Saturday, March 14, 2009

SATU PENGALAMAN

Pagi sabtu itu di kilang, sangat menyesakkan diri. Sudahlah aku perlu memikirkan perancangan setelah ‘mengambil alih’ tugas untuk menguruskan kem kepimpinan di sebuah sekolah. Petang hari sabtu tu pula, aku perlu ke Sungai Petani untuk mengikuti latihan dakwah lapangan LANDAS. Soal peserta masih belum selesai. Aku hanya mampu menguruskan pergerakan melalui telefon bimbit. Alhamdulillah, ada sahabat yang tolong menguruskan tentang perjalanan peserta.

Sebagai orang yang diberi tanggungjawab penuh untuk menguruskan program, pastinya kehadiran peserta sangat-sangat dititikberatkan. Bengkel 1, tentang teori latihan dakwah lapangan, alhamdulillah ramai yang menjadi peserta. Bengkel 2, pembentangan kajian isu, peserta makin berkurangan. Apabila tiba waktu untuk berpraktikal, angka terakhir malam sebelum itu ialah 8 orang sahaja dari USM dan Maktab perguruan Pulau Pinang yang dapat hadir. Tarikh tersebut bertembung dengan banyak program jamaah lain. Mujur bilangan peserta ditampung oleh sahabat-sahabat dari UUM.

Namun, pagi hari program di kilang, aku menerima SMS. 4 orang lagi menarik diri. Maksudnya hanya tinggal 4 orang dari USM. Sebagai orang yang bertanggungjawab, perkara tersebut sangat melemahkan semangat. Siri-siri bengkel yang diadakan, tujuannya adalah untuk praktikal. Namun apabila tiba hari praktikal, hanya 4 orang sahaja termasuk aku yang boleh hadir.

”batalkan sajalah progrm ni Kak Wardah.” aku memberitahu koordinator 2 SPAQ, yang turut termasuk dalam 4 orang peserta itu.

”eh, jangan Syam! Kita teruskan jugak dengan perancangan asal. Jangan putus asa. Tak apa. Kita teruskan.”

”Hmm, terpulanglah.” jawab aku dengan tak bersungguh.

Bagaimana aku nak beritahu sahabat dari UUM. Program ini, kami di USM yang rancang, tetapi peserta dari UUM pula yang lebih ramai.

” peserta dari USM hanya 4 orang. Saja nak bagitau. Takut terkejut pulak nanti tengok ’tentera badar’ yang kami hantar nanti.” aku menghantar SMS kepada wakil dari UUM.

’tentera badar’ yang aku maksudkan ialah pasukan yang kecil bilangannya, tetapi insyaallah bilangan yang sedikit itu, ada kualitinya.

Kekadang, kita sering memikirkan tentang kuantiti. Ya, tidak dinafikan kuantiti itu penting. Namun apabila kita terlalu bergantung kepada kuantiti, andai berlaku sesuatu yang tidak diduga dan kita kehilangan kuantiti yang diharapkan, kita akan rasa kecewa dan berasa tidak kuat.

Akhirnya aku pasrah. Mungkin juga kegagalan aku untuk menguruskan program dengan sebaiknya menyebabkan jumlah peserta hanya sebanyak yang ada sekarang.

Habis kerja, aku terus pulang ke rumah sewa untuk bersiap-siap ke Sungai Petani. Hendak dijadikan cerita, motor ’mati’ di tengah jalan. Hujan pulak mula turun mencurah-curah. Mungkin ujian Allah berikan untuk menguji sejauh mana kesungguhan dan keikhlasan dalam gerak kerja.

Berbicara tentang ikhlas, ia merupakan satu perkara yang sangat memberi kesan kepada setiap gerak kerja yang kita lakukan. Baik niat kita, baiklah juga perjalanan gerak kerja. Sebab itu, sebelum aku memulakan perjalanan ke Sungai Petani petang itu, aku terpaku di hadapan rumah.

”Ya Allah, seandainya kerja ini baik bagiku dan agamaku, mudahkanlah ia bagiku. Dan ikhlaskanlah niat ku dalam bergerak kerja.”

Pengalaman turun ke lapangan kali pertama, mungkin sedikit cacat pada niat dan tujuan. Entah di mana, tetapi sangat terasa bahawa ada cacatnya. Dan kecacatan itu memberi kesan kepada gerak kerja. Mulut aku seolah-olah terkunci mati, kaku di hadapan manusia yang ditemui walaupun pergi beramai-ramai. Mungkin alasannya itu kali pertama, tapi aku yakin bukan itu sebabnya. Mungkin terdetik niat hanya mahu suka-suka, hendak ’mengajar’ orang lain, merasakan diri lebih baik daripada orang lain....Allahu’alam. Semoga Allah mengampunkan dosaku sekiranya tersasar niat dan tujuan.

Aku sampai di sana tepat pada masanya. Peserta lain baru selesai mendengar taklimat daripada Ustaz Kamarudin. Mereka baru hendak bertolak ke Central Square (CS). Aktiviti lapangan pertama.

Kami naik ke tingkat 5 CS. Pawagam, video game, snooker dan ’karaoke jamban’ semuanya berada di sana. Kami bergerak ke tempat ’karaoke jamban. Setiap ’jamban’ penuh dengan manusia. Di luar pula ramai yang beratur menunggu giliran. Ada yang melalak tak tentu punca, ada pula anak gadis yang menari-nari, berjoget. Yang lebih ’membanggakan, semuanya MELAYU-ISLAM. Anak muda kita, saudara-saudara kita. Anak bangsa kita. Pilu rasanya hati melihat keadaan itu. Namun tak boleh untuk menyalahkan mereka 100%. Mungkin mereka tak tahu. Mungkin diri kita yang perlu dipersalahkan, kerana tidak pernah mengingatkan mereka.

Pergerakan agak tidak teratur. Ada yang masih di dalam kumpulan, dan ada yang bersendirian. Aku mendekati kumpulan pertama. Cara berpakaian mereka agak menarik perhatian aku. Cermin mata besar di muka, rambut terpacak di atas kepala.

”fesyen apa ni dik?” aku bertanya.

”Meet Uncle Hussin.” seorang rakan kepada yang ditanya menjawab.

Mereka datang dari Pulau Pinang. Ada yang masih bersekolah, ada juga yang sedang menunggu keputusan SPM. Tujuan mereka datang hanya untuk bersuka-suka. Teringat zaman muda aku dahulu. Aku juga keluar dengan kawan-kawan untuk menonton wayang, bermain bowling, bermain video game di pasaraya. Mana mungkin aku akan salahkan anak muda jika mereka keluar bersuka-suka dengan kawan-kawan. Cuma mereka perlu diingatkan bahawa masih ada tanggungjawab lain yang perlu juga diutamakan.

”adik ada join kumpulan mana-mana ka? Pelik semacam ja pakaian.” aku bertanya.

”eh, mana ada. Buat apa join. Mengarut ja semua tu.” lega apabila aku mendengar jawapan tersebut. Memandangkan Sungai Petani merupakan tempat yang popular untuk ‘membiakkan’ ‘jamaah-jamaah’ yang sesat, setiap remaja yang aku jumpa, aku akan bertanya soalan yang sama.

Aku turun ke tingkat 4 berseorangan. Terlalu sesak di atas sana. Bunyi muzik yang kuat menarik perhatian aku. Sampai di sana, sekumpulan anak muda sedang menari-nari. Shuffle, budaya baru di kalangan anak-anak muda. Memang muda. Umur baru mencecah 13 tahun sehingga 17 tahun. Aku meminta izin untuk merakam aktiviti mereka, sambil mencari-cari alasan untuk bercakap dengan mereka. Kononnya, sedang membuat liputan tentang aktiviti mereka.

Aku sempat menemuramah beberapa ahli kumpulan tersebut. Sekurang-kurangnya, dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang apa yang mereka lakukan.

”Dik ! mari sini kejap. Semua skali.” Selesai menemuramah, aku memanggil mereka semua berkumpul.

Bukan tujuan untuk memarahi, jauh sekali untuk menghalau balik. Bukan itu tujuan aku berjumpa mereka. Lagipun, apa yang mereka lakukan itu tidak salah pada pandangan aku. Cuma akan jadi salah apabila hanya itu yang berada dalam pemikiran setiap daripada mereka, sedangkan tanggungjawab lain diabaikan. Tanggungjawab sebagai orang islam, tanggungjawab sebagai anak, sebagai pelajar dan sebagai masyarakat. Perkara tersebutlah yang perlu diingatkan kepada mereka. Alhamdulillah, semua memberi respon yang baik.

Satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang mengaku sebagai dai’e ialah, setiap kali selesai melakukan gerak kerja yang melibatkan mad’u, berdoalah supaya Allah memberi hidayah kepada orang yang ditemui. Juga doakan supaya Allah kekalkan hidayah dalam diri kita, keluarga kita, sahabat-sahabat kita dan orang-orang yang berada di sekeliling kita.

Sebelah malamnya, kami berkumpul untuk sesi muhasabah. Masing-masing meluahkan rasa dan pengalaman bergerak kerja. Ramai juga yang baru kali pertama terlibat dengan aktiviti seperti ini. Pengalaman itu boleh dicari, yang penting ialah kemahuan dan kesungguhan.

Pukul 12 malam, kami sekali lagi melakukan aktiviti lapangan. Kali ini di sekitar TESCO Sungai Petani. Menurut Ustaz Kamarudin, kawasan tersebut menjadi tempat remaja melepak sambil minum arak. Pengalaman bertemu dengan sekumpulan anggota tentera muda yang sedang minum arak telah aku ceritakan dalam laporan sebelum ini (rujuk post di bawah).

Tamat gerak kerja malam itu, kami pulang semula ke masjid. Mengikut perancangan, hari berikutnya kami akan pergi ke bandar pada sebelah pagi. Memandangkan ahad ialah hari persekolahan di Kedah, akan ada remaja yang ponteng sekolah. Tetapi, sahabat-sahabat UUM juga tidak bercuti pada hari Ahad. Ustaz pula mempunyai program lain, maka tiada lagi aktiviti lapangan yang dilakukan.

Mungkin bukan rezeki untuk program kali ini. Insyaallah pada masa akan datang, kita akan anjurkan lagi program seumpama ini, dan mungkin di Pulau Pinang. Aku mahu sahabat-sahabat lain turut merasa ’keseronokan’ bertemu dengan saudara-saudara di lapangan. Saudara-saudara di luar sana sedang menanti-nanti akan ada orang yang sudi untuk mengingatkan mereka.

Tidakkah sahabat-sahabat sekalian mahu berjumpa dengan mereka ?????


1 comment:

Anonymous said...

kita hanya mampu merancang, Allah yang atur semuanya. Bersyukur kita sebagai org yang terpilih..ana xpernah terpilih lg..huhu

p/s: dah..dah..tidur..sat lg jgn padam ubat nyamuk pula..huhu..nnti 'tentera badar' serang ana pulak