Saturday, July 31, 2010

Kembara mencari Tuhan. (episod 2)

“Jadi, maksud tok kura….” Raja rimba tidak menghabiskan ayatnya.

“Ya, kita minta daripada tuhan supaya selamatkan kita daripada malapetaka ini.” Bersemangat tok kura menjelaskan.

“tapi………” burung hud-hud tidak menghabiskan bicara.

“kenapa hud-hud?” raja rimba menyoalnya.

“Manusia menyembah banyak tuhan, tuanku. Patik mengembara hampir ke seluruh benua. Patik melihat ada pelbagai tuhan yang disembah oleh manusia. Ada yang tunduk menghadap patung, menyembah haiwan, ada yang menjamu makanan kepada berhala, ada yang mengukir batu, ada yang menyembah pokok, ada yang menyembah kepada tuhan yang macam-macam, ada yang langsung tidak menghadap apa-apa.”

“jadi, tuhan yang mana patut kita minta pertolongan.” Ujar si burung hud-hud.

Masing-masing menjadi keliru. Yang tidak tahu bertambah-tambah celaru.

“jadi sekarang bagaimana? Tok kura? Masih mahu teruskan dengan cadangan tersebut?” raja rimba bersuara.

“patik juga tidak tahu tuanku. Tetapi bagi patik, tuhan itu tetap ada dan sangat kuat kuasanya. Patik yakin hanya tuhan saja yang mampu menolong kita semua ketika ini. Kita lemah tiada kuasa.”

“Jadi, apa cadangan tok kura?” sang harimau mula membuka mulut.

“Ya, tok kura ada apa-apa buah fikiran?” raja rimba menambah tanya.

“kita mesti cari tuhan itu. Patik yakin antara tuhan-tuhan yang manusia sembah itu, ada tuhan yang benar-benar tuhan.” Tok kura menambah keyakinan di hati.

“Bagaimana?” serentak semua haiwan bertanya.

Perbincangan menjadi semakin menarik minat semua. Perkara ini tidak pernah berlaku dan tidak pernah terlintas di fikiran mereka semua untuk berlaku.

“Jika tidak khilaf, manusia-manusia yang menyembah tuhan ini mempunyai kitab yang menjadi rujukan mereka.”

“benar! Patik juga mendengar perkara yang sama. Sering juga patik melihat manusia menyemak lembaran-lembaran yang dipanggil kitab itu sebagai rujukan mereka.” Burung hud-hud mencelah.

“jadi? Apa yang kalian mahu lakukan?” soal si raja.

“kita dapatkan kitab-kitab tersebut.” Tok kura memberi cadangan.

“kemudian kita kaji kitab-kitab tersebut. Mungkin kita akan berjumpa dengan petunjuk-petunjuk yang boleh memberitahu kita siapa dia tuhan itu.” Burung hud-hud menambah.

Dia dan tok kura sudah nekad mahu meneruskan pencarian.

“ini kerja gila.” Dubuk membentak. Tidak bersetuju dengan cadangan yang pada fikirannya tidak masuk akal itu.

“selama ini kita tidak pernah kisah pun tentang tuhan ni. Ketika senang, kita tidak pernah terfikir pun tentang tuhan. Tiba-tiba, terkena malapetaka baru hendak mencari tuhan?”

Semua terdiam. Bagai penampar terkena di pipi, tok kura terpaku. Ada benar kata dubuk. Setelah berlaku bencana, baru hendak mencari-cari siapa itu tuhan.

“ketika senang, kita menyangka kita yang berkuasa. Kita merasa, segala keamanan dan kesenangan ini kerana kita pandai mentadbir rakyat jelata.” serentak dubuk memandang si raja rimba. Sengaja mahu menikam raja rimba dengan kata-kata. Dubuk memang tidak pernah takut dengan sesiapa. Sejak dahulu lagi dubuk tidak serasi dengan kaum singa. Malah dubuk sering mencuri hasil buruan singa. Cuma dia masih menghormati sang singa sebagai raja rimba.

“Sudah, sudah. Memang kita yang salah. Sekarang kita mahu menyelesaikan masalah, bukan mahu menambah masalah.” Tok kura cuba meredakan keadaan yang semakin tegang.
Semua akur.

“jadi, tuanku. Adakah tuanku terima cadangan patik dan burung hud-hud?”

“Ya, beta perkenankan. Beta serahkan tugasan ini kepada tok kura. Tok kura cubalah sedaya upaya. Semoga usaha kita akan mendapat kebaikan.”

“patik faham, tuanku. Patik memerlukan pertolongan beberapa sahabat untuk melaksanakan misi ini.”

“baik, jadi beta mahu tok kura uruskan perkara ini. Ada sesiapa mahu membantah atau menambah?”

Semua diam. Dubuk mencemik tanda mengejek.

“lantaklah apa yang mereka mahu lakukan. Aku tidak akan kisah.” Katanya itu sekadar berlegar-legar di lubuk hati.

“jika tiada tambahan, perjumpaan ini akan beta tamatkan. Semua boleh bersurai.”

“Tapi….. sebelum itu. Beta ingatkan kepada semua supaya tidak menceritakan perkara ini kepada sesiapa pun. Hanya antara ketua-ketua haiwan sahaja. Faham!” Raja rimba memberi amaran kepada semua.

Masing-masing beredar. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ada yang masih keliru. Si murai berdiam diri, sedang memikirkan sesuatu.

.................................................................

Semua mangsa musibah diberi bantuan yang sewajarnya. Semua haiwan berkampung di tanah lapang. Tempat perlindungan dibina untuk menempatkan mangsa yang tercedera. Mangsa yang terkorban dikumpul lalu dikambus di satu tempat khas.

Sementara itu tok kura mengumpul beberapa haiwan yang boleh dipercayai untuk memulakan misi, mencari kebenaran. Siapa itu tuhan.

Tok kura menjadi ketua. Yang lain-lain diberikan tugas sesuai dengan kebolehan dan kepandaian.

Si monyet diberi tugas untuk mengumpul kitab-kitab yang dibaca oleh manusia. Bagaimana hendak dilaksanakan, terserah kepada monyet dan helahnya.

Burung hud-hud diarahkan untuk pergi ke tempat-tempat ibadah manusia. Tugasnya memerhatikan apa yang dilakukan oleh manusia terhadap tuhan-tuhan mereka.

Sang kancil nanti akan mengkaji kitab-kitab tersebut. Segala-gala berkaitan tuhan perlu dicari dan diteliti. Kemudian mereka semua akan simpulkan.

Tugasan ini teramat berat. Hampir-hampir semua yang terlibat mahu menolak kerana tidak sanggup untuk melaksanakannya. Tetapi kerana amanah telah diberi, mereka terpaksa merelakan diri. Mereka inilah yang akan mencipta sejarah dalam perjalanan panjang kehidupan haiwan.

.............................................................

Tok kura menghadapkan wajahnya ke langit. Otaknya ligat memikir kata-kata burung hud-hud;

“manusia menyembah banyak tuhan, menyembah patung, menyembah batu, menyembah haiwan.”

“Benarkah manusia menyembah banyak tuhan? Manusia menyembah haiwan? Mengapa mereka menyembah haiwan seperti kami? Sedangkan kami haiwan juga mahu meminta pertolongan daripada tuhan.” Bisik tok kura dalam hatinya.

Tok kura hanya sekali melihat manusia beribadah. Tetapi tidak pula dia melihat manusia-manusia itu menyembah apa-apa di hadapan mereka.

“aku mesti membongkar kekeliruan ini. Tuhan itu pasti ada.”

..............................................................

“tok kura hendak mencari tuhan? Bagaimana?” si tupai bertanya kepada tenggiling.

“Entah lah. Agak-agaknya tok kura tu sudah nyanyok. Maklumlah, umurnya dah lebih seratus tahun.” Jawab tenggiling tanpa mahu berbaik sangka.

“ishh, tak baik kata begitu. Tok kura sangat berpengalaman. Walaupun dia bergerak perlahan, tapi aku dengar dia pernah mengembara keliling dunia.” Si tupai menambah-nambah cerita.

Cerita Tok kura hendak mencari tuhan telah menjadi buah mulut hampir semua haiwan di belantara. Macam-macam tuduhan telah dilemparkan kepada tok kura dan raja rimba. Gila, tidak waras, hilang akal, buat kerja bodoh; semuanya menjadi gelaran terkini tok kura, tak terkecuali raja rimba. Itulah akibat mendapat berita separuh cerita.

Raja rimba telah memberi amaran kepada semua ketua-ketua haiwan supaya tidak menceritakan perihal perbincangan di istana tempoh hari. Raja rimba tahu, jika berita sebegini sampai ke pengetahuan rakyat biasa yang tidak tahu hujung pangkalnya, pasti permata akan dinilai sebagai kaca.

Di satu sudut rimba raya, kedengaran bisik-bisik haiwan berbicara.

“Kamu tahu tak beruk, tok kura sekarang ni hendak mencari tuhan. Dalam mesyuarat dengan raja rimba kelmarin, tok ketua cadangkan kepada raja rimba supaya minta pertolongan daripada tuhan. Katanya tuhan itu ada kuasa yang hebat.” Si murai membuka rahsia pertemuan ketua-ketua haiwan dengan raja rimba.

Si murailah dalang disebalik bocornya rahsia besar belantara. Amaran raja rimba langsung tidak dihiraukannya. Dasar si mulut murai, memang tidak boleh menyimpan rahsia. Akibatnya nama tok kura, malah nama raja rimba sudah tercalar teruk. Pasti nahas jika diketahui raja rimba.

.........................................................

Tiga hari berlalu. Si monyet masih belum pulang membawa kitab-kitab yang dibaca manusia. Dia telah keluar daripada hutan, pergi ke kediaman manusia. Si monyet mengikut petunjuk yang telah diberikan oleh burung hud-hud. Tugasan ‘mencuri’ memang kena dengan dirinya. Jika di Negara India, kaum kerabatnya menggunakan helah licik untuk bertarung dengan manusia bagi mendapatkan susu. Susu di tangan lagikan dicuri, apatah lagi kitab di atas almari.

Burung hud-hud dan beberapa ahli keluarganya yang boleh dipercayai sudah tiga hari menjadi pemerhati. Setiap gelagat manusia di rumah ibadat atau di mana-mana saja diperhati dengan teliti. Setiap gerak geri, tutur bibir dan perbuatan satu persatu dihalusi. Semua itu perlu dijelaskan dengan terperinci dalam perbicangan nanti. Setelah berpuas hati, mereka bergegas pulang ke belantara.

Sang kancil menanti penuh sabar. Beberapa ekor kancil yang paling cerdas mindanya dikumpul bersama. Tok kura juga bersama mereka. Mereka menunggu kepulangan monyet dan burung hud-hud. Tidak terbayang apa yang akan mereka jumpa. Hanya cerita daripada tok kura dan burung hud-hud sahaja yang menjadi bekal buat akal berfikir.

Bagaimana rupa kitab manusia terus menjadi rahsia. Sang kancil pernah melihat lukisan pelik di dalam gua. Lukisan purba yang ditinggalkan oleh manusia. Entah apa maksudnya, dia sendiri kurang tahu. Tambah hairan, gambar kaumnya juga ada terpahat di dinding gua. Manusia memang kaum yang tidak dapat dijangka.

“Sabar….” hanya itu pesan tok kura.



akan bersambung.... Insyaallah

6 comments:

mashitah izzati said...

salam

nta, cerita yg nta nk bawak ada mesejnya..cuma nampak gaya terlalu berat nk sampai kepada maksudnya..

nta lebih kepada perbincangan gunakan perkataan "mulut".. dan suara hati.. but, semacam ada yg xkena...
cuba gunakan teknik menyentuh hati pembaca utk tetap membaca...

lagi satu nta hanya menggunakan pemerhatian dari sudut haiwan sedangkan hutan itu banyak lagi isinya yg perlu diterokai... like satu haiwan yg jumpa tulisan kuno dalam gua...

nta byk mengabaikan elemen2 yg mencantikkan sebuah cerita..xperlu terlalu sarat. boleh diperbaiki lagi

dubuk tu binatang apa??

nta juga boleh ceritakan bagaimana dahsyatnya kemalangan yg menimpa haiwan2 tersebut, cuma olahannya terlalu ringkas... analogi yg nta slalu gna pakai mcm krg dalam cerpen ini...

plot masa dan tempat juga masih kabur....klu kena tepat masa dan ketikanya mungkin boleh jumpa dinasor... =)

tapi ini sudah pasti selepas kedatangan islam zaman khalifah uthman... tp, time tu baru dok mengumpul n menulis semuakan... pasti zaman2 yg lebih terkehadapan

mintalah pada tuhan, all the best..
keep writting

komen insan yg juga tiada memiliki ilmu.. maaf jika salah

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

salam...

komen yg sangat bernas...
hari tu bila ketua editor tanya sebab apa gunakan binantang sbg watak, dia ada bgtau penggunaan watak haiwan akan menyebabkan cerita tu terhad...

satu lagi sbb belum mahir mengolah peristiwa. terlalu tumpukan 'isi dan maksud' sampai tertinggal kulit dan hiasan...

nampak gaya semakin sukarlah untuk habiskan cerpen ni... @ mungkin boleh digunakan utk cerita yg lain, Insyaallah...

thanks. sangat membina...

dubuk tu ala2 hyena...

Guru said...

ada mesej tersirat
betul

tetapi terlalu panjang untuk satu entri
cuba juga hendak menghabiskan

teruskan berkarya

terbaru dari saya : entah apa

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

Kebetulan..!!!

saya baru mencari blog cikgu dalam google, nak mintak komen.. tetiba sudah ada satu...

Jugak bak kata ketua editor tu, cerpen panjangnya lebih kurang 8 m/s MS word di double spacing.

ini dah masuk 15, tapi belum habis2 lagi...

inilah masalahnya bila buat tak baca manual dulu...

Thanks!

mashitah izzati said...

perlu utk sampai kpd "isi dan maksud" tanpa "ayat yg berbunga-bunga dan berbelit-belit" terlalu sarat kerana ia akan membuatkan pembaca terkeliru dan kesannya isi dan maksud tidak akan sampai...

menulis juga perlukan draf.. bukan sekadar menulis apa yg terlintas di hati dan fikiran saat itu kerana ia akan menyebabkan cerita jadi ke sana dan ke situ.

merancang itu perlu...

seperti nasihat2 yg selalu kt dengar... menulis perlu banyak membaca..

perlu juga mengenalpasti apakah bentuk penulisan ini cerpen jenis mana, masuk label agama ka, fiksyen ka, apa2 saja ka.... semua itu perlu jelas...agak2nya menulis ini juga perlukan satu kertas kerja yg lengkap agar kt xterpesong...

but, it's ok for the 1st trial.

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

Baik..!!!