Monday, September 27, 2010

Itulah kita, manusia...

Petang itu, ketika pulang dari kilang, hujan turun di sepanjang perjalanan. Mujur ada selapis baju hujan yang melindungi. Jam sudah hampir pukul 7 malam. ketika hampir sampai ke rumah, lebih kurang 2 kilometer, motorsikal tiba-tiba mati dek kerana dimasuki air ketika meredah becak dan dihentam percikan air oleh kenderaan lain.

Aku berhenti di tepi jalan. Tanpa berfikir panjang, aku lantas menyeluk poket mengambil telefon bimbit lalu segera menelefon bapakku yang berada di rumah. Aku meminta bapakku datang membantu; menunda dengan motorsikal. Bapakku kata dia tidak cekap menolak menggunakan kaki untuk menunda motorsikal, dicadangnya supaya aku diambil dengan kereta dan tinggalkan motorsikal di tepi jalan. Aku menolak cadangan itu, lantas aku mengambil keputusan untuk menolak saja motorsikal pulang ke rumah. Hatiku sedikit kurang senang kerana tidak dapat dibantu. (tetapi aku tahu, bapakku pasti datang; rasa bersalah kerana telah menyusahkannya dan hanya pentingkan diri sendiri.)

Aku terus menolak motorsikal; kira-kira seminit meredah hujan, seorang pakcik datang berhenti. Dia menawarkan diri untuk membantu dan aku bersetuju. Dia terus menunda motorsikalku menggunakan kaki sampai ke pintu pagar rumah. Dalam perjalanan tadi, aku terserempak dengan bapakku yang bergegas menaiki motorsikal meredah hujan mahu membantu, tetapi dia berpatah balik selepas melihat kelibat kami. (hati rasa semakin bersalah kerana telah menyusahkannya.)

Sampai di rumah, aku berfikir berkali-kali tentang peristiwa sebentar tadi.

1) Sebaik saja ditimpa musibah, kita terus mahu mencari manusia untuk meminta pertolongan. Padahal sebenarnya manusia tak selalu dapat membantu. Sebaliknya, ketika aku pasrah mahu menolak motorsikal meredah hujan, ALLAH yang telah membantu diriku dengan menghantar seseorang untuk menolong, padahal aku tidak pernah meminta pertolongan orang itu (juga tidak meminta tolong daripada Allah ketika terkena musibah.)
- kita lebih mengharapkan pertolongan manusia daripada pertolongan ALLAH, sedangkan Allah sebaik-baik pemberi pertolongan.

2) Walaupun diri ini tak pernah terlepas daripada dosa dan kesalahan yang berulang-ulangkali, tapi Allah terus memberi pertolonganNYA walaupun sebenarnya diri ini tak layak menerima 'layanan' sebegitu'. Tandanya Allah itu sentiasa dekat dengan hambaNYA. Kita saja yang selalu lupa tentang hal tersebut.

3) Kita sering mengaku Allah itu 'Cinta Pertama'; tetapi apabila berlaku musibah, ditimpa masalah, mendapat susah, kita tidak terus mengadu dan meminta daripada 'Cinta Pertama' itu, sebaliknya kita mencari 'cinta lain' terlebih dahulu. Setelah berputus asa, tidak dapat selesaikan masalah, buntu, tersekat di pertengahan jalan, baru kita kembali teringat untuk meminta kepada 'Cinta Pertama'. Sedar atau tidak, itulah kita, manusia.

2 comments:

Teratai Biru said...

entah kenapa, saya terkesan dengan entri ini.


jzkk penulis.

salam ziarah

Anonymous said...

tulisan yang menyentuh kalbu...muhasabah diri dan cinta padaNya..