Wednesday, February 18, 2009

dakwah lapangan..

"zaman sekarang ni dik, kalau nak berjaya, arak tak boleh nak lepas. cakap saja siapa. artis ? semuanya minum, artis *&^% minum, artis #$%% pun minum. siapa lagi? sultan?minum jugak"

“Bila terpaksa berhubung dengan orang luar, mahu tak mahu terpaksa minum.”

Demikian serba sedikit kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang penolong pengurus bahagian ’Food and beverage’ di salah sebuah hotel di Pulau Pinang, yang juga merupakan orang pertama yang kami dekati dalam aktiviti LANDAS sempena valentine’s Day pada awal pagi Ahad lepas. Kata-kata ini bukan dinyatakan oleh seorang yang tidak mengenal Allah, tetapi oleh seorang muslim, walaupun dia secara individu tidak meminum arak. Namun kata-katanya seolah-olah untuk berjaya di dalam bisnes dan kerjaya, tidak mengapa untuk meminum arak.

Hari sabtu: sebaik sahaja pulang dari tempat kerja, aku terus bergegas ke rumah Tok Mid di Kampung Dodol, Pulau Pinang untuk berjumpa dengan mak yang turut hadir ke kenduri kesyukuran. Hanya sempat untuk makan, aku terus bersiap sedia untuk ke masjid USM, untuk berkumpul bersama-sama peserta lain. Destinasi kami ialah Queensbay Mall.

14 Februari merupakan hari memperingati kekasih. Sempena tarikh tersebut, aku bersama-sama sahabat yang lain menjalankan aktiviti menyebarkan risalah berkenaan Valentine’s Day kepada para pengunjung muslim yang mengunjungi Queensbay Mall, anjuran NGO islam Pulau Pinang dan Jabatan Mufti Pulau Pinang. Selesai solat asar di sana, kami diberi taklimat tentang aktiviti tersebut, dan kemudian memulakan operasi.

Akitiviti bukan sekadar menghulurkan risalah sambil tersenyum, tetapi perlu disertai dengan bicara.

”assalamualaikum, abang. Maaf mengganggu. Kami dari NGO islam Pulau Pinang ada buat kempen hari ini. Abang tau kan hari ni hari apa? Ya, Valentine’s Day. Jadi kami datang ni nak sampaikan sedikit penerangan tentang valentine’s day tu sendiri. Kekadang orang islam kita dok sambut, tapi depa tak tau asal usul perayaan ni. Jadi dalam risalah ni ada terang sikit pasal tu. Insyaallah bang boleh baca dulu. Terima kasih...!!!”

Lebih kurang macam tu skrip yang aku sampaikan kepada orang yang diserahkan risalah tersebut. Tak cukup sekadar menghulurkan sebenarnya. Kita perlu terangkan serba sedikit tentang apa yang hendak diberi, supaya timbul minat untuk mereka membaca risalah yang diberi. Dan daripada pembacaan tersebut, dengan izin Allah, mereka diberi kesedaran.

“Hmm, pakcik tak sambut valentine day tu. Anak muda sekarang ni lah yang dok sambut. Tak pa lah.” seorang pasangan suami isteri yang agak veteren menolak untuk menerima risalah tersebut.

”Ya, saya tau pakcik tak sambut. Tapi yang risaunya, anak muda zaman sekarang.. Mungkin pakcik dan makcik boleh terangkan dan sampaikan dekat anak-anak pakcik dan makcik.” aku membalas.

”Hmmm, dah bagi tau. Depa bukan nak dengaq pun cakap orang tua.” makcik tersebut pula menyambung.

Alhamdulillah, sebanyak 500 helai risalah berjaya diedar termasuk risalah tentang ciri-ciri ajaran sesat. Respon yang diterima daripada pengunjung agak memberansangkan. Di sana sini kelihatan, pengunjung muslim memegang risalah tersebut. Ada di kalangan anak muda yang membaca sambil berjalan. Sejuk rasa hati. Semoga semua mendapat manfaat daripada risalah tersebut.

Selesai program lebih kurang pukul 7 malam, aku terus menuju sekali lagi ke rumah Tok Mid aku. Sempat makan sekali lagi, sebelum aku bergegas pula ke masjid Sungai Nibong untuk berkumpul untuk aktiviti seterusnya, iaitu LANDAS atau latihan aktivis dakwah lapangan isu-isu sosial.

Sempat berehat sebentar di masjid sebelum taklimat bermula. Jam 12.00 malam, semua peserta berjalan kaki ke Queensbay Mall. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 25 minit, sebelum sampai ke destinasi iaitu di pantai Queensbay.

Setelah berbincang di dalam kumpulan kecil, kami mula mendekati sasaran dakwah. Sasaran pertama sedang duduk berdua-duaan di atas kerusi. Kami terus mendekati.

”Assalamualaikum bang, apa khabar? Maaf mengganggu.”

”waalaikumussalam, takpa2. dari mana ni?”

”Hmm, kami dari USM. Saja datang ke sini. Maklum la, hari ni kan Valentine’s Day. Kami datang nak jumpa saudara-saudara kami kat sini.”

”Hmm, bagus lah macam tu.”

Sementara itu, pasangan lelaki tersebut dibawa oleh sahabat-sahabat muslimat ke belakang. Mereka mula berbual. Dan aku bersama seorang junior teruskan berbual dengan abang tersebut.

”dari mana ni bang?”

”baru balik kerja. Terus mai sini. Saja nak ambil angin. Letih kerja banyak sangat.”

Kami terus berbual sehingga dia menceritakan tentang golongan-golongan profesional dengan arak. Terkejut aku mendengar kata-kata daripada abang tersebut. Selain itu, dia juga menceritakan cara penyediaan makanan di hotel-hotel yang langsung tidak menepati kehendak islam, daripada cara mematikan haiwan sehingga penyediaan makanan di dapur.

Kami berbicara sambil menyoalkan tentang tanggungjawab kita sebagai muslim. Masing-masing mempunyai tanggungjawab walau apa pun jawatan yang dipegang, termasuk jawatan sebagai penolong pengurus di hotel.

Selesai berbicara dengan lelaki tersebut, kami beredar. Kami dekati pula pasangan yang lain.

Kaedah yang diguna hampir serupa. Menggunakan alasan Valentine day untuk melawat saudara seaqidah di sini.

“kami baru sembang pasal Valentine’s Day tadi.” Abang tu membalas apabila aku menyentuh tentang perayaan tersebut.

“benda tu tak patut kita sambut. Bukan perayaan kita pun.” Terangnya kepada kami.

“Hmm, siapa ni bang?” aku bertanya, merujuk kepada gadis disebelahnya yang sudah pun didekati oleh sahabat-sahabat muslimat.

“hmm, isteri abang. Kami baru berkahwin 2 bulan lepas.”

”Owh, suami isteri.” kami tersilap pasangan. Namun bicara tetap disambung.

”alhamdulillah, dah berkahwin.”

Lalu kami berbicara tentang tanggungjawab pasangan suami isteri untuk melahirkan generasi yang faham tentang agama.

”ayah kepada seorang imam besar pernah ditanya, macam mana kamu mendidik anak sehingga begitu berjaya. Jawabnya, aku mendidiknya sebelum dia dilahirkan lagi. Maksudnya bang, kita semua ni kena jadikan diri kita ni seorang yang baik, baru nanti kita akan lahirkan generasi yang baik.”

”generasi kami sekarang pun, dah banyak masalah. Saya tak dapat bayang macam mana generasi anak cucu saya nanti bang. Kalau kita tak kisah sekarang, tak tau lah nanti macam mana.”

Tidak lama kami bersama-sama pasangan tersebut. Pasangan terakhir yang kami dekati sedang berpelukan, duduk di batu menghadap pantai.

Aku pergi ke hadapan mereka. Segera gadis tersebut melepaskan pelukan.

”Assalamualaikum, bang. Maaf ganggu.” intro yang sama digunakan.

”waalaikumussalam, ya ada apa?”

”hmm, saja kami datang melawat sahabat-sahabat kat sini. Maklum la, hari ni kan valentine’s day. Jadi ramai lah yang akan keluar malam ni.”

Lelaki tersebut menceritakan, dia bekerja di Kedah. Gadis tadi baru dikenalinya dan juga baru putus cinta. Jadi dia sedang bersedih.

Agak tergamam aku mendengar. Baru berkenalan tetapi sudah berpelukan.

Kami mula berbual-bual. Dimulakan dengan perkara-perkara ringan seperti tempat kerja dan sebagainya.

”abang dah kerja lama kot?”

“Hmm, dah lama la jugak.”

“kalau macam tu, dah cukup duit untuk kahwin kot? Bila abang nak kahwin. Abang kahwin sajalah dengan perempuan tu. Nanti boleh la keluar selalu.” Aku sengaja menduga.

“Hmmm, kahwin.? Tak fikir lagi kot. Banyak lagi benda nak dibuat.”

”tak boleh tak fikir bang. Kalau kita dah mula berfikir, kita akan membuat persiapan ke arah tu. Apa pun, kena fikir jugak kan?”

”betul lah tu.” lelaki tersebut menjawab.

”bukan apa bang. Kami ni datang pun pasal kami risau tengok saudara-saudara kita sekarang. Tengok lah kat sini, ramai pasangan laki perempuan.” aku berkata tanpa merujuk kepada lelaki tersebut.

”Hmm, betul. Zaman sekarang ni memang macam tu. Dah tak peduli apa.”

Aku sedikit terkejut mendengar apa yang lelaki tersebut katakan, sedangkan tadi dia juga yang berpelukan dengan gadis yang baru dikenali. Tak apa, biarkan apa yang hendak dia katakan.

”nabi kata, orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan menghadapinya. Kalau kita mati tengah dok buat benda elok, alhamdulillah, tapi kan bang, kalau kita mati, masa tu kita dok buat benda jahat, maksudnya?

”masa highland tower runtuh, ada orang yang mati sedang berzina. Hinanya mati macam tu. Kita ni, tak tau bila nak mati. Mungkin satgi kita naik kereta, kemalangan. Tak pun, tiba-tiba jatuh, kena batu ni, mati.”

“Persoalannya, kita nak mati yang macam mana? Kita yang pilih. Abang pun yakin kan dengn hari akhirat? Kalau tak dak akhirat tu, maksudnya Allah tu tak adil lah. Orang jahat boleh seronok kat dunia, tapi orang yang soleh bersusah payah. Tapi Allah tu Maha Adil. Siapa yang buat baik, Dia balas baik, siapa buat jahat, tempat dia kat neraka lah. Abang tau kan?” aku mempersoalkan berkali-kali.

”maaf lah bang. Bukannya saya nak mengajar abang. Cuma sama-sama kita nasihat. Telinga saya lagi dekat dengan mulut. Kalau saya tak buat apa yang saya cakap, maksudnya jadi munafik. Jadi tanggungjawab saya untuk tegur kalau ada yang buat silap. Nanti kalau saya yang buat silap, abang wajib tegur saya.”

“Hmm, bagus lah. Memang kita kena saling menasihati. Tak apa, abang suka macam ni. Ya lah, kekadang kita lupa, ada orang tegur, kita kena terima lah.” Lelaki tersebut mambalas.


“Ok lah bang. Dah pukul berapa ni. Jom lah balik. Abang nak balik jauh kan. Nak kena hantar perempuan ni lagi. Balik sekarang kot.?” Kami memang diminta untuk menyuruh orang yang didekati pulang ke rumah selepas habis berbicara.

Tidak lama selepas itu, kami beredar dari situ, dan pulang ke masjid.

Program tamat lebih kurang pukul 3 pagi.

Demikianlah perjalanan hari yang cukup meletihkan, namun hati merasa terlalu gembira dan bersyukur dapat melaluinya.

Semoga setiap apa yang dilakukan itu, semata-mata kerana Allah, dan bukannya kerana manusia.

Ameen…




1 comment:

Anonymous said...

hotel sri malaysia pun macam tu jugak ke?