Monday, December 15, 2008

rumah kata pergi....

Sakit belakangku masih belum hilang. Lepas diurut, makin bertambah sakit pula rasanya.
Kelmarin ahli qariah masjid Tasek Gelugor bergotong royong membersihkan ’rumah baru’ kami. Rumah baru ini lebih besar daripada rumah lama. Lebih kurang sebesar padang bola rasanya. Cuma yang berbezanya, rumput rumah baru kami panjangnya setinggi manusia. Rumah lama kami sudah terlalu sempit. Sudah tidak dapat menampung penghuni yang semakin hari semakin bertambah. Maklum lah, semua orang mahu menghuni di sana. maka terpaksalah mencari tanah baru untuk membina rumah-rumah tersebut.

Rumah itulah yang setiap insan akan diami setelah tamat sudah waktunya di dunia. Kubur….

Keras juga amaran pengerusi qariah semasa kuliah maghrib malam sebelumnya. Dimintanya agar semua yang hadir untuk sama-sama pergi bergotong royong. Jangan hanya lalu sahaja di hadapan kawasan perkuburan, tetapi langsung tidak terdetik untuk menolong. Jika tak berkesempatan pun katanya, sekurang-kurangnya hulurkanlah apa-apa sebagai hidangan atau sebagainya.

Namun seperti yang biasa terjadi, yang hadir bersama-sama kebanyakannya ialah bakal-bakal ‘penghuni awal’ tanah perkuburan tersebut. Warga tua yang agak lanjut usia. Yang seusia dan dewasa, boleh dikira.

Sepatutnya pergi menebas, tetapi alatan yang dibawa ialah untuk menebang. Hmmm, terpaksalah meminjam. Sudah agak lama tak melakukan kerja-kerja lasak, badan seolah-olah menerima kejutan budaya..

Pantang ada anak muda, pakcik-pakcik meminta melakukan macam-macam kerja. Masa buat kerja tak ingat dunia. Balik ke rumah, emak lah yang jadi mangsa. “tolong urut kejap.”…

Apabila dilihat pada yang hadir, aku cukup kagum dengan pakcik-pakcik tua. Orang itulah yang hadir ke masjid. Orang itu jugalah yang datang membersihkan kubur. Walaupun kudratnya tak sekuat si muda, namun kesungguhannya mengalahkan orang muda. Seorang pakcik tua mencabut pokok-pokok yang melingkar di pagar. Satu demi satu. Sungguh cermat walaupun lambat. Yang seorang lagi mencangkul rerumput. Perlahan-lahan namun penuh kesabaran.

‘Orang muda’ yang seorang ni, pantang dapat sabit, lalang-lalang habis dicantas. Semuanya nak dihabiskan cepat. Akhirnya, jalan pun dah tak larat. Hmmm, pakcik-pakcik tu pun tak sakit urat. Buat malu orang muda saja.

Melihat tanah perkuburan tersebut, jauh aku merenung menembusi tanah. Walaupun belum ditanam apa-apa, namun terbayangkan jasad terbujur di dalam sana. Yang pasti, semuanya akan ke sana. Mungkin aku menebas tempat persemadian aku sendiri. Siapa tahu? Bila dan dimana, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kita manusia yang serba tidak tahu apa, hanya perlu bersedia.

Orang yang paling bijak ialah mereka yang sering memikirkan tentang kematian dan bersedia dengan bekalan untuk ke sana. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Namun, untuk menjadi hamba bertaqwa, bukanlah semudah berkata-kata. Dalam khutbah jumaat, sering kali disebut “marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah.” namun sudahkah kita mencapai tahap itu? Tepuk dada, tanya iman. Sekadar ingatan untuk diri yang sering leka dan alpa tentang kematian yang entah bila akan menjelma……

Allahu’alam….


2 comments:

rossees said...

music background masuk ngan post.
ada cadangan 1 rumah 1 kubur.. hmm...bolehkah di malaysia?

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

1 rumah satu kubur?

kalau di tanah perkuburan besar kat pulau pinang sana, ahli keluarga selalunya di tanam bersebelahan. (contoh my grand2parents).cuma yang tak molek, dah buat petak besar utk satu family. not sure plak jenazah ahli keluarga yg baru akan ditanam di tmpat yg sama atau tmpat lain.

tapi slalunya, kubur yg sama bole di korek balik slps bbrp puluh tahun(rasanya), smpai tulang dh reput.. kalau ahli rumah meninggal sedangkan jenazah dlm kubur masih elok, takkan hendak dikorek balik kubur tu.. hhmmm... not very sure about this..

dh ada praktik kat mana2 ka bazLa' ??