Artikel ini adalah versi ringksan yang diubahsuai daripada artikel asal untuk tujuan cetakan.
..........................................................................
Dahulu sewaktu masih kecil, nenek selalu mengingatkan; “Jangan kencing berdiri, nanti kubur sempit.” Namun apalah sangat makna kubur sempit kepada kanak2 hingusan ketika itu.
Mungkin ramai orang menganggap persoalan berkaitan kencing sebagai isu remeh yang sengaja hendak diperbesarkan. Tetapi ketahuilah bahawa dalam islam, perkara yang dianggap remeh itu, termasuk dalam hal membuang air dipandang tinggi oleh agama.
Masalah ini sengaja diutarakan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan tandas ‘terapung’ yang seolah-olah menggalakkan orang membuang air dengan cara berdiri, hatta seorang tua yang berkopiah di kepala juga turut sama melakukan perkara sedemikian.
DUA persoalan besar yang boleh dikaitkan dengan kencing berdiri, terutamanya yang menggunakan tandas terapung tersebut iaitu soal ADAB, dan soal AZAB. Betapa sempurnanya islam sehingga adab membuang air pun diajarkan kepada umatnya melalui teladan daripada Rasulullah.
Aurat dari segi bahasa membawa maksud ‘keaiban’ atau sesuatu perkara yang memalukan. Sebab itu seorang muslim disuruh menjaga auratnya. Membuang air menggunakan tandas terapung tersebut memungkinkan auratnya dilihat orang, lalu mendatangkan dosa.
Kencing dengan cara tersebut juga menyebabkan najis itu terpercik lalu mengenai pakaian yang dipakai tanpa kita sedari. Tambahan pula, tiada paip air yang tersedia pada tandas itu, lalu bagaimana kita hendak menyucikan najis tersebut? Najis seperti air kencing perlu dibersihkan dengan mengalirkan air, bukan hanya dengan menyapu-nyapu menggunakan air yang ditadah dengan tangan. Lalu dengan pakaian yang sama, kita gunakan pula untuk melakukan ibadah. Walaupun ada sesetengah orang yang menukar pakaian ketika hendak solat, tetapi jika najis itu tidak dicuci dengan betul, ianya masih melekat pada kemaluan. Tiada gunanya menukar pakaian dalam keadaan itu.
Menyusuri sunnah, walaupun Rasulullah pernah kencing dalam keadaan berdiri berdasarkan hadis;
Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi S.A.W.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi S.A.W. kencing di situ sambil berdiri.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Namun, perbuatan itu bukanlah dilazimi oleh Baginda. . Para ulama’ mengatakan bahawa tempat dan keadaan tersebut tidak membenarkan Rasulullah untuk membuang air seperti biasa. Ummul mukminin Saidatina ‘Aisyah mengatakan;
“Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi S.A.W kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”.
(Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).
Hadis ini bukan bertentangan, tetapi ‘Aisyah menerangkan perihal kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah yang dilihat olehnya.
Adapun persoalan berkaitan dengan AZAB pula, sebuah hadis menerangkan;
Cucilah bekas air kencing, karena kebanyakan azab kubur itu karena masalah itu.
(HR. Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny).
Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan hadis;
Ibnu Abbas Radhiallahu’anhu berkata : “Suatu kali Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melewati kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar suara dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:
“Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi S.A.W meminta pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi saw pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan azab dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering.”
Amat malanglah sekiranya kita menjaga solat, tetapi tidak mengambil berat tentang perkara seperti ini, maka segala amalan tersebut sia-sia. Janganlah nanti kita termasuk dalam golongan orang yang rugi di akhirat hanya kerana kita meremehkan perkara yang berkaitan dengan kencing ini.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua…
H.B.K
MCM Seremban