Tuesday, December 23, 2008

hari pertamaku di kilang.....

“kecil saja kilang ni.” Aku berbisik di dalam hati tatkala melihat kilang tempat bakal aku bekerja untuk praktikal beberapa hari yang lepas. Dua orang rakan yang sama-sama berpraktikal di situ turut berkata begitu.

Hari ini, aku mula menjalani latihan industri. Meotin (Fragrance Victory Sdn Bhd), nama syarikat tempat aku bekerja. Hari pertama, datang 30 minit awal. Sepatutnya lebih awal, tapi ada beberapa masalah berlaku di rumah sewa, terlewatlah sikit.

Melangkah masuk ke dalam kilang, kami di bawa masuk ke pejabat untuk melapor diri. Di atas rak kelihatan tersusun produk-produk keluaran syarikat.

”banyak juga produk syarikat ni ya?” aku memberitahu kawan. Kilang nampak kecil, tapi produk yang dikeluarkan agak banyak. Jika dibilang bilangan pekerja, tak habis jari-jari di tangan menghitung. Pekerja untuk bahagian pengeluaran hanya seramai 5 orang. Seorang pembantu di bahagian pentadbiran dan bos. Suami bos, ataupun big boss tak ada. Mungkin ke Singapura.

Habis pendaftaran, kami masuk ke bahagian ’production’, berkenalan dengan family baru. Ada enam orang semuanya tak termasuk kami. Dua orang lelaki melayu, seorang lelaki cina yang bertindak sebagai supervisor dan dua orang auntie. Seorang lagi juga merupakan pelatih, yang belajar di New Zealand. Semuanya baik-baik belaka, terutamanya abang berdua tu yang sangat suka melawak.

Sambil bersembang, kami memulakan tugas pertama. Beribu-ribu paket minuman bijirin perlu dimasukkan ke dalam kotak. Kemudian, aku masuk ke ruang dalam, dan mencuba kerja lain. Tugasnya, melabelkan tarikh luput makanan pada setiap paket bungkusan tersebut.

Tugasan kami lebih kepada bahagian bungkusan. Kilang tersebut bukanlah kilang besar yang memproses bahan mentah. Tetapi lebih kepada memformulakan makanan. Bahan-bahan yang siap diproses seperti bijirin, rempah dan lain-lain diformulakan menjadi satu produk yang berkualiti. Kilang tersebut menumpukan kepada makanan untuk kesihatan. Tugas-tugas mencampurkan bahan-bahan hanya boleh dilakukan oleh supervisor kerana formula-formula tersebut dirahsiakan. Malah tugasan ’R & D’ dilakukan sendiri oleh bos. Selesai campuran, barulah kami boleh terlibat.

Selesai tugasan, semua pekerja berkumpul di ruang tengah. Kami bersembang sambil menjamu selera, makan karipap bersama-sama..

Masuk balik kerja pukul 2 petang, kami semua masuk ke ’dapur’. Produk yang hendak disiapkan ialah rempah kari ’black pepper’. Daripada Mixer, kami melakukan tugas-tugas pengetinan. Beratus-ratus tin perlu dihabiskan. Dari mixer sampai ke dalam kotak untuk diedar.

Separuh jalan, bos memanggil kami ke pejabat. Pertama kali kami bersua muka dengan bos. Seorang perempuan cina berumur lewat 20-an. Seorang berwarganegara Singapura. Dia memberi banyak nasihat kepada kami bertiga. Dia menceritakan perihal dirinya. Tidak pernah mendapat sebarang ijazah, tetapi boleh berjaya. Dia seorang yang sangat sensitif. Katanya jika ada orang masuk ke dalam biliknya dan menyentuh barang-barangnya, dia dapat tahu. Malah dia juga dapat membaca isi hati orang hanya dengan memandang wajah orang tersebut. Katanya, dia juga sangat dekat dengan alam, hingga kekadang dapat mendengar tumbuhan berkata-kata dan sebagainya. Ya, dia memang seorang yang sangat unik. Mungkin kedengaran seperti hendak mengangkat diri, tetapi tidak sama sekali. Dia juga meminta kami supaya menjadi seorang yang sangat sensitif. Sensitif kepada diri, sensitif kepada alam dan sebagainya.

“Jika kamu tidak mampu menghargai makanan, kamu tidak layak untuk berada dalam industri. Jika makanan pun kamu tak dapat habiskan, kamu juga tak layak untuk berada dalam industri ini.”

Dia sangat-sangat menghargai alam. Malah dia sangat mengambil berat tentang kesihatan manusia. Sebab itu, dalam produk di kilang, tiada bahan kimia yang digunakan. Katanya, biar kita menyumbang ke arah kebaikan kepada manusia.

Bos juga mengingatkan supaya jangan bangga dengan pencapaian. Ijazah tiada guna jika hanya untuk dibangga-banggakan. Akhirnya kerana terlalu memilih, ijazah langsung tak bernilai.

“kita dilahirkan dalam keadaan telanjang. Tiada langsung yang berharga pada diri kita, melainkan kita sendiri yang menghargai nilai dalam diri kita.”

Terlalu banyak yang disampaikan kepada kami. Malah bos sangat baik dengan pekerja-pekerjanya. Dia melayan semua orang dengan sama rata.

Hmmm, keluar saja dari pejabat, rasa bersyukur sangat-sangat sebab Allah mentakdirkan aku membuat praktikal di situ. Harap aku dapat belajar banyak sepanjang 4 bulan lebih di sana. Dan harap bertambah baiklah bahasa inggeris aku, sebab bos cakap totally dalam bahasa inggeris...

Hmm, cukuplah untuk hari yang pertama. Sekarang dah dekat pukul 4 pagi. Besok nak kena bangun awal, sebab bertolak dari rumah di seberang. Lebih sejam perjalanan nak ke kilang. Rasa menyesal pun ada tidur lewat2 macam nie. Hehehe..

Wassalam...

http://www.meotin.com/main.html

No comments: