Wednesday, December 10, 2008

sudah berkorban ???

Berkorban mengajak kita mengimbas kembali sejarah besar dalam islam iaitu kisah pengorbanan dan kesabaran anak beranak Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Bukan sekadar kisah untuk didengar dan diulang-ulang setiap tahun di dalam khutbah, tetapi kisah untuk kita umat islam teladani.

Pastinya kita pada hari ini tidak setabah Nabi Ibrahim untuk sanggup mengorbankan anak kesayangan sendiri. Dan semestinya kita tidak mampu memiliki kesabaran seperti Nabi Ismail, yang rela dirinya disembelih oleh ayah sendiri semata-mata untuk menjunjung perintah Ilahi.

Hari raya pertama, Alhamdulillah, sempat aku bersama-sama melihat upacara penyembelihan lembu korban. Namun, aku agak tersentuh dengan beberapa peristiwa ketika penyembelihan. Kasihan kepada si lembu. Kasihan bukan kerana disembelih, namun kasihan kerana diperlakukan ‘selayaknya’ sebagai seekor lembu. Bukan mudah menumbangkan seekor lembu jantan yang bersaiz besar. Terpaksa direntap kaki sehingga si lembu jatuh tersungkur. Ya lah, takkan hendak disuruh si lembu berbaring dengan beradab. Namun direbahkan bak nangka busuk sangat menyentuh perasaan. Kalau manusia yang dijatuhkan sebegitu, mesti patah tulang punggung.

Kemudian, si lembu dijerut di leher sehingga sukar hendak bernafas. Berbunyi si lembu setiap kali hendak bernafas. Belum lagi dikerat leher, sudah sesak untuk bernafas. ”kasihannya si lembu.” aku membisik di dalam hati. Namun, untuk memberitahu tuan empunya lembu, siapalah aku. Jika tak diikat kuat, sukar pula untuk disembelih. Jika diikat terlalu kuat, si lembulah yang terseksa.

”aah, biarkan saja si lembu. Sekejap lagi akan mati juga.” mungkin itu yang difikirkan oleh sesetengah manusia. Mungkin saja.

Jika dapat dibaca fikiran si lembu, mungkin dapat merasa betapa si lembu dalam ketakutan menghadapi saat kematian yang bakal menjelma bila-bila masa apabila mata pisau singgah di leher. Namun, bila aku melihat ’kawan-kawan’ si lembu atau mungkin juga ’keluarganya’, aku teringat kepada diri sendiri dan juga diri kita semua. Adakah kita juga serupa seperti ’spesis lembu.?”

Mungkin agak kasar hendak di samakan manusia yang diciptakan sebaik-baik kejadian dengan si lembu yang tiada akal dan fikiran. Tetapi, aku merasakan, kekadang kita termasuk diri aku lebih teruk daripada si lembu. Mengapa?

Semasa si lembu yang hendak disembelih diselubungi ketakutan dan berada di ambang kematian, lembu-lembu lain yang berada berhampiran langsung tidak mempedulikan. Malah ketika mata pisau mula merobek leher si lembu, lembu yang lain tidak langsung memandang, malah ada yang masih boleh menikmati makanan dengan senang lenang..

Manusia bukannya lembu. Namun ada sesetengahnya yang berkongsi sikap dan sifat ’si lembu.’ Sikap tidak peduli kepada masyarakat sekeliling. Lembu tidak peduli kerana tidak dikurniakan akal untuk menilai ’kesusahan’ saudaranya, namun apa alasan kita untuk turut tidak peduli dengan masyarakat sekeliling kita.

Kita ada akal untuk berfikir, kita juga ada kudrat untuk bergerak, juga punyai harta untuk membantu, malah ada kuasa untuk bertindak. Cuma kita kekurangan sesuatu iaitu kemahuan untuk melakukan.

Ketika hari raya, kita sibuk menyembelih binatang korban. Malah ada yang berbangga setiap tahun tidak pernah ketinggalan mengerjakan ibadah korban. Namun, dalam keghairahan kita menunaikan tanggungjawab yang membuktikan kita sebagai seorang muslim, kekadang kita terlupa bahawa seorang muslim juga bertanggungjawab terhadap saudara muslimnya yang lain.

Di saat kita melaungkan takbir mengagungkan Al khalik, kita terlupa ada insan, saudara-saudara kita di luar sana yang masih mengagung-agungkan kuasa, memuja-muja nafsu dan wanita, mengejar harta sehingga lupa kepada Pencipta, bersuka dan berhibur tak ingat dunia. Malah ada saudara kita yang menderita tak berharta, ditindas tak terbela, dicaci dan dihina setiap masa, juga ada saudara kita yang kematian boleh datang bila-bila masa, anak kecil dibunuh di depan mata, ibu dan kakak diperkosa, ayah dan abang ditangkap dan diseksa.

mereka dibiar dan terus dibiar. maka mereka juga menjadi korban kerana kita tidak sanggup berkorban..

Namun kita puas ibadah korban sudah terlaksana. Kita bangga dapat menjadi muslim yang ’sempurna.’ Padahal, tidak sempurna iman selagi tidak mengasihi saudara seperti mengasihi diri sendiri...

”ahh !!! tak guna salahkan manusia. Lihat sendiri pada dirimu. Adakah sudah terlaksana tanggungjawab itu?”

Andai dunia ini,
Hanya engkau yang menghuni,
Maka susah dan senang diri,
Tak perlulah siapa peduli.

Dan Andai dunia ini,
Tercipta hanya untukmu,
Maka segala khazanah dan isi,
Semuanya adalah milikmu.

Namun dunia ini,
Diciptakan untuk seluruh manusia,
Kesenangannya untuk dikongsi,
Kenikmatannya dirasai bersama.

Tetapi wahai diri,
Mengapa sering nafsi, nafsi,
Bukankah muslim itu bersaudara?
Dan bukankah mereka tanggungjawab kita?

Seorang muslim yang bersaudara
Hidupnya umpama satu badan,
Apabila satu anggota menderita,
Anggota yang lain turut kesakitan.

Namun apa yang berlaku kini,
Yang kaya hanya kenyangkan diri,
Yang miskin kelaparan sendiri,
Nasib malang tiada siapa peduli.

Yang baik sukar dicari,
Kalaupun ada, hanya dalam kelompok sendiri,
Saudara yang merana kurang dipeduli,
Alasan perlu dahulu betulkan diri.

Ilmu yang dikurnia untuk disampaikan,
Harta yang ada perlu dikongsi,
Kudrat yang dibekal, gunalah untuk kebaikan,
Kesempatan yang tinggal, jangan dibaziri…..

Sekadar renungan untuk kita bersama. Maaf jika ada yang terasa. Tiada niat untuk menghina sesiapa. Sekadar untuk betulkan diri sendiri jua......

Allahu’alam.....

No comments: