Saturday, March 14, 2009

JUAL UBAT.....

Sambil bersantai menghayun buaian baby Madihah, aku sempat menonton rancangan Wanita Hari Ini, dalam slot Busana Muslimah. Fesyen yang diperkenalkan hari ini ialah tudung. Apa nama tudung, entah lah. Sekarang ni, macam-macam fesyen tudung ada. Tudung bawal, tudung Wardina, tudung Shila Rusly, tudung Ekin. Nasib baik belum ada tudung Mawi dan Raihan.

Bukan fesyen tudung yang ingin aku bincangkan di sini. Cuma terdetik di hati untuk menulis apabila aku mendengar promoter tudung itu berkata :

“saya rasa lebih selesa apabila bertudung daripada dahulu sewaktu tidak bertudung.
Allahu’lam, mungkin dia mahu mengatakan tudung yang hendak dijualnya itu sangat selesa dipakai atau apa-apa kemungkinan. Yang penting, dia telah bertudung

Sedikit berubah wajah pengacara yang mengacarakan perbincangan tersebut, memandangkan kedua-duanya tidak bertudung.

Mungkin sama situasi kedua-dua pengacara tersebut dengan seorang yang berbadan gempal mempromosi ubat kurus. Heboh satu pasar mendengar suaranya mempromosi ubat kurus. Orang yang tercari-cari produk tersebut bergegas mencari dari mana suara itu datang. Namun, apabila sampai di tempat yang dituju, terbatal niatnya untuk mendengar penjelasan penjual tersebut, apatah lagi hendak membeli produk yang ‘berguna’ kepadanya..

Cuba kita kaitkan dengan diri sebagai seorang muslim a.k.a dai’e, kerana setiap muslim itu memegang amanah sebagai dai’e.

Kita mempunyai satu ‘produk’ yang sangat baik dan sangat berguna. Produk kita bukan produk kehendak, tetapi merupakan produk keperluan. Produk kita itu ialah ISLAM. Kita juga mempunyai pelanggan yang mahukan dan memerlukan produk tersebut. Malah sangat ramai yang hendakkan produk yang kita miliki ini. Cuma bagaimana kita selaku pemilik dan orang yang mempromosi produk tersebut memperkenalkan kepada masyarakat, akan menentukan kejayaan.

Ada pelbagai jenis ‘pembeli’ di luar sana. Ada yang hanya dengan sekali bercakap, dia terus mempercayai kata-kata tersebut. Ada juga pembeli yang mahu ditunjukkan bukti kebenaran kata-kata, dan ada juga yang perlu dipujuk berulang-ulang kali sebelum akhirnya pasrah, lalu membeli. Setiap kelompok ini ada cara dan kaedah-kaedah tersendiri.

Kita sebagai penjual, sebaik-baiknya melengkapkn diri dengan ciri-ciri untuk mengatasi ketiga-tiga kelompok di atas. Kelompok pertama, mudah untuk berbicara dengannya. Kelompok kedua pula akan melihat diri kita sebagai penjual dan menilai diri kita dengan kata-kata kita. Setelah benar-benar yakin dengan tindakan kita yang selari dengan kata-kata, baru mudah untuknya menerima seruan dan ajakan kita. Sebab itu, ditegaskan di dalam surah as-saff dengan ancaman daripada Allah yang bermaksud :-

”......... besar kemurkaan Allah ke atas orang yang mengatakan sesuatu yang tidak ia perbuat.”

Perbuatan kita dinilai oleh manusia. Begitu juga dengan penampilan. Sedikit sebanyak akan dinilai oleh manusia. Jadi, pastikan ’produk’ yang hendak kita jual itu telah kita rasai terlebih dahulu, dan ia memberi kesan kepada kita sebelum kita mempromosikan kebaikannya kepada orang lain.

Kelompok ketiga pula umpama batu yang pejal lagi keras. Air yang lembut tidak akan terus meninggalkan kesan lekuk keatasnya, tetapi titisan air yang berterusan pasti akan memberi kesan kepada hati yang sekeras batu itu. Yakinkan kepada mereka bahawa mereka sangat-sangat memerlukan produk ini. Kemudian, tunjukkan pula contoh-contoh kejayaan orang-orang terdahulu yang telah ’menggunakan produk’ tersebut. Lalu, disulam pula dengan kesan kepada diri kita selaku penjual. Jika masih belum mampu memujuknya, buktikan pula asal usul produk kita, siapa pemilik ’kilang pembuatannya’, dari mana kita mendapatkan bahan-bahan untuk membuat produk tersebut dll. Insyaallah, pujukan dan ajakan yang berterusan akan menyebabkan dia membeli produk kita, walaupun dalam keadaan terpaksa. Lama-kelamaan, apabila dia telah ’terbiasa’ mengamalkan produk tersebut, akan datang di dalam hatinya bahawa betapa bagusnya produk tersebut.

Itulah keperluan dalam berdakwah......

Dakwah bukan satu kehendak, tetapi satu keperluan....keperluan untuk setiap insan.

Sebagai mana solat itu bukan sahaja suatu kewajipan, tetapi ia adalah keperluan, seperti makanan, minuman, dan udara....

Allahu’lam.....


1 comment:

hanisah said...

huhu,,adalah awk tudung mawi and raihan...xth ek???