Tiba-tiba, seorang kanak-kanak kecil datang menyapa.
”Pakcik.!!” lembut sapaan kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 4 hingga 5 tahun tersebut, dan kemudian menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Aku menyambut dengan senyuman dan membalas salam kanak-kanak tersebut.
Kanak-kanak comel tersebut bersalaman dan mencium tangan, kemudian seorang lagi kanak-kanak datang untuk bersalaman.
Mereka berdua kemudian berlalu pergi....
”Pakcik?” aku berbisik di dalam hati, lalu tersenyum sendirian.
Sudah bergelar pakcik rupanya aku ini. Fikiran aku melayang sebentar.
”anak siapa tu. Baik betul.” Hatiku berbisik.
Teringin untuk mempunyai anak yang comel dan baik seperti itu..
Namun, untuk mendapat anak-anak yang baik, soleh dan solehah, ibu bapanyalah perlu menjadi ‘baik’ terlebih dahulu.
“Mana mungkin mendapat maruku jika menggunakan acuan bahulu.”
Teringat ketika berada di tingkatan 2, ustazah memberitahu bahawa kita perlu berdoa supaya dikurniakan pasangan yang baik. Suami yang soleh dan isteri yang solehah.
Spontan aku bertanya “doa apa ustazah?”
Sahabat-sahabat di dalam kelas ketawakan aku kerana bersungguh-sungguh bertanya. Maklumlah, baru berumur 14 tahun.
“Takkan tak tahu. ‘Rabbana hablana....”
“Owh, doa tu rupanya.”
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami) dan jadikanlah kami imam kepada
orang-orang yang bertaqwa."
orang-orang yang bertaqwa."
Doa tersebut sering kita lafazkan setiap kali sesudah solat. Cuma mungkin ada di antara kita yang tidak pernah mengambil tahu maksud setiap doa yang dilafazkan.
Doa tersebut mempunyai pengertian serta tuntutan yang sangat besar. Terdapat dua bahagian yang utama di dalam doa tersebut.
Bahagian pertama, kita berdoa supaya dianugerahkan isteri/pasangan serta zuriat yang dapat menjadi penyejuk mata dan penenang hati di dalam hidup. Bahagian ini merupakan satu permintaan kita kepada Allah.
Bahagian kedua pula, kita memohon supaya menjadi imam kepada orang-orang mukmin. Bahagian kedua di dalam doa tersebut lebih kepada satu tuntutan.
Tuntutan di dalam bahagian kedua merupakan pra-syarat untuk kita memperoleh permintaan yang terkandung dalam doa yang pertama.
”dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa.”
Siapakah orang yang bertaqwa?
Menurut syara’, taqwa bermaksud
“Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”
“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.
( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.
Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.
Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”
Kesimpulannya, orang yang bertaqwa ialah orang yang benar-benar beriman kepada Allah, mencakupi segala aspek kehidupan.
Namun, dalam doa tersebut kita meminta supaya menjadi imam kepada orang-orang yang bertaqwa. Sudah tentu seorang imam atau pemimpin perlulah lebih baik daripada orang yang dipimpin.
Untuk mendapat sesuatu yang baik, kita mestilah sedaya upaya berusaha untuk menjadi yang baik terlebih dahulu.
Kita memohon supaya dikurniakan seorang isteri yang solehah. Semestinya seorang muslimah solehah juga memohon kepada Allah supaya dikurniakan kepadanya seorang suami yang soleh. Seandainya kita tidak berusaha untuk menjadi ‘orang soleh’ tersebut, bagaimana mungkin kita akan dikurniakan seorang pasangan yang soleh/solehah.
Kita juga memohon supaya dianugerahkan anak-anak yang baik, soleh dan solehah. Maka wajiblah acuannya terlebih dahulu baik sebelum mendapat hasil yang baik.
Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah "saya didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan".
Hakikat, untuk menempuh suatu hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan, kita dikehendaki supaya bersedia supaya nanti kita tidak menjadi ‘imam’ yang sesat malah menyesatkan orang yang kita pimpin.
“”BE THE BETTER TO GET THE BEST””
Masih banyak sebenarnya yang perlu diperbaiki dalam diri untuk memperoleh apa yang dihhajati.
Aku memohon kepadaMU Ya Allah, supaya dikurniakan petunjuk serta kekuatan untuk aku mengubah diri menjadi yang lebih baik.
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami) dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa."
Lamunanku terhenti ketika muazin melaungkan iqamat, mengajak manusia untuk menundukkan diri kepada Allah.
Allahu’alam…
No comments:
Post a Comment