Teringat zaman sekolah rendah dahulu. Setiap kali waktu rehat, murid-murid berpusu-pusu menuju ke kantin, berebut membeli makanan. Kekadang terasa cemburu melihat rakan-rakan membawa bekalan makanan ke sekolah. Sejak itu, diri mencuba-cuba untuk membawa bekal makanan ke sekolah..
Pertama, duit dapat dijimatkan. Sekurang-kurangnya RM1 dapat disimpan setiap hari (RM1 sangat besar nilainya ketika itu). Kedua, tak perlu bersusah payah untuk berebut makanan di kantin. Sesak dan padat. Kekadang sangat merimaskan. Ketika waktu rehat, bolehlah melepak sambil makan di dalam kelas. Ketiga, boleh berkongsi makanan bersama-sama rakan-rakan. Makanan percuma, kuranglah sikit rasa berkira untuk berkongsi. Pendek kata, jika ada bekalan pasti lebih baik.
Sekarang, diri sudah meningkat dewasa. Alam kampus semakin hari semakin menjauhi. Alam pekerjaan masih lagi mengintai-intai tidak menunjukkan diri. Dalam fikiran, asyik berfikir mahu mencari duit untuk bekalan masa depan. Membaiki taraf hidup yang sedia ada, mendirikan rumah tangga, membeli ‘gadget’ yang selama ini hanya mampu dimiliki dalam mimpi. Sekali lagi, perkataan ‘bekalan’ muncul dalam diari kehidupan.
Ramai manusia memikirkan soal yang sama. Bangsa cina lebih lagi menonjol dalam soal ini. Bekas bos ketika latihan industri selalu berpesan; “ketika muda perlu kerja kuat. Cari bekalan untuk hari tua. Nanti bila sudah kaya, barulah boleh berehat.”
Cuba klik di google, ‘bisnes online’. Bermacam-macam jenis perniagaan yang menjanjikan kekayaan. Ada yang hanya dengan ‘klik’, duit masuk ke dalam akaun. Ada yang kononnya menjual e-book dan menawarkan ‘kedai maya’, dengan tujuan mahu menaja orang baru. Semuanya menawarkan pendapatan bernilai ribuan ringgit. Maka ramailah manusia yang berpusu-pusu memasuki pelbagai program yang ditawarkan ini.
Belum lagi pergi ke mana-mana ‘preview’ network marketing. Berasap-asap para leader memberi penerangan, supaya semua ahli bangkit mengubah nasib diri, keluarga dan bangsa.
Sebaik-baik bekalan.
Semua manusia mahukan yang terbaik. Pekerjaan yang terbaik, kehidupan yang terbaik, perhubungan yang terbaik, dan bekalan juga yang terbaik. Tetapi apakah sebenarnya bekalan yang terbaik? Dan jika dikatakan yang terbaik, pada pandangan siapakah ia diambil kira?
Bekalan terbaik pastinya bekalan yang berkekalan. Terbaik di dunia, dan yang paling penting, juga terbaik di akhirat. Jadi, apakah bekalan terbaik itu?
“Dan berbekallah kamu sekalian, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah Taqwa…..” (Al-baqarah; 197)
Antara doa yang menjadi kemestian setiap muslim seusai solat ialah “Ya Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat. Dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”
Kita sering meminta diberikan kebaikan di dunia dan akhirat, tetapi kebanyakan kerja buat kita hanya tertumpu kepada kebaikan di dunia. Lebih malang lagi, kebaikan di dunia selalunya disandarkan kepada kekayaan harta benda. Maka, setiap hari manusia berlumba-lumba mengejar dunia dan harta. Dunia dijadikan matlamat, seolah-olah itulah akhirat.
Hari ini, kebanyakan orang tidak cukup sekadar bekerja makan gaji. Mereka mencari ‘side-income’ untuk mencari keselesaan hidup. Sekali lagi, faktor dunia diletakkan di hadapan. Bekerja tetap + membuat kerja sampingan. Masih ada lagikah masa untuk mencari sebaik-baik bekalan?
Kerja sampingan untuk menjana sebaik-baik bekalan.
Ada juga yang bekerja seperti orang lain, malah melakukan kerja sampingan lebih daripada orang biasa. Tetapi kerjanya itu menjana taqwa. Sebenarnya setiap pekerjaan yang kita lakukan boleh menghasilkan ‘sebaik-baik bekalan’. Tetapi tanpa ilmu dan iman, kebanyakan manusia hanya berhasil menjana harta tanpa taqwa.
Jika ditanya, mengapa manusia terlalu asyik mengejar harta kekayaan, jawabnya untuk mengecap kebahagiaan. Tetapi adakah harta punca kepada kebahagiaan? Jika begitu, mengapa ramai manusia kaya yang tidak bahagia. Malah ramai yang terlalu sibuk mengumpul harta sehingga tidak sempat untuk menikmatinya.
Namun, jika ditanya pula kepada manusia yang langsung tidak mahu berusaha memperoleh kekayaan, jawabnya harta bukan segala-galanya. Harta tidak boleh membeli bahagia. Tetapi adakah akan bahagia jika tidak berharta? Mengapa banyak rumah tangga yang porak peranda kerana tiada harta.
Jelas, kebahagiaan sebenar bukan berpunca daripada harta, tetapi bukanlah bermakna harta tidak diperlukan.
Jadi, mengapa habiskan terlalu banyak waktu untuk mengejarnya? Cukuplah sekadar yang diperlukan. Gunakanlah waktu melakukan ‘part-time’ itu untuk mengumpul ‘sebaik-baik bekalan’. Selalunya ‘sebaik-baik bekalan’ diperoleh dengan memberi. Harta, masa, tenaga, pemikiran atau apa-apa saja sumbangan semata-mata kerana Allah. Sedekah, pergi ke kuliah-kuliah ilmu, solat jamaah di masjid, jihad fi sabilillah, memikirkan tentang permasalahan umat, semua ini sumber-sumber untuk memperoleh ‘sebaik-baik bekalan’.
Jika benar kita beramal untuk mencari sebaik-baik bekal, mengapa tabung jihad masih kosong tak terisi, kuliah-kuliah agama lengang tiada orang, masjid hanya penuh ketika solat jumaat, tiada yang berminat untuk berjihad?
Jika masa dipenuhkan hanya dengan mencari dan bukannya memberi, dibimbangi bekalan yang sedia ada akan semakin berkurang dan bukannya bertambah.
“mengumpul tak bertambah, menyemai tak bercambah.”
Adakah kita mempunyai kerajaan yang menguasai manusia dan jin seperti nabi Sulaiman sehingga tidak sempat untuk mencari bekalan akhirat?
Tepuk dada, tanya iman. Jangan tanya selera, kerana selera hanya mencari kesedapan dunia. Mari kita mengumpul sebaik-baik bekal, tetapi jangan pula kita terlupa berbekal untuk dunia.
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi (Al-Qashash (28): 77)
No comments:
Post a Comment