Tuesday, October 5, 2010
Kita kan saudara. (Episod 3)
Malam itu, Zul makan bersama-sama keluarga maksunya. Selesai makan malam bersama-sama, paksu dan maksunya serta Sara terus ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Zul pula mahu naik ke bilik. Sambil menapak menaiki tangga, tangannya sibuk melayan SMS. Tiba-tiba Ija muncul dari belakang.
“Abang Zul. Ingat lagi ka?” Ija terus menyapa tanpa muqaddimah.
Zul terkejut mendengar suara yang menyapanya dari belakang secara tiba-tiba. “Eh Ija, Abang Zul ingat siapa tadi. Lain kali bagi lah salam dulu. Main terjah saja. Ingat rancangan Melodi ka? Hmmm, ingat apa pulak ni?”
“Laaa, dah lupa lah tu. Tadi siang kan janji nak bagitau Ija sesuatu? Cepatlah!” Ija terus memaksa.
“Hehehe, ingatkan Ija dah lupa. OK, boleh. Tapi dengan satu syarat. Buatkan abang Zul milo ais. Abang Zul tunggu dekat meja makan.” Zul kembali turun ke bawah menuju ke ruang makan.
“OK.”Tanpa banyak bicara, Ija segera ke dapur mahu membancuh air untuk sepupunya itu. Dia sudah biasa dengan kerja-kerja sebegitu. “Milo ais siap!” Ija datang membawa bersama-sama segelas air Milo ais di tangan. Perlahan-lahan, diletakkannya di hadapan Zul. Dia segera mengambil tempat di hadapan Zul. Dia duduk menghadap Zul.
“OK, apa yang penting sangat abang Zul nak bagitau Ija ni?” Tanpa membuang masa, Ija segera mahu memulakan kembali bicara Ilmiahnya dengan Zul petang tadi. Tangannya diletakkan di atas meja, yang kanan menindih yang kiri.
“Hmmm…..” Zul berfikir panjang. “Baik, sebelum apa-apa, abang Zul nak ingatkan Ija dulu. Abang Zul bagitau ni sebab tanggungjawab abang Zul untuk bagitau Ija. Tapi Ija nak ikut atau tidak, itu terserah dekat Ija. Faham? Dan jangan marah pulak.”
“Apa abang Zul cakap ni. Tak cakap apa-apa lagi, kenapa Ija nak marah pulak. Ni yang nak marah ni. Heee.!” Ija marah-marah sambil mencekak pinggang.
“Ha, tu dah marah. Jangan marah, nanti kena jual. Hehehehe.” Zul meniru gaya P. Ramlee dalam filem Tiga Abdul.
“Apa-apa saja lah.! Cepat lah!” Ija mengetuk-ngetuk meja makan dengan jarinya, tak sabar mahu mendengar ‘ceramah’ lagi.
“OK, OK. Dia pulak yang tak sabar. Begini….” Zul diam sebentar. Mahu mencari idea untuk memulakan bicara. “Tadi siang abang Zul ada bagitau pasal sepupu tu bukan mahram kan? Ingat lagi tak?” Zul mengulang kembali butir bicaranya petang tadi.
“Ingat!” Ija segera menjawab.
“Bagus! Abang Zul ada bagitau jugak kan antara bukan mahram ni ada batasan-batasannya. Ingat?
“Ya, antara sepupu yang dah cukup umur tak boleh bersalaman. Kan?”
“Betul. Pandai Ija. Tapi, ada lagi sebenarnya.” Zul tersengih sendiri.
“Maksud abang Zul? Apa pulak yang Ija tak boleh buat.”
“Sebelum abang Zul bagitau, abang Zul nak tanya Ija satu soalan. Boleh?”
“Soalan apa? Tengoklah soalan dulu.”
“OK. Kalau Ija keluar rumah, Ija pakai tudung kan? Kenapa?” sambil bertanya, Zul memusing-musing gelas Milo ais di atas meja dengan tangannya.
“Soalan apa ni? Mesti lah Ija kena tutup aurat. Sebab tu Ija pakai tudung.” Suara Ija meninggi walaupun tidak marah. Dia merasakan bahawa soalan itu tidak releven untuk ditanya. Tahap budak tadika.
“OK. Kenapa Ija kena pakai tudung dekat luar rumah, tapi dalam rumah Ija tak pakai?” Zul terus menyoal Ija.
“Sebabnya…..dekat luar rumah tu kan ada orang ramai. Kena lah pakai. Dalam rumah kalau, mama, papa dengan Sara saja ada.” Ija menjawab. Yakin dengan jawapannya.
“OK. Orang ramai tu siapa? Hmmm, cuba Ija kaitkan dengan perkara yang abang Zul bagitau siang tadi, pasal mahram dengan bukan mahram tu.” Zul cuba menduga Ija.
“Maksud abang Zul?” Ija diam sebentar. Mahu mencari kaitan soalan tadi dengan isi bicara bersama sepupunya petang tadi.” Owh, orang ramai tu bukan mahram kan? Macam tu?” Sendiri menjawab, sendiri yang bertanya.
“Ija rasa?” Zul sengaja tidak mahu menjawab. Dia mahu Ija sendiri yang berfikir.
“Hmmmm, betul lah tu. Sebab mahram tu yang ada talian darah dan tak boleh kahwin. Orang ramai dekat luar tu kira bukan mahram lah, kan?” Ija bertanya kembali.
“Betul tu. Abang Zul pulak?” Zul mengiyakan jawapan Ija, tetapi segera ditambah lagi soalan untuk menduga.
“Hmmm, abang Zul pun….” Ija berfikir panjang. “Bukan mahram Ija jugak.”
“Jadi?” Zul mahukan jawapan lebih daripada sekadar itu.
“Jadi… Ija kena pakai tudung jugak dalam rumah kalau abang Zul ada? Macam tu ka?”
Ija mahukan kepastian. Dia sendiri tidak yakin dengan jawapannya.
“Ija rasa macam mana?”
“Sebab abang Zul sepupu Ija, bukan mahram. Jadi, sama dengan orang dekat luar tu kan? Betul ka?” Ija terus bertanya.
“Ija rasa?” Zul bertanya kembali. Soalan dibalas dengan soalan.
“Akak… Nur Kasih dah start. Cepat…!!!” tiba-tiba Sara menjerit dari ruang tamu. Dia mahu mengajak kakaknya itu menonton bersama. Mereka tidak pernah ketinggalan mengikuti drama TV3 tersebut, walaupun sudah kali kedua ditayangkan. Tidak jemu kata Sara.
“Takpa, akak ada hal ni. Sara tengoklah.” Ija membalas. Terganggu sebentar bicaranya bersama Zul dek iklan yang Sara siarkan. Ija kembali fokus kepada Zul.
“Hmmm, abang Zul ni. Ija tanya, dia tanya kita balik. Jangan lah bagi Ija konfius.” Ija bengang. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu.
“Betul lah tu. Kan tadi dah bagitau, kita ni sepupu. Sepupu tu bukan mahram. Sama saja dengan orang dekat luar rumah tu. Jadi, Ija kata Ija tutup aurat sebab dekat luar tu ada orang ramai, yang bukan mahram Ija. Jadi, kalau dalam rumah ada orang bukan mahram jugak, sama saja kan?” Akhirnya Zul akur. Kasihan melihat Ija yang semakin serabut dengan soalan-soalannya.
“A’ah. Rasanya begitu lah kot.” Ija mendongak ke atas. Dia melekapkan jari telunjuknya ke mulut. Dicuit-cuit bibirnya yang merah itu.
“Tak da kot, kot dah Ija. Sebenarnya memang begitu yang sepatutnya.” Zul bertegas dengan jawapan yang Ija berikan.
“Tapi takkan dalam rumah pun kena pakai tudung jugak. Pelik lah. Kalau Ija pakai, mama dengan papa mesti kata Ija ni pelik.” Ija menarik sehelai tisu dari kotaknya, lalu meletakkannya di atas kepala. Dia menarik hujung tisu itu kiri dan kanan, seolah-olah mahu menggayakan orang yang memakai tudung.
“Tak dak apa yang peliknya Ija. Begitu lah hukumnya. Kita tutup aurat sebab tu suruhan Allah kan? Ka selama ni Ija pakai tudung sebab orang lain pun bertudung.” Zul membulatkan matanya ke arah Ija. Mahukan kepastian.
“Hmmm….” Itu saja yang mampu keluar dari anak tekaknya. Mungkin dia sendiri tiada jawapan untuk ‘soalan maut’ Zul tadi.
“Takpa. Macam ni. Kita orang islam, ada batasan-batasan yang Allah dah tetapkan. Pasti ada sebabnya. Yang tu kalau Ija nak tau lebih tanya lah ustaz atau ustazah dekat sekolah. Boleh?” Zul cuba mengalih topik selepas melihat Ija buntu dengan soalannya tadi.
“Hmmm, tengok lah.” Ija jawab bersahaja.
“Jangan lah macam tu. Kita nak buat sesuatu tu kena ada ilmu. Baru kita tak buat sebab orang lain buat. Faham? Bila kita tahu sebab apa kita buat sesuatu, baru ada rasa yakin untuk amalkan, tak lah rasa terpaksa.”
“Tapi susah lah macam ni abang Zul. Ija ni bukannya tahu sangat benda-benda macam ni.” Ija mengadu.
“Sebab tu kita kena belajar, Ija. Mula-mula, memang lah tak tau. Abang Zul pun, bukannya lahir-lahir, terus tahu. Kita kena belajar. Dulu-dulu pun, kita tak pandai matematik kan? Lepas dah belajar, kita pandai buat matematik. Agama pun macam tu lah. Faham?” lembut Zul memujuk. Dia tidak mahu sepupunya itu tertekan dengan kenyataan yang baru diketahuinya itu. Biarlah perlahan-lahan. Asal sudah ada kefahaman.
“Faham.” Ija mengangguk perlahan.
“Satu lagi.” Serentak, Zul memacakkan jari telunjuknya ke atas.
“Hah! Ada lagi, Ishhhh…!” Ija seakan-akan mahu mengeluh. Sudah ‘letih’ mendengar sesuatu yang dirasakan seperti bebanan.
“Jangan lah mengeluh. Tak baik. Benda yang abang Zul bagitau ni bukan abang Zul yang suruh, tapi Allah. Ija marah dekat Allah ka?” Zul sekadar mahu menduga. Dia tahu bukan itu maksud Ija.
“Eh, mana ada.”
“Baik. Satu lagi Ija, tutup aurat tu bukan pakai tudung semata-mata. Ija tau kan aurat perempuan dengan orang lelaki?” Zul melangkah masuk ke topik lain. Topik yang lebih ‘berat’.
“Seluruh anggotakecuali muka dan tapak tangan.” Pantas Ija menjawab. Soalan tahap sekolah rendah.
“Hmm, betul tu. Tapi kalau pakai tudung saja, dah dikira tutup aurat ka?”
“Kan tudung tu tutup aurat?” Ija menjawab dalam kehairanan.
“Kalau pakai tudung, tapi pakai baju lengan pendek? Tangan tu aurat kan? Kaki pun aurat jugak. Antara kulit dengan rambut, mana lebih penting? Kalau sentuh kulit, batal wudu’. Tapi kalau sentuh rambut, tak batal. Hmmm, tapi dua-dua pun wajib tutup. Jadi, kalau pakai tudung saja, tapi lengan tak tutup, kaki pun tak tutup, sebenarnya belum sempurna lagi tutup aurat tu. Boleh?” Zul menjelaskan satu per satu.
“Ija pakai baju lengan panjang apa.”
“Ya lah. Tapi itu di luar rumah kan? Tu yang Ija pakai tu, nampak tahi lalat besar dekat siku tu? Hehehe.” Zul cuba berseloroh, sambil tangannya menunjukkan tompok kecil berwarna hitam di siku Ija itu. Ija segera menarik lengan bajunya memanjang menutup sikunya. Malu. “Abang Zul bukan bagitau pasal Ija saja, tapi secara umum lah. Baju tak boleh ketat sangat sampai nampak bentuk badan. Semua-semua tu kena ambil tau lah. Baru kita tak buat benda yang salah. Faham?”
“Hmmm…” bunyinya seperti mengeluh.
“Macam ada tak puas hati saja?”
“Tak lah.” Ija segera menafikan.
“Begini Ija. Abang Zul dah kata tadi, abang Zul boleh bagitau Ija. Tapi terpulang kepada Ija nak amal atau tak. Tapi, apa yang abang Zul bagitau ni perkara wajib. Maksudnya memang kena buat. Kalau tak nak buat, bagitau lah Allah nanti sebabnya. Macam tu lah. Boleh ya? Ija marah ka?” Sengaja dia akhiri kata-katanya dengan gurau senda. Zul melihat ada riak-riak tertekan pada wajah sepupunya itu.
“Eh! Tak ada lah. Ija tak marah pun. Ija tak tau pun semua-semua ni sebelum ni. Bila abang Zul bagitau, baru Ija tahu.” Ija merendah diri.
“Hmm, bagus lah kalau macam tu. Cuba amalkan sikit-sikit, tapi berterusan. Insyaallah. Perkara agama ni kadang-kadang kita rasa ‘pelik’, rasa berat. Tapi sebenarnya pasti ada hikmah kenapa Allah suruh.”
“Baik.” Ringkas jawapannya.
“Baik lah Ija. Ija faham kan apa yang abang Zul bagitau. Ija pun lepas ni rajin-rajin lah cari info-info sebegini. Internet dah ada. Buku-buku agama pun banyak dekat kedai tu. Kalau kita boleh belajar untuk dunia, kenapa tidak belajar jugak pasal agama, untuk bekalan akhirat kita. boleh?”
“Insyaallah, terima kasih abang Zul. Lepas ni, kalau ada apa-apa, Ija tanya abang Zul saja lah.”
“Boleh saja. Tapi abang Zul bukan lah pandai sangat. Ustaz dengan ustazah dekat sekolah tu, mesti depa seronok kalau ada pelajar datang jumpa depa nak tanya pasal agama. Rajin-rajin lah jumpa depa.”
“OK.” Ija membuat isyarat ‘best’ dengan tangannya.
Suasana diam seketika. Tiba-tiba,
“Laaaaa!” Zul menampar lembut dahinya.
“Kenapa pulak?” Ija yang kehairanan segera bertanya.
“Patut lah pun.”
“Apa yang patutnya?” Ija menjadi semakin hairan dengan Zul. Angin tiada, ribut tiada, tiba-tiba mengeluh panjang.
“Patut pun dahaga. Air milo ni abang Zul tak minum lagi rupanya. Hehehehe.” Zul berseloroh.
“Huh! Ingat benda apa lah tadi. Buat orang suspen saja. minum lah.” Ija bangun dari kerusi, lalu dia menyorong kerusi ke bawah meja.
“Dah cair dah pun.” Zul mengacau-ngacau air milo tersebut. “Sedap.”dia memuji.
“Tengok tangan lah siapa yang bancuh.” Ija bangga. Digosok-gosok tangannya, bangga dipuji.
“Tapi manis sikit. Kena kencing manis lah abang Zul lepas ni. Errrkkk!”
“Eleh… “ Ija segera berlalu pergi meninggalkan Zul sendiri.
-tamat-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment