Monday, August 16, 2010
KEMBALI (episod 1)
Angin dingin menampar wajah kusam Azzam. Keras tujahan angin di bumbung Bangunan Wisma Perdana sepuluh tingkat itu. Sesekali Azzam menjenguk mukanya ke bawah. Rasa gayat menyebabkan bulu tengkuknya terpacak menegak. Azzam gagahkan juga dirinya berada di situ. Badannya sedikit bongkok memegang tembok yang hanya separas dengan pehanya. Dia memandang kelibat manusia yang sibuk mengejar masa dan dunia di bawah. Besarnya tak lebih daripada patung askar hijau miliknya sewaktu kecil dahulu. Dia menghembus nafas kuat. Mengeluh, melepaskan resah yang teramat sangat.
Lama dia berada di situ. Jiwanya sangat kacau ketika ini. Otaknya ligat berfikir tanpa zikir. Dadanya berombak deras dek kerana jantungnya yang bekerja keras mengepam darah ke seluruh tubuh. Azzam merenung ke bawah tanpa dapat melihat apa-apa. Kabur. Matanya sahaja yang melihat, tetapi otaknya sedang sibuk memikir perkara yang lain. Perkara yang sangat serius. Terasa seram tatkala perkara itu singgah di benak fikirannya. Azzam memejam matanya rapat. Setitis air jernih mengalir setelah beberapa ketika bertakung di kelopak matanya. Angin lalu segera menepis air matanya. Dingin terasa pipi. Sedingin hati yang semakin kosong tidak terisi.
Kali ini dia benar-benar tekad. Lantas kakinya diangkat tinggi, menapak di atas tembok bata yang menjadi penghadang dirinya dengan ruang udara. Dia terus berdiri. Matanya dipejam. Kakinya menggigil, begitu juga dengan hatinya. Takut memikirkan nasibnya sebentar lagi. Azzam begitu nekad untuk mengambil nyawanya sendiri. Seolah-olah dia itu Tuhan. Dia ingin terjun meninggalkan dunianya. Dunia yang penuh sengsara dan derita. Dunia yang penuh mehnah dan masalah. Baginya mati itu penamat cerita untuk menyelesaikan semua masalah yang melanda dirinya. Tetapi dia tidak sedar bahawa mati sebegitu merupakan pendahuluan cerita kepada episod sengsara yang tiada sudahnya. Bagi Azzam, falsafah sebegitu tidak pernah wujud dalam kehidupannya. Hidup itu di dunia. Mati itu kembali ke dalam tanah. Selesai.
Suasana di tingkat bawah Wisma Perdana menjadi kecoh. Orang ramai berkumpul mahu menyaksikan sesuatu yang sangat jarang boleh dijumpai. Semuanya gara-gara seorang perempuan muda menjerit mengatakan ada orang mahu membunuh diri. Seorang lelaki tua yang berada di situ segera menghubungi polis supaya diambil tindakan segera. Azzam sedar akan hal tersebut. Pemikirannya bertambah kusut. Dia buntu. Tindakannya untuk terjun ke bawah terbantut. Dia menangis teresak-esak, seperti seorang bayi yang dahagakan susu ibu. Begitu jugalah dengan dirinya yang dahagakan kasih sayang dan kebahagiaan. Kononnya.
Kekecohan orang ramai itu menyebabkan Azzam membatalkan niatnya seketika. Dia menapak turun ke lantai. Dadanya terasa agak lapang, walaupun dirinya menyesal kerana tidak meneruskan niat untuk terjun. Tiba-tiba, lengannya dipegang dari belakang. Azzam segera menoleh. Dua orang inspektor polis lengkap beruniform mencengkam erat lengannya. Takut-takut Azzam lolos, lalu terjun ke bawah.
“Lepaskan aku… lepas aku.” Azzam menjerit, meronta-ronta. Namun sekali-kali tidak dilepaskan. Malah makin erat lengannya dicengkam. Azzam diusung secara paksa masuk ke dalam bangunan. Dia terus menjerit, meronta seperti orang gila yang kehilangan barang kesayangan. Badannya teruk menggigil. Lantas akibat tidak tertanggung lagi beban yang sengaja diciptanya, Azzam jatuh, rebah ke lantai. Dia pengsan.
Para pekerja di Wisma Perdana mengerumuni tubuh kaku Azzam yang diusung pergi. Tak ubah seperti mayat, kerana memang itu kehendaknya.
Azzam terjaga. Mukanya dibasahi tompok-tompok percikan air sejuk. Matanya galak memandang. Tempat itu sangat asing bagi dirinya. Kosong dan putih. Hanya sebuah meja stainless steel panjang dan beberapa kerusi yang menjadi hiasan bilik itu. Di hadapannya, seorang pegawai polis lengkap berseragam. Mukanya tegas. Tangannya kemas memegang cawan berisi air sejuk. Air itulah yang digunakan untuk menyedarkan Azzam dari pengsan.
“Apa kamu buat di atas bangunan tu?” Suara garau Inspektor Jamil memecah sunyi.
Azzam diam membisu. Mukanya tertunduk ke bawah. Tidak berani memandang wajah bengis pegawai polis itu. Dia disoal berkali-kali, tetapi reaksinya tetap sama. Diam tiada sepatah kata. Dia tahu itu haknya untuk tidak menjawab apa-apa yang ditanya. Mungkin kerana bosan, pegawai polis itu bangun menuju ke muka pintu.
“Aku mahu call kawan aku.” Tiba-tiba Azzam bersuara.
“Ikut sini.” Ringkas saja jawapannya.
Azzam segera menelefon Zainal, sahabat yang dikenalinya sejak kecil. Zainal segera sampai ke balai polis. Dia terkejut mendapat penjelasan pegawai yang bertugas. Setelah beberapa lama berbincang, akhirnya Azzam dilepaskan tanpa sebarang tindakan.
“Apa yang kau cuba buat ni Zam? Tak tahu kah, bunuh diri tu dosa besar. Tak diampun Allah. Apa yang berlaku ni.” Zainal merupakan sahabat Azzam di tempat kerjanya. Dia juga merupakan supervisor di kilang tersebut. Mereka berdua berkenalan sejak kecil lagi, dan sama-sama mula bekerja di situ 2 tahun yang lalu.
“Aku tahu.” Ringkas jawapannya. Kakinya mengocak air, menghasilkan riak gelombang yang akhirnya hilang. Setelah keluar daripada balai polis, Zainal membawa temannya itu ke kawasan air terjun. Sengaja dipilih tempat itu kerana tidak banyak orang pada hari bekerja. Juga supaya kawasan yang dingin itu dapat menyejukkan hati sahabatnya Azzam. Zainal terpaksa mengambil cuti separuh hari kerana kejadian tersebut.
“Habis tu? Mengapa kau buat jugak?” Lembut suara Zainal menyoal sahabatnya.
Azzam diam. Mukanya tertunduk. Tangannya menggaru peha yang tidak gatal. Zainal juga turut terdiam. Mahu memberi masa kepada Azzam. Dia tahu sahabatnya itu sukar meluahkan masalah yang terpendam. Hatinya sedang berkecamuk. Jiwanya sedang remuk. Dia baru sahaja terlepas daripada maut yang diciptanya sendiri. Keadaan sunyi sepi. Hanya desiran dedaunan yang bergeselan serta bunyi air terjun menjunam menghentam batu yang kedengaran.
“Aku dah tak sanggup untuk hidup lagi Nal. Hidup aku penuh dengan masalah. Aku dah tak tahu nak buat macam mana? Tak ada guna lagi aku hidup. Baik aku mati saja.” Azzam bersuara. Tangannya menyeluk poket, mengeluarkan sebatang rokok daripada kotak. Lantas pemetik api dihidupkan, lalu dihalakan ke hujung batang rokok. Dia menyedut hujung yang satu lagi. Setelah puas menyedut, dia menghembuskan asap ke sebelah kiri bahunya, arah bertentangan daripada kedudukan Zainal. Dia tahu Zainal tidak suka menghidu asap rokok. Zainal pula membiarkan saja. Selalunya di kilang, dia tegas. Tidak dibenarkan menghisap rokok di kawasan kilang. Tetapi kali ini dia membiarkan Azzam dengan tabiat buruknya itu. Pernah beberapa kali dia mengingatkan Azzam bahawa merokok itu telah difatwakan haram oleh para mufti kontemporari. Tetapi, nasihatnya bagai asap rokok. Masuk ke mulut, lalu dihembus keluar kembali.
Sambungan di episod 2...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment