Saturday, February 7, 2009

istiqarah....

Lumrah kehidupan, ketika umur mula mencecah usia 20-an, mula terfikir untuk mencari pasangan hidup. Lalu ditanya kepada ustaz, “ustaz, saya teringin nak mencari pasangan. Tapi, tak tahu siapa. Apa yang perlu saya buat?”

Lalu si ustaz menjawab, “kamu istiqarah lah. Solat sunat 2 rakaat, kemudian minta petunjuk daripada Allah. Insyaallah dipermudahkan.”

“solat istiqarah?”


Ramai yang sudah sangat maklum tentang solat istiqarah. Namun mungkin ramai yang hanya mula beristiqarah di dalam kes seperti di atas. Mencari jodoh.

Menurut kajian, setiap hari kita perlu membuat keputusan sebanyak hampir 300 kali. (sumber : kuliah Ust. Hasrizal). Bermula dari semudah-mudah keputusan seperti memilih baju apa yang hendak dipakai, hendak makan tengah hari di mana, sehinggalah keputusan yang maha berat seperti ‘perlukah aku terjun dari bangunan ini untuk selamatkan diri’.

Istiqarah dilakukan oleh seorang hamba agar hamba bertawakkal kepada Allah dan menyerahkan urusannya kepadaNya untuk dipilihkan yang baik di mana pun ia berada.

Namun, adakah hanya dalam urusan mencari jodoh yang memerlukan tawakkal kepada Allah?

Dr. Fadzilah Kamsah di dalam ceramah motivasinya meminta para pelajar agar mengamalkan solat istiqarah menjelang peperiksaan, semoga setiap jawapan yang dipilih merupakan jawapan yang terbaik, dan supaya setiap soalan yang dipilih untuk dijawab merupakan soalan yang paling berpotensi untuk dijawab dengan baik.

Apabila berhadapan dengan situasi di mana kita perlu membuat keputusan, sama ada keputusan yang segera atau tidak, sering kali kita tidak dapat menentukan keputusan yang terbaik ataupun sering menjadi buntu untuk memilih. Hatta, dalam hal memilih baju di pasaraya juga kekadang memakan masa yang sangat lama untuk memilih baju yang paling sesuai dengan diri.

Hal yang berkaitan dengan dunia pun, kita perlu meneliti dengan bersungguh-sungguh apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Soal syurga dan neraka. Soal bahagia dan sengsara. Maka semestinya kita memerlukan pertolongan daripada pemilik alam, Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Para sahabat diajar oleh Rasulullah supaya melakukan istiqarah dalam pelbagai urusan.

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”



Dalam setiap perkara, kita hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukan apa yang akan terjadi. Atas sebab itulah proses merancang itu merupakan perkara yang sangat penting. Dalam merancang sesuatu, kita mengharapkan agar sesuatu perkara terjadi seperti yang dirancang, sedangkan hanya Allah yang tahu apa yang akan terjadi. Jadi, memohon petunjuk Allah dalam proses merancang itulah sebaik-baik tindakan untuk diambil.

Allah tidak pernah menolak permohonan daripada hamba-hambaNYA. Sama ada permohonan itu akan dimakbulkan dalam masa terdekat, ataupun pada masa akan datang, atau mungkin juga digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Allah yang lebih mengetahui tentang itu. Tugas kita ialah memohon kebaikan daripada Allah dan memohon supaya diberi petunjuk dan dibimbing dalam membuat sesuatu keputusan.

Maka, janganlah melihat solat istiqarah ini hanya untuk memohon petunjuk mencari pasangan, tetapi cuba kita amalkan supaya setiap tindakan dan perbuatan kita merupakan tindakan yang diberi petunjuk oleh Allah. Insyaallah, setiap keputusan yang diambil selepas istiqarah, merupakan keputusan yang sebaik-baiknya.

Allahu’alam….




Friday, January 30, 2009

ayat-ayat cinta 2


“Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang telah melakukan perbuatan melampau batas ke atas diri-diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat.”

(al-Zumar, ayat 53)

Monday, January 19, 2009

tarbiyyah PRK

Bak kata Ust. Dzulkhairi, Presiden GAMIS setelah tamat pilihanraya kampus sidang lepas :-

“suka saya ingatkan. Kita merupakan saudara yang besar. Aspirasi juga merupakan ahli keluarga kita. Pengawal keselamatan juga begitu. Pentadbiran HEPP juga begitu, Bonda(NC) juga begitu, maka kita sahabat-sahabat sekalian.. Era PRK sudah berakhir. Era dakwah, era sosial, era bermuamalat, era akademik itu bermula……

Ya !! di kampus USM sudah maklum keputusannya. Kalah dan menang itu menjadi lumrah dalam setiap pertandingan, perlawanan dan pertembungan.

Sudah banyak masa, tenaga dan wang ringgit dicurahkan, kini apa yang lebih penting ialah tugasan dakwah yang terpikul di bahu setiap indiidu yang bergelar muslim.

Tujuan kita menyertai Pilihanraya Kampus jelas. Walaupun beberapa pihak dan sahabat-sahabat yang turut sama membawa nama islam membantah penyertaan kita di dalam Pilihanraya kampus, dengan alasan pilihanraya ini kotor, bukan cara islam dan sebagainya, namun sorotan sejarah membuktikan, ijtihad yang diambil oleh aktivis dakwah suatu masa dahulu menjadikan aktiviti dakwah di kampus begitu rancak apabila golongan pro-islamis memegang tampuk pimpinan MPP. Sehinggakan pada waktu tersebut, setiap persatuan yang hendak membuat aktiviti berbentuk ‘hiburan’ akan meminta pendapat dan merujuk pimpinan mahasiswa islam.

PRK menjadi medan tarbiyyah kepada ahli gerakan mahasiswa islam. Selama tempoh pilihanraya berlangsung, banyak perkara yang dipelajari. Jadikan setiap pengalaman yang dikutip semasa tempoh pilihanraya tersebut untuk kita terus menghidupkan dakwah di kampus. PRK umpama senaman memanaskan badan. Maka sekarang masanya untuk kita terus berlari sekuat mungkin.

Semasa PRK, kita berani berhadapan dengan warga kampus. Mengetuk pintu bilik ke bilik untuk merayu undi dan memperkenalkan calon kepada warga kampus, teruskan keberanian tersebut untuk berjumpa dan berhadapan dengan mereka untuk menyampaikan islam.

Jika dahulu setiap program diiklan dengan menggunakan poster dan banner, maka aku mencadangkan kali ini, setiap program-program dakwah perlu diiklankan dari bilik ke bilik, dari individu kepada individu, dari dewan kuliah ke dewan kuliah. Biar masyarakat kampus maklum setiap program dakwah seperti mana kita mahu mereka mengenali setiap calon yang bertanding.

Semasa PRK, kita dilatih untuk sanggup bersengkang mata, tidak tidur sehingga ke pagi, semata-mata untuk bergerak kerja dalam PRK. Selepas tamat PRK, sepatutnya tiada masalah untuk para penggerak dakwah jika terpaksa tidak tidur malam semata-mata kerana islam.

Semasa PRK, kita dididik untuk sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk berkempen dan bergerak kerja. Sepatutnya kita akan lebih sanggup untuk menginfakkan harta dan wang yang lebih banyak untuk aktiviti-aktiviti dakwah.

Semasa PRK, kita dilatih untuk sanggup berpenat lelah, berkejar ke sana sini untuk menjayakan kempen. Maka sepatutnya tiada masalah untuk kita berpenat lelah dalam menjalankan aktiviti dakwah.

Semasa PRK, kita boleh menjalinkan hubungan yang baik dengan sahabat-sahabat non-muslim. Kita mampu duduk semeja, membincangkan gerak kerja piliharaya, maka sepatutnya tiada masalah untuk kita terus bersama membincangkan dan memperjuangkan agenda mahasiswa.

Jika dahulu kita seorang yang malas untuk bersama-sama menyumbang tenaga, masa dan harta, PRK telah melatih kita untuk membuang segala sikap dan perasaan tersebut. Maka gunakan momentum yang telah tercipta sepanjang gerak kerja PRK kali ini untuk kita terus laju mencapai matlamat dakwah islamiyah di kampus yang tercinta.

Jika kita dikatakan golongan yang tidak cinta kepada Universiti, pedulikan semua itu. Sebenarnya kitalah golongan yang lebih cintakan Universiti kerana kita tidak sanggup melihat maksiat dan kemungkaran terus berleluasa di dalam universiti.

Jika kita dikatakan sering membantah program-program Universiti, abaikan saja tohmahan tersebut. Ya !! memang kita membantah sekiranya program-program tersebut hanya akan menyuburkan maksiat di kampus. Kita sentiasa bersama-sama Universiti dalam setiap program yang membawa kepada kebaikan.

“wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.”
(As-saff : 10-11)

Allahu’alam.....



Tuesday, January 13, 2009

PRK KEMBALI LAGI..!!!!!!!!!!!


ASSALAMUALAIKUM... !!!!!!!

PILIHANRAYA KAMPUS MENJELMA LAGI DI USM DAN BEBERAPA KAMPUS UTAMA DI MALAYSIA..

NAMPAK GAYA, TAK SEMPATLAH NAK MENG'UPDATE' BLOG SEHINGGA SEMPURNA PRK KALI NIE..

SELAMAT BERKEMPEN BUAT SEMUA CALON-CALON YANG BERTTANDING SERTA WAKIL CALON YANG TERLIBAT..

SEMOGA ALLAH MEMBERI KEMENANGAN KEPADA CALON-CALON YANG BENAR-BENAR IKHLAS...

NAMUN KALAU TAK MENANG, TAK BEERTI TAK IKHLAS.. MUNGKIN ADA HIKMAH DI SEBALIKNYA..

ALLAHU'ALAM..

SALAM MAHASISWA BUAT SEMUA MAHASISWA..

DARIPADA :- PRO-MAHASISWA USM





Wednesday, January 7, 2009

its complicated...

?????????????

errr......

??????????????????

maaf.. tak dapat nak diluahkan di sini..!!!!

-end-





Monday, January 5, 2009

perjalananku...

Aku meredah hujan pulang ke rumah menaiki motorsikal untuk mengambil kereta. Singgah sebentar di sebuah pasaraya berjumpa dengan mak dan bapak.

”abang kata kereta tu kena servis. Suhu dia naik tinggi sangat. Abang suruh repair tapi tak repair lagi” bapak memberitahu tentang keadaan kereta yang kurang baik.

”tak pa la. Nak buat macam mana. Nak kena guna jugak kereta tu.” Aku bertegas untuk membawa pulang kereta tersebut ke kampus.

“Hmm, nanti balik periksa air kereta tu.”

“Hmm..” lalu aku pulang ke rumah untuk mengambil kereta.

Selesai mengisi penuh air dalam kereta, aku bertolak dari rumah untuk ke kampus. Sampai di Sungai Dua, baru aku perasan suhu kereta sudah terlalu tinggi. Hampir saja mencecah huruf ’H’ yang menandakan suhu terlalu tinggi. Mahu tak mahu, terpaksa aku berhenti di tepi jalan. Enjin dimatikan. Jarum suhu jatuh mendadak.

Aku membuka bonet hadapan kereta. Asap keluar meluru seakan-akan mahu lari melepaskan diri.

”penuh lagi air dalam tangki nie.” Hendak memeriksa air dalam radiator, suhunya masih tinggi.

”Ish. Teruk jugak.” aku berbisik.

Terpaksalah aku melepak sebentar, membiarkan enjin sejuk kembali. Beberapa minit kemudian, aku hidupkan kembali enjin dan meneruskan perjalanan.

Baru 5 minit, suhu kembali naik ke paras kritikal.

Ya rabbi. Sabar saja la. Aku melencong keluar dari lebuh raya Seberang Jaya. Sekali lagi, aku memberhentikan kereta di tepi jalan. Susah juga kalau jahil tentang kenderaan ni. Aku terpaksa berhenti lebih lama daripada tadi dengan harapan dapat bertahan lebih lama jika kereta kembali bergerak.

Selang beberapa minit, aku meneruskan perjalanan.

”kali ni, kalau suhu naik jugak, aku akan berhenti dekat tol saja.”

Tak seperti yang dirancang, aku sekali lagi terpaksa memberhentikan kereta. Kali ini di atas lebuh raya yang mengarah ke Ipoh dan Georgetown. Bahaya sebenarnya memberhentikan kereta di situ. Bahaya kepada penunggang motorsikal. Namun aku benar-benar terpaksa kerana sudah terdapat tanda-tanda asap yang keluar.

Aku mula menjadi ’panas’, sepanas enjin kereta aku. Panggilan telefon daripada bapak pun dijawab dengan acuh tak acuh. Malah ayat-ayat di dalam mesej kepada seorang sahabat juga berbaur sedikit ‘kepanasan’.

Allah menguji hambaNYA dengan pelbagai ujian. Kekadang ada ujian yang ‘besar’ sanggup kita hadapi. Namun ada masa, kita tertewas dengan ujian yang sangat kecil.

“tak boleh jadi ni. Aku mesti bergerak jugak. Bahaya berhenti dekat sini. Tak kisah, kali ni aku mesti berhenti dekat tol.” aku terpaksa meneruskan perjalanan kerana keadaan tak mengizinkan untuk berhenti lama di situ.

Tak berhenti-henti bertawakal, memohon pertolongan daripada Allah. Hanya itu sahaja yang mampu aku lakukan.

Sampai di tol, hendak membayar duit, aku terdengar bunyi yang sangat pelik pada enjin.

”ahh !! tak kisah. Sikit saja lagi hendak sampai ke tempat perhentian tu.”

Satu lorong sudah ditutup untuk kerja-kerja pembinaan jambatan. Terpaksa aku mengalihkan kon di tengah jalan untuk berhenti di tepi. Beberapa pekerja melihat perbuatan aku.

”hmm, tak kisah lah. Yang aku tau, aku ada masalah.”

Kali ni, aku mesti berhenti lebih lama. Bonet hadapan di buka. Lalu aku masuk ke dalam kereta. Bapak telefon sekali lagi. ’kepanasan’ yang dirasa tadi sudah kembali sejuk.

”tak apalah. Aku rehat dulu kat sini. Pukul 12 lebih sikit aku bertolak balik.” bisikku di dalam hati. Aku bertolak keluar rumah tadi pada pukul 10.40. sekarang sudah hampir pukul 12. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa selama 40 minit, menjadi lebih 1 jam.

Sebenarnya aku takut untuk melintasi jambatan yang panjang tersebut. Tambahan pula, hanya satu lorong dibuka menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan.

Aku mencapai novel bertajuk ’Cogito Allah Sum’ dan mula membaca. Sesekali aku memandang ke arah bonet yang terbuka.

SMS singgah ke telefon bimbit.

”hah! Terkandas kat tol?.....nak mintak tolong sape p amik?”

”tak apa. Boleh di ’settle’kan. Tolong jangan bagitau sesapa pun.” aku membalas. Padahal aku dah kering idea apa yang harus dibuat. Cuma aku tak mahu susahkan sesiapa.

Baru tiba di muka surat 8, aku melepaskan novel lalu keluar daripada kereta.

”tak boleh jadi macam nie. Kalau duduk saja sampai bila pun tak jadi apa.”

Aku kembali ke bonet hadapan dan memeriksa minyak hitam.

”Hmm, kalau tak pandai tanyalah orang.” aku membisik hatiku yang semakin buntu.

Lalu aku gagahkan diri berjalan menuju ke arah beberapa orang lelaki di hadapan.

”bang, mintak tolong jap. Suhu dia naik tinggi sangat la. Ada problem apa ya?”

Serentak, keempat-empat orang lelaki tersebut menuju kereta aku.

”dah check air?” kalau suhu naik, dua saja kena check. Sama ada air ataupun minyak hitam.” Seorang abang memberitahu aku.

“air dah check tadi. Penuh lagi. Tapi dalam radiator tu belum la. Panas lagi tu. Saya ni tak pandai sangat bab-bab macam ni bang.” Aku mengaku kelemahan diri.

“Hmm, minyak hitam? Tengok la aras dia. Tak pa lah. Mai sini nak buat.” minyak hitam masih di paras yang selamat.

Lalu, abang tersebut membuka penutup radiator.

”Huh!! Dah kering. Isi tak air dalam ni tadi.?”

”Tadi kat rumah saya dah isi, sampai melimpah-limpah. Lagipun kalau isi dekat tangki tu, dia masuk ke dalam ni jugak.”

”Ada bawak air tak?”

”ada.ada..” lalu aku mengambil 3 botol air yang memang disediakan untuk situasi sebegini.

Tiga botol air tak mencukupi. Terpaksa ditambah lagi dua botol.

“hmm, air tak dak. Patut suhu naik.”

“dah isi tadi bang. Bocor kot.?”

Abang tersebut tunduk ke bawah.

”Hmm, memang bocor pun. Dah melimpah keluar. Macam ni satu baldi pun tak cukup.”

Perkara tersebut memang dah dijangka. Cuma tadi di rumah, tidak diperiksa di bawah kereta.

”aduss!! Macam mana nie.” aku mula rasa tak selesa.

“Hmm, hang nak balik ke mana?” seorang pakcik bertanya.

”nak balik USM.”

”Hmm, hang tinggal saja kereta dekat sini. Panggil kawan hang mai ambil. Besok mai la repair.” pakcik tersebut memberi cadangan.

”besok kerja pakcik. Jenuh la nak mai repair.” aku membalas.

“tak pun, panggil trak mai tarik.” seorang lagi pemuda memberi cadangan.

”paling kurang RM300.” dia menambah. ”lebih baik RM300 daripada hang teruskan jugak, rosak semua nanti kena bayar lebih seribu ringgit.”

”Ishh.. tak pa lah. Saya ingat nak teruskan jugak. Tadi dari Tasek Gelugor boleh sampai ke sini. Sikit saja lagi nak sampai USM. Cuma saya risau tak boleh berhenti atas jambatan nanti.”

”nak teruskan jugak?” abang tadi bertanya.

”kena teruskan jugak la. Nak buat macam mana. Terpaksalah.”

”OK, kalau nak terus jugak, baik bertolak sekarang. Lagi lewat, lagi jam.”

”macam nie, satgi kami tutup jalan, hang pecut terus balik ke USM. Ni special kami bagi dekat hang. Orang lain tak dapat macam ni.”

Aku mulanya tak faham. Tutup jalan untuk apa? Rupa-rupanya ada satu lori membawa muatan konkrit yang sangat besar sedang menunggu giliran untuk masuk ke jambatan. Hanya menunggu arahan daripada abang-abang tersebut.

”air tu isi penuh-penuh dulu. Lagi dua botol buat spare.”

”Cepat. Cepat!! Dah nak tutup jalan nie. Ingat, lepas kami tutup saja jalan nie, terus pecut.”

“OK. Terima kasih bang!!”

Jalan utama masuk ke jambatan ditutup. Kereta-kereta lain terpaksa berhenti. Hanya kereta aku sahaja yang dibenarkan memasuki jambatan.

“bismillahi tawakaltu ‘ala Allah…..”

Seperti yang diminta, aku terus meluru. Harapnya dapat sampai terus ke kampus. Suhu masih lagi di tahap yang selamat. Hampir di pertengahan jambatan, aku bertemu dengan kenderaan-kenderaan lain.

”perlahan la pulak kereta dekat depan nie.”

suhu semakin lama semakin meninggi. Nampak gayanya, aku terpaksa berhenti lagi. Aku mencelah masuk melepasi kon-kon yang menutup lorong sebelah kiri. Lantas keluar daripada kereta dan membuka bonet hadapan.

Tiada langsung kenderaan di belakangku. Mungkin sedang mengikut belakang lori besar tadi. Kenderaan di hadapan, biarlah semuanya keluar dari jambatan dahulu. Sementara itu, aku mengisi semula air ke dalam radiator.

Selesai kerja tersebut, aku lantas menghidupkan enjin lalu mula bergerak.

”kali ni, aku tak kisah. Mesti sampai jugak ke rumah sewa.”

Aku terus memecut, meluncur laju. Tiada lagi kenderaan lain selain kereta aku di atas jambatan, kecuali beberapa buah motorsikal dan trak yang tersadai di bahu jalan, kepunyaan pekerja-pekerja pembinaan. Jalan di hadapan kosong. Di belakang juga langsung tiada kenderaan.

”Ya Allah. Besar sungguh kemurahanMU. ”

Aku teringat kepada satu ayat, tentang bagaimana Allah memberikan ’jalan keluar’ daripada sumber yang tidak disangka-sangka. Hati mula memuji-muji Allah, bersyukur sangat kerana dipermudahkan segala urusan.

Walaupun suhu semakin meninggi, aku tidak peduli. Aku teruskan perjalanan sehingga sampai di rumah sewa.

Alhamdulillah....

Aku dapat sampai ke rumah dengan selamat. Walaupun enjin sudah agak berbunyi. Entah berapa ratus perlu dikeluarkan untuk membaiki. Tapi tak kisah.

Aku duduk, diam di dalam kereta. Teringat kembali apa yang telah dilalui. Rasa sayu tiba-tiba menghambat di hati. Tak disedari air mata mengalir.

Rasa syukur sangat-sangat kepada Allah kerana telah mempermudahkan segala urusan. Walaupun diri ini sering saja melakukan kesalahan dan kesilapan, namun Allah tak pernah sekalipun terlupa untuk memberi nikmat kepada kita, hamba-hambaNYA. Cuma kekadang kita sahaja yang tidak ingat kepada Allah.

Begitulah besarnya kasih sayang Allah terhadap manusia.
Namun, bagaimana kita membalas segala kasih dan sayang Allah? Bagaimana kita ‘membayar’ kembali segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita?

Bukan dengan ibadat, malah kita membalas segala pemberian tersebut dengan melakukan maksiat. Sunguh!! Sungguh manusia itu pelupa. Lupa dari mana asalnya dan ke mana dia akan dikembalikan..

Tak terlepas juga diri yang penuh dengan kekurangan ini...


"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi
berlakunya tiap-tiap sesuatu."


P/s : kereta dah rosak. Masih buntu macam mana nak pergi kerja besok.!!!!




Sunday, January 4, 2009

kita melihat, tetapi tidak memerhati...

“Pagi itu, bos turun berjumpa dengan semua pekerja di bahagian ‘production’. Wajahnya agak sayu tetapi masih boleh menyembunyikan masalah yang dihadapi. Kemudian suervisor menyerahkan satu tin produk yang di’reject’ kerana penutupnya rosak. Dia membelek-belek tin tersebut lalu berkata:-

“saya tidak akan marah kamu kerana kesalahan ini.

Tetapi saya nak kamu tahu setiap nilai benda-benda tersebut. Satu tin ini berharga RM1 dan saya terpaksa membayar dengan tunai untuk beribu-ribu tin. Duit itu saya boleh dapat balik hanya selepas beberapa bulan.”

“Ya, saya tahu anda semua ialah manusia, dan bukannya robot. Setiap daripada kita tak kira yang baru atau yang lama pasti akan buat silap. Tapi itu tidak beerti kita boleh sentiasa melakukan kesilapan.

“Satu kesilapan yang mungkin kecil pada pandangan kita, tetapi kesannya sangat besar.”

“Pesanan barang yang lepas, tarikh pembuatan tersilap cetak. Logik tak tarikh pembuatan pada bulan disember 2009?”

”Memang benar, supervisor yang mencetak tarikh tersebut. Tetapi, selepas dicetak, siapa yang memasang tudung tin. Kemudian selepas itu siapa yang membungkus semua tin-tin tersebut. Takkan seorang pun tak melihat kesalahan yang berlaku? Ada tiga orang pelatih yang membuat kerja membungkus tak termasuk auntie. Takkan seorang pun langsung tidak memerhati terdapat kesalahan pada tarikh?”

“I’ve told before. Be sensitive !!”

“Kamu tahu tak berapa kos yang terpaksa ditanggung disebabkan kesalahan tersebut? satu trip penghantaran ke KL ialah RM200. saya terpaksa membayar untuk penghantaran balik ke kilang dan terpaksa menghantar semula ke KL. RM 600.00 terpaksa dibelanjakan untuk sesuatu yang tidak sepatutnya. Lebih baik duit tersebut saya gunakan untuk membelanja kamu di hotel lima bintang.”

”Pesanan barang ini perlu dihantar ke Hong Kong. Jika tidak dapat sampai ke pelabuhan pada masa yang ditetapkan, pesanan akan dibatalkan.”

“Itu tak termasuk nilai masa dan tenaga yang kamu semua terpaksa korbankan. Saya tidak mahu marah. Tiada guna jika saya marah sekalipun. Apa yang saya nak tekankan ialah kita perlu bekerja sebagai satu keluarga. Saling tolong menolong. Saling membetulkan kesalahan orang lain. Jangan hanya bekerja untuk diri sendiri.”

Kejadian tersebut menyebabkan kerja kami semakin bertambah. Tambahan pula, pesanan produk yang sangat banyak sehingga bulan Jun. Namun apa yang hendak ditekankan di sini ialah sensitiviti kita. Sejauh mana kita sensitif terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita.

Kita melihat banyak perkara, namun kita hanya melihat tetapi tidak memerhati.

”Most people see, but not observe.”

Cuba kita uji sejauh mana kita memerhati setiap perkara dalam kehidupan seharian kita.

Baik. Cuba teka, warna apakah yang berada di kedudukan teratas pada lampu isyarat. Soalan ini mungkin sangat mudah.

Sekarang cuba anda bayangkan yang anda sedang menjawab soalan bernilai RM100,000.00 dalam permainan ‘who want to be a milionaire.’ Silap menjawab, anda hanya akan pulang dengan wang bernilai RM1000.

Jadi, apakah jawapan bagi soalan tersebut. Hijau? Merah? Kuning?
Jawapan sebenar ? Anda boleh melihat lampu isyarat pada besok hari.

Hampir setiap hari kita melihat lampu isyarat, namun kekadang kita masih mengalami masalah untuk menjawab soalan tersebut dengan pantas dan yakin. Malah pasti ramai yang langsung tidak pasti jawapan sebenar. Ini satu contoh bahawa kita melihat tetapi tidak memerhati dan menilai.

Ujian kedua. Soalan bernilai RM 250,000.000. Sila berlaku jujur.!!

Jangan lihat jam tangan anda. Sekarang cuba anda beritahu apakah jenis nombor 6 pada jam tangan anda. Adakah ditulis dengan nombor roman VI ataupun dengan tulisan biasa 6?

Ada masalah untuk tentukan jenis nombor tersebut? Bukankah tiap-tiap hari kita melihat jam tangan? (jika tiada jam tangan, boleh gunakan jam dinding di rumah.)

Jadi, jenis apa nombor pada jam tangan anda? OK, jika sudah teka, sila lihat jam tangan masing-masing untuk tentukan jenis yang sebenar. Ada yang tersilap? Mungkin jam tangan anda langsung tidak mempunyai nombor.

OK. Sekarang, tanpa melihat jam anda, cuba beritahu waktu sekarang pukul berapa? Dapat jawab soalan ini? Jika tidak, mengapa? Sedangkan baru beberapa saat yang lepas anda melihat jam tangan.

Itulah yang dimaksudkan dengan melihat tetapi tidak memerhati.

Sama juga dengan masalah yang berlaku di sekeliling kita. Banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita, namun kita sekadar melihat. Melihat dan kemudiannya langsung lupa terhadap perkara yang kita lihat tadi. Langsung tidak memerhati dengan mendalam, dan bersikap sensitif dengan perkara-perkara tersebut.

Pelbagai isu yang timbul di dalam masyarakat. Masalah remaja tidak pernah selesai, kes murtad dan menghina agama semakin menjadi-jadi. Di dalam negara sahaja, kita tidak dapat selesaikan. Ditambah pula dengan serangan Israel Laknatullah ke atas saudara-saudara kita di Palentin. Jangan pula anda tidak tahu tentang ini.!!

Sekarang, banyak non-muslim mula mempertikai hukum-hukum di dalam islam. Seolah-olah, mereka bertanggungjawab dalam hal-hal berkaitan dengan agama islam. Siapa yang hendak fahamkan mereka?

Aku berpraktikal bersama-sama dengan non-muslim. Baru aku tahu betapa mereka sangat-sangat jahil tentang agama kita. Seorang kawan menyangka bahawa mayat orang islam ditanam secara berdiri tegak, semata-mata kerana kubur orang islam kedudukannya terlalu berhampiran antara satu sama lain.

Kemudian, aku disoal lagi, mengapa anjing tidak boleh dipegang, sedangkan anjing dan kucing sama sahaja. Bagaimana pula dengan babi.

Lalu aku menjawab, tiada masalah untuk memegang anjing dan babi. Doktor-doktor veterinar perlu memegang anjing dan babi. Tetapi, jika tiada sebab untuk memegang haiwan tersebut, tak perlulah pegang. Cuma, jika kita memegang haiwan tersebut, perlu samak. Hukum mengatakan haram memakan daging haiwan tersebut, bukannya haram memegang.

Apa pula samak. Mengapa perlu bersamak? Bagaimana pula dengan arak? Mengapa tidak boleh minum alkohol. Bagaimana dengan makanan yang telah bertukar sifat daripada alkohol menjadi makanan yang lain seperti tapai.

Semua perkara di atas memerlukan penjelasan. Siapa lagi yang hendak bertindak jika bukan kita. Siapa lagi yang hendak menerangkan keindahan islam jika bukan kita. Namun jika kita hanya melihat golongan-golongan yang tidak tahu tentang islam tetapi tidak sensitif dengan masalah-masalah mereka, sampai bila pun mereka tidak akan faham.

Isu majlis fatwa dihina. Semuanya dilakukan oleh orang yang tidak mengenali islam dan tidak faham islam. Mereka menghukum dengan sangkaan semata-mata.

Usrah SPAQ tadi ada membincangkan tentang gerak kerja dengan kerjasama IPSI yang mensasarkan golongan murtad dan bukan islam. Kata naqib, ke mana kita dicampak, di situ sasaran mad’u kita. Jika non-muslim bersama-sama dengan kita, maka merekalah mad’u atau sasaran dakwah kita.

Dr. Burhanuddin al-helmy berkata, ”jika tiada sesiapa pun yang mahu mendengar, maka pokok-pokok pisang tersebut akan menjadi mad’u kita.”

Namun kita perlu memerhati. Tidak hanya melihat mereka sebagai selama-lamanya jahil. Seorang pendakwah yang berdakwah kepada non-muslim berkata.

”cuba kamu pejamkan mata. Bayangkan bahawa kamu adalah insan yang bernama muthu, ramasamy, latchmi, wong. Hari ini kamu berada di padang mahsyar, menanti untuk dipersoalkan. Di sekeliling kamu semuanya muslim. Hanya kamu seorang merupakan non-muslim. Maka pada hari itu, siapakah orang-orang yang akan kamu persalahkan, yang menyebabkan kamu tidak menjadi seorang muslim? Yang menyebabkan kamu nanti akan diazab dengan azab yang pedih kerana tidak mengenal tuhan?

Bagaimana perasaan kita pada waktu itu. Letakkan diri kita di tempat mereka.

Sampaikan kepada mereka tentang islam. Walaupun sedikit, walaupun hanya menyebabkan mereka hilang sedikit keraguan tentang islam. Mungkin bukan hari ini mereka menerima islam, tetapi mungkin suatu hari nanti. Disebabkan oleh kita.. siapa tahu.

Ahmadinejad berkata bahawa Bush juga mempunyai potensi untuk menjadi seorang muslim. Siapa sangka Umar akan menjadi muslim. Malah siapa menyangka bahawa pencetus perang Badar, Abu Sufian menjadi muslim. Malah dengan muslimnya Abu Sufian, seluruh keturunannya menjadi muslim, malah menjadi pemerintah khalifah islam iaitu Bani Umaiyah yang bermula dengan anaknya Muawiyah.

Hidayah itu milik Allah...

P/s : sedikit lari daripada tajuk asal. Namun masih perlu dikongsi kepada semua.

Jadilah seorang yang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Dan jangan hanya melihat, tetapi perlu juga memerhati.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk beramal keranaNYA. Ameen.

Allahu’alam.



Wednesday, December 31, 2008

Nur kasih...

Selesai solat sunat tengah hari tadi, aku duduk berseorangan sambil menunggu muazin melaungkan iqamat untuk solat zohor.

Tiba-tiba, seorang kanak-kanak kecil datang menyapa.

”Pakcik.!!” lembut sapaan kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 4 hingga 5 tahun tersebut, dan kemudian menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Aku menyambut dengan senyuman dan membalas salam kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak comel tersebut bersalaman dan mencium tangan, kemudian seorang lagi kanak-kanak datang untuk bersalaman.

Mereka berdua kemudian berlalu pergi....

”Pakcik?” aku berbisik di dalam hati, lalu tersenyum sendirian.

Sudah bergelar pakcik rupanya aku ini. Fikiran aku melayang sebentar.

”anak siapa tu. Baik betul.” Hatiku berbisik.

Teringin untuk mempunyai anak yang comel dan baik seperti itu..

Namun, untuk mendapat anak-anak yang baik, soleh dan solehah, ibu bapanyalah perlu menjadi ‘baik’ terlebih dahulu.

“Mana mungkin mendapat maruku jika menggunakan acuan bahulu.”

Teringat ketika berada di tingkatan 2, ustazah memberitahu bahawa kita perlu berdoa supaya dikurniakan pasangan yang baik. Suami yang soleh dan isteri yang solehah.

Spontan aku bertanya “doa apa ustazah?”

Sahabat-sahabat di dalam kelas ketawakan aku kerana bersungguh-sungguh bertanya. Maklumlah, baru berumur 14 tahun.

“Takkan tak tahu. ‘Rabbana hablana....”

“Owh, doa tu rupanya.”


"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami) dan jadikanlah kami imam kepada
orang-orang yang bertaqwa."


Doa tersebut sering kita lafazkan setiap kali sesudah solat. Cuma mungkin ada di antara kita yang tidak pernah mengambil tahu maksud setiap doa yang dilafazkan.

Doa tersebut mempunyai pengertian serta tuntutan yang sangat besar. Terdapat dua bahagian yang utama di dalam doa tersebut.

Bahagian pertama, kita berdoa supaya dianugerahkan isteri/pasangan serta zuriat yang dapat menjadi penyejuk mata dan penenang hati di dalam hidup. Bahagian ini merupakan satu permintaan kita kepada Allah.

Bahagian kedua pula, kita memohon supaya menjadi imam kepada orang-orang mukmin. Bahagian kedua di dalam doa tersebut lebih kepada satu tuntutan.

Tuntutan di dalam bahagian kedua merupakan pra-syarat untuk kita memperoleh permintaan yang terkandung dalam doa yang pertama.

”dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa.”

Siapakah orang yang bertaqwa?

Menurut syara’, taqwa bermaksud

“Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.
( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )

Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”

Kesimpulannya, orang yang bertaqwa ialah orang yang benar-benar beriman kepada Allah, mencakupi segala aspek kehidupan.

Namun, dalam doa tersebut kita meminta supaya menjadi imam kepada orang-orang yang bertaqwa. Sudah tentu seorang imam atau pemimpin perlulah lebih baik daripada orang yang dipimpin.

Untuk mendapat sesuatu yang baik, kita mestilah sedaya upaya berusaha untuk menjadi yang baik terlebih dahulu.

Kita memohon supaya dikurniakan seorang isteri yang solehah. Semestinya seorang muslimah solehah juga memohon kepada Allah supaya dikurniakan kepadanya seorang suami yang soleh. Seandainya kita tidak berusaha untuk menjadi ‘orang soleh’ tersebut, bagaimana mungkin kita akan dikurniakan seorang pasangan yang soleh/solehah.

Kita juga memohon supaya dianugerahkan anak-anak yang baik, soleh dan solehah. Maka wajiblah acuannya terlebih dahulu baik sebelum mendapat hasil yang baik.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah "saya didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan".


Hakikat, untuk menempuh suatu hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan, kita dikehendaki supaya bersedia supaya nanti kita tidak menjadi ‘imam’ yang sesat malah menyesatkan orang yang kita pimpin.

“”BE THE BETTER TO GET THE BEST””

Masih banyak sebenarnya yang perlu diperbaiki dalam diri untuk memperoleh apa yang dihhajati.

Aku memohon kepadaMU Ya Allah, supaya dikurniakan petunjuk serta kekuatan untuk aku mengubah diri menjadi yang lebih baik.

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami) dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa."

Lamunanku terhenti ketika muazin melaungkan iqamat, mengajak manusia untuk menundukkan diri kepada Allah.

Allahu’alam…



Iklan : Saasatul Ibaad..


Revolusi di Perancis berlaku seawal tahun 1799.

Namun, pada tahun 1699, iaitu 100 tahun sebelum revolusi perancis, penduduk di tanah melayu sudah pun melakukan ‘revolusi’ menggulingkan pemerintah yang zalim. Rakyat bangkit menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah iaitu Sultan. Revolusi tersebut juga merupakan revolusi mental yang tercetus dalam bangsa melayu apabila konsep ‘Sultan itu berdaulat’ serta ‘Sultan merupakan dari kalangan dewa dewi’ dan ‘Sultan merupakan bayangan tuhan di bumi’ ditolak sama sekali. Bangsa melayu dengan sukarela memilih untuk dipimpin dengan petunjuk wahyu dan agama apabila menaikkan pemerintah yang ‘alim sebagai pengganti sultan yang zalim.

Saasatul Ibaad atau Pelaku Siasah dalam revolusi tersebut tidaklah muncul secara tiba-tiba melainkan perlu ‘dicipta’. Pemerintah zalim yang ditumbangkan perlulah diganti dengan orang yang selayaknya memegang tampuk pemerintahan. Inilah peranan golongan ‘alim dalam melahirkan pengganti yang mampu mentadbir dengan adil dan berlandaskan ajaran islam.

Malah, peranan Saasatul Ibaad pimpinan ulama’ juga terserlah apabila berjaya mempermain-mainkan dan memperbodoh-bodohkan penjajah Belanda pada ketika itu.

Sebuah novel sejarah yang sangat menarik untuk dibaca dan dihayati hasil karangan Faisal Tehrani.

p/s :- tak dapat royalti pun….


Thursday, December 25, 2008

sudah bertunang ka???


“Hey Hisyam, U sudah ada girlfriend ka?”

“Haa !!!” terkejut aku tiba-tiba disoal dengan soalan sensitif tersebut.

“mana ada..Apa pasal U nak tau?” aku membalas.

“Habis, U sudah bertunang ka? Bagitau la...” Ishhh. Ke situ pulak. Mungkin kerana aku pakai cincin dekat jari manis kot. Kalau budaya orang arab, pakai cincin kosong di jari manis sebelah kanan, maksudnya sudah bertunang, kalau sebelah kiri maksudnya sudah berkahwin. Prof aku yang beri tahu. Allahu’alam.


“Hmmm, perlu ka bagitau?

Begitulah soalan yang muncul, ketika aku dan kawan-kawan sekerja sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan di kilang tempat aku bekerja. Kawan yang bertanya merupakan seorang berbangsa cina. 2 orang lagi kawan, juga bukan muslim, serta 2 orang ‘auntie’ berbangsa cina. Semua perempuan non-muslim, kecuali aku.

“cepat la ! apa U nak malu.” Seorang lagi kawan mendesak untuk aku memberitahu status diri.

”OK, sebenarnya ................”

@#$%^&*

”Hmmm, U orang muslim tak boleh keluar berdua-dua ka kalau belum kahwin?”

”Ya. Sepatutnya macam tu lah !!”

”panggil sayang boleh tak ?” seorang lagi menyampuk.

”panggil sayang ? ish, tak boleh la...”

”panggil pun tak boleh?” dia mahukan kepastian.

”Hmm, sebenarnya tak elok la macam tu. Walaupun kita dah bertunang sekali pun, dia bukan kita punya lagi ma !!” aku menjawab.

”dan, kalau bertunang, tak perlu hebah bagitau orang lain pun.” aku menambah.

”aik ? kalau tak bagitau, macam mana orang nak tau yang dia tu dah bertunang.? Nanti kalau orang lain nak tackle dia?”

“Hmm, kalau ada orang nak tackle, bagitau la yang sebenar. Bukan apa, cuba tengok, kekadang artis bila dah bertunang, satu Malaysia diheboh. Then tiba-tiba tak jadi kahwin. Siapa yang malu? Dia jugak kan ?”

“owh.”

“tapi kan, kenapa I tengok ramai muslim yang keluar berdua-dua lelaki dan perempuan?” malu aku bila ditanya soalan seperti itu.

“sebenarnya tak sepatutnya la. Tapi.. ya lah. Kekadang tak semua yang ikut. Kadang-kadang ada orang buat kerana tak tahu. Kekadang ada juga yang tahu, tapi tak mahu. Tak boleh la kita judge agama tu dengan penganut dia kan?.” aku terpaksa mem’back-up’.

”Owh, U ni kira berpegang pada agama lah ya?”

“Hmmm, kita kenalah ikut. Tapi…” aku tak meneruskan kata-kata. Malu kerana banyak perkara yang aku pun tak dapat amalkan sepenuhnya.

“Kalau keluar berdua tak boleh, cakap sayang pun tak boleh, macam mana nak kahwin.”

”Hmm, tak semestinya kalau tak keluar sekali, tak boleh kahwin ma !”

“habis macam mana kenal kalau tak keluar sekali.”

Soalan tersebut sangat sukar untuk aku jelaskan, lebih-lebih lagi kepada non-muslim.

“Hmm, kalau nak ikutkan cara yang lebih baik, kena ada orang tengah.”

“Orang tengah?”

“OK, macam ni.” Aku terdiam sebentar sambil memikir ayat untuk menerangkan dengan sebaiknya, sambil tangan membungkus paket-paket kecil ke dalam kotak.

“cepat lah !! Orang tanya, U diam. Nanti tanya lagi, U diam lagi.” Aku dipaksa untuk meneruskan cerita.

“sekejap la. Saya tengah fikirkan ayat ni.” Aku membalas. “Orang nak cerita dia menyampuk.” Aku menambah.

“OK. Kalau U suka dekat seorang nie, U bagitau la dekat orang tengah. Orang tengah boleh jadi senior atau kawan U. Tapi mesti kena orang yang boleh dipercayai lah”

”Kalau U lelaki, then U bagitau lah dekat senior lelaki atau wakil lelaki. Lepas tu, wakil U ni akan bagitau dekat wakil atau kawan kepada perempuan tu. Lepas tu, baru wakil atau kawan perempuan tu akan bagitau dekat perempuan yang U minat tu. Tapi tak perlu bagitau siapa yang minat dekat dia. Bagi masa untuk dia berfikir. Kalau dia setuju untuk tahu siapa lelaki tu, baru wakil tadi akan beritahu.”

”lepas tu?”

”lepas tu, kalau dua-dua sudah setuju, baru dua-dua orang akan dipertemukan. Wakil dan senior akan ada sekali la. Masa tu baru perkenalkan diri masing-masing.Yang tu saya bagi contoh saja. Kalau tak setuju, tak ada lah.”

“Pointnya, yang sebaik-baiknya ada wakil. Bukan direct kepada perempuan tu. Sebabnya, kalau U pergi approach perempuan tu, dan dia tolak, mesti U rasa malu dan tak syok kan?”

“tapi kalau U bagtau orang tangah pun, U akan kecewa juga kan kalau kena tolak?”

“Sebab tu, orang tengah akan tanya dulu, dia dah ready atau tak. Kalau belum, tak payah la bagitau. Orang tu pun tak tau yang U suka dekat dia. Tak lah nanti U malu dengan orang yang U suka tu”

”lagipun, tujuan hubungan dalam islam, untuk berkahwin. Bukan untuk suka-suka saja. So, tak ready untuk kahwin kalau, tak perlu lah.” aku menjelaskan kepada mereka.

”kalau sudah jumpa tu, boleh keluar berdua lah ?” banyaknya tanya..

”tetap tak boleh keluar suka-suka. Dah bertunang pun tak boleh juga. Kalau nak keluar, kenalah ada teman. Perempuan perlu ada kawan yang teman. Lelaki tak perlu pun tak apa.”

”telefon dan SMS pun tak boleh?”

”telefon? Kalau tak ada apa-apa hal, tak telefon pun tak apa. Tapi nak telefon ka, nak SMS ka, buat saja lah. Perlu juga, kalau nak berbincang tentang hal-hal yang penting.

”dalam islam, tuhan suruh semua ni sebagai prevention. Kalau dalam Quran ada sebut, La Taqrabuzzina. Maksudnya jangan kamu hampiri zina. Quran tak sebut, jangan kamu berzina. U tahu kan zina tu apa? Tapi tuhan sebut jangan hampiri zina. Keluar berdua-duaan, lepas tu pegang tangan, lepas tu..apa jadi? Islam nak elak benda ni la.”

Mereka sekadar mengangguk. Auntie berdua sekadar menjadi pemerhati.

“Satu lagi, U orang muslim kalau perempuan kena pakai tudung kan ? I tengok macam-macam fesyen tudung ada. Ada yang pakai yang besar sampai tutup semua, ada yang pakai biasa saja. Macam mana ?”

“Tudung tu wajib pakai. Tapi macam mana nak pakai tudung tu, saya tak kisah sangat. Kalau dah pakai tudung tu, dah cukup baik. Tak kisah la tudung besar atau tudung kecil, yang penting pakai. Lebih baik daripada tak pakai langsung kan?

Kalau dalam Quran, Allah suruh labuhkan tudung sampai tutup dada. Ya lah !! walaupun pakai tudung, tapi kalau nampak dada, masih boleh naikkan nafsu kan ? tapi macam saya kata tadi, lebih baik pakai daripada tak pakai. Yang mana kena tutup, kenalah tutup.

“ Owh, jadi pakai tudung besar tu lebih baik lah? Macam kawan kita dalam kelas yang pakai tudung labuh tu, kira baik la.?”

“Hmm, kalau nak ikut suruhan tutup bahagian dada, lepas lah. Tapi apa fesyen pun tak pa.” aku membalas.

“ada yang tak pakai tudung tu, macam mana? U kena tegur dia lah. Dia macam moden sikit kan?”

“Hmmm, tegur tu kena lah. Tapi kena ada cara dia. Tak boleh kita terus pergi kata berdosa tak pakai tudung. Sebaiknya, kawan dekat kena tegur. Kalau tak kenal, tetiba kata macam tu, mesti dia lari. “

“tapi kadang-kadang ada yang ekstrim kan?”

“Ya, memng ada. Tak sepatutnya lah. Tapi yang salah tetap salah. Cuma cara tegur mesti kena dengan orang. Samalah macam solat. Saya pun ada kawan2 yang tak solat. Kena tegur perlahan-lahan. Kekadang diorang ikut, kekadang tak.

”tapi kalau mereka tak ikut juga?”

Tak apa lah. Sekurang-kurangnya kita dah bagitau.” aku menjelaskan kepada mereka.

”OWH..!!!”

Masing-masing senyap. Kami meneruskan kerja yang belum habis.....

Bukan mudah sebenarnya untuk kita menjelaskan sesuatu hal berkaitan dengan agama. Sebab itu, kita perlu sentiasa bersedia. Sesiapa sahaja boleh bertanya kepada kita. Lebih-lebih lagi non-muslim yang sentiasa menjadi pemerhati kepada kelakuan umat islam.

Penjelasan kita tersebut, perlulah ringkas dan mudah difahami. Jangan pula menampakkan amalan dalam agama sebagai sesuatu yang berat. Jika hukum tersebut kelihatan agak berat, selitkan pula dengan hikmah-hikmah dan kebaikan dalam pelaksanaan hukum tersebut. Jangan biarkan mereka tertanya-tanya sendirian mengapa perlu begini dan mengapa perlu begitu.

Aku harap, jawapan-jawapan yang aku beri tak mendatangkan fitnah kepada islam. Sesungguhnya, aku masih sangat lemah dalam hal ini.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah jua..

Allahu’alam...


Tuesday, December 23, 2008

hari pertamaku di kilang.....

“kecil saja kilang ni.” Aku berbisik di dalam hati tatkala melihat kilang tempat bakal aku bekerja untuk praktikal beberapa hari yang lepas. Dua orang rakan yang sama-sama berpraktikal di situ turut berkata begitu.

Hari ini, aku mula menjalani latihan industri. Meotin (Fragrance Victory Sdn Bhd), nama syarikat tempat aku bekerja. Hari pertama, datang 30 minit awal. Sepatutnya lebih awal, tapi ada beberapa masalah berlaku di rumah sewa, terlewatlah sikit.

Melangkah masuk ke dalam kilang, kami di bawa masuk ke pejabat untuk melapor diri. Di atas rak kelihatan tersusun produk-produk keluaran syarikat.

”banyak juga produk syarikat ni ya?” aku memberitahu kawan. Kilang nampak kecil, tapi produk yang dikeluarkan agak banyak. Jika dibilang bilangan pekerja, tak habis jari-jari di tangan menghitung. Pekerja untuk bahagian pengeluaran hanya seramai 5 orang. Seorang pembantu di bahagian pentadbiran dan bos. Suami bos, ataupun big boss tak ada. Mungkin ke Singapura.

Habis pendaftaran, kami masuk ke bahagian ’production’, berkenalan dengan family baru. Ada enam orang semuanya tak termasuk kami. Dua orang lelaki melayu, seorang lelaki cina yang bertindak sebagai supervisor dan dua orang auntie. Seorang lagi juga merupakan pelatih, yang belajar di New Zealand. Semuanya baik-baik belaka, terutamanya abang berdua tu yang sangat suka melawak.

Sambil bersembang, kami memulakan tugas pertama. Beribu-ribu paket minuman bijirin perlu dimasukkan ke dalam kotak. Kemudian, aku masuk ke ruang dalam, dan mencuba kerja lain. Tugasnya, melabelkan tarikh luput makanan pada setiap paket bungkusan tersebut.

Tugasan kami lebih kepada bahagian bungkusan. Kilang tersebut bukanlah kilang besar yang memproses bahan mentah. Tetapi lebih kepada memformulakan makanan. Bahan-bahan yang siap diproses seperti bijirin, rempah dan lain-lain diformulakan menjadi satu produk yang berkualiti. Kilang tersebut menumpukan kepada makanan untuk kesihatan. Tugas-tugas mencampurkan bahan-bahan hanya boleh dilakukan oleh supervisor kerana formula-formula tersebut dirahsiakan. Malah tugasan ’R & D’ dilakukan sendiri oleh bos. Selesai campuran, barulah kami boleh terlibat.

Selesai tugasan, semua pekerja berkumpul di ruang tengah. Kami bersembang sambil menjamu selera, makan karipap bersama-sama..

Masuk balik kerja pukul 2 petang, kami semua masuk ke ’dapur’. Produk yang hendak disiapkan ialah rempah kari ’black pepper’. Daripada Mixer, kami melakukan tugas-tugas pengetinan. Beratus-ratus tin perlu dihabiskan. Dari mixer sampai ke dalam kotak untuk diedar.

Separuh jalan, bos memanggil kami ke pejabat. Pertama kali kami bersua muka dengan bos. Seorang perempuan cina berumur lewat 20-an. Seorang berwarganegara Singapura. Dia memberi banyak nasihat kepada kami bertiga. Dia menceritakan perihal dirinya. Tidak pernah mendapat sebarang ijazah, tetapi boleh berjaya. Dia seorang yang sangat sensitif. Katanya jika ada orang masuk ke dalam biliknya dan menyentuh barang-barangnya, dia dapat tahu. Malah dia juga dapat membaca isi hati orang hanya dengan memandang wajah orang tersebut. Katanya, dia juga sangat dekat dengan alam, hingga kekadang dapat mendengar tumbuhan berkata-kata dan sebagainya. Ya, dia memang seorang yang sangat unik. Mungkin kedengaran seperti hendak mengangkat diri, tetapi tidak sama sekali. Dia juga meminta kami supaya menjadi seorang yang sangat sensitif. Sensitif kepada diri, sensitif kepada alam dan sebagainya.

“Jika kamu tidak mampu menghargai makanan, kamu tidak layak untuk berada dalam industri. Jika makanan pun kamu tak dapat habiskan, kamu juga tak layak untuk berada dalam industri ini.”

Dia sangat-sangat menghargai alam. Malah dia sangat mengambil berat tentang kesihatan manusia. Sebab itu, dalam produk di kilang, tiada bahan kimia yang digunakan. Katanya, biar kita menyumbang ke arah kebaikan kepada manusia.

Bos juga mengingatkan supaya jangan bangga dengan pencapaian. Ijazah tiada guna jika hanya untuk dibangga-banggakan. Akhirnya kerana terlalu memilih, ijazah langsung tak bernilai.

“kita dilahirkan dalam keadaan telanjang. Tiada langsung yang berharga pada diri kita, melainkan kita sendiri yang menghargai nilai dalam diri kita.”

Terlalu banyak yang disampaikan kepada kami. Malah bos sangat baik dengan pekerja-pekerjanya. Dia melayan semua orang dengan sama rata.

Hmmm, keluar saja dari pejabat, rasa bersyukur sangat-sangat sebab Allah mentakdirkan aku membuat praktikal di situ. Harap aku dapat belajar banyak sepanjang 4 bulan lebih di sana. Dan harap bertambah baiklah bahasa inggeris aku, sebab bos cakap totally dalam bahasa inggeris...

Hmm, cukuplah untuk hari yang pertama. Sekarang dah dekat pukul 4 pagi. Besok nak kena bangun awal, sebab bertolak dari rumah di seberang. Lebih sejam perjalanan nak ke kilang. Rasa menyesal pun ada tidur lewat2 macam nie. Hehehe..

Wassalam...

http://www.meotin.com/main.html

Thursday, December 18, 2008

Renungan buat bangsaku...dan aku..

I like this song very much...
agak 'complicated' sikit liriknya untuk difahami. Tapi, cuba-cubalah faham. Ada kena mengena dengan kehidupan kita. Inilah realiti bangsa kita. Ya !!! Bangsa kita..bangsa aku, dan bangsa anda!!!





fakta umur isteri Rasulullah....

Perkara ini sangat baru bagi diriku. Dan mungkin juga bagi diri umat manusia di dunia. Entahlah sama ada kalian semua sudah maklum atau belum.

Kuliah maghrib malam tadi,Ustaz ada menyentuh tentang fakta adakah benar Rasulullah berkahwin dengan Saidatina Khadijah semasa umurnya 40 tahun dan adakah benar Saidatina 'Aisyah berusia 6 @ 9 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah. Katanya, ada kajian yang dibuat mengatakan perkara tersebut tidak benar, dan merupakan tohmahan kaum syiah dan munafik.

Hasil pencarian, maka terjumpalah dengan jawapan kepada persoalan tersebut. Oleh kerana artikel tersebut terlalu panjang, tak dapatlah nak diletakkan di dalam blog ini. Jadi aku tinggalkan link untuk para sahabat membaca berkenaan persoalan tersebut. Harap dapat bersabar dalam menghabiskan pembacaan..

baca di : link

download pdf/MW di : link




Wednesday, December 17, 2008

terkenang: persembahan hari guru..

fobia bernasyid atas pentas...!!
mungkin istilah saintifiknya nasyidofobia?? atau stagiofobia?
hmmm, entah lah. yang pasti, peristiwa itu telah menyebabkan karier nasyidku sekadar di dalam rumah atau di atas motor...dan mungkin di beberapa lagi tempat tertentu, tapi bukan di atas pentas.

Ketika itu, aku berada di tingkatan 5. Senior di SMKA Al-Irshad a.k.a Otai.. Seperti biasa, aku dan kawan-kawan menghabiskan waktu petang selepas waktu persekolahan. Selesai solat, kami akan ke Simpang Empat untuk makan. Kemudian kembali ke kelas untuk 'study.' itu pun jika betul-betul ada kerja yang perlu dihabisi segera. jika tiada kerja, dan selalunya tiada kerja, kami akan melakukan aktiviti sampingan.

Jika tidak bernasyid atau boleh disebut sebagai melalak, kami akan pergi mengacau cikgu. guru kaunseling selalu menjadi mangsa. Melepak di bilik guru, merupakan perkara biasa. Itulah rutin harian, sementara menunggu ibu bapa masing-masing datang menjemput selepas waktu pejabat.

Hari Guru kembali lagi. Tahun ini, Badan Pengawas sekolah ada merancang satu program istimewa buat para guru kesayangan sempena menyambut hari guru. Program berjalan di dewan utama sekolah.

Pelbagai aktiviti berlangsung. Nyanyian 'Kami Guru Malaysia' daripada para guru, persembahan dan lain-lain. Aku tak berapa ingat semuanya. Tapi satu persembahan yang aku tak dapat lupa....

Persembahan khas daripada aku dan kawan-kawan. Kami bukanlah siapa-siapa pun di dalam sekolah. Kumpulan Nasyid sekolah ?? jauh sekali. jauh pinggang dari pipi. Pelajar Terbaik sekolah. Lagilah jauh.(kecuali seorang sahabat yang dapat 12A). Kami hanyalah pelajar-pelajar yang suka mengganggu cikgu-cikgu selepas waktu persekolahan. Hmmm, sebab itulah kami meminta untuk membuat persembahan khas tersebut.

Tiada seorang pun di antara kami merupakan ahli kumpulan nasyid sekolah yang banyak memenangi anugerah pertandingan. Malah tiada juga yang pernah mengikuti latihan vokal. Latihan kami, cuma dalam kelas. Itu pun 'kelas melalak.' Namun itu bukanlah halangan untuk kami teruskan 'niat baik' kami.

Kami sempat membuat latihan selama beberapa jam. Ketika latihan, alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Bak kata orang London..PERFECT ! Semua sudah bersedia. Namun gementar merupakan perkara biasa. Ning Baizura pun rasa gementar ketika hendak memasuki pentas. Apatah lagi kami, dan lagi-lagi aku...

Waktu persembahan telah tiba. Kumpulan kami dialu-alukan ke pentas. Tepukan audience mula kedengaran. Jantungku berdegup semakin kencang. Lemah rasanya lutut hendak berdiri. Bukannya tak pernah berdiri di hadapan para pelajar lain. Malah hampir setiap minggu, muka inilah yang akan naik ke pentas kecil di tapak perhimpunan untuk membaca doa..

Hmmm, menyelit sedikit...teringat pula peristiwa di sekolah rendah. Sewaktu darjah 5 atau enam, muka ini jugalah yang menjadi pembaca doa semasa di perhimpunan...

Hari itu hari isnin. Malah isnin yang pertama untuk sesi persekolahan yang baru. Selesai nyanyian lagu negaraku, lagu Pulau Pinang, dan lagu sekolah, aku pula naik ke pentas untuk bacaan doa. Agak lama tidak menjejakkan kaki ke atas pentas tapak perhimpunan, tumpuan aku jadi hilang.

'Bismillahirrahmanirrahim...Allahumma....' Aku terdiam. 'Allahumma...'. Ya Allah. Aku lupa bacaan doa yang selalu dibaca. 'Allahumma..'

'Allahumma bariklana...' seorang cikgu yang berdiri di belakang cuba buat lawak tak kena waktu. Malu aku dibuatnya..entahlah apa warna muka aku waktu tu. Orang di bawah sudah mula ketawa. Akhirnya aku teringat doa tu..

'Allahummaftah'alaina'.....sehingga habis. Nasib badan.

Kembali kepada persembahan khas kami di SMKA Al-Irshad. Persembahan hampir bermula. Masing-masing mengambil tempat dan mikrofon. Empat orang semuanya. Muzik 'minus-one' mula kedengaran. Aku sebagai pemula nyanyian. Tangan yang memegang mikrofon mula bergetar-getar. Nafas pula semakin laju. Sekejap saja lagi aku akan bernasyid. Macam tak percaya. Kenapalah aku boleh terjebak dalam perkara ni.??

"Pernah..langkahku payah.."
"Menuju ke destinasi...."

Aku mulakan nyanyian sebaik saja muzik latar sampai masanya. Macam mana nyanyianku, tidak dapat aku komen. Nak kata OK, macam tak betul saja. Hmm, entahlah..

Soal hati. Hanya Allah yang tahu. Rasa menyesal pun ada. Perasaan gementar membuatkan nyanyian aku semakin laju.

"semuanya salah saya, nak balik cepat..kalaulah saya bersabar..Maafkan saya MAK !!"..
teringat pulak iklan tu. Nak laju punya pasal, akhirnya kemalangan.

Habis lirik untuk part pertama. Tiba-tiba aku terdengar muzik latar belum habis lagi. Alamak !!! awalnya aku habis... KANTOI.!! malunya waktu itu tak dapat aku bayangkan. Bukan sekali perkara tu terjadi. Sepanjang nyanyian tersebut yang melibatkan 'part' aku menyanyi, nyanyianku memecut meninggalkan muzik latar beberapa kali.. hahahaha..

Habis saja persembahan, selepas sahabat aku membuat ucapan penutup, aku pun membuat ucapan.

"mintak maaf semua, pasal persembahan tadi.." malu..malu...malu...ramai yang ketawakan aku... Hmm, nasib badan..


Turun saja dari pentas, aku pergi ke arah guru. Aku bertanya kepada seorang guru.

"macam mana persembahan tadi cikgu?" sengaja menduga..

"Hmm,bagus persembahan tadi." cikgu memberi komen. Keseluruhan persembahan memang agak bagus, kecuali 'part' aku... tapi tidak lah terlalu teruk.

"cuma, lain kali..."tambah cikgu "tak perlulah mintak maaf kepada penonton."

"Owh..OK." tersipi-sipu aku menjawab.

Tak kisah. walau apa pun kata orang, dan macam mana teruk pun persembahan hari tu, nyanyian itu satu penghargaan untuk guru-guru. Ikhlas daripada kami semua..

Terima Kasih Cikgu....!!!!!!

Aku hadiahkan lagu LILIN SEORANG GURU ini kepada semua guru-guru yang pernah atau yang tak pernah mengajar aku bagi menggantikan lagu yang pernah aku 'rosakkan' suatu masa dahulu...