah, tidak diperiksa di bawah kereta.

”aduss!! Macam mana nie.” aku mula rasa tak selesa.

“Hmm, hang nak balik ke mana?” seorang pakcik bertanya.

”nak balik USM.”

”Hmm, hang tinggal saja kereta dekat sini. Panggil kawan hang mai ambil. Besok mai la repair.” pakcik tersebut memberi cadangan.

”besok kerja pakcik. Jenuh la nak mai repair.” aku membalas.

“tak pun, panggil trak mai tarik.” seorang lagi pemuda memberi cadangan.

”paling kurang RM300.” dia menambah. ”lebih baik RM300 daripada hang teruskan jugak, rosak semua nanti kena bayar lebih seribu ringgit.”

”Ishh.. tak pa lah. Saya ingat nak teruskan jugak. Tadi dari Tasek Gelugor boleh sampai ke sini. Sikit saja lagi nak sampai USM. Cuma saya risau tak boleh berhenti atas jambatan nanti.”

”nak teruskan jugak?” abang tadi bertanya.

”kena teruskan jugak la. Nak buat macam mana. Terpaksalah.”

”OK, kalau nak terus jugak, baik bertolak sekarang. Lagi lewat, lagi jam.”

”macam nie, satgi kami tutup jalan, hang pecut terus balik ke USM. Ni special kami bagi dekat hang. Orang lain tak dapat macam ni.”

Aku mulanya tak faham. Tutup jalan untuk apa? Rupa-rupanya ada satu lori membawa muatan konkrit yang sangat besar sedang menunggu giliran untuk masuk ke jambatan. Hanya menunggu arahan daripada abang-abang tersebut.

”air tu isi penuh-penuh dulu. Lagi dua botol buat spare.”

”Cepat. Cepat!! Dah nak tutup jalan nie. Ingat, lepas kami tutup saja jalan nie, terus pecut.”

“OK. Terima kasih bang!!”

Jalan utama masuk ke jambatan ditutup. Kereta-kereta lain terpaksa berhenti. Hanya kereta aku sahaja yang dibenarkan memasuki jambatan.

“bismillahi tawakaltu ‘ala Allah…..”

Seperti yang diminta, aku terus meluru. Harapnya dapat sampai terus ke kampus. Suhu masih lagi di tahap yang selamat. Hampir di pertengahan jambatan, aku bertemu dengan kenderaan-kenderaan lain.

”perlahan la pulak kereta dekat depan nie.”

suhu semakin lama semakin meninggi. Nampak gayanya, aku terpaksa berhenti lagi. Aku mencelah masuk melepasi kon-kon yang menutup lorong sebelah kiri. Lantas keluar daripada kereta dan membuka bonet hadapan.

Tiada langsung kenderaan di belakangku. Mungkin sedang mengikut belakang lori besar tadi. Kenderaan di hadapan, biarlah semuanya keluar dari jambatan dahulu. Sementara itu, aku mengisi semula air ke dalam radiator.

Selesai kerja tersebut, aku lantas menghidupkan enjin lalu mula bergerak.

”kali ni, aku tak kisah. Mesti sampai jugak ke rumah sewa.”

Aku terus memecut, meluncur laju. Tiada lagi kenderaan lain selain kereta aku di atas jambatan, kecuali beberapa buah motorsikal dan trak yang tersadai di bahu jalan, kepunyaan pekerja-pekerja pembinaan. Jalan di hadapan kosong. Di belakang juga langsung tiada kenderaan.

”Ya Allah. Besar sungguh kemurahanMU. ”

Aku teringat kepada satu ayat, tentang bagaimana Allah memberikan ’jalan keluar’ daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Hati mula memuji-muji Allah, bersyukur sangat kerana dipermudahkan segala urusan.

Walaupun suhu semakin meninggi, aku tidak peduli. Aku teruskan perjalanan sehingga sampai di rumah sewa.

Alhamdulillah....

Aku dapat sampai ke rumah dengan selamat. Walaupun enjin sudah agak berbunyi. Entah berapa ratus perlu dikeluarkan untuk membaiki. Tapi tak kisah.

Aku duduk, diam di dalam kereta. Teringat kembali apa yang telah dilalui. Rasa sayu tiba-tiba menghambat di hati. Tak disedari air mata mengalir.

Rasa syukur sangat-sangat kepada Allah kerana telah mempermudahkan segala urusan. Walaupun diri ini sering saja melakukan kesalahan dan kesilapan, namun Allah tak pernah sekalipun terlupa untuk memberi nikmat kepada kita, hamba-hambaNYA. Cuma kekadang kita sahaja yang tidak ingat kepada Allah.

Begitulah besarnya kasih sayang Allah terhadap manusia.
Namun, bagaimana kita membalas segala kasih dan sayang Allah? Bagaimana kita ‘membayar’ kembali segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita?

Bukan dengan ibadat, malah kita membalas segala pemberian tersebut dengan melakukan maksiat. Sunguh!! Sungguh manusia itu pelupa. Lupa dari mana asalnya dan ke mana dia akan dikembalikan..

Tak terlepas juga diri yang penuh dengan kekurangan ini...


"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi
berlakunya tiap-tiap sesuatu."


P/s : kereta dah rosak. Masih buntu macam mana nak pergi kerja besok.!!!!




3 comments:

Anonymous said...

SALAM

Allah membantu orang yang murah hati untuk membantu orang lain.
shukran. moga dipermudahkan segala kerja yg dilakukan.

ihsan said...

Salam syam..
Tahniah.nta berjaya sampai.. Semoga Allah terus memudahkan urusan kita.. Amin.

Anonymous said...

salam..hemm org yg baca pulak sebak..
klw prmpuan lg takut kan..insyaAllah DIA bersama kta..