Thursday, December 11, 2008

bukan sekadar sembang kosong....

Dalam perjalanan mencari kedai makan malam tadi, aku dan abang ipar serta sepupu berbual kosong. Tajuk perbincangan tidak dirancang, tetapi menyentuh serba sedikit tentang nasib anak bangsa serta beberapa cara yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan.

topik pertama muncul tatkala kami terlihat sebuah motorsikal yang dipandu laju di kawasan pekan.

MAT REMPIT !!!!

“negara kita sebenarnya tak menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada golongan muda.”

Mat rempit. Golongan yang dipandang hina oleh sesetengah kelompok masyarakat. Apa tidaknya. Memandu laju di atas jalan raya, tidak mempedulikan keselamatan diri sendiri serta keselamatan orang lain. Malah polis yang membuat sekatan jalan raya pun dilanggar tanpa rasa bersalah. Lebih teruk, ada mat rempit yang terlibat dalam kes rompakan jalan raya, kes pukul, malah merogol mangsa.

Perkara tersebut merupakan kejahatan yang terlihat pada diri seorang ‘mat rempit.’ Namun, ada ‘kebaikan’ yang disia-siakan oleh pihak yang berkenaan terhadap mat rempit. Apa dia??

Sifat ’tak takut mati’, hati kering, pandai mereka cipta, pandai berlumba dan lain-lain yang kebanyakannya berkaitan dengan motorsikal.

Jangan hanya pandang pada sudut negatif sahaja, sehingga mata menjadi buta, tak terlihat kelebihan mereka di sudut positif. Apa prkara positif yang ada pada mat rempit? Hampir tak kelihatan sebarang kebaikan pada diri mereka.

Jawapannya ialah bakat yang terpendam dalam diri mereka. Daripada dicampakkan mereka ini ke dalam lokap, mungkin lebih baik jika dicampakkan mereka ke dalam litar lumba. Potensi sudah ada, bakat juga sudah terbukti di atas jalan raya. Cuma mereka tidak diberi peluang untuk menonjolkannya pada jalan yang lebih ‘diredhai.’

Siapa tahu, dengan sifat ‘berani mati’ dan hati kering, mereka boleh lebih berjaya daripada pelumba-pelumba litar yang sedia ada. Tempat latihan si mat rempit ialah di atas jalan raya. Penuh kereta, penuh bahaya. Sedangkan pelumba yang sedia ada berlatih di atas litar yang cukup sempurna. Mana mungkin sama singa yang dibesarkan di dalam hutan jika hendak dibandingkan dengan singa yang dibesarkan di dalam zoo. Pasti ada bezanya dari sudut kemampuan untuk ‘survival’.

Pastinya perlu ada tapisan-tapisan yang mesti dilalui. Bukan semua mat rempit perlu ‘disumbat’ ke dalam litar. Cuma peluang untuk menunjukkan bakat perlu diperluaskan. Malah kreativiti mereka dalam me’make up’ motorsikal perlu digalakkan. Sekarang ini jika kenderaan yang diubahsuai lain dari yang lain, pasti akan di sita. Maka kreativiti mereka akan tersekat. Apabila ruang itu disekat, maka mereka akan menganggap perkara tersebut sesuatu yang salah, lalu tidak lagi diasah pemikiran kreatif tersebut. Hal ini akan merugikan negara juga.

Keadaan di luar negara, kata abang iparku, mereka memberi galakan kepada ‘pereka-pereka individu’ yang mencipta sesuatu yang baru. Bukan disita tanpa bicara. Macam ISA.

Kemudian topik beralih kepada mat dadah. Apa yang perlu dibuat dengan mereka-mereka ini. Pusat serenti dan penjara seluruh negara sudah penuh dengan golongan ini. Habiskan beras, habiskan tenaga dan habiskan wang negara. Perbelanjaan sehari untuk banduan melebihi bantuan ke atas mangsa banjir. Negara menanggung perbelanjaan yang sangat besar untuk golongan-golongan tersebut.

Apa kata kami?. Mungkin ini hanya sembang-sembang kosong, namun mungkin ada logiknya.

Hari-hari menunggu mati. Suatu hari pasti akan mati. Duduk dalam pusat serenti, tiada guna, tiada bakti. Bukankah lebih baik jika dihantar sahaja pergi berperang di negara teluk melawan Yahudi? Atau dihantar menjadi sukarelawan perang ke negara-negara bergolak seperti di Afghanstan dan Iraq. Negara kita juga ada menghantar wakil-wakil tentera ke sana.

Kata abang iparku, “hantar sahaja mereka berperang di sana. sekurang-kurangnya terhapus dosa-dosa. Dan jika ada yang terselamat, pasti mereka akan bertaubat nasuha.

Ya lah. Bukan mudah hendak menghantar rakyat Malaysia ke sana. namun, yang menunggu mati di dalam negara dengan sia-sia, bukankah lebih baik pergi berbakti di mana-mana membela agama. Sekurang-kurangnya, timbul kesedaran dalam diri. Malah mereka sebenarnya telah diberi peluang hidup yang kedua. Yang menunggu hukuman mati, mungkin boleh ditebus dengan cara ini. Namun, perlulah diberi dahulu kefahaman dalam diri.


Contoh aku ambil daripada filem xXx lakonan Vin Diesel. Seorang banduan yang profesional, lalu dilantik oleh kerajaan untuk menjadi agen rahsia kerajaan dalam menumpaskan kumpulan penjenayah Rusia. Pilihan hanya dua. Mati dipenjara ataupun menerima tawaran.

Walaupun hanya filem, namun perkara terebut mungkin dapat dipraktik di dalam negara. Bakat dan kepandaian tak harus dikuburkan. Malah ia boleh menjadi peluang kedua kepada mereka. Daripada mati sia-sia, baik mati dalam keadaan berguna.

Hanya sekadar lontaran idea dan sembang-sembang kosong. Namun benar, ada sesetengah perkara tidak dimanfaatkan sepenuhnya

Sama juga dengan para pendakwah. Golongan seperti ini tak harus ditinggalkan, malah perlu lebih didekati. Apabila telah ada kesedaran pada golongan sebegini, maka merekalah orang yang paling sesuai untuk menarik kembali sahabat-sahabat dan orang-orang yang ‘sekepala’ dengan mereka. Cuba lihat kepada para pendakwah yang dahulunya adalah bukan islam, kemudian mereka memeluk islam. Dakwah mereka kepada golongan bukan islam lebih berkesan daripada dakwah seorang yang sudah islam sejak dilahirkan kepada golongan bukan islam. Hal ini kerana mereka lebih mengerti apa keadaan dan situasi serta cara berfikir golongan-golongan sasaran tersebut disebabkan mereka pernah merasai keadaan itu.

Malah golongan-golongan yang bersikap ‘kasar’ ini mampu menjadi benteng di barisan hadapan perjuangan. Dengan keberanian yang ada dalam diri, mampu memanfaatkan islam. Cuba lihat kepada sirah. Rasulullah meraikan sifat sahabat-sahabat Baginda yang pelbagai. Biarkan Usman dengan sifat lemah lembutnya dan biarkan pula Umar dengan sifat kasarnya. Semuanya penting untuk kebaikan islam. Rundingan damai, maka hantarlah usman, namun jika menghadapi peperangan dan ancaman, maka Umar menjadi pilihan.

Hmmm, semuanya hanyalah lontaran idea bagi mengisi masa lapang di dalam kereta. Tidak pula aku mengatakan apa yang kami bincangkan semuanya betul, namun mungkin boleh diteliti jika ada kebenaran disebaliknya. Aku hanya ingin berkongsi…..

Allahu’alam..

2 comments:

Anonymous said...

cadangan2 yang baik.. apa kata bagi surat rasmi kat kerajaan dan utarakan idea2 ini.. ye la drpd mati dlm penjara lagi baik mati dlm perang bela Islam... hmm, pernah tengok mat rempit accident dan mati terperosok bawah kereta.. memang sangat ngeri..[tapi kerajaan betul2 serius ke fikir pasal nasib mereka ini?hmm...

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

hantaq surat kat kerajaan ek ??
setem kena brapa puluh sen yer ??
nak hantar kepada jabatan mana ? jabatan perdana menteri ka jabatan penjara? kalau PM or TPM, takut tak layan ler..hehehehe..

**lain la kalau ada problem biasiswa.. bole la pi jumpa dgn TPM.. dia sanggup layan.. but not sure dia layan smua orang atau 'sstngah' orang sj..

Allahu'alam....