Saturday, July 31, 2010

Kembara mencari Tuhan. (episod 2)

“Jadi, maksud tok kura….” Raja rimba tidak menghabiskan ayatnya.

“Ya, kita minta daripada tuhan supaya selamatkan kita daripada malapetaka ini.” Bersemangat tok kura menjelaskan.

“tapi………” burung hud-hud tidak menghabiskan bicara.

“kenapa hud-hud?” raja rimba menyoalnya.

“Manusia menyembah banyak tuhan, tuanku. Patik mengembara hampir ke seluruh benua. Patik melihat ada pelbagai tuhan yang disembah oleh manusia. Ada yang tunduk menghadap patung, menyembah haiwan, ada yang menjamu makanan kepada berhala, ada yang mengukir batu, ada yang menyembah pokok, ada yang menyembah kepada tuhan yang macam-macam, ada yang langsung tidak menghadap apa-apa.”

“jadi, tuhan yang mana patut kita minta pertolongan.” Ujar si burung hud-hud.

Masing-masing menjadi keliru. Yang tidak tahu bertambah-tambah celaru.

“jadi sekarang bagaimana? Tok kura? Masih mahu teruskan dengan cadangan tersebut?” raja rimba bersuara.

“patik juga tidak tahu tuanku. Tetapi bagi patik, tuhan itu tetap ada dan sangat kuat kuasanya. Patik yakin hanya tuhan saja yang mampu menolong kita semua ketika ini. Kita lemah tiada kuasa.”

“Jadi, apa cadangan tok kura?” sang harimau mula membuka mulut.

“Ya, tok kura ada apa-apa buah fikiran?” raja rimba menambah tanya.

“kita mesti cari tuhan itu. Patik yakin antara tuhan-tuhan yang manusia sembah itu, ada tuhan yang benar-benar tuhan.” Tok kura menambah keyakinan di hati.

“Bagaimana?” serentak semua haiwan bertanya.

Perbincangan menjadi semakin menarik minat semua. Perkara ini tidak pernah berlaku dan tidak pernah terlintas di fikiran mereka semua untuk berlaku.

“Jika tidak khilaf, manusia-manusia yang menyembah tuhan ini mempunyai kitab yang menjadi rujukan mereka.”

“benar! Patik juga mendengar perkara yang sama. Sering juga patik melihat manusia menyemak lembaran-lembaran yang dipanggil kitab itu sebagai rujukan mereka.” Burung hud-hud mencelah.

“jadi? Apa yang kalian mahu lakukan?” soal si raja.

“kita dapatkan kitab-kitab tersebut.” Tok kura memberi cadangan.

“kemudian kita kaji kitab-kitab tersebut. Mungkin kita akan berjumpa dengan petunjuk-petunjuk yang boleh memberitahu kita siapa dia tuhan itu.” Burung hud-hud menambah.

Dia dan tok kura sudah nekad mahu meneruskan pencarian.

“ini kerja gila.” Dubuk membentak. Tidak bersetuju dengan cadangan yang pada fikirannya tidak masuk akal itu.

“selama ini kita tidak pernah kisah pun tentang tuhan ni. Ketika senang, kita tidak pernah terfikir pun tentang tuhan. Tiba-tiba, terkena malapetaka baru hendak mencari tuhan?”

Semua terdiam. Bagai penampar terkena di pipi, tok kura terpaku. Ada benar kata dubuk. Setelah berlaku bencana, baru hendak mencari-cari siapa itu tuhan.

“ketika senang, kita menyangka kita yang berkuasa. Kita merasa, segala keamanan dan kesenangan ini kerana kita pandai mentadbir rakyat jelata.” serentak dubuk memandang si raja rimba. Sengaja mahu menikam raja rimba dengan kata-kata. Dubuk memang tidak pernah takut dengan sesiapa. Sejak dahulu lagi dubuk tidak serasi dengan kaum singa. Malah dubuk sering mencuri hasil buruan singa. Cuma dia masih menghormati sang singa sebagai raja rimba.

“Sudah, sudah. Memang kita yang salah. Sekarang kita mahu menyelesaikan masalah, bukan mahu menambah masalah.” Tok kura cuba meredakan keadaan yang semakin tegang.
Semua akur.

“jadi, tuanku. Adakah tuanku terima cadangan patik dan burung hud-hud?”

“Ya, beta perkenankan. Beta serahkan tugasan ini kepada tok kura. Tok kura cubalah sedaya upaya. Semoga usaha kita akan mendapat kebaikan.”

“patik faham, tuanku. Patik memerlukan pertolongan beberapa sahabat untuk melaksanakan misi ini.”

“baik, jadi beta mahu tok kura uruskan perkara ini. Ada sesiapa mahu membantah atau menambah?”

Semua diam. Dubuk mencemik tanda mengejek.

“lantaklah apa yang mereka mahu lakukan. Aku tidak akan kisah.” Katanya itu sekadar berlegar-legar di lubuk hati.

“jika tiada tambahan, perjumpaan ini akan beta tamatkan. Semua boleh bersurai.”

“Tapi….. sebelum itu. Beta ingatkan kepada semua supaya tidak menceritakan perkara ini kepada sesiapa pun. Hanya antara ketua-ketua haiwan sahaja. Faham!” Raja rimba memberi amaran kepada semua.

Masing-masing beredar. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ada yang masih keliru. Si murai berdiam diri, sedang memikirkan sesuatu.

.................................................................

Semua mangsa musibah diberi bantuan yang sewajarnya. Semua haiwan berkampung di tanah lapang. Tempat perlindungan dibina untuk menempatkan mangsa yang tercedera. Mangsa yang terkorban dikumpul lalu dikambus di satu tempat khas.

Sementara itu tok kura mengumpul beberapa haiwan yang boleh dipercayai untuk memulakan misi, mencari kebenaran. Siapa itu tuhan.

Tok kura menjadi ketua. Yang lain-lain diberikan tugas sesuai dengan kebolehan dan kepandaian.

Si monyet diberi tugas untuk mengumpul kitab-kitab yang dibaca oleh manusia. Bagaimana hendak dilaksanakan, terserah kepada monyet dan helahnya.

Burung hud-hud diarahkan untuk pergi ke tempat-tempat ibadah manusia. Tugasnya memerhatikan apa yang dilakukan oleh manusia terhadap tuhan-tuhan mereka.

Sang kancil nanti akan mengkaji kitab-kitab tersebut. Segala-gala berkaitan tuhan perlu dicari dan diteliti. Kemudian mereka semua akan simpulkan.

Tugasan ini teramat berat. Hampir-hampir semua yang terlibat mahu menolak kerana tidak sanggup untuk melaksanakannya. Tetapi kerana amanah telah diberi, mereka terpaksa merelakan diri. Mereka inilah yang akan mencipta sejarah dalam perjalanan panjang kehidupan haiwan.

.............................................................

Tok kura menghadapkan wajahnya ke langit. Otaknya ligat memikir kata-kata burung hud-hud;

“manusia menyembah banyak tuhan, menyembah patung, menyembah batu, menyembah haiwan.”

“Benarkah manusia menyembah banyak tuhan? Manusia menyembah haiwan? Mengapa mereka menyembah haiwan seperti kami? Sedangkan kami haiwan juga mahu meminta pertolongan daripada tuhan.” Bisik tok kura dalam hatinya.

Tok kura hanya sekali melihat manusia beribadah. Tetapi tidak pula dia melihat manusia-manusia itu menyembah apa-apa di hadapan mereka.

“aku mesti membongkar kekeliruan ini. Tuhan itu pasti ada.”

..............................................................

“tok kura hendak mencari tuhan? Bagaimana?” si tupai bertanya kepada tenggiling.

“Entah lah. Agak-agaknya tok kura tu sudah nyanyok. Maklumlah, umurnya dah lebih seratus tahun.” Jawab tenggiling tanpa mahu berbaik sangka.

“ishh, tak baik kata begitu. Tok kura sangat berpengalaman. Walaupun dia bergerak perlahan, tapi aku dengar dia pernah mengembara keliling dunia.” Si tupai menambah-nambah cerita.

Cerita Tok kura hendak mencari tuhan telah menjadi buah mulut hampir semua haiwan di belantara. Macam-macam tuduhan telah dilemparkan kepada tok kura dan raja rimba. Gila, tidak waras, hilang akal, buat kerja bodoh; semuanya menjadi gelaran terkini tok kura, tak terkecuali raja rimba. Itulah akibat mendapat berita separuh cerita.

Raja rimba telah memberi amaran kepada semua ketua-ketua haiwan supaya tidak menceritakan perihal perbincangan di istana tempoh hari. Raja rimba tahu, jika berita sebegini sampai ke pengetahuan rakyat biasa yang tidak tahu hujung pangkalnya, pasti permata akan dinilai sebagai kaca.

Di satu sudut rimba raya, kedengaran bisik-bisik haiwan berbicara.

“Kamu tahu tak beruk, tok kura sekarang ni hendak mencari tuhan. Dalam mesyuarat dengan raja rimba kelmarin, tok ketua cadangkan kepada raja rimba supaya minta pertolongan daripada tuhan. Katanya tuhan itu ada kuasa yang hebat.” Si murai membuka rahsia pertemuan ketua-ketua haiwan dengan raja rimba.

Si murailah dalang disebalik bocornya rahsia besar belantara. Amaran raja rimba langsung tidak dihiraukannya. Dasar si mulut murai, memang tidak boleh menyimpan rahsia. Akibatnya nama tok kura, malah nama raja rimba sudah tercalar teruk. Pasti nahas jika diketahui raja rimba.

.........................................................

Tiga hari berlalu. Si monyet masih belum pulang membawa kitab-kitab yang dibaca manusia. Dia telah keluar daripada hutan, pergi ke kediaman manusia. Si monyet mengikut petunjuk yang telah diberikan oleh burung hud-hud. Tugasan ‘mencuri’ memang kena dengan dirinya. Jika di Negara India, kaum kerabatnya menggunakan helah licik untuk bertarung dengan manusia bagi mendapatkan susu. Susu di tangan lagikan dicuri, apatah lagi kitab di atas almari.

Burung hud-hud dan beberapa ahli keluarganya yang boleh dipercayai sudah tiga hari menjadi pemerhati. Setiap gelagat manusia di rumah ibadat atau di mana-mana saja diperhati dengan teliti. Setiap gerak geri, tutur bibir dan perbuatan satu persatu dihalusi. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci dalam perbicangan nanti. Setelah berpuas hati, mereka bergegas pulang ke belantara.

Sang kancil menanti penuh sabar. Beberapa ekor kancil yang paling cerdas mindanya dikumpul bersama. Tok kura juga bersama mereka. Mereka menunggu kepulangan monyet dan burung hud-hud. Tidak terbayang apa yang akan mereka jumpa. Hanya cerita daripada tok kura dan burung hud-hud sahaja yang menjadi bekal buat akal berfikir.

Bagaimana rupa kitab manusia terus menjadi rahsia. Sang kancil pernah melihat lukisan pelik di dalam gua. Lukisan purba yang ditinggalkan oleh manusia. Entah apa maksudnya, dia sendiri kurang tahu. Tambah hairan, gambar kaumnya juga ada terpahat di dinding gua. Manusia memang kaum yang tidak dapat dijangka.

“Sabar….” hanya itu pesan tok kura.



akan bersambung.... Insyaallah

Wednesday, July 21, 2010

Alahai facebook...

“Kamu ni pelik lah.”

“Mengapa pulak?”

“Kenapa tutup akaun facebook time birthday? Kan orang lain boleh tahu tarikh birthday kamu, then make a wish to you?”

“Owh, pasal tu kah? Saja ja. Memang tak mahu orang wish dekat wall tu. Banyak lagi cara nak wish kan? SMS ka, Email ka… Apa-apa lah..”

“Tapi kan, dekat facebook ada reminder pasal birthday. Dah kamu tutup, orang tak tahu lah.”

“Tak tahu pun takpa. Bukannya wajib tahu dan wajib sambut pun birthday tu.”

“Loh. Tak salah kan sambut birthday?”

“Memang tak salah. Terpulang diri masing-masing lah. Aku bukan apa, taknak nanti penuh dekat wall tu wish birthday. Ntah sapa-sapa yang wish pun tak tahu. Kalau kawan-kawan lelaki dan family aku saja ok lah. Ni ntah perempuan mana ka, maklum la main add saja kenalan dalam facebook tu.”

“Biasa lah.”

“Biasa ka? Bagi aku, kurang biasa. Tapi terpulang lah. Dah aku yang tak nak, tak boleh paksa lah.”

“Hmmm, terpulang lah.”

“Aku ni konservatif sikit. Maklum lah, sekarang ni perhubungan semakin mudah. Waktu dulu-dulu, main surat saja. Lepas tu pondok telefon muncul. Advance sikit, ada telefon bimbit, boleh SMS. Sekarang ni masing-masing ada facebook. Perhubungan jadi sangat mudah.”

“Jadi?”

“Jadi, lagi mudah lah orang nak berhubung.”

“So?”

“Sama saja kan jadi dengan so? Hmmm, so lagi sukar untuk mengawal batasan sesama kita. Yang baik aku tak nafikan. Memang baiklah. Tak pulak aku kata facebook tu tak baik. Tapi maklum lah. Nothing perfect.”

“Apa masalah kamu sebenarnya ni?”

“Takdak masalah apa pun. Cuma kekadang kurang gemar sikit melihat trend ‘perhubungan’ di facebook tu.”

“Maksud kamu?”

“Perhubungan, batasan sesama lelaki dan perempuan. Kekadang ayat-ayat yang ditulis tu, melampau-lampau. Di situ lah nak bercinta, di situ lah nak bergurau senda, di situ lah nak usik anak dara. Kekadang, melampau-lampau pun ada.”

“Owh.”

“Ada orang pernah kata dekat aku, kalau tak tahan kena usik, tak payah berfacebook lah. Open lah sikit. Hmmm, suka-suka ja dia suruh aku open. Kalau aku open sungguh nanti baru dia tau.”

“Lelaki ka perempuan?”

“Perempuan lah. Sudah lah siapa pun aku tak kenal. Kalau setakat kawan-kawan lelaki yang usik, takdak masalah. Tapi tengok jugak lah usik macam mana kan? Kalau usik lebih-lebih atau tentang perkara-perkara yang sensitif, itu sudah lebih namanya. Mungkin orang ni tak sedar kot yang sapa-sapa saja boleh baca apa yang dia tulis dekat wall tu. Kalau perkara-perkara baik takpa.”

“Maksudnya?”

“Berapa kali mau tau maksud lah… Iya lah. Tengok-tengok lah sama siapa yang diusik, dengan siapa yang hendak bergurau.”

“Maksudnya?”

“Ishhh… kekadang tu yang paling rancak mengusik tu bini orang, suami orang, tunangan orang. Tak sedar diri kah atau macam mana? Si isteri atau suami tu, tak tahu kah perbuatan begitu boleh mengundang sesuatu yang kurang baik kepada pasangan dia? Cemburu, jealous, makan hati, patah hati. Macam mana pulak dengan orang-orang lain yang dia kenal. Kekadang boleh datangkan fitnah.”

“Fitnah macam mana tu?”

“Fitnah, kata-kata orang di belakang… macam-macam lagi. Contoh, tak padan dah ada suami/isteri, tapi buat-buat macam bujang. Kekadang mungkin orang tak kisah sangat. Entah-entah suami/isteri dia pun tak kisah sangat, aku saja yang kisah. Tapi kita kena ingat, kita ni orang islam. Ada batasnya.”

“Batas macam mana tu?”

“Sebab tu aku kata, nak bergurau, nak usik-usik kena tengok orang sama. Islam ni sifatnya mengelak fitnah, mengelak susah. Kalau si lelaki suka sangat mengusik si wanita. Kalau bujang, single and available malas lah aku nak komen. Kalau yang dah jadi isteri orang, tunangan orang, sedar-sedar lah sikit. Lebih-lebih lagi yang ada basic islam yang kukuh. Pasangan dia takkan takdak perasaan kot. Kalau pasangan jenis yang tak kisah atau kasar sikit ‘bacul’, tak kisah lah.”

“Dan…. Sendiri mau ingat lah. Kalau kita tak suka pasangan kita bergaul terlalu bebas walaupun dalam facebook dengan orang yang tak sama gender, tak suka pasangan kita mengusik-usik, bergurau senda dengan orang lain yang tak sama gender, kita pun pandai-pandai lah kawal. Lelaki ni, kalau tak dilayan, dia takkan nak kacau-kacau sangat (kecuali yang miang).”

“Alah kamu ni, kawan-kawan. Apa salahnya?”

“Iye lah. Tak salah. Kawan-kawan saja, malah dah lebih dari kawan-kawan… Sebab kita ni dah terlalu biasa dengan perkara-perkara macam ni. Sebab tu kita nampak semua ni tak salah. Aku pernah sound seorang perempuan ni. Tujuannya memang nak bergurau saja. Kamu tahu apa dia kata dekat wall facebook? ‘Jom kahwin’…”

“Hahahaha. Then apa kamu buat?”

“Aku suruh dia padam time tu jugak. Aku kata, awat tulis macam tu? Kalau orang lain baca macam mana? Aku tambah, kalau aku ni dah ada isteri, atau tunang, apa perasaan dia kalau terbaca statement macam tu? Sudah tu pulak, walaupun dah terpadam di wall, jangan lupa facebook ni pun hantar jugak dekat email.”

“Hohoho, sampai macam tu?”

“Hmmm, silap aku jugak. Dulu pun aku ni memang jenis layan jer. Tapi entah tiba-tiba macam ada tongkat dari langit yang mengetuk kepala otak aku. Lepas tu baru aku sedar, kekadang perkara yang orang lain nampak kecil tu yang jadi punca berbalah laki bini. Kekadang orang tak sedar, sebab apa? SERONOK…!!!”

“Macam-macam kan?”

“Memang macam-macam. Banyak lagi cerita facebook ni. Tapi malas nak sembang banyak-banyak. Takut-takut, aku sendiri pulak yang buat. Tak ke namanya dilaknat kalau begitu? Cuma satu lah kan, tolong tengok-tengok sama lah, dan tahu siapa diri kita.”

“Iye lah… kamu memang begitu.”

“Hahahaha, aku memang begini. Konservatif, ortodoks, berfikiran kuno, orang lama… semua itu aku lah. Tapi dah tau aku begini, pandai-pandai lah.”

“Hmmm, terasa jugak aku dibuatnya. Macam kena penampar. Hahahahaha.”

“Takdak niat pun nak bagi terasa, Cuma aku cakap apa yang aku rasa saja. Kalau orang lain nak rasa macam lain, diri masing-masing lah. Taknak terima apa yang aku cakap ni pun takpa. Aku bukan nak paksa orang ikut aku. Free country, hahahaha…”

“OK lah…”

“OK….”


***sekadar sembang-sembang kosong di alam maya yang tidak wujud lagi tidak bermaya.


Thursday, July 15, 2010

Kembara mencari Tuhan. (episod 1)

Bumi semakin menggila. Bergoncang, bergegar mengeluarkan isi segala. Pokok, balak, bukit habis runtuh semuanya.

“bencana apakah ini?” pekik si ibu kancil cuba menyelamatkan anak-anaknya.

“kiamat sudah berlaku…!!!” jerit si murai yang memang tidak pandai menjaga kata-kata.

“mungkin bumi sudah tidak rela dihinjak, dipijak.” Balas sang kera yang terjatuh dari pohon ara.

Keadaan hutan menjadi huru-hara. Gempa bumi menggegarkan hutan, tempat kediaman segala haiwan. Tidak pernah berlaku keadaan sedemikian sejak beberapa keturunan.


Setelah beberapa ketika, keadaan mula reda. Bumi yang bergegar kembali tenang. Sang helang terbang tinggi, melihat kemusnahan hutan yang telah terjadi. Setelah beberapa ketika di udara, sang helang mula terbang rendah, menuju ke satu arah.

“tuanku, hutan habis musnah. Mayat haiwan bergelimpangan di merata-rata tempat. Patik tidak pasti berapa ramai yang terselamat.” Helang memberi laporan kepada raja rimba, sang singa.

Raja rimba menggelengkan kepala. Fikirannya buntu memikirkan nasib yang menimpa rakyatnya. Kekandanya sendiri telah mati ditimba pohon balak ketika keluar berburu.

“Patik fikir, gempa akan kembali melanda tuanku. Patik hanya berfirasat, kerana patik melihat langit tidak seperti biasa. Ada tanda-tanda bumi bergegar kembali.”

“Hmmm…” Raja rimba mengeluh berat. Dia benar-benar mati akal. Sejak dia memerintah hutan ini, tidak pernah berlaku keadaan yang sebegini gawat. Masalah ini benar-benar berat.

“panggil si murai datang menghadap beta.” Raja rimba mengeluarkan titah.

“baik tuanku.” Patuh helang terhadap pemimpin kesayangan semua.

Si murai mendapat khabar dengan hati yang berat. Hatinya berdebar-debar. Jarang sekali dirinya dipanggil menghadap raja. Kali terakhir si murai berjumpa raja rimba kira-kira beberapa purnama yang lepas. Si murai dijatuhkan hukuman berat dek selalu membawa mulut ke seluruh pelusuk hutan belantara.

“Hamba datang tuanku.” Si murai tertunduk ke tanah. Tidak berani menatap wajah sang raja rimba.

“Beta ada tugasan untuk kamu, murai. Kerahkan seluruh kerabat kamu supaya khabarkan kepada seluruh warga rimba yang terselamat untuk berkumpul di dataran lapang besok petang. Dan, maklumkan kepada setiap ketua haiwan supaya datang ke istana beta. Ada perjumpaan tergempar yang harus dilaksana.” Sang singa tegas memberi arahan.

“Bbbb…baik tuanku.” Si murai segera beredar. Tidak sanggup lagi berada di situ menghadap raja.

Murai terbang ke seluruh pelusuk belantara, mengkhabarkan kepada seluruh warga rimba akan titah sang raja. Ketua-ketua haiwan yang mendapat berita tertanya-tanya. Tidak pernah tuanku kumpulkan seluruh haiwan pada satu-satu masa, kecuali jika berlaku kemangkatan mana-mana ahli keluarga raja.

Ketua gajah mula tidak tentu arah mendengar arahan sang pemerintah. Walaupun kaumnya paling gagah dalam hutan, tetapi soal pemerintahan tidak pernah dilibatkan. Tugas mereka selama ini hanyalah mengawal keselamatan seluruh hutan bersama-sama sang badak sumbu satu keturunan.

“hendak membuat polisi baru kah? Atau tuanku mahu arahkan kita semua berpindah?” ketua harimau menimbulkan persoalan.

“mungkin raja rimba mahu adakan gotong royong perdana, memandangkan hutan kita sudah huru hara.” Telah sang dubuk beramai-ramai. Kerja sukarelawan adalah kerja yang paling dibencinya, kerana selama ini pun, dubuk hanya pandai mencuri hasil buruan keluarga harimau dan singa. Inikan pula mahu disuruh menyumbang tenaga bersama-sama.

Tok kura mendapat berita si murai dengan tenang. Hidupnya yang sudah lama menjadikan ia berfikir panjang. Tok kura benar-benar mahu menghadiri perjumpaan khas tersebut. Pasti ada buah fikiran yang boleh disumbang. Beberapa lama dahulu, tok kura sering dipanggil memberi nasihat kepada raja rimba. Namun kerana faktor usia, tok ketua tidak lagi terdaya melaksanakannya. Tok kura mengarahkan kaum kerabatnya bergerak segera, kerana dia tahu pasti mereka yang terakhir akan tiba di sana.

Keesokan harinya, semua rakyat jelata berkumpul di tanah rata. Raja rimba tidak hadir bersama, tetapi hanya menghantar menterinya ke sana. Raja rimba menunggu di istana. Murai sejak awal telah berada di pintu istana. Risau ada haiwan yang tidak hadir bersama-sama. Pasti dirinya yang akan dipersalahkan, padahal seluruh warga rimba telah dikhabarkan.

Ketua sang kancil mengambil kehadiran. Semua jenis haiwan telah berada di istana kecuali tok kura. Sang kancil khabarkan kepada sang raja. Seperti di duga, sang murai dipanggil menghadap.

“cari tok kura sampai jumpa. Katakan kepadanya, datang ke istana dengan segera. Jika tidak, kamu akan beta hukum.” Si murai kecut perut mendengar. Di dalam hatinya, dia menyumpah-nyumpa si raja kerana sengaja mahu menderanya.

“bukannya dia tak tahu tok kura tu jalannya perlahan. Tahulah dia tu raja. Tapi, janganlah asyik nak mengarahkan orang lain saja.” Si murai mengomel sendirian.

Walaupun telah tahu keadaan tok kura, sang raja tetap bertegas. Baginda perlu mulakan mesyuarat dengan segera.

“hamba sampai tuanku.” Tiba-tiba tok kura muncul di depan pintu. Gembira sungguh hati murai kerana tidak perlu bersusah payah mencari tok kura. Dia tersenyum sendirian.

Semua ketua haiwan berkumpul menghadap raja yang beradu di atas singgahsana.

“ada apa tuanku panggil kami semua ke mari? Mahu menggubal undang-undang baru kah?” si murai bersuara. Semua ketua haiwan segera memandang ke arahnya. Si murai memang gila. Berani berkata-kata begitu di hadapan tuanku. Raja rimba merenung tajam ke arah si murai. Baru dia tahu bahawa dirinya tersilap. Memang sukar menutup mulut yang becok jika sudah biasa membukanya. Nasib baik raja rimba tidak murka.

“beta panggil kalian ke mari kerana beta mahu berbincang tentang masalah yang telah melanda hutan kita. Sang helang memberitahu bahawa bala bencana itu akan muncul lagi. Segala burung-burung telah terbang jauh meninggalkan tempat ini. Pasti ada firasat yang tidak enak yang mereka ketahui. Jadi, beta mahu kita semua memerah fikiran memikirkan jalan penyelesaian. Sila kemukakan cadangan kalian.” Raja rimba bertitah.

Sunyi sepi. Tiada siapa yang bersuara. Masing-masing juga buntu tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mahu bersuara, takut tersilap kata. Di hadapan mereka bukan kawan-kawan, tetapi raja rimba yang memerintah seluruh belantara.

“Patik cadangkan kita berpindah, tuanku.” Sang gajah memulakan kata-kata.

“Patik rasa tempat ini tidak selamat lagi untuk kita diami. Banyak tempat telah musnah. Carikan saja tempat baru yang lebih selamat.”

“Patik tak bersetuju!” sang monyet memintas.

“Banyak haiwan yang tercedera. Bagaimana mereka mahu bergerak. Tak mungkin kita tinggalkan mereka.”

Lagipun tempat ini telah lama kita duduki. Sejak kecil kita berada di sini. Patik tidak sanggup untuk meninggalkan tempat ini tuanku.” Monyet seakan-akan merayu.

“betul, kami juga tidak bersetuju untuk kita berpindah.” Sahut haiwan-haiwan yang lain.

“hmmm…” raja rimba tidak berkata-kata. Sekadar suara yang bermain-main di tekaknya saja.

“Mengapa menyepi? Berikan sebarang cadangan.” Raja rimba menegur ahli mesyuarat yang diam seribu bahasa.

“Patik ingatkan tuanku mahu adakan gotong-royong perdana, bersihkan kembali tempat-tempat yang telah musnah?” Si dubuk meluahkan rasa hatinya.

“Kita memang akan adakan gotong-royong, tetapi hanya setelah semuanya kembali kepada asal. Firasat para burung tidak boleh kita abaikan. Mereka mempunyai kelebihan tersebut.” Balas raja rimba.

“Beta berharap kalian memberi cadangan untuk kita menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Lebih baik lagi jika kita mampu atasi bencana yang mendatang ini.”

“Tok kura… Beta fikir pasti tok kura punya buah minda untuk dikongsi bersama-sama. Tok kura hidup paling lama dikalangan kita semua.”

“Ampun tuanku, patik sedang memikirkan sesuatu yang belum pernah terfikir dek warga haiwan semua tuanku. Tetapi patik khuatir buah fikir patik ini dilihat sebagai kurang waras atau gila.” Getus tok kura, berkira-kira untuk menyampaikan apa yang terpendam di hati.

“Teruskan tok kura. Kami semua mahu mendengarnya. Dalam perbincangan, semua buah fikiran harus dikeluarkan. Jangan disimpan-simpan.”

“Begini tuanku…”

“Ketika muda dahulu, patik pernah mengembara. Dari paya ke paya. Dari sungai ke muara. Banyak perkara patik temui. Suatu ketika, patik melalui satu daerah, kawasan kediaman manusia yang sangat panas. Sungai-sungainya hampir kering. Patik melihat suasana di sana sangat susah. Rakyatnya menderita kerana kekurangan air. Tanaman dan ternakan mati kekeringan. Patik juga sangat susah ketika itu.”

“suatu hari, patik melihat manusia-manusia itu berkumpul di padang. Mereka melakukan sesuatu yang belum pernah patik pandang. Mereka berdiri beramai-ramai, mereka tunduk beramai-ramai, mereka mencium tanah beramai-ramai. Kemudian, seseorang di hadapan mereka berkata-kata sesuatu. Yang lain menyahut dengan satu perkataan. Mereka meminta kepada sesuatu supaya musibah yang melanda diri mereka dihindari.”

“apa kena mengena dengan keadaan kita ni tok kura?” Murai menyampuk cerita tok kura.

“Murai! Sekali lagi kamu menyampuk, beta arahkan kamu keluar daripada istana beta. Faham!” bentak raja rimba. Murai tertunduk malu. Haiwan lain tersenyum sinis. Tok kura sekadar memerhati. Darah muda, memang selalu kurang kesabaran. Semuanya mahu cepat belaka.

“Baik, patik sambung tuanku.” Kata tok kura.

“Langit seperti biasa. Panas terik menikam kepala. Tetapi ajaib. Keesokan harinya hujan turun dengan lebat sekali. Sungai-sungai yang hampir kering penuh melimpah. Tanah-tanah yang gersang kembali subur. Para penduduk di situ begitu gembira dengan kehadiran hujan yang datang tanpa diduga.”

“firasat hamba, pasti ada kena mengena dengan perbuatan mereka sehari sebelum hujan tersebut.” Ujar tok kura.

“Jadi, apa maksud yang tok kura ingin sampaikan.” Sang gajah inginkan kepastian.

“Tuhan… minta daripada tuhan.” Ringkas tok kura membalas.

“Tuhan???” hampir serentak sidang mesyuarat bertanya. Kehairanan…

“Apa tu tok kura?” si murai bersuara. Serta merta, semua wajah memandang ke arahnya. Si murai serba salah. Dia segera memandang raja rimba.

“Ya, apa tu tok kura?” raja rimba mengulang soalan si murai. Si murai tersenyum, lega serta bangga kerana tidak dimarahi. Tambahan pula, soalannya diulang oleh raja.

“Menurut apa yang patik tahu, tuhan itu satu kuasa yang sangat kuat. Tuhan itu yang menjadikan kita, manusia serta seluruh alam ini. Patik yakin, para manusia itu meminta hujan supaya turun daripada tuhan ini.”

“Tuhan? Yang menciptakan alam? Bukankah alam ini terjadi dengan sendiri tok kura. Wujudkah apa yang dikatakan sebagai tuhan itu? Biar betul tok kura ni.” Si dubuk seolah-olah menyindir. Dia sebenarnya sudah bosan berada di dalam perhimpunan itu. Baginya semua ini hanyalah sia-sia.

“Pasti ada. Mana mungkin sesuatu perkara itu terjadi dengan sendiri. Cuba lihat istana ini. Adakah ia terjadi sendiri?” soal tok kura kepada dubuk, dan kepada semua.

“pastinya tidak. Semua tahu, istana ini sang gajah dan lain-lain haiwan yang bina.” Gajah terasa bangga namanya disebut.

“jika istana yang sebegini rupa pun ada yang membuatnya, pasti alam yang indah ini ada penciptanya. Mana mungkin terjadi sendiri. Tak begitu?” jawapan tok kura benar-benar mengetuk minda mereka yang terlena.

“Benar…” burung hud-hud mencelah.

“patik pernah mengembara hampir ke seluruh pelusuk dunia. Pelbagai ragam manusia telah patik lihat. Benar apa yang dikatakan oleh tok kura itu, tuanku. Para manusia ini ada menyembah sesuatu yang dinamakan tuhan. Apabila susah mereka mengadu kepada tuhan. Apabila sakit mereka meminta tuhan sembuhkan. Dan ada juga yang terlalu mengagung-agungkan tuhan itu.”

“Jadi, maksud tok kura….” Raja rimba tidak menghabiskan ayatnya.

“Ya, kita minta daripada tuhan supaya selamatkan kita daripada malapetaka ini.” Bersemangat tok kura menjelaskan.

“tapi………” burung hud-hud tak menghabiskan bicara.

“kenapa hud-hud?” raja rimba menyoalnya.


akan bersambung.... Insyaallah.

Tuesday, July 13, 2010

mari kira membawa bekal

Teringat zaman sekolah rendah dahulu. Setiap kali waktu rehat, murid-murid berpusu-pusu menuju ke kantin, berebut membeli makanan. Kekadang terasa cemburu melihat rakan-rakan membawa bekalan makanan ke sekolah. Sejak itu, diri mencuba-cuba untuk membawa bekal makanan ke sekolah..

Pertama, duit dapat dijimatkan. Sekurang-kurangnya RM1 dapat disimpan setiap hari (RM1 sangat besar nilainya ketika itu). Kedua, tak perlu bersusah payah untuk berebut makanan di kantin. Sesak dan padat. Kekadang sangat merimaskan. Ketika waktu rehat, bolehlah melepak sambil makan di dalam kelas. Ketiga, boleh berkongsi makanan bersama-sama rakan-rakan. Makanan percuma, kuranglah sikit rasa berkira untuk berkongsi. Pendek kata, jika ada bekalan pasti lebih baik.

Sekarang, diri sudah meningkat dewasa. Alam kampus semakin hari semakin menjauhi. Alam pekerjaan masih lagi mengintai-intai tidak menunjukkan diri. Dalam fikiran, asyik berfikir mahu mencari duit untuk bekalan masa depan. Membaiki taraf hidup yang sedia ada, mendirikan rumah tangga, membeli ‘gadget’ yang selama ini hanya mampu dimiliki dalam mimpi. Sekali lagi, perkataan ‘bekalan’ muncul dalam diari kehidupan.

Ramai manusia memikirkan soal yang sama. Bangsa cina lebih lagi menonjol dalam soal ini. Bekas bos ketika latihan industri selalu berpesan; “ketika muda perlu kerja kuat. Cari bekalan untuk hari tua. Nanti bila sudah kaya, barulah boleh berehat.”

Cuba klik di google, ‘bisnes online’. Bermacam-macam jenis perniagaan yang menjanjikan kekayaan. Ada yang hanya dengan ‘klik’, duit masuk ke dalam akaun. Ada yang kononnya menjual e-book dan menawarkan ‘kedai maya’, dengan tujuan mahu menaja orang baru. Semuanya menawarkan pendapatan bernilai ribuan ringgit. Maka ramailah manusia yang berpusu-pusu memasuki pelbagai program yang ditawarkan ini.

Belum lagi pergi ke mana-mana ‘preview’ network marketing. Berasap-asap para leader memberi penerangan, supaya semua ahli bangkit mengubah nasib diri, keluarga dan bangsa.

Sebaik-baik bekalan.

Semua manusia mahukan yang terbaik. Pekerjaan yang terbaik, kehidupan yang terbaik, perhubungan yang terbaik, dan bekalan juga yang terbaik. Tetapi apakah sebenarnya bekalan yang terbaik? Dan jika dikatakan yang terbaik, pada pandangan siapakah ia diambil kira?

Bekalan terbaik pastinya bekalan yang berkekalan. Terbaik di dunia, dan yang paling penting, juga terbaik di akhirat. Jadi, apakah bekalan terbaik itu?

“Dan berbekallah kamu sekalian, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah Taqwa…..” (Al-baqarah; 197)

Antara doa yang menjadi kemestian setiap muslim seusai solat ialah “Ya Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat. Dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”

Kita sering meminta diberikan kebaikan di dunia dan akhirat, tetapi kebanyakan kerja buat kita hanya tertumpu kepada kebaikan di dunia. Lebih malang lagi, kebaikan di dunia selalunya disandarkan kepada kekayaan harta benda. Maka, setiap hari manusia berlumba-lumba mengejar dunia dan harta. Dunia dijadikan matlamat, seolah-olah itulah akhirat.

Hari ini, kebanyakan orang tidak cukup sekadar bekerja makan gaji. Mereka mencari ‘side-income’ untuk mencari keselesaan hidup. Sekali lagi, faktor dunia diletakkan di hadapan. Bekerja tetap + membuat kerja sampingan. Masih ada lagikah masa untuk mencari sebaik-baik bekalan?

Kerja sampingan untuk menjana sebaik-baik bekalan.

Ada juga yang bekerja seperti orang lain, malah melakukan kerja sampingan lebih daripada orang biasa. Tetapi kerjanya itu menjana taqwa. Sebenarnya setiap pekerjaan yang kita lakukan boleh menghasilkan ‘sebaik-baik bekalan’. Tetapi tanpa ilmu dan iman, kebanyakan manusia hanya berhasil menjana harta tanpa taqwa.

Jika ditanya, mengapa manusia terlalu asyik mengejar harta kekayaan, jawabnya untuk mengecap kebahagiaan. Tetapi adakah harta punca kepada kebahagiaan? Jika begitu, mengapa ramai manusia kaya yang tidak bahagia. Malah ramai yang terlalu sibuk mengumpul harta sehingga tidak sempat untuk menikmatinya.

Namun, jika ditanya pula kepada manusia yang langsung tidak mahu berusaha memperoleh kekayaan, jawabnya harta bukan segala-galanya. Harta tidak boleh membeli bahagia. Tetapi adakah akan bahagia jika tidak berharta? Mengapa banyak rumah tangga yang porak peranda kerana tiada harta.

Jelas, kebahagiaan sebenar bukan berpunca daripada harta, tetapi bukanlah bermakna harta tidak diperlukan.

Jadi, mengapa habiskan terlalu banyak waktu untuk mengejarnya? Cukuplah sekadar yang diperlukan. Gunakanlah waktu melakukan ‘part-time’ itu untuk mengumpul ‘sebaik-baik bekalan’. Selalunya ‘sebaik-baik bekalan’ diperoleh dengan memberi. Harta, masa, tenaga, pemikiran atau apa-apa saja sumbangan semata-mata kerana Allah. Sedekah, pergi ke kuliah-kuliah ilmu, solat jamaah di masjid, jihad fi sabilillah, memikirkan tentang permasalahan umat, semua ini sumber-sumber untuk memperoleh ‘sebaik-baik bekalan’.

Jika benar kita beramal untuk mencari sebaik-baik bekal, mengapa tabung jihad masih kosong tak terisi, kuliah-kuliah agama lengang tiada orang, masjid hanya penuh ketika solat jumaat, tiada yang berminat untuk berjihad?

Jika masa dipenuhkan hanya dengan mencari dan bukannya memberi, dibimbangi bekalan yang sedia ada akan semakin berkurang dan bukannya bertambah.

“mengumpul tak bertambah, menyemai tak bercambah.”

Adakah kita mempunyai kerajaan yang menguasai manusia dan jin seperti nabi Sulaiman sehingga tidak sempat untuk mencari bekalan akhirat?

Tepuk dada, tanya iman. Jangan tanya selera, kerana selera hanya mencari kesedapan dunia. Mari kita mengumpul sebaik-baik bekal, tetapi jangan pula kita terlupa berbekal untuk dunia.

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi (Al-Qashash (28): 77)


Friday, July 9, 2010

Kerja tanpa gaji...

**baca sampai habis...

Apakah perasaan anda jika anda bekerja selama beberapa bulan di sebuah syarikat tanpa dibayar walau satu sen?


Pekerjaan yang sia-sia?

Hanya membuang masa?

Menyesal tak sudah?

Bagaimana pula jika anda telah rasakan bahawa di dunia ini anda telah ‘menutup aurat’, tetapi kelak di hari pembalasan, semuanya dikira sebagai dosa.

Panas, rimas, out-dated… semuanya anda tempuhi dengan bersusah payah, tetapi hakikatnya kesusahan itu tiada makna di sisi tuhan.
Mengapa?


"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim).

“tapi aku memakai tudung!”. Anda mula mempersoalkan. Cukupkah sekadar bertudung?

“aku juga ber T-shirt lengan panjang!”. Anda mula menambah alasan.

Lalu kamu fikirkanlah mengapa pakaianmu itu hanya menambah dosa…

“Bagaimana mahu tahu pakaian saya telah menutup aurat dengan sempurna?”

Bagaimana? Anda lihatlah kepada pakaian anda, lalu tanya pada diri sendiri;

Adakah pakaian ini boleh dipakai untuk melakukan solat? (tanpa memakai telekung atau kain pelikat.)

Jika hati kecil anda rasakan jawapannya ‘TIDAK’, nescaya itu salah satu ‘petunjuk’ bahawa anda tidak menutup aurat dengan sempurna.

Kita wajib menutup aurat ketika bersolat, BENAR???

Allah juga mewajibkan kita menutup aurat di luar solat, BENAR dan BENAR !!!

Jadi apa beza antara keduanya? Sama bukan?

Telekung dan kain pelikat itu bukanlah ‘pakaian rasmi’ ketika solat. Wanita boleh menunaikan solat tanpa telekung, asalkan telah menutup aurat. Syarat bersolat bukanlah bertelekung atau berkain pelikat, tetapi hanya menutup aurat…

Tidakkah anda wahai kaum wanita merasa sia-sia memakai pakaian yang ‘memanaskan’ seumur hidup anda, tetapi di sisi Allah, sebenarnya anda bertelanjang?

Anda bertudung, tetapi T-shirt yang dipakai berlengan pendek. Adakah tanganmu itu bukan aurat?

Anda bertudung, berT-shirt lengan panjang, tetapi pakaian anda terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Bukankah ‘perhiasan’mu itu harus diperlihara?

Bagaimana dengan seluar? Baik, anda telah berseluar panjang, tetapi terlalu sendat. Terlihat segala bentuk yang terpahat. Lebih malang lagi, seluar berkain nipis.
Ternampak di sana corak seluar yang di sebelah dalam itu.

T-shirtnya pula terlalu singkat. Setiap kali tunduk, nampaklah segala-gala yang tidak patut dilihat.

Adakah ini yang anda katakan sebagai ‘menutup aurat’?

Aurat dari sudut bahasa beerti perkara yang aib. Menutup aurat ialah menutup perkara-perkara yang aib. Kita malu jika dada dilihat orang, tetapi masih ‘cuba-cuba’ untuk mendedahkannya.

Maaf bertanya, jika saya (atau mana-mana lelaki) merenung tajam ke arah dada-dada wanita yang sengaja ‘ditayangkan’ dek berpakaian ketat ataupun yang memang sengaja dibuka, adakah anda wanita-wanita yang berpakaian sedemikian akan marah? (memandang itu memanglah satu dosa.)

Dan…pernahkah anda melihat seorang wanita yang memakai skirt yang singkat, ketika hendak duduk terpaksa bersusah payah menyilangkan kaki supaya tidak terlihat dek orang lain perkara yang sepatutnya tidak dilihat?

Kekadang diri sendiri terfkir, buat apa susah payah hendak melenguhkan kaki mengepit. Bukankah lebih baik bukakan saja supaya mana-mana orang yang berkeinginan untuk melihat dapat melihat dengan jelas.

“Eh, mana boleh. Malulah kalau orang lain nampak!”

Bukankah kamu berpakaian sedemikian dengan tujuan supaya orang ramai dapat melihat ‘perkara-perkara’ rahsia tersebut?

“Mana ada… saya pakai sekadar suka-suka. Inikan fesyen semasa.”

Setahu saya, jika barang-barang berharga di kedai ditayangkan untuk khalayak umum, biasanya adalah untuk dijual, atau setidak-tidaknya supaya orang ramai mencuci mana melihatnya. Tetapi ada juga manusia yang menayangkan sesuatu supaya orang ramai tidak melihatnya. Bukankah hal ini suatu yang ganjil?

“…eerrrr!!!...”

Jadi, bolehlah kami lelaki ini melihat?

“..tidak!....”

Kalau tak hendak, tolonglah tutup elok-elok. Jangan lupa, kami lelaki ini ada nafsu. Lebih malang lagi, ‘nafsu’ kami ini hanya satu. 100% nafsu tertumpu ke arah itu. Lainlah kamu wanita, ‘nafsu’nya ada sembilan. Setiap satu hanya 1/9 sahaja. Kalau kamu hendak tolong diri sendiri, maka kenalah tolong juga kami ini. Tolong ‘tutupkan’ mata-mata kami si lelaki. Anda dapat pahala, kami juga terhindar daripada dosa.

Jangan lakukan perkara yang sia-sia.

Berpakaian litup, tetapi telanjang….

Si lelaki pula, masih selesa dengan seluar pendek.

Bangga mendedahkan bulu kaki yang berbelit seperti berus besi…

Aurat lelaki sangat mudah, antara lutut dan pusat.

Tetapi mengapa yang mudah itupun masih dianggap payah…

Kekadang di dalam asrama, berasa bangga hanya dengan berseluar pendek keluar ke mana2. Hatta di dalam bilik sekalipun, rakan sebilikmu tetap haram memandang auratmu.
Susah sangat kah?

Panas? Mengapa orang arab di padang pasir tak pernah mengeluh panas walaupun berpakaian litup di tengah terik mentari.

Panas itu bukan kerana cuaca, tetapi kerana panasnya hatimu tidak mahu patuh kepada perintah agama. Semakin hari semakin panas terasa.

Kalau kamu mahu salahkan cuaca, orang lain juga merasai cuaca yang sama. Mengapa mereka boleh menutup aurat dengan sempurna?

Pernah diberitahu, seorang perempuan membawa sepucuk surat daripada doktor, ditunjukkan kepada si ustaz. “surat ini menyatakan bahawa saya tidak boleh memakai tudung. Jika saya pakai tudung, saya akan rasa seperti hendak pitam.”

Si ustaz selamba berkata, “mengapa tunjukkan kepada saya surat ini. Bukan saya yang mewajibkan menutup kepala. Bawalah surat ini nanti berjumpa dengan tuhan ketika di padang mahsyar nanti. Katakan kepada tuhan, doktor tak benarkan saya memakai tudung.”

Nah, jika kita rasa mampu menjawab sedemikian rupa, buka lah.!!!

Soalan-soalan kubur sudahpun bocor. Siap sedialah dengan jawapannya. Dan jangan lupa, sediakan juga skema jawapan untuk soalan ‘mengapa kamu tidak menutup aurat dengan sempurna…’

Itu saja mahu dileterkan kali ini… Banyak-banyak, takut diri sendiri tak terlaksana…

maaf jika ada yang terasa. kalau badan gatal-gatal, mesti garu sampai terasa, barulah lega. kalau setakat gosok perlahan-lahan, bukan saja gatal tak hilang, geli pula yang datang....

Thursday, July 1, 2010

proposal LOGO MASJID


Gambar di atas merupakan cadangan LOGO MASJID JAMEK TASEK GELUGOR yang akan diutarakan kepada Pengerusi Masjid Jamek.

Dalam perancangan mahu mencadangkan kepada AJK masjid supaya diterbitkan buletin mingguan / bulanan masjid untuk diedarkan kepada ahli qariah. Mahu menawarkan diri untuk menjalankan tugas tersebut. (belum ada apa2 perbincangan lagi setakat ini. Siapkan bahan dulu sebelum berjumpa)

Dah lama tak buat kerja2 sebegini. Kalau dulu jadi admin kepada blog PMIUSM dan terlibat serta memantau buletin PMIUSM (tinta raudah), maka pengalaman tersebut Insyaallah boleh disumbangkan di tempat sendiri. Nama laman blog sudah ada, tapi blognya masih belum wujud. (huh! bagaimana itu..???)

Harap2 cadangan ini diterima oleh pengerusi masjid...