Saturday, October 23, 2010

Syahadah Si Murai




Al kisah, seorang Alim ada membela seekor burung murai yang pandai berkata-kata. Beliau mengajar burung tersebut untuk melafazkan syahadah 'La ilaha illallah' sehingga pandai. Maka, perkataan mulia itulah yang menjadi 'zikir' si burung saban hari, saban waktu. Alim tersebut sungguh gembira dengan keadaan itu. Setiap masa, pagi dan petang akan kedengaran si burung melafazkan syahadah.


Ketika diberi makan burung itu bersyahadah, ketika diusik burung itu bersyhadah, ketika kesunyian burung itu bersyahadah. Pendek kata, rumah Alim tak pernah sunyi daripada irama syahadah yang mengusik jiwa daripada si murai. Anak-anak dan isteri si Alim juga turut gembira.

Suatu hari, Si Alim pulang dari kerja dan terus pergi menjenguk burung murai kesayangannya itu. Dia mengeluarkannya dari sangkar. Namun tanpa diduga, seekor kucing datang menyambar si murai di depan mata orang Alim. Tersentak melihat burung kesayangannya itu mati di depan mata, orang Alim tersebut pengsan di depan pintu rumah.

Seorang jiran ternampak orang Alim terbaring di depan pintu rumah. Dia segera pergi mendapatkan orang Alim dan merenjis mukanya dengan air supaya kembali tersedar. Setelah tersedar dari pengsan, jirannya terus bertanya kepada orang Alim.

"Kenapa kamu tiba-tiba pengsan di sini?"

"Burung murai saya mati diterkam kucing, betul-betul depan muka saya." Orang Alim tersebut menjawab.

"Haaa! Biar betul, takkan sebab burung mati pun sampai pengsan. Apa lah kamu ni?" jirannya itu memperlekeh orang Alim tersebut.

"Aku pengsan sebab ketika burung tu nak mati tadi, aku tak nampak pun dia sempat mengucap syahadah, padahal setiap hari ucapan syahadah tu menjadi siulan si burung. Sedangkan aku ni yang jarang-jarang bersyahadah, macam manalah ketika aku hendak mati nanti. Adakah aku sempat lafazkan syahadah..."


-Kisah ini diambil daripada kuliah maghrib di Masjid Jamek Tasek Gelugor-
.........................................

Kata orang, sebuah lori pasir setiap hari diisi dengan pasir, jika lori tersebut terbabas, maka pastilah pasir yang akan terlimpah keluar daripada lori tersebut.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita???



3 comments:

Dayang said...

boleh dyg share masuk fb..hehe

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

boleh saja...
takdak hak milik...

wawaziz said...

orang tasek gelugor ka??
sy orang permatang berangan B, tsek glugoq.. =) followla my blog yer..