Thursday, July 15, 2010

Kembara mencari Tuhan. (episod 1)

Bumi semakin menggila. Bergoncang, bergegar mengeluarkan isi segala. Pokok, balak, bukit habis runtuh semuanya.

“bencana apakah ini?” pekik si ibu kancil cuba menyelamatkan anak-anaknya.

“kiamat sudah berlaku…!!!” jerit si murai yang memang tidak pandai menjaga kata-kata.

“mungkin bumi sudah tidak rela dihinjak, dipijak.” Balas sang kera yang terjatuh dari pohon ara.

Keadaan hutan menjadi huru-hara. Gempa bumi menggegarkan hutan, tempat kediaman segala haiwan. Tidak pernah berlaku keadaan sedemikian sejak beberapa keturunan.


Setelah beberapa ketika, keadaan mula reda. Bumi yang bergegar kembali tenang. Sang helang terbang tinggi, melihat kemusnahan hutan yang telah terjadi. Setelah beberapa ketika di udara, sang helang mula terbang rendah, menuju ke satu arah.

“tuanku, hutan habis musnah. Mayat haiwan bergelimpangan di merata-rata tempat. Patik tidak pasti berapa ramai yang terselamat.” Helang memberi laporan kepada raja rimba, sang singa.

Raja rimba menggelengkan kepala. Fikirannya buntu memikirkan nasib yang menimpa rakyatnya. Kekandanya sendiri telah mati ditimba pohon balak ketika keluar berburu.

“Patik fikir, gempa akan kembali melanda tuanku. Patik hanya berfirasat, kerana patik melihat langit tidak seperti biasa. Ada tanda-tanda bumi bergegar kembali.”

“Hmmm…” Raja rimba mengeluh berat. Dia benar-benar mati akal. Sejak dia memerintah hutan ini, tidak pernah berlaku keadaan yang sebegini gawat. Masalah ini benar-benar berat.

“panggil si murai datang menghadap beta.” Raja rimba mengeluarkan titah.

“baik tuanku.” Patuh helang terhadap pemimpin kesayangan semua.

Si murai mendapat khabar dengan hati yang berat. Hatinya berdebar-debar. Jarang sekali dirinya dipanggil menghadap raja. Kali terakhir si murai berjumpa raja rimba kira-kira beberapa purnama yang lepas. Si murai dijatuhkan hukuman berat dek selalu membawa mulut ke seluruh pelusuk hutan belantara.

“Hamba datang tuanku.” Si murai tertunduk ke tanah. Tidak berani menatap wajah sang raja rimba.

“Beta ada tugasan untuk kamu, murai. Kerahkan seluruh kerabat kamu supaya khabarkan kepada seluruh warga rimba yang terselamat untuk berkumpul di dataran lapang besok petang. Dan, maklumkan kepada setiap ketua haiwan supaya datang ke istana beta. Ada perjumpaan tergempar yang harus dilaksana.” Sang singa tegas memberi arahan.

“Bbbb…baik tuanku.” Si murai segera beredar. Tidak sanggup lagi berada di situ menghadap raja.

Murai terbang ke seluruh pelusuk belantara, mengkhabarkan kepada seluruh warga rimba akan titah sang raja. Ketua-ketua haiwan yang mendapat berita tertanya-tanya. Tidak pernah tuanku kumpulkan seluruh haiwan pada satu-satu masa, kecuali jika berlaku kemangkatan mana-mana ahli keluarga raja.

Ketua gajah mula tidak tentu arah mendengar arahan sang pemerintah. Walaupun kaumnya paling gagah dalam hutan, tetapi soal pemerintahan tidak pernah dilibatkan. Tugas mereka selama ini hanyalah mengawal keselamatan seluruh hutan bersama-sama sang badak sumbu satu keturunan.

“hendak membuat polisi baru kah? Atau tuanku mahu arahkan kita semua berpindah?” ketua harimau menimbulkan persoalan.

“mungkin raja rimba mahu adakan gotong royong perdana, memandangkan hutan kita sudah huru hara.” Telah sang dubuk beramai-ramai. Kerja sukarelawan adalah kerja yang paling dibencinya, kerana selama ini pun, dubuk hanya pandai mencuri hasil buruan keluarga harimau dan singa. Inikan pula mahu disuruh menyumbang tenaga bersama-sama.

Tok kura mendapat berita si murai dengan tenang. Hidupnya yang sudah lama menjadikan ia berfikir panjang. Tok kura benar-benar mahu menghadiri perjumpaan khas tersebut. Pasti ada buah fikiran yang boleh disumbang. Beberapa lama dahulu, tok kura sering dipanggil memberi nasihat kepada raja rimba. Namun kerana faktor usia, tok ketua tidak lagi terdaya melaksanakannya. Tok kura mengarahkan kaum kerabatnya bergerak segera, kerana dia tahu pasti mereka yang terakhir akan tiba di sana.

Keesokan harinya, semua rakyat jelata berkumpul di tanah rata. Raja rimba tidak hadir bersama, tetapi hanya menghantar menterinya ke sana. Raja rimba menunggu di istana. Murai sejak awal telah berada di pintu istana. Risau ada haiwan yang tidak hadir bersama-sama. Pasti dirinya yang akan dipersalahkan, padahal seluruh warga rimba telah dikhabarkan.

Ketua sang kancil mengambil kehadiran. Semua jenis haiwan telah berada di istana kecuali tok kura. Sang kancil khabarkan kepada sang raja. Seperti di duga, sang murai dipanggil menghadap.

“cari tok kura sampai jumpa. Katakan kepadanya, datang ke istana dengan segera. Jika tidak, kamu akan beta hukum.” Si murai kecut perut mendengar. Di dalam hatinya, dia menyumpah-nyumpa si raja kerana sengaja mahu menderanya.

“bukannya dia tak tahu tok kura tu jalannya perlahan. Tahulah dia tu raja. Tapi, janganlah asyik nak mengarahkan orang lain saja.” Si murai mengomel sendirian.

Walaupun telah tahu keadaan tok kura, sang raja tetap bertegas. Baginda perlu mulakan mesyuarat dengan segera.

“hamba sampai tuanku.” Tiba-tiba tok kura muncul di depan pintu. Gembira sungguh hati murai kerana tidak perlu bersusah payah mencari tok kura. Dia tersenyum sendirian.

Semua ketua haiwan berkumpul menghadap raja yang beradu di atas singgahsana.

“ada apa tuanku panggil kami semua ke mari? Mahu menggubal undang-undang baru kah?” si murai bersuara. Semua ketua haiwan segera memandang ke arahnya. Si murai memang gila. Berani berkata-kata begitu di hadapan tuanku. Raja rimba merenung tajam ke arah si murai. Baru dia tahu bahawa dirinya tersilap. Memang sukar menutup mulut yang becok jika sudah biasa membukanya. Nasib baik raja rimba tidak murka.

“beta panggil kalian ke mari kerana beta mahu berbincang tentang masalah yang telah melanda hutan kita. Sang helang memberitahu bahawa bala bencana itu akan muncul lagi. Segala burung-burung telah terbang jauh meninggalkan tempat ini. Pasti ada firasat yang tidak enak yang mereka ketahui. Jadi, beta mahu kita semua memerah fikiran memikirkan jalan penyelesaian. Sila kemukakan cadangan kalian.” Raja rimba bertitah.

Sunyi sepi. Tiada siapa yang bersuara. Masing-masing juga buntu tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mahu bersuara, takut tersilap kata. Di hadapan mereka bukan kawan-kawan, tetapi raja rimba yang memerintah seluruh belantara.

“Patik cadangkan kita berpindah, tuanku.” Sang gajah memulakan kata-kata.

“Patik rasa tempat ini tidak selamat lagi untuk kita diami. Banyak tempat telah musnah. Carikan saja tempat baru yang lebih selamat.”

“Patik tak bersetuju!” sang monyet memintas.

“Banyak haiwan yang tercedera. Bagaimana mereka mahu bergerak. Tak mungkin kita tinggalkan mereka.”

Lagipun tempat ini telah lama kita duduki. Sejak kecil kita berada di sini. Patik tidak sanggup untuk meninggalkan tempat ini tuanku.” Monyet seakan-akan merayu.

“betul, kami juga tidak bersetuju untuk kita berpindah.” Sahut haiwan-haiwan yang lain.

“hmmm…” raja rimba tidak berkata-kata. Sekadar suara yang bermain-main di tekaknya saja.

“Mengapa menyepi? Berikan sebarang cadangan.” Raja rimba menegur ahli mesyuarat yang diam seribu bahasa.

“Patik ingatkan tuanku mahu adakan gotong-royong perdana, bersihkan kembali tempat-tempat yang telah musnah?” Si dubuk meluahkan rasa hatinya.

“Kita memang akan adakan gotong-royong, tetapi hanya setelah semuanya kembali kepada asal. Firasat para burung tidak boleh kita abaikan. Mereka mempunyai kelebihan tersebut.” Balas raja rimba.

“Beta berharap kalian memberi cadangan untuk kita menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Lebih baik lagi jika kita mampu atasi bencana yang mendatang ini.”

“Tok kura… Beta fikir pasti tok kura punya buah minda untuk dikongsi bersama-sama. Tok kura hidup paling lama dikalangan kita semua.”

“Ampun tuanku, patik sedang memikirkan sesuatu yang belum pernah terfikir dek warga haiwan semua tuanku. Tetapi patik khuatir buah fikir patik ini dilihat sebagai kurang waras atau gila.” Getus tok kura, berkira-kira untuk menyampaikan apa yang terpendam di hati.

“Teruskan tok kura. Kami semua mahu mendengarnya. Dalam perbincangan, semua buah fikiran harus dikeluarkan. Jangan disimpan-simpan.”

“Begini tuanku…”

“Ketika muda dahulu, patik pernah mengembara. Dari paya ke paya. Dari sungai ke muara. Banyak perkara patik temui. Suatu ketika, patik melalui satu daerah, kawasan kediaman manusia yang sangat panas. Sungai-sungainya hampir kering. Patik melihat suasana di sana sangat susah. Rakyatnya menderita kerana kekurangan air. Tanaman dan ternakan mati kekeringan. Patik juga sangat susah ketika itu.”

“suatu hari, patik melihat manusia-manusia itu berkumpul di padang. Mereka melakukan sesuatu yang belum pernah patik pandang. Mereka berdiri beramai-ramai, mereka tunduk beramai-ramai, mereka mencium tanah beramai-ramai. Kemudian, seseorang di hadapan mereka berkata-kata sesuatu. Yang lain menyahut dengan satu perkataan. Mereka meminta kepada sesuatu supaya musibah yang melanda diri mereka dihindari.”

“apa kena mengena dengan keadaan kita ni tok kura?” Murai menyampuk cerita tok kura.

“Murai! Sekali lagi kamu menyampuk, beta arahkan kamu keluar daripada istana beta. Faham!” bentak raja rimba. Murai tertunduk malu. Haiwan lain tersenyum sinis. Tok kura sekadar memerhati. Darah muda, memang selalu kurang kesabaran. Semuanya mahu cepat belaka.

“Baik, patik sambung tuanku.” Kata tok kura.

“Langit seperti biasa. Panas terik menikam kepala. Tetapi ajaib. Keesokan harinya hujan turun dengan lebat sekali. Sungai-sungai yang hampir kering penuh melimpah. Tanah-tanah yang gersang kembali subur. Para penduduk di situ begitu gembira dengan kehadiran hujan yang datang tanpa diduga.”

“firasat hamba, pasti ada kena mengena dengan perbuatan mereka sehari sebelum hujan tersebut.” Ujar tok kura.

“Jadi, apa maksud yang tok kura ingin sampaikan.” Sang gajah inginkan kepastian.

“Tuhan… minta daripada tuhan.” Ringkas tok kura membalas.

“Tuhan???” hampir serentak sidang mesyuarat bertanya. Kehairanan…

“Apa tu tok kura?” si murai bersuara. Serta merta, semua wajah memandang ke arahnya. Si murai serba salah. Dia segera memandang raja rimba.

“Ya, apa tu tok kura?” raja rimba mengulang soalan si murai. Si murai tersenyum, lega serta bangga kerana tidak dimarahi. Tambahan pula, soalannya diulang oleh raja.

“Menurut apa yang patik tahu, tuhan itu satu kuasa yang sangat kuat. Tuhan itu yang menjadikan kita, manusia serta seluruh alam ini. Patik yakin, para manusia itu meminta hujan supaya turun daripada tuhan ini.”

“Tuhan? Yang menciptakan alam? Bukankah alam ini terjadi dengan sendiri tok kura. Wujudkah apa yang dikatakan sebagai tuhan itu? Biar betul tok kura ni.” Si dubuk seolah-olah menyindir. Dia sebenarnya sudah bosan berada di dalam perhimpunan itu. Baginya semua ini hanyalah sia-sia.

“Pasti ada. Mana mungkin sesuatu perkara itu terjadi dengan sendiri. Cuba lihat istana ini. Adakah ia terjadi sendiri?” soal tok kura kepada dubuk, dan kepada semua.

“pastinya tidak. Semua tahu, istana ini sang gajah dan lain-lain haiwan yang bina.” Gajah terasa bangga namanya disebut.

“jika istana yang sebegini rupa pun ada yang membuatnya, pasti alam yang indah ini ada penciptanya. Mana mungkin terjadi sendiri. Tak begitu?” jawapan tok kura benar-benar mengetuk minda mereka yang terlena.

“Benar…” burung hud-hud mencelah.

“patik pernah mengembara hampir ke seluruh pelusuk dunia. Pelbagai ragam manusia telah patik lihat. Benar apa yang dikatakan oleh tok kura itu, tuanku. Para manusia ini ada menyembah sesuatu yang dinamakan tuhan. Apabila susah mereka mengadu kepada tuhan. Apabila sakit mereka meminta tuhan sembuhkan. Dan ada juga yang terlalu mengagung-agungkan tuhan itu.”

“Jadi, maksud tok kura….” Raja rimba tidak menghabiskan ayatnya.

“Ya, kita minta daripada tuhan supaya selamatkan kita daripada malapetaka ini.” Bersemangat tok kura menjelaskan.

“tapi………” burung hud-hud tak menghabiskan bicara.

“kenapa hud-hud?” raja rimba menyoalnya.


akan bersambung.... Insyaallah.

No comments: