Friday, June 19, 2009

dambakan ketenangan..

Situasi 1:

Tiba-tiba sahaja, perasaan yang sudah lama tidak menjengah ke hati muncul kembali. Hati mula berasa runsing.

“zikir Hisyam, zikir. Buang jauh-jauh perasaan tu.” hatiku berbisik, memberi jalan keluar.

”astaghfirullah.....”

Alhamdulillah, tidak lama ia datang. Akhirnya ia pergi jua...


Situasi 2 :

Aku berseorangan di Petrosains. Kali pertama menjejakkan kaki ke sana walaupun sudah terlalu lama aku mengidamkan untuk berkunjung ke situ. Hampir setiap pameran dan ‘eksperimen’ aku cuba.

Terdapat satu alat yang sangat istimewa. Dengan memakai lilitan di kepala yang mampu mengesan isyarat elektrik dalam otak, tahap ketenangan diri dapat diketahui berpandukan bebola besi dalam bekas kaca. Permainan ini memerlukan 2 orang pemain. Masing-masing akan memakai lilitan kepala. Bebola besi tadi akan bergerak mendekati pemain yang ’tidak berada dalam ketenangan”. Maksudnya, siapa yang berada pada tahap yang paling tenang, akan memenangi permainan tersebut apabila berjaya menggerakkan bola besi tadi kepada pihak lawan.

Dengan bantuan seorang sukarelawan Petrosains, kami bertanding. Mula pertandingan, bola besi tersebut terus bergerak mendekati aku. Hampir-hampir sahaja masuk ke lubang yang akan menentukan kekalahan pemain. Aku tertawa melihat bola tersebut menghampiriku, walaupun hampir kalah. EXCITED !!!. Langsung tidak dapat fokus, apatah lagi untuk mencapai ketenangan.

Lantas, aku memejamkan mata. Mencari ketenangan. Lama kemudian, aku membuka mata. Bola besi itu semakin menjauhi aku dan pantas mendekati sukarelawan tadi. Masing-masing cuba tenangkan diri. Bola besi kekadang pegun, menandakan kedua-duanya berada dalam keadaan tenang.

Aku pejamkan mata lagi. Kali ini, bola besi tersebut terus menerus mendekati lawanku, dan akhirnya memasuki lubang. Aku menang !!

”tak aci.” kata sukarelawan tersebut.

”hahahaha..”aku hanya mampu ketawa, memikirkan saat kekalahan yang sangat hampir pada awal permainan.

”zikir...” aku menambah.

”lain kali, kalau lawan dengan orang lain, zikir banyak-banyak. Insyaallah boleh menang.” aku memberitahu rahsia bagaimana aku mampu menewaskannya.

’owh, patutlah...” dia membalas.


ZIKIR..........

Hati kita adalah milik Allah. Ketenangan, kebahagiaan, kesengsaraan dan setiap perasaan yang hadir adalah atas kehendak dan ketentuan Allah.

"Sesungguhnya dengan zikrullah itulah hati menjadi tenang" (surah al-Ra'du:28)

Allah telah memberi satu formula, bagaimana mahu mendapatkan hati yang tenang. Malah, zikir juga mampu membuang perasaan-perasaan yang kurang elok daripada terus menerjah dalam hati sanubari.

Zikir itu dengan hati. Sekadar melafazkan dengan lidah juga disebut berzikir, namun masih belum dapat mencapai hakikat sebenar zikir.

Zikir itu mengingati, maka INGAT tidak dapat dilakukan oleh lidah, tetapi dicapai dan dirasa oleh hati. Sebaiknya, berzikir itu dengan lafaz yang menyerap masuk ke dalam qalbu. Ketika itu, nikmat dan hakikat zikir itu mampu dirasai. Natijahnya, ketenangan, kesenangan, kebahagian.

Subhanallah….
Alhamdulillah…
Lailaha illallah…
Allahuakbar….





Thursday, June 18, 2009

PAKAT MAI SINI...!!!



SELAMAT DATANG KE KARNIVAL BISTARI
SAINS DAN SENI
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA




aku dah sampai ke sana. sempat masuk dalam KUBAH LESTARI, tayangan 360 degree tentang angkasa lepas. sangat menarik.

cendol dekat gerai tu pun sedap. cubalah !!!




Wednesday, June 17, 2009

kad keahlian PMIUSM 09/10 : sila komen



GAMBAR DI ATAS IALAH SAMPLE KAD KEAHLIAN PMIUSM UNTUK SIDANG DEPAN YANG TELAH DIBUAT OLEH SEORANG SAHABAT.

MINTAK TOLONG BERI KOMEN YANG MEMBINA TENTANG DESIGN TU..

TERBUKA KEPADA AHLI PMI DAN NON AHLI UNTUK KOMEN..



celoteh..

1) nak bukak kedai, nak bukak kedai..
sekarang ni asyik dok memikirkan pasal nak bukak kedai...
nak bukak dekat mana?? bila?? itu boleh cerita belakang tabirlah !!!


2) semalam terjumpa dengan sorang ustaz Pusat Islam dekat masjid

"enta nak kerja tak?"

"kerja apa ustaz"

"enta tulis balik ucapan pembentang-pembentang kertas kerja masa seminar tu"

banyak tu.. ada lapan semuanya, dalam bentuk rakaman, termasuk ucapan NC. ucapan NC dalam bentuk audio yang ditulis balik dalam artikel sebelum ni lebih kurang 1 jam 5 minit. aku ambil masa lebih 2 jam untuk tulis balik. tu pun dah banyak 'cut'.

ustaz kata "kamu tulis setiap butir kata-kata pembentang tu. kalau dia bersin, kamu tulis 'bersin'." jenuh jugak tu. tapi takpa lah. yang mana boleh tolong, aku tolong. (kalau ada sesapa yang sudi menolong, lagi best!!)


3) semalam jugak, ternampak kitab Al-Umm Imam As-Syafi'e dalam rak buku dekat rumah. borong daripada rumah sewa, sebelum keluar beramai-ramai dari rumah tu. senior2 punya. ada 6 jilid semuanya.

dah agak lama dekat dalam rak tu. rasa teringin pulak nak khatamkan. baru saja mula membaca. jenuh jugak nak kena membaca sepatah-sepatah. maklumlah, kitab lama versi indonesia. tu pun, ada jugak yang tak berapa faham. orang kata, kitab macam tu untuk buat rujukan. kalau perlu, selaklah. tapi kalau orang tanya, takkan nak balik rumah, pi ambil buku baru boleh jawab. sekurang-kurangnya ada jugak s'thg to be shared. junior2 rajin jugak bertanya. kekadang, terpaksa call ustaz2 on the spot untuk dapatkan jawapan utk junior2 tu, dan jugak diri sendiri.

Hmm, doa2kanlah aku dapat khatamkan kitab tu.


4) ni yang paling best. sebenarnya kerja sendiri pun bertimbun-timbun tak siapkan lagi. kekadang, warning singgah dalam handset, tapi tak siap2 jugak. kerja sendiri tak nak habiskan, dok kalut buat 'kerja orang lain'. Hmm, nak buat macam mana, dah orang perlukan pertolongan..cheee !! konon ler..( diri sendiri xnak tolong plak..!!) ish3. amanah kena tunaikan ...(nasihat untuk diri sendiri..)

Sebenarnya, tak dak apa2 yang nak ditulis. sebab tu berceloteh kt sini. tak salah kan?? lagipun, ni blog aku..ahaks..

apa2 pun, yang penting..kerjasama..WONDERPET !!!







Sunday, June 14, 2009

Perginya Sang Murabbi.

semalam, berita pemergian Allahyarham Ustaz Fathi Yakan dinafikan oleh ahli keluarga dan wakil Islamic Action Front. masih ragu-ragu tentang kebenaran berita. namun, kematian tetap akan datang mengundang. cuma waktunya tidak diketahui.




Islamic Action Front leader Fathi Yakan, an ifluenced cleric, died after he was hospitalized in serious condition on Friday night, Lebanese media reported.


Islamic Action Front , who denied the reports earlier, confirmed on Saturday that its leader Yakan had died, Naharnet news agency said.


Voice of Lebanon radio said erlier that Yakan died at Hotel Dieu Hospital where he was hospitalized the night before.


Also, media reports said that Yakan died.


Sheikh Fathi Yakan, an Islamic cleric, was born in 1933 in Tripoli. He held a seat in the parliament of Lebanon in 1992.


He became involved in Islamic work in Lebanon in the mid 1950s and was a pioneer in the establishment of the Islamic Movement.


Yakan's body will be moved to Tripoli on Sunday morning. The time and place of the funeral will be announced at a later time, the statement added.


sumber : http://www.worldbulletin.net/


AL-FATIHAH...

Saturday, June 13, 2009

kisah NIPAH

Pernah dengar tentang VIRUS NIPAH ? Pernahkah anda tahu tentang virus tersebut? Pada waktu itu, aku berumur 12 tahun. Aku tak pernah mengambil tahu tentang wabak ini, sehingga semalam aku menonton national geographic channel yang mendedahkan tentang penyakit tersebut. Oleh kerana perjalanannya dan kisah virus ini sangat menarik, aku ingin berkongsi dengan semua apa yang aku dapat dan ingat daripada rancangan tersebut. Wabak ini berlaku 10 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1999.
Setelah beberapa kes dilaporkan di kampung Sungai Nipah dan menyebabkan kematian, kes ini mula dipandang serius. Asalnya virus ini disangkakan JE. Apabila virus ini dikaji dengan lebih mendalam, ternyata ia bukan JE kerana sifat virus yang bertindak ke atas sel tidak seperti JE. Virus ini dari jenis Paramyxoviridae.

Wabak yang belum bernama ini berpindah secara langsung daripada khinzir kepada manusia. Tidak seperti JE yang menjangkiti manusia melalui nyamuk.

Kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan kerana virus tersebut belum dikenalpasti. Akibat kekurangan kepakaran dan teknologi, kes ini dirujuk kepada CDC, sebuah badan yang mengkaji tentang wabak yang berpusat di Amerika.

Hasil kajian lanjut, ternyata virus yang berupaya membunuh ini pernah menyerang Australia 5 tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1994. Di Australia, wabak tersebut diberi nama HENDRA, sempena nama tempat mula-mula sekali wabak tersebut berlaku. HENDRA mula-mula dikesan apabila ia menyerang kuda dan menyebabkan kematian kuda-kuda di ladang, termasuk pelatih kepada kuda-kuda lumba tersebut.

Reservoir, ialah istilah yang diberikan kepada pembawa virus tersebut, tetapi pembawa itu tidak terkesan dengan virus itu. Usaha yang giat dilakukan untuk mengesan reservoir tersebut. Saintis terpaksa mengkaji hampir setiap jenis haiwan untuk mengesan reservoir, yang selalunya merupakan mamalia, tetapi hampir menemui jalan buntu. Petunjuk yang mereka ada ialah, wabak tersebut berlaku di dua tempat berbeza yang berjarak 800 kilometer. Mereka mengandaikan bahawa binatang tersebut mampu terbang dan mengesyaki ia merupakan kelawar. Ternyata kelawar merupakan ‘subjek’ yang selama ini dicari-cari.

Wabak HENDRA ini diterangkan kerana ia mempunyai kaitan dengan virus yang masih belum bernama yang berlaku di Malaysia.

Kajian yang giat dilakukan di ladang-ladang khinzir, tempat tersebarnya virus tersebut. Tindakan yang diambil oleh kerajaan ketika itu ialah menghapuskan ladang-ladang khinzir dan membunuh hampir 1 juta khinzir.

Apabila penyelidikan terperinci dilakukan, ternyata khinzir merupakan pembawa penyakit tersebut. Persoalan yang perlu dijawab ialah, bagaimana virus tersebut berjangkit kepada khinzir. Pasukan penyelidik mula mencari dari mana asalnya virus tersebut tersebar.

Petunjuk yang diperoleh membawa mereka jauh dari selatan tanah air, ke utara iaitu sebuah kampung tempat penternakan khinzir berhampiran Ipoh. Ternyata, khinzir-khinzir di ladang tersebut juga dijangkiti oleh virus yang diberi nama virus NIPAH sempena nama kampung Sungai Nipah, tempat mula-mula virus ini dikesan.

Seterusnya, untuk mendapatkan antivirus, para pengkaji perlu mengetahui apakah reservoir yang membawa penyakit tersebut. Berdasarkan petunjuk daripada wabak HENDRA, mereka mula mengkaji kelawar. Flying Fox, sejenis kelawar memakan buah terbesar di kawasan tersebut dijadikan sasaran. Dengan menggunakan jaring, mereka menangkap kelawar tersebut.

Hasil kajian, ternyata kelawar ini membawa bersama padanya virus nipah ini. Beratus-ratus kelawar ditangkap, dikaji dan dilepaskan semula, dan daripadanya 20 antivirus ditemui.

Persoalan seterusnya, bagaimana virus terrsebut berpindah daripada kelawar kepada khinzir? Dua jenis haiwan yang pada zahirnya tiada kaitan, tetapi berkongsi ‘penyakit’ yang sama. Bezanya, seekor tidak terkesan, dan seekor lagi jatuh sakit, lalu menyebarkan ‘barah’ tersebut kepada manusia.

Penelitian dilakukan di ladang, tempat khinzir yang berjangkit itu dipelihara. Kandang tersebut mempunyai pokok buah yang banyak. Selalunya, pengusaha khinzir akan menanam pokok-pokok buah sebagai pendapatan tambahan. Pada waktu malam, kelihatan kelawar buah memakan buah yang terdapat di ladang tersebut. Buah yang tidak habis dimakan akan dijatuhkan, dan sesetengahnya terjatuh, lalu memasuki kandang khinzir. Khinzir-khinzir tersebut memakan buah yang terjatuh, yang sudah dicemari oleh air liur kelawar yang mengandungi virus tersebut.

Khinzir jatuh sakit, lalu melalui air liur yang sentiasa meleleh, pernafasan, batuk, najis dan lain-lain merebak kepada manusia.

Satu lagi persoalan timbul. Bagaimana kejadian yang berlaku di utara tanahair itu boleh berpindah ke kampung Sungai Nipah di bahagian selatan yang akhirnya menyebabkan kejadian itu mula menular?

Hasil temuramah dengan pemilik ladang mendapati pemilik ladang tersebut mahu menamatkan perniagaan dan menjual khinzir-khinzir tersebut dengan harga yang murah, dan banyak yang dijual kepada pemilik kandang di Sungai Nipah. Dari sana pula, khinzir ini dijual ke seluruh negara.

Siapa sangka? Wabak yang membunuh lebih daripada seratus orang dan menjadikan negara kucar kacir serta menjadi seperti medan peperangan seperti kata seorang pemilik kandang asalnya berpunca daripada kelawar. Kelawar menyebarkannya melalui buah, dan daripada buah kepada khinzir, dan daripada khinzir kepada manusia.

Namun, itulah yang dikehendaki oleh Allah. Dialah Yang Maha Kuasa untuk menentukan segala-galanya. Pasti ada hikmah di sebalik setiap perkara yang berlaku. Pengajaran kepada manusia yang semakin hari semakin melupakan Tuhannya.

Seperti suatu ketika dahulu, negara diserang SARS. Ada yang mengaitkannya dengan tindakan kerajaan yang menutup sekolah agama rakyat, SAR. Kerana ingin menghapuskan SAR, Allah menghantarkan SAR(S). Tetapi itu hanyalah pendapat semata-mata. Allah lebih mengetahui apakah sebabnya sesuatu perkara itu terjadi.

Allahu’alam.....


nasihat ustaz...


Selesai solat jumaat, aku terus bergegas berjumpa dengan Ustaz yang menjadi khatib dan imam sebentar tadi.

“assalamualaikum ustaz.” Kami bersalam dan kemudian aku terdiam. Mencari-cari kata untuk bermula.

“Ustaz, macam mana untuk konsisten dalam ibadah? Ana ni ustaz, kekadang alhamdulillah, tapi kekadang tu, bila ‘down’, ana rasa teruk sangat.”

“Sepatutnya solat tu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar kan? Kalau tidak, maksudnya solat kita belum sempurna.” Ustaz sekadar mengangguk, mengiyakan apa yang aku katakan.


“Macam mana ya Ustaz. Ana ni tak boleh nak konsisten, lebih-lebih lagi kalau balik ke rumah. Nak datang solat ke masjid pun kekadang berat. Kalau dekat kampus, insyaallah OK.” Hampir sebak aku menceritakan keadaan kepada ustaz.

Terdiam… ustaz tidak berkata apa-apa.

“sahabat nabi” ustaz memulakan bicara.

“mereka juga pernah mengadu kepada nabi. Mereka kata, apabila bersama-sama dengan nabi, mereka benar-benar beribadah dan ingat kepada Allah. Tetapi, apabila mereka pulang ke rumah bersama-sama keluarga, mereka tidak seperti ketika bersama-sama dengan nabi.”

“kemudian nabi menjawab bahawa itulah hakikat insan. Kekadang imannya meningkat, dan kekadang menurun. Tambah nabi, sekiranya manusia dapat kekal dalam keadaan terbaik, malah semakin baik, nescaya malaikat akan datang bersalaman dengan manusia itu.” aku mendengar, tetapi mahu sahaja aku beritahu ustaz bahawa keadaan aku berbeza dengan keadaan para sahabat.

”apa ana boleh buat, ustaz?”

”Setiap hari, kamu beristighfar seratus kali. Jangan kurang daripada seratus kali. Amalkan secara berterusan. Buat selepas setiap kali solat. Selepas subuh dua puluh kali, selepas zohor, asar, maghrib dan isya’. Istighfar dua puluh kali.”

”istighfar penting untuk mencuci hati. Seperti baju kita, setiap kali kotor kita kena cuci. Begitu juga dengan hati. Sangat penting istighfar ni. Kekadang dosa-dosa kecil menyebabkan kita susah untuk buat ibadah. Tiap-tiap hari, jangan tinggal. Kalau dosa dah menebal dalam hati, susah untuk dicuci lagi. Seperti baju, kalau dah terlalu kotor, tak boleh hilang. Akhirnya baju tu kita buang.”

Aku hanya menggangguk mendengar.

”kemudian, apa lagi yang boleh kita buat ialah ingatkan mati. Bila kita ingat kepada mati, kita akan mudah beribadah dan tinggalkan dosa.

”kekadang hati kita jadi keras. Untuk lembutkan hati, selalulah mendampingi ulama’. Datang ke majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh ulama’.” aku benar-benar terasa. Rasanya, sudah agak lama aku tidak pergi ke kuliah-kuliah di masjid.

”satu lagi, bacalah fadhail ’amal. Kitab yang orang tabligh baca tu, kamu kena ada satu. Mesti ada. Baca fadhail amal untuk bantu meningkatkan ibadah. Kalau tak ada, pergi cari di masjid-masjid.” aku sekadar mengangguk.

Ustaz bangun perlahan-lahan. Kami bersalaman dan berpisah.

Sebenarnya, semua perkara-perkara yang ustaz sebutkan di atas sudah terlalu maklum kepada kita. Istighfar, ingatkan mati, hadiri majlis ilmu dan lain-lain. Tetapi, manusia sifatnya memang pelupa.

Mintalah pendapat daripada orang lain yang lebih berilmu. Sebelum aku berjumpa dengan ustaz, aku berkira-kira adakah perlu berjumpa atau tidak. Akhirnya aku memutuskan untuk berjumpa kerana aku merasakan bahawa masalah yang aku hadapi, perlu aku luahkan. Tiada apa yang perlu dimalukan untuk meluahkan masalah kepada orang yang sepatutnya. Malah, dengan meluahkan masalah yang terpendam itu, sedikit sebanyak dapat merungkai masalah yang kita hadapi.

Jangan dipendam masalah yang terbuku. Takut-takut akan membusuk menjadi penyakit. Usah malu untuk bertanya, kerana bertanya bukan beerti bodoh, tetapi untuk mncari kebenaran.....

Allahu’alam....



Thursday, June 11, 2009

BERWASPADALAH !!! BERJAGA-JAGALAH !!!


"Pakcik !! tandas tak ada air la...."

aku menjerit dari dalam tandas apabila terdengar bunyi tapak kaki seorang pakcik yang sedang membuat kerja-kerja di dalam tandas. ......

kerana terlalu lama menunggu sahabat yang tak kunjung tiba, aku terpaksa bergegas juga ke tandas kerana perlu menunaikan hak diri aku.


seperti biasa, sebelum mengunci pintu tandas, aku akan memeriksa dahulu air, dan lain-lain.

"Ok, air ada."
lalu....aku pun menjalankan tugas yang sepatutnya. selesai kerja, aku membuka paip..

"sudah!!" aku membisik dalam hati.


Yang keluar hanya sisa-sisa air di dalam paip getah. kemudian langsung tiada air yang keluar untuk kerja-kerja pembersihan.

aku menarik flush. ada air, tetapi terlalu sedikit. yang lebih penting ialah bersihkan diri sendiri, walaupun hak tandas juga perlu dijaga sebaiknya.

agak kalut memikirkan keadaan itu. hendak keluar senyap-senyap untuk mencari air di luar, mustahil dengan keadaan yang belum terurus. aku terdiam. fikir....fikir....

telefon sudah dua kali berdering. dua kali juga aku mematikannya semula....

diam lagi...masalah belum selesai. sahabat sudah siap menanti.

buntu...kaku...haru biru...

tiba-tiba aku terdengar bunyi tapak kaki seseorang di luar. aku fikir dia ialah pakcik yang bertugas yang terserempak dengan aku sebelum aku masuk ke tandas tadi.

"hendak panggil atau tidak..." aku berbisik. malu juga memikirkan keadaan aku ketika itu. tetapi, kalau hendak difikirkan malu, masalah tersebut takkan selesai. akhirnya aku akur.

"pakcik !! tandas tak ada air la.."

suara di luar menyahut. "ya ka? cuba tarik dua tiga kali."

"bukan, bukan.. paip air tak ada air." aku membalas.

"owh, paip sebelah ada air. cuba bukak paip dekat atas tu.."

aku pun mencuba. paip sudah dibuka penuh. airnya tak pula keluar.

"dah terbuka la pakcik. tak keluar jugak."

"sekejap, pakcik berikan air." lalu pakcik tersebut mengisi air di dalam baldi.

"OK, boleh ambil."

"pakcik boleh bagi dekat atas tak?" takkan aku nak buka pintu tandas dalam keadaan sebegitu.

pakcik itu pun menghulurkan baldi yang separuh penuh itu dari atas pintu.

"alhamdulillah..." aku berbisik dalam hati, lalu menjalankan kerja-kerja amal tersebut.

"cukup tak air tu?" pakcik tadi masih di luar. malah dengan baik hatinya bertanya tentang aku.

"cukup..cukup..terima kasih ya!!"

selesai semua kerja, aku pun keluar dari bilik kecil yang sempat menduga diri aku itu...pakcik masih di luar. kami berbual seketika, dan.....

tamat sudah satu kisah...

bukanlah tujuan aku menulis untuk menceritakan 'hal peribadi yang sangat peribadi'... tetapi, yang lebih penting ialah setiap perkara yang hendak kita lakukan itu, pastikan dulu apakah kemungkinan yang akan dan boleh berlaku.

walaupun aku telah memeriksa paip air terlebih dahulu, tetapi mungkin aku tidak betul-betul memastikan keadaan yang sebenar. akhirnya !! hampir-hampir membawa padah...

BERWASPADALAH !!!!

BERJAGA-JAGALAH !!!

:)







Tuesday, June 9, 2009

DIMENSI 7 PRINSIP UNIVERSITI APEX – NC USM


Dalam ucapan Yang Berbahgia Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak semasa merasmikan Seminar Percambahan Pemikiran Islam ; Dimensi 7 Prinsip Universiti APEX, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia itu melahirkan rasa hormat dan terharu kerana seminar ini merupakan yang kedua kali diadakan bagi membincangkan dan membahaskan tentang Universiti APEX dalam lingkungan 7 Dimensi yang telah digariskan sebagai teras kepada pembangunan USM sebagai Universiti APEX.
“Setiap keputusan yang saya berikan di Universiti Sains Malaysia (USM) sememangnya mempunyai landasan-landasan islam dan agama. Hanya tidak dibentangkan, kerana saya mengharapkan bahawa sarjana-sarjana agama islam itu sendiri akan mengeluarkan dan mengupaskan dimensi-dimensi tersebut. Kita tidak dapat bercakap tentang ilmu tanpa kita merujuk kepada al-quran dan al-sunnah.

“Walaupun hal ini tidak kita bentangkan secara umumnya, kerana dalam keadaan negara yang majmuk, perkara sebegini boleh dipolemikkan. Namun hasratnya, nilainya, adalah nilaian yang berpaksikan kepada islam kerana islam adalah agama yang mementingkan ilmu. Oleh itu, saya merasakan ilmu itu sepatutnya menjadi tunjak kepada agama islam itu sendiri.”

Keinginan USM ialah untuk membangunkan semula satu budaya ilmu dengan merujuk kepada tamadun Andalusia, yang merupakan antara tamadun yang paling panjang dalam dunia iaitu sekitar 800-1000 tahun yang khusus kepada ketamadunan ilmu. Jika masyarakat dahulu dapat memajukan ilmu dan diri tanpa kemajuan teknologi, semestinya umat sekarang mampu.

Tugas kita bukan hanya terletak kepada USM, tetapi merangkumi semua yang inginkan agama islam kembali seperti dahulu. Ia merupakan kerja berpasukan. Hal ini bukan semata-mata untuk mendapat tempat dalam ranking ke-100, atau ke-50 universiti di dunia, tetapi merupakan suatu keinginan untuk menerajui satu bentuk universiti yang baru dengan pemikiran yang baru, yang berasaskan kepada tauhid dan fitrah manusia seperti yang dituntut oleh islam.

BERSEDIA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN

Dalam pemilihan universiti APEX, beberapa kriteria telah diambil kira, antaranya ialah strategik untuk melakukan perubahan oleh sesuatu universiti. Selain itu, dilihat juga dari aspek budaya untuk berubah, kerana jika tiada pembudayaan dalam perubahan, maka ia tidak akan dapat berkesinambungan dan juga soal kepimpinan. Kepimpinan bukan hanya merujuk kepada individu tetapi kelompok yang menjalankan perubahan.

Aspek yang turut diambil kira ialah aspek pelan untuk perubahan yang mempunyai 3 dimensi iaitu tema atau arah tujuan, pendekatan serta usaha yang telah dilakukan untuk perubahan tersebut.

Dalam mencapai matlamat sebagai Universiti terulung, Naib Canselor telah meletakkan perkara yang dikatakan sebagai 7 dimensi yang menjadi teras kepada perubahan.

”Kita ingin membentuk sesuatu yang baru, yang belum pernah dilihat dalam dunia pendidikan tinggi” katanya.

”saya berani berkata demikian kerana dalam seminar-seminar di peringkat antarabangsa, apabila kita mengutarakan apakah model pengajian tinggi yang ingin dibawa, mereka semua merasakan ini adalah sesuatu yang baru. ”

Profesor Tan Sri menggambarkan bahawa hal ini seolah-olah kita sedang bermain dengan permainan.

”Permainan yang berada di hadapan kita adalah yang telah diolah oleh orang lain. Sebagai contoh, permainan ragbi. Jika kita ingin bermain ragbi, kita perlu mempunyai kemahiran dan kepakaran yang cukup. Kita tidak pandai bermain ragbi. Tetapi kita pandai bermain sepak takraw misalnya, kerana budaya dan nilai kita sedemikian. Mengapa tidak kita yang mengajak dunia bermain sepak takraw? Mengapa perlu kita bermain ragbi hanya kerana dunia ingin bermain ragbi?”

Satu lagi contoh ialah permainan hoki. Permainan ini pernah dimainkan di atas padang. Tetapi permainan ini telah diubah dengan meletakkan syarat bahawa jika hendak bermain hoki, ia perlu dimainkan di atas turf. Penggunaan turf memakan kos yang tinggi. Di USM sebagai contoh, turf hoki sahaja berharga RM 1.6 juta. Selagi tiada turf, kita tak dapat berlatih dan tidak akan mahir, dan tak akan dapat menjuarai permainan itu.

Inilah percaturan yang dapat kita lihat dalam dunia skarang. Mereka meletakkan perkara yang kadang-kadang untuk kebaikan mereka sahaja, bukan untuk kebaikan kita. Perkara inilah yang berlaku, dan kita dikalahkan kerana diletakkan dalam keadaan yang cukup berbeza.

7 prinsip atau dimensi Universiti APEX dapat dihuraikan dengan serba ringkas seperti berikut :-

1) MENEROKA MASA HADAPAN.

Kita mesti pandai memilih masa hadapan. Jika masa hadapan yang kita pilih sama juga dengan negara barat dan yang lain daripada fitrah kita, maka kita akan selama itu menjadi ikutan mereka. Kita tidak perlu mengikut mereka. Kita tidak akan dapat mendahului mereka dalam hal-hal sedemikian.

Prof Tan Sri memetik salah satu matlamat di dalam wawasan 2020 yang mengatakan bahawa kita perlu membangun dalam acuan kita sendiri. Tetapi kini, selepas hampir 10 tahun kita tidak dapat melihat apakah acuan sendiri yang telah kita bangunkan. Perkara yang dilihat ialah kita hanya mengikut acuan orang lain.

Mencari perbezaan untuk masa hadapan ini cukup penting. Dalam pengajian tinggi, hal ini merupakan satu cabaran yang cukup besar. Sebagai contoh di dalam pengajian sains sosial, banyak teori-teori yang dikemukakan ialah teori-teori yang datang daripada perspektif-perspektif yang cukup berlainan daripada perspektif kita. Banyak perkara-perkara yang diajar melibatkan apa yang dipanggil sebagai ’euro-centric’ iaitu yang memusat kepada pemikiran-pemikiran orang barat, bukannya daripada orang-orang islam. Jauh skali daripada orang-orang Malaysia dan Asia. Hal ini yang perlu kita lihat untuk mencari masa hadapan.


2) MENCARI KELAINAN

Masa hadapan yang kita cari mestilah mempunyai kelainannya yang tersendiri. Mencari kelainan adalah perkara yang cukup berat. Kita mudah mengikut orang-orang lain, tetapi tidak dapat mencari kelainan dan kekuatan kita sendiri. Kita mudah meniru orang lain, tetapi sukar untuk memimpin dan mencari jalan-jalan lain. Jika kita hendak bersaing, kita perlu mencari kelainan.

Contohnya, jika dalam sebuah kolam hanya terdapat ikan berwarna merah, kita tidak akan dapat membezakannya, kecuali jika terdapat seekor yang berwarna putih. Atau jika di pesisir pantai, hanya terdapat batu-batuan berwarna kelabu, kita tidak dapat membezakan antara satu sama lain, melainkan ada satu batu yang berwarna lain, contohnya berwarna kuning.

Kelainan menjadi kekuatan bagi kita, malah dalam islam ia amat digalakkan. Bagaimana orang islam boleh membezakan mereka dengan orang lain? Orang islam sememangnya berbeza dengan orang lain baik dari segi budi pekertinya, perwatakannya, pakaiannya.

Cara orang islam berfikir tentunya berbeza kerana falsafahnya, asasnya dan.nilainya berbeza. Selagi kita tidak dapat menunjukkan kelainan, kita seolah-olah terumbang-ambing kerana kita menghendakkan apa yang dihidangkan oleh orang lain, sedangkan kita tidak dapat menghidangkan keistimewaan yang ada pada diri kita.

Dalam pendidikan, falsafah, nilai dan prinsip adalah perkara asas dan pokok. Jika tidak ada perkara yang dapat mnyuburkan ’pokok’ ini, kita akan melihat pokok tersebut tidak dapat hidup. Persoalannya, apakah bentuk nilai, falsafah dan prinsip yang hendak dibawa dalam pendidikan?

Ilmuan perlu sentiasa mempersoalkan sesuatu yang telah ada untuk memerbaiki keadaan ke arah yang lebih baik.

”We are never satisfied with what we’ve got now.” Ucap Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Kelainan ini juga memberi kita satu tabiat untuk mempersoalkan semua yang ada.

”Kalau kita lihat peta sekarang ini seperti mana yang tertera, Amerika Syarikat berada di atas dan Australia berada di bawah. Hal ini diajar kepada kita sebagai peta yang sebenarnya. Kalau kita terbalikkan peta itu, kita akan dapati Australia di atas dan Amerika di bawah. Adakah peta itu salah? Mengapa mesti Amerika di atas dan Australia di bawah?”

“Who says the north is up and south is down? Why can’t south be up and north be down?” ujar beliau lagi.

Ini adalah perkara asas untuk kita melihat bagaimana kita boleh mencari kelainan dalam soal-soal sedemikian.

Allah juga merupakan Tuhan yang berlainan dengan makhluk, dan berlainan dengan ‘tuhan2 yag lain’.


3) KELESTARIAN

Kelestarian ini ialah dalam konteks kita menjaga amanah yang diberikan kepada kita. Bumi ini telah Allah amanahkan kepada kita, maka kita terpaksa menjaganya dengan sebaik mungkin. Bumi sekarang terlalu tercemar dengan pelbagai masalah. Sebagai amanah, kita perlu menyerahkan bumi ini kepada generasi akan datang dalam keadaannya yang sama seperti semasa kita menerimanya atau dalam keadaan yang lebih baik daripada apa yang kita terima.

Ternyata apa yang kita ada sekarang untuk kita serahkan kepada anak cucu kita lebih tercemar daripada apa yang kita dapat. Maknanya kita tidak menjalankan amanah yang diberikan kepada kita .

Sebab itulah, soal lestari ini menjadi soal pokok dan nilai. Apabila datang revolusi industri, banyk perbaharuan dan dimensi yang dibawa oleh sains dan teknologi tidak prihatin terhadap alam sekitar.

UNESCO telah mengutarakan satu idea iaitu ‘The Quranic Garden’ kerana Al-Quran merupakan satu-satunya kitab di dunia yang menceritakan tentang kelestarian, tumbuh-tumbuhan dan taman. Syurga juga digambarkan dalam bentuk taman-taman yang sangat indah.

Jelas hal ini adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh kita semua.

USM juga sejak dulu telah mengambil langkah menjadi ‘Universiti Dalam Taman.Universiti dalam taman ialah metafora atau perumpamaan kerana dalam ‘taman’ itu terdapat kepelbagaian. Taman yang baik mempunyai kepelbagaian. Kita menerima kepelbagaian yang ada di dalam masyarakat Malaysia, dari segi agama, budaya, kefahaman, atau idea-idea yang tercetus.

Taman yang mempunyai 1 jenis tanaman sahaja di sebut sebagai ladang, contohnya ladang getah dan kelapa sawit. Ada ketikanya, universiti di Malaysia dianggap seperti ladang. Semuanya mesti sama. Dalam dunia pendidikan, hal ini dikenali sebagai ‘The Mc Donalization of Education’. Mcdonald di mana-mana sahaja di dunia ini, semuanya sama. Bajunya, menunya, baunya, harganya semuanya sama.

Kita tak mahu hal ini berlaku dalam pendidikan. Agama kita juga mewar-warkan perbezaan. Dalam al-quran Allah mengatakan bahawa Allah menjadikan manusia berbeza-beza, berpuak-puak kerana ada rahmah di situ.

Sebab itu, USM mengambil pendekatan menggunakan ’taman’ sbg metafora dan panduannya.

Dalam taman terdapat pokok. Selalunya pokok di nilai dari bumi ke atas. Kita lihat pokok itu cantik. Daunnya, bunganya, buahnya cantik dan indah. Tetapi kita lupa kepada apa yang berlaku di bawah tanah. Akar-akar yang berada di bawah tanah itulah yang menentukan kesuburan pokok. Kecantian di atas, asasnya ialah kerana kebaikan di bahagian bawah.

Jika akarnya rosak dan mati, maka pokok itu akan tumbang. Dan dalam dunia islam, banyak ’akar-akar’ yang dilihat telahpun mati.

”Saya mengambil pokok yang terdapat di dalam taman ini sebagai inspirasi, bagaimana kita ingin mentadbir sebuah universiti. Kita tidak boleh mentadbir universiti seolah-olah ianya meruakan satu mesin.”

”U organized your university like a factory” Prof Tan Sri Dato’mengutarakan kepada dunia barat dalam satu pertemuan.

“how?” mereka kembali bertanya.

Orang yang masuk ke universiti ini seolah-olah bahan mentah. Ia diletakkan di atas ’conveyer belt’ atau ’assembly line’ seperti pada tahun satu pendidikan. ’Bahan mentah itu akan pergi dari satu kelas ke satu kelas untuk diberi ilmu. Kemudian pada hujung tahun, kita akan adakan ’quality control’. QC tersebut menentukan bahan mentah itu dapat ke peringkat seterusnya, iaitu tahun kedua. Jika bahan mentah itu tidak bagus, ia akan dibuang begitu saja, atau kalau ia boleh diperbaiki, ia akan diperbaiki seperti KSCP atau short sem. , kemudian baru dapat masuk ke conveyer belt kedua atau tahun kedua.
Begitu juga sehinggalah tahun 3 dan 4. Selesai tahun keempat, kita dikatakan sudah boleh dipasarkan.. Soal pemasaran dan pekerjaan ini menjadi satu soal yang cukup besar.

”jika saya menghasilkan sebuku roti yang tak boleh dipasarkan, maknanya perniagaan saya gagal. ”

Begitu juga orang mentafsir universiti. Setiap orang yang keluar dari universiti ini, jika tidak boleh dipasarkan, maka ianya akan dianggap sebagai gagal.

Persoalannya ialah adakah pekerjaan-pekerjaan yang ada dalam pasaran kini merupakan pasaran untuk masa hadapan ataupun pasaran-pasaran tahun lalu? Jika ia ialah pasaran tahun lalu, maka kita perlu mampu untuk mencipta pasaran tersebut supaya mampu utk bekerja dengannya dan menjadi pasaran sekarang dan masa hadapan.

”Tugas universiti ialah untuk mampu mereka dan mencipta sesuatu benda yang baru, yang boleh menjamin masa hadapan. Jika semua mahu bekerja dengan industri lama, siapa pula yang akan membangunkan industri-industri baru, kerana industri-industri yang baru inilah yang akan meneruskan persaingan dan bukannya industri lama.

4) KEMANUSIAAN

Universiti harus ada nilai kemanusiaan. Universiti tidak mahu melihat masyarakatnya sekelilingnya tercicir.

”Universiti yang berjaya ialah universiti yang berada dalam masyarakat yang berjaya. Kekadang sesebuah universiti itu dilihat sebagai berjaya, tetapi masyarakat sekelilingnya tidak berjaya dan tercicir. Masih ada yang mengemis, keganasan, dan pelbagai masalah. Hal itu bermakna universiti itu juga tidak berjaya kerana tidak dapat mendidik masyarakat sekaligus.”

Soal kemanusian ini merupakan persoalan yang sangat pokok. Ia bukan sahaja perlu dilihat dari sudut universiti, tetapi secara sejagat. Sebagai contoh, 4 billion orang daripada 6.6 billion iaitu 2/3 hidup dengan 3 US dolar sehari. Sebab itu dunia kucar kacir, kerana tidak ada keseimbangan antara yang kaya dan yang miskin. 19 juta penduduk New York menggunakan sumber sebanyak 50 negara miskin.

Universiti perlu sama-sama bekerja membangunkan kelompok 4 billion ini. Apa-apa sahaja pendidikan perlu difikirkan juga bagaimana ia boleh memberi kebaikan kepada orang ramai.

Sebagai contoh, usaha pusat pengajian perubatan di USM, mereka telah melakukan penyelidikan tentang penyakit thypod, yang pada asalnya memerlukan diagnosis selama 3 hingga 4 hari untuk mengetahui sama ada terdapat penyakit atau tidak, dengan menggunakan sumber elektirik, dan sebagainya. Maksudnya, kerja-kerja ini mungkin tidak boleh dilakukan di negara seperti Afrika. Cabaran diberi kepada mereka, bagaimana mereka boleh mengubahnya. Maka hasil kajian, diagnosa daripada 3 ke 4 hari dapat dijalankan dalam masa 15 minit. Maka, hasil ini dapat digunakan di negara-negara miskin.

Selain thypod, banyak lagi penyakit-penyakit yang dihidapi oleh dunia miskin, yang langsung tidak diambil peduli oleh negara-negara maju. Daripada 1000 perubatan baru dalam masa 10 tahun yang lepas, kurang daripada 1% yang dapat digunakan untuk penyakit-penyakit di negara-negara miskin. Mengapa mereka tidak peduli? Hal ini kerana ini bukan penyakit-penyakit mereka. Penyakit-penyakit mereka ialah penyakit yang dihadapi oleh orang-orang kaya. Jika tiada universiti yang menumpukan kepada penyakit-penyakit dunia ketiga, sampai bila pun masalah ini tidak dapat diselesaikan.

Kit thypod tadi sudah dipasarkan ke 18 buah negara. Hal ini maksudnya instrumen seperti ini sangat-sangat diperlukan oleh dunia.



5) KESEJAGATAN

Persoalan kesejagatan sangat berkaitan dengan kemanusian. Ia telah pun sedikit sebanyak dihuraikan sebelum ini. Islam itu tak ada batasan dan bersifat universal. Ia tak mengira kaum, bangsa dan negara. Siapa saja yang memerlukan akan bantu. Malah, USM banyak bergabung dengan banyak pihak dan negara .


6) PERUBAHAN

“Kita cuba membawa perubahan. Kita mesti berubah. Kita tak boleh merasakan bahawa ‘saya sudah sempurna’. Kita perlu berusaha untuk kesempurnaan. Agama kita adalah agama yang syumul, sempurna. Kesempurnaan itu bukan dalam bentuk 1 wajah, tetapi serba serbi, pemikiran, idea-idea baru.” ujar Tan Sri.

Mencari kesempurnaan itu ialah apa yang kita inginkan apabila menjadi ilmuan dan cendiakawan. Ianya merupakan usaha berterusan untuk menjadikan sesuatu lebih baik. Jika kita sudah bersedia dengan idea-idea yang baru, maka segala perubahan yang datang, kita tidak akan gentar, kerana kita sudah tahu apa yg perlu dilakukan.

”USM contohnya, pada tahuun 2005 telah melakukan sesuatu yang dipanggil ’scenario plan’. Kita telah dapat meramalkan insyaallah dalam masa 20 tahun (2025), apakah benda/ atau perkara yang mungkin berlaku kepada pengajian tinggi. Sebab itu kita snetiasa bersedia dengan apa-apa yang akan berlaku. Bila ianya sudah berlaku nanti, kita sudah bersedia. Satu perkara yg kita fikirkan akan berlaku ialah cetusan bidang yang dianggil sebagai ’sains otak’.”

Beliau memberi perumpamaan, apabila gerabak bioteknologi datang ke Malaysia, 100 gerabak pertama telah diisi oleh barat, juga gerabak nanoteknologi. Bila masanya kita dapat menduduki gerabak pertama,kedua atau ketiga? Kita mesti mmpu untuk mengetahui apakah gerabak yang akan datang kepada kita dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang. Dalam perangkaan kita, kereta api yang akan tiba 10 tahun akan datang ialah sains otak. Jika inilah keretapi yang akan datang, kita perlu bersedia dari sekarang , kerana apabila kereta api telah datang, kita boleh terus melompat ke gerabak pertama, atau sekurang-kurangnya gerabak ke-10. Kita telah menghantar lebih 20 pelatih-pelatih di seluruh dunia untuk mendalami ilmu ini.

Beliau menegaskan lagi bahawa kita boleh berjaya seperti negara-negara barat. Caranya ialah dngan mencari ilmu, seperti melalui pembacaan.

Andalusia sebagai contoh, di Cordova sahaja pada suatu masa terdapat 400 ribu buah buku, 70 buah perpustakaan dan 500 orang pustakawan. Jika dibandingkan dengan keadaan dalam negara, tidak mungkin dapat menyamai apa yang pernah dicapai oleh Andalusia.

Naib Canselor USM suka menjadikan tamadun Andalusia di Sepanyol dan Baitul Hikmah di Iraq sebagai ’role model’ dalam membentuk Universiti yang membudayakan ilmu pengetahuan untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.


7) PENGORBANAN.

Tiada jalan lain untuk berjaya melainkan dengan pengorbanan.

Menurut satu kajian, tenaga yang diperlukan untuk mentelaah di perpustakaan, sama dengan tenaga yang diperlukan selama 3 jam bercangkul di tengah panas. Ia memang membebankan, tetapi inilah caranya untk mencari ilmu. Mungkin hal ini menjadi sebab mengapa ramai yang kurang suka untuk mendalami ilmu pengetahuan.

”Semuanya perlu bekorban. Naib canselor sehingga staf dan pelajar perlu bekorban.” Tan Sri Dato’ Dzulkifli menegaskan kepada semua peserta.

Beliau menambah, Canselor pertama Universiti Oxford juga pernah menuntut ilmu di Andalusia. Ilmu dinilai sangat tinggi pada zaman Andalusia, sehingga dikatakan sesiapa yang menterjemah buku akan dibayar dengan emas seberat buku yang diterjemahkannya.

Barat pernah mencedok ilmu daripada islam, dan berjaya membina tamadun mereka. Sudah tiba masanya kita mengambil ilmu2 itu kembali utnk membangunkan tamadun kita sendiri.

Sebagai penutup bicara pada seminar kali ini, beliau menegaskan bahawa dalam minda kita terdapat apa yang dipanggil sebagai ’glass ceiling’, yang seolah-olah tak nampak. Siling kaca inilah yang melambatkan kita. Kita perlu memecahkan siling kaca tersebut untuk berjaya.


// Seminar Percambahan Pemikiran Islam ; Dimensi 7 Prinsip Universiti APEX yang bertemakan ”BERSAMA MEREALISASIKAN APEX” dianjurkan oleh Pusat Islam USM dengan kerjasama Unit Latihan USM.

// pembentang-pembentang kertas kerja adalah seperti berikut :-

1) Pencapaian Universiti APEX : Satu tanggungjawab, satu kewajipan
( Ybhg. Prof. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim, Timb. Dekan Penyelidikan dan Siswazah, Pusat Pengajian Sains Farmasi USM.)

2) Pendidikan Integratif : Strategi membangun sumber daya holistik
( Prof. Dr Sidek Baba, Institut Pendidikan UIAM)

3) Perubahan Dalam Konteks Penghijrahan Minda
( Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamad Yusof Osman, Pengarah Institut Islam Hadhari UKM)

4) Kelainan Kreativiti Dan Ibqari Minda
(Ybhg. Datin Prof. Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban UM)

5) Pengorbanan : Teras Pembangunan Intelektual dan Pengiktirafan Andalusia
( Tuan Haji Mohd Zamrus Mohd Ali, Imam Besar Masjid Al Malik Khalid, USM)

6) Masa Hadapan: Menjangkau Bintang, Meraih Mercu
(Ybhg Prof Dato’ Ir Dr.Zaini Ujang, Naib Canselor UTM)

7) Kelestarian: Antara Sinergi Ilmu dan Alam Dalam Dunia Pendidikan
(Ybhg. Dato’ Prof. Ibrahim Ahmad Bajunid, Prof kunjungan USM)

8) Kesejagatan: Suatu Tuntutan Penerokaan, Penyerapan dan Penyebaran Ilmu.
(Ust. (Dr.) Muhammad Uthman El- Muhammady, fellow akademik ISTAC UIAM)