Sunday, November 17, 2024

Jangan Berhenti Kongsi Kebaikan


Sekarang ni zaman podcast. Di YouTube bercambah podcast dalam pelbagai genre. Satu perkembangan yang sangat bagus terutamanya untuk orang 'auditori' macam aku ni. Dan podcast juga dah kurangkan screen time aku dengan video-video pendek di FB dan Tiktok.

Aku tertarik dengan perbincangan dalam podcast oleh Mr. Kokom dan tetamu undangan Naszkenyang. Kebetulan, aku memang meminati kedua-dua content creator ni. 

Satu perkara yang betul-betul beri kesan kepada aku ialah apabila Nasz ceritakan antara sebab dia masih berada dalam industri sebagai content creator ialah respon daripada orang ramai terhadap video yang dia buat.

Katanya satu hari ada seorang peniaga bazaar menahan dan memeluk dirinya. Peniaga tersebut memberi tahu bahawa dia pernah bankrap dan mengalami tekanan serta hampir berputus asa. Tetapi disebabkan satu video si Nasz yang lalu di FB dan asbab video tersebut telah memberi kesan dalam diri dan mengubah hidup peniaga tersebut. Kini peniaga tersebut sudah mempunyai beberapa cawangan gerai yang menjual air kelapa.

Kisah lain, Nasz juga menceritakan berkenaan seorang lelaki yang hampir membunuh diri kerana kecewa akibat putus tunang. Namun disebabkan video karya si Nasz betul-betul related dengan keadaan dia dan memberi kesan yang mendalam di hati, lelaki tersebut tidak jadi untuk bunuh diri. 

Nasz sendiri beritahu tujuan dia membuat video adalah disebabkan minat dan ingin kembangkan bakat dalam bidang lakonan. Tapi tak disangka, sekecil-kecil perkara seperti video tersebut mampu beri kebaikan dan mengubah hidup orang lain. Perkara tersebut telah memberi semangat dan tujuan untuk dia terus berkarya. 

Pengajaran yang boleh kita ambil ialah, teruskan lah berkongsi perkara-perkara kebaikan. Kadang kala kita tidak tahu, walaupun posting kita tiada LIKE, pasti ada insan-insan yang dah lihat dan ada kemungkinan memberi kesan positif dan kebaikan kepada mereka. Sudah tentu ada bahagian kebaikan untuk kita yang berkongsi.

"Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun."
(Riwayat Muslim)