Friday, November 21, 2008

BIAR SUSAH SEDIKIT KERANA TUHAN...

”Tak solat ka pakcik ni?” soalku di dalam hati.

Pakcik tua. Kopiah pula ’terlekat’ atas kepala. Kenapa pula aku berfikir demikian?

Apabila masuk ke dalam tandas awam, pakcik ni, seperti kebanyakan lelaki lain menggunakan 'tandas terapung' yang terlekat di dinding untuk kencing.

Masalah ini sengaja diutarakan, memandangkan perkara berkaitan kencing ini terlalu diremeh-remehkan, terutamanya oleh kaum lelaki. Jika kita (lelaki) memasuki tandas awam, pastinya menjadi perkara yang biasa melihat orang membuang air kecil sambil berdiri menggunakan tandas yang aku istilahkan sebagai 'tandas terapung' ataupun 'tandas dinding.'

Dalam soal kencing, dua perkara penting perlu kita, tak kira sama ada lelaki atau wanita tekankan ialah soal ADAB dan AZAB.

Persoalan yang berkaitan dengan ADAB, seperti peristiwa di atas, ialah ke mana hilangnya rasa malu kita sebagai seorang muslim? Islam mengajar penganutnya dengan sifat-sifat malu. Malah kita juga perlu menjaga aurat apabila berada di khalayak ramai. Kencing berdiri menggunakan tandas yang tidak tertutup pastinya berkemungkinan besar akan menampakkan aurat dan kemaluan, walaupun sudah sedaya upaya untuk cuba berlindung.

Rasulullah, apabila hendak membuang air, Baginda akan mencari tempat yang jauh dari pandangan manusia serta terlindung.

Sebagai seorang muslim, kita sepatutnya mencontohi Rasulullah dalam setiap perkara, termasuklah hal yang dianggap remeh seperti membuang air. Tetapi malangnya, kebanyakan pada hari ini lebih selesa mengikut cara orang kafir yang dianggap lebih mudah dan cepat.

Jika dilihat dari sudut hukum kencing berdiri, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’. Ada yang mengkategorikan sebagai makruh dan ada juga yang mengharuskan, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu.

Hal ini berdasarkan hadis :-

Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi S.A.W.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi S.A.W. kencing di situ sambil berdiri.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Tetapi, hadis di atas menunjukkan tentang keharusan kencing berdiri. Tetapi bukanlah menjadi kebiasaan Rasulullah membuang air kecil sambil berdiri.

Saidatina ‘Aisyah r.a. berkata; “Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi S.A.W kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Dua hadis di atas bukanlah bertentangan, tetapi isteri Baginda 'Aisyah r.a menerangkan perihal kebiasaan yang dilakukan oleh rasulullah. Beliau tidak sentiasa bersama-sama dengan rasulullah dalam musafir. Tetapi hal ini jelas menunjukkan, dalam keadaan biasa, Rasulullah S.A.W membuang air kecil dalam keadaan duduk.

Dari sudut hukum sahaja, sudah dapat kita menilai bahawa perbuatan tersebut adalah makruh. Hukum harus hanya dalam keadaan-keadaan tertentu. Dalam hadis tentang Rasulullah kencing dalam keadaan berdiri, para ulama’ mengatakan bahawa tempat dan keadaan tersebut tidak membenarkan Rasulullah untuk membuang air seperti biasa. Dalam situasi kita sekarang, bagaimana hendak mengatakan terdapat halangan sedangkan tandas yang tertutup telah disediakan. Hanya terpulang kepada kita untuk menggunakannya atau tidak.

Namun, jika hukumnya harus sekalipun, mengapa persoalan tentang solat ditimbulkan? Hal ini berkaitan pula dengan cara kita menjaga kebersihan ketika membuang air.

Air kencing mudah terpercik dan terkena kepada pakaian kita tanpa kita sedari. Kemudian, pakaian yang sama kita gunakan untuk bersolat. Malah, yang lebih membimbangkan, apabila menggunakan 'tandas dinding' tersebut, tiada paip air disediakan untuk kita membasuh najis tersebut. Jangan terkejut. Ramai yang tidak langsung membasuh kemaluan selepas membuang air. Bagaimana hendak membasuh? Hendak berjalan ke paip air dalam keadaan tidak menutup aurat? Malulah..!! Hal tersebut selalu diperhatikan di tandas-tandas awam. Begitulah keadaan yang berlaku. Sama sahaja muslim dengan non-muslim.

Jika ada paip air sekalipun, keadaan berdiri tersebut memungkinkan air kencing terpercik ke pakaian kita. Hatta, jika kencing di dalam tempat tertutup sekalipun, kita perlu menitikberatkan tentang percikan air kencing yang mungkin terkena pada pakaian.

Hal ini berkaitan pula dengan persoalan berkaitan AZAB.

Rasulullah menekankan hal tersebut dalam hadis Baginda.

Cucilah bekas air kencing, karena kebanyakan azab kubur itu karena masalah itu�. (HR. Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny).

Ibnu Abbas Radhiallahu’anhu berkata : “Suatu kali Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melewati kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar suara dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi S.A.W meminta pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi saw pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan azab dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering.”

Amat malanglah sekiranya kita menjaga solat, tetapi tidak mengambil berat tentang perkara seperti ini, maka segala amalan tersebut sia-sia.

Bagaimana pula sekiranya kita membuang air di dalam tempat tertutup? Kita masih belum terlepas daripada masalah tersebut. Tandas-tandas awam di negara kita, kebanyakannya berada dalam keadaan yang kotor. Andai tidak terpercik najis sendiri, kemungkinan kita terkena najis yang ditinggalkan orang lain masih ada.

Manusia punyai pelbagai ragam dan perangai. Jangan berasa hairan sekiranya terjumpa dengan air kencing dan najis yang ditinggalkan tanpa dibasuh. Ada juga najis yang terdapat di atas simen di dalam tandas, dan dibiarkan begitu saja. Malah, ada yang sengaja membuang air di dinding-dinding tandas.

Paip getah di dalam tandas, mungkin juga terkena dengan najis. Tangan yang memegang kemaluan dan membasuh najis, kemudian memegang paip getah tersebut. Jika hendak dikira semuanya, memang berkemungkinan terdapat najis di mana-mana sahaja di dalam tandas tersebut.

Perkara yang boleh diamal sekiranya anda menggunakan tandas awam ialah, sebelum memasuki tandas, lipatlah seluar setinggi mungkin tetapi masih dalam keadaan menutup aurat. Kemudian apabila anda telah memasuki tandas, jirus dahulu kepala paip dan getah. Jika keadaan tandas agak kotor, jiruskan juga lantai tandas dengan air. Kemudian, buanglah hajat dalam keadaan duduk. Sebaiknya dalam keadaan menutup kepala walaupun hanya dengan tapak tangan.

Ada yang mengatakan susah untuk membuang air secara duduk di dalam tandas, dengan berseluar, malah lebih merumitkan sekiranya lengkap beruniform. Tidak susah sebenarnya untuk kencing dalam keadaan duduk dengan berpakaian, jika kena dengan caranya. Tidak perlu sehingga hendak membuka semuanya. ( untuk praktikal, bolehlah jumpa secara peribadi.hehe)

Sekiranya anda terasa ada air kencing yang terpercik ke kaki, selepas selesai hajat jiruskan kaki dengan air. Sebab itulah disuruh untuk melipat kaki seluar. Jika terpercik sekalipun, kaki masih mudah untuk dibasuh berbanding seluar.

Sebelum keluar, pastikan najis anda dibersihkan dengan sempurna sebelum keluar. Hak orang lain ialah menggunakan tandas yang bersih.

Sedih apabila melihat najis ditinggalkan begitu sahaja di dalam tandas sedangkan terdapat air untuk membasuh. Apakah yang difikirkan oleh orang yang meninggalkan najisnya begitu. Tidakkah dia memikirkan tentang kebersihan? Sekiranya hal tersebut dilihat oleh warga asing, amatlah memalukan, sedangkan mereka sungguh menjaga kebersihan tandas. Namun begitulah keadaan di kebanyakan ‘negara islam’, termasuklah negara kita. Tandas awam kebanyakannya kotor dan menjijikkan.

Pernah aku sampai di suatu tempat. Tidak tertahan untuk membuang air, namun apabila aku memasuki tandas awam di situ, satu tandas pun tidak dapat digunakan. Malah ditinggalkan dalam keadaan yang terlalu kotor, sedangkan dari bahagian luar tandas keadaan adalah sebaliknya. Maka, terpaksa aku menumpang tandas masjid dalam keadaan berat hati.

Sepatutnya, masjid bukanlah hanya dijadikan tempat persinggahan untuk melepaskan hajat. Namun keadaan terlalu memaksa...

Jika hendak mengikut adab-adab tersebut memang dilihat agak membebankan serta agak menyusahkan. Namun, jika hendak dibandingkan kesusahan hendak mengamalkannya dengan kesusahan yang bakal menimpa di dalam kubur sekiranya tidak menitikberatkan tentang itu, amatlah jauh perbezaannya.

Biar susah sedikit kerana Tuhan,
Untuk menghindar kesusahan yang besar,
Yang tidak sanggup ditanggung badan,
Ambillah iktibar, kalau mahu sedar...
(-Rabbani-)

Semoga apa yang ditulis ini menjadi panduan kepada para pembaca. Jangan pula kaum lelaki menganggap perkara ini memalukan kerana membongkar ‘rahsia’ yang berlaku di dalam tandas lelaki. Sekiranya malu menjadi halangan untuk mendapatkan pengetahuan, Rasulullah tidak akan menceritakan perihal perkara-perkara yang berlaku dalam rumahtangga Baginda…

-Aku hanya ingin berkongsi-

Hisyamuddin
Jumaat, 21 NOV 2008
USM



No comments: