Tuesday, October 8, 2024

Koleksi #NasihatHati 1

Jika salam mu tak berbalas berkali-kali, 
apa perlunya mengetuk pintu lagi. 
Boleh jadi suaramu yang kurang didengari. Atau boleh jadi si penghuni di dalam sedang diam-diam bersembunyi.

Toleh ke belakang dan terus lah melangkah pergi. Mungkin engkau bukan tetamu yang penghuni itu ingini. 

#######

Jangan salahkan si kera andai bunga yang diberi rosak tak terjaga.

Jangan salahkan si pegar andai padi yang diharap dimakan tak bersisa. 

Jangan salahkan bulan andai rindu si pungguk tak terubat rasa. 

Namun salahkan diri sendiri andai hati diberi kepada yang tak sudi menerima.

########

Hargai apa yang ada di tangan, kerana itu adalah pemberian yang telah dipertanggungjawabkan.

Ada pun yang tidak kita punyai, usah memasang angan-angan untuk memiliki. Kerana pasti ada sebab mengapa takdir ditetapkan sebegini.

Jangan lah jadi seperti si pungguk. Walaupun di hadapan mata terbentang segala nikmat yang boleh dirasa dan disentuh. Namun masih tetap merindui bulan yang berada di angkasa nun menjauh.

***
#NasihatHati adalah nukilan apa yang terlintas di hati dan diabadikan di status WhatsApp. 😊

BETULKAN POSISI RUKU' DALAM SOLAT.!!!

Sahabat.
Ketahuilah andai tapak tangan kau berada di bawah paras lutut ketika sedang rukuk, bukan lah sebab tangan kau panjang daripada orang lain, tapi badan kau tak lurus ketika membongkok.

Betulkanlah posisi rukukmu..!!!

Daripada Abu Humaid as-Sa’idi beliau berkata:

Aku telah melihat Rasulullah SAW ketika baginda bertakbir, Baginda menjadikan kedua-dua tangannya setentang dengan dua bidang bahunya dan apabila rukuk, Baginda meletakkan kedua-dua tangannya pada kedua-dua lututnya, kemudian meluruskan belakangnya

HR: Bukhari

Adalah Nabi SAW menekankan kedua-dua tangannya ke atas kedua-dua lututnya seolah-olah Baginda menggenggam kedua-dua lututnya.

Riwayat Bukhari dan Abu Dawud

Merenggangkan Jari-Jemari Ketika Rukuk
Dalil kepada perbuatan ini adalah:

Apabila kamu rukuk, maka letakkan kedua-dua tapak tanganmu ke atas kedua-dua lututmu, kemudian jarakkan di antara jari-jarimu, kemudian tenanglah sehingga tetap segala ruas tulang belakangmu

Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban

Allahu'alam.

#InfoIbadah
#CatatanFB

Hisyam
8/10/2024


Monday, October 7, 2024

INFO HARTANAH: SALAH FAHAM MEMBACA PENYATA PEMBIAYAAN ISLAMIK.

Aku berkongsi satu komen daripada seseorang berkenaan pinjaman islamik yang pada anggapan beliau adalah mahal. Lalu beliau menyangka pinjaman konvensional lebih rasional untuk diambil. (gambar) 

Sahabat kita ini atau kita sendiri apabila melihat penyata bank pinjaman perumahan islamik, mungkin kurang faham dengan angka yang berkali ganda besar yang tertulis di dalam penyata bank tersebut. 

Dalam pembiayaan perumahan islamik, bank sudah tetapkan kadar maksimum (ceiling rate) yang boleh bank kenakan kepada pelanggan. Maksudnya andai kata dalam tempoh pinjaman selama 35 tahun itu, OPR naik melangit, kadar keuntungan bank hanya boleh naik sehingga kadar ceiling yang telah ditetapkan, tidak seperti pinjaman konvensional yang diapung tanpa had.

Kita ambil contoh di bawah, kadar ceiling yang bank kenakan ialah 10.x%, bersamaan jumlah bayaran sehingga RM541k untuk pinjaman selama 35 tahun. Itu situasi sekiranya bermula tahun pertama, kadar keuntungan (interest) bank ialah 10.x% sehingga 35 tahun. 

Tapi, situasi sebenar yang berlaku sekarang ialah, kadar keuntungan yang bank kenakan sekitar 4.0 - 5%. Kita ambil contoh di atas; jumlah pinjaman RM134k (full loan). Sekiranya keuntungan yang bank kenakan ialah 4.5%, bayaran bulanan adalah sekitar RM640. Jika kadar ni berterusan sehingga 35 tahun, jumlah bayaran akhir yang selesai dibayar akan menjadi sekitar RM269k. (640x12x35). Tetapi perkara ini tak mungkin terjadi begini kerana kadar keuntungan bank bergantung kepada kadar OPR yang sifatnya naik turun.

Jadi, point di sini ialah, jangan terkejut dulu dengan jumlah 'ceiling profit rate' yang tertulis dalam bank statement tu. Dan ya, memang kita kena bayar hampir sekali ganda jumlah pinjaman kita. Namun, begitu lah perniagaan yang bank jalankan. Kita yang setuju untuk ambil pembiayaan daripada bank. Kan?

#InfoHartanah #InfoJualBeliRumah #REN53556 #PerundingHartanahBerdaftar
#CatatanFB

Saturday, October 5, 2024

Nota Diri: Belanja Akhirat

Dalam khutbah tadi, khatib bagitau lebih kurang begini:-

".. Kita ni walaupun harga barang naik, kos makin meningkatkan, susah macam mana pun hari-hari mesti keluar duit jugak untuk belanja kehidupan kat dunia.." 

".. Tapi untuk kehidupan kita kat akhirat, nak bina rumah dan mahligai kat sana, nak keluar duit sehari seringgit pun payah. Padahal kehidupan kat sana lebih susah daripada kehidupan kat dunia ni.."

Tepuk dada, tanya iman. 
Begini kan yang terjadi dalam kehidupan kita seharian? 

Tiada apa yang percuma di dunia. 
Begitu juga dengan kehidupan di sana.

#NotaDiri
#TazkirahHati
#CatatanFB

Nota Diri : Belajar Daripada Batu


Ketika aku sedang menyusun batu-batu di sungai ni, aku sedar beberapa perkara:-

1) Dalam sesebuah organisasi, apa 'bentuknya' tak penting, asalkan diposisikan dengan cara yang betul dan di tempat yang betul.

2) 'Kepala' yang paling atas adalah yang paling sukar untuk diposisikan, dan sedikit kesilapan saja akan menyebabkan seluruh organisasi runtuh. Jadi, berhati-hati memilih dan meletakkan 'kepala' yang paling atas.

Begitu lah kita dalam kehidupan berorganisasi. Setiap ahli ada peranan dan kepakaran masing-masing untuk saling menguatkan antara satu sama lain. Namun paling penting, ketua perlu berperanan memposisikan tugasan yang paling sesuai dengan kepakaran setiap ahli.

Hisyam
7 JULAI 2024

#NotaDiri 
#CatatanFB


P/s: #CatatanFB ialah nukilan penulisan yang aku tulis di FB Hisyamuddin Kamarudin. Jemput jadi friend FB 😊