Bak kata Ust. Dzulkhairi, Presiden GAMIS setelah tamat pilihanraya kampus sidang lepas :-
“suka saya ingatkan. Kita merupakan saudara yang besar. Aspirasi juga merupakan ahli keluarga kita. Pengawal keselamatan juga begitu. Pentadbiran HEPP juga begitu, Bonda(NC) juga begitu, maka kita sahabat-sahabat sekalian.. Era PRK sudah berakhir. Era dakwah, era sosial, era bermuamalat, era akademik itu bermula……
Ya !! di kampus USM sudah maklum keputusannya. Kalah dan menang itu menjadi lumrah dalam setiap pertandingan, perlawanan dan pertembungan.
Sudah banyak masa, tenaga dan wang ringgit dicurahkan, kini apa yang lebih penting ialah tugasan dakwah yang terpikul di bahu setiap indiidu yang bergelar muslim.
Tujuan kita menyertai Pilihanraya Kampus jelas. Walaupun beberapa pihak dan sahabat-sahabat yang turut sama membawa nama islam membantah penyertaan kita di dalam Pilihanraya kampus, dengan alasan pilihanraya ini kotor, bukan cara islam dan sebagainya, namun sorotan sejarah membuktikan, ijtihad yang diambil oleh aktivis dakwah suatu masa dahulu menjadikan aktiviti dakwah di kampus begitu rancak apabila golongan pro-islamis memegang tampuk pimpinan MPP. Sehinggakan pada waktu tersebut, setiap persatuan yang hendak membuat aktiviti berbentuk ‘hiburan’ akan meminta pendapat dan merujuk pimpinan mahasiswa islam.
PRK menjadi medan tarbiyyah kepada ahli gerakan mahasiswa islam. Selama tempoh pilihanraya berlangsung, banyak perkara yang dipelajari. Jadikan setiap pengalaman yang dikutip semasa tempoh pilihanraya tersebut untuk kita terus menghidupkan dakwah di kampus. PRK umpama senaman memanaskan badan. Maka sekarang masanya untuk kita terus berlari sekuat mungkin.
Semasa PRK, kita berani berhadapan dengan warga kampus. Mengetuk pintu bilik ke bilik untuk merayu undi dan memperkenalkan calon kepada warga kampus, teruskan keberanian tersebut untuk berjumpa dan berhadapan dengan mereka untuk menyampaikan islam.
Jika dahulu setiap program diiklan dengan menggunakan poster dan banner, maka aku mencadangkan kali ini, setiap program-program dakwah perlu diiklankan dari bilik ke bilik, dari individu kepada individu, dari dewan kuliah ke dewan kuliah. Biar masyarakat kampus maklum setiap program dakwah seperti mana kita mahu mereka mengenali setiap calon yang bertanding.
Semasa PRK, kita dilatih untuk sanggup bersengkang mata, tidak tidur sehingga ke pagi, semata-mata untuk bergerak kerja dalam PRK. Selepas tamat PRK, sepatutnya tiada masalah untuk para penggerak dakwah jika terpaksa tidak tidur malam semata-mata kerana islam.
Semasa PRK, kita dididik untuk sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk berkempen dan bergerak kerja. Sepatutnya kita akan lebih sanggup untuk menginfakkan harta dan wang yang lebih banyak untuk aktiviti-aktiviti dakwah.
Semasa PRK, kita dilatih untuk sanggup berpenat lelah, berkejar ke sana sini untuk menjayakan kempen. Maka sepatutnya tiada masalah untuk kita berpenat lelah dalam menjalankan aktiviti dakwah.
Semasa PRK, kita boleh menjalinkan hubungan yang baik dengan sahabat-sahabat non-muslim. Kita mampu duduk semeja, membincangkan gerak kerja piliharaya, maka sepatutnya tiada masalah untuk kita terus bersama membincangkan dan memperjuangkan agenda mahasiswa.
Jika dahulu kita seorang yang malas untuk bersama-sama menyumbang tenaga, masa dan harta, PRK telah melatih kita untuk membuang segala sikap dan perasaan tersebut. Maka gunakan momentum yang telah tercipta sepanjang gerak kerja PRK kali ini untuk kita terus laju mencapai matlamat dakwah islamiyah di kampus yang tercinta.
Jika kita dikatakan golongan yang tidak cinta kepada Universiti, pedulikan semua itu. Sebenarnya kitalah golongan yang lebih cintakan Universiti kerana kita tidak sanggup melihat maksiat dan kemungkaran terus berleluasa di dalam universiti.
Jika kita dikatakan sering membantah program-program Universiti, abaikan saja tohmahan tersebut. Ya !! memang kita membantah sekiranya program-program tersebut hanya akan menyuburkan maksiat di kampus. Kita sentiasa bersama-sama Universiti dalam setiap program yang membawa kepada kebaikan.
“wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.”
(As-saff : 10-11)
Allahu’alam.....
1 comment:
salam
ana setuju dengan ayat2 yg ada dlm ni..
jdi, dipohon diberi keizinan utk copy n paste kan ke dlm blog wasilah.. InsyaAllah..Shukran
Post a Comment