Wednesday, July 29, 2009

sesaat tanpa dosa....

Dalam kehidupan, kita tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan, kesilapan, kejahatan dan kemaksiatan. Manusia yang ingin berubah sentiasa mencari-cari jalan untuk dia terus berubah menjadi insan yang lebih baik.

Namun, dalam usahanya untuk istiqamah dalam kebaikan, akan terselit juga kejahatan dan kemaksiatan yang mengotori kehidupannya. Lalu, bagaimana untuk dia terus istiqamah dengan kebaikan dan pada masa yang sama juga istiqamah dalam meninggalkan kemaksiatan.

Jika ditanya, mampukah bertahan selama setahun tanpa melakukan kejahatan. Jawapannya mustahil.

Mampukah bertahan selama sebulan tanpa melakukan kesalahan ?
Jawapannya juga mustahil.

Mampukah bertahan selama seminggu tanpa melakukan kesilapan ?
Agak berat untuk dilaksana.

Mampukah bertahan selama sehari tanpa melakukan kefasadan.
Kemungkinan itu ada.

Mampukah bertahan selama 1 jam tanpa membuat kemaksiatan.
Insyaallah boleh.

Mampukah bertahan selama 1 minit tanpa kemaksiatan ?
Insyaallah tiada masalah.

Dan..mampukah bertahan selama 1 saat tanpa melakukan sesuatu yang mengundang murka tuhan?
Ya, pasti mampu..

Jadi, di mana silapnya ?

Setiap tahun, bulan, minggu, hari, jam dan minit…semuanya bermula dengan 1 saat.
Jika kita mampu bertahan selama 1 saat, pasti saat-saat seterusnya juga mampu kita hadapi dengn kebaikan.

Bermula dengan 1 saat menjadi 1 minit, kemudian 1 jam, dan seterusnya sehingga 1 tahun. Jika kita melihat 1 tahun itu sebagai 1 tahun yang begitu panjang jarak masanya, maka kita tidak mampu untuk meninggalkan kejahatan dalam tempoh yang lama.

Tetapi jika kita mengerti bahawa 1 tahun itu, mulanya dengan 1 saat, pasti kita mampu sentiasa berada di dalam kebaikan kerana kita pasti mampu bertahan dengan kebaikan dalam tempoh 1 saat.

Setiap saat itu sungguh berharga kerana ia yang menentukan nilai iman.

Allahu’alam.


Monday, July 27, 2009

pembedahan...

Sudah lama penyakit bersarang dalam diri. Semakin lama dibiarkan, semakin membarah dan membusuk. Akhirnya, keputusan diambil untuk membuang penyakit tersebut melalui pembedahan.

Tak semua penyakit perlukan pembedahan. Penyakit ini boleh sembuh dengan rawatan lain. Mungkin rawatan tradisional juga mampu merawat, tapi doktor tetap memilih cara pembedahan. Lebih cepat katanya.

Proses pembedahan yang dilakukan sangat menyakitkan. Mungkin disebabkan keghairahan untuk membuang penyakit, maka cara yang menyakitkan ini dibuat. Proses pembedahan mengambil masa yang lama. Tanpa diberi bius, doktor terus membedah, disaksikan oleh para pembantu doktor.

Sesekali, si pembantu menghulurkan tangan, membantu proses pembedahan.

Selesai bedah, luka pembedahan dijahit. Walaupun penyakitnya sudah diusahakan untuk dibuang, sakitnya pembedahan masih terasa. Mungkin memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya. Sembuh daripada sakit pembedahan, bukan sembuh daripada penyakit yang dibedah. Namun, semoga proses pembedahan yang memeritkan akan dapat menghilangkan penyakit yang sekian lama bersarang dalam diri. Tetapi, parut pembedahan tetap akan kekal, dan trauma pembedahan tetap akan diingati.

Moral value : jangan cari penyakit……




Wednesday, July 22, 2009

terima kasih mu'allim...

Perjumpaan petang tadi suram. Masing-masing tunduk mendengar penjelasan si kakak.

“perkara ini bukanlah untuk melemahkan kita. Tetapi kita kena kuat, dan bangkit semula.” Jelas si kakak dengan nada yang agak sayu.

Peristiwa yang terjadi ini memang di luar sangkaan, di luar dugaan. Namun, ia sudah berlaku. Semua yang berada di situ perlu menerimanya.

Semuanya berpunca daripada diri sendiri.

AMANAH !!!Amanah yang telah sekian lama diberikan, tidak ditunaikan. Inilah puncanya. Disebabkan tidak melaksanakan amanah, semuanya punah.

Masing-masing mempunyai alasan, banyak tugasan lain yang perlu disiapkan. Tetapi, ia bukan alasan untuk tidak menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

“masing-masing tahu, orang yang tidak menjalankan amanah ialah apa?.....munafik. mungkin ada yang marah apabila dipanggil munafik. Tetapi hakikatnya itulah kita.” Si kakak mengingatkan semua.

Tersentak di hati, walaupun tidak berubah riak wajah. Tugasan beberapa bulan yang lepas belum sempurna walaupun telah kerap diingatkan.

Masing-masing bersalah dalam hal ini. Masing-masing tidak melaksanakan tugas dengan sempurna.

KITA DIHUKUM KERANA KESALAHAN KITA SENDIRI !!!!

Ya.. peristiwa ini merupakan satu bentuk hukuman. Hukuman ialah untuk memberi pengajaran, supaya orang yang dihukum kelak akan menjadi lebih baik. Itulah harapannya…

Dan aku, serta kami semua rela menerima hukuman tersebut…

Terima kasih mu’llim…


Tuesday, July 21, 2009

TERIMA KASIH ATAS KRITIKAN..

Aku tersenyum apabila membaca komen sahabat ‘akuAspirasi’ dalam ruangan chatbox di sebelah.

Katanya “aku yakin PMI akan berkubur tak lama lagi.hahah”.

Aku tak pasti apakah niat ‘beliau’ melontarkan kata-kata sedemikian. Adakah bertujuan memberi kata-kata perangsang supaya PMI lebih kuat bekerja atau adakah sekadar melahirkan rasa bangga apabila melihat keadaan persatuan islam di kampus.

Aku mengakui, sebagai salah seorang Exco PMIUSM sidang 0910, ada beberapa kelemahan di peringkat kami yang perlu segera diatasi.

Namun, untuk mengutuk dan ‘mendoakan’ sebuah persatuan yang cuba membawa islam di kampus supaya terkubur dan tidak lagi wujud di kampus seolah-olah mendoakan islam itu sendiri terkubur.

Ya! Boleh jika beliau hendak berkata demikian kepada PMI. PMI bukanlah sebuah persatuan yang langsung tidak boleh menerima komen dan kritikan daripada orang lain. Silakan untuk memberi komen dan kritikan, malah kutukan. Kami sedia mendengar. Aku pun tidak kisah jika ruangan chatbox itu menjadi medan kritikan untuk PMI asalkan ia bersifat membina. Teruskan memberi komen.

Namun, besar harapan kepada sahabat supaya tidak hanya pandai melontarkan komen, tetapi bersama-sama membangunkan dan memartabatkan ISLAM. Matlamat PMI ialah islam. Islam bukan hanya dapat ditegakkan dengan PMI, malah ASPIRASI pun boleh bersama-sama memartabatkan islam, malah itulah yang sepatutnya.

Adalah suatu yang mengecewakan jika pihak yang mengkritik lebih teruk daripada pihak yang dikritik. Aku bersangka baik. Sahabat yang melontarkan ‘pandangan’ beliau itu pastinya seorang aktivis islam di dalam kampus. Semoga istiqamah dalam MENEGAKKAN KEBENARAN dan MERUNTUHKAN KEBATILAN.

1 SISWA, 1 MALAYSIA, 1 ASPIRASI…..








Wednesday, July 8, 2009

sana forum, sini pun forum

semalam ada forum perdana hal ehwal islam di USM.

hujan lebat punya pasal, terkandas di masjid sampai pukul 10.30malam.

tapi, walaupun tak dapat pergi ke forum tu, aku sempat ber'forum' bersama adik2 di beranda masjid.

Alhamdulillah...

semoga kekal dalam satu keluarga....

-habis-