Friday, October 16, 2009

Assignment HALAL- status kehalalan ikan yang diberi makanan yang haram.

***berikut merupakan sebahagian daripada assignment yang dibuat untuk subjek 'pengurusan halal'. Artikel ini ditulis berdasarkan kajian dan pembacaan yang amat terhad. jika ada apa-apa kekurangan atau komen, sila berikan..TQ.

KAJIAN KES : STATUS KEHALALAN HAIWAN TERNAKAN YANG DIBERI MAKANAN DARIPADA SUMBER YANG TIDAK HALAL

SUBJEK KAJIAN: IKAN PATIN DIBERI MAKANAN DARIPADA BABI.

Pengenalan
Ikan Patin ini atau nama saintifiknya Pangasius Sutchi merupakan spesis ikan air tawar jenis meserba yang mendiami kawasan-kawasan sungai besar, muara dan lombong ini gemar bermigrasi dari satu tempat ke tempat yang lain. Terdapat beberapa jenis ikan patin yang biasa dikenali antaranya ialah patin kolam, patin sungai, patin buah, patin muncung, dan patin juara. Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan, tidak bersisik dan lembut. Ia mempunyai identiti yang tersendiri iaitu mempunyai bahagian belakang yang berwarna gelap dan perut yang berwarna putih. Sementara saiznya pula boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau 20kg. Diet utama spesis ini adalah anak-anak ikan, buah-buahan sungai, udang dan bangkai binatang.Oleh yang demikian ia dikenali sebagai ikan vegetarian dan omnivor di kalangan haiwan akuatik. Lebih 90% dietnya terdiri daripada kacang soya dan dedak beras

Isu
“BATU GAJAH, 17 Jan (Bernama) -- Orang ramai khususnya umat Islam hari ini dinasihati berwaspada apabila membeli ikan air tawar jenis patin, tilapia dan keli Afrika ternakan kolam kerana ada pengusaha di sini yang didapati menggunakan daging babi dan isi perut ayam sebagai bahan makanan.”

Berikut merupakan petikan yang diambil daripada berita yang dikeluarkan oleh BERNAMA. Terdapat ikan yang diternak di dalam Negara ini yang diberi makanan bersumberkan yang haram.

Dalam menentukan hukum kepada masalah di atas, kita perlu melihat kepada beberapa pandangan yang dikeluarkan oleh para ulama dunia berkaitan hal tersebut.

Pandangan pertama mengatakan bahawa hukum memakan haiwan (dalam kes ini ialah ikan) yang diberi makanan bersumberkan yang haram ialah halal dan harus berdasarkan proses istihalah atau transformasi yang telah berlaku.

Istihalah adalah proses berubahnya sesuatu 'ain kepada 'ain yang lain dimana berlaku perubahan dalam sifatnya sehingga menjadikan sesuatu yang najis berubah kepada bahan baru yang suci dan sebaliknya.

Ulama kumpulan ini berpegang kepada fatwa berkenaan proses ‘istihalah' atau 'transformasi' bahan dari babi kepada menjadi bahan lain yang bukan lagi babi disebabkan molekul dan susunan zarah babinya sudah bercampur aduk dengan zarah-zarah bahan lain. Hasilnya, ia bertukar sifat kepada bahan lain dan menghilangkan sifat ‘babi' nya itu.

Dalam keputusan persidangan ulama Islam bagi isu-isu perubatan di Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Mereka ada membincangkan tajuk "Bahan-bahan Haram dan Najis di dalam makanan dan ubat" yang mana keputusannya menyebut :-

a) Gelatin yang terbentuk dari proses 'istihalah' tulang, daging dan kulit haiwan najis adalah dikira suci dan halal dimakan.
b) Sabun yang dibuat hasil proses 'istihalah' lemak babi atau bangkai telah menjadi suci melalui proses istihalah dan halal digunakan.
c) Krim, gel, minyak dan bahan kecantikan yang mengandungi bahan dari lemak babi adalah tidak harus digunakan kecuali apabila dapat dipastikan proses istihalah lemak babi tadi telah berlaku sehingga 'ainnya ( atau molekul ain) telah berubah ke satu sifat baru. Selagi tidak dapat dibuktikan, ia adalah najis.

Bagaimanapun, sebahagian ulama lain seperti Dr Md al-Hawari (Mesir), Dr Abd Naseer Abul Basal (Jordan) dan lain-lain menganggap juzuk, zarah atau molekul dari seekor babi mengikut kajian mereka yang bertawliah, tidak boleh berubah walaupun melalui proses 'istihalah' atau 'transformasi' berbeza dengan molekul dari haiwan-haiwan lain.

Ujian DNA yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Malaysia ke atas ikan yang diberi makan babi mendapati masih terdapat DNA babi pada ikan tersebut.

Jika hukum istihalah hanya dikira berdasarkan perubahan yang dapat dilihat dengan mata, maka ikan tersebut dibolehkan untuk dimakan berdasarkan hujah istihalah dan transformasi zat tersebut. tetapi jika perubahan tersebut diambil kira sehingga ke peringkat DNA dan molekul haiwan tersebut, maka hukumnya telah berbeza.

Contoh yang boleh dikaitkan dengan hal ini ialah makanan dan minuman yang mengandungi makanan yang diubahsuai secara genetik atau Genetically Modified Organisms(GMOs). Dalam kes GMO, makanan atau bahan yang dibuat daripada genetik haiwan yang haram adalah haram digunakan.

Jadi, jika dalam kes GMO, pengharaman berlaku disebabkan oleh kehadiran sumber yang haram sehingga ke peringkat genetik, maka seharusnya istihalah bagi kes ikan ternakan ini juga seharusnya dirujuk sehingga peringkat genetik dan DNA.

Pendapat yang mengatakan HARAM memakan haiwan yang diberi makan makanan yang haram pula berdasarkan beberapa faktor.

Firman Allah dalam surah al-mukminun ayat ke 51 yang bermaksud:

“Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Dalam ayat Al-Quran, Allah memerintahkan para rasulNYA, termasuk umat kepada rasul tersebut untuk memakan makanan daripada sumber yang halal lagi baik.

Dalam kajian kes di atas, ikan patin yang pada asalnya halal dan baik untuk dimakan telah diberi makanan daripada sumber yang haram iaitu babi. Hal ini boleh dikaitkan dengan hadis nabi:

Diriwayatkan daripada Amr bin Syuaib daripada ayahandanya, datuknya bahawa Nabi SAW melarang memakan daging keldai belaan, menunggangi haiwan jalaalah dan memakan dagingnya. (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari).

Kalangan ulama hadis menjelaskan jalaalah bermakna haiwan yang memakan daripada sumber yang kotor ataupun najis. Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah Nabi melarang memakan haiwan jalaalah daripada disembelih untuk dimakan dagingnya dan daripada meminum susunya.

Berpandukan kepada mafhum dua hadis di atas, Muslim dilarang memanfaatkan binatang yang memakan kekotoran (jalaalah) ini untuk kegunaan berikut :

1.Menunggangnya
2.Meminum susunya
3. Memakan dagingnya

Juga hujah yang telah diterangkan di atas berkaitan dengan makanan berasaskan GMO menjadikan ikan tersebut haram dimakan.

Tetapi berdasarkan amalan Abdullah bin Umar, beliau pernah mengurung ayam jalaalah (pemakan kekotoran) selama tiga hari sebelum menyembelihnya. Maka, sebelum haiwan itu dimakan, hendaklah dipastikan bahawa kekotoran dalam badannya itu telah tiada.

Di Malaysia, beberapa pihak telah mengeluarkan fatwa mengharamkan haiwan yang diberi makan makanan yang haram. Antaranya ialah Sahibus Samahah Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria yang membuat ulasan berhubung isu di atas. Beliau menyatakan bahawa ikan atau haiwan air terbabit adalah haram dimakan oleh umat Islam sekiranya bahan yang kotor itu (usus babi) menjadi makanan utama berbanding makanan lain.

Malah, Jabatan Mufti Negeri Kelantan juga mengeluarkan kenyataan berikut:

“Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju menfatwakan bahawa ikan yang dipelihara di dalam kolam, tasik, lombong dan seumpamanya serta diberi makanan yang berasal daripada daging babi dan anggota-anggotanya yang lain adalah haram dimakan dan para penternak ikan dilarang memberi ikan ternakan dengan makanan yang berasal daripada daging babi dan anggota-anggotanya sebagai langkah sadduz zarai'. (berjaga-jaga)”

Kita telah melihat pendapat kedua-dua pihak yang mengharuskan dan mengharamkan memakan haiwan yang diberi makan makanan yang haram.

Islam amat menitikberatkan soal pemakanan kerana ianya berkaitan dengan ketaqwaan kita kepada Allah.

Dari Abu ‘Abdullah Al-Nu’man bin Basyir radiyallahu anhuma katanya: Aku dengar Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara ( dirinya dari ) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekelilingnya. Ketahuilah ! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangannya. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

Perkara yang menimbulkan syubhah seharusnya dielak oleh umat islam, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan soal pemakanan.

Imam al-Ghazali telah menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan timbulnya perkara-perkara syubhah. Faktor-faktor tersebut ialah:

1) Syubhah kerana timbul keraguan disebabkan terdapat perbezaan sebab-sebab penghalalan dan pengharaman sesuatu perkara umpamanya sesuatu yang telah diketahui halalnya, tetapi kemudiannya terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kepad pengharaman atau sebaliknya.

2) Syubhah kerana keraguan yang timbul disebabkan berlaku percampuran antara barangan yang halal dengan yang haram seperti percampuran benda cair yang tidak dapat dibezakan.

3) Syubhah yang disebabkan oleh perkara halal yang berdosa seperti menyembelih binatang halal dengan menggunakan pisau yang dicuri. Perbuatan mencuri pisau adalah haram, manakala menyembelih binatang sembelihan pula adalah halal. Oleh itu percampuran di antara kedua-dua perkara haram dan halal ini dikategorikan sebagai syubhah secara umum kerana pengertian syubhah juga ialah sesuatu yang meragukan disebabkan percampuran antara halal dengan haram.

4) Syubhah yang terjadi akibat pertentangan antara dalil-dalil halal dan haram atau terdapat pertentangan tanda-tanda yang menunjukkan tentang halal dan haram sesuatu perkara.

Jadi, adalah lebih baik bagi kita umat islam terutamanya di Malaysia supaya mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang diragui status kehalalannya supaya tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram.

***sesetengah pendapat yang diutarakan sukar untuk diterima oleh kebanyakan masyarakat islam di Malaysia.(sama seperti yang berlaku kepada para mahasiswa yang mengambil subjek ini). Jika kita melihat kepada pendapat dan hujah-hujah ulama'2 mazhab yang berbeza dan juga pengamalan di negara-negara islam yang lain, bahan-bahan bersumberkan babi seperti kulit dan tulang ada digunakan. Malah, gelatin daripada sumber babi juga ada digunakan. Jadi, berlapang dada dengan pendapat yang berbeza. Tidak perlu menghukum mana-mana pihak silap atau benar, melainkan jika terang-terangan ianya bertentangan dengan ajaran islam tanpa ada hujah yang disandarkan. Tidak semestinya sesuatu yang berat pengamalannya itu merupakan yang terbaik dalam islam, lebih-lebih lagi yang melibatkan masyarakat umum/awam.

Artikel ini juga sekadar perkongsian bersama. mungkin suatu ilmu yang baru untuk kita semua....

"Apa yang penting...KERJASAMA..!!!!"

ALLAHU 'ALAM...


tuntutan yang belum terlaksana

KES 1

“Hisyam..Hisyam…cepat mai tengok.”

“apa dia?” pembacaanku sedikit terganggu..

“mai la tengok.. Haram sungguh..cepat la..huiyoo..!!”

Seorang sudah berbungkus di dalam langsir. Seorang menyorok-nyorok di belakang tabir. Seorang lagi sekejap memandang, sekejap menghilang. Aku pun pergi menjenguk ke tingkap.

“hang tengok. Kaki perempuan tu kat celah kangkang budak laki tu..Haram sungguh. Ish..!!!”

“laki tu dok main kaki perempuan tu..weh..”

“weh, jangan bagi dia nampak…perrgghh!!”



Lebih kurang begitu suasana di dalam bilik seorang kawan pada malam itu. Sudah hampir pukul 11 malam. Satu pasang ‘belangkas, jantan dan betina sedang ‘study’ di Kafe Fajar Harapan.

“weh!! Dia nampak…dia nampak..hahahahahahahaha….”

Riuh satu desa dengan gelak tawa mereka. Seronok melihat aksi percuma.

“Hisyam, hang kena pi tegoq depa tu. Aku tak boleh. Bab ni kalau aku masuk campoq, nanti aku jugak yang kena.” Sama saja dia yang berkata-kata dengan yang beraksi di bawah sana.

Aku tak terkata apa-apa dengan saranan tersebut. memang terasa di hati, tapi……
Aku teruskan saja kerja yang terbantut tadi…

Seketika…

“jom…makan !!!!”

“JOMMM!!!” semua menyapa. Kami bersiap lalu turun ke kereta. Aku dan ‘senior’ berada di hadapan. Kami berhenti dekat dengan ‘pasangan belangkas’ tadi. Sengaja berpura-pura menonton televisyen. Yang lain-lain masih bersiap-siap di dalam bilik.

Si belangkas jantan kelihatan serba salah. Tiba-tiba, riuh rendah kedengaran…

“HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAH!!!” sengaja mereka ketawa apabila melintasi belangkas yang kelihatan cuak.


………………………………………………………………………………………………

Pulang dari makan malam, si belangkas masih belum pulang ke sarang. Malah makin berbelit kaki yang terlilit. Kami melintasi mereka untuk pulang ke bilik. Satu suara tawa terdengar lagi..

Semasa menaiki tangga, aku sekali lagi di tegur…

“Hisyam, hang sepatutnya pi tegoq depa tu. Takkan nak tegoq guna hati ja. Sampai bila-bila pun hang selemah-lemah iman. Aku gelak tadi tu saja nak bagi depa terasa. Tu saja la yang aku mampu..”

Ya Allah. Tajamnya kata-kata tu. Terasa seperti lembu yang disembelih hidup-hidup. Aku hanya mendiamkan diri. Lemah sungguh rasanya jiwa ini. Andai aku mati di saat itu, entah mati dalam keimanan atau mati dalam angan-angan memperoleh syurga idaman.

Sampai di bilik, aku menjenguk kembali ke tingkap. Ternyata, mereka sungguh tidak mempeduli orang lain. Aku juga ternyata tidak ‘mempedulikan’ mereka…


KES 2:

Aku bersiap-siap mengambil baju di arenar untuk diberikan kepada seorang junior tingkatan dua SMKA Al-Irshad. Kebetulan mereka datang ke JUSCO yang berdekatan dengan USM. Setelah berjumpa, aku ditanya.

“abang. Ustzah kata dekat USM ada jamaah yang dok buat dakwah ni. Nama apa entah. Abang join kan?”

“A’ah. Persatuan Mahasiswa Islam lah…kenapa?”

“tak ada apa-apa. Kami dekat sekolah pun baru nak buat. Batch kami form 2. Ustaz Azli lantik ana jadi pemantau form 2. sekarang ni pun ana tengah dok pantau budak-budak perempuan ni. Takut depa tukaq baju.” Mereka datang ke Penang untuk mengadakan jamuan makan sempena Peperiksaan akhir tahun.

“Tadi masa nak mai ke sini, depa pakai baju ketat, seluar jeans. Warden halau depa naik tukar baju. Tapi takut ada yang tukar baju bila sampai ke sini.”

“Hmmm..” aku begitu kagum dengan adik yang baru berusia 14 tahun ini.

“dekat sekolah ada buat aktiviti apa.?”

“Hmm..ana kekadang ada bagi tazkirah dekat surau. Tapi ada jugak senior-senior yang tak puas hati.”

Biar betul.. hati aku berbisik. Adik ni baru form 2, tapi dah berani ke hadapan memberi tazkirah di surau sekolah.

Baru-baru ni, aku ke sekolah sempena hari Ko-K. aku pergi mencari adik yang seorang ni. Tak sangka, dia sedang mengepalai pertandingan kawad mewakili unit bomba. Dia juga membuka gerai sewaktu hari tersebut. satu gerai milik persatuan astronomi. Persatuan yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang dipilih oleh ustazah dan dilatih pelbagai skill dan pengetahuan. Satu lagi gerai persendirian, kerjasama dengan seorang akak senior.

Habis hari Ko-K tersebut, adik tersebut menghantar SMS.

“Assalamualaikum. Nak bagitau abang. Pasukan Bomba menang pertandingan kawad. Pertama kali sejak ditubuhkan. Gerai astronomi pun menang jugak. Mungkin sebab bersemangat tengok abang datang.”

Aku hanya tersenyum. Dia memang mempunyai bakat kepimpinan. Ayahnya pernah menjadi imam di Masjid USM suatu ketika dahulu.

“nak tegur perempuan yang pakai seksi, pelacur dekat luar lebih mudah daripada nak menegur perempuan di sekolah.” dia memberitahuku.

“Hmmm, pernah ikut group dakwah ka? Pi dengan siapa?” Aku bertanya.

“Pergi seorang. Kekadang sambil naik basikal, kalau jumpa perempuan yang pakai seksi, saya pergi la dekat dengan dia. Mula-mula memang macam nak berkenalan. Lepas dapat nombor telefon, saya dakwah dekat dia.”

“seorang diri?” dia mengangguk.

Ya Allah….aku semakin malu dengan diri sendiri. Bagaimana dapat timbul kesedaran sebegitu dalam jiwa seorang yang berusia 14 tahun. Pasti didikan yang diterimanya sangat berkesan.

………………………………………………………………………………………………

Sengaja aku bawakan dua situasi berbeza yang aku alami, sebagai tanda aras……di mana tahap kita sekarang ini. Hampir empat tahun berada di bumi Minden ini, adakah manusia mendapat kebaikan daripada kehadiranku di situ.

Tak layak rasanya untuk menggelar diri sebagai seorang da’ie…..

NAMUN… bukanlah bermaksud, jika anda tidak boleh jadi seperti adik itu, anda tidak layak untuk memikul bebanan dakwah yang sangat banyak. Masing-masing ada kekuatan masing-masing dalam pelbagai bidang. Carilah kekuatan diri, dan gunakan untuk kepentingan islam…Cuma, diri perlu juga dilatih dengan skill-skill untuk berhadapan dengan manusia, kerana mad’u kita ialah manusia…

MENYAMPAIKAN AGAMA ALLAH ITU WAJIB. SAMA-SAMALAH KITA LIBATKAN DIRI DENGAN MEREKA YANG RINDUKAN KEMENANGAN ISLAM DI NEGARA DAN DI DUNIA INI….

SEMOGA ALLAH MERAHMATI KALIAN….

Wassalam..




Friday, October 9, 2009

menarik untuk dikongsi bersama...

Assalamualaikum…

Sambil-sambil kita dok surf internet, apa kata kita banyakkan lagi manfaatnya…

Saja nak berkongsi dengan sahabat semua..

Sambil layan internet, kalau income masuk…
OK jugak.

Nak cuba..??

1) kita tolong jawab survey, depa bayaq dekat kita…
Macam mana??

Daftar percuma ke youthsays….
kalau ada survey, jawab lah…then dapatlah beberapa puluh sen sampai RM10..
semalam aku jawab survey = RM10.. menarik jugak..

lepas tu..kalau kita invite kawan2 kita, dan depa join…dapat lagi 20 sen setiap sorang..

nak cuba…klik ja link ni…

http://malaysia.youthsays.com/go/kBy


2) ada sorang mamat ni nak share pengalaman dia buat bisness dengan ebook.
Dia bagi download percuma ja ebook dia tu…then, dia suruh promosi dekat kawan2 lain.
Kalau kawan kita download ebook tu jugak, kita akan dapat 50 sen untuk setiap sorang..

Ala..suka2 ja..
bukan payah pun nak download ebook.. tak nak baca pun takpa..

Nak try????

Klik link ni pulak…

http://www.buatebook.com/index.php?ref=hisyam21

Tak rugi pun…
Ni program affiliate, pay per klik… insyaallah tak dak masalah dari sudut hukum..
Kita promosi produk, orang bayarkan…

Yang lagi hebat pun ada, tapi belum berani cuba, sebab kena kluar modal..
So, yang kecik2 ni pun jadi ler…

SAJA SUKA-SUKA…
BUKAN NAK JADI KAYA…

JOM !!!!!






si BIRU....si kawan baru..

Sejak si comel tidak pulang ke bilik, aku rasa kehillangan seorang kawan. Tiada lagi kawan untuk aku berikan makanan. Tiada lagi rakan untuk dijadikan teman.

Tapi, alhamdulillah… Si comel telah ada penggantinya. Bukan lagi makhluk berkaki, tetapi si ikan yang cantik berseri.

BENAR….
Dengan memerhati makhluk Allah, dan juga berfikir sejenak tentang kejadiannya, bibir bisa menguntumkan senyuman. Hati bisa menghadirkan ketenangan.

Si BIRU, ikan laga yang aku beli di pasaraya sudah semakin pandai…

Pandai melawan dengan tuan,
dan pandai meminta makanan…


kata penjual ikan itu.

“cukup bagi makan 4 biji sekali makan, 2 kali sehari..”

Tapi sejak aku membela Si BIRU, tak cukup rasanya 10 biji makanan sehari. Mungkin dia sentiasa menahan lapar semasa di kedai…kasihan kepada kawan2 si BIRU yang masih di kedai.

Aku kagum dengan caranya menarik perhatian. Awal-awal beli dahulu, si BIRU malu-malu. Menyorok di belakang bekasnya. Tapi sekarang, bila aku masuk saja ke bilik, dia terus ke hadapan, menayangkan ekor yang kembang semangkuk.

Apabila lapar, mukanya seolah-olah merayu meminta makanan. Pernah sekali, aku hanya memerhati walaupun dia telah merayu simpati. Si BIRU lantas menelan sisa yang tidak boleh dimakan, kemudian meluahkan kembali..tanda protes..


Arrgghh…Kasihannya engkau.. lapar sungguh..si BIRU terus menghadapkan wajahnya ke atas, menanti makanan ditabur ke dalam bekas.

Apabila sudah kenyang, mahu diajaknya berlawan. Dasar ikan laga, memang suka berlawan.. sirip, sisik, insang..semuanya kembang apabila wajah kami berhadapan. Wahai ikan, comelnya engkau… Maha Suci Allah yang menciptakan engkau..

Lepas bergaduh dengan kawan, lepas bengang kerja tak disiapkan, lepas tension dengan kehidupan seharian…Allah berikan ketenangan hanya dengan melihat seekor ikan..

“sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang…”
(Al-Ra’d : 28)

Dan sesungguhnya setiap makhluk Allah itu sentiasa bertasbih memuji Allah..
(Al-Hadid :1 , Al-Israa’: 44 , Al-Hasyr : 1 , Al-Jumu’ah :1 , An-nuur: 41)
Jika bibir malas berzikir, masuklah ke dalam ‘majlis zikir’ makhluk-makhluk Allah. Kerana mereka sentiasa berzikir kepada Allah, semoga keberadaan kita di dalam ‘majlis zikir’ makhluk Allah itu, akan terpalit ‘ketenangan’ yang Allah janjikan itu kepada kita….

Si BIRU belum ada teman untuk berlawan. Tetapi dia ada sahabat yang juga sentiasa berzikir kepada Allah. 2 pokok kaktus ini juga penawar untuk mengubati jiwa yang lara.


Jika engkau rasa gelisah, kembalilah kepada FITRAH.
Fitrah yang Allah ciptakan itu sumber kekuatanmu.
Lihatlah alam..
Dan lihatlah makhluk yang berada di sekelilingmu..

”Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”. (Ali ‘Imran. 189-191).

Renunglah setiap kejadian yang Allah ciptakan.

Pandanglah ke langit wahai sahabat….
Lihatlah betapa luasnya langit yang terbentang..
Allah ciptakannya tanpa tiang…
Besarnya tak dapat di bayang…
Maka Maha Besarlah Tuhan yang menciptakannya..

Lalu lihatlah pula pada diri kita…
Betapa diri ini kerdil dan kecil…
Adakah Allah sudi memerhatikan kita…
Siapa kita pada pandanganNYA…

Bagaimana jika Allah tidak sudi memandang kita
Disebabkan kita jarang sekali mengingatinya…

Cuba kita bayangkan wahai sahabat….
Jika si ibu memalingkan wajahnya daripada kita..
Bagaimana perasaan kita ketika itu…

Bagaimana pula sekiranya Allah yang memalingkan wajahNYA daripada kita???
Sia-sialah kehidupan kita dunia dan akhirat…

Ku Tanya pada diri….
Berapa kali engkau mengingati Allah hari ini?

Berapa kali pula engkau mengingati makhluk yang engkau sayangi, yang engkau rindui, yang engkau puja selalu?

Pernahkah engkau memikirkan…
Adakah Allah ‘mengingati’ aku sekarang ini?
Mungkinkah Allah ‘tidak mempedulikan’ tentang diriku..?

Atau adakah engkau memikirkan
Adakah buah hatiku sedang memikirkan tentang diriku?

Untuk apa engkau hidup?
Untuk buah hati??
Atau untuk Pencipta buah hatimu???

Ya Allah….
hambamu terlalai lagi…
hambamu tertipu lagi…
tertipu dengan diri sendiri…
dan tertipu dengan dunia yang menipu…

aku juga ingin tanyakan kepada sahabat-sahabat soalan yang sama..
jawablah dalam diri masing-masing.
Semoga jawapan yang hadir itu adalah jawapan yang Allah redhai..

Allahu’alam….

……………………………………………………………………………

Wahai si BIRU…
Mengapa kau pandang aku macam tu ???
Lapar lagikah ???
Besok pulak aku bagi kau makan…