Saturday, August 7, 2010

MELAYUKAH KITA?

*AMARAN: Artikel ini tiada kena mengena dengan mana-mana politik kepartian.

Bahasa Malaysia ialah bahasa melayu. Semua maklum benar tentang itu. Saban hari kita mendengar laungan supaya pertahankan bahasa melayu, cintakan bahasa Malaysia, kekalkan pembelajaran dalam bahasa Malaysia dan sebagainya.

Semestinya menjadi kewajipan warga Negara Malaysia (Melayu, India, Cina dll) untuk mempertahankannya tanpa menggugat mana-mana bahasa milik mana-mana bangsa. Dan seharusnya, tunjang untuk mempertahankannya adalah bangsa melayu sendiri.

Hari ini bahasa melayu mempunyai terlalu banyak versi, tidak termasuk perbezaan dialek percakapan negeri-negeri di Malaysia.

Seperti bible yang mempunyai pelbagai versi akibat umatnya yang tidak menjaga ketulenan kitab wahyu tersebut, begitu jugalah yang terjadi kepada bahasa melayu akibat sikap dan perbuatan pemilik bahasa tersebut iaitu bangsa melayu.

Apakah versi-versi bahasa melayu tersebut?

Bahasa melayu kini ditutur oleh orang melayu dalam versi yang pelbagai seperti melayu tulen, melayu versi cina, melayu versi india dan tidak ketinggalan melayu versi inggeris yang memualkan.

Jika mahu mengajar kanak-kanak kecil melaungkan takbir, ajarkan kepadanya laungan yang tepat. Allahuakbar!!! Bukannya ‘Allahbat’ seperti yang sering kita dengar. Biarkan kanak-kanak kecil itu menyebut ‘allahbat’ kerana memang itu sebutan yang mampu ditutur olehnya. Tetapi sebagai seorang dewasa yang fasih, adalah salah (malah berdosa) jika kita sengaja menyebut laungan suci itu dalam keadaan salah, sedangkan kita tahu yang sebenar.

Begitu juga dengan bahasa melayu. Bila saja orang melayu bertutur dengan bangsa cina, maka terdengarlah ayat seperti ini;

“Aiiya, auntie. Wa manyak soli laaa. Wa butut-butut lupa mau bawa itu duit kasi sama lu.”

Apabila berjumpa bangsa india pula;

“Aiyoyo Bala, apa you buat sini? Tarak kerja ka ini hari. Kalau hari-hari ini macam, mati looo.”

Versi inggeris pula;

“….%^&*(&^%)…”

Tak mampu untuk ditulis disini kerana bunyinya sangat merimaskan perut.

Tidak bolehkah kita bercakap dengan bangsa lain menggunakan bahasa melayu yang ‘betul’, sama seperti ketika kita bertutur dengan bangsa melayu yang lain? Mengapa tidak?

Adakah kerana kita takut nanti ayat kita tidak akan difahami oleh mereka? Atau kita merasakan bahawa kita sangat jauh dengan mereka apabila menggunakan ayat melayu yang fasih? Tidak dapat ‘menyelam’ ke lubuk hati mereka? Atau apa-apa saja alasannya.

Sebelum temuduga kerja, aku menghubungi pengarah kilang yang berbangsa cina. Aku cuba bertutur dalam bahasa inggeris sehabis baik, tetapi ada beberapa perkataan yang terlalu sukar untuk meluncur keluar dari mulut. Maka aku terpaksa mencampur adukkan dengan bahasa melayu. Kebetulan dia berada berhampiran. Terus dia mematikan perbualan telefon dan ‘memarahi’ aku dengan berkata;

“tak boleh cakap bahasa melayu saja kah? Wa faham lah. Wa pun belajar bahasa melayu jugak.”

Terdiam aku dibuatnya.

Nah! Adakah bahasa melayu yang mereka belajar di sekolah diajar dalam versi cina atau india atau inggeris? Tentunya tidak. Jadi, mengapa kita tidak bertutur dengan bangsa lain menggunakan bahasa yang betul?

Jika mahu mengajar kanak-kanak kecil melaungkan takbir dengan betul, janganlah ajarkan kepadanya sebutan ‘Allahbat’. Jika itu yang diajar, nescaya sampai bila pun dia akan bertutur dengan kesalahan.

Kita tahu bangsa lain bertutur bahasa melayu dalam versi yang ‘bukan melayu’. Mungkin itu kemampuan mereka, atau mungkin itu kemahuan mereka supaya ‘tradisi kecinaan atau keindiaan’ dapat dikekalkan dalam diri meskipun mereka bertutur bukan dalam bahasa ibunda.

Bagaimana pula dengan kita? adakah kerana tidak mampu? Ah! Pastinya tipu. Atau mungkin kita tidak mahu, kerana malu dengan bahasa sendiri? Malanglah kalau begitu.

“berkatalah yang benar walaupun pahit..”

Mungkin kata-kata diatas bukanlah di’sabda’kan kerana hal ini, tetapi ada kaitannya jika diteliti dengan hati yang tulus dan mulus.

Sia-sialah jika kita melaungkan BAHASA JIWA BANGSA jika kita sendiri tidak menjiwai bahasa kita.

Mungkin satu soalan patut dilontarkan kepada diri kita….

MELAYU kah kita?

***tulisan ini sekadar cetusan yang terlintas di fikiran. Sama-sama kita fikirkan.


No comments: