Wednesday, June 20, 2012

Catatan Buat Renungan. Khas buat sahabat...



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Sudah lama benar rasanya diri ini tidak menulis sesuatu untuk diisi di sini. Sejak membuka akaun Facebook, alam maya blogspot seolah-olah rumah tumpangan yang hanya dijenguk sekali sekala. 

Sebenarnya tiada apa yang ingin dikongsi bersama-sama. Cuma terdetik di hati untuk mencoret sedikit kata-kata apabila terkenang kepada suatu peristiwa.

Sahabat kepada isteri saya baru ditimpa kemalangan. Keadaannya kritikal. Berlaku pendarahan teruk di otak. Otak kirinya terpaksa dibuang. Para doktor telah cuba sedaya upaya, dan sekarang seluruh ahli keluarga dan sahabat hanya mampu berdoa; doa memohon kepada Allah agar dikurniakan kebaikan kepadanya. 

Andai Allah tetapkan usianya panjang, maka itulah yang terbaik untuk dirinya. Dan…. Andai Allah takdirkan dia pergi meninggalkan dunia fana, maka itu juga yang terbaik untuknya. Sesungguhnya Allah tidak pernah tersilap dalam membuat keputusan. Mungkin pandangan manusia melihat sebaliknya, namun Allah Maha Mengetahui segala-galanya.


Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)


Hasrat mahu menulis terdetik apabila saya singgah di blog sahabat tersebut. Seorang sahabat yang lain telah meletakkan link blognya di dalam facebook, lalu dari situ saya sampai ke blog sahabat tersebut.

Katanya:-

 “Dia orang yang sering mengingatkan orang disekelilingnya tentang ISLAM.”

Benarlah! Dia sering mengingatkan manusia kepada kebaikan. Maka mungkin atas sebab itu Allah sayang kepadanya melebihi sayangnya makhluk kepada dirinya. Lalu Allah tetapkan rencana berupa kemalangan kepadanya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang tidak diketahui oleh hamba-hambaNYA.

Saya meletakkan link blog tersebut di dalam ruangan komen seorang sahabat lain.

“Ini blog sahabat kita itu… ambil lah manfaat, moga jadi bekalan untuknya & untuk kita.” Komen saya di situ.

Ambil lah manfaat! Ayat ini begitu memberi kesan dalam diri. Terdetik di hati, sejauh mana kita telah memberi manfaat kepada manusia? Andai ditakdirkan kita menerima nasib yang sama, adakah kita telah benar-benar bersedia.


“Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” 
(HR Thabrani dan Daruquthni – Disahihkan oleh al-Albani)


Saya dimaklumkan, sahabat kita ini seorang aktivis dakwah dalam Persatuan Islam di kampusnya dan juga di luar kampus sehinggalah saat beliau ditimpa musibah. Beberapa hari sebelum kemalangan, saya menghantar isteri menghadiri mesyuarat bersama-sama dengan sahabat tersebut. Semoga amalannya itu dikira sebagai kebaikan, dan semoga Allah memberi kebaikan kepadanya dan kepada kita semua…

Semoga sedikit coretan ini benar-benar ikhlas daripada hati. Semoga ia memberi manfaat walau sebesar zarrah kepada sahabat yang membaca. Dan semoga catatan ringkas ini bisa menjadi bekalan buat menampung segala dosa dan kemaksiatan yang telah banyak dilakukan sepanjang menumpang di bumi Tuhan.

Astaghfirullah al ‘azim… Astaghfirullah al ‘azim… Astaghfirullah al ‘azim.

Semoga Allah sudi mengampunkan dosa-dosa kita semua. Amin...

p/s: Singgahlah di blog sahabat kita tersebut. Kutiplah mutiara kata di dalamnya. Semoga ilmu dan pengajaran yang terdapat didalamnya dapat memberi manfaat serta syafaat kepada diri kita dan dirinya... link--------> http://sifrulmind.blogspot.com/

Syafakallah.......

Thursday, May 3, 2012

KENALI JENIS-JENIS ALKOHOL




Alkohol boleh wujud dalam pelbagai jenis dan sumber. Setiap satu mempunyai hukum yang berbeza-beza berdasarkan sumber dan jenisnya. Berikut merupakan contoh-contoh alkohol daripada pelbagai sumber serta hukum penggunaannya keatas umat islam.

1) ARAK
Hukum: 1) Najis (Jumhur)  2) Tidak Najis (Al-Shaukani dan Rajih)  3)Najis maknawi, bukan ‘aini (Syed Sabiq dalam kitab Fiqh Al-Sunnah)

2) ALKOHOL YANG DIHASILKAN DALAM PEMBUATAN MAKANAN (BUKAN UNTUK DIMINUM) eg. TAPAI
Hukum: Tidak najis (Ijmak)


3) ALKOHOL DALAM ARAK
Hukum: Najis & haram diminum. Wajib dibasuh. (Jumhur)
Contoh: Alkohol dalam semua jenis arak

4) ALKOHOL DIHASILKAN BUKAN UNTUK MEMBUAT ARAK
Hukum: Tidak najis tetapi haram diminum kerana beracun dan memabukkan (Jumhur)

5) ALKOHOL BUKAN HASIL FERMENTASI
Hukum: Tidak najis. Haram diminum kerana beracun. (Jumhur)
Contoh: Alkohol daripada proses kimia (bukan daripada buah-buahan bergula). Bahan cucian/perubatan.

6) FERMENTED ETHANOL
Hukum: Tidak najis kerana diproses untuk mengeluarkan etanol & bukannya untuk pembuatan arak.
Haram diminum kerana memabukkan. (Jumhur dan JK Fatwa Kebangsaan Malaysia)
Contoh: Etanol ‘gred makanan’ yang dihasilkan dalam industri.

7) FERMENTED WINE (Arak) DARI JUS BUAH DAN PENULINAN ALKOHOL DARI BUAH UNTUK MENGHASILKAN ARAK.
Hukum: Najis & haram diminum kerana ia terhasil daripada proses menghasilkan arak. (Jumhur)
           : Al-Shaukani – tidak najis kerana tiada nas yang jelas mengatakan najis.

8) ARAK YANG DIUSIK ATAU DIUBAH MENJADI CUKA:
Hukum: Najis & haram (Halal jika berubah menjadi cuka secara semulajadi ~hadis)

9) MINUMAN YANG DISULINGKAN ALKOHOL DARIPADANYA. (JIKA MENGGUNAKAN KAEDAH YANG SAMA DENGAN PEMBUATAN ARAK)
Hukum: Najis & haram. (Shafi’iah)
Contoh: Minuman buah-buahan 0% alkohol yang menggunakan kaedah pemeraman seperti arak. 


Nota kaki:
i) Rajih ialah pendapat yang kuat antara beberapa pendapat. (daripada kesimpulan Dr. Abu Sari' Abdul Hadi.
ii) Jumhur ialah pendapat golongan ramai ulama yang menyepakati sesuatu hukum
iii) Ijmak ialah kesepakatan pendapat ulama' yang berijtihad tentang sesuatu hukum.

Tuesday, April 10, 2012

Wine Halal – Adakah ia benar-benar halal?

Gambar sekadar hiasan
Gambar sekadar hiasan


Minuman jenis ‘sparkling grape’, 'bir halal' atau ‘wine halal’ atau yang serupa dengannya amat popular pada hari ini. Ramai pengusaha mendakwa bahawa minuman mereka adalah bebas daripada alkohol. Persoalannya adakah minuman ‘0% alcohol’ ini hukumnya halal untuk diminum?

Ketika saya menyertai MIHAS 2012 baru-baru ini, saya ditegur oleh seorang ‘sheikh’ berbangsa Arab yang mengatakan bahawa minuman yang diperam walaupun didakwa tidak mengandungi alkohol tetap haram hukumnya. Atas desakan tersebut, saya mencari maklumat yang berkaitan supaya lebih jelas tentang statusnya.


Untuk merungkai masalah ini, ada persoalan yang perlu dijawab terlebih dahulu iaitu adakah ‘arak’ menjadi haram kerana kehadiran alkohol di dalamnya ataupun arak adalah haram kerana ia adalah arak? Persoalan ini penting kerana jika arak menjadi haram kerana kehadiran alkohol, maka minuman peraman yang tidak mengandungi alkohol akan bertukar hukumnya menjadi halal. Berikut saya sertakan beberapa maklumat yang berkaitan dengan permasalahan ini ialah:-

1) Alkohol yang terkandung dalam minuman arak adalah daripada jenis ethanol / ethyl alcohol.

2) Jika alkohol yang terdapat di dalam sesuatu minuman itu yang menentukan status halal/ haram sesuatu minuman, maka ia bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis fatwa kebangsaan pada tahun 1988 yang mengatakan bahawa alkohol dalam kuantiti yang sedikit adalah diharuskan. (1)

“Kordial yang mengandungi bahan citarasa (flavor) yang dimasukkan untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

i)Alkohol itu bukan hasil dari proses pembuatan arak
ii) Bahawa kuantiti alkohol dalam citarasa (flavor) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan


3) Alkohol adalah haram sekiranya ia terhasil daripada penapaian atau pembuatan minuman ‘arak’ tersebut, tetapi bukanlah haram sekiranya ia dihasilkan melalui cara lain seperti melalui kaedah kimia untuk kegunaan industri.

4) Ulamak mengatakan bahawa arak ialah najis. Keseluruhan minuman tersebut adalah najis, dan bukan hanya kandungan alkohol di dalamnya. Maka alkoholnya adalah najis, airnya adalah najis, malah segala kandungan nutrient di dalamnya juga adalah najis.

5) Mengambil pendapat ulamak di atas, sekiranya suatu minuman tersebut melalui proses yang sama dengan pembuatan arak iaitu penapaian dan sebagainya, lalu pada akhir proses tersebut kandungan alkohol yang terdapat di dalamnya diekstrak keluar, maka ia masih tetap dikira sebagai najis kerana keseluruhan minuman tersebut adalah najis, walaupun kandungan alkoholnya telahpun dihilangkan.

6) Perkara di atas mungkin boleh disamakan dengan sifat keharaman pada babi. Babi diharamkan bukanlah disebabkan oleh kandungan ‘ulat / cacing’ yang terkandung dalam dagingnya, tetapi keseluruhan babi tersebut adalah haram dimakan walaupun ‘cacing’ pada dagingnya dapat dibuang atau dimatikan.

7) Sesuatu perkara juga boleh menjadi haram apabila ianya menyerupai sesuatu yang haram. ‘Wine halal’ yang terdapat di pasaran sangat menyerupai ‘wine haram’ dari segi cara pembotolan, pengiklanan, promosi dan sebagainya. Bezanya hanya pada kandungan alkohol di dalamnya yang didakwa 0% alcohol.

8) Minuman ‘0% alkohol’ tetap mengandungi alcohol dalam kuantiti yang sedikit kerana ketika proses penghasilannya, kehadiran alkohol tidak dapat dielak. (2)

9) Memetik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang ‘Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan’:- (3)

Keputusan:

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

i) Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

ii) Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

iii) Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

iv) Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

v) Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.

vi) Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dankuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

vii) Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranyaalkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.


Mengambil kira semua pendapat dan maklumat diatas, pihak yang bertanggungjawab perlu menyatakan secara jelas dan tegas status minuman ‘0% alkohol’ yang banyak terdapat di pasaran pada hari ini kerana ia semakin diterima oleh masyarakat islam. Malah tidak kurang daripada 3 syarikat yang mempromosikan minuman jenis ini dalam MIHAS 2012 baru-baru ini.

Kehadiran minuman jenis ini seolah-oleh menunjukkan bahawa umat islam terlalu ingin meminum ‘minuman keras’ tetapi terhalang disebabkan hukumnya yang haram. Lalu mereka berusaha supaya hukumnya bertukar menjadi halal dengan membuang alkohol yang terdapat padanya.

Saya tidak meletakkan apa-apa hukum pada minuman tersebut kerana saya juga pernah suatu ketika dahulu mencubanya, tetapi setelah mendapat teguran dan nasihat daripada beberapa pihak, pandangan saya terhadap minuman jenis ini telah berubah. Terpulang kepada anda untuk menilai apa yang terbaik setelah meneliti maklumat-maklumat yang telah dikemukakan.

Sebarang perbezaan pendapat amatlah dialu-alukan asalkan ia diberi dengan sokongan fakta dan alasan yang dapat meyakinkan.
Allahu’alam…

Sumber maklumat:

(1) http://www.hdcglobal.com/ - Alkohol sebagai penstabil minuman ringan (Local Fatwa) Link klik sini.

(2) http://www.hdcglobal.com/ - Non-alcoholic Beer (Global Fatwa) Link klik sini

(3) http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-dalam-makanan-minuman-pewangi-dan-ubat-ubatan. Link klik sini

Lain-lain.

1) http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-menurut-pandangan-islam Link klik sini

2) http://www.hdcglobal.com/ - Alcohol in soft drink (Global Fatwa) Link klik sini

3) http://www.malaysiakini.com/news/165428 - Umat Islam diingatkan tak minum 'bir halal' Link klik sini

4) Utusan – Syarkat iran mahu buka kilang bir tanpa alkohol. Link klik sini