Monday, August 16, 2010

KEMBALI (episod 2)


Sambungan daripada episod 1...



“Jadi, kau fikir mati itu boleh selesaikan masalah?” Zainal mula menyoal.

“Sekurang-kurangnya aku tidak menyusahkan orang lain.” Pandai Azzam menjawab. Kononnya.

“Siapa kata kau tak menyusahkan orang lain, Zam. Kau fikir mati itu dapat selesaikan masalah? Makin banyak masalah adalah. Mak bapak kau belum tahu lagi tentang perkara ni. Macam mana kalau mereka tahu?” Azzam terdiam. Tidak mahu berbalah dengan sahabatnya itu. Dia tahu, apa saja hujahnya pasti akan disangkal. Hujahnya hanya hujah dangkal. Sedangkan Zainal berkata-kata menggunakan pertimbangan akal, juga iman yang menebal.

“Azzam. Kita ni dah lama kenal. Aku dah anggap kau macam saudara aku sendiri. Ceritalah apa masalah kau.” Zainal memujuk lembut.

Azzam diam lagi. Ego diri bernama lelaki menebal di hati. Mengaku diri bermasalah umpama menyerah kalah. Sebolehnya semua masalah, dia mahu selesaikan sendiri. Barulah harga diri bernama lelaki itu tidak dinodai. Itu fikir Azzam. Tapi fikiran begitu tidak boleh dipakai lagi di saat ini. Azzam perlukan bantuan. Biarlah kali ini dia ‘menyerah’, kerana menyerah tidak semestinya kalah, tetapi mahu menyelesaikan masalah.

“Aku banyak hutang Nal. Aku pinjam dengan Along. Banyak. Semalam along tu datang ugut aku. Dia minta aku bayar segera. Tapi aku tak ada duit nak bayar.”

“Ya Allah. Kau pinjam daripada Along? Berapa banyak Zam?”

“RM10000” jawab Azzam ringkas. Matanya mula basah. Egonya sudah remuk. Seremuk hatinya yang penuh masalah.

“Se..sepuluh ribu Zam? Ya Allah, apa kau buat dengan duit tu Zam? Gaji kau tak cukup kah?”

“Mana cukup. Aku ni kuli saja Nal. Berapa sangat gaji yang aku dapat?” Azzam mula meninggikan suara.

“Apa yang kau buat dengan duit gaji kau tu, sampai tak cukup jadinya? Kau bukannya ada tanggungan. Kau tinggal dengan mak bapak kau. Makan minum kau, mereka yang tanggung. Kau pun bukannya ada anak isteri lagi.” Zainal membalas dengan lemah lembut. Azzam tidak membalas kata-kata Zainal. Memang benar apa yang sahabatnya itu katakan.

“Azzam, kau terlibat dengan perkara yang tidak elok kah?” Zainal mula mengesyaki sesuatu.

“Mana kau kenal dengan Along tu? Setahu aku, orang-orang sebegitu hanya berkawan dengan orang-orang jahat. Jawab Zam.”

Azzam diam, tertunduk. Matanya berair kembali. Seolah-olah mengiyakan ‘tuduhan liar’ sahabatnya.

“Zam, bagi tahu aku. Kau terlibat dengan kumpulan samseng kah?”

“Mana ada.” Segera Azzam menyangkal.

“Habis tu? Apa yang kau buat dengan duit sebanyak tu? Mana kau kenal dengan Along tu?” Ataupun kau…” Zainal tidak menghabiskan ayat. Dia tidak sanggup mengetahui kebenaran sekiranya sahabatnya Azzam terlibat dengan perkara tersebut.

“Ya Nal. Aku main…” Ringkas Azzam menjawab. Namun sudah cukup untuk memahamkan Zainal, membenarkan apa yang Zainal takutkan itu. Azzam terlibat dengan judi. Telahan Zainal memang benar. Kumpulan-kumpulan Along ini banyak terlibat dengan aktiviti perjudian. Mereka mendekati para ‘tahi judi’ ini kerana mereka tahu manusia seperti ini pasti memerlukan duit segera.

“Tapi mengapa Zam?” judi tu kan….”

“Aku tahu Nal. Aku tahu. Tapi aku perlukan duit tu.” Segera Azzam memintas kata-kata Zainal. Dia tahu berjudi itu haram hukumnya. Tetapi, apalah sangat makna haram itu bagi orang yang telah dibutakan mata hatinya dengan dunia.

“Sebab kau nak beli kereta tu? Sebab kau nak hidup mewah? Ada telefon bimbit mahal. Ada pakaian yang mahal. Bergaya seperti orang kaya? Itu yang kau nak?” Zainal sedikit membebel. Dia tahu cara hidup sahabatnya yang suka bergaya dan berlagak kaya. Mahu memikat si dara katanya.

“Zam. Kalau nak kaya, bukan begitu caranya. Cara kau tu salah. Di kilang, kau malas bekerja. Selalu ponteng kerja. Orang lain buat kerja lebih masa, kau kurangkan masa kerja. Gaji kena potong. Macam mana nak kaya Zam? Walaupun duit gaji kita tak banyak, tapi kalau keberkatannya ada, insyaallah cukup Zam.”

“Nal, tolonglah jangan membebel dekat aku. Aku ni banyak masalah. Janganlah serabutkan lagi kepala otak aku ni. Kau nak tolong aku atau tak ni?” Azzam yang sejak tadi mendiamkan diri mula berkata-kata. Tidak tahan mendengar leteran sahabatnya. Walaupun perkara itu semuanya benar belaka.

“Ok, baik…baik. Aku minta maaf. Begini Zam. Aku boleh tolong setakat yang aku mampu saja Zam. Tapi masalah kau insyaallah boleh diselesaikan Zam.”

“Macam mana?”

“Minta lah daripada pemilik diri kita Zam.”

“Maksud kau?”

“Ya, kembalilah kepada Allah Zam. Kau perlu tahu punca masalah sebenar kau Zam. Masalah yang kau lihat dan rasa ni sebenarnya hanyalah cabang dan ranting sahaja Zam. Pokok masalah kau ini disebabkan akarnya yang berpenyakit. Tak ada gunanya kau merawat ranting yang rosak, tetapi akar yang berpenyakit itu kau biarkan. Kalau kau ubati penyakit akar yang utama, insyaallah semua masalah akan selesai Zam. Yakinlah.”

“Cuba kau terus terang. Janganlah terlalu berfalsafah.” Azzam mula bosan.

“Aku lihat kau semakin hari semakin jauh daripada Allah. Selama ini aku tak pernah tengok kau bersolat. Waktu solat jumaat pun kau tiada di masjid. Majikan kita dah beri masa bersolat, itu dah cukup baik. Tapi kau tak pernah hargai. Sedangkan kawan-kawan kita di kilang lain terpaksa mencuri-curi masa untuk bersolat, dan kemudian bekerja lebih masa untuk mengganti balik waktu kerja yang 'dicuri' untuk bersolat. Bulan puasa pun kau hisap rokok, tak berpuasa. Dah berkali-kali aku nasihatkan, tak pernah kau peduli.”

“Zainal. Aku....” Azzam cuba memintas sahabatnya.

“Cuba kau dengar dulu Zam. Aku cakap ni sebab nak tolong kau. Kau sahabat aku. Ini masalah sebenar kau Zam.” Kali ini Zainal bertegas. Perkara sebegini telah banyak kali Zainal nasihatkan Azzam. Tetapi tak pernah dilayan. Tak pernah dipeduli. Itu dahulu, ketika sahabatnya tiada masalah. Sekarang ini peluang baginya untuk mengulang kembali soal prinsip dan tujuan kehidupan kepada sahabatnya itu, ketika musibah melanda diri. Fitrah manusia, apabila ditimpa musibah yang berat, barulah sedikit lembut hati yang selama ini keras membatu untuk menerima kebenaran. Itulah manusia.

“Tapi masalah aku…”

“Minta daripada Allah, Zam. Sungguh-sungguh minta daripada Allah. Mohon supaya Allah bantu kau. Tetapi kau sendiri kena bantu diri kau untuk kembali ke pangkal jalan. Tinggalkan perkara-perkara kotor yang kau buat dulu tu. Ini saja cara penyelesaiannya Zam.”

Azzam tersentak. Bagaikan diketuk kepalanya dengan tukul. Sangat jauh dirinya daripada memikirkan tentang tuhan.

“In…Insyaallah aku akan cuba. Kau pun kena tolong aku jugak. Aku bukannya pandai bab-bab begini.” Azzam terpaksa mengaku, untuk mengambil hati Zainal yang sudi membantu. Pada masa yang sama, dia terus menerus berfikir tentang kebenaran yang diperkatakan oleh Zainal. Itulah dirinya yang sebenar.

“Insyaallah aku akan tolong kau. Bimbing kau.”

“Ajarkan aku Zam…” pinta sahabatnya itu. Rasa malu tiada lagi. Tidak malu untuk menuntu ilmu, itu suatu yang mulia.

“Baik. Aku ajarkan kau satu doa ni. Amalkanlah selalu. Kalau kau bersungguh-sungguh, Insyaallah segala masalah kau Allah akan selesaikan, dengan syarat kau juga berusaha.”

“Baik. Apa doanya?”

“Suatu hari, ada seorang sahabat Rasulullah sedang bersedih. Lalu Rasulullah mendekati sahabat tersebut dan bertanya; mengapa kau bersedih? Lalu sahabat tersebut menjawab; aku bersedih kerana beban kehidupan yang terlalu berat dan hutang yang membelenggu hidupku serta kesedihan yang melanda diriku. Sama macam kes kau ni. Lalu Rasulullah bertanya kepada sahabat tersebut adakah dia mahu diajarkan satu doa yang jika dia amalkan nescaya Allah akan hilangkan segala masalah yang menimpa dirinya dan menyelesaikan segala hutang walau banyak mana sekalipun hutang tersebut. Kemudian Rasulullah mengajarkan kepadanya doa ini;

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kegelisahan dan kesedihan, dan aku berlindung denganMu daripada rasa lemah dan sifat malas, dan juga aku berlindung denganMu daripada sifat penakut dan kedekut, serta aku berlindung denganMu daripada belenggu hutang dan penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia terhadapku.”

“Sahih ka Nal?” Azzam cuba berseloroh. Dia bukannya arif dalam bab agama, apatah lagi pengkhususan ilmu hadis. Tapi saja-saja mahu mengusik rakannya yang terkenal dengan ketegasan dalam bab agama.

“Iye. Ada dalam sunan Abu Dawud. Riwayat daripada Abu Said Al-Khudry. Semak lah.” Zainal membalas pedas.

“takpe, takpe. Aku percaya. Tapi Nal, nak tanya sedikit. Apa beza gelisah dengan sedih. Macam sama saja kan?” Mood Azzam kembali ceria. Walaupun masalahnya belum selesai, tetapi hatinya terasa sedikit tenang.

“Sama saja. Dua-dua masalah yang kau hadapi. Betul tak?” Giliran Zainal mengusik Azzam.

Azzam hanya mampu tersenyum kelat mendengar.

“Gelisah atau al-hamm tu ialah perasaan tak tenang terhadap sesuatu yang kita tak tahu. Contohnya, kau tak tahu bila lagi along-along tu akan datang ugut kau. Itu namanya gelisah. Sedih atau al-hazan pula, bila along-along tu dah ugut kau, pukul kau, minta kau bayar, tapi kau tak boleh bayar. Itu menyebabkan kau sedih. Pendek kata semua lapan masalah dalam doa tu kau hadapi. Aku pun tak terkecuali. Jadi ada baiknya kita amalkan sama-sama.

“Baiklah Nal. Terima kasih banyak-banyak. Tapi, nanti pinjamkan aku duit sedikit untuk aku bayar along tu. Aku janji akan pulangkan balik duit kau tu. Aku tau, kau simpan duit tu untuk belanja kahwin kan?”

“Tau takpa…”



-TAMAT-

4 comments:

pengkritik biasa said...

salam...

knapa perlu perkataan "kononnya". seakan cacat sedikit ayat itu.jika nk gna perlu italic kn. sama juga supervisor

lg 1, ayat "teruk menggigil" kenapa bukan menggigil dengan teruk.

overall, permulaan dah ok..susunan dah mcm ayat-ayat dalam novel-novel remaja. part kedua, mati-mati sy ingat azzam terlibat dengan masalah sosial yg menjadi bencana skrg tetapi nyata penulis berjaya membawa satu masalah lain yg xterfikir. bgs2..

cuma, utk part akhir ini... byk "bebelan" walaupun isi nampak cukup padat. penulis krg menggunakan bahasa badan disini.. like "zainal menyentuh lembut bahu sahabatnya".. tetapi tidaklah diketahui situasi lelaki apabila tiba part ini. tetapi tafsiran cara rasulullah menasihati sahabat bertemu lutut ke lutut, meletakkan tangan di diatas peha sahabatnya..... and so on. mungkin lebih praktikal.

p/s: mcm byk adaptasi cerita ttg diri sendiri ja??

Anonymous said...

A good one. Kalau ada sambungan lagi menarik kot~

H.I.S.Y.A.M.U.D.D.I.N said...

To pengkritik biasa: terima kasih atas komen. Insyaallah akan ubah sedikit demi sedikit. part yg last tu dah tak dapat nak fikir ttg bahasa badan, sebab dah dekat pukul 2 pagi... besoknya nak sahur + kerja.

to anon: panjang sangat kalau dah tak jadi cerpen. annyway, tq.

pengkritik biasa said...

xsabar nk tunggu another cerpen utk dikritik...