Saturday, April 25, 2009

apa hikmahnya ??


Dari jauh kedengaran bunyi salakan anjing. Mulanya aku tidak mempedulikan salakan tersebut. Selalu benar aku melalui jalan pintas yang sunyi sepi lagi gelap gelita itu berseorangan. Tiada masalah untuk aku melintasi kawasan yang penuh berlopak itu walaupun pada pukul 2.30 pagi seperti hari ini.

Setelah pulang dari ’discussion’ dengan sahabat, singgah sebentar di restoran nasi kandar untuk menemani sahabat makan malam, walaupun sudah pukul 2 pagi. Sudah lewat pagi. Kawasan tanah merah yang gelap itu merupakan jalan pints untuk sampai ke rumah.


Tanpa mempedulikan salakan anjing tadi, aku terus memandu dengan berhati-hati, walaupun hati ini bercampur baur perasaan yang pelbagai. Masih terbawa-bawa ’mood’ discussion dalam keadaan mengantuk sebentar tadi.


Salakan kedua kedengaran. Kali ini bunyinya semakin kuat. Pasti sumbernya semakin dekat. Aku menoleh ke arah bukit bersemak, arah datangnya salakan tersebut. Tiada apa-apa yang dapat dilihat dalam gelap. Aku semakin berwaspada. Ke sekian kalinya, salakan kedengaran lagi. Kali ini lebih kuat dan berterusan. Dari jauh, aku melihat kelibat seekor anjing sedang berlari ke arahku.

Ya Allah !!!

Degupan jantung serta merta naik mendadak. Dalam keadaan jalan yang penuh lubang dan berlopak akibat hujan, dan jalan keluar ke taman perumahan masih jauh, aku mula memecut. Habis lopak dan lubang aku redah. Makhluk bernama anjing tersebut semakin dekat. Aku semakin kaget. Di hadapan terdapat simpang, dan selepas simpang itu, ada jalan yang berlekuk.

Motor yang dipandu laju melambung-lambung melanggar lopak. Simpang di hadapan akan menjadi penentu, samada aku berlanggar dengan tembok tersebut lalu jatuh dan digigit anjing, atau aku dapat melepasinya, lalu terselamat.

Hampir tergelincir motor akibat membelok sambil mengelak tembok dalam keadaan laju. Sempat aku mengalih pandangan ke belakang. Terlalu dekat jarak aku dengan anjing tersebut. Saat itu, aku hanya mampu menyerah diri kepada Allah. Sikit lagi untuk aku keluar dari kawasan tersebut.

Akhirnya..............

Aku melepasi kawasan tersebut. Namun anjing tadi masih lagi di belakang. Mujur, apabila aku mengambil jalan terus, anjing itu membelok ke kanan, seolah-olah aku tidak pernah wujud. Mujur juga kerana jalan di hadapan merupakan jalan mati, terus masuk ke kawasan flat.

Dalam kesyukuran, aku menyumpah seranah anjing tersebut. Aku berpatah balik untuk pulang ke rumah. Anjing tadi berada di hadapan, di tengah-tengah jalan. Sengaja aku memecut, seolah-olah mahu melanggarnya, walaupun aku tidak akan sanggup untuk melakukan perkara terkutuk tersebut. Hon dibunyikan berkali-kali. Amaran supaya anjing tersebut beredar ke tepi. Tidak pula aku mempeduli orang sekeliling yang telah tidur.

Setelah jauh aku meninggalkan anjing tersebut, aku mula tersedar. Aku tidak patut menganggap kejadian tadi sebagai suatu bencana atau tragedi, dan tidak pula patut aku memarahi anjing tersebut.

”Allah hantar anjing tadi untuk menyedarkan hang!” aku berbisik dalam hati.

Benar.!!! Mengelamun melayan hati dan perasaan lebih buruk implikasinya daripada dikejar anjing, hatta jatuh lalu digigit anjing.

Aku juga sedar, setiap sesuatu yang berlaku, walaupun pada zahirnya kelihatan buruk, namun ada sebab setiap kejadian itu berlaku. Terserah kepada kita, sejauh mana kita mahu meneroka setiap kejadian yang menimpa diri.

Aku beristighfar.....

Cukuplah. Walau apa pun yang terjadi sebelum ini, dan siapa pun yang terlibat...lupakan sahaja. Fikirkan positif.

CARILAH HIKMAH DI SEBALIK KEJADIAN YANG BERLAKU. !!!

(Al-Baqarah : 216)

ALLAHU’ALAM...


Friday, April 17, 2009

apabila aku berdiam diri..

"hari ni lu banyak kap siau ha !!!"
auntie di kilang menegur aku.

"ya la. You kap siau hari ni."
seorang lagi auntie menambah.

kap siau tu maksudnya cakap banyak. maklum la, aku ni memang orang yang agak banyak bercakap. lebih2 lagi sewaktu melakukan kerja2 yang agak membosankan dan meletihkan. tapi bila mulut berbuka, ada saja orang termasuk auntie yang diusik.

"OK auntie, kalau macam tu lepas ni saya tak mau cakap dah."

"betul ka?" auntie tidak percaya, seolah-olah menyangka aku hanya cakap kosong.

"betul la. nanti bermula pukul 1, saya takkan cakap sampai pukul 6." aku meyakinkan mereka.

"lagipun, kalau saya bercakap banyak, nanti akan ada orang yang 'terkena', jadi lebih baik saya diam saja, kan?"

"alaaahh, betul ka? kita tengok dia boleh ka tak?" seorang kawan bersuara.

"OK, tak percaya tak pa. kita tunggu"...

lagi 1 minit menjelang pukul 1, masing-masing bersedia untuk keluar berehat.

"lagi 1 minit saja auntie, lepas ni saya takkan cakap."

"betul ka? kalau lu cakap, lu kena belanja satay dekat belakang tu."auntie seolah-olah mahu bertaruh.

aku tak mengiya mahupun menidakkan. takut-takut tak boleh tahan.

"tapi..kalau ada orang tanya, saya kena jawab la.." aku melonggarkan sikit syarat-syarat yang dicipta sendiri.

waktu rehat 1 jam, aku pulang ke rumah sewa berdekatan USM kerana terpaksa mengambil sesuatu. dalam perjalanan yang agak jauh, aku berfikir tentang perkara tadi. Hmm, aku akan teruskan...

masuk kerja pukul 2, aku memakai mask, menutup mulut.. auntie mula tersenyum, seolah-olah menyindir. aku pun tersenyum, tetapi ditutupi mask tersebut.

Phay san, 'orang pejabat' yang juga orang kanan bos bertanya sesuatu kepada aku.

tanpa berbicara, aku berpaling kepada auntie, memberi isyarat kepadanya supaya memberitahu Phay San apa yang berlaku.auntie memberitahu phay san, termasuk memberitahu bahawa aku akan belanja satay sekiranya aku bercakap. ishh, memandai saja auntie ni.

"Syam, kenapa U tak nak cakap? ala, satay saja maa!!" dia mula menyuruh aku berbiara.

seperti biasa, aku hanya tersenyum dan terus diam. dia masih menyuruh aku bercakap, tetapi aku teta enggan.

"ha, I panggil Hui Yee suruh U cakap, macam mana?" HUi Yee merupakan bos yang selama ini aku ceritakan. aduh, jenuhlah kalau dia beritahu bos. apa yang berlaku di kilang, selalunya akan sampai ke pengetahuan bos, walau sekecil-kecil perkara seperti ini.

"zam, hisyam tak mahu bercakap. kalau dia cakap, dia akan belanja satay." sudah !! dia beritahu orang lain pulak. habis semua di dalam kilang tahu tentang perkara tersebut.

masing-masing datang membuat helah menyuruh aku bercakap. ish3... malah ada yang mengatakan aku merajuk sampai tidak mahu bercakap, dan ada yang kata 'angin' aku sudah datang. tak kisah lah, yang penting, sebelum pukul 6, aku takkan bercakap.

aku mula memasang earphone, mendengar koleksi2 ceramah ustaz shamsuri. begitulah aktiviti harian semasa membuat kerja. sekurang-kurangnya dapat sesuatu sepanjang berada di kilang. jika bos datang menjenguk di bahagian pembuatan, cepat-cepat aku menanggalkannya.

"hoi, lu betul-betul tak mau cakap ka?" auntie mula bersuara.

ha, rasakan. baru tau sunyi kalau aku tak bercakap. aku membuatkan isyarat 'diam' dengan jari, menyatakan yang aku tidak akan bercakap.

auntie berkata sesuatu tentang aku dalam bahasa cina dengan seorang lagi auntie. aku meneruskan kerja aku.

sukar sebenarnya membuat kerja tanpa berkata-kata, kerana komunikasi itu sangat penting. lebih-lebih lagi kerja yang dilakukan bersama. hendak memberitahu auntie bilangan pek yang perlu dimasukkan ke dalam kotak, semuanya menggunakan isyarat tangan.

selang beberapa ketika, auntie bersuara lagi.. "haiya, cakap la. takdak apa2 la.."

aku tergelak di dalam hati. puas hati.

"hui, dia betul-betul tak mau cakap la. auntie memberitahu semua di situ. yang lain hanya tersenyum. aku lebih-lebih lagi lah...

kekadang timbul rasa menyesal kerana meneruskan mogok diam tersebut. kerja menjadi agak sukar. hendak bertanya apa yang perlu dibuat pun, terpaksa menggunakan isyarat sahaja. tetapi elok juga sebenarnya, lebih banyak aku bersuara, lebih banyak silapnya. sekurang-kurangnya, diam itu bukan diam saja-saja.

walaupun auntie terus memujuk untuk aku bersuara, malah supervisor juga mula berkata-kata, aku teruskan saja.

"2 jam lagi" aku memberitahu menggunakan bahasa isyarat. aku dapat melihat sedikit berubah mood kerja di bahagian packaging. itulah, bila aku bercakap, kata cakap banyak, kenakan orang, usik orang. bila aku tak bercakap langsung, disuruh aku bercakap pula... sehingga auntie merasa aku betul-betul tidak akan bercakap pada hari tu.

satu minit lagi sebelum pukul 6. semua bersiap-siap untuk pulang. aku melihat jam. 5 saat lagi.

"haa...kan saya dah kata, boleh punya." aku terus berkata-kata sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 6 petang.

"wah, dia dah cakap lo..hahahaha." auntie menjadi riang seketika.

"itu lah, saya kata tak mahu bercakap sampai pukul 6 saja. boleh kan ? tak percaya lagi." aku membalas. rasa puas, entah mengapa...

mereka hanya ketawa..

""""selain perut, mulut juga harus berpuasa.... ini merupakan 1 cara untuk berpuasa mulut. boleh la kalau mahu mencuba.."""

sepanjang 'mogok diam' tersebut, aku terbayang bagaimana keadaan orang yang Allah takdirkan dia bisu. tak dapat aku memikirkan, kerana aku membisu selama 4 jam, tetapi terasa sunyi dan sukar...

pengajaran buat diri sendiri..

Monday, April 13, 2009

APA ALASAN KITA ??

KITA MANUSIA DILAHIRKAN SEMPURNA..SANGAT SEMPURNA.

TETAPI DIA....

APA ALASAN KITA UNTUK TIDAK BERBAKTI ???

video



Sunday, April 12, 2009

apabila non-muslim membaca al-quran...

Aku mengambil 2 petikan daripada sebuah laman web yang 'cuba' untuk mengupas berkenaan isu Nga Kor Ming(Ahli Parlimen DAP Taiping)yang membaca ayat Al-Quran semasa berkempen di Bukit Gantang.


1)AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

"Nga Kor Ming (Ahli Parlimen DAP Taiping) telah bertindak memberi salam dan membaca surah "Aura" yang tidak terdapat pun dalam Al-Quran. Persoalannya siapakah yang mengajar Nga untuk membaca ayat tersebut? Mengapa ajar Nga membaca ayat Al-Quran ini untuk tujuan ceramah politik sahaja?. Ajar pun tidak habis, malah bacaan pun salah. Seolah-olah mempermainkan Islam. Kalau PAS mahu benar-benar berdakwah, mengapa Nga tidak peluk pun Islam. Malah hudud pun DAP tentang.

ni bukan kali pertama DAP membaca ayat Al-Quran. Pada 13 November, Wong Kar Woh (ADUN Canning, Bekas Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak) membacakan dua ayat dari Surah Al-Hujurat (ayat ke-12) dan Surah Ali-Imran (ayat ke-10) dalam Dewan Undangan Negeri ketika mengulas bajet negeri. Nizar memang tidak kisah ayat suci Al-Quran dipermainkan oleh kafir harbi ini? Orang PAS bangga? PAS mengajar DAP untuk menjadi semakin kurang ajar dan biadap terhadap Islam. Mahukah orang-orang PAS membiarkan perkara ini berterusan?


2) tebuhitam

"Bab nie saya malas nak cerita lebih-lebih.
Semua orang harus buka mata dan jangan pekak kan telinga.
Semua orang boleh nilaikan mana yang baik dan mana yang buruk.
Jangan kerana gilakan kuasa mereka sanggup mempermainkan Al-Quran.

Tetuan di dalam PAS...
Saya ingin bertanya...
Jika DAP inginkan pengundi melayu islam memangkah PAS,DAP sanggup membaca Al-Quran.Tetapi jika calon DAP dipertandingkan adakah PAS rela sembah,apa yg mereka sembah hanya untuk meraih undi bangsa asing???.no meaning.

mmm..........
Keburukan datang daripada diri sendiri."
kebaikan datang daripada Allah.

selain dua petikan ini, akhbar-akhbar harian juga sibuk memperkatakan tentang isu ini, sebagai bahan kempen untuk 'tuan' mereka..

aku tak mahu komen panjang tentang isu ini. cuma mungkin artikel daripada ustaz Hasrizal boleh menjawab sedikit sebanyak isu tersebut.

Hina Islam Atau ‘Muslim’?

juga sebuah surat yang diutuskan oleh Tuan Guru Nik Aziz kepada Nga Kor Ming.

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.
Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS ...............................

aku mengambil 2 ayat yang telah aku highlight di atas :

aku ingin bertanya kepada semua..

bagaimana pendekatan kita apabila berhadapan dengan non-muslim?

pernahkah kita selaku muslim sejak dilahirkan ini pernah walau sekali menerangkan kepada non-muslim perihal islam??

pernahkah kita ditanya oleh mereka tentang islam, lalu kita cuba menjawab dengan jawapan yang terbaik? atau kita sendiri tidak tahu tentang agama sendiri?

dan, adakah salah apabila ada non-muslim yang cuba mendekati islam, walaupun dia tidak memeluk islam...

- rasanya tak perlu aku komen banyak2.
- cukup sekadar mahu membuka minda, memikirkan balik tentang peranan kita.

ALLAHU'LAM



Saturday, April 11, 2009

WAHAI MELAYU...TAHUKAH KAMU ??


Melayu merupakan bangsa bertuah, bangsa pilihan, dan bangsa harapan.
Seperti bangsa arab yang menjadi pilihan,

untuk menerima seorang utusan,
juga menerima satu perutusan bernama Al-Quran,
bangsa melayu juga bangsa pilihan tuhan.


Kenapa aku berpendapat sedemikian?

Kerana pada kita ada kekuatan.

Kerana pada kita ada keupayaan.

Kerana pada kita ada harapan.


Allah anugerahkan kepada bangsaku, bangsa melayu satu anugerah yang tiada bandingan.

Dan anugerah inilah yang telah menjadikan bangsa melayu, suatu bangsa yang mulia.

Anugerah itu bernama ISLAM.


Sejarah telah membuktikan..
Apabila ISLAM dimartabatkan oleh para sultan..
Tanah melayu menjadi Tanah Harapan..
Tanah melayu penuh kemakmuran..
Juga tanah melayu menjadi rebutan..
Para penjajah berhati syaitan...

Bangsa Quraisy dulu dipandang hina..
Walaupun diapit kiri dan kanan oleh Rom dan Parsi, namun tak terdetik di hati Kaisar dan Kisra untuk menaklukinya. Kerana menakluki bangsa Quraisy bermaksud membawa bencana. Kerana sifat mereka yang terlalu hina.

Benar kata-kata Saidina Umar.

”kita dahulu merupakan satu bangsa yang hina. Lalu Allah telah muliakan kita dengan ISLAM. Ketahuilah, sekiranya kita meninggalkan islam, pasti Allah akan hinakan kita.”

Kata-kata itu jugalah sepatutnya ditujukan kepada bangsa melayu.

Kita mulia setelah kenal akan ISLAM.

Tak dapat aku bayangkan,
Jika hidayah Allah tidak sampai ke tanah melayu..
Melalui para pedagang yang teguh keimanannya,
Yang berani menyatakan kebenaran.

Mungkin hari ini, aku masih menziarahi tokong.
Aku masih menyembah patung.
Aku tidak mengenali Allah yang maha Agung.

Tidak dapat aku bayangkan,
Aku hidup dalam kegelapan,
Malah kegelapan atas kegelapan.
Umpama ombak di tengah lautan..

Ya Allah, besarnya anugerah yang telah Engkau berikan kepadaku,
Juga kepada bangsaku,
Yang bernama MELAYU..

Namun, mengapa pada hari ini bangsa MELAYU menjadi bangsa yang tidak bersyukur?

Anugerah yang telah Allah berikan kepada kita...ke mana telah kita campakkan?
ISLAM yang telah Allah kurniakan kepada kita...mengapa kita tinggalkan?

Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu bersyukur..
Tidak pandai berterima kasih kepada Allah..
Atas nikmat yang telah diamanahkan kepada kita.

Jika benar kita hamba yang bersyukur...
Mengapa bangsaku, bangsa MELAYU menjadi seperti hari ini..

Penghuni pusat serenti....anak MELAYU ISLAM
Pengunjung pusat-pusat judi... anak MELAYU ISLAM.
Yang memenuhi pusat-pusat hiburan..anak MELAYU ISLAM..
Yang menjadi penjenayah...
Yang menjadi maknyah, bohsia, bohjan, rempit, gothic, murtad....
Semuanya anak MELAYU ISLAM..

Ya Allah..
Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki..
Engkau jugalah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki..

Jika dahulu bangsa MELAYU mengenal islam melalui para pendakwah..
Hari ini, untuk mengenalkan bangsa MELAYU kepada Allah..
Semestinya juga melalui jalan dakwah..

Jalan yang telah ditempuh oleh Rasulullah,
Juga para sahabat yang diredhai Allah..

Namun, persoalannya….
bagaimana hendak bermula??
Dari mana hendak bermula??
Dan siapakah yang hendak menjadi pemula..

Tepuk dada..
Tanya hati..
Cabar minda..
Sedarkan diri…

Adakah aku telah memulakan langkah tersebut?

AKU…..
Ya, aku bertanya pada diriku….
Bukan diri kamu…
Tetapi kepada diriku..
Kerana aku yang akan menanggung setiap perbuatanku..
Bukannya kamu, bukan juga ibu bapaku, bukan sanak saudaraku, bukan sahabat-sahabatku, bukan pemimpinku, bukan para ustaz, bukannya Parti Politik...
Bukan...
Bukan....

”setiap daripada kamu merupakan pemimpin, dan kamu akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan atas apa-apa yang kamu pimpin.”

JADI...
Adakah kita telah berpuas hati dengan keadaan diri sekarang ini...
Pergi ke kuliah, pulang dari kuliah..
Pergi ke masjid, pulang dari masjid..
Pergi dengar ceramah, pulang dari ceramah..
Masuk universiti, keluar bergraduasi..

Semuanya itu untuk siapa??
Untuk diri sendiri sahaja ??
Untuk melepaskan diri sendiri, dari azab dan siksa..

Benarkah begitu??
Betulkah tanggapan itu??

Sedangkan di sebelah kita, masih ada insan bernama MELAYU yang sepatutnya beragama islam tetapi masih tidak kenal tuhan.

Masih ramai anak MELAYU yang sanggup menghina tuhan..

Masih ramai di luar sana..
Masih ramai......
Dan masih SANGAT RAMAI...
Malah lebih ramai yang tidak mengenal tuhan,
berbanding yang pernah merasa nikmat ruku’ dan sujud...
yang pernah mengenal erti bertahajjud..
yang tahu mati itu pasti..
dan selepas mati itu akan dibangkitkan lagi..
dan selepas itulah, bermulanya kehidupan yang abadi..

Ya Allah...
hambamu ini berdosa..
dengan sebesar-besar dosa..
kerana tidak terdaya..
untuk membawa insan yang dikasihi..
juga sahabat yang dikenali
juga umat di sekeliling..
untuk sama-sama mengabdikan diri..
hanya kepadamu yang Maha Kekal Lagi Abadi..

Ya Rabbi...
Kurniakan kefahaman, juga kekuatan..
Untuk terus berada pada jalan kebenaran..
Serta mampu mengajak mereka..
Bersama-sama di atas landasan..
Yang akan membawa bertemuMU.
Dalam keredhaan...

Ya Rahman...
Sekiranya Engkau telah memilihku untuk berada pada jalanMU
Ikhlaskanlah hatiku, dalam setiap amalan dan perbuatanku..
Janganlah ada walau sedikit yang tercalit dan terpalit dihatiku,
Perasaan riak, sombong, takabbur, bangga diri..
Serta sifat-sifat mazmumah..
Yang bisa menghapuskan segala kebaikan..
Seperti api memakan kayu api..

Ya Rahim...
Andai perkara itu terjadi...
Ku memohon kepadaMU..
Dengan sepenuh hati ini..
Agar di ampuni dan di maafi..
Kerana jika Engkau tidak mengampuni..
Sesungguhnya, aku termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi..

Dan...
Sebagaimana Engkau telah muliakan Umat terdahulu..
Muliakanlah juga umat islam kini...
Juga kembalikanlah kemuliaan kepada bangsaku, MELAYU..
Dengan cara mengenaliMU..

”umat islam hanya akan berjaya apabila mengenal tuhan.. Tetapi orang-orang kafir berjaya apabila mereka meninggalkan tuhan..”

Sekiranya kita berjaya, dengan cara kita melupakan tuhan...
Koreksilah kembali diri...
Agar kejayaan kita itu, tidak hanya di dunia..
Tetapi juga di akhirat sana...

ALLAHU’ALAM.......................



fikiran yang menyerabutkan


hampir gila aku dibuatnya...

mahu sahaja aku keluar dari kilang, lalu menaiki motor untuk terus pulang ke rumah..

nasib sahaja, sisa-sisa kewarasan masih mampu untuk mengawal diri daripada bertindak sedemikian rupa..

ada apa yang tidak kena ???

semuanya gara-gara tiada kerja yang hendak dilakukan...

bahan mentah tidak dihantar oleh pembekal untuk membuat bancuhan..jadi, hari itu aku duduk sahaja. dari pagi sampai ke petang, kerjanya hanya melipat kertas-kertas resipi untuk digunakan nanti...

bosan tahap maut...
aku semakin berserabut..
makin dipendam, makin tak terpadam...
sampai satu tahap, aku bangun lalu menghempas resipi-resipi tersebut di atas meja..
lantas keluar dari kilang untuk mencari ketengangan..
auntie melihat dengan penuh kehairanan.

namun bukan itu yang membuatkan aku hampir hilang kewarasan..
keadaan itu hanya punca, tetapi penyebabnya ialah kerana FIKIRAN..
apabila badan tidak disibukkan, fikiran mula memikirkan banyak perkara..

dan yang paling hendak memecahkan kepala, ialah apabila memikirkan sesuatu yang jauh dan belum pasti..

ya !!!
tentang 'itu'..

bila ? siapa ? bagaimana ? mengapa ? apa ?

apa 'itu', janganlah anda membuat tafsiran sendiri.....
semua persoalan menerjah ke dalam fikiran, tanpa ada satu pun yang sempat ditapis dan ditempis..

berseorangan di luar, aku kembali tersedar...
lalu terus beristighfar...
mencari ketenangan, mencari kekuatan...
yang bersumberkan tuhan..

namun, apabila aku disibukkan...
alhamdulillah, FIKIRAN tersebut tidak lagi mengganggu,
walaupun sesekali datang menerjah.
namun, ia datang hanya sekadar untuk singgah..
lalu pergi bersama-sama tugasan dan amanah..

UMPAMA AIR...

jika air tidak bergerak, pasti lama-kelamaan ia akan menjadi kotor dan busuk.

begitu juga dengan diri kita..
jika tidak 'dialirkan' untuk melakukan sesuatu pekerjaan,
pasti nanti akan ada yang merosakkan.

sibukkanlah diri anda dengan sesuatu yang berguna..
kerana sibuk itu dapat menutup salah satu lubang maksiat,
namun jangan pula sibuk itu menyebabkan kita melakukan maksiat...
maksiat dengan meninggalkan segala amanat..

kesimpulannya, lakukanlah sesuatu...
jangan duduk saja-saja...


lelaki dan hati...


dalam diri manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati.

apabila berbicara tentang hati, mungkin ramai yang akan memperkatakan tentang cinta, menyentuh tentang perasaan dan membicarakan tentang kasih sesama insan..

namun, persoalan tentang hati bukan sekadar itu sahaja.

mudah untuk kita menjaga diri, berbanding menjaga hati...

timbul istilah "ustaz kopiah longgar"...

puncanya ialah, tidak dapat menjaga hati a.k.a mengawal nafsu...

'ustaz' di atas merujuk kepada lelaki. siapa sahaja dia, engineer, doktor, ahli musik, malah tak terlepas ustaz-ustaz, sebagai seorang lelaki, memang benar perkara tersebut merupakan satu cabaran yang sukar untuk diatasi.

WANITA SEBAGAI SENJATA !!!!!!!!

satu kajian melaporkan bahawa, tubuh badan wanita merupakan daya penarik bagi lelaki, tetapi tidak bagi wanita terhadap lelaki.

cabaran buat lelaki....

FAKTA !! ke mana sahaja kita pergi, pasti ada di sana makhluk bernama wanita.

lebih-lebih lagi, dalam negara yang berbilang kaum dan agama, pasti di sana bukan hanya terdapat wanita-wanita solehah yang menutup seluruh tubuh dengan sempurna, tetapi seribu satu pakaian yang melekat pada badan mereka.

BOHONG jika ada yang mengatakan bahawa keadaan sekeliling langsung tidak memberi kesan kepada diri...

menjadi seorang pemerhati, aku sering melihat gelagat insan bergelar lelaki. dan tidak lupa, aku sering memantau keadaan diri..

di pasar malam, di tepi jalan, di pasaraya, hatta di dalam kilang...... ramai lelaki telah 'tercedera' dek panahan 'senjata wanita'.

mata melirik ke setiap inci tubuh wanita.. kemudian menggelengkan kepala seraya berkata.. "huh..."

ini bukan rekaan, tetapi hasil daripada pemerhatian...

lalu hendak disalahkan siapa ??

adakah salah wanita kerana tidak cukup wang untuk membeli pakaian yang sempurna..??

atau adakah salah lelaki kerana tidak cukup iman untuk menangkis panahan syaitan ??

atau adakah salah kedua-duanya kerana tidak mengikut suruhan tuhan ??

semuanya berbalik kepada diri sendiri.....

aku koreksi diri...

anda juga koreksi diri...

jika anda seorang wanita, adakah anda rela syaitan menjadikan anda sebagai senjatanya.??

senjata yang merosakkan ribuan mata yang akan dibakar dek kerana anda..pastinya anda juga tak akan terlepas daripada bakaran tersebut.. PASTI !!!

dan jika anda seorang lelaki, mahukah anda menjadi mangsa tipuan syaitan yang mahu mengajak anda bersama-samanya, menjadi teman di dalam neraka.

ahhh !!! sukarnya menjaga hati...

hari ini, ketika iman terasa penuh di dalam hati...
jalannya hanya memandang ke tanah.
pandangan sekeliling itu hanya fitnah !!
tak usah di pandang, tiada memberi faedah...

namun besok, ketika hati terasa kosong, tak terisi..
manusia kembali lupa diri,
mata menjamu dengan rakus sekali,
ketika itu, tak pernah terlintas di hati,
bahawa "aku pasti akan mati"

tetapi jika lusa, anda kembali teringat..
perbuatan semalam itu adalah maksiat,
kembalilah.. segeralah bertaubat,
sebelum semuanya terlambat,
sebelum diri diziarahi malaikat,
yang akan memutuskan segala nikmat...

andai nanti diri kembali terlupa..
dan pasti diri akan kembali terlupa,
kerana manusia itu sering sahaja terlupa,
pastikan kita tidak terlupa..
untuk kembali mengingati Pencipta...

lalu wahai lelaki...
apa yang perlu aku, anda dan kita perbuat untuk mempertahankan diri...

jawapannya mudah untuk diberi..

tetapi tidak mudah untuk diaplikasi..

tak berani untuk aku mengatakan kita perlu begitu dan begini...

kerana mungkin sahaja aku sendiri tak mampu untuk lakukan semuanya...

cuma satu yang aku akan perkatakan..

dari sehari ke sehari..
cubalah untuk kita perbaiki diri...

dan mohonlah kekuatan itu daripada Tuhan Yang Maha Kuat..

kerana hanya Dia sahaja sumber kekuatan insan...

"wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami pada agamaMU, dan pada mentaati perintahMU"



Tuesday, April 7, 2009

JIKA DITANYA KEPADAKU...


JIKA DITANYA KEPADAKU :

APA MAKNA BAHAGIA ?

JAWABKU…


BAHAGIA ITU IALAH APABILA DAPAT MEMBAHAGIAKAN INSAN YANG DIKASIHI.

JIKA DITANYA KEPADAKU,

APA MAKNA GEMBIRA ?

JAWABKU…

GEMBIRA ITU IALAH APABILA DAPAT MENGGEMBIRAKAN ORANG DI SEKELILING..

JIKA DITANYA KEPADAKU,

APA MAKNA SENGSARA ?

JAWABKU…

SENGSARA ITU IALAH APABILA DIRI BERLAKU ZALIM PADA DIRI SENDIRI DAN JUGA BERLAKU ZALIM PADA ORANG LAIN.

“TIADA TUHAN MELAINKAN ENGKAU YA ALLAH. MAHA SUCI ENGKAU. SESUNGGUHNYA AKU TERMASUK DI KALANGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM.”

”TUHANKU, AKU TELAH MENZALIMI DIRIKU DENGAN KEZALIMAN YANG BANYAK. AMPUNKAN DAKU. SESUNGGUHNYA TIADA YANG DAPAT MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA MELAINKAN ENGKAU.”

APAKAH MAKNA BAHAGIA UNTUK ANDA ????


Friday, April 3, 2009

idea oh idea...


TAHUN AKHIR... Sidang hadapan, aku akan memasuki tahun akhir pengajian di USM. Semoga, 'tahun akhir' itu benar-benar merupakan tahun akhir bagiku. Namun, insyaallah bukan tahun akhir aku bersama-sama USM. Aku bertekad untuk terus menabur bakti kepada USM, seperti aku masih bersama-sama dengan sekolah dan matrikulasi. Di sanalah aku dididik menjadi manusia seperti hari ini. Tempat jatuh lagi diingat, apatah lagi tempat menerima ilmu.
Juga kepada Persatuan Mahasiswa Islam USM. Bersamanya, aku mengenal diri sebagai muslim, bersamanya aku harungi suka dan duka, dan bersama sahabat-sahabat di dalamnya lah aku 'membesar' menjadi manusia di alam kampus yang penuh mehnah dan dugaan…………..

Aku baru habis ‘bermesyuarat’ YM dengan timbalan pengerusi Biro Perhubungan dan Penerangan Kampus , Persatuan Mahasiswa Islam USM, (BPPK PMIUSM). Perbincangan berkaitan agenda untuk dilaksanakan pada sidang kepimpinan kali ini.

Aku sedar, sidang hadapan pastinya sangat mencabar bagiku. Final Year Project, CGPA yang masih perlu diperbaiki, aktiviti-aktiviti persatuan dalam kampus dan luar kampus....dan taklifan sebagai Pengerusi BPPK PMIUSM.

Pening kepala memikirkan amanah dan tanggungjawab yang terpikul dibahu. Amanah bukan sekadar untuk diusung ke sana dan ke sini, tetapi untuk dilaksanakan sepenuh hati, dan...ia akan dipersoalkan nanti.

Perbincangan tadi, banyak idea-idea yang dilontar, dengan harapan untuk dilaksanakan. Namun selesai dibincangkan, seperti tak tertanggung pula untuk dilaksanakan semuanya.

Berbicara soal idea, kebanyakannya datang bukan ketika ia dipaksa untuk datang, tetapi hadirnya di saat-saat yang tidak diduga.

Ketika makan di kedai, terlihat meja yang kosong. Mungkin boleh ditampal sesuatu yang berguna.. itu satu idea yang berguna. Mungkin ada manfaatnya.

Sedang berhajat dalam tandas, ada juga idea yang datang mencurah, seperti air mencurah-curah dari paip air. “aku harus buat begini, aku perlu buat begitu.”

Perjalanan atas kenderaan, juga memungkinkan idea untuk datang.

Perkara yang penting ialah, jangan sekali-kali biarkan idea itu sekadar datang menghinggap, kerana jika ia pergi, mungkin tidak akan kembali. Catatkan setiap idea yang datang, walaupun pada mulanya ia kelihatan seperti ’gila-gila’. Orang gila pun masih ada harapan untuk dipulihkan, inikan pula idea-idea gila. Murnikan ia untuk kebaikan, andai kata masih ada peluang dan ruang untuk diperbaiki.

Aku akui, kebanyakan idea dalam perbincangan tadi datang secara spontan, namun sempat dicekup sebelum ia lari. Juga ia bermula dengan angan-angan, namun angan-angan itu cuba untuk di’realiti’kan.

Pernah aku ungkapkan sebelum ini.

Untuk berjaya, kita perlu ada cita-cita. cita-cita bermula dengan harapan. Harapan bermula dengan angan-angan. Angan-angan bermula dengan mimpi. Dan mimpi bermula dengan tidur. JADI… untuk berjaya, kita perlu tidur..

Falsafah songsang yang perlu sama-sama kita renungkan.

P/s : artikel ini sekadar untuk merawat kebosanan. Maaf andai tiada sebarang kebaikan daripadanya.

ujian sebuah persahabatan


Sahabat,

Semakin banyak kita berbicara, Semakin banyak pula kesalahan dalam kata-kata,
Semakin banyak juga kesilapan dalam tindakan,

Semakin teruji sebuah ikatan persahabatan.

Mungkin dahulu, kata-kataku tiada apa-apa makna,
Namun, semakin lama kita mengenali,
Semakin kata-kata itu mudah menusuk jiwa,
semakin mudah terasa di hati.

Aku pula,
Semakin mudah meninggikan suara,
Semakin berbisa susunan bahasa,
Semakin mudah jiwa membara.

Kekadang aku terfikir.
Mengapa harus begini?
Bukankah sepatutnya, semakin kita mengenali,
Semakin kita saling memahami,
Semakin kita saling menghormati..

Aku semakin tidak memahami diri sendiri.
Semakin aku merenung jauh ke lubuk hati,
Semakin banyak khilaf ku dapati,
Semakin banyak keburukan ku temui,

Aku semakin sedar,
Aku bukanlah insan yang sempurna,
Mungkin tidak langsung menepati,
Ciri-ciri sahabat yang engkau cari,

Namun duhai sahabat,

Janganlah kerana kekurangan ini,
Serta kelemahan diri,
Engkau terus membenci,
Serta menjauhkan diri.

Aku sedia menerima teguran,
Juga sebarang kritikan,
Asalkan engkau sahabat,
Masih sudi menjadi teman.

Semoga perjalanan hidup nanti,
Akan lebih bermakna,
Andai dapat terus bersahabat
Dengan insan seperti mu..

BUAT SAHABAT-SAHABAT YANG DIKASIHI,
MAAF ATAS KESALAHAN DIRI..
SEMOGA PERSAHABATAN KITA,
KEKAL HINGGA KE SYURGA..

AMEEN...