Wednesday, February 18, 2009

AKTIVITI 2

AHAD – 15 FEB : Lanjutan daripada aktiviti penyebaran risalah sempena Valentine’s Day di Queensbay pada siang 14 haribulan Februari, SPAQ di bawah unit Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM) meneruskan komitmen dalam aktiviti dakwah dengan turut serta dalam LANDAS anjuran Jaringan Pemuda Da’wah Islamiyyah (JUNDIYY) yang menggabungkan jamaah-jamaah islam dan aktivis-aktivis islam di Pulau Pinang termasuk dari Universiti Sains Malaysia (USM)

Seramai lebih kurang 40 orang peserta yang terdiri daripada lelaki dan wanita turut terlibat di dalam aktiviti ini. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Para peserta mula berkumpul di Masjid Jamek Sungai Nibong seawal jam 6 petang. Selepas solat isyak, pihak penganjur memberikan sedikit taklimat berhubung perjalanan program yang akan berlangsung serta strategi yang boleh digunakan semasa mendekati sasaran dakwah pada malam hari nanti.

LANDAS atau Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-isu Sosial dijalankan di sekitar kawasan pantai Queensbay, bermula jam 12.30 pagi sehingga jam 2.30 pagi. Para aktivis dakwah mendekati sasaran-sasaran dakwah seperti pasangan yang berdua-duaan serta anak muda yang melepak. Pendekatan yang digunakan di dalam LANDAS ialah dengan mendekati sasaran, serta berbicara dengan mereka secara lembut dengan menyentuh tentang soal-soal peribadi seperti keluarga, serta perkara-perkara yang dapat menarik minat mereka untuk berbual. Di samping itu, perkara-perkara tentang agama akan turut diselit di dalam perbualan. Tujuannya ialah untuk memberi kesedaran kepada sasaran yang didakwah.

Aktiviti seumpama ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana, tetapi yang lebih penting ialah untuk menyedarkan diri para peserta bahawa betapa perlunya segolongan masyarakat yang diberi kesedaran oleh Allah untuk turun, berhadapan dengan masyarakat di luar yang sentiasa menunggu kehadiran seseorang yang dapat menunjukkan kepada mereka jalan yang lebih selamat dan diredhai.

Sehubungan dengan itu, SPAQ di bawah unit Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM) akan meneruskan program seumpama ini dengan mengadakan Bengkel LANDAS-SPAQ 2 pada 22 februari 2009, yang akan membentangkan hasil kajian kumpulan-kumpulan pengkaji isu sosial, dan seterusnya akan mengadakan praktikal dakwah lapangan di Sungai Petani pada 7-8 Mac 2009.

SPAQ menjemput para aktivis dakwah islam yang mahu bersama-sama menjalankan dakwah di lapangan untuk bersama-sama menyertai program anjuran SPAQ. Semoga setiap yang dilaksanakan akan mendapat keredhaan daripada ALLAH. Insyaallah.


Hisyamuddin Bin Kamarudin
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM)
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

P/S : tahniah kepada sahabat2 daripada PMIUSM kerana memberi komitmen dalam program seperti ini. ayuh kita bergerak selangkah ke hadapan. luaskan lagi dakwah kalian...

No comments: