Sunday, November 30, 2008

musafir ke Kelantan...

Tak tahu nak bermula dari mana. Musafir ke Kelantan kali ni memang sangat menyeronokkan. Sebelum ni pernah 2 kali menjejakkan kaki di bumi bertuah, bumi survival ni...bersama keluarga dan untuk berprogram.

Musafir kali ni, tujuan utama ialah ke kenduri perkahwinan seorang sahabat, pimpinan PMIUSM. 4 hari 3 malam..maka, segala aktiviti dirancang sebaiknya.


KHAMIS......

Mula bertolak pada sebelah pagi, kami singgah di beberapa tempat di Penang sebelum betul-betul menuju ke Kelantan. Van yang sarat dengan 10 orang penumpang mula bergerak ke Pantai Timur.

Gerimis yang menitis menimpa bumi mengiringi perjalanan kami. Mendung dan dingin mengurangkan keletihan bermusafir. Namun, yang hobinya tidur, terus melayan mimpi. Yang hobinya suka termenung, maka termenunglah dia memandang pemandangan yang mengasyikkan. Melihat gunung ganang yang terpasak, teringat aku dengan sebuah hadith nabi yang selalu didengar dalam koleksi zikir-zikir yang ada kaitannya dengan gunung, iaitu :-

”Orang beriman melihat dosanya umpama gunung yang besar, yang akan menghempapnya, manakala ahli maksiat melihat dosanya umpama lalat yang hinggap dihidungya, apabila dia mengisyaratkan dengan tangannya, maka lalat itu akan lari.”
(H.R. Al-Bukhari)

Terfikir aku, semasa membuat dosa, tak pernah terasa perbuatan tersebut sesuatu yang ’berat’ untuk ditanggung. Andai termampu, mahu saja aku mengambil gunung-gunung di banjaran tersebut dan meletakkannya di atas kepalaku, agar aku merasa bahawa dosa itu sebenarnya merupakan beban yang tak tertanggung dek badan.


Sampai di Puncak Titiwangsa, kami singgah sebentar menikmati pemandangan yang indah dan udara dingin yang mencucuk-cucuk hingga ke sum-sum tulang. Kerdil terasa berada di bumi Allah yang luas. Luas dan besarnya hasil ciptaan Allah, maka Maha Luas dan Maha Besarlah Allah yang menciptakannya.

Selesai solat, kami teruskan perjalanan menempuh jalan-jalan berliku ke Kelantan. 4 ’road block’ sepanjang perjalanan kami lalui, hampir semua bertanyakan soalan yang sama. ”nak ke mana ramai-ramai ni?” takut-takut kami ni menyeludup manusia dari sempadan. Mungkin sahaja...

Sampai ke Kelantan, kami turunkan seorang sahabat di rumahnya, lalu kami terus ke tempat penginapan, rumah sahabat anak jati Kelantan merangkap ’Big Boss kami, YDP PMIUSM. Berehat sebentar di rumah, selesai isyak kami teruskan aktiviti pertama. Shopping di KB Mall... tapi bukan untuk diri sendiri melainkan mencari hadiah perkahwinan sahabat tersayang. Hasil syura, kami memutuskan membeli $ sebagai hadiah.

Wakaf Che Yeh.. pasar 24 jam bak kata anak jati Kelantan. Pasar malamnya begitu ’membutakan’ mata hati dan akal.. kenapa? Satu malam, aku habis berpuluh-puluh ringgit membeli $. Tapi tak apa, untuk kegunaan.. Cuma ianya hanyalah ‘kehendak’ dan bukannya ‘keperluan’.

Kemudian, kami pulang ke rumah untuk ’recharge’ tenaga untuk kegunaan besok harinya......

JUMAAT....

Pelik..sangat pelik pemandangan di sini. Rasanya inilah satu-satunya tempat di Malaysia yang ada perkara sebegini. Di tengah-tengah pekan, di celah-celah bangunan, beberapa khemah didirikan. Di tengah-tengah, satu khemah istimewa untuk seseorang yang istimewa. Pagi jumaat, kami terus ke Kota Bharu untuk mendengar kuliah Tok Guru. Seperti yang aku ceritakan di atas, kuliah tersebut bukan di dalam masjid, bukan juga di dalam dewan dan stadium, tetapi di tengah-tengah jalan, di atas pentas yang ringkas.


Beruntung masyarakat di Kelantan. Pemimpin turun, duduk di hadapan. Tak perlu ada ’body guard’ yang menghalang untuk berjumpa dan bersalam. Aku sempat berada di atas pentas yang sama dengan Tok Guru Nik Aziz untuk mendengar kuliah pagi tersebut. Antara isi kandungan kuliah tafsir yang sangat terkesan dalam hati ialah apabila Tok Guru memberitahu tentang kekuasaan Allah yang berkuasa ’menampung’ air hujan di atas langit. Katanya, andai tiada siapa yang menampung air yang sebegitu banyak, maka cuba bayangkan jika air tersebut jatuh sekaligus menimpa umat manusia yang begitu kerdil di atas muka bumi. Nescaya semua yang berada di bumi akan hancur dan mati. Namun, Allah menampung semua air tersebut dan menurunkan sedikit demi sedikit, titisan demi titisan dengan jumlah yang telah ditetapkan, seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

Habis kuliah, kami membeli-belah buat kali kedua. Semua menyerbu kedai kitab. Kali pertama sampai, berpinau rasanya kepala melihat buku yang terlalu banyak. Sampaikan tak tahu untuk memilih buku yang hendak dibeli,. Namun aku perlu mencari sesuatu untuk dijadikan santapan rohani. Selesai beli buku, aku berseorangan mencari baju untuk kakak dan emak.

Seronok melayan penjual baju di situ. Dengan loghat Kelantan yang masih belum fasih, aku cuba berbicara. Penjual tersebut masih belum dapat mengesan bahawa aku sebenarnya anak jati Pulau Mutiara, sehinggalah selesai aku membeli jubah kakak, dan tetiba aku terkantoi.. “sini, mano nok caghi baju KELAWAQ?...ehh!! kelawor”. Semua yang berada di situ tergelak. Macam mana boleh terkeluar loghat tu pulak. Terpaksalah aku mengaku yang aku ni orang utara, baru hendak belajar-belajar ber’kecek’ kelantan.






Selesai membeli belah di sekitar kawasan kuliah, kami bergerak ke destinasi seterusnya. Cadangan asal hendak memlihat-lihat Pasar Siti Khadijah dan membeli barang di situ, namun kami perlu bersolat sebentar lagi. Jadi, ‘shopping’ di PSK kami tangguhkan. Kami terus bergerak ke Masjid Muhammadi yang tersergam indah. Rambang mata melihat baju-baju jubah yang dijual di hadaan masjid. Terpaksalah aku ‘memejamkan’ mata apabila melalui kawasan tersebut. Takut-takut, terbeli pulak.



Selasai solat jumaat, kami ronda-ronda di sekitar kawasan tersebut. Kurang bernasib baik kerana hari jumaat merupakan hari cuti di Kelantan. Banyak tempat-tempat menarik seperti istana dan muzium yang ditutup. Tetapi sekurang-kurangnya, kami punyai masa untuk ke tempat lain.

Kami singgah di rumah sahabat di Bachok. Kawasan tersebut berdekatan dengan pantai. Selesai ziarah, kami menuju ke pantai. Ombak yang sangat kuat menyebabkan rancangan untuk mandi laut terpaksa dibatalkan. Tak apa, dapat bergambar di kawasan tersebut pun sudah cukup memuaskan hati.





Bukan air laut yang berwarna coklat itu yang menarik perhatian, namun kawasan berbatu yang ’menggunung’ serta ombak kuat yang memukul-mukul pantai dan batuan cukup memukau. Betapa Allah Maha Berkuasa mengubah sifat ombak yang kekadang tenang dan kekadang mengganas dan menggila. Semua itu untuk kita sama-sama fikirkan hikmat yang tersirat di sebalik kejadian alam.

SABTU



Majlis akad nikah berlangsung pada pukul 11.30 pagi di Masjid Al-Karomah, daerah Baung.

Kurang 30 minit membezakan zaman bujang sahabat dengan zaman berumahtngga. Sempat kami bergambar bersama-sama, di saat-saat akhir ’pengantin’ bergelar bujang.

sementara menunggu waktu kenduri, kami melawat lapangan terbang Kelantan dan sebuah lagi pantai.

Selesai solat zohor, kami terus ke rumah kenduri. Keadaan hujan yang agak lebat sedikit sebanyak membantutkan perancangan. Namun, alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar. Hmmm, ’biar gambar sahaja yang berbicara.’ Tak perlulah aku mengulas dengan lebih lanjut.






Selesai kenduri, kami ke Rantau Panjang untuk mencari sesuatu. Namun, kehadiran kami ke sana lewat petang lebih kepada menyaksikan upacara para peniaga menutup gerai. Bukan sesuatu yang mengecewakan, tetapi alhamdulillah, selamat duit dalam poket. Aku yang sudah agak banyak berbelanja, ‘menutup mata’ sambil berjalan. Tak apalah, bila-bila ada peluang lagi, aku akan sampai lagi ke sana untuk memborong barang.

Kami terus pulang ke rumah..letih, penah, tak larat…. Lepas makan malam, kami singgah di kedai makan milik Kak M. Sudah kenyang, lagi ditambah… sedap bihun sup tu…bila-bila masak la lagi yerr ..!!!!

Rasanya, cukup sekadar itu . Sebenarnya, banyak lagi yang hendak diceritakan dan banyak lagi yang tidak diceritakan. Tetapi hanya sebagai satu perkongsian. Tiada pun yang boleh diambil sebagai pengajaran. (lagipun, dah mengantuk sangat nie.. besok dah nak balik ke Penang. Cerita hari ahad tak dimasukkan sekali..)

Mungkin aku dapat kongsikan pengalaman-pengalaman ini dalam versi lain.
Cuma jika berpeluang, berjalanlah dan bermusafirlah. Jika tidak mampu ke luar negara, cukuplah sekadar di dalam negara. Sekali sekala, mata perlu bertukar warna. Dari kecil berada di ‘laut yang membiru’, tak terbayang dan tak tergambar indahnya berada di ‘padang dan hutan nan menghijau.’ Mungkin selama ini kita hanya mendengar cerita tentang ‘padang dan hutan’ dari mulut si nelayan. Maka digambarkan bahawa padang dan hutan itu penuh duri serta menakutkan. Namun, bila kita sendiri berada di atas ‘padang’, dapat kita rasakan betapa damainya dan tenangnya berada di sana….

Sekadar berkias….hehehehehe. (tak faham kalau, nasib la…)

-aku hanya ingin berkongsi-

Hisyamuddin Bin Kamarudin
30 Nov 2008 (4.04 am)
Salor, Kelantan..





Tuesday, November 25, 2008

Srikandi Kecil Beraksi !!!! (pictures)

N. Madihah memulakan jurus pertama. haiiyyaakkk !!!

menepis serangan dari musuh dengan selamber !!
yang nie jurusan apa plak cek ooiii !!! tak pernah tengok dalam buku teks pun..
gaya ala-ala ultraman..jurus terakhir. the killer buzz.. !!
bila dah menang, terbang ke angkasa..mmg macam ultraman..hehehe.


gambar-gambar ni aku ambil tanpa ada unsur paksaan. original from the owner of the body... kekadang kelakar jugak tengok gelagat baby nie tido.

aku dulu macam mana la agak-agaknya ek ??

p/s:- jgn marah nae kak !! pinjam gambaq madihah buat posting blog..dah xdak idea. hehehehe..


Saturday, November 22, 2008

terkenang: aku nak jadi Superman..

Zaman kanak-kanakku terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama, sejak aku dilahirkan hingga berumur 8 tahun, dan fasa kedua sejak berusia 8 tahun sehingga aku melangkah ke alam remaja. Fasa pertama, adalah sewaktu aku dan keluarga tinggal di kuarters Taman Sir Hussien, Masjid Negeri PP. Kemudian, kami berpindah ke Tasek Gelugor, (SPU). Menetap di sana sehingga sekarang.

Agak berbeza kehidupan pada fasa pertama dan fasa kedua dari segi suasana, latar tempat dan ragam kawan-kawan.

Pastinya tidak sama kehidupan kanak-kanak ‘hingusan’ berbanding kanak-kanak yang sudah ‘besar’. Namun, banyak kenangan yang masih boleh diingat semasa dalam fasa 1 kehidupanku.

Pernah dahulu aku ’bercita-cita’ menjadi seperti Superman. ’Bersayap’ merah, serta seluar dalam dipakai di bahagian luar. Dan yang paling penting, boleh terbang ke mana-mana yang aku suka.

Semasa umurku lebih kurang 4-5 tahun, aku telah melakukan penerbangan pertama sebagai Superman secara rasminya. Dengan kain pelekat bapak terikat di leher, aku terbang dari atas rak katil dan mendarat ke lantai. Terbangku di awangan tak lama. Seperti yang termaktub dalam kitab fizik, ”what’s going up, must come down”. Akibatnya, kakiku berbalut dengan simen dalam jangka masa yang agak lama. Aku masih ingat betapa siksanya untuk ke tandas. Aku terpaksa mengesot, mengusung kaki yang berat ke dalam tandas, dan menyusahkan mak bapak. Kalau Superman dapat tau cerita ni, mesti dia gelakkan aku.

Mungkin peristiwa patah kaki tersebut tidak dapat aku ingat apa yang berlaku sesudah itu, namun kesannya aku rasa sehingga dewasa. Jika cuaca sangat sejuk, kaki aku akan menjadi sakit. Lenguh akibat kesan patah tersebut. Kekadang sehingga tak dapat tidur pada waktu malam. Yang menjadi mangsa...mak !! Setiap kali aku sakit kaki, mak lah yang terpaksa mengurut. Kesian mak..hehehe. tapi sekarang ni, alhamdulillah. Dah tak sakit lagi. Lenguh dan sakit kaki kalau, mesti pasal panjat bukit atau main bola. Tak pun, kaki tersepak bangku. Pandai-pandai la urut sendiri...

Aku juga pernah ingin menjadi penunggang motorsikal yang hebat seperti watak dalam sebuah rancangan kartun. (dah lupa tajuk kartun tu). Satu petang, sewaktu umurku dalam lingkungan 4-5 tahun jugak, aku dan abang menaiki motorsikal yang ditongkat di luar rumah. Lagak seperti penunggang yang hebat. Ngeeennnggggg !!!!!!!!! goyang ke kiri, goyang ke kanan, ’mengelak halangan di hadapan.’

Akhirnya, motorsikal kami terbalik ke tepi. Abang tercampak masuk dalam longkang. Aku lebih malang lagi, terperosok di dalam pasu. Peristiwa tersebut terlalu tragis untuk diingat. Semuanya gara-gara hendak jadi seperti hero dalam televisyen.

Satu petang, aku keluar ke padang. Seorang kawan mengajak aku bermain satu permainan. ”nampak ayam tu?” dia menunjuk kepada seekor ayam piru. ”kenapa?” aku bertanya. ”cuba kejar ayam tu.”

Aku tanpa berfikir panjang, kejarlah ayam tu. Apa susah nak kejar ayam. Rancak mengejar ayam, tiba-tiba ayam tersebut berhenti, lalu berpaling. Aku pun berhenti mengejar. Macam mana nak kejar kalau ayam tu tak lari. Macam syok sendiri la. Dan tiba-tiba jugak, ayam tu berlari ke arah aku. Terperanjat, aku pun lari la. What u give, u get back. Ayam tu memang laju. Sampai dekat dengan aku, ayam tu terus lompat dan patuk punggung aku. Adusss !!. terasa jugak penangan patukan ayam piru.

Kawan aku tergelak-gelak dekat sebelah. Ciss !! patut dia suruh aku kejar. Rupa-rupanya, dia pun dah kena patuk dek ayam tu. Kurang asam punya kawan. Inilah erti persahabatan. Dia mendapat sesuatu, tak lupa nak beri kepada kawan lain.

Taman Sir Hussien tu popular dengan permainan rounders. Sejak kecil, aku memang dah bergiat aktif dalam permainan ni. Cuma, masa aku masih budak hingusan, kurang diberi kepercayaan untuk terlibat sama dengan ‘abang-abang’, tapi aku masih boleh bermain. Aku teringat satu peristiwa yang sampai sekarang aku masih tak boleh nak percaya. Kalau korang, terserah la nak percaya atau tak. Aku pun, masih tak percaya.. tapi percaya atau tak, perkara tersebut memang berlaku, malah sudah berlaku. Apa ceritanya..

Masa tu aku masih kecil. Tapi tak ingat umur berapa. Semasa membahagi kumpulan, aku diletakkan dengan seorang brother ni, dia memang baik. Tak pilih bulu macam adik dia. Giliran kami menjaga padang. Brother tadi suruh aku jaga di satu posisi. Aku pun akur. Tak pandai sangat dalam bab menangkap bola, aku pun duduk mencangkung di tempat yang dah ditetapkan dengan tangan aku ditadah di atas kepala. Mata aku pejamkan sambil aku membaca sesuatu. Rasanya aku baca bismillah...

Bola dibaling, lalu dipukul. Aku tak melihat kejadian tu pasal mata aku tertutup. Tiba-tiba, nak dijadikan cerita, bola mendarat atas tangan yang aku tadah tadi. Terkejut, aku terus menggenggam erat bola tersebut. WAHHH !!! kumpulan aku menjerit. Aku masih terpinga-pinga, terkejut dan tak sangka. Brother tadi berlari ke arah aku, lalu memeluk aku.Hehehehe, aku jadi riak sebentar. Saja na tunjuk ’ek’ depan orang-orang yang meminggirkan aku masa pemilihan ahli kumpulan.

Bila tiba time aku nak pukul, ahli kumpulan dah jadi excited. Tapi malangnya, 3 kali cubaan, satu pun tak kena. Bila tiba giliran kumpulan aku jaga padang sekali lagi, aku pun ambil tempat yang sama dengan gaya yang sama. Benar pisang tak berbuah dua kali.. sampai sudah, aku tak sentuh bola langsung..hehehehe..

Banyak lgi kenangan semasa fasa satu. Aku jatuh basikal atas sarang kerengga, melepak bawah pokok saga, main guling-guling atas tangga masjid Negeri, panjat pokok rumah orang, kena kejar keling botol pasal dok ejek dia, bergaduh dengan kawan, kena tendang di perut sampai tak boleh bernafas, cari lipan padang... pendek kata, fasa satu kehidupan aku penuh dengan kisah suka duka, tangis dan tawa.

Semasa umur aku mencecah awal 8 tahun, penduduk taman sir Hussien mendapat notis untuk pindah. Taman tersebut hendak dibuat apartment. Aku memberontak tak mahu pindah rumah. Sayang untuk tinggalkan kawan-kawan dan sekolah, walaupun dekat sekolah Batu Lanchang tu, ada dua orang budak yang suka membuli kawan-kawan. Muaz dan Naufal. Teringat lagi kisah dua budak ni bukak pintu tandas masa seorang budak cina tengah buang air besar. Mereka berdua ni selalu saja kena denda dengan cikgu, tapi tak pernah serik. Dan aku ada satu kisah yang agak perit untuk diterima semasa aku bersekolah. Tapi biarlah aku rahsiakan saja peristiwa tu. Soal maruah dan harga diri.hehehehehe.

Kami rakan-rakan, termasuk abang aku ada satu ’hobi’ semasa kami menaiki bas sekolah ke sekolah, kami akan bertanding, siapa yang jumpa paling banyak kereta mini Mr. Bean. Yang tak dijumpa pun, mengaku jumpa. Sampai boleh hafal rumah mana yang ada kereta mini. Hobi yang sangat pelik, tapi itulah realiti kehidupan kanak-kanak.

Hmmm, kerana terpaksa, akhirnya kami sekeluarga berpindah ke rumah lama, di Tasek Gelugor. Alhamdulillah, keadaan di sini lebih baik berbanding di sebelah pulau. Awal berpindah, emak beritahu ada sekolah arab di masjid. Aku membayangkan duduk bersila ramai-ramai di dalam masjid sambil belajar, tapi rupa-rupanya, macam sekolah jugak. Hmm... itulah permulaan fasa kedua kehiduan kanak-kanak aku.

Cuma satu yang aku pelik. Taman Sir Hussien tersebut masih seperti dulu. Rumah yang aku tinggal pun masih ada. Katanya nak dibuat apartment. Mungkin tak cukup bajet kot. Hehehe. Apa-apapun, aku bersyukur sangat-sangat berpindah ke SPU. Lebih aman dan tenang. Suasana tak begitu menekan seperti di Pulau.

Kanak-kanak....zaman yang sangat menyeronokkan. Namun yang pasti, zaman tersebut pasti akan ditinggalkan dan kita semua akan menjadi dewasa. Dan kitalah nanti yang akan melahirkan generasi kanak-kanak yang baru.

Walau bagaimanapun, zaman kanak-kanak akan tetap diingati.
Aku nak jadi Superman........

Hisyamuddin
22 NOV. 2008 (2.21 pm)
Raudatus Solihin.

Aku hanya ingin berkongsi


Friday, November 21, 2008

jumpa lagi ......(more pictures)


selesai paper akhir final exam semester nie, sahabat-sahabat Food Tech
sempat bergambar di luar dewan peperiksaan..




bergambar dengan team DIGI yang entah tiba-tiba muncul nak
bergambar bersama-sama kami.


kontroversi.. bro khairi memang suka peluk orang masa naik motor.
fobia sebab pernah accident..
lagi.... posing maut bersama kawan-kawan..

dari kiri (hadapan) : Sri @ Jeya, Amir, Abg Khairi, Aku, Arif, Fendi
dari kiri (belakang) : Acap, Saiful, Abdullah

> Raj tak sempat bergambar sekali.
> sedih...Fendi dan Saiful hilang helmet..
> Abg Khairi pakai helmet sebab nak cover muka dia yang bengkak dek sakit gigi..kesian..

semester depan, kami akan buat latihan industri. So, masing-masing akan bawak diri masing-masing lah... ada yang akan balik ke negeri sendiri. ada jugak yang tercampak ke negeri lain. dan aku....masih di Penang.. "aku...anak Penang." 1 semester penuh latihan industri. lama jugak tu. selalunya buat LI masa cuti antara sidang. kami batch yang pertama buat LI 1 sem penuh, dan batch pertama berkursus selama 4 tahun. sebelum ni 3 tahun ja untuk kursus Teknologi Makanan.

So, sahabat-sahabat.... kalau panjang umur dan murah rezeki, InsyaAllah, kita jumpa lagi 6 bulan kemudian.. semoga kita semua dirahmatiNYA...

Ameenn......

BIAR SUSAH SEDIKIT KERANA TUHAN...

”Tak solat ka pakcik ni?” soalku di dalam hati.

Pakcik tua. Kopiah pula ’terlekat’ atas kepala. Kenapa pula aku berfikir demikian?

Apabila masuk ke dalam tandas awam, pakcik ni, seperti kebanyakan lelaki lain menggunakan 'tandas terapung' yang terlekat di dinding untuk kencing.

Masalah ini sengaja diutarakan, memandangkan perkara berkaitan kencing ini terlalu diremeh-remehkan, terutamanya oleh kaum lelaki. Jika kita (lelaki) memasuki tandas awam, pastinya menjadi perkara yang biasa melihat orang membuang air kecil sambil berdiri menggunakan tandas yang aku istilahkan sebagai 'tandas terapung' ataupun 'tandas dinding.'

Dalam soal kencing, dua perkara penting perlu kita, tak kira sama ada lelaki atau wanita tekankan ialah soal ADAB dan AZAB.

Persoalan yang berkaitan dengan ADAB, seperti peristiwa di atas, ialah ke mana hilangnya rasa malu kita sebagai seorang muslim? Islam mengajar penganutnya dengan sifat-sifat malu. Malah kita juga perlu menjaga aurat apabila berada di khalayak ramai. Kencing berdiri menggunakan tandas yang tidak tertutup pastinya berkemungkinan besar akan menampakkan aurat dan kemaluan, walaupun sudah sedaya upaya untuk cuba berlindung.

Rasulullah, apabila hendak membuang air, Baginda akan mencari tempat yang jauh dari pandangan manusia serta terlindung.

Sebagai seorang muslim, kita sepatutnya mencontohi Rasulullah dalam setiap perkara, termasuklah hal yang dianggap remeh seperti membuang air. Tetapi malangnya, kebanyakan pada hari ini lebih selesa mengikut cara orang kafir yang dianggap lebih mudah dan cepat.

Jika dilihat dari sudut hukum kencing berdiri, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’. Ada yang mengkategorikan sebagai makruh dan ada juga yang mengharuskan, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu.

Hal ini berdasarkan hadis :-

Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi S.A.W.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi S.A.W. kencing di situ sambil berdiri.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Tetapi, hadis di atas menunjukkan tentang keharusan kencing berdiri. Tetapi bukanlah menjadi kebiasaan Rasulullah membuang air kecil sambil berdiri.

Saidatina ‘Aisyah r.a. berkata; “Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi S.A.W kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Dua hadis di atas bukanlah bertentangan, tetapi isteri Baginda 'Aisyah r.a menerangkan perihal kebiasaan yang dilakukan oleh rasulullah. Beliau tidak sentiasa bersama-sama dengan rasulullah dalam musafir. Tetapi hal ini jelas menunjukkan, dalam keadaan biasa, Rasulullah S.A.W membuang air kecil dalam keadaan duduk.

Dari sudut hukum sahaja, sudah dapat kita menilai bahawa perbuatan tersebut adalah makruh. Hukum harus hanya dalam keadaan-keadaan tertentu. Dalam hadis tentang Rasulullah kencing dalam keadaan berdiri, para ulama’ mengatakan bahawa tempat dan keadaan tersebut tidak membenarkan Rasulullah untuk membuang air seperti biasa. Dalam situasi kita sekarang, bagaimana hendak mengatakan terdapat halangan sedangkan tandas yang tertutup telah disediakan. Hanya terpulang kepada kita untuk menggunakannya atau tidak.

Namun, jika hukumnya harus sekalipun, mengapa persoalan tentang solat ditimbulkan? Hal ini berkaitan pula dengan cara kita menjaga kebersihan ketika membuang air.

Air kencing mudah terpercik dan terkena kepada pakaian kita tanpa kita sedari. Kemudian, pakaian yang sama kita gunakan untuk bersolat. Malah, yang lebih membimbangkan, apabila menggunakan 'tandas dinding' tersebut, tiada paip air disediakan untuk kita membasuh najis tersebut. Jangan terkejut. Ramai yang tidak langsung membasuh kemaluan selepas membuang air. Bagaimana hendak membasuh? Hendak berjalan ke paip air dalam keadaan tidak menutup aurat? Malulah..!! Hal tersebut selalu diperhatikan di tandas-tandas awam. Begitulah keadaan yang berlaku. Sama sahaja muslim dengan non-muslim.

Jika ada paip air sekalipun, keadaan berdiri tersebut memungkinkan air kencing terpercik ke pakaian kita. Hatta, jika kencing di dalam tempat tertutup sekalipun, kita perlu menitikberatkan tentang percikan air kencing yang mungkin terkena pada pakaian.

Hal ini berkaitan pula dengan persoalan berkaitan AZAB.

Rasulullah menekankan hal tersebut dalam hadis Baginda.

Cucilah bekas air kencing, karena kebanyakan azab kubur itu karena masalah itu�. (HR. Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny).

Ibnu Abbas Radhiallahu’anhu berkata : “Suatu kali Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melewati kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar suara dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi S.A.W meminta pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi saw pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan azab dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering.”

Amat malanglah sekiranya kita menjaga solat, tetapi tidak mengambil berat tentang perkara seperti ini, maka segala amalan tersebut sia-sia.

Bagaimana pula sekiranya kita membuang air di dalam tempat tertutup? Kita masih belum terlepas daripada masalah tersebut. Tandas-tandas awam di negara kita, kebanyakannya berada dalam keadaan yang kotor. Andai tidak terpercik najis sendiri, kemungkinan kita terkena najis yang ditinggalkan orang lain masih ada.

Manusia punyai pelbagai ragam dan perangai. Jangan berasa hairan sekiranya terjumpa dengan air kencing dan najis yang ditinggalkan tanpa dibasuh. Ada juga najis yang terdapat di atas simen di dalam tandas, dan dibiarkan begitu saja. Malah, ada yang sengaja membuang air di dinding-dinding tandas.

Paip getah di dalam tandas, mungkin juga terkena dengan najis. Tangan yang memegang kemaluan dan membasuh najis, kemudian memegang paip getah tersebut. Jika hendak dikira semuanya, memang berkemungkinan terdapat najis di mana-mana sahaja di dalam tandas tersebut.

Perkara yang boleh diamal sekiranya anda menggunakan tandas awam ialah, sebelum memasuki tandas, lipatlah seluar setinggi mungkin tetapi masih dalam keadaan menutup aurat. Kemudian apabila anda telah memasuki tandas, jirus dahulu kepala paip dan getah. Jika keadaan tandas agak kotor, jiruskan juga lantai tandas dengan air. Kemudian, buanglah hajat dalam keadaan duduk. Sebaiknya dalam keadaan menutup kepala walaupun hanya dengan tapak tangan.

Ada yang mengatakan susah untuk membuang air secara duduk di dalam tandas, dengan berseluar, malah lebih merumitkan sekiranya lengkap beruniform. Tidak susah sebenarnya untuk kencing dalam keadaan duduk dengan berpakaian, jika kena dengan caranya. Tidak perlu sehingga hendak membuka semuanya. ( untuk praktikal, bolehlah jumpa secara peribadi.hehe)

Sekiranya anda terasa ada air kencing yang terpercik ke kaki, selepas selesai hajat jiruskan kaki dengan air. Sebab itulah disuruh untuk melipat kaki seluar. Jika terpercik sekalipun, kaki masih mudah untuk dibasuh berbanding seluar.

Sebelum keluar, pastikan najis anda dibersihkan dengan sempurna sebelum keluar. Hak orang lain ialah menggunakan tandas yang bersih.

Sedih apabila melihat najis ditinggalkan begitu sahaja di dalam tandas sedangkan terdapat air untuk membasuh. Apakah yang difikirkan oleh orang yang meninggalkan najisnya begitu. Tidakkah dia memikirkan tentang kebersihan? Sekiranya hal tersebut dilihat oleh warga asing, amatlah memalukan, sedangkan mereka sungguh menjaga kebersihan tandas. Namun begitulah keadaan di kebanyakan ‘negara islam’, termasuklah negara kita. Tandas awam kebanyakannya kotor dan menjijikkan.

Pernah aku sampai di suatu tempat. Tidak tertahan untuk membuang air, namun apabila aku memasuki tandas awam di situ, satu tandas pun tidak dapat digunakan. Malah ditinggalkan dalam keadaan yang terlalu kotor, sedangkan dari bahagian luar tandas keadaan adalah sebaliknya. Maka, terpaksa aku menumpang tandas masjid dalam keadaan berat hati.

Sepatutnya, masjid bukanlah hanya dijadikan tempat persinggahan untuk melepaskan hajat. Namun keadaan terlalu memaksa...

Jika hendak mengikut adab-adab tersebut memang dilihat agak membebankan serta agak menyusahkan. Namun, jika hendak dibandingkan kesusahan hendak mengamalkannya dengan kesusahan yang bakal menimpa di dalam kubur sekiranya tidak menitikberatkan tentang itu, amatlah jauh perbezaannya.

Biar susah sedikit kerana Tuhan,
Untuk menghindar kesusahan yang besar,
Yang tidak sanggup ditanggung badan,
Ambillah iktibar, kalau mahu sedar...
(-Rabbani-)

Semoga apa yang ditulis ini menjadi panduan kepada para pembaca. Jangan pula kaum lelaki menganggap perkara ini memalukan kerana membongkar ‘rahsia’ yang berlaku di dalam tandas lelaki. Sekiranya malu menjadi halangan untuk mendapatkan pengetahuan, Rasulullah tidak akan menceritakan perihal perkara-perkara yang berlaku dalam rumahtangga Baginda…

-Aku hanya ingin berkongsi-

Hisyamuddin
Jumaat, 21 NOV 2008
USM



Monday, November 17, 2008

mengapa kau tidak berbaik sangka??

Bila hati mula panas membara…
Berbaik sangka…
Itulah ubatnya…

Bila hati mula berfikiran syak wasangka..
Berbaik sangka..
Itulah penawarnya..

Bila kesabaran sudah tiada..
Berbaik sangka..
Itulah penyembuhnya..

Namun, bukan semudah yang di kata...
Andai dalam diri penuh dengan noda.

Segala kebaikan tertutup dengan sedikit kekhilafan..
Sebutir kesalahan meruntuhkan segunung jasa dan pengorbanan

Apa sahaja kesalahannya, sehingga kau begitu marah kepadanya?

> janji pukul 3, sekarang sudah 3.45….

> SMS dikirim waktu pagi… petang baru membalasnya..

> Cadang hendak berjumpa, last minute ‘cancle’ pula..

Itu sajakah ‘dosa’nya, sehingga kau sanggup bermasam muka?
Berat sangatkah kesalahannya sehingga kau tidak mahu bertegur sapa?

Suahkah kau dengar alasan daripadanya..??

Mungkin saja dia terlena atau terlupa tentang pertemuan denganmu..
Mungkin saja ‘credit’nya habis, atau baterinya sudah tiada kuasa?
Mungkin saja dia berhadapan dengan bahaya, yang engkau tiada ketahui..

Walau dia tidak datang sekalipun, dia tetap sahabatmu..
Walau SMS tidak dibalas sekalipun, dia tetap temanmu…
Walau apa pun yang mungkin berlaku, dia tetap saudaramu..

Yang pasti…
Mesti ada sebab mengapa dia tidak dapat memenuhi hajatmu….
Mesti ada alasan, mengapa dia tidak datang bertemu denganmu..
Mesti ada tujuan, mengapa dia tidak membalas mesejmu..

Yang penting....
Persaudaraan itu yang perlu dipelihara..
Persahabatan itu yang perlu dijaga..

Soal sakit dihatimu, usah jadikan ia perkara yang utama..
Soal perasaanmu, lupakanlah sementara..

Mungkin hari ini dia terlupa sekali...
Kemudian hari, mungkin kau terlupa berkali-kali..

Mungkin hari ini, dia kehabisan ‘credit’
Kemudian hari, mungkin kau kehilangan handset..

Perhubungan yang sukar untuk dibina..
Yang mungkin datang sekali dalam seumur hidupmu..
Yang mungkin tiada yang lebih sempurna berbanding dirinya..
Janganlah dimusnahkan semudah itu..

WAHAI DIRI YANG HINA...

BERBAIK SANGKALAH TERHADAP SAUDARAMU..

KERANA YANG DEMIKIAN ITU MERUPAKAN SERENDAH-RENDAH UKHUWWAH.....




Sunday, November 16, 2008

Selamat Pengantin Baru..!!!


SELAMAT PENGANTIN BARU diucapkan kepada pasangan pengantin,
kak..... dan abang....

Ehh?? Apa nama pengantin ni ek ??
Lohhh ... nama pengantin pun tak tau, macam mana boleh pergi kenduri kahwin tu..
tumpang makan tengah hari ja kot ?

hmm, tahniah buat kak Dian PISA..dapat abang ipar. maaf lupa nama pengantin 2 orang tu. tu la, siapa suruh jemput kenduri guna YM ja. kad kendurinya mana ?? hehehe

nanti giliran kak Dian, jgn lupa hantar kad yer !!!

P/s : Jgn marah !! lepas ni siapa pulak? Kak Dian ka...@ bekas Presiden kita yang berbaju putih tu ?? huhuhu....





sepi sendiri...

hari ni...
sekali lagi aku kena jaga gerai milik kakak di JUSCO Bandar Perda.
Galeri Seni..tempat berniaga khas untuk bumiputera..

bosan, sunyi, dan keseorangan...

bosan bukannya kerana terpaksa menjaga gerai..
menjaga gerai sudah menjadi kebiasaan aku..
malah aku seronok berniaga..

sunyi bukan kerana tiada sesiapa..
pasar raya, mestilah penuh dengan manusia..
lebih-lebih lagi, hari ni hari ahad pula..

tapi aku rasa keseorangan...
kerana tiada sesiapa untuk aku berbual bersama.
untuk aku bercerita.. dan berkongsi rasa..

nak membaca..
takkan sepanjang masa nak membaca..
berzikir...
hmm, perkara ni yang sering kita terlupa..
manusia memang mudah alpa..

sunyi...sunyi...
gerai di sebelah kiri, kanan, depan dan belakang semuanya berpenghuni..
tapi masalahnya, semuanya bukan kaum lelaki..

Aduhh !!
aku lebih sanggup kalau makcik2 yang bersama-sama berniaga..
sekurang-kurangnya, tak la segan nak borak bersama..
untung-untung, dapat tips2 berguna..
lagi untung kalau makcik tu ada anak dara..

(hahaha..bergurau ja.... jgn marah, nanti kena jual..)

tapi masalahnya, semuanya muda-muda..
juga yang ada 'rupa.'
pakaian pulak, bukan biasa2..
silap hari bulan, boleh buat 'party' mata..

aku jadi kaku...
beku di atas bangku..
sesekali kalau ada 'tetamu',
boleh juga mengubat jemu..
tapi, 'tetamu' bukan berkunjung selalu..

nasib baik ada 'sahabat'..
laptop ni la yang jadi pengubat..
tambah pulak, ada hamba Allah mana entah,
yang pasang internet wireless,
password pulak dia tak letak..
Alhamdulillah....

tapi....
aku tak habis exam lagi..
selasa depan, ada lagi 1 paper..
khamis pun ada lagi 1 paper...
nak study kat sini, bukannya tak boleh..
cuma payah sikit...

satu lagi yang agak memeningkan kepala..
gerai kakak, banyak aksesori wanita,
brooch, gelang, subang, sampai la tudung kepala..
kalau beli terus, tak pa la..
nie, ada yang nak mintak cuba2..
ada plak yang suruh ajar cara nak lilit macam wardina..

Adusss !!!

"tudung tu saya tak pernah cuba"..

dah tu pulak, nak suruh lilit kat kepala dia..
kalau kepala isteri sendiri, boleh la..
ni...ntah siapa2..

cobaan...!!

ini bukan cubaan...
ini betul2..

cobaan...!!!

aku bilang ini betul-betul..
bukan cubaan...

AAA...cobaan..!!!

akibat bosan,
tak bersembang dengan siapa2,
kecuali kalau ada hajat..
"tolong tengok2kan gerai, nak pergi solat.."

maka..
terhasillah nukilan rasa ini..

"AKU HANYA INGIN BERKONGSI.....
BUKAN PUJIAN YANG KU CARI.....
CUKUPLAH SEKADAR DIRIKU DIHARGAI...."

Jusco Bandar Perda
1.47 p.m

-aku sepi-

Saturday, November 15, 2008

Don’t let me be misunderstood

People, do you understand me now,
If sometimes I feel a little mad,
Don’t you know no one alive can always be an angel,
When things go wrong I seem a little sad.

But I’m just a soul whose intentions are good,
Oh LORD, please don’t let me be misunderstood.

You know sometimes, I’m so carefree,
With a joy that’s hard to hide,
Sometimes seems that all I have is worry,
And then you’re bound to see my other side.

But I’m just a soul whose intentions are good,
Oh LORD, please don’t let me be misunderstood.

If I seem edgy, I want you to know,
That I never meant to take it out on you,
Life has its problems and I get more than my share,
But that’s one thing I never mean to do,
I don’t mean it.

People don’t you know I’m only human,
Don’t you know I have faults like any one,
But sometimes I find myself alone regretting,
Some little thing, some foolish thing,
That I have done.

But I’m just a soul whose intentions are good,
Oh LORD, please don’t let me be misunderstood

Don’t let me be misunderstood,
I’m just someone whose intentions are good
Don’t let me be misunderstood,
Don’t let me be misunderstood……..

-CAT STEVENS-

juang atau jiwang ????

“selamat berjuang ya akhi…” “teruskan perjuangan…” ”moga sentiasa istiqamah dalam perjuangan..” Kata-kata begini sering saja mengisi ruangan-ruangan ‘comment’, cbox, mahupun SMS.... BERJUANG ?????????
Aku sering tertanya pada diri. Benarkah aku berjuang dan berada dalam perjuangan. Andai benar, apa yang sedang aku perjuangkan?

AGAMA ISLAM?

Benarkah?

Andai benar ISLAM yang aku perjuangkan, sejauh mana tindakan yang telah diambil untuk mengisi perjuangan tersebut. Apa perkara yang telah aku lakukan dalam memberi sumbangan terhadap islam.

Berdakwah?

Benarkah?

Perkara apa yang aku telah dakwahkan?

Hari-hari dipenuhkan dengan kuliah pengajian. Waktu lapang pula ’sibuk’ diisi dengan berbual kosong. Melepak bersama kawan. Kekadang sahaja berada dalam majlis-masjlis ilmu, dan kekadang menghadiri mesyuarat untuk membincangkan beberapa perkara. Perkara yang jarang-jarang berkaitan dengan dakwah, masalah yang dihadapi oleh umat serta tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan masalah umat...

Jadi..
Perkara apa yang berkaitan dengan BERJUANG?

Perjuangan merupakan satu perkara yang sangat BESAR. Terlalu besar dan terlalu berat.
Para anbiya’ serta para sahabat mengorbankan hampir keseluruhan diri mereka, masa, harta, tenaga malah nyawa untuk BERJUANG pada jalan ALLAH.

Jauh benar ’perjuangan’ aku dan kita jika hendak dibandingkan dengan PERJUANGAN para pejuang kebenaran yang tulen.

Layakkah ?

Layakkah aku, kamu dan kita menggelar diri sebagai pejuang? Malu rasanya apabila menerima kata-kata seperti ’selamat berjuang’ dan yang seumpama dengannya.

Diri terlalu berbangga dengan ’title’ pejuang.
Ya..!!! SO-CALLED PEJUANG.

Selama ini, apa yang telah diperjuangkan?

hanya perjuangkan keselesaan diri..
hanya perjuangkan perut sendiri..
hanya perjuangkan nafsu dalam diri…

nafsi…nafsi…sampai mati..

lupa kepada masyarakat yang berada dalam ketandusan..
ketandusan ilmu tentang agamanya..
ketandusan pengetahuan tentang matlamat hidupnya..
ketandusan kasih daripada saudara-saudaranya..

tandus dan gersang..
umpama gurun yang tidak ditimpa hujan..
terus kering…mati dan mematikan.

’gurun’ inilah yang mengisi segenap ruang dunia. Gurun inilah yang kita hidup di dalamnya.

Maka, bagaimana mengharapkan tumbuhnya pohon-pohon kerahmatan daripada Allah.
Bagaimana mahu mendambakan suburnya kasih dan sayang daripada Allah.
Andai benih yang ditanam tidak dapat bercambah.
Akibat ditanam di atas gurun dan pasir yang tidak bertanah..

Kemaksiatan semakin bermaharajalela.
Keseronokan dan hiburan semakin dipuja.
Thagut dan kejahatan tiada batasnya..

Inilah ‘buah‘, hasil titik peluh ‘perjuangan’ kita..
Kita yang menyemai benihnya..
Maka, kitalah yang akan merasa ‘manisnya’ buah tersebut.

Jangan salahkan buah kerana rasanya yang tidak enak.
Tetapi salahkanlah diri sendiri kerana menyemai benih yang rosak.

Renugkanlah bersama…….


P/s :- Aku menulis bukan untuk merendah-rendahkan sesiapa, tetapi untuk sama-sama AKU, ANDA DAN KITA renungkan kembali erti PERJUANGAN yang selama ini kita laung-laungkan, yang selama ini kita sanjung-sanjungkan, dan yang selama ini kita agung-agungkan...

Andai benar telah kau memasuki medan perjuangan yang sebenar, maka....

SELAMAT BERJUANG.
SEMOGA ALLAH MEMBERI KEKUATAN UNTUK TERUS ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN....!!!!

SIIRU ’ALA BAROKATILLAH.....






kerana aku MANUSIA.....

Manusia…...

Ya..!!!!!
Aku adalah manusia.
Juga seorang hamba..
Hamba kepada Pencipta Yang Maha Kuasa, Maha Perkasa, Maha Bijaksana…

Kadang-kadang aku merasa beratnya menjadi seorang MANUSIA.

Ke mana sahaja, pasti ada yang mengekori.
Dua makhluk Allah yang tak pernah jemu..
Mencatat segala-gala yang diperlaku..

Pernah aku fikirkan
Alangkah bahagianya andai dicipta sebagai haiwan....
Ataupun menjadi tumbuhan....



Mungkin sahaja menjadi seekor burung..
Mampu terbang ke mana yang aku suka
Bebas tanpa terikat dengan pahala dan dosa...

Mungkin juga seekor katak.
Mampu hidup di dalam air dan di darat.
Waktu kecil menjadi berudu, kemudian berubah sedikit demi sedikit sehingga terbentuknya seekor katak yang sempurna.
Mungkin kekadang ada yang kurang bernasib baik.
Dilanggar dek kereta di tengah jalan.
Dilihat sebagai mati yang sia-sia.
Tetapi matinya ialah mati tanpa duka, tanpa sengsara, tanpa azab dan siksa.
Tidak perlu ia memikirkan..sama ada ke syurga atau ke neraka..

Mungkin juga aku menjadi sebatang pokok.
Indah menghiasi halaman.
Malah boleh memberi buah untuk dimakan.
Juga menjadi teduhan musafir diperjalanan..
Begitu banyak berbakti kepada insan.
Tidak pula pernah terfikir untuk menyakitkan..

Atau mungkin saja baik untukku menjadi tanah.
Biarpun dipijak, dibajak, di henjak-henjak..
Memang itu tujuan ia dicipta.

Mengapa mahu menjadi tanah ?
Itu hanyalah umpama kata-kata penyesalan si kafir di akhirat.

”alngkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah.”
(An-Naba’ : 40)
Tak mungkin....
Tak mungkin semua itu berlaku..
Kerana aku adalah manusia..
Aku adalah hamba..

Aku ada tanggungjawab..
Aku ada matlamat diciptakan..

Ya. !!
Kekadang terasa berat menjadi manusia..

Itu adalah lumrah hidup, sunnatullah kepada setiap hambaNYA...

Berat itu dugaan...
Berat itu cabaran..
Berat itu ujian..
Untuk Allah menentukan...
Siapakah di kalangan hamba-hambaNYA yang beriman...

Jangan..dan jangan...
Jangan sesekali kau lafazkan..
Bahawa kau ingin menjadi seekor haiwan..
Bahawa kau ingin menjadi tumbuhan..
Kerana kau mahu lari dari ujian..
Kerana kau tak tertahan dengan dugaan..

Sedarlah wahai insan..
Apabila engkau lemah, engkau ada TUHAN..
Apabila engkau sesat, ALLAH akan tunjukkan jalan..
Apabila hidumu penuh dengan persoalan, ALLAH ada jawapan..

Kembalilah kepada hakikat kejadian.
Engkau diciptakan sebagai INSAN
Bukan sebagai HAIWAN
Bukan juga sebagai TUMBUHAN

Setiap makhluk sentiasa berzikir kepada Tuhan.

HAIWAN berzikir kepada Tuhan..
TUMBUHAN juga berzikir kepada Tuhan..

Wahai INSAN..
Berzikir dan ingatlah kepada Tuhanmu.
Dan bersyukurlah selalu...


Kerana HAIWAN..
Akal dan hatinya diletakkan sebanding dengan perut dan kemaluan..
Maka, hidupnya hanya untuk memikirkan tentang seks dan makan..

Tetapi....
Engkau dicipta sebagai INSAN
Engkau dicipta sebaik-baik kejadian.

Akalmu diletakkan di tempat yang tertinggi..
Gunakanlah ia untuk membezakan yang haq dan batil..

Hatimu diletakkan di tempat yang kukuh..
Gunakanla ia untuk membimbingmu ke jalan yang lurus..

Andai dalam pelayaran hidupmu,
ada badai datang melanda..
redahlah ia dengan bahtera keimanan.
Serta layar ketaqwaan..

Semoga setiap ombak yang memukul,
Bisa menambahkan lagi kekuatan,
Untuk kau terus berlayar..
Sehingga kau tiba ke destinasi pelayaran..
Untuk kau bertemu dengan Tuhan..
Bertemu dalam keadaan engkau meredhai serta diredhai...

ALLAHU’ALAM....





Monday, November 10, 2008

berilah kerjasama......

Dari jauh, seorang wanita menanti di tengah jalan, di hadapan pintu masuk Kompleks Bukit Jambul. Apabila aku semakin menghampiri, wanita tersebut mula memperkenalkan produknya kepada aku. Linguaphone..

Lalu, sebagai respon spontan aku mengangkat tangan,
sekaligus berkata ”tak apa, terima kasih.”

selalunya, alasan begini membolehkan kita mengelak daripada terus mendengar ’leteran’ si promoter kerana sudah ditanam dalam minda bahawa produk itu tidak diperlukan.

Tetapi perkara itu tidak terjadi, sebaliknya....

”amboi ! dah biasa dok angkat tangan ya? Sikit-sikit angkat tangan. Mari sini dengar dulu.” wanita tersebut membalas. Suaranya agak ’menakutkan.’

Agak terkejut dengan respon tersebut, aku membalas.

”maaf, ada hal.”

Garangnya akak nie, aku berbisik dalam hati.

”nanti boleh sambung hal tu. Mai dengar dulu, nak bagitau.”

Aku akur dengan permintaan wanita tersebut. Lalu duduk menghadapnya, bersedia mendengar apa yang hendak diterangkan kepadaku.

”nak ke mana?” wanita tersebut memulakan bicara.

”nak ke kedai Popular, beli buku.”

”Owh. Student USM ka?” wanita tersebut bertanya lagi, mungkin kerana perasan baju berlogo USM yang aku pakai.

”ya.” ringkas aku menjawab.

”OK. Pernah dengar tentang Linguaphone?” mula memasuki topik sebenar.

”pernah, dekat USM. Dan beberapa tempat lain.”

”pernah dengar penerangan pasal Linguaphone?”

“pernah… Eh!! Belum pernah dengar.” Sememangnya aku tak pernah mahu mendengar. Cuma nama produk sahaja yang pernah aku dengar.

“OK.”

Sebelum wanita tersebut menerangkan tentang produk, beliau terlebih dahulu menanyakan tentang profile peribadi. Lalu dicatat semuanya dalam satu borang. Lengkap dengan tarikh dan segala butir-butir maklumat yang diperlukan.

”untuk apa tu?” aku mula bertanya. Sifat ingin tahu memang dikurniakan kepada manusia, lebih-lebih lagi manusia yang bernama Hisyam ni.

”Hmm, kami kena rekod setiap penjelasan yang kami dah beri kepada orang ramai. Perlu dicatat, berapa orang yang sudah kami jumpa untuk beri penjelasan tentang produk ni. Kalau tak dapat jumpa orang langsung, teruklah.” lebih kurang begitu wanita tersebut memberi penjelasan.

”Owh, macam tu.” aku mula memahami skop kerja promoter tersebut.

”walaupun produk tak terjual, yang penting kita kena usaha untuk perkenalkan produk ni kepada orang ramai. Sebab tu kena catat setiap maklumat, untuk membuktikan kita dah berusaha untuk beri penjelasan kepada orang ramai.”

”adik tak mahu beli pun tak apa, tapi dengar dahulu” wanita tersebut menambah.

Terharu.. aku semakin menghargai pekerjaan wanita tersebut. Sempat aku bertanya kepada wanita tersebut kenapa memilih profesion ini. Banyak lagi pekerjaan di luar sana. Tiada respon, melainkan senyuman. Tak mengapa, kerana aku rasa aku faham.

Maka, aku pun mendengar dengan kusyuk sambil bertanya pelbagai soalan, walaupun tiada langsung keinginan untuk membeli.

Siapa suruh tahan aku, silap orang la.

Bukan hal tersebut sebenarnya yang ingin aku sampaikan, tetapi Cuma mahu menimbulkan satu persoalan kepada semua.

Sejauh mana kita menghargai pekerjaan tersebut? Menghargai orang yang melakukan pekerjaan seumpama itu? Bersedia memberi kerjasama dengan individu-individu yang melakukan pekerjaan sedemikian rupa.

Yang aku maksudkan, bukan menjual produk semata-mata, tetapi kepada perkara-perkara yang memerlukan kita meluangkan sedikit masa, untuk kita memberi respon kepada orang yang bertanya. Sebagai contoh, kajian lapangan, survey, bancian, mencuba produk dan sebagainya.

Aku dahulunya, seperti kebanyakan masyarakat di luar sana, kurang berminat untuk bekerjasama, menjawab soalan, mengisi borang, memberi pendapat tentang isu dan sebagainya.

Mengapa hal ini berlaku?

Pertamanya, kita tidak pernah merasai apa yang dirasai oleh mereka yang menjalankan pekerjaan tersebut.

Kedua, kita tidak memahami apa yang diperlukan dan apa yang diharapkan oleh mereka yang melakukan perkara tersebut.

Ketiga, kita memang seorang yang langsung tidak boleh memberi kerjasama dengan orang lain. Pendek kata, hanya pentingkan diri sendiri.

Melainkan jika kita betul-betul sibuk dan mengejar masa, maka tak mengapalah untuk mengatakan, ”maaf saya sibuk.” tetapi kadang-kadang ayat tersebut hanyalah untuk melepaskan diri.

Sehinggalah, apabila aku sendiri terlibat dengan kerja-kerja seumpama itu.

Aku pernah turun ke lapangan masyarakat untuk melakukan ’survey’. Bertanyakan tentang isu-isu semasa, juga pernah meminta pendapat tentang masalah sosial, tentang ekonomi, termasuk tentang politik negara.

Dan aku pernah menjalankan ’survey’ di masjid-masjid sekitar Pulau Pinang, membantu seorang Ustaz yang hendak menyiapkan tesis Masternya. Pengalaman yang cukup menyeronokkan, tetapi penuh dengan cabaran. Berseorangan, aku terpaksa melengkapkan 25 borang untuk setiap masjid yang telah ditetapkan. Maksudnya, aku perlu bertemu dengan 25 orang di setiap masjid, dan sebanyak 5 masjid sebagai ’tapak kajian.’

Masa yang terhad, kekadang menjadi halangan. Kekadang aku terpaksa berada di sekitar masjid sejak waktu zohor, sehingga isyak. Dan kekadang, terpaksa datang kembali pada hari berikutnya untuk melengkapkan borang-borang tersebut.

Watak dan perangai yang pelbagai oleh ahli qariah juga banyak mengajar erti kesabaran. Memang permintaan untuk menyoal selalu ditolak. Tetapi itu perkara yang sudah dijangka.

Paling mencabar tetapi paling menyeronokkan ialah semasa kajian di Masjid Kapitan Keling. Kebanyakan ahli Qariah ialah India Muslim. Dan aku diberitahu, ramai di kalangan mereka datang dari India. Maksudnya, mereka tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa melayu. Mulanya agak keberatan, tetapi Alhamdulillah, ahli qariah lain banyak membantu terutamanya AJK masjid. Bertindak sebagai penterjemah, AJK tersebut menerangkan setiap percakapanku dalam bahasa tamil kepada responden yang tidak tahu berbahasa melayu. Malah aku dijamu dengan kuih serta air semasa membuat kajian tersebut. Terharu sungguh rasanya.

Aku sering menelefon Ustaz, mengadu kerana sudah ’keletihan’ untuk menyiapkan tugasan tersebut, tetapi ustaz kembali menyuntik semangat untuk aku teruskan. Bukan soal duit yang aku kejar, tetapi pengalaman tersebut menyebabkan aku menerima tugasan tersebut. Lagipun, aku memang suka kerja-kerja yang melibatkan masyarakat serta berjumpa dengan orang ramai.

(macam lari tajuk ja.......)

Hmmm, sejak aku terlibat dengan kerja-kerja seumpama ini, aku semakin menghargai setiap orang yang datang kepadaku, sama ada untuk disoal, untuk menjawab soalan, ataupun untuk mencuba produk. Paling tidak, jika diminta, aku akan berhenti sekejap dan bercakap sesuatu, lalu aku beredar.

Pasti mereka akan menghargai apabila kita memberi kerjasama dengan mereka. Mungkin ada yang akan mendoakan kita kerana kita telah membantu kerja mereka. Setelah selesai aku menemuramah responden, aku akan ucapkan terima kasih, lalu berdoa semoga dipermudahkan pekerjaan orang yang menolongku. Mudah-mudahan Allah permudahkan pekerjaan kita apabila kita memudahkan kerja orang lain.

Aku mengesyorkan kepada sahabat-sahabat, andai kata diberi peluang untuk melakukan kerja-kerja sedemikian, ambillah peluang tersebut. Banyak pengalaman yang boleh ditimba sewaktu proses tersebut. Yang penting kemahuan, serta memerlukan juga keberanian untuk memulakan perbincangan.

Aku sering teragak-agak untuk bertemu dengan responden. Tetapi fikirku, jika tidak di cuba, pasti rugi. Seperti di Masjid Kapitan Keling, apabila aku bertemu dengan seorang pakcik, dia tidak dapat bertutur dalam bahasa melayu. Aku terus menelefon ustaz.

”macam mana Ustaz, ramai yang memang India tulen punya. Melayu pun tak tau nak cakap. Jenuh la.”

”cuba la orang lain. Boleh punya. Kamu kan cekap bab-bab macam ni.”

Aku tercabar. Mula menghendap-hendap sekumpulan pakcik yang seedang melepak. Dengan hati yang agak berat, aku mendekati mereka, lalu menerangkan tujuan aku datang. Alhamdulillah, respon yang sangat baik. Hinggalah aku dijamu dengan kuih dan air.

Satu lagi, ketika di masjid terapung Batu Feringgi. Aku tiba di sana sebelum maghrib, dan dimaklumkan ada kuliah maghrib selepas solat. Sudahlah datang dari jauh, ada kuliah maghrib pula. Aku teragak-agak, sama ada mahu pulang atau terus di situ. Lalu aku mengambil keputusan untuk berjumpa dengan imam serta Ustaz yang akan memberi kuliah maghrib tersebut.

Alhamdulillah, permintaan aku diterima. Sebelum memulakan kuliah, ustaz tersebut meminta borang kajian tersebut diedar kepada ahli qariah. Lalu ustaz tersebut sendiri yang membaca dan menerangkan soalan-soalan dalam borang tersebut. Mereka sama-sama mengisi borang kajian tersebut. Sibuk mengisi borang, waktu kuliah ustaz tinggal 15 minit sahaja. Sangat-sangat terharu aku dibuatnya.

Belum cuba, belum tahu. Jika aku pulang malam tersebut, pastinya takkan habis borang kajian tersebut diisi. Namun, Allah memudahkan pekerjaan aku. Alhamdulillah. Cuma, sepanjang perjalanan untuk ke setiap masjid, aku sering berdoa.

”Ya Allah, Engkau ikhlaskanlah hati ku membuat pekerjaan ini. Niatku untuk menolong Ustaz menyiapkan kerjanya. Engkau permudahkanlah setiap pekerjaanku dan lancarkanlah tutur bicaraku untuk berhadapan dengan orang ramai.”

Kita mampu melakukan sesuatu bukan kerana kita pandai melakukanyya, tetapi semuanya kerana Allah mempermudahkan pekerjaan tersebut terhadap kita. Maka, pengakhiran pekerjaan, ucaplah rasa syukur kepada Allah kerana dengan izin serta kehendakNYA lah kita mampu menyiapkan setiap pekerjaan.

Allahu’alam..



Sunday, November 9, 2008

suasana ibadah ...

Selesai solat fardhu di masjid, disambung pula dengan solat sunat. Tidak cukup dengan itu, Al-quran dicapai lalu dibaca dengan kusyuk dan asyik.

Tetapi apabila berada di rumah, usai solat fardhu, terus dilipat sejadah, tanpa sempat untuk berdoa, apatah lagi berzikir dan membaca Al-quran.

Kesimpulannya, apabila berada di masjid, kita banyak melakukan ibadah termasuk ibadah sunat. Tetapi apabila berada di rumah, memadai dengan ibadah wajib semata-mata.

Persoalannya, adakah ibadah yang dilakukan di masjid tidak ikhlas dan hanya dilakukan kerana terdapat ramai orang di sana dan ibadah di rumah malas dikerjakan lantaran tiada siapa melihatnya?

Ada yang berpendapat demikian. Katanya jika ibadah kita di hadapan manusia lebih banyak daripada apabila bersendirian, maka semaklah balik niat kita beribadah. Adakah dibuat kerana Allah atau hanya untuk mendapat pujian daripada manusia.

Benar pernyataan tersebut. Kita perlu sentiasa menyemak amalan seharian. Adakah ikhlas kerana tuhan ataupun hanya sekadar untuk menarik perhatian dan mendapatkan pujian.

Namun untuk mengatakan rajin beribadah di masjid tetapi kurang pula ibadahnya di rumah atau ketika berseorangan sebagai kurang ikhlas atau untuk mendapat perhatian semata-mata....adalah tidak tepat.

Persekitaran dan suasana boleh membentuk peribadi serta tingkahlaku.

Sebagaimana suasana kejiranan yang penuh dengan keganasan serta kezaliman dapat menjadikan manusia itu seorang yang sukakan keganasan dan tidak pedulikan penindasan, suasana dan persekitaran yang tenang serta dipenuhi dengan orang-orang yang beribadah seperti di masjid juga dapat menimbulkan ‘semangat’ serta keinginan untuk sama-sama menambah amal ibadah.

Berlainan dengan ketika berseorangan, ketiadaan dorongan serta ditambah pula dengan bisikan syaitan bisa membuat seseorang itu berasa ‘berat’ dan malas untuk melakukan amal ibadah melainkan dia telah cukup kuat untuk melawan segala bisikan serta kemalasan.

Sebab itulah, pentingnya ‘suasana’ itu diwujudkan dalam kehidupan seharian kita. Contoh termudah, sebagai seorang pelajar, untuk belajar dengan tenang dan efektif, kita memerlukan ‘suasana’ yang sesuai dengan jiwa. Ada yang hanya boleh belajar di waktu sunyi, ada yang memerlukan ‘suara’ lagu dan muzik untuk mendapatkan nikmat belajar.
Aku pula, suasana di rumah kurang berkesan untuk memberi rangsangan untuk belajar. Malah lebih sanggup untuk berada di dalam kepulan asap rokok, semata-mata untuk belajar bersama-sama dengan kawan-kawan yang mampu memberi dorongan untuk belajar, walaupun kekadang terpaksa berpura-pura sesak nafas untuk menyuruh kawan-kawan supaya tidak menghisap rokok.

Pendek kata, suasana mempengaruhi sifat dan sikap kita. Maka kitalah yang berperanan untuk membina serta mencipta suasana tersebut.

Paling penting ialah wujudkan biah atau suasana tersebut di dalam diri kita. Apabila ‘suasana’ tersebut dapat dibentuk dalam diri, maka kita akan berupaya untuk mencorak persekitaran sesuai dengan kehendak kita.

Suasana ibadah dapat diwujudkan dengan kita sentiasa menyedari bahawa diri kita ini selamanya ialah HAMBA kepada ALLAH. Apabila ada kesedaran sebagai seorang hamba, maka segala-galanya adalah milik tuan empunya diri iaitu Allah. Kesedaran ini dapat melahirkan rasa kekerdilan di hadapan tuhan, dan kekerdilan memerlukan tempat pergantungan. Maka, hanya Allah sahajalah tempat kita memohon segala sesuatu.

“Engkau sahaja kami sembah dan Engkau sahaja tempat kami memohon pertolongan”
(Al-fatihah : 5)


“Allah tempt meminta segala sesuatu.”
(Al-Ikhlas : 2)


Di mana pun kita berada, cuba cipta suasana yang dapat mengingatkan kita kepada Allah.

Ketika berseorangan, cuba kita renung jauh ke dalam diri. Cuba kita ingat kembali segala nikmat dan kesenangan yang pernah kita perolehi. Cuba pula kita ingat, betapa banyak dosa yang kita telah lakukan sebagai ‘balasan’ kepada segala nikmat tersebut.

Perbanyakkanlah istighfar kerana kita sering terlupa tentang hakikat kita dilahirkan ke dunia. Apabila bersama-sama dengan kawan-kawan, sering sahaja kita terlupa, terlalu banyak suka, hingga kekadang berlebih-lebihan. Maka, gunakanlah waktu sunyi untuk menggantikan kembali masa yang kita sia-siakan tersebut.

Perlukan rangsangan luar untuk mendapatkan suasana tersebut?
Pasanglah zikir-zikir atau nasyid yang boleh mengingatkan kita kepada tuhan. Kemudian, sama-samalah berzikir. Renungi setiap kalimah yang dilafazkan. Kaitkan ia dengan kehebatan tuhan. Nescaya hati akan menjadi tenang.

Ketika sedang berkenderaan, masa paling baik untuk kita cipta suasana keinsafan.
Wujudkan suasana zikr al-maut. Ingatkan diri tentang mati. Perjalanan yang ditempuh, adakah akan sampai ke destinasi? Andai maut datang secara tiba-tiba, adakah kita sudah bersedia? Maka binalah pengharapan yang tingi kepada Allah. Mohon agar dijauhkan daripada sebarang kecelakaan. Dan sentiasalah bersedia untuk itu. Sekurang-kurangnya, andai terjadi apa2, biarlah ia terjadi dalam keadaan kita sedang berzikir mengingati Allah.

Teguhkan diri sebagai seorang muslim. Walau di mana pun kita berada, kita merupakan muslim. Dan berbanggalah menjadi seorang muslim. Seorang muslim yang betul-betul menghayati makna sebenar islam. Selamat, dan sejahtera. Sejahtera pada diri dan sejahtera juga kepada orang sekeliling.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu, mengembu..

Pepatah yang tidak boleh dipegang sepenuhnya. Sebagai seorang muslim, kita punya jati diri tersendiri.

Andaikata seekor singa memasuki kandang kambing, tak perlulah dia meletakkan dirinya sebagai seekor kambing dengan mengembek, kerana mengembek itu merupakan ciri-ciri seekor kambing. Kenyataannya ialah dia seekor singa. Cuma, untuk berada di dalam kelompok kambing, perwatakannya sebagai seekor singa perlulah dikawal. Kegarangannya perlulah dikurangkan pada tahap yang boleh diterima oleh kambing. Tidak menyebabkan kambing-kambing tersebut lari mejauhinya, tetapi menerimanya sebagai seekor singa yang mampu memahami kehendak kambing.

Seorang muslim yang berpendirian, ke mana sahaja dia pergi, sifatnya sebagai seorang muslim sentiasa di bawa bersama. Andai dia terjun ke dalam kelompok2 yang lupa kepada Allah, tidak perlulah dia bersama-sama untuk tidak mengingati Allah, sebaliknya, sifat muslimnya terus ditonjolkan, tetapi tidak sehingga menghina kelompok2 yang bersama-sama dengannya. Maka, golongan tersebut akan dapat menerima dirinya untuk bersama-sama dengan mereka, walaupun dia bukanlah serupa dengan mereka. Malah, dengan berpendiriian sedemikian, orang akan meyakini untuk bersama-sama mencontohi diri.

Suasana ibadah yang telah terbentuk dalam diri, bisa mencorak persekitaran menjadi persekitaran yang lebih baik... itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap individu muslim.

Mulakan dari dalam diri. Apabila kita telah merasai nikmatnya, maka sebarkanlah nikmat tersebut kepada orang lain. Nescaya Allah akan kekalkan nikmat tersebut dalam diri kita..
Insyaallah...

Wallahu’alam......

Hisyamuddin Kamarudin..
Jusco Bandar Perda,
4.41 p.m


permata keluarga........(added pictures)

-gambar hari ketiga-


wajah si comel yang baru dilahirkan dalam keluarga kami. Anak pertama kakak, cucu pertama mak dan bapak serta anak buah pertama aku..

namanya Nurul Madihah...yang beerti kepujian..
semoga kehadirannya menambah seri dalam keluarga..
Insyaallah..

p/s : rambut baby girl nie lebat. aku dulu masa baru lahir agak botak...heheheh..