Monday, August 24, 2009
ada apa pada nama?
Mengapa kita akan marah jika ada orang memanggil kita dengan suatu nama yang tidak kita sukai? Pasti ada sesuatu yang istimewa kepada NAMA…
Bagi seorang muslim, nama bukan sekadar nama, tetapi nama merupakan suatu DOA kerana setiap hari kita akan dipanggil dengannya. Oleh sebab itu, islam menyuruh umatnya memberikan nama yang baik kepada anak-anak.
Tetapi, sejauh mana nama mempengaruhi hidup kita dan juga menggambarkan diri kita? Adakah cukup sekadar kita mempunyai nama yang baik, tetapi diri kita langsung tidak menggambarkan maksud disebalik nama indah yang kita miliki.
Rasulullah SAW bukan sekadar memiliki nama MUHAMMAD tetapi sifatnya juga menggambarkan maksud MUHAMMAD iaitu yang terpuji. Sifatnya, akhlaknya, perilakunya dan seluruh hidup baginda yang begitu indah melayakkan baginda mempunyai nama MUHAMMAD iaitu yang terpuji. Beliau bukan sahaja dipuji oleh sahabat, tetapi juga musuh baginda terpaksa akur dengan sifat baginda yang terpuji. Cara hidup baginda menjadi cerminan kepada nama yang Baginda miliki. Itulah Rasulullah.
Bagaimana pula dengan kita? Sejauh mana nama-nama indah yang kita miliki itu menggambarkan kehidupan kita yang sebenar. Setiap hari kita dipanggil dengan gelaran yang mulia dan hebat, tetapi adakah perilaku kita telah mencerminkan gelaran kita itu.
Seorang doktor falsafah dipanggil dengan gelaran doktor, sesuai dengan kelayakannya sebagai seorang sarjana. Maka dia layak digelar dan dipanggil sebagai doktor.
Aku dipanggil dengan nama HISYAM, dan sememangnya nama itu yang selalu aku minta diriku dipanggil. Apabila memperkenalkan diri, aku meminta orang memanggilku HISYAM, atau HISYAMUDDIN, atau setidak-tidaknya DIN, tetapi bukan SYAM kerana aku tidak menjumpai maksud perkataan SYAM. (matahari = As-syams). Aku mahu orang memanggilku dengan nama yang mempunyai maksud yang baik iaitu PEMURAH. Moga-moga panggilan itu menjadi doa untuk aku menjadi seorang yang dimaksudkan oleh namaku.
Aku cuba menjadikan maksud disebalik namaku itu sebagai tanda aras dalam kehidupan. Walaupun kebaikan-kebaikan yang lain susah untuk dicapai, sekurang-kurangnya satu kebaikan boleh aku capai, iaitu menjadi seorang yang dimaksudkan oleh namaku. Adakah layak kita dipanggil dengan nama yang begitu mulia, sedangkan diri kita tidak langsung menggambarkan ‘watak’ sedemikian?
Seorang yang tidak pandai dalam hal agama pasti akan merasa rendah dan hina jika dipanggil ‘ustaz’.
Seorang yang bodoh akademik, adakah layak dipanggil doktor?
Seorang yang KEDEKUT, adakah layak dipanggil PEMURAH. Tentunya tidak, kerana dia sememangnya tidak layak untuk digelar dengan gelaran yang begitu mulia, sedangkan dia seorang yang memiliki sifat yang hina.
Jika kita merasa bahawa nama yang kita ‘tanggung’ ini sebenarnya juga merupakan amanah, maka tentu kita akan cuba untuk menjadi seperti ‘NAMA’ tersebut.
Setiap hari orang mendoakan kita supaya menjadi sebaik nama kita, tetapi kita tetap tidak menjadi seperti itu.
Apabila aku membaca kisah orang-orang yang PEMURAH, rasa diri ini sangat jauh daripada sifat tersebut. Pemurahnya Saidina Abu Bakar sehingga sanggup menyerahkan seluruh hartanya pada jalan Allah. Pemurahnya para ulama’ terdahulu sehingga sanggup meminta pelanggannya membeli barang daripada peniaga yang lain kerana didapati peniaga tersebut tiada pelanggan. Pemurahnya orang sehingga sanggup mendermakan hati kepada insan lain. Betapa pemurahnya mereka walaupun nama mereka bukan ‘HISYAM’ yang bermaksud pemurah.
Satu cabaran buat diri yang mempunyai nama PEMURAH untuk mempunyai sifat seperti itu. Malah, antara 8 pintu-pintu syurga, salah satunya ialah untuk orang-orang yang suka bersedekah dan memiliki sifat pemurah. Alangkah bahagianya jika diri layak memasuki syurga melalui pintu tersebut.
“Dan bagi syurga itu lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang menegakkan ibadah sembahyang, dia akan dipanggil dari pintu sembahyang. Bagi orang berpuasa ia akan dipanggil dari pintu puasa. Orang yang bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. Dan yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi yang mempunyai nama seperti nama para nabi, cubalah selidiki latar belakang nabi tersebut. Contohilah sifatnya selain daripada sifat-sifat Rasulullah. walaupun tidak mampu mengikuti keseluruhan sifat-sifat mulia tersebut..sekurang-kurangnya jadikan satu sifat yang menjadi cerminan kepada diri kita, berdasarkan nama indah yang kita miliki.
Semoga nama yang kita miliki itu bukan sekadar panggilan terhadap kita, tetapi itulah sifat kita. Kita dipanggil berdasarkan apa yang kita layak untuk dipanggil…
Dan kepada yang mempunyai nama MUHAMMAD, jangan sekali-kali anda mencemarkan nama mulia tersebut dengan akhlak yang kotor. Jika tidak, nama itu tidak layak bagi anda. Ya, memang bukan nama yang menjadi penentu syurga atau neraka. ‘hadith’ yang mengatakan sesiapa yang mempunyai nama MUHAMMAD tidak akan masuk ke dalam neraka itu hanyalah palsu.
Tetapi sekurang-kurangnya nama itu mampu menjadi kayu ukur kepada diri kita. Yang penting..kita tahu apakah maksud di sebalik nama kita..
Sekadar lontaran pandangan dan idea daripada insan yang serba kekurangan.
Allahu’alam…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment