SABTU, 14 FEB – Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM) di bawah Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ) telah turut serta dalam aktiviti penyebaran risalah berkenaan Valentine’s Day di Queensbay Mall Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Kelab Remaja Lestari, PiSA dan Nisa’ Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Mufti Pulau Pinang. Turut terlibat sama ialah Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) dan beberapa NGO Islam Pulau Pinang. Program diadakan sempena Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s day yang disambut pada 14 Februari setiap tahun. Seramai lebih kurang 30 orang aktivis daripada pelbagai pihak terlibat dalam aktiviti tersebut.
Risalah tersebut mengandungi sejarah tentang sambutan hari memperingati kekasih, serta fatwa yang dikeluarkan oleh mufti yang mengharamkan umat islam menyambut perayaan tersebut. Turut diedarkan pada hari tersebut ialah risalah berkenaan ciri-ciri ajaran sesat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.
AMiM komited dengan aktiviti seumpama ini memandangkan perayaan Hari Valentine yang disambut di seluruh dunia termasuk oleh anak muda muslim dapat menggugat aqidah umat islam memandangkan perayaan tersebut mempunyai asal usul yang dikaitkan dengan kehancuran umat islam di Sepanyol oleh golongan Kristian. Namun masyarakat islam yang tidak mengambil tahu tentang fakta tersebut seolah-olah meraikan detik-detik kehancuran saudara-saudara mereka sendiri.
Rata-rata masyarakat terutamanya para remaja islam menyambutnya tanpa mengetahui asal usul perayaan yang mereka sambut itu. Jadi, aktiviti-aktiviti berbentuk penerangan kepada masyarakat merupakan langkah yang baik bagi mengatasai masalah ini.
Penyebaran risalah berkenaan Valentine’s Day tersebut mendapat respon yang baik daripada para pengunjung. Risalah tersebut dikhususkan kepada para remaja muslim terutamanya kepada pasangan lelaki dan wanita, remaja yang tidak menutup aurat serta remaja-remaja yang sedang melepak.
Diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus dijalankan oleh mana-mana pihak yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk memandu masyarakat ke arah yang lebih diredhai. Insyaallah…
Hisyamuddin Bin Kamarudin
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM)
http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment