Saturday, February 7, 2009

istiqarah....

Lumrah kehidupan, ketika umur mula mencecah usia 20-an, mula terfikir untuk mencari pasangan hidup. Lalu ditanya kepada ustaz, “ustaz, saya teringin nak mencari pasangan. Tapi, tak tahu siapa. Apa yang perlu saya buat?”

Lalu si ustaz menjawab, “kamu istiqarah lah. Solat sunat 2 rakaat, kemudian minta petunjuk daripada Allah. Insyaallah dipermudahkan.”

“solat istiqarah?”


Ramai yang sudah sangat maklum tentang solat istiqarah. Namun mungkin ramai yang hanya mula beristiqarah di dalam kes seperti di atas. Mencari jodoh.

Menurut kajian, setiap hari kita perlu membuat keputusan sebanyak hampir 300 kali. (sumber : kuliah Ust. Hasrizal). Bermula dari semudah-mudah keputusan seperti memilih baju apa yang hendak dipakai, hendak makan tengah hari di mana, sehinggalah keputusan yang maha berat seperti ‘perlukah aku terjun dari bangunan ini untuk selamatkan diri’.

Istiqarah dilakukan oleh seorang hamba agar hamba bertawakkal kepada Allah dan menyerahkan urusannya kepadaNya untuk dipilihkan yang baik di mana pun ia berada.

Namun, adakah hanya dalam urusan mencari jodoh yang memerlukan tawakkal kepada Allah?

Dr. Fadzilah Kamsah di dalam ceramah motivasinya meminta para pelajar agar mengamalkan solat istiqarah menjelang peperiksaan, semoga setiap jawapan yang dipilih merupakan jawapan yang terbaik, dan supaya setiap soalan yang dipilih untuk dijawab merupakan soalan yang paling berpotensi untuk dijawab dengan baik.

Apabila berhadapan dengan situasi di mana kita perlu membuat keputusan, sama ada keputusan yang segera atau tidak, sering kali kita tidak dapat menentukan keputusan yang terbaik ataupun sering menjadi buntu untuk memilih. Hatta, dalam hal memilih baju di pasaraya juga kekadang memakan masa yang sangat lama untuk memilih baju yang paling sesuai dengan diri.

Hal yang berkaitan dengan dunia pun, kita perlu meneliti dengan bersungguh-sungguh apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Soal syurga dan neraka. Soal bahagia dan sengsara. Maka semestinya kita memerlukan pertolongan daripada pemilik alam, Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Para sahabat diajar oleh Rasulullah supaya melakukan istiqarah dalam pelbagai urusan.

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”



Dalam setiap perkara, kita hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukan apa yang akan terjadi. Atas sebab itulah proses merancang itu merupakan perkara yang sangat penting. Dalam merancang sesuatu, kita mengharapkan agar sesuatu perkara terjadi seperti yang dirancang, sedangkan hanya Allah yang tahu apa yang akan terjadi. Jadi, memohon petunjuk Allah dalam proses merancang itulah sebaik-baik tindakan untuk diambil.

Allah tidak pernah menolak permohonan daripada hamba-hambaNYA. Sama ada permohonan itu akan dimakbulkan dalam masa terdekat, ataupun pada masa akan datang, atau mungkin juga digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Allah yang lebih mengetahui tentang itu. Tugas kita ialah memohon kebaikan daripada Allah dan memohon supaya diberi petunjuk dan dibimbing dalam membuat sesuatu keputusan.

Maka, janganlah melihat solat istiqarah ini hanya untuk memohon petunjuk mencari pasangan, tetapi cuba kita amalkan supaya setiap tindakan dan perbuatan kita merupakan tindakan yang diberi petunjuk oleh Allah. Insyaallah, setiap keputusan yang diambil selepas istiqarah, merupakan keputusan yang sebaik-baiknya.

Allahu’alam….




No comments: