Sunday, May 24, 2009
NIKMAT UJIAN
Nikmat Allah kepada manusia bukan sahaja dalam bentuk kesenangan material yang dapat dilihat dengan mata, tetapi datang dalam pelbagi bentuk dan rupa. Mampu tersenyum dan berlapang dada ketika menerima ujian juga merupakan satu nikmat yang sangat besar, anugerah Allah kepada manusia.
Menjadi Ahli Jawatan Kuasa Orientasi (AJKO) semasa Minggu Pendaftaran Pelajar Baru (MPPB) Kolej Matrikulasi Perak sangat memberi kesan di dalam hati
. Jika sewaktu aku mendaftarkan diri di matrikulasi, ada abang-abang dan kakak-kakak yang ‘menyambut’, serta membantu, inilah masanya untuk kita sebagai bekas pelajar untuk kembali mencurahkan bakti kepada ‘bumi’ yang banyak berjasa. Keseronokan ditambah dengan kehadiran adik-adik, pelapis gerak kerja dakwah di kampus menghiasi MPPB.
Namun hari jumaat itu, diri dilanda kekalutan. Beg yang diletak dianjung masjid tiba-tiba lesap, hilang dari pandangan selepas solat jumaat. Seluruh tempat digeledah, seluruh bilik dalam masjid diredah. Namun masih belum bertemu dengan beg oren kesayangan.
Petang itu, ketika mengadakan perbincangan dengan beberapa orang sahabat dan pensyarah, seorang pensyarah memberitahu, terdapat sebuah beg di dalam tandas di bilik wudu’. Terus aku bergegas melihat. Memang benar, beg aku berada di sana. Diletaknya beg kesayangan aku di atas lantai tandas. Sungguh tidak patut, kerana terdapat buku yang bertulis ayat-ayat al-quran di dalamnya.
Aku terus memeriksa kandungan beg tersebut. Seperti yang dijangka, kamera pertama dalam hidupku telah tiada. Aku menggelengkan kepala.
”tak patut sungguh. Kalau nak ambil pun, setidak-tidaknya tinggalkanlah ’memory card’. Baru pagi tadi aku bergambar dengan adik-adik ’kumpulan mentor-mentee. Itulah satu-satunya gambar kenangan aku bersama dengan adik2 KMM121.
Aku berusaha memujuk hati, supaya tidak bersedih dengan kehilangan ’aset’ tersebut. Sekuntum senyuman ku ukir sendirian, sedaya upaya memberi ketenangan kepada diri.
Pagi keesokan harinya, ketika hendak mengambil sesuatu bahan daripada laptop sahabat, aku mencapai beg. Namun setelah digeledah, baru aku sedar. Bukan hanya kamera sahaja yang hilng, rupa-rupanya ’external hard-disc’ 250GB yang baru dibeli tidak sampai 2 minggu, yang juga yang pertama dalam hidup turut sama di ambil semalam.
Lebih menyesakkan diri, gambar-gambar kenangan sepanjang beberapa tahun hilang semuanya. Juga klip video dan lain-lain yang disimpan hilang dalam sekelip mata.
Walaupun sedikit sedih dengan kehilangan tersebut, hati masih mampu bertenang. Mungkin ada hikmah di sebalik kehilangan tersebut. Walaupun susah untuk meneliti apa hikmahnya, namun pasti ada kebaikan di situ.
Sangat kecil dugaan yang aku terima sebagai ujian kepada iman jika hendak dibanding dengan para pejuang agama Allah di muka bumi.
SATU MALAM.
Selesai MPPB di KMPk, aku terus ke Selangor, mengiringi adik-adik ke tempat Training. Cadangan asal, hanya pergi untuk menjadi pengiring dan pemantau. Namun, akibat kekurangan tenaga kerja, aku diminta untuk menjadi urusetia program untuk bahagian teknikal.
Belum sempat berehat panjang, tugasan pertama menyusul. Aku ditugaskan mengambil para peserta di stesen tren. Aku memandu kenderaan di tempat yang sangat asing, mengikut di belakang sahabat yang juga tidak tahu selok belok jalan ke stesen tersebut.
Sesat... hampir 30 minit kami berpusing-pusing di kawasan yang sama dan sudah sangat hampir dengan tempat yang hendak dituju, tetapi tetap tidak menjumpainya. Itu perkara biasa.
Enjin kereta mati di tengah jalan, kemudian tidak dapat dihidupkan sehingga pemandu kenderaan di belakang memarahi aku. Itu juga masih belum ’menyeronokkan’.
Sebelah malamnya pula, aku perlu membuat ’trip’ kedua untuk mengambil peserta yang baru sampai. Beberapa kereta pergi serentak. Aku membawa 5 orang peserta lelaki. Ketika perjalanan pergi, aku ditinggalkan kerana enjin kereta tidak dapat dihidupkan.
Perjalanan pulang lebih ’menyeronokkan’. Selepas belok di satu simpang, tiba-tiba kedengaran bunyi yang pelik, seolah-olah kereta sedang mengheret sesuatu.
”terlanggar apa-apakah”. Aku berbisik di dalam hati. Aku berhenti untuk melihat di bawah kereta. Tiada apa-apa yang tersangkut. Perjalanan diteruskan, tetapi bunyi tersebut masih tetap ada. Aku berhenti sekali lagi. Kali ini aku memeriksa tayar. Tiada tayar yang kempis. Lalu aku cuba meraba-raba tayar tersebut.
”haaaa.....” terdapat satu kunci yang terikat pada ’keychain’ tertusuk masuk ke dalam tayar.
Aku bertanya kepada adik-adik peserta, mahu dicabut atau biarkan sahaja. Andai dicabut, pasti akan bocor. Lalu aku membuka keychain tersebut dan kami putuskan untuk teruskan perjalanan dalam keadaan kunci tersebut masih tercucuk pada tayar.
”bismillahi tawakkaltu ’alallah....” kami teruskan perjalanan. Setiap pusingan tayar menyebabkan kunci yang sedikit tertonjol keluar itu berbunyi. Sungguh tidak selesa memandu dalam keadaan demikian.
Dalam hati, aku berdoa supaya tayar tersebut tidak bocor di atas bukit. Gelap, berbukit dan dikelilingi hutan dan semak. Itulah jalan yang terpaksa kami lalui sebelum dapat sampai ke kawasan yang berpenghuni.
TAKDIR ALLAH
Bukan kerana doa tidak dimakbulkan, tetapi perancangan Allah tetap mendahului segala-galanya. Kira-kira 10 minit memandu dalam keadaan tayar yang tertusuk kunci, sampai sahaja di puncak bukit, tayar kereta tidak dapat lagi menampung bebanan. Terpaksa juga ’ia’ menyerah kalah.
”tayar kereta sudah pancit.” aku memberitahu adik-adik peserta. Jam menunjukkan pukul 11 lebih. Kami tersadai di tepi jalan, di atas bukit, dalam kegelapan malam yang langitnya dihiasi beribu juta bintang-bintang.
Mujur, 2 kereta urusetia yang lain yang berada di belakang berhenti apabila mendapati kereta yang aku naiki tersadai di tepi jalan. Walaupun terlajak hampir 50 meter ke hadapan.
Adik-adik peserta terus menjalankan kerja. Bonet kereta dibuka. Satu persatu barang dikeluarkan. Dicarinya jika terdapat alatan-alatan untuk menanggalkan tayar yang telah pancit.
Alhamdulillah, semuanya ada. Jek, penanggal skru palang, serta tayar spare. Cuma tayar tersebut telah kempis. Terpaksa diberi kepada urusetia lain untuk di pam di stesen minyak yang entah berapa kilometer di hadapan.
Operasi seterusnya....Menanggalkan tayar yang sudah bocor.
Hanya bersuluhkan cahaya lampu suluh, serta lampu kereta yang sesekali memecut laju di situ, kerja bermula.
UJIAN BERMULA
Seorang peserta ditugaskan mengawal kenderaan yang lalu di situ. Isyarat diberi dengan lampu suluh supaya keberadaan kami di tepi jalan itu disedari kerana kami berada betul-betul di tepi jalan selepas selekoh.
Sepatutnya, kerja membuka nat tayar tidaklah terlalu sukar, lebih-lebih lagi dengan tenaga sebanyak 7 orang, termasuk seorang lagi peserta yang terpaksa ditinggalkna kerana berganti tempat dengan tayar spare.
Entah berapa tahun nat kereta tersebut tidak dibuka. Seolah-olah ada gam yang diletakkan untuk mengunci mati tayar tersebut. Habis segala usaha dibuat, namun masih belum mampu untuk menanggalkannya.
Tambahan pula, masing-masing dalam keadaan kepenatan, dan belum makan malam walaupun sudah hampir pukul 12 malam. Ada juga peserta, termasuk aku sendiri masih belum makan tengah hari. Mungkin itu salah satu faktornya, tetapi mungkin juga bukan itu faktornya kerana sampai bengkok penanggal nat palang, tetap tidak dapat membuka nat tersebut.
Gaya, bermacam-macam gaya sudah dibuat termasuk melompat-lompat di atas palang. Namun masih belum berjaya ditanggalkan, malah langsung tidak dapat menggerakkan nat.
Kenderaan yang lalu lalang sangat laju. Malah kami juga telah memakan hampir suku jalan dalam usaha untuk menanggalkan tayar. Akibat terlalu bahaya di situ, adik-adik peserta mencadangkan supaya kami turun ke kawasan yang lebih landai dan selamat. Mereka meminta aku mengawal kenderaan, menuruni bukit sementara mereka berlari-lari mengikut di belakang kereta.
Terharu melihat keadaan mereka. Sudahlah penat, baru sahaja sampai, tidak sempat berehat. Tiba-tiba terpaksa mengharungi peristiwa ini.
”Tak apa, ini tarbiyyah daripada Allah.” seorang peserta bersuara.
”peserta lain belum pun memulakan program, antum semua sudah dapat tarbiyyah di sini.”
”bukan semua orang yang berpeluang mengharungi keadaan macam ni.” aku menambah. Kami berbicara tentang tarbiyyah dan ujian.
Ini juga merupakan satu bentuk tarbiyyah kepada diri aku sendiri. Sejauh mana kita redho dengan ketentuan yang telah Allah tetapkan.
Dalam satu-satu program berbentuk motivasi, tarbiyyah dan sebagainya, sepatutnya para penggerak program lebih banyak ditarbiyyah. Aku suka terlibat dengan program-program seperti ini.
Jika telefon bimbit pun perlu sentiasa dicas, inikan pula iman yang selalu sahaja menurun. Program tarbiyyah selalu menekankan soal ibadah dan lain-lainnya.
Mungkin ada yang mengatakan, semasa berprogram sahaja kita solat berjamaah, berqiamullail, dan lain-lain. Habis program, tidak pula dipraktikkan. Tapi bagi aku, apa salahnya ? sekurang-kurangnya jika kita tidak pernah melakukan semua itu, bukankah ini peluangnya? Lebih baik daripada langsung tidak pernah melakukan.
Menjadi penggerak program juga melatih diri berkorban. Masa, tenaga dan harta diinfakkan untuk kebaikan. Sekurang-kurangnya, kita tahu ke mana semua itu dilaburkan. Bukan kepada perkara-perkara yang sia-sia, tetapi untuk tujuan yang mulia, iaitu untuk ’membina generasi’.
Selepas hampir 1 jam kami mencuba, masih belum dapat dibuka tayar tersebut. Urusetia telah membawa tayar yang sudah dipam, tetapi tidak dapat dipasang. Akhirnya, bantuan Allah tiba. Seorang senior bersama isterinya yang baru pulang dari tempat program datang membantu. Mujur, dia juga merupakan seorang yang terlibat dalam bidang ’pomen’. Dikeluarkannya alatan2 yang pertama kali digunakan. Setelah bersusah payah, dapat juga tayar tersebut ditanggalkan dan diganti dengan tayar ganti.
Kerana terlalu ramai peserta di situ, dia sanggup berpatah balik untuk menghantar. Tidak ramai yang sanggup berkorban dan bersusah payah. Aku teringat kepada seorang penceramah yang pernah dijemput untuk mengisi slot kuliah subuh @ kuliah maghrib (tak berapa ingat) dalam satu program. Dia terpaksa bertolak dari rumah pada pukul 2 pagi, dan terpaksa tidur dalam perjalanan. Kemudian, terpaksa pula meredah hutan sebelum sampai ke tempat program. Tetapi slot yang diisinya hanya sebentar. Tidak pula dia mengeluh walaupun tidak dibayar seperti ‘prostaz2’ yang mencecah ribuan ringgit kekadangnya. Mungkin hanya sekadar dibayar tidak lebih daripada duit minyak.
“bagaimana mereka sanggup berkorban seperti itu.?” selalu aku bertanya pada diri sendiri.
Sanggupkah aku berkorban seperti itu? Aku masih belajar, bujang pula. Masih belum berkeluarga, punya isteri dan anak-anak. Sudah terlalu ramai yang kecundang, berundur daripada medan dakwah apabila keluar dari kampus. Harapnya aku dan sahabat-sahabat tidak diuji seperti itu.
SANG MURABBI
Aku baru berkesempatan untuk menonton filem tersebut semalam. Sangat besar pengorbanan seorang insan yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada jalan dakwah. Jauh sungguh jika hendak dibandingkan dengan diri sendiri. Tidak layak langsung aku meletakkan diri dalam kelompok ‘aktivis muslim’ apatah lagi sebagai ‘pejuang agama Allah’.
Satu perumpamaan yang diberi oleh ‘si murabbi’:
adaikan sekor monyet memanjat hingga ke puncak pokok kelapa. Tiba-tiba datang angin taufan serta ribut yng kencang. Apa akan terjadi? Pastinya monyet tadi akan lebih kuat cengkamannya pada pokok tersebut. Jadi, monyet itu terselamat dan tidak jatuh dari pokok.
Tetapi, apabila angin bertiup dengan lembut dan nyaman sekali, monyet tadi terasa begitu asyik, sehingga terlena. Akhirnya dia terlepas genggaman pada pokok tersebut lalu jatuh ke tanah.
Hakikatnya, semakin besar ujian yang dihadapi oleh seorang muslim, sepatutnya lebih kuat ’cengkaman’ dan ikatannya serta pengharapannya kepada tempat bergantung iaitu Allah. Dan apabia seseorang itu tidak diuji, kekadang akan menyebabkan dia terleka dan lalai akibat keadaan yang selesa, lalu dia terlupa kepada Allah.
Semasa dakwah Rasulullah masih di peringkt sirr iaitu secara sembunyi, Baginda tidak mendapat tentangan daripada kafir Quraisy, kerana mereka menganggapnya sebagai kelompok ’Hanif’ yang mahu menyucikan diri. Namun apbila Rasulullah mula berdakwah secara terang-terangan, maka disitu mula wujud penentangan dan halangan.
Hasil tentangan dan halangan inilah yang mennyebabkan umat islam ketika itu menjadi semakin kuat dan matang dalam menghadapi segala ujian. Dan pengharapan serta pergantunggan kepada Allah lebih kuat mencengkam hati sanubari setiap individu.
Itulah NIKMAT UJIAN..
Allahu’alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment