Saturday, March 28, 2009

aku ingin menulis lagi

sudah lama terpendam hasrat untuk aku kembali aktif menulis seperti dulu.
namun hasrat yang terpendam makin dalam terbenam...

tiada masa...

bukan persoalan ada atau tiada masa. masing-masing mempunyai masa. cuma bagaimana masa itu digunakanlah yang membezakan antara setiap individu

masa yang aku ada untuk menulis, hanya pada lewat malam, setelah waktu siangnya habis di tempat kerja. malamnya pula dengan aktiviti yang lain.

namun apabila bertembung hasrat untuk menulis dan juga keperluan untuk tidur,
aku sering kali akan memilih "lebih baik tidur"

tak seperti dulu. tidur dianggap perkara nombor dua. menulis lebih penting.
Hmm, entah mengapa sekarang aku merasakan, sangatlah rugi jika tidak dapat tidur pada waktu yang sepatutnya digunakan untuk tidur.

benarlah bahawa, Allah telah menjadikan waktu malam untuk hamba2NYA berehat.

jadi, tulisan kali ini hanya untuk memaklumkan bahawa, blog ini akan menjadi sepi kembali. sesepi pemilik hatii ini..

tapi Insyaallah, aku akan terus setia untuk menulis. cuma masanya belum tiba...insyaallah..

DOAKAN.....

Saturday, March 14, 2009

SATU PENGALAMAN

Pagi sabtu itu di kilang, sangat menyesakkan diri. Sudahlah aku perlu memikirkan perancangan setelah ‘mengambil alih’ tugas untuk menguruskan kem kepimpinan di sebuah sekolah. Petang hari sabtu tu pula, aku perlu ke Sungai Petani untuk mengikuti latihan dakwah lapangan LANDAS. Soal peserta masih belum selesai. Aku hanya mampu menguruskan pergerakan melalui telefon bimbit. Alhamdulillah, ada sahabat yang tolong menguruskan tentang perjalanan peserta.

Sebagai orang yang diberi tanggungjawab penuh untuk menguruskan program, pastinya kehadiran peserta sangat-sangat dititikberatkan. Bengkel 1, tentang teori latihan dakwah lapangan, alhamdulillah ramai yang menjadi peserta. Bengkel 2, pembentangan kajian isu, peserta makin berkurangan. Apabila tiba waktu untuk berpraktikal, angka terakhir malam sebelum itu ialah 8 orang sahaja dari USM dan Maktab perguruan Pulau Pinang yang dapat hadir. Tarikh tersebut bertembung dengan banyak program jamaah lain. Mujur bilangan peserta ditampung oleh sahabat-sahabat dari UUM.

Namun, pagi hari program di kilang, aku menerima SMS. 4 orang lagi menarik diri. Maksudnya hanya tinggal 4 orang dari USM. Sebagai orang yang bertanggungjawab, perkara tersebut sangat melemahkan semangat. Siri-siri bengkel yang diadakan, tujuannya adalah untuk praktikal. Namun apabila tiba hari praktikal, hanya 4 orang sahaja termasuk aku yang boleh hadir.

”batalkan sajalah progrm ni Kak Wardah.” aku memberitahu koordinator 2 SPAQ, yang turut termasuk dalam 4 orang peserta itu.

”eh, jangan Syam! Kita teruskan jugak dengan perancangan asal. Jangan putus asa. Tak apa. Kita teruskan.”

”Hmm, terpulanglah.” jawab aku dengan tak bersungguh.

Bagaimana aku nak beritahu sahabat dari UUM. Program ini, kami di USM yang rancang, tetapi peserta dari UUM pula yang lebih ramai.

” peserta dari USM hanya 4 orang. Saja nak bagitau. Takut terkejut pulak nanti tengok ’tentera badar’ yang kami hantar nanti.” aku menghantar SMS kepada wakil dari UUM.

’tentera badar’ yang aku maksudkan ialah pasukan yang kecil bilangannya, tetapi insyaallah bilangan yang sedikit itu, ada kualitinya.

Kekadang, kita sering memikirkan tentang kuantiti. Ya, tidak dinafikan kuantiti itu penting. Namun apabila kita terlalu bergantung kepada kuantiti, andai berlaku sesuatu yang tidak diduga dan kita kehilangan kuantiti yang diharapkan, kita akan rasa kecewa dan berasa tidak kuat.

Akhirnya aku pasrah. Mungkin juga kegagalan aku untuk menguruskan program dengan sebaiknya menyebabkan jumlah peserta hanya sebanyak yang ada sekarang.

Habis kerja, aku terus pulang ke rumah sewa untuk bersiap-siap ke Sungai Petani. Hendak dijadikan cerita, motor ’mati’ di tengah jalan. Hujan pulak mula turun mencurah-curah. Mungkin ujian Allah berikan untuk menguji sejauh mana kesungguhan dan keikhlasan dalam gerak kerja.

Berbicara tentang ikhlas, ia merupakan satu perkara yang sangat memberi kesan kepada setiap gerak kerja yang kita lakukan. Baik niat kita, baiklah juga perjalanan gerak kerja. Sebab itu, sebelum aku memulakan perjalanan ke Sungai Petani petang itu, aku terpaku di hadapan rumah.

”Ya Allah, seandainya kerja ini baik bagiku dan agamaku, mudahkanlah ia bagiku. Dan ikhlaskanlah niat ku dalam bergerak kerja.”

Pengalaman turun ke lapangan kali pertama, mungkin sedikit cacat pada niat dan tujuan. Entah di mana, tetapi sangat terasa bahawa ada cacatnya. Dan kecacatan itu memberi kesan kepada gerak kerja. Mulut aku seolah-olah terkunci mati, kaku di hadapan manusia yang ditemui walaupun pergi beramai-ramai. Mungkin alasannya itu kali pertama, tapi aku yakin bukan itu sebabnya. Mungkin terdetik niat hanya mahu suka-suka, hendak ’mengajar’ orang lain, merasakan diri lebih baik daripada orang lain....Allahu’alam. Semoga Allah mengampunkan dosaku sekiranya tersasar niat dan tujuan.

Aku sampai di sana tepat pada masanya. Peserta lain baru selesai mendengar taklimat daripada Ustaz Kamarudin. Mereka baru hendak bertolak ke Central Square (CS). Aktiviti lapangan pertama.

Kami naik ke tingkat 5 CS. Pawagam, video game, snooker dan ’karaoke jamban’ semuanya berada di sana. Kami bergerak ke tempat ’karaoke jamban. Setiap ’jamban’ penuh dengan manusia. Di luar pula ramai yang beratur menunggu giliran. Ada yang melalak tak tentu punca, ada pula anak gadis yang menari-nari, berjoget. Yang lebih ’membanggakan, semuanya MELAYU-ISLAM. Anak muda kita, saudara-saudara kita. Anak bangsa kita. Pilu rasanya hati melihat keadaan itu. Namun tak boleh untuk menyalahkan mereka 100%. Mungkin mereka tak tahu. Mungkin diri kita yang perlu dipersalahkan, kerana tidak pernah mengingatkan mereka.

Pergerakan agak tidak teratur. Ada yang masih di dalam kumpulan, dan ada yang bersendirian. Aku mendekati kumpulan pertama. Cara berpakaian mereka agak menarik perhatian aku. Cermin mata besar di muka, rambut terpacak di atas kepala.

”fesyen apa ni dik?” aku bertanya.

”Meet Uncle Hussin.” seorang rakan kepada yang ditanya menjawab.

Mereka datang dari Pulau Pinang. Ada yang masih bersekolah, ada juga yang sedang menunggu keputusan SPM. Tujuan mereka datang hanya untuk bersuka-suka. Teringat zaman muda aku dahulu. Aku juga keluar dengan kawan-kawan untuk menonton wayang, bermain bowling, bermain video game di pasaraya. Mana mungkin aku akan salahkan anak muda jika mereka keluar bersuka-suka dengan kawan-kawan. Cuma mereka perlu diingatkan bahawa masih ada tanggungjawab lain yang perlu juga diutamakan.

”adik ada join kumpulan mana-mana ka? Pelik semacam ja pakaian.” aku bertanya.

”eh, mana ada. Buat apa join. Mengarut ja semua tu.” lega apabila aku mendengar jawapan tersebut. Memandangkan Sungai Petani merupakan tempat yang popular untuk ‘membiakkan’ ‘jamaah-jamaah’ yang sesat, setiap remaja yang aku jumpa, aku akan bertanya soalan yang sama.

Aku turun ke tingkat 4 berseorangan. Terlalu sesak di atas sana. Bunyi muzik yang kuat menarik perhatian aku. Sampai di sana, sekumpulan anak muda sedang menari-nari. Shuffle, budaya baru di kalangan anak-anak muda. Memang muda. Umur baru mencecah 13 tahun sehingga 17 tahun. Aku meminta izin untuk merakam aktiviti mereka, sambil mencari-cari alasan untuk bercakap dengan mereka. Kononnya, sedang membuat liputan tentang aktiviti mereka.

Aku sempat menemuramah beberapa ahli kumpulan tersebut. Sekurang-kurangnya, dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang apa yang mereka lakukan.

”Dik ! mari sini kejap. Semua skali.” Selesai menemuramah, aku memanggil mereka semua berkumpul.

Bukan tujuan untuk memarahi, jauh sekali untuk menghalau balik. Bukan itu tujuan aku berjumpa mereka. Lagipun, apa yang mereka lakukan itu tidak salah pada pandangan aku. Cuma akan jadi salah apabila hanya itu yang berada dalam pemikiran setiap daripada mereka, sedangkan tanggungjawab lain diabaikan. Tanggungjawab sebagai orang islam, tanggungjawab sebagai anak, sebagai pelajar dan sebagai masyarakat. Perkara tersebutlah yang perlu diingatkan kepada mereka. Alhamdulillah, semua memberi respon yang baik.

Satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang mengaku sebagai dai’e ialah, setiap kali selesai melakukan gerak kerja yang melibatkan mad’u, berdoalah supaya Allah memberi hidayah kepada orang yang ditemui. Juga doakan supaya Allah kekalkan hidayah dalam diri kita, keluarga kita, sahabat-sahabat kita dan orang-orang yang berada di sekeliling kita.

Sebelah malamnya, kami berkumpul untuk sesi muhasabah. Masing-masing meluahkan rasa dan pengalaman bergerak kerja. Ramai juga yang baru kali pertama terlibat dengan aktiviti seperti ini. Pengalaman itu boleh dicari, yang penting ialah kemahuan dan kesungguhan.

Pukul 12 malam, kami sekali lagi melakukan aktiviti lapangan. Kali ini di sekitar TESCO Sungai Petani. Menurut Ustaz Kamarudin, kawasan tersebut menjadi tempat remaja melepak sambil minum arak. Pengalaman bertemu dengan sekumpulan anggota tentera muda yang sedang minum arak telah aku ceritakan dalam laporan sebelum ini (rujuk post di bawah).

Tamat gerak kerja malam itu, kami pulang semula ke masjid. Mengikut perancangan, hari berikutnya kami akan pergi ke bandar pada sebelah pagi. Memandangkan ahad ialah hari persekolahan di Kedah, akan ada remaja yang ponteng sekolah. Tetapi, sahabat-sahabat UUM juga tidak bercuti pada hari Ahad. Ustaz pula mempunyai program lain, maka tiada lagi aktiviti lapangan yang dilakukan.

Mungkin bukan rezeki untuk program kali ini. Insyaallah pada masa akan datang, kita akan anjurkan lagi program seumpama ini, dan mungkin di Pulau Pinang. Aku mahu sahabat-sahabat lain turut merasa ’keseronokan’ bertemu dengan saudara-saudara di lapangan. Saudara-saudara di luar sana sedang menanti-nanti akan ada orang yang sudi untuk mengingatkan mereka.

Tidakkah sahabat-sahabat sekalian mahu berjumpa dengan mereka ?????


praktikal LANDAS (laporan)

Latihan Praktikal dakwah lapangan diteruskan pada sebelah malam, selepas sesi muhasabah dan penerangan daripada Ustaz Kamarudin. Dalam slot muhasabah, para peserta menceritakan pengalaman turun ke lapangan pada sebelah petang di Central Square, Sungai Petani.

Kawasan sekitar Lagenda Park, Sungai Petani menjadi medan kepada para peserta mempraktikkan segala teori pada sebelah malam. Aktiviti remaja pada sebelah malam tertumpu kepada penggunaan arak secara terbuka. Penulis sempat bertemu dengan sekumpulan remaja sedang melepak sambil meminum arak.


Setelah mendapati terdapat botol arak berhampiran dengan remaja terbabit, penulis mengambil botol arak tersebut. Satu botol yang masih penuh dan satu botol telah habis diminum. Pada mulanya, remaja terbabit tidak mengaku arak tersebut milik mereka, tetapi apabila penulis bercadang mengambil botol terbabit, seorang daripada remaja tersebut mengaku miliknya dan mengambilnya daripada tangan penulis.

Penulis mula bersembang dengan remaja-remaja terbabit. Penulis bertanya mengapa mereka minum arak sedangkan masing-masing mengetahui hukum meminum arak adalah haram. Malah, seorang daripada remaja terbabit memberitahu kepada semua bahawa ibadah tidak akan diterima selama 40 hari jika kita meminum walau setitik arak. Persoalan hukum, semua sudah jelas. Tetapi mengapa mereka masih meminum arak? Penulis terus bertanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut perihal mereka semua.

“Kami dan kawan-kawan yang lain, sebelum masuk ke dalam tentera, semuanya baik, tidak tinggal solat, tidak minum arak. Tetapi selepas masuk ke dalam tentera, mula kenal perempuan, kenal arak, tinggal solat dan lain-lain.” Seorang remaja yang merupakan anggota tentera di salah sebuah kem latihan tentera membeitahu.

Keempat-empat remaja yang berumur antara 20-23 tahun terbabit merupakan anggota tentera yang datang dari kem-kem latihan yang berbeza. Mereka berkumpul pada hujung minggu untuk melepak bersama-sama. Apabila ditanya, mengapa mereka meminum arak, penjelasan yang diberikan mudah.

“Kami terpaksa membuat latihan yang keras di dalam kem. Apabila kami minum arak, badan kami akan rasa segar setelah bangun daripada tidur keesokan harinya.”

”tak mabukkah minum arak?” penulis bertanya apabila melihat label 35% alcohol tertera pada botol arak tersebut.

”kami tak minum sampai mabuk. Kalau mabuk, kami tak duduk sini lah. Dah lama kami ambil motor, pergi berlumba.” seorang remaja menjawab.

Penulis terus bertanya untuk mengetahui tentang masalah yang berlaku dalam kem tentera.

”ragging (buli) di dalam tentera merupakan perkara biasa. Kepala saya pernah dihantuk ke lantai, kemudian dipijak sehingga bengkak oleh senior. Kemudian, apabila ada junior yang masuk, kami pula akan melakukan perkara yang sama. Perkara ini akan berterusan.”

”tak boleh ubah kah cara dan pendekatan tu. Buat usrah ka, perbincangan agama sesama senior dan junior. Kita boleh buat kalau kita nak berubah kan?” penulis sengaja menduga remaja terbabit.

“ini tradisi. Memang tak ubah. Apa yang kami terima, kami buat pula dekat orang bawah.” seorang tentera memberi penjelasan.

”bagaimana pula dengan orang atasan. Mereka tidak peduli kah dengan kes-kes seperti ini? Takkan langsung tak peduli dengan semua ni.”

“pihak atasan? Kalau kami teruk, diorang lagi teruk. Arak ni, orang atasan siap ada pub sendiri. Bila kami minum, depa marah. Tapi depa sendiri buat, tak apa.” Agak keras remaja terbabit memberitahu penulis.

“orang atasan pun teruk, macam mana nak bagi elok orang bawah?” seorang lagi menambah.

“rasanya tak semua orang atas macam tu kan?” penulis mahu meredakan ‘kemarahan’ tentera tersebut. “masih ada yang baik. Kenapa tak ikut yang tu.”

“susah nak cakap.”

Penulis berhenti menyoal tentang perkara tersebut. Penulis mula mempersoalkan tindakan mereka meminum arak. Penulis memberitahu kepada mereka tentang keburukan meminum arak, lebih-lebih lagi arak yang diminum mengandungi peratus alkohol yang tinggi. Penulis juga mengingatkan mereka tentang tujuan manusia diciptakan oleh Allah.

”kita semua nanti akan mati. Takkan nak mati dengan cara ni?

Mereka tidak menjawab, sebaliknya seorang daripada mereka memberi satu soalan yang pelik.

”jika semua air di dunia ni tak ada, kecuali arak ni, hang akan minum tak?”

Penulis tidak menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya penulis mengatakan kembali kepada tentera yang bertanya tadi bahawa soalan tersebut hanya sebagai alasan untuk ’menghalalkan’ perbuatan mereka.

”anda merupakan baris hadapan negara sekiranya ada perkara yang tak diingini berlaku kepada negara. Tapi kalau barisan hadapan pun dah macam ni, bagaimana nak mempertahankan negara.”

Penulis sedikit kesal dengan keadaan tentera harapan dan kebanggaan negara terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral, lebih-lebih lagi mereka merupakan seorang muslim. Dan, apa yang mereka ceritakan kepada penulis tentang keadaan di dalam kem tentera menyebabkan penulis tertanya-tanya tentang kredibiliti tentera. Mungkin ini hanya sebahagian kecil sahaja. Penulis berharap begitulah keadaannya. Hanya sebahagian kecil...

Penulis tidak pernah memandang serong terhadap tentera, malah penulis begitu berbangga dengan tentera. Keluarga penulis sendiri ada yang pernah menjadi pegawai di dalam tentera. Namun, penulis masih beranggapan bahawa tidak sepatutnya perkara sebegini berlaku di dalam tentera.

Ramai yang maklum bahawa kebanyakan anggota tentera terdiri daripada orang melayu islam. Hal ini merupakan satu peluang kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membentuk mereka menjadi seorang muslim yang berkualiti.

Perkara yang dimaklumkan kepada penulis oleh anggota tentera yang penulis jumpa tentang perubahan sikap anggota tentera yang baru menyertai kem tentera bermula dari ’rumah bujang’ tentera. Di dalam rumah tersebut, para tentera bersama-sama dengan rakan-rakan mereka menerima ’tarbiyyah’ sebagai seorang tentera. Di sana, mereka mengenal dunia tentera, istilah ragging, mengenal arak, mengenal perempuan, dan mengenal segala-gala yang dikaitkan dengan tentera.

Perlu ada perubahan yang harus dilakukan kepada ’rumah bujang’ tersebut. Adakah sanggup kerajan melihat tentera-tentera yang ’dilahirkan daripada kem-kem tentera di seluruh negara menjadi tentera yang hanya kuat dan sihat dari segi fizikal, tetapi lemah, dan rosak dari segi rohani.

Sirah membuktikan bahawa kekuatan dalaman, keimanan dan keyakinan kepada Allah yang melahirkan dan menghasilkan kekuatan fizikal.

Tentera Badar yang serba kekurangan dari sudut kuantiti dan juga kelengkapan mampu mengalahkan tentera musyrik yang berjumlah seribu orang. Tentera Talut yang terlalu sedikit bilangannya berbanding tentera si kafir Jalut mampu mengalahkan lawannya. Semua ini berpunca daripada kekuatan ’dalaman’. Malah kekuatan dalaman ini juga mampu mengundang pertolongan daripada Allah sebagaimana yang berlaku kepada para pejuang di Palestin.

PIHAK BERKUASA

Amat memalukan sekiranya ayat ini keluar dari mulut orang bawahan:

”Orang atas pun teruk, macam mana nak jadikan orang bawah baik?”

Tidakkah pihak yang bertanggungjawab merasa ’terpukul’ dengan kata-kata tersebut.

Suka penulis ingatkan bahawa para tentera merupakan ’benteng hadapan’ negara. Jika benteng hadapan sudah ’rapuh’, bagaimana pula mahu menjaga segala isi negara? Amanah yang diberikan oleh Allah untuk menjadi pemimpin, memimpin sebuah organisasi, persatuan mahupun kerajaan bukanlah untuk menjaga kepentingan diri. Malah pemimpin perlu menggunakan ’kuasa’ yang diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan bumi Allah dengan syariatNYA. Nilai-nilai islam perlu diterapkan dalam segenap lapisan masyarakat. Pemimpin, golongan atasan, golongan pertengahan, mahupun golongan bawahan perlu dididik dengan nilai-nilai islam. Sudah jelas masalah yang berlaku di depan mata, namun pemimpin masih lagi mampu membutakan mata, membiarkan kemaksiatan berlaku.

Penulis tidak mengatakan bahawa pemimpin atau pihak atasan perlu sama untuk turun ke lapangan berjumpa dengan golongan-golongan bermasalah. Penulis yakin, para pemimpin mempunyai bebanan dan tanggungjawab tersendiri untuk membolehkan mereka dapat bersama-sama turun dan bergelumang dengan golongan bawahan, walaupun yang demikian merupakan perkara terbaik sekiranya dapat dilakukan. Namun, penulis sangat berharap agar pemimpin, dengan kuasa yang diberikan mampu untuk menyumbang dari sudut bantuan dan sokongan, kewangan dan peruntukan, serta menggerakkan badan-badan dan organisasi yang berkaitan untuk sama-sama ’menziarahi’ golongan bermasalah dalam masyarakat. Penulis sebagai seorang remaja merasa sangat sedih dan terkilan melihat golongan yang memenuhkan pusat-pusat hiburan serta yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral adalah di kalangan remaja MELAYU-ISLAM.

Tidak ramai orang yang mahu melakukan aktiviti seperti ini. Berjumpa dengan golongan bermasalah, mengambil tahu tentang masalah dan latar belakang mereka, lalu cuba memberi nasihat dan membantu menyelesaikan masalah tersebut. Sudahlah kuantitinya sedikit, tidak pula diberi sokongan dari sudut bantuan kewangan dan kemudahan.

Bukanlah niat penulis hendak ’merayu’ memohon bantuan daripada pihak berkuasa dan pemimpin. Namun, ketiadaan bantuan sedikit sebanyak membantutkan usaha yang murni ini. Perkara sebegini berpotensi untuk lebih dikembangkan lagi dengan adanya sumbangan dan sokongan daripada pihak berkuasa.

MASYARAKAT

Sejauh mana masyarakat pada hari ini cakna dan mengambil peduli terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Penulis tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Malah penulis juga, hanya mampu untuk mengambil inisiatif berjumpa dengan saudara-saudara seagama yang bermasalah apabila berada dalam program. Jika pada hari-hari yang biasa, mungkin penulis juga termasuk dalam golongan kelompok masyarakat yang tidak peduli tentang masalah di sekeliling mereka.

Alasannya, dia bukan anak aku. Dia bukan saudara aku. Aku tak kenal pun dengan orang itu, mengapa harus aku peduli apa yang dia hendak buat? Jangan suka menjaga tepi kain orang.

Dalam masalah ini, bukan soal menjaga tepi kain orang, tetapi menjaga kain di badan sendiri, kerana Rasulullah pernah bersabda, yang membawa maksud:

"Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidah (lisan dan penulisan), jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati (membenci perbuatan tersebut). Yang demikian itu merupakan selemah-lemah iman."

Jelas, mengambil peduli masalah orang lain bukannya menjaga tepi kain orang, tetapi menjaga diri sendiri daripada termasuk dalam golongan orang yang tidak beriman. Mati tanpa iman, tempatnya di dalam neraka. Jadi, soal siapa kalau bukan soal diri sendiri?

Aku tiada ilmu. Aku bukan ustaz dan ustazah. Aku pun masih belum sempurna. Adakah ini akan dijadikan alasan di hadapan Allah untuk tidak bersama-sama mengambil tahu keadaan masyarakat dan kemudian berusaha untuk sama-sama membanterasnya?

Rata-rata peserta yang terlibat dalam program latihan dakwah dalam masyarakat ini bukanlah mempunyai latar belakang pendidikan agama, malah ada yang masih baru hendak ‘berjinak-jinak’ dengan agama. Kemahuan itu yang penting. Kemahiran dan ilmu boleh diasah dan dipertingkatkan. Jika hendak menunggu diri menjadi sempurna, penulislah orang yang paling tidak layak untuk berada bersama-sama mereka.

PARA GURU / ORANG AGAMA / PENDAKWAH

Golongan pendidik, para guru dan ustaz/ustazah merupakan golongan yang paling hampir dengan remaja, selepas ibu bapa mereka. Mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan para remaja yang menjadi anak didik mereka.

Seorang guru juga perlu bertindak sebagai pendidik atau murabbi. Seorang pendidik bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga cuba menjadikan ilmu yang disampaikan itu berguna. Seorang guru juga merupakan seorang kaunselor. Seorang guru juga merupakan ibu dan bapa. Rasulullah merupakan contoh seorang guru. Baginda tidak hanya menyampaikan ajaran, tetapi mendidik masyarakat serta umatnya mengikut segala isi kandungan ajarannya.

Tetapi, apa akan terjadi kepada anak murid sekiranya seorang guru itu hanya melihat kerjanya meyampaikan ilmu yang berada di dalam buku? Samalah seperti pelajar bukan islam yang belajar subjek agama islam dan mampu mendapat skor A di dalam subjek pendidikan islam, tetapi langsung tidak dapat menghayati isi kandungan islam tersebut.

Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ‘kuliah ilmu’, tetapi juga membimbing anak bangsa mengenal makna serta hakikat diri mereka diciptakan oleh Allah.

Tetapi, para guru terlebih dahulu harus mampu menjadi contoh teladan dan role model kepada anak-anak muridnya. Jangan pula guru menjadi lebih teruk daripada anak murid. Guru bukanlah satu ‘kerjaya’ tetapi merupakan satu ‘tanggungjawab dan amanah’.

Begitu juga dengan para ustaz/ustazah. Andalah sumber ilmu agama kepada anak-anak bangsa. Apa salahnya keluar sedikit daripada silibus agama yang hanya mampu melahirkan seorang muslim yang TAHU tentang islam, tetapi tidak MAHU kepada islam.

Penulis berasa berat hati sebenarnya untuk menulis sesuatu yang seolah-olah mahu ‘menegur’ para guru dan ustaz/ustazah. Bukanlah niat penulis mahu mengajar golongan yang paling penulis hormati dan sanjungi selepas ibu bapa, tetapi sekadar mahu menyampaikan hasrat di dalam hati penulis, kerana antara kelompok yang ditemui semasa latihan diadakan merupakan bakal pendidik anak bangsa. Malah, realiti di Universiti, bakal-bakal pendidik anak bangsa inilah yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang kurang bermoral, tidak mahu bersama-sama dengan kelompok yang mahu melihat islam dimartabatkan, malah menjadi golongan yang cuba menentang. Allahu’lam, jika penulis tersilap. Namun itulah hakikat dan realitinya bakal-bakal pendidik anak bangsa. Maaf sekiranya ada di kalangan para guru dan bakal guru yang terasa hati dengan apa yang penulis cuba sampaikan.

IBU BAPA / KELUARGA

Tiada guru yang lebih baik daripada ibu bapa.

Semasa menjalankan gerak kerja di lapangan, kumpulan kami berjumpa dengan seorang bapa yang mendapat tahu anaknya datang ke Central Square, lalu bergegas ke sana untuk mencari anak gadisnya itu. Anak gadis itu akhirnya pulang ke rumah setelah tidak henti-henti dihubungi oleh bapanya. Hasil tindakan segera dan ambil peduli bapa itu menyebabkan anak itu merasakan dirinya sentiasa dikawal, lalu gerak gerinya juga akan terkawal. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak peduli ke mana dan dengan siapa anak mereka keluar. Buktinya, seorang sahabat memberitahu bahawa ada seorang anak muda lelaki yang keluar bersama-sama dengan kawannya, seorang perempuan. Apabila ditanya, adakah ibu bapanya maklum tentang kedatangannya ke pasaraya tersebut, dia menjawab ibu bapanya tahu. Malah tahu dia keluar dengan perempuan. Namun, apa tindakan ibu bapa anak muda tersebut?

Apabila tertanam dalam benak pemikiran ibu bapa bahawa perkara-perkara tersebut bersifat “tidak apa”, maka anak-anak juga merasakan “tidak apa” untuk melakukan apa-apa sahaja, dengan alasan ibu bapanya tidak kisah.

Penulis bukan seorang bapa untuk memberi komen tentang tanggungjawab ibu bapa. Masa depan yang lebih mencabar pastinya akan penulis hadapi pada masa akan datang. Cuma, penulis risau dengan sikap segelintir ibu bapa yang langsung tidak mengambil peduli perbuatan dan tindakan anak-anaknya. Perkara sebegini akan melahirkan generasi yang terus menerus tidak peduli tentang apa yag bakal berlaku kepada sesiapa pun.

INDIVIDU.

Penulis berada di dalam kelompok ini. Dan setiap daripada kita juga berada di dalam kelompok yang sama.

Apabila ada istilah ‘dakwah’, pastinya di sana terdapat juga istilah mad’u (sasaran dakwah) dan juga dai’e (pendakwah). Penulis cuba fokuskan tentang DAI’E. Hakikatnya, kita semua merupakan dai’e kerana kita merupakan ummat Nabi Muhammad dan bukannya ummat Nabi Musa. Amanah dakwah telah terpikul di bahu masing-masing. Cuma sama ada kita sedar atau tidak, itulah yang menjadi persoalan.

Dakwah dapat dijalankan dengan pelbagai pendekatan. Turun berjumpa masyarakat di lapangan merupakan salah satu kaedah daripada berbagai-bagai kaedah. Menyedari hal tersebut, hampir tiada alasan untuk setiap daripada kita mengelak daripada menjalankan amanah dakwah tersebut. Penulis juga sebagai ‘pendakwah’, tidak pernah memikirkan bahawa penulis mahu ‘mengajar’ orang semasa melakukan gerak kerja. Tetapi, lebih kepada saling ingat mengingati. Penulis sering memberitahu orang yang penulis temui, bahawa tujuan penulis bukan untuk mengajarnya, tetapi untuk mengingati diri penulis sendiri, sambil mengingatkan orang lain. Dan penulis juga memberitahu bahawa adalah menjadi tugas mereka untuk mengingatkan kembali diri penulis sekiranya mereka melihat penulis melakukan sesuatu yang dimurkai Allah. Itulah konsep “fazakkir” yang diajar dalam islam.

Apabila kita pergi dengan membawa pemikiran ‘mahu mengajar’ orang lain, hal itu yang menyebabkan kita melihat tugas kita itu terlalu besar sehingga kekadang membantutkan niat dan tujuan asal, kerana tidak mampu melakukan perkara yang ‘besar’ tersebut. Tegurlah dengan niat menegur diri sendiri. Betulkan orang lain, dengan hasrat mahu membetulkan diri sendiri. Ingatkan masyarakat dengan harapan dapat mengingatkan diri sendiri. Insyaallah, itulah yang akan mendorong kita untuk terus berada pada jalan ini.

PENUTUP

Segala catatan di atas merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis memohon maaf sekiranya tulisan yang mewakili kata-kata penulis di atas kurang disenangi oleh mana-mana pihak. Penulis tidak bercadang untuk menyakitkan hati dan perasaan sesiapa. Sekadar mahu betulkan diri jua.

Allahu’alam..

-HISYAMUDDIN BIN KAMARUDIN-
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM),
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)
a.k.a
Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM)


JUAL UBAT.....

Sambil bersantai menghayun buaian baby Madihah, aku sempat menonton rancangan Wanita Hari Ini, dalam slot Busana Muslimah. Fesyen yang diperkenalkan hari ini ialah tudung. Apa nama tudung, entah lah. Sekarang ni, macam-macam fesyen tudung ada. Tudung bawal, tudung Wardina, tudung Shila Rusly, tudung Ekin. Nasib baik belum ada tudung Mawi dan Raihan.

Bukan fesyen tudung yang ingin aku bincangkan di sini. Cuma terdetik di hati untuk menulis apabila aku mendengar promoter tudung itu berkata :

“saya rasa lebih selesa apabila bertudung daripada dahulu sewaktu tidak bertudung.
Allahu’lam, mungkin dia mahu mengatakan tudung yang hendak dijualnya itu sangat selesa dipakai atau apa-apa kemungkinan. Yang penting, dia telah bertudung

Sedikit berubah wajah pengacara yang mengacarakan perbincangan tersebut, memandangkan kedua-duanya tidak bertudung.

Mungkin sama situasi kedua-dua pengacara tersebut dengan seorang yang berbadan gempal mempromosi ubat kurus. Heboh satu pasar mendengar suaranya mempromosi ubat kurus. Orang yang tercari-cari produk tersebut bergegas mencari dari mana suara itu datang. Namun, apabila sampai di tempat yang dituju, terbatal niatnya untuk mendengar penjelasan penjual tersebut, apatah lagi hendak membeli produk yang ‘berguna’ kepadanya..

Cuba kita kaitkan dengan diri sebagai seorang muslim a.k.a dai’e, kerana setiap muslim itu memegang amanah sebagai dai’e.

Kita mempunyai satu ‘produk’ yang sangat baik dan sangat berguna. Produk kita bukan produk kehendak, tetapi merupakan produk keperluan. Produk kita itu ialah ISLAM. Kita juga mempunyai pelanggan yang mahukan dan memerlukan produk tersebut. Malah sangat ramai yang hendakkan produk yang kita miliki ini. Cuma bagaimana kita selaku pemilik dan orang yang mempromosi produk tersebut memperkenalkan kepada masyarakat, akan menentukan kejayaan.

Ada pelbagai jenis ‘pembeli’ di luar sana. Ada yang hanya dengan sekali bercakap, dia terus mempercayai kata-kata tersebut. Ada juga pembeli yang mahu ditunjukkan bukti kebenaran kata-kata, dan ada juga yang perlu dipujuk berulang-ulang kali sebelum akhirnya pasrah, lalu membeli. Setiap kelompok ini ada cara dan kaedah-kaedah tersendiri.

Kita sebagai penjual, sebaik-baiknya melengkapkn diri dengan ciri-ciri untuk mengatasi ketiga-tiga kelompok di atas. Kelompok pertama, mudah untuk berbicara dengannya. Kelompok kedua pula akan melihat diri kita sebagai penjual dan menilai diri kita dengan kata-kata kita. Setelah benar-benar yakin dengan tindakan kita yang selari dengan kata-kata, baru mudah untuknya menerima seruan dan ajakan kita. Sebab itu, ditegaskan di dalam surah as-saff dengan ancaman daripada Allah yang bermaksud :-

”......... besar kemurkaan Allah ke atas orang yang mengatakan sesuatu yang tidak ia perbuat.”

Perbuatan kita dinilai oleh manusia. Begitu juga dengan penampilan. Sedikit sebanyak akan dinilai oleh manusia. Jadi, pastikan ’produk’ yang hendak kita jual itu telah kita rasai terlebih dahulu, dan ia memberi kesan kepada kita sebelum kita mempromosikan kebaikannya kepada orang lain.

Kelompok ketiga pula umpama batu yang pejal lagi keras. Air yang lembut tidak akan terus meninggalkan kesan lekuk keatasnya, tetapi titisan air yang berterusan pasti akan memberi kesan kepada hati yang sekeras batu itu. Yakinkan kepada mereka bahawa mereka sangat-sangat memerlukan produk ini. Kemudian, tunjukkan pula contoh-contoh kejayaan orang-orang terdahulu yang telah ’menggunakan produk’ tersebut. Lalu, disulam pula dengan kesan kepada diri kita selaku penjual. Jika masih belum mampu memujuknya, buktikan pula asal usul produk kita, siapa pemilik ’kilang pembuatannya’, dari mana kita mendapatkan bahan-bahan untuk membuat produk tersebut dll. Insyaallah, pujukan dan ajakan yang berterusan akan menyebabkan dia membeli produk kita, walaupun dalam keadaan terpaksa. Lama-kelamaan, apabila dia telah ’terbiasa’ mengamalkan produk tersebut, akan datang di dalam hatinya bahawa betapa bagusnya produk tersebut.

Itulah keperluan dalam berdakwah......

Dakwah bukan satu kehendak, tetapi satu keperluan....keperluan untuk setiap insan.

Sebagai mana solat itu bukan sahaja suatu kewajipan, tetapi ia adalah keperluan, seperti makanan, minuman, dan udara....

Allahu’lam.....


Friday, March 6, 2009

KELIRU....

Hari ini aku tak bekerja. Ambil cuti.

Kepala rasa agak berpinar-pinar. Tekak pula seperti dihiris dari dalam. Entah lah. Mungkin ‘penangan’ nasi kerabu semalam.

Alang-alang cuti, aku bercadang untuk siapkan tugasan-tugasan yang belum selesai. Sebelum tu, aku perlu pergi ke klinik untuk mendapatkan MC. Aku pergi ke Klinik USM. 2 jam menunggu giliran. Rugi rasanya masa.

Sebelum berjumpa dengan doktor, terlebih dahulu perlu berjumpa dengan pembantu kesihatan.

“ada masalah apa?” aku ditanya.

Lalu aku menjelaskan keadaan diri. Aku meminta pembantu kesihatan tersebut memeriksa tekanan darah. Lalu aku menceritakan tentang keadaan tekanan darah yang rendah semasa pemeriksaan yang lepas.

Katanya, bacaan tersebut tidak boleh dijadikan ’hujah’ untuk mengatakan bahawa seseorang itu sakit, mendapat tekanan darah tinggi atau rendah dll. Katanya, bacaan darah kita boleh berubah berkali-kali dalam sehari. Untuk menentukan bahawa seseorang itu ’sakit’ dan sebagainya, mestilah berdasarkan bacaan yang diambil berkali-kali, serta bacaan yang tetap.

Setiap orang mempunyai bacaan tekanan darah yang berbeza. Tidak semestinya bacaan yang rendah menunjukkan tahap kesihatan yang rendah. Terpulang kepada keadaan seseorang itu. Juga bergantung kepada aktiviti yang dilakukannya.

”kekadang, ada doktor dan pegawai kesihatan yang terus memberitahu pesakit berdasarkan bacaan awal. kemudian, orang akan terus percaya bahawa dia telah sakit.” pembantu kesihatan yang membahasakan dirinya sebagai makcik itu memberitahu aku.

Tak cukup tidur....

Makcik tersebut memberitahu. ”jika tidak cukup tidur pada waktu malam, pastikan sempat untuk berehat sebentar semasa tengah hari. Cukup sekadar bersandar dan pejamkan mata selama 10 minit. Pulang kerja, dan selesai solat, terus ambil makan malam. Kemudian letakkan kepala sebentar. Insyaallah, malam boleh teruskan kerja.”
Nasihatnya kepada aku, selepas aku menceritakan keadaan aku.

Hampir 15 minit kami bersembang, semunya berkisar tentang kesihatan.

Bukan keadaan diri yang hendak aku beritahu. Insyaallah sihat selalu. Cuma aku masih keliru dengan perbezaan ’cerita’ yang disampaikan oleh kedua-dua orang yang berada di dalam bidang yang sama.

Bila aku bertanya kepada Doktor Nina, doktor yang memeriksa kesihatan aku, jawapannya sama seperti makcik tadi.

Pegawai kesihatan yang datang ke kilang tempoh hari, mewakili sebuah makmal kesihatan, Syarikat yang menyediakan perkhidmatan Full Screening Test dll yang berkaitan dengan kesihatan. Syarikat swasta, semestinya perkhidmatannya berbayar.
Makcik tersebut memberitahu, mereka datang atas tujuan bisnes, jadi penerangannya juga untuk bisnes. Hmm, begitulah lebih kurang.

jika tiada ilmu, orang akan mudah percaya, walaupun bukannya suatu penipuan mutlak, tetapi sebenarnya bukan juga satu kebenaran yang mutlak. makcik tadi menasihatkan supaya mengambil tahu tentang perkara yang berkaitan dengan kesihatan. baca artikel-artikel yang ditulis oleh para pengkaji dll.

Hmmm, tak rugi rasanya aku 'ponteng' hari ni.

Tiada apa yang hendak dikomen....

Jika ada sesuatu yang boleh diperoleh, ambillah. Jika tiada apa-apa, jadikan ia sekadar bahan bacaan tambahan saja..

Allahu’alam...


Wednesday, March 4, 2009

DAKWAH NO. 1, AKADEMIK BUKAN NO2..KESIHATAN NO. BERAPA ??

“110 / 58…. Wah !! You mesti tak cukup tidur.” pegawai kesihatan yang datang ke kilang untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma terkejut melihat bacaan tekanan darah aku.

Kemudian dia menjelaskan tentang bacaan tekanan darah tersebut.

”120/80 ialah bacaan normal. Paling tinggi boleh sampai 130/90. dan paling rendah pun dalam 110/70. tapi You punya bacaan 110/58. sangat rendah looo..”

”hehehe..” aku sekadar mampu tertawa dalam kerisauan. Tak sangka pulak sampai macam tu.

Bahaya looo. You boleh pengsan kalau macam ni. You Ok ka ?? lelaki cina tersebut bertanya.

“OK saja. Sebelum ni, kalau saya check darah, OK saja. Dalam 120/80 lebih. Sejak kebelakangn ni, saya sibuk sikit. Selalu tidur lewat. Ada kerja ma !!

Aktivis gerakan islam pasti biasa mendengar ‘ayat penyedap hati’ ini.

“DAKWAH NO. 1, AKADEMIK BUKAN NO. 2”

Ya.!! Sepatutnya memang seperti itu. Malah akademik juga seharusnya menjadi agenda dakwah. Soal akademik jatuh, tidak sepatutnya disalahkan gerak kerja dakwah. Seharusnya diri sendiri yang harus dipersalahkan. Namun aku tidak mahu memperkatakan tentang itu.

Jika kemerosotan akademik dilihat satu isu yang penting oleh jamaah, bagaimana pula dengan kesihatan para aktivis jamaah? Adakah tidak harus dipandang sama tarafnya seperti akdemik dan kebajikan yang lain.

Jadi.. KESIHATAN NO. BERAPA ???

Salah sendiri atau salah siapa, aku tidak tahu. Namun, soal kesihatan ahli gerakan, terutamanya para pimpinan seolah-olah dipandang remeh.

Seorang sahabat pernah berkata :-

“kita di peringkat pimpinan harus mampu bertahan dalam mesyuarat sehingga jam 5 pagi.”

Ya. Kita orang muda. Memang mampu bertahan walaupun tidak tidur semalaman. Tetapi harus diingat, kesannya bukan sewaktu kita muda, tetapi apabila kita telah meningkat dewasa. apabila menjelang hari tua.
Pernah berlaku kepada seorang sahabat nabi. Beliau mengatakan bahawa beliau tidak mahu tidur untuk beribadah sepanjang malam dan mahu berpuasa setiap hari. Rasulullah melarangnya melakukan yang demikian, tetapi beliau tidak mahu mendengar nasihat tersebut. Akhirnya apabila beliau sudah meningkat usia tua, beliau langsung tidak dapat melakukan ibadah kerana kesan daripada ‘kerja kuat’ sewaktu muda.

Selepas rawatan kesihatan tempoh hari, pegawai kesihatan memaklumkan bahawa hati kita berehat antara pukul 11 malam – 3 pagi. Hati hanya akan ‘berehat’ jika individu tersebut dalam keadaan tidur. Tidur lewat menyebabkan hati tidak dapat berehat, lalu akan merembeskan enzim yang akan menyebabkan kecederaan pada hati.

Hmmm, sangat menakutkan apabila aku mendengar kenyataan tersebut. Biasanya, pukul 3 pagi, baru aku mula berbaring di atas katil. Malah, perlu bangun awal untuk solat subuh. Maksudnya, hati aku tak pernah sempat untuk berehat.

Aku masih ingat, bos pernah berkata :-

“you yourself don’t need the sleep, but your body need it.”

Jadi, kepada para aktivis gerakan dakwah sekalian, anda merupakan aset yang berharga kepada agama. Jangan pula kerana masalah kesihatan, kerja-kerja dakwah menjadi terhenti di tengah jalan.

Kepada pimpinan gerakan dakwah. Mungkin anda patut mengubah apa yang diamalkan sekarang. Kurangkan mesyuarat sehingga lewat malam. Dan jangan amalkan makan makanan yang berat pada waktu pagi. Menjadi kebiasaan untuk singgah di kedai-kedai makan selepas tamat mesyuarat.

Seorang ustaz penggerak dakwah di Penang sudah mula merasa ’penangan’ akibat selalu singgah ke gerai nasi kandar setiap kali habis gerak kerja sehingga awal pagi.

Sekadar mengingatkan sahabat-sahabat, terutamanya diri aku sendiri.....

Jika kita tidak mahu memikirkan tentang diri sendiri, fikirkan sama tentang orang lain yang berada di sekitar kita. Bos aku kata, kita perlu sihat untuk orang lain. Jika kita sakit, macam mana kita nak menyumbang untuk orang lain? (asyik-asyik bos yang cakap)

So... lepas-lepas ni, mesyuarat jangan habis lambat sangat ya ????
( sekali sekala tu, OK la...)


P/s :- artikel ni siap ditulis pada pukul 2.40 pagi... hehehe.
( sambil-sambil buat kerja la..urgent !!...)


http://www.healthoscope.org/if-you-dont-sleep-well-you-may-be-damaging-your-liver.php

http://livetolearntolive.blogspot.com/2005/05/take-care-of-mr-liver.html