Wednesday, February 18, 2009

dakwah lapangan..

"zaman sekarang ni dik, kalau nak berjaya, arak tak boleh nak lepas. cakap saja siapa. artis ? semuanya minum, artis *&^% minum, artis #$%% pun minum. siapa lagi? sultan?minum jugak"

“Bila terpaksa berhubung dengan orang luar, mahu tak mahu terpaksa minum.”

Demikian serba sedikit kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang penolong pengurus bahagian ’Food and beverage’ di salah sebuah hotel di Pulau Pinang, yang juga merupakan orang pertama yang kami dekati dalam aktiviti LANDAS sempena valentine’s Day pada awal pagi Ahad lepas. Kata-kata ini bukan dinyatakan oleh seorang yang tidak mengenal Allah, tetapi oleh seorang muslim, walaupun dia secara individu tidak meminum arak. Namun kata-katanya seolah-olah untuk berjaya di dalam bisnes dan kerjaya, tidak mengapa untuk meminum arak.

Hari sabtu: sebaik sahaja pulang dari tempat kerja, aku terus bergegas ke rumah Tok Mid di Kampung Dodol, Pulau Pinang untuk berjumpa dengan mak yang turut hadir ke kenduri kesyukuran. Hanya sempat untuk makan, aku terus bersiap sedia untuk ke masjid USM, untuk berkumpul bersama-sama peserta lain. Destinasi kami ialah Queensbay Mall.

14 Februari merupakan hari memperingati kekasih. Sempena tarikh tersebut, aku bersama-sama sahabat yang lain menjalankan aktiviti menyebarkan risalah berkenaan Valentine’s Day kepada para pengunjung muslim yang mengunjungi Queensbay Mall, anjuran NGO islam Pulau Pinang dan Jabatan Mufti Pulau Pinang. Selesai solat asar di sana, kami diberi taklimat tentang aktiviti tersebut, dan kemudian memulakan operasi.

Akitiviti bukan sekadar menghulurkan risalah sambil tersenyum, tetapi perlu disertai dengan bicara.

”assalamualaikum, abang. Maaf mengganggu. Kami dari NGO islam Pulau Pinang ada buat kempen hari ini. Abang tau kan hari ni hari apa? Ya, Valentine’s Day. Jadi kami datang ni nak sampaikan sedikit penerangan tentang valentine’s day tu sendiri. Kekadang orang islam kita dok sambut, tapi depa tak tau asal usul perayaan ni. Jadi dalam risalah ni ada terang sikit pasal tu. Insyaallah bang boleh baca dulu. Terima kasih...!!!”

Lebih kurang macam tu skrip yang aku sampaikan kepada orang yang diserahkan risalah tersebut. Tak cukup sekadar menghulurkan sebenarnya. Kita perlu terangkan serba sedikit tentang apa yang hendak diberi, supaya timbul minat untuk mereka membaca risalah yang diberi. Dan daripada pembacaan tersebut, dengan izin Allah, mereka diberi kesedaran.

“Hmm, pakcik tak sambut valentine day tu. Anak muda sekarang ni lah yang dok sambut. Tak pa lah.” seorang pasangan suami isteri yang agak veteren menolak untuk menerima risalah tersebut.

”Ya, saya tau pakcik tak sambut. Tapi yang risaunya, anak muda zaman sekarang.. Mungkin pakcik dan makcik boleh terangkan dan sampaikan dekat anak-anak pakcik dan makcik.” aku membalas.

”Hmmm, dah bagi tau. Depa bukan nak dengaq pun cakap orang tua.” makcik tersebut pula menyambung.

Alhamdulillah, sebanyak 500 helai risalah berjaya diedar termasuk risalah tentang ciri-ciri ajaran sesat. Respon yang diterima daripada pengunjung agak memberansangkan. Di sana sini kelihatan, pengunjung muslim memegang risalah tersebut. Ada di kalangan anak muda yang membaca sambil berjalan. Sejuk rasa hati. Semoga semua mendapat manfaat daripada risalah tersebut.

Selesai program lebih kurang pukul 7 malam, aku terus menuju sekali lagi ke rumah Tok Mid aku. Sempat makan sekali lagi, sebelum aku bergegas pula ke masjid Sungai Nibong untuk berkumpul untuk aktiviti seterusnya, iaitu LANDAS atau latihan aktivis dakwah lapangan isu-isu sosial.

Sempat berehat sebentar di masjid sebelum taklimat bermula. Jam 12.00 malam, semua peserta berjalan kaki ke Queensbay Mall. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 25 minit, sebelum sampai ke destinasi iaitu di pantai Queensbay.

Setelah berbincang di dalam kumpulan kecil, kami mula mendekati sasaran dakwah. Sasaran pertama sedang duduk berdua-duaan di atas kerusi. Kami terus mendekati.

”Assalamualaikum bang, apa khabar? Maaf mengganggu.”

”waalaikumussalam, takpa2. dari mana ni?”

”Hmm, kami dari USM. Saja datang ke sini. Maklum la, hari ni kan Valentine’s Day. Kami datang nak jumpa saudara-saudara kami kat sini.”

”Hmm, bagus lah macam tu.”

Sementara itu, pasangan lelaki tersebut dibawa oleh sahabat-sahabat muslimat ke belakang. Mereka mula berbual. Dan aku bersama seorang junior teruskan berbual dengan abang tersebut.

”dari mana ni bang?”

”baru balik kerja. Terus mai sini. Saja nak ambil angin. Letih kerja banyak sangat.”

Kami terus berbual sehingga dia menceritakan tentang golongan-golongan profesional dengan arak. Terkejut aku mendengar kata-kata daripada abang tersebut. Selain itu, dia juga menceritakan cara penyediaan makanan di hotel-hotel yang langsung tidak menepati kehendak islam, daripada cara mematikan haiwan sehingga penyediaan makanan di dapur.

Kami berbicara sambil menyoalkan tentang tanggungjawab kita sebagai muslim. Masing-masing mempunyai tanggungjawab walau apa pun jawatan yang dipegang, termasuk jawatan sebagai penolong pengurus di hotel.

Selesai berbicara dengan lelaki tersebut, kami beredar. Kami dekati pula pasangan yang lain.

Kaedah yang diguna hampir serupa. Menggunakan alasan Valentine day untuk melawat saudara seaqidah di sini.

“kami baru sembang pasal Valentine’s Day tadi.” Abang tu membalas apabila aku menyentuh tentang perayaan tersebut.

“benda tu tak patut kita sambut. Bukan perayaan kita pun.” Terangnya kepada kami.

“Hmm, siapa ni bang?” aku bertanya, merujuk kepada gadis disebelahnya yang sudah pun didekati oleh sahabat-sahabat muslimat.

“hmm, isteri abang. Kami baru berkahwin 2 bulan lepas.”

”Owh, suami isteri.” kami tersilap pasangan. Namun bicara tetap disambung.

”alhamdulillah, dah berkahwin.”

Lalu kami berbicara tentang tanggungjawab pasangan suami isteri untuk melahirkan generasi yang faham tentang agama.

”ayah kepada seorang imam besar pernah ditanya, macam mana kamu mendidik anak sehingga begitu berjaya. Jawabnya, aku mendidiknya sebelum dia dilahirkan lagi. Maksudnya bang, kita semua ni kena jadikan diri kita ni seorang yang baik, baru nanti kita akan lahirkan generasi yang baik.”

”generasi kami sekarang pun, dah banyak masalah. Saya tak dapat bayang macam mana generasi anak cucu saya nanti bang. Kalau kita tak kisah sekarang, tak tau lah nanti macam mana.”

Tidak lama kami bersama-sama pasangan tersebut. Pasangan terakhir yang kami dekati sedang berpelukan, duduk di batu menghadap pantai.

Aku pergi ke hadapan mereka. Segera gadis tersebut melepaskan pelukan.

”Assalamualaikum, bang. Maaf ganggu.” intro yang sama digunakan.

”waalaikumussalam, ya ada apa?”

”hmm, saja kami datang melawat sahabat-sahabat kat sini. Maklum la, hari ni kan valentine’s day. Jadi ramai lah yang akan keluar malam ni.”

Lelaki tersebut menceritakan, dia bekerja di Kedah. Gadis tadi baru dikenalinya dan juga baru putus cinta. Jadi dia sedang bersedih.

Agak tergamam aku mendengar. Baru berkenalan tetapi sudah berpelukan.

Kami mula berbual-bual. Dimulakan dengan perkara-perkara ringan seperti tempat kerja dan sebagainya.

”abang dah kerja lama kot?”

“Hmm, dah lama la jugak.”

“kalau macam tu, dah cukup duit untuk kahwin kot? Bila abang nak kahwin. Abang kahwin sajalah dengan perempuan tu. Nanti boleh la keluar selalu.” Aku sengaja menduga.

“Hmmm, kahwin.? Tak fikir lagi kot. Banyak lagi benda nak dibuat.”

”tak boleh tak fikir bang. Kalau kita dah mula berfikir, kita akan membuat persiapan ke arah tu. Apa pun, kena fikir jugak kan?”

”betul lah tu.” lelaki tersebut menjawab.

”bukan apa bang. Kami ni datang pun pasal kami risau tengok saudara-saudara kita sekarang. Tengok lah kat sini, ramai pasangan laki perempuan.” aku berkata tanpa merujuk kepada lelaki tersebut.

”Hmm, betul. Zaman sekarang ni memang macam tu. Dah tak peduli apa.”

Aku sedikit terkejut mendengar apa yang lelaki tersebut katakan, sedangkan tadi dia juga yang berpelukan dengan gadis yang baru dikenali. Tak apa, biarkan apa yang hendak dia katakan.

”nabi kata, orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan menghadapinya. Kalau kita mati tengah dok buat benda elok, alhamdulillah, tapi kan bang, kalau kita mati, masa tu kita dok buat benda jahat, maksudnya?

”masa highland tower runtuh, ada orang yang mati sedang berzina. Hinanya mati macam tu. Kita ni, tak tau bila nak mati. Mungkin satgi kita naik kereta, kemalangan. Tak pun, tiba-tiba jatuh, kena batu ni, mati.”

“Persoalannya, kita nak mati yang macam mana? Kita yang pilih. Abang pun yakin kan dengn hari akhirat? Kalau tak dak akhirat tu, maksudnya Allah tu tak adil lah. Orang jahat boleh seronok kat dunia, tapi orang yang soleh bersusah payah. Tapi Allah tu Maha Adil. Siapa yang buat baik, Dia balas baik, siapa buat jahat, tempat dia kat neraka lah. Abang tau kan?” aku mempersoalkan berkali-kali.

”maaf lah bang. Bukannya saya nak mengajar abang. Cuma sama-sama kita nasihat. Telinga saya lagi dekat dengan mulut. Kalau saya tak buat apa yang saya cakap, maksudnya jadi munafik. Jadi tanggungjawab saya untuk tegur kalau ada yang buat silap. Nanti kalau saya yang buat silap, abang wajib tegur saya.”

“Hmm, bagus lah. Memang kita kena saling menasihati. Tak apa, abang suka macam ni. Ya lah, kekadang kita lupa, ada orang tegur, kita kena terima lah.” Lelaki tersebut mambalas.


“Ok lah bang. Dah pukul berapa ni. Jom lah balik. Abang nak balik jauh kan. Nak kena hantar perempuan ni lagi. Balik sekarang kot.?” Kami memang diminta untuk menyuruh orang yang didekati pulang ke rumah selepas habis berbicara.

Tidak lama selepas itu, kami beredar dari situ, dan pulang ke masjid.

Program tamat lebih kurang pukul 3 pagi.

Demikianlah perjalanan hari yang cukup meletihkan, namun hati merasa terlalu gembira dan bersyukur dapat melaluinya.

Semoga setiap apa yang dilakukan itu, semata-mata kerana Allah, dan bukannya kerana manusia.

Ameen…




AKTIVITI 2

AHAD – 15 FEB : Lanjutan daripada aktiviti penyebaran risalah sempena Valentine’s Day di Queensbay pada siang 14 haribulan Februari, SPAQ di bawah unit Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM) meneruskan komitmen dalam aktiviti dakwah dengan turut serta dalam LANDAS anjuran Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY) yang menggabungkan jamaah-jamaah islam dan aktivis-aktivis islam di Pulau Pinang termasuk dari Universiti Sains Malaysia (USM)

Seramai lebih kurang 40 orang peserta yang terdiri daripada lelaki dan wanita turut terlibat di dalam aktiviti ini. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Para peserta mula berkumpul di Masjid Jamek Sungai Nibong seawal jam 6 petang. Selepas solat isyak, pihak penganjur memberikan sedikit taklimat berhubung perjalanan program yang akan berlangsung serta strategi yang boleh digunakan semasa mendekati sasaran dakwah pada malam hari nanti.

LANDAS atau Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-isu Sosial dijalankan di sekitar kawasan pantai Queensbay, bermula jam 12.30 pagi sehingga jam 2.30 pagi. Para aktivis dakwah mendekati sasaran-sasaran dakwah seperti pasangan yang berdua-duaan serta anak muda yang melepak. Pendekatan yang digunakan di dalam LANDAS ialah dengan mendekati sasaran, serta berbicara dengan mereka secara lembut dengan menyentuh tentang soal-soal peribadi seperti keluarga, serta perkara-perkara yang dapat menarik minat mereka untuk berbual. Di samping itu, perkara-perkara tentang agama akan turut diselit di dalam perbualan. Tujuannya ialah untuk memberi kesedaran kepada sasaran yang didakwah.

Aktiviti seumpama ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana, tetapi yang lebih penting ialah untuk menyedarkan diri para peserta bahawa betapa perlunya segolongan masyarakat yang diberi kesedaran oleh Allah untuk turun, berhadapan dengan masyarakat di luar yang sentiasa menunggu kehadiran seseorang yang dapat menunjukkan kepada mereka jalan yang lebih selamat dan diredhai.

Sehubungan dengan itu, SPAQ di bawah unit Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM) akan meneruskan program seumpama ini dengan mengadakan Bengkel LANDAS-SPAQ 2 pada 22 februari 2009, yang akan membentangkan hasil kajian kumpulan-kumpulan pengkaji isu sosial, dan seterusnya akan mengadakan praktikal dakwah lapangan di Sungai Petani pada 7-8 Mac 2009.

SPAQ menjemput para aktivis dakwah islam yang mahu bersama-sama menjalankan dakwah di lapangan untuk bersama-sama menyertai program anjuran SPAQ. Semoga setiap yang dilaksanakan akan mendapat keredhaan daripada ALLAH. Insyaallah.


Hisyamuddin Bin Kamarudin
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM)
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

P/S : tahniah kepada sahabat2 daripada PMIUSM kerana memberi komitmen dalam program seperti ini. ayuh kita bergerak selangkah ke hadapan. luaskan lagi dakwah kalian...

AKTIVITI 1

SABTU, 14 FEB – Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM) di bawah Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ) telah turut serta dalam aktiviti penyebaran risalah berkenaan Valentine’s Day di Queensbay Mall Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Kelab Remaja Lestari, PiSA dan Nisa’ Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Mufti Pulau Pinang. Turut terlibat sama ialah Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) dan beberapa NGO Islam Pulau Pinang. Program diadakan sempena Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s day yang disambut pada 14 Februari setiap tahun. Seramai lebih kurang 30 orang aktivis daripada pelbagai pihak terlibat dalam aktiviti tersebut.

Risalah tersebut mengandungi sejarah tentang sambutan hari memperingati kekasih, serta fatwa yang dikeluarkan oleh mufti yang mengharamkan umat islam menyambut perayaan tersebut. Turut diedarkan pada hari tersebut ialah risalah berkenaan ciri-ciri ajaran sesat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

AMiM komited dengan aktiviti seumpama ini memandangkan perayaan Hari Valentine yang disambut di seluruh dunia termasuk oleh anak muda muslim dapat menggugat aqidah umat islam memandangkan perayaan tersebut mempunyai asal usul yang dikaitkan dengan kehancuran umat islam di Sepanyol oleh golongan Kristian. Namun masyarakat islam yang tidak mengambil tahu tentang fakta tersebut seolah-olah meraikan detik-detik kehancuran saudara-saudara mereka sendiri.

Rata-rata masyarakat terutamanya para remaja islam menyambutnya tanpa mengetahui asal usul perayaan yang mereka sambut itu. Jadi, aktiviti-aktiviti berbentuk penerangan kepada masyarakat merupakan langkah yang baik bagi mengatasai masalah ini.

Penyebaran risalah berkenaan Valentine’s Day tersebut mendapat respon yang baik daripada para pengunjung. Risalah tersebut dikhususkan kepada para remaja muslim terutamanya kepada pasangan lelaki dan wanita, remaja yang tidak menutup aurat serta remaja-remaja yang sedang melepak.

Diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus dijalankan oleh mana-mana pihak yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk memandu masyarakat ke arah yang lebih diredhai. Insyaallah…

Hisyamuddin Bin Kamarudin
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM)

http://skuad-penyelamat-aqidah.blogspot.com/


Saturday, February 14, 2009

bengkel 2


SEMUA DIJEMPUT HADIR !!!!!!!!!!


inginkan motorsikal idaman ???





dari kekasih untuk kekasih..

besok 14 februari 2009...

seluruh dunia akan menyambut 'hari memperingati kekasih' atau Valentine's Day.

aku tak ingin memperkatakan tentang sejarah Valentine's Day yang disambut juga oleh masyarakat islam yang hanya tahu 'mengikut' dan sujud menghadap kiblat si kuffar kerana telah banyak diperkatakan.



aku membuat rondaan di sekitar dewan kuliah di USM pada waktu pagi. tak sempat untuk masuk ke kampus pada waktu siang kerana berpraktikal. malam ada aktiviti lain.

sempena 'hari memperingati kekasih' ini, ada pihak yang mula mencari keuntungan dengan menyediakan khidmat 'penghantaran hadiah terus ke bilik yang tersayang'. 1 kaunter dibuka di foyer dewan kuliah. beberapa poster dilekat daripada pihak yang berbeza, juga untuk tujuan yang sama.

perkara yang ingin dibangkitkan, bukanlah pihak-pihak yang mengambil kesempatan sempena hari itu, tetapi ia menggambarkan betapa perayaan tersebut telah terpasak kukuh di dalam jiwa masyarakat. lebih menyedihkan, orang islam sendiri yang menggalakkan perayaan tersebut, salah satunya dengan menyediakan perkhidmatan seperti itu.

mengapa 14 februari menjadi tarikh memperingati kekasih? adakah untuk bersama-sama masyarakat dunia meraikannya. berbanggakah kita dapat meraikan sesuatu yang dirai di seluruh dunia.

pernahkah kita mengambil tahu tentang setiap perkara yang kita amalkan, dari mana asal usulnya. adalah salah kita jika kita tiada usaha untuk mencari kebenaran tersebut.

seorang pernah bertanya, dia mempunyai seorang kawan non-muslim. kawannya itu sangat baik, dan ada mengkaji tentang islam. namun dia tidak berpuas hati dengan satu kenyataan iaitu, mengapa Allah menyediakan syurga hanya untuk orang islam. sedangkan orang bukan islam yang mati dalam keadaan tidak pernah kenal tentang islam akan dimasukkan ke dalam neraka. adakah mereka dicipta semata-mata untuk dimasukkan di dalam neraka?

aku turut buntu untuk menjawab, lalu mencari jawapan tersebut dengan bertanyakan kepada seorang guru. katanya..

"kebenaran itu perlu dicari. pernahkah dia bertanya tentang agamanya? pernahkah dia 'mencabar' kebenaran agamanya dan berusaha mencari kebenaran tersebut. jika dia mencari, pasti dia akan jumpa. begitu juga dengan orang yang lahir di dalam islam. jika dia tidak berusaha mencari kebenaran, dia juga akan dicampakkan di dalam neraka lantaran tidak mengamalkan suruhan akibat tidak megetahui sedangkan dia berupaya untuk mencari kebenaran tersebut."

maksudnya, sesuatu perkara tersebut perlu 'dicabar' kebenarannya, termasuklah perayaan yang disambut.

perayaan di dalam islam merupakan satu bentuk ibadah, tanda pengabdian diri kepada Allah. hari raya, kita diharamkan berpuasa. kita patuh semata-mata kerana itu suruhan Allah. kita melakukan korban semata-mata kerana Allah. sebab itu, umat islam tidak boleh merayakan perayaan agama lain, kerana ia satu bentuk ibadah.

tiada istilah kongsi raya di dalam islam. malah ada ulama' yang berpendapat haram mengucapkan 'selamat hari raya' kepada agama lain semasa perayaan mereka, kerana seolah-olah mengiktiraf perbuatan kuffar tersebut, iaitu menyembah selain Allah.

mengingati kekasih.... adakah hanya pada 14 februari? malah 'kekasih' yang bagaimana yang diingati? isteri? ibu? bapa? atau orang yang haram untuk disentuh? statistik yang dikeluarkan oleh pihak hospital dan rumah-rumah kebajikan menunjukkan ramai anak luar nikah dilahirkan selepas 9 bulan daripada bulan februari-mac, iaitu semasa dunia menyambut hari valentine.

hari memperingati kekasih dijadikan hari melahirkan anak-anak luar nikah. inikah erti sebuah perayaan? inikah ertinya sebuah pengabdian kepada tuhan?

aku yakin, ramai masyarakat di luar sana menyambutnya kerana tidak faham dan tidak tahu, kerana tidak mahu mangambil tahu. jadi apa tugas kita dan anda yang telah mengetahuinya? hanya menggelengkan kepala, melihat kefasadan berlaku di depan mata?

kita tiada kuasa untuk menghalang. namun kita ada tenaga dan harta untuk dikerahkan. insyaallah masih ada pihak2 yang prihatin terhadap masyarakat di luar sana. sertailah mereka yang ingin melihat umat islam kembali menghayati islam...

walaupun hanya sekadar mengedarkan sekeping risalah, mungkin daripada risalah tersebut orang akan berubah. yang mengubah hati manusia ialah Allah, namun ada sebab untuk Allah mengubahnya. alangkah baiknya jika kita merupakan penyebabnya.

amal jariah merupakan salah satu bekalan selepas mati. jariah berasal dari perkataan yang bermaksud lari. setelah kita mati, amalan inilah yang akan 'berlari-lari' dengan tidak putus-putus, mahu membantu tuannya di dalam kubur.

mengislamkan seorang yang kafir lebih baik daripada dunia dan seisinya. namun mengembalikan seorang muslim yang tidak pernah menghayati makna islam kepada penghayatan islam yang sebenarnya, lebih baik daripada itu....

ayuh sahabat.!!!!!!!!

sedikit usaha pada pandangan manusia, besar ganjaran di sisi Allah.

Allahu'alam..

makan !!!!

makan...

ada apa dengan makan? atau lebih spesifik, ada apa dengan cara kita makan.?
pandangan ini bukanlah hasil kajian mana2 pihak melainkan pandangan peribadi semata-mata. namun mungkin ada gunanya untuk diambil kira..

aku selalu memerhatikan cara orang makan, kerana sedikit sebanyak ia menggambarkan diri orang tersebut.

Makan Bersama-sama....

pasti ada di kalangan sahabat-sahabat yang biasa makan dalam talam (bukan makan 'di' dalam talam). aku pernah keluar bersama-sama dengan 1 'jamaah'. ketika hendak memulakan makan, dia akan memberitahu tentang adab-adab semasa makan bersama-sama.

aku sering memerhatikan sahabat-sahabat lain makan.

perkara yang penting semasa kita makan bersama-sama ialah kita perlu sedar bahawa kita makan beramai-ramai. kekadang lauk yang ada sangat sedikit jika dibandingkan dengan nasi yang bertimbun-timbun, terutamanya di dalam tamrin. (kekadang lauk yg tak munasabah). namun, dalam keadaan lauk yang sedikit tersebut, ada yang seolah-olah merasakan bahawa dia makan berseorangan. lauk diambil dengan banyak dalam setiap suap, sehinggakan nasi akan tinggal tak berlauk. sedangkan sahabat-sahabat yang lain ada yang sanggup makan nasi sahaja tanpa berlauk kerana melihat lauk yang sangat sedikit.

mungkin ada yang merasakan hal ini perkara kecil. mengapa harus diperbesarkan.?

ya !! memang perkara kecil, namun di situ menunjukkan kita seorang yang mementingkan diri sendiri. tak menghiraukan bahagian orang lain. hendak ditegur di hadapan, mungkin akan memalukan si pelaku. bukankah dalam setiap harta kita ada hak orang lain, sebab itu diwajibkan berzakat...

makanan ditimbunkan di bahagian sendiri.

antara adab yang diajar kepada aku ketika makan beramai-ramai ialah, semua makanan ditimbun di tengah. jadi, sesiapapun boleh mengambil. namun jika makanan dilonggok di tempat sendiri, seolah-olah telah di 'cop', INI HAK AKU !!. mungkin ada sahabat-sahabat yang malu untuk meminta keran menyangka makanan tersebut bukan milik bersama. jadi berlalulah ia sedangkan perutnya masih lapar. Pernah anda fikirkan tentang itu ?

makanan tidak dihabiskan..

"mengapa tak habiskan makanan?" aku bertanya.

"eh, sudah habis." dia menjawab. sedangkan di dalam pinggannya masih terdapat berbutir-butir nasi dan lauk yang tidak dihabiskan (atau apa2 sahaja jenis makanan).

habis makan bukan bermaksud kita selesai makan, tetapi sepatutnya kita menghabiskan semua makanan. ada sesetengah orang memang menjadi tabiat tidak menghabiskan kesemua makanan. pasti ada sisa yang tertinggal, sedangkan di dalam sepinggan makanan, kita tidak tahu bahagian mana pada makanan tersebut diberikan 'berkat' oleh Allah. sebab itu kita disuruh supaya menghabiskan makanan, malah disunatkan untuk menjilat jari selepas makan, supaya tiada sisa yang tertinggal.

Bos praktikal aku pernah berkata,
"jika kamu tidak tahu menghargai makanan, kamu tak layak berada di dalam industri ini." (merujuk kepada industri makanan kerana aku berada dalam bidang teknologi makanan.)

semasa kecil, aku selalu diingatkan bahawa nasi-nasi yang tidak habis dimakan itu akan 'menangis' jika ia tidak dimakan. ayat yang sangat sesuai untuk si kecil. namun, kita harus faham bahawa setiap butir tersebut adalah hasil usaha insan lain yang terpaksa bersusah payah. Petani bertungkus lumus, ibu bapa bersusah payah mencari wang, dan lain-lain.

makan berselerak.

terdapat sesetengah orang yng suka meletakkan tulang-tulang ataupun sisa-sisa yang dibuang dari mulut ke atas meja makan, terutamanya di kedai-kedai makan. aku bertanya,
"mengapa letak atas meja, kotor nanti."

lalu di jawab, "biasalah kotor.nanti adalah orang yang akan cuci. dah memang tugas dia."

"hang suka tak, kalau hang yang kerja sebagai pencuci, tengok orang lain longgok sisa makanan atas meja.? aku kalau tak suka." aku membalas.

begitu juga dengan sampah. apabila sahabat-sahabat membuang sampah merata-rata, aku akan berkata perkara yang sama. sukakah kita jika kita bekerja sebagai pengutip sampah melihat orang lain membuang sampah merata-rata. selalu juga aku menambah.

"patut la Penang ni kotor. hang rupa-rupanya yang dok kotorkan negeri aku."

aku dididik sejak kecil untuk tidak membuang sampah merata-rata. terima kasih kepada bapak yang sangat mengambil berat dan tegas tentang hal ini. sebab itulah beg dan poket aku seringkali penuh dengan 'sampah'.

aku cukup sedih melihat masyarakat terutamanya yang sudah dewasa membuang sampah sesuka hati. pernah aku melihat seorang 'ibu' membuang sebungkus plastik KFC yang besar keluar dari kenderaan. Sungguh tidak beradab dengan alam. orang kafir lebih menghayati islam daripada kita orang islam.

meminta makanan daripada orang lain.

kekadang ada orang yang suka meminta makanan daripada orang lain. tak salah perbuatan tersebut, terutamanya jika kita lapar ataupun meminta daripda sahabat. namun, sebelum kita meminta makanan, tanyalah dahulu adakah dia sudah makan atau belum. mungkin makanan tersebut dibelinya untuk makan kerana dia sangat lapar. tetapi, belum sempat dia makan, orang lain telah meminta daripadanya. kerana tidak mahu mengecewakan sahabat, dia memberi makanan tersebut...

atau mungkin makanan tersebut merupakan pemberian seseorang khas kepadanya. namun kerana sahabat, dia tidak sempat memakan makanan tersebut.

kita yang meminta, sebenarnya telah mengambil hak orang yang lebih memerlukan. pernahkah kita memikirkan perkara tersebut?

ingat orang belakang..

maksudnya orang yang masih belum memakan makanan yang dibeli untuk dimakan beramai-ramai. ada orang yang jenis tidak kisah kepada orang lain. tidak memakan, bukan beerti tidak mahu makan, tetapi mungkin masih belum mahu makan lagi kerana sebab-sebab tertentu. namun, pantang makanan tidak disentuh, pasti disambar kesemuanya. bertanyalah dahulu sebelum mengambil. anda mungkin mengambil hak orang lain sedangkan dia inginkan makanan tersebut, namun tidak diberitahu. apa salahnya tinggalkan bahagian itu. jika dia mahu makan, dia boleh memakannya. melainkan orang itu sendiri yang memberi izin untuk memakan bahagiannya..

memilih makanan.

ada orang yang terlalu memilih makanan. ini tak sedap, itu tak biasa makan. yang itu pahit dan lain-lain. kita terlalu banyak makanan untuk dipilih, sebab itu kita terlalu memilih makanan. sedangkan saudara-saudara kita di luar sana terpaksa mengutip sisa-sisa makanan orang lain untuk mengisi perut. jika dia juga memilih makanan, maksudnya dia memilih untuk mati.
aku sering diminta oleh emak untuk merasa makanan. namun jawapan yang sering aku beri ialah. "OK".

aku tidak pandai memberi komen terhadap makanan. Hmm, memang ada makanan yang seda dan ada yang kurang sedap, namun bagi aku asalkan itu makanan, itulah rezeki kita.

terkenang sirah ketika rasulullah hanya terseyum apabila merasa makanan yang agak masin yang dimasak oleh isteri baginda, sehinggalah isteri baginda sendiri merasa makanan tersebut. barulah isteri baginda itu tahu bahawa makanan tersebut masin. rasulullah menghargai makanan. begitu jugalah sepatutnya kita. bukannya mengatakan ini tak sedap dan lain-lain ketika sudah terhidang di hadapan kita. namun tiada salahnya untuk menegur rasa makanan. cuma menghargai makanan itu yang lebih penting..

itu semua adab. tiada di dalam buku teks. namun akal yang sihat mampu menilai setiap perbuatan...

mengapa aku membangkitkan hal ini? ada yang menganggap perkara ini terlalu remeh untuk diperkatakan. namun harus ingat, perkara yang remeh ini kekadang dapat mengguris perasaan orang sekeliling kita.

kerana makanan, manusia sanggup bergaduh dan sanggup membunuh, walaupun mungkin tidak di kalangan sahabat-sahabat. namun, perkara remeh inilah yang perlu di elak supaya tidak kerana perkara remeh ini, masalah yang lebih besar terjadi....

aku tidak menujukan tulisan ini kepada mana-mana pihak, tetapi secara umum. mungkin juga aku salah seorang yang berbuat demikian.

Allahu'lam...

Monday, February 9, 2009

EGOis

sampai di satu simpang tiga, sebuah kereta tiba-tiba keluar dan terus bergerak di hadapan aku. aku terpaksa memperlahankan kelajuan, lalu aku cuba memotong kereta tersebut. apabila motorsikal aku berada sebaris dengan kereta itu, dia mula memecut. lagaknya seperti tak mahu membiarkan aku memotong.

"nak berlumba nampak?"

aku meningkatkan kelajuan untuk terus memotong kerana ada kereta lain di hadapan dari arah bertentangan. kereta tadi terus memecut tidak mahu ketinggalan walaupun di hadapan terdapat bonggol jalan. aku menaiki motorsikal. melanggar bonggol sewaktu laju tidak mengapa. namun kereta tadi yang tidak mahu mengalah terus melanggar bonggol tersebut. berdecit bunyi tayar akibat brek mengejut, lalu kereta tersebut sedikit melambung. akhirnya aku berjaya memotong kereta tersebut.

aku tertawa kecil melihat kereta tadi melambung.

"tak mau bagi potong sangat, rasakan" aku berbisik dalam hati.

yang aku hairan, selepas melalui bonggol, kereta tersebut memperlahankn kelajuan. aku melihat melalui cermin sisi, jauh ketinggalan. malu kerana kalah dalam 'perlumbaan' atau dah tiada sebab untuk pecut?

"nampak sangat dengki, tak mau bagi potong."

sengaja aku memperlahankan motorsikal. mahu menunggu kereta tersebut. ingin melihat siapa pemandu kereta mewah itu. namun aku membatalkan sahaja niat tersebut. biarlah..!!

lalu aku memikirkan satu persoalan...

SIAPA YANG EGO SEBENARNYA??? AKU ATAUPUN DIA..???

aku tak dapat nak menjawab soalan itu. mungkin sahabat-sahabat atau 'musuh' yang kenal dengan aku boleh jawab soalan tersebut...

mahu betulkan diri jua.........(hehehe)

Saturday, February 7, 2009

fikir positif...

Aku menerima satu SMS daripada seorang sahabat. Nada SMSnya agak kasar. Membicarakan tentang keadaan politik di sebuah negeri di Malaysia, malah melahirkan rasa tidak puas hati dengan seorang ‘tokoh’ tanah air. Aku membalas SMS dengan mengatakan.....

“Setiap sesuatu yang terjadi itu mungkin ada hikmahnya. Itu maksudnya masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki. Biarlah. Walaupun orang tersebut terlepas di dunia, tapi di ‘sana’ pasti tak akan terlepas. Selagi boleh berusaha untuk membawa ‘orang itu’ ke muka pengadilan, teruskan. Diri kita sendiri pun belum pasti lagi nak ke mana nanti. Kan?”

Melihat sesuatu dari sudut yang positif. Hal tersebut penting supaya kita tidak terlalu memandang sesuatu perkara yang buruk itu sebagai ’terlalu buruk’, tetapi cuba mencari sisa-sisa kebaikan yang tertinggal di sebalik kejadian, lalu digunakan kebaikan itu untuk sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.

Aku tertarik dengan komen seorang warga Palestin ketika Forum ”we love Palestine” anjuran PMIUSM baru-baru ini. Lebih kurang begini katanya.

”kita jangan memandang peperangan yang terjadi itu dari sudut negatif semata-mata, tetapi cuba pandang dari sudut positif. Jangan terkejut, saya gembira kerana peperangan ini. Saya juga berbangga dengan kematian 1300 orang penduduk Gaza dalam peperangan yang lepas, kerana dengan kematian 1300 orang ini dapat membangkitkan hampir 1.5 billion umat islam di seluruh dunia.”

Aku terdiam mendengar sesuatu seperti itu. Tak pernah pun aku terfikir perkara yang sedemikian. Inilah pandangan orang yang proaktif dan bukannya orang yang pesimis. Jika kita mengambil sebuah gelas yang berisi dengan separuh penuh air, orang yang proaktif melihat gelas tersebut sebagai ‘separuh penuh diisi oleh air’ tetapi orang yang pesimis melihat dari sudut negatif iaitu ‘gelas tersebut separuh kosong.’ Dia lebih mengutamakan perkara yang negatif berbanding melihat sesuatu dari sudut positif.

Baru-baru ini, aku di’lecture’ lagi oleh bos. Puncanya akibat terlewat kerana pergi solat di surau. Bos sudah merancang untuk membawa kami semua makan tengah hari di sebuah restoran yang eksklusif. Dipendekkan cerita, aku ditinggal.(hahaha-terlepas makan stik). Tamat waktu bekerja, kami bertiga(kawan2 praktikal) dipanggil berjumpa bos. Aku yang paling banyak di’hentam’. Kejadian tersebut, jika hendak ditafsir dari sudut negatif, memang menyakitkan hati dan memalukan. Namun, aku menerima segalanya dari pandangan positif. Semua teguran tersebut, biarlah menjadi sebab untuk aku berubah (insyaallah)...

Moral of the story, sesuatu perkara yang buruk janganlah dilihat buruk keseluruhannya. Mungkin masih ada saki baki kebaikan yang boleh diperbaiki. Seorang yang memusuhi kita, mungkin masih ada kebaikan padanya. Mungkin disebabkan kesabaran kita terhadap sifat buruknya, menyebabkan kita dipandang mulia oleh Allah.

Allahu’alam….


istiqarah....

Lumrah kehidupan, ketika umur mula mencecah usia 20-an, mula terfikir untuk mencari pasangan hidup. Lalu ditanya kepada ustaz, “ustaz, saya teringin nak mencari pasangan. Tapi, tak tahu siapa. Apa yang perlu saya buat?”

Lalu si ustaz menjawab, “kamu istiqarah lah. Solat sunat 2 rakaat, kemudian minta petunjuk daripada Allah. Insyaallah dipermudahkan.”

“solat istiqarah?”


Ramai yang sudah sangat maklum tentang solat istiqarah. Namun mungkin ramai yang hanya mula beristiqarah di dalam kes seperti di atas. Mencari jodoh.

Menurut kajian, setiap hari kita perlu membuat keputusan sebanyak hampir 300 kali. (sumber : kuliah Ust. Hasrizal). Bermula dari semudah-mudah keputusan seperti memilih baju apa yang hendak dipakai, hendak makan tengah hari di mana, sehinggalah keputusan yang maha berat seperti ‘perlukah aku terjun dari bangunan ini untuk selamatkan diri’.

Istiqarah dilakukan oleh seorang hamba agar hamba bertawakkal kepada Allah dan menyerahkan urusannya kepadaNya untuk dipilihkan yang baik di mana pun ia berada.

Namun, adakah hanya dalam urusan mencari jodoh yang memerlukan tawakkal kepada Allah?

Dr. Fadzilah Kamsah di dalam ceramah motivasinya meminta para pelajar agar mengamalkan solat istiqarah menjelang peperiksaan, semoga setiap jawapan yang dipilih merupakan jawapan yang terbaik, dan supaya setiap soalan yang dipilih untuk dijawab merupakan soalan yang paling berpotensi untuk dijawab dengan baik.

Apabila berhadapan dengan situasi di mana kita perlu membuat keputusan, sama ada keputusan yang segera atau tidak, sering kali kita tidak dapat menentukan keputusan yang terbaik ataupun sering menjadi buntu untuk memilih. Hatta, dalam hal memilih baju di pasaraya juga kekadang memakan masa yang sangat lama untuk memilih baju yang paling sesuai dengan diri.

Hal yang berkaitan dengan dunia pun, kita perlu meneliti dengan bersungguh-sungguh apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Soal syurga dan neraka. Soal bahagia dan sengsara. Maka semestinya kita memerlukan pertolongan daripada pemilik alam, Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

Para sahabat diajar oleh Rasulullah supaya melakukan istiqarah dalam pelbagai urusan.

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”



Dalam setiap perkara, kita hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukan apa yang akan terjadi. Atas sebab itulah proses merancang itu merupakan perkara yang sangat penting. Dalam merancang sesuatu, kita mengharapkan agar sesuatu perkara terjadi seperti yang dirancang, sedangkan hanya Allah yang tahu apa yang akan terjadi. Jadi, memohon petunjuk Allah dalam proses merancang itulah sebaik-baik tindakan untuk diambil.

Allah tidak pernah menolak permohonan daripada hamba-hambaNYA. Sama ada permohonan itu akan dimakbulkan dalam masa terdekat, ataupun pada masa akan datang, atau mungkin juga digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Allah yang lebih mengetahui tentang itu. Tugas kita ialah memohon kebaikan daripada Allah dan memohon supaya diberi petunjuk dan dibimbing dalam membuat sesuatu keputusan.

Maka, janganlah melihat solat istiqarah ini hanya untuk memohon petunjuk mencari pasangan, tetapi cuba kita amalkan supaya setiap tindakan dan perbuatan kita merupakan tindakan yang diberi petunjuk oleh Allah. Insyaallah, setiap keputusan yang diambil selepas istiqarah, merupakan keputusan yang sebaik-baiknya.

Allahu’alam….