Monday, September 27, 2010

Itulah kita, manusia...

Petang itu, ketika pulang dari kilang, hujan turun di sepanjang perjalanan. Mujur ada selapis baju hujan yang melindungi. Jam sudah hampir pukul 7 malam. ketika hampir sampai ke rumah, lebih kurang 2 kilometer, motorsikal tiba-tiba mati dek kerana dimasuki air ketika meredah becak dan dihentam percikan air oleh kenderaan lain.

Aku berhenti di tepi jalan. Tanpa berfikir panjang, aku lantas menyeluk poket mengambil telefon bimbit lalu segera menelefon bapakku yang berada di rumah. Aku meminta bapakku datang membantu; menunda dengan motorsikal. Bapakku kata dia tidak cekap menolak menggunakan kaki untuk menunda motorsikal, dicadangnya supaya aku diambil dengan kereta dan tinggalkan motorsikal di tepi jalan. Aku menolak cadangan itu, lantas aku mengambil keputusan untuk menolak saja motorsikal pulang ke rumah. Hatiku sedikit kurang senang kerana tidak dapat dibantu. (tetapi aku tahu, bapakku pasti datang; rasa bersalah kerana telah menyusahkannya dan hanya pentingkan diri sendiri.)

Aku terus menolak motorsikal; kira-kira seminit meredah hujan, seorang pakcik datang berhenti. Dia menawarkan diri untuk membantu dan aku bersetuju. Dia terus menunda motorsikalku menggunakan kaki sampai ke pintu pagar rumah. Dalam perjalanan tadi, aku terserempak dengan bapakku yang bergegas menaiki motorsikal meredah hujan mahu membantu, tetapi dia berpatah balik selepas melihat kelibat kami. (hati rasa semakin bersalah kerana telah menyusahkannya.)

Sampai di rumah, aku berfikir berkali-kali tentang peristiwa sebentar tadi.

1) Sebaik saja ditimpa musibah, kita terus mahu mencari manusia untuk meminta pertolongan. Padahal sebenarnya manusia tak selalu dapat membantu. Sebaliknya, ketika aku pasrah mahu menolak motorsikal meredah hujan, ALLAH yang telah membantu diriku dengan menghantar seseorang untuk menolong, padahal aku tidak pernah meminta pertolongan orang itu (juga tidak meminta tolong daripada Allah ketika terkena musibah.)
- kita lebih mengharapkan pertolongan manusia daripada pertolongan ALLAH, sedangkan Allah sebaik-baik pemberi pertolongan.

2) Walaupun diri ini tak pernah terlepas daripada dosa dan kesalahan yang berulang-ulangkali, tapi Allah terus memberi pertolonganNYA walaupun sebenarnya diri ini tak layak menerima 'layanan' sebegitu'. Tandanya Allah itu sentiasa dekat dengan hambaNYA. Kita saja yang selalu lupa tentang hal tersebut.

3) Kita sering mengaku Allah itu 'Cinta Pertama'; tetapi apabila berlaku musibah, ditimpa masalah, mendapat susah, kita tidak terus mengadu dan meminta daripada 'Cinta Pertama' itu, sebaliknya kita mencari 'cinta lain' terlebih dahulu. Setelah berputus asa, tidak dapat selesaikan masalah, buntu, tersekat di pertengahan jalan, baru kita kembali teringat untuk meminta kepada 'Cinta Pertama'. Sedar atau tidak, itulah kita, manusia.

Sunday, September 26, 2010

Kita kan saudara. (Episod 2)


Hari berganti hari. Zul bertolak menaiki bas ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, dia memberitahu paksunya bahawa dia telah pun bertolak menaiki bas.

“Nanti sampai KL, bagitau. Boleh paksu pi ambil.” Paksunya memesan dalam perbualan tadi.

Zul menapak turun dari bas. Dia memandang sekeliling. Sesak, bising, penuh asap. Kali terakhir dia sampai ke kotaraya itu, 2 bulan yang lepas.

“Hello, Assalamualaikum paksu. Zul dah sampai dekat puduraya ni.” suaranya sedikit kuat kerana keadaan petang itu sangat menyesakkan telinga, mata dan minda.

“Ada di mana tu?”

“Puduraya.” Jawabnya ringkas.

“Owh, dah sampai? Kenapa tak bagitau awal-awal. Kan paksu bagitau tadi, masuk saja KL bagitau terus.”

“Hehehe, Zul terlena lah paksu. Syok tidur atas bas. Tak sedar tadi. Sampai Pudu, driver bas tolong kejutkan.” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, sambil tersengih seorang diri. “

“Takpa, tunggu saja dekat situ. Paksu pun sekarang ni pun tak jauh sangat dari situ. Ada kerja dekat town tadi. Campur sesak begini 45 minit sampai lah kot. Zul pi lah solat dulu ka, buat apa-apa yang patut dulu.”

“A’ah. Zul pun belum solat lagi. Nanti kalau paksu dah nak sampai, bagitau lah. Zul turun ke bawah.” Zul berjalan sambil menjinjing begnya mengharungi lautan manusia di situ. Dia berjalan menuju ke surau di tingkat atas stesen bas puduraya.

Setelah hampir sejam bergelut dengan kesesakan lalu lintas, akhirnya Zul dan paksunya sampai di rumah.

“Assalamualaikum.” Zul memberi salam sebaik saja sampai di muka pintu rumah. Paksunya keluar kembali menaiki kereta, ada tugasan katanya.

Pintu dibuka luas. “Yeyeee.. abang Zul datang.” Sara tercegat di muka pintu. Dia memandang wajah tetamu yang hadir, lalu melompat gembira. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

Zul menyambut tangan Sara. Sara tunduk mencium tangannya sendiri. “ Abang Zul bagi salam tadi, dah jawab ka?” Zul mencuit hidung adik sepupunya itu. “Mama mana?”

“Eh, waalaikumussalam. Mama ada dekat dalam. Masuk la.” Jawab Sara sopan.

“Ingatkan nak biar abang Zul dekat luar ni saja tadi. Hehehehe. Jom!” Zul membuka kasutnya dan disusun kemas di atas rak lalu masuk ke dalam rumah.

Tup,tup,tup. Kedengaran bunyi tangga kayu dipijak-pijak. Ija bergegas turun dari tingkat atas apabila terdengar suara Zul.

“Waaahh! Abang Zul dah sampai.” Dia terjerit menerima kunjungan sepupunya itu. Ija menghampiri lalu menghulurkan tangannya kepada Zul untuk bersalaman. Zul lalu mengambil sebuah bungkusan beg plastik yang dibawanya dari rumah dan menghulurkan kepada Ija. Ija sedikit tersentak, lalu menyambut bungkusan tersebut.

“Nah, ni kuih apom. Mak long kirim dari Kedah. Pi letak dekat dapur. Nanti boleh kita makan sekali.”

“Lah, abang Zul ni. Orang nak salam, dia bagi beg ni pulak.” Mukanya sedikit tidak puas hati dengan tindakan Zul sebentar tadi. Zul hanya tersengih. Tidak pula dia menjawab leteran sepupunya itu.

“Ala.. jangan lah marah-marah. Abang Zul baru saja sampai. Maksu mana?” Zul mengubah topik perbincangan. Ija menjinjing beg berisi apom itu ke dapur.

“Mama mandi dekat atas.” Sara mencelah, menjawab persoalan Zul. Abang Zul rehat lah dulu. Mama tu kalau mandi, lambat lagi lah nak siap.” Sara menapak menaiki tangga, mahu memberitahu mamanya. Zul yang keletihan membaringkan tubuhnya di atas sofa.

Noriza kembali ke ruang tamu mendapatkan abang sepupunya itu. Dia membawa segelas jus oren yang dibancuhnya sebentar tadi.

“Nah, minum.” Ija meletakkan gelas berisi jus oren itu di atas meja. Dia berdiri di sebelah sofa yang diduduki oleh Zul.

“Wah, baiknya Ija. Terima kasih.” Tangannya terus mengambil gelas tersebut. Dengan sekali teguk, habis semua air ditelannya.

“Abang Zul, kenapa tak nak salam dengan Ija ni. Asyik main-main saja. Tak baik tau.” Ija mula bersuara. Dia mencebik muka. Dia memandang mata sepupunya itu tajam.

“Hehe.” Zul hanya tersenyum mendengar luahan sepupunya itu.

“Kenapa dengan Sara, Abang Zul boleh salam elok-elok. Tapi bila Ija, Abang Zul main-main. Dah masuk tiga kali tau. Dua kali dekat rumah abang Zul dulu.”

“Uih, Ija ingat semua tu? Alaa Ija ni, merajuk ke? Meh duduk sini abang nak cerita.” Zul menepuk-nepuk sofa di sebelahnya. Pada masa yang sama, dia berganjak ke tempat duduk single.

“Ada apa?” suara Ija tegas, tetapi lembut.

“Jangan lah marah. Kan dah tak comel.” Sempat lagi Zul mengusik. Ija menjelir lidah ke arah Zul.

“Janganlah marah. Abang Zul bukan main-main lah Ija. Sini, abang Zul nak tanya. Ija umur berapa sekarang ni?” Zul memandang tepat ke wajah Ija.

“Hmmm, kenapa pulak tanya umur Ija?” Ija kehairanan ditanya tentang umurnya. Dia mengerutkan dahinya.

“Jawab saja lah.”

“Tahun ni baru masuk 13 tahun. Kenapa?”

“13 tahun… Hmm, bukan baru 13 tahun, tapi sudah 13 tahun. Sara pulak?” Zul cuba bergurau.

“Sara darjah tiga. Kenapa ni tanya umur kami pulak?” Ija menyandarkan badannya di sofa.

“Hmmm, tadi Ija tanya Abang Zul kan kenapa abang Zul tak salam dengan Ija. Ni abang Zul nak bagitau lah ni.”

“Ada kena mengena ka?” Ija kehairanan lagi.

“Kalau tak dak, buat apa nak tanya. OK. Ija nak tau tak ni?” Zul membetulkan duduknya. Dia berganjak sedikit ke hadapan.

“OK, OK. Ija dengar.”

“Ija dah masuk tingkatan 1 kan? Maksudnya Ija dah besar. Sebab tu Abang Zul tak salam dengan Ija.” Perlahan-lahan Zul menjelaskan.

“Kenapa pulak? Raya tahun lepas tak dak masalah pun nak salam. Kenapa sekarang ni tiba-tiba abang Zul kata tak boleh.” Zul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Dia sedang memikirkan idea untuk menerangkan kepada adik sepupunya itu. Bukan tidak tahu apa yang hendak diterang, tetapi tidak jumpa ayat yang sesuai untuk menerangkan sebaik mungkin.

“Dulu Ija kecil lagi. Tapi sekarang ni dah besar sikit. Faham?”

“Sekarang ni pun Ija muda lagi apa?” Ija menyentuh pipinya. Mahu membuktikan bahawa dia masih terlalu muda.

“Memang lah muda. Bila pulak Abang Zul kata Ija tua?”

“Tadi tu?”

“Loh. Besar, bukan tua. Hmmm, macam mana nak bagitau ni…” Zul diam sebentar. Dia memuncungkan mulut ke hadapan. “Takkan abang Zul nak tanya Ija dah datang haid ka belum? Opss! Tertanya pulak. Hehehe.” Muka Ija merah padam mendengar perkataan ‘haid’ yang keluar daripada mulut Zul. Dia tidak berkata apa-apa.

“Hmm, itu lah maksud abang Zul. Abang Zul tak tahu pasal benda tu. Jadi abang Zul anggap bila Ija dah umur 13 tahun, Ija dah besar. Maksudnya dah baligh. Betul atau tak tu abang Zul tak tau lah.” Zul malu sendiri menyebut tentang hal itu. Tapi, dia terpaksa juga menyebutnya.

“Apa lah abang Zul ni, cakap benda pelik-pelik. Malu lah Ija. Ija ni perempuan tau. Heeeee…!” Ija berpura-pura marah. Marah dalam malu.

“Hehehehe. Kiranya betul lah ni?” Zul mengusik sepupunya itu.

“Apa yang betulnya?” Ija pula berpura-pura tidak tahu.

“Tak dak apa.…”

Noriza diam. Malu ditanya sebegitu. “Kalau betul?” dia mula bertanya kembali, kali ini untuk mendapatkan kepastian atas soalan yang diajukan oleh Zul.

“Haaa, kalau betul, maksudnya abang Zul memang tak boleh salam dengan Ija lagi lah. Sebab Ija dah besar. Ija pun, lepas ni tak payah lah hulur tangan dekat abang Zul lagi. Faham?” sedikit lancar Zul berkata-kata.

“Sebabnya?”

“Sebabnya, kita ni sepupu, bukan adik beradik kandung. Kalau sepupu, kita ni dikira bukan mahram. Jadi, tak boleh bersentuhan sama-sama kita. Faham?”

“Sara pun sepupu jugak. Kenapa boleh salam?” Ija menambah soalan.

“Sebabnya Sara tu kecik lagi. Nanti kalau dia dah besar macam Ija, tak boleh jugak lah.”

“Ija kurang faham lah. Pening kepala Ija.” Ija menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, tetapi mula berserabut.

“Hmmm, pening kenapa pulak? Takkan Ija tak belajar dekat sekolah kot pasal ni.”

“Ada ek? Lupa kot. Habis tu kenapa mama dengan papa tak pernah kata apa pun. Suruh Ija salam lagi. Abang Farid pun salam dengan Ija biasa saja. Abang Farid lagi tua daripada abang Zul. Kenapa dia boleh pulak?” Abang Farid yang Ija maksudkan ialah sepupu mereka berdua. Anak sulong kepada Pak lang Hamid.

“Hmmm, sebenarnya bukan boleh salam, tapi…” ayatnya tersekat. Tiada perkataan yang dapat menyempurnakan ayat bagi menyampaikan maksudnya.

“Tapi apa pulak?” Ija bertanya berterusan.

“Macam kes Ija lah.

“Apa pulak Ija.” Dia semakin hairan.

“Ya Allah…” Zul juga semakin tertekan. Mungkin tak bersedia menghadapi soalan bertubi-tubi.

“Begini Ija. Dalam islam, kita ada batasan dalam pergaulan. Faham?”

“OK. Itu Ija tahu.” Ija berganjak ke hadapan. Tidak lagi bersandar. Dia mahu memberi fokus kepada apa yang bakal diperkatakan oleh sepupunya itu.

“Bila kita sudah capai usia akil baligh, dah dewasa, maka hukum tu dah jatuh ke atas kita. Maksudnya kita kena tanggung sendiri. Pergaulan antara orang bukan mahram ada batasannya. Tak boleh bersentuhan. Kalau budak kecil macam Sara tu, takpa lah. Faham?

“Bukan mahram tu macam mana? Kita ni kira bukan mahram ke bang?” Ija menunjukkan jarinya ke dada.

“Mahram kalau maksudnya orang yang ada pertalian darah dan diharamkan kahwin dengan dia. Jadi kalau bukan mahram, maksudnya orang yang boleh dikahwini lah. Sepupu kalau dikira bukan mahram.” Zul menjelaskan mengikut ayat yang dibacanya di internet tentang maksud mahram.

“Abang Zul dengan Ija ni bukan mahram lah. Jadi kita ni boleh berkahwin tau. Hehehe.” Zul tidak habis-habis mahu mengusik adik sepupunya itu.

“Eeee. Sapa nak kahwin dengan abang Zul. Gatal lah. Abang Zul dah tua.” Ija menggoyang-goyangkan badannya, mengertikan rasa ‘geli’ dengan kata-kata Zul.

“Tak nak ek? Ala… jual mahal pulak Ija ni. Tak apa.” Zul terus mengusik.

“Abang Zul ni, dah ada makwe pun dok menggatal lagi.” Ija membuat tuduhan palsu. “Owh, begitu rupanya. Tapi abang Farid tu macam mana? Ija tak boleh salam jugak lah.”

“Uit, bila pulak abang Zul ada makwe? Hmmm, abang Farid pun sama jugak. Sepatutnya tak boleh salam. Mungkin abang Farid tak tau kot. Tak pun, buat-buat tak tau.” Zul tersengih. ‘termengumpat’ sepupu seniornya itu.

“Mama dengan papa pun macam tak kisah saja. Tak tahu jugak ka?” Sambil berkata, Ija memandang ke arah tangga. Takut-takut mamanya ada.

“Hmmm, kekadang kan Ija, bila perkara tu dah jadi adat, orang dah anggap benda tu biasa, walaupun sebenarnya benda tu salah dalam agama. Bersalaman, orang nampak benda baik. Lebih-lebih lagi sama-sama keluarga. Tapi orang terlepas pandang, dalam keluarga pun, ada batas-batas tertentu. “ Zul menjelaskan tentang kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat. “Dulu Ija buat kerana tak tahu. Insyaallah takpa. Tapi sekarang ni Ija dah tahu, jadi Ija kena amal lah.”

“Kalau mama suruh Ija salam jugak macam selalu, macam mana?”

“Ija elak lah. Macam abang Zul buat. Abang Zul tak pergi salam dengan Ija kan? Sebab abang Zul tau Ija mesti akan hulur tangan dekat abang Zul. Alah, pandai-pandai lah. Bila masa dah sesuai, Ija bagitau mama Ija perlahan-lahan. Boleh?”

“Hmmm, susah lah… tapi Ija akan cuba.”

“OK… bagus. Macam tu lah adik abang. Cuma ada lagi yang abang Zul nak bagitau sebenarnya. Tapi nanti saja lah. Lagipun abang Zul tidur sini malam ni. Boleh lah sembang lagi ya?”

“Ada lagi? Apa pulak tu?” Ija mengangkat keningnya. Disangkakan sudah habis, rupa-rupanya ada lagi perkara dalam kepala otak Zul yang hendak diberitahu kepada Ija.

“Nanti lah. Abang Zul nak masuk bilik kejap. Nak mandi. Letih lah. Ni, tolong angkatkan beg abang Zul boleh?”

“OK. Tapi jangan lupa tau. Ija tunggu.”

“Kalau abang Zul lupa, Ija ingatkan lah.” Zul bangun, membetulkan seluarnya.

“Ish. Muda-muda lagi dah lupa. Apa lah.” Sambil mengomel, Ija mencapai beg Zul yang dletakkan di tepi sofa.

“Bebel saja kamu ni.” Zul yang sedang berjalan mahu menuju ke atas menoleh ke arah Ija.

“Eeee…” ija menjelirkan lidah kepada Zul. Mereka sama-sama menuju ke atas. Sampai di tingkat atas, mereka bertembung dengan maksu Ina yang baru selesai menyiapkan diri.


Insyaallah akan bersambung...

Kita kan saudara. (Episod 1)


“Assalamualaikum…..” Sepatah-sepatah kalimah suci itu kedengaran dari luar rumah. Ada bunyi tapak kaki orang sedang berjalan, semakin lama semakin hampir dari pintu rumah.

“Waalaikumussalam.” Hafizul yang sedang menonton televisyen di ruang tamu terus bergegas menuju ke hadapan rumah untuk membuka pintu. “Siapa pula yang datang ni. Nak rehat pun tak senang.” Ngomel Zul di dalam hati. Dia menyelak langsir, menjenguk ke luar untuk melihat tetamu yang datang. Dia tersenyum. Setelah melihat wajah tetamunya itu, dia terus membuka pintu yang tidak berkunci itu.

“Eh, maksu Ina, paksu Man. Ija dengan Sara pun ada. Jemput masuk.” Zul mempelawa adik kepada ibunya itu masuk ke dalam rumah. “Mak, maksu dengan paksu datang.!” Zul menjerit memberitahu ibunya yang sedang memasak di dapur.

“Ija, Sara, salam abang Zul.” Maksu Ina menyuruh anak-anaknya yang berdua itu bersalaman dengan tuan rumah. “Kak Nurul kau mana Zul?”

“Kak Nurul tak balik minggu ni. Masih di Perak.” Sambil itu, Zul menyambut tangan Sara, adik kepada Ija. Lantas dia bersalaman pula dengan paksu Man dan maksu Ina. Sampai giliran Ija, Zul mengacah tangannya untuk bersalam, lalu menarik semula dan menyelak rambutnya yang tegak terpacak.

“Ish, abang Zul ni, main-main pulak. Salam lah betul-betul.” Ija memuncungkan mulutnya kepada Zul sambil mencekak tangan ke pinggang. Garang benar lagaknya.

“Hehehe.” Zul hanya tersenyum melihat gelagat Ija. Dia terus masuk ke dalam rumah setelah mempelawa tetamunya itu duduk di sofa.

“Kejap ya, duduk dulu. Nak panggil ayah sekejap. Dia ada dekat belakang rumah. Sedang bakar sampah agaknya.” Zul terus berlalu. Ibunya segera ke ruang tamu, ingin berjumpa dengan adik bongsunya yang sudah lama tidak berjumpa.

Tiga tahun lepas, maksu Ina tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Hanya selang beberapa rumah sahaja. Hampir setiap minggu, mereka akan berkunjung ke rumah Zul. Tapi sekarang, mereka tinggal di Kuala Lumpur, mengikut suaminya yang ditukarkan tempat kerja ke sana. Kalau dahulu, Noriza, atau panggilan manjanya Ija, sering sahaja tidur di rumah mak longnya itu. Dia sangat rapat dengan keluarga mak longnya itu, terutamanya dengan Zul.

Kebetulan, Zul merupakan anak bongsu. Tiada adik untuk bermesra, jadi Ija sudah dianggap seperti adik kandung sendiri. Ketika itu, Sara masih kecil, jadi dia jarang dibenarkan tinggal di rumah mak long, bersama-sama kakaknya Ija. Maka, dia dengan Zul tidak terlalu rapat walaupun hubungan mereka juga seperti adik beradik. Ija pula, walaupun sebagai kakak, dia sangat manja. Tidak hairanlah dia menjadi adik sepupu kesayangan keluarga mak longnya, terutama sekali dengan Zul.

“Ija ni yang beriya-iya sangat suruh balik Kedah. Katanya rindu dekat mak long dengan abang Zul dia tu.” Mak Su menjeling ke arah Zul yang sedang berjalan ke ruang tamu, diiringi ayahnya.

Kali terakhir maksu Ina sekeluarga berkunjung ke rumah mereka ialah ketika hari raya tahun lepas. Sudah hampir 5 bulan tidak berjumpa. Mereka kembali ke Kedah sempena cuti persekolahan.

“Apa dia? Ija rindu dekat Zul. Hehehe, betul ka Ija?” Zul sengaja mahu menyakat adik sepupunya itu.

“Perasan.” Ija menjelir lidah ke arah Zul.

Mereka berbual panjang sampai ke petang. Ija dan Sara pula asyik menonton televisyen bersama-sama Zul. Kalau dulu, Zul dengan kakaknya Nurul lah yang selalu melayan Ija jika dia tinggal di rumah mereka. Dibawanya memancing di sungai, bersiar-siar menaiki motorsikal, kekadang bershopping di pasaraya. Masakan mereka tidak rapat seperti adik beradik kandung.

“Kak, Ina tak boleh lama dekat sini sebenarnya. Dah janji dengan mak nak sampai ke Penang sebelum maghrib. Kami kena bertolak petang ni jugak.” Maksu Ina memberitahu ibu Zul. Tangannya mencapai kuih tepung talam yang terhidang di meja, lalu disuapkan ke mulut.

“Lah, kenapa sat sangat. Sudah la lama tak jumpa. Tidur lah sehari di rumah.”

“Tak boleh la kak, dah janji dengan mak. Itu pun sehari sahaja kami di rumah mak. Lepas tu nak ke Perlis, rumah mak mertua.” Maksu memandang ke arah suaminya ketika menyebut perkataan ‘mak mertua’. Seolah-olah mahu suaminya itu sama-sama meyakinkan kakaknya bahawa mereka terpaksa juga pergi hari ini.

“Hmmm, takpa lah kalau macam tu. Nanti kirim salam dekat mak.” Ayah Zul sekadar memerhati perbualan mereka. Tadi dia sibuk bersembang dengan paksu Man tentang hal politik negara. Habis dikeluarkan segala surat khabar media perdana dan tabloid-tabloid alternatif untuk memperkuatkan hujah mereka. Itulah topik pilihan setiap kali mereka bersua. Ayah Zul tidak aktif berpolitik seperti paksu Man, tetapi hampir setiap perkara dan peristiwa politik tempatan pasti diketahuinya. Jika ada paksu Man, fakta-fakta dan sumber-sumber baru pasti diperoleh, memandangkan paksu Man terlibat secara langsung dengan parti politik.

“Insyaallah kak.” Keadaan sunyi seketika. Masing-masing asyik menjamu selera, menghabiskan minuman yang tersisa di dalam cawan. Ija dan Sara turut berkumpul di ruang tamu. Sudah habis melayan drama Indonesia bersama-sama abang Zul mereka.

“Abang Zul, jom pi Kuala Lumpur, tidur rumah Ija. Boleh bawak Ija jalan-jalan nanti.” Tiba-tiba Ija bersuara, memecah hening suasana.

“A’ah Zul. Dah lama Zul tak ke rumah mak su, jom lah. Zul pun cuti lagi kan?” maksu menambah bicara, menyokong cadangan yang Ija utarakan tadi.

“Kalau tak ajak pun, sebenarnya Zul memang nak pi sana. Insyaallah minggu depan Zul ada program di KL. Cadangnya memang nak bermalam di rumah Mak Su. Saja Zul tak bagitau lagi. Ingatkan nak buat ‘surprise.’ Ija dah ajak pulak. Dah tak surprise lah nanti. Apalah Ija.” Zul mengangkat tangan gaya Karam Singh Walia ke arah Ija.” Boleh ka paksu, maksu?”

“Boleh, tak dak masalah. Nak tinggal sana lama pun kami tak kisah. Ada jugak orang nak tengok-tengokkan budak-budak ni nanti.” Maksunya membenarkan. Tangannya mengusap kepala Sara. Paksu Man sekadar mengangguk.

“OK, nanti Zul bagitau balik lah macam mana.”

“Yeyeye, abang Zul nak datang rumah.” Ija bersorak sambil memegang tangan adiknya Sara. Sara juga turut gembira. Zul menjelir lidah kepada Ija dan Sara. Mereka berdua membalas kembali, lalu mereka tersenyum ceria.

“Baik kak, abang. Kami balik dulu.” Paksu Man meminta diri untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Dia menampar lembut peha isterinya, memberi isyarat bahawa mereka perlu bergerak segera.

“Hmmm, baiklah. Man, bawak kereta tu elok-elok.” Pesan ayah Zul kepada Paksu Man.
“Baik bang. Ija, Sara, salam pak Long dengan mak Long.”

Ija dan Sara menghulurkan tangan kepada pak Long dan mak Longnya. Mereka bersalaman sambil mencium tangan. Kemudian mereka menghulurkan pula tangan kepada Zul. Zul menyambut mesra tangan Sara. Sampai giliran Ija, Zul menyentuh kepala Ija, lalu menarik jambul tudungnya sedikit ke hadapan. Habis tudung Ija terlucut menutup dahinya.

“Abang Zul jahat tau. Haaaaa…!” Sara ketawa berdekah-dekah melihat kakaknya kalut membetulkan tudung. Maksu dan Paksu juga tersenyum melihat Ija dipermainkan oleh Zul. Mereka tidak pula marah. Sudah biasa melihat Zul bergurau dengan adik-adik sepupunya itu.

“Ish Zul ni. Bukan nak salam elok-elok. Yang pi tarik tudung Ija tu buat apa?” Zul dimarahi oleh ibunya.

“Hahaha. Jangan nakal-nakal tau, Ija, Sara.” Zul pura-pura tidak mendengar leteran ibunya.

“Abang Zul tu yang nakal. Tak baik tau.” Ija membetulkan tudungnya di hadapan cermin tingkap kereta yang diparkir di hadapan rumah. “Tengok la, nanti datang rumah, Ija buli abang Zul pulak.” Sara ketawa melihat kakaknya.

“Sudah tu Ija, Sara. Jom, kita dah lewat ni. OK kak, kami balik dulu, Assalamualaikum. Zul, nanti nak datang rumah, bagitau awal-awal. Boleh paksu ambil di stesen bas.” Maksu Ina memberi pesan kepada Zul.

“Insyaallah, waalaikumusalam.” Sara dan Ija melambai-lambai tangan ke arah mereka bertiga. Wajahnya ceria dapat berjumpa, melepaskan rindu setelah sekian lama tidak bersua. “Bye,bye mak long, pak long. Bye abang Zul. Nanti datang ya!” Ija begitu gembira sekali. Begitu juga dengan Sara.

Kereta paksu Man semakin mengecil pada penglihatan, tanda sudah jauh meninggalkan rumah mereka. Suasana rumah kembali seperti biasa.

“Kamu nak ke KL Zul. Tak bagitau mak dengan ayah pun.” Sambil berjalan memasuki rumah, ibunya bertanya kepada Zul.

“A’ah mak. Zul nak bagitau la ni. Semalam baru dapat tau pasal program tu. Zul nak ke sana tiga hari. Hari pertama saja Zul bercadang nak tinggal di rumah maksu. Zul akan bermalam di tempat program.” Zul sudah biasa, malah agak kerap berprogram di merata-rata tempat di seluruh Negara. Dia aktif berpersatuan di kampus. Ada saja program mahasiswa yang disertainya.


Insyaallah akan bersambung...

Sunday, September 5, 2010

Merdekakan Diri Anda...



Suatu hari, dua sahabat sedang bermain, berkejar-kejaran di dalam sebuah tempat yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan. Akibat keletihan, mereka berhenti berehat di tepi sebuah kincir air yang sedang berputar-putar menentang arus.

“Cik Lisa, kamu tahukah hari ini hari apa?” Cik Wana, sahabatnya mula bertanya.

“Hari apa? Selasa lah kan? Kenapa tanya? Birthday kamu hari ni ka Cik Wana?”

“Birthday tu dah betul dah, tapi bukan birthday saya Cik Lisa oii. Cuba la teka.”

“Aduh, saya ni sebenarnya tak minat sangat nak main teka-teki ni Cik Wana. Maklum lah, kecil-kecil dulu tak sempat nak bersekolah.” Cik Lisa sempat berseloroh.

“Alah, kamu ni Cik Lisa. Budak-budak yang tak bersekolah pun boleh jawab lah. Kamu tu saja yang malas nak berfikir. Kan hari ni kita sambut kemerdekaan. Tahun ni dah masuk 53 tahun Negara kita merdeka.” Jelas Cik Wana bersungguh-sungguh.

“Owh, merdeka rupanya. Cuti kan? Patut lah ramai semacam saja saya tengok hari ni. Merdeka rupanya.”

“Tahu takpa.”

“Baik, Cik Wana. Kamu sibuk nak menyambut merdeka kan? Jadi saya nak tanya kamu satu soalan cepumas. Sudikah kamu menjawab?”

“Soalan apa yang kamu nak tanya tu Cik Lisa? Kalau kena dengan gayanya, boleh lah saya jawab. Kalau soalan ntah apa-apa, I’m so sorry lah.” Cik Lisa berbahasa ala-ala orang Malaysia yang tercelup budaya Amerika.

“Soalannya ialah, apa yang kamu faham pasal merdeka.” Cik Lisa mahu menduga.

“Alah, soalan tu tahap budak tadika lah Cik Lisa. Merdeka tu ialah kita bebas daripada penjajahan para penjajah terkutuk yang menjajah tanah air kita waktu zaman kepenjajahan dahulu.” Sengaja ditekan perkataan jajah tersebut. Mahu melahirkan rasa kebencian terhadap penjajah. Itulah yang hendak disampaikan oleh Cik Wana.

“Amboi, marah benar kamu dengan penjajah tu ya Cik Wana? Kamu pernah jumpa ka?” Cik Lisa sengaja mahu berseloroh.

“Idak ler. Kita mestilah marah dengan penjajah. Mereka ni hanya tahu ikut nafsu saja. Negara sendiri ada, nak jajah Negara orang lain. Dah tu pulak, kaut untung berjuta-juta, bawak lari ke Negara mereka. Yang susah, penduduk Negara kita jugak.” Wajah Cik Wana serius menerangkan.

“Maksudnya, Cik Wana nak bagi tahu yang masa Negara kita kena jajah dulu, rakyat hidup susah lah ya?”

“Memang lah. Rakyat waktu tu tak bebas. Semuanya kena ikut telunjuk penjajah. Kalau masa Jepun dulu, dia mengawal penduduk dengan kekuatan, menyebabkan penduduk jadi ketakutan. Kalau Orang putih pulak, dia buat undang-undang macam-macam. Semua orang kena ikut apa yang mereka cakap. Mana bebas kalau begitu.

“Jadi?”

“Jadi, kita patut bersyukur kerana negara kita sudah merdeka. Dah takdak masalah lagi. Kita bebas.” Ucap Cik Wana penuh rasa bangga.

“Betulkah tak ada masalah Cik Wana? Saya tengok, sekarang ni banyak masalah yang melanda Negara? Bila Negara dah bebas, orang pun dah rasa dia bebas, macam-macam benda pelik berlaku. Kalau dulu penjajah yang larikan kekayaan Negara, sekarang ni kekayaan Negara ‘hilang’ dalam Negara sendiri. Kalau dulu orang takut keluar rumah kerana takut ditangkap penjajah, sekarang ni pulak orang takut nak tinggalkan rumah kerana takut perompak merompak harta. Malah, tinggal dalam rumah pun tak selamat. Merdeka kah macam tu?”

“Hmmm, itu lain la Cik Lisa. Kita cakap pasal merdeka daripada penjajah. Bukan pasal perompak.”

“Ya lah, kalau merdeka sepatutnya kita aman, tapi tidak. Cuba tengok pulak. Kalau dulu sebelum merdeka, anak-anak dengar cakap mak bapak. Sekarang ni, anak-anak pun bunuh mak bapak. Ngeri aku CIk Wana. Selamat aku ni belum ada anak.”

“jauh benar kamu melencong Cik Lisa. Cik Wana kurang selesa dengan komen negative Cik Lisa terhadap Negara merdekanya.

“Kalau nak pergi lagi jauh pun boleh Cik Wana oii. Saya ni walaupun tak bersekolah, tapi saya lihat dengan mata hati. Satu lagi kes. Kalau dulu waktu dijajah, orang ikut telunjuk penjajah. Kena buat begitu, kena buat begini. Orang patuh. Sekarang ni pulak, orang ikut TV. TV kata kena beli ini, orang beli. TV kata kena pakai begini, orang pakai. TV kata kalau nak sambut merdeka kena menyanyi, menari, orang pun ikut menyanyi, menari. Nasib baik lah saya ni tak boleh menari. Kalau tidak macam mana lah gayanya ya?”

“Jadi, apa yang kamu nak maksudkan Cik Lisa?

“Saya nak kata yang Negara kita ni belum merdeka, sebab rakyatnya tak merdeka. Lebih kurang begitu lah.”

“Apa buktinya?”

“Buktinya? Kan tadi saya dah bagitau. Dan kita perlu sedar Cik Wana, kita berdua ni pun sebenarnya belum merdeka. Entah lah kita boleh merasa nikmat merdeka atau tidak?”

“Kenapa kamu cakap macam tu?”

“Kamu lihat lah tu. Orang tu, depan kita ni. Kamu nampak tak apa yang ada dekat tangan dia tu?”

“Ya Allah. Cik Lisa. Saya takut. Jangan-jangan dia nak apa-apakan kita.”

“Sabar Cik Wana. Kita serahkan saja nasib kita kepada tuhan. Andai kata ini pertemuan terakhir kita, saya nak mintak maaf banyak-banyak daripada kamu.”

“Saya jugak Cik Lisa. Hmmm, Cik Lisa, dia dah dekat. Saya rasa dah tiba giliran saya. Saya tak mahu. Tolong Cik Lisa. Toloooonggggg….”

Suara Cik Wana tidak lagi kedengaran. Cik Lisa hanya mampu melihat sahabatnya itu dibawa pergi. Dalam ramai-ramai pengunjung yang berkunjung ke kedai aquarium itu, ada seorang pembeli yang tertarik dengan kecantikan ikan arowana di dalam aquarium kaca tersebut. Cik Lisa, si ikan kelisa hanya menghitung hari. Sama ada akan ada pembeli yang datang membelinya, lantas menambah penderitaan hidupnya yang dikurung dalam aquarium, ataupun dia akan mati di situ saja. Nasib badan.

MERDEKAkan diri anda!!!

Wednesday, September 1, 2010

Hamba bersyukur (episod 2)

“Eh, eh. Ha… kejap-kejap. Aku ada kerja ni.” Tindakannya semakin tidak menentu. Doh yang ditebarnya juga habis koyak rabak. Karim sedikit gelabah. Dia tidak menyangka soalan seperti itu akan disoal oleh Faiz.

“Tak solat lagi lah ni? Sekejap apanya Karim. Lagi sepuluh minit waktu nak habis.” Faiz bertegas sambil menunjukkan jam di telefon bimbitnya.

“Errr…ya,ya.” Karim semakin gelabah. Dibukanya laci meja, mahu mencari sesuatu. Dia menyelak-nyelak barangan di dalam laci.

“Aku tak ada kain pelikat dengan sejadah la.” Memang tiada sejadah dan kain pelikat di dalam laci tersebut. Tetapi akibat terkejut, badannya spontan mahu mendapatkan sejadah. Alasan tak logik itu terpancul daripada mulut Karim. Isterinya di sebelah tidak berkata apa-apa. Sekadar diam menahan malu. Dia meneruskan kerjanya bersendirian. Tak sanggup melihat suaminya gelabah tak tentu pasal, apatah lagi melihat wajah Faiz yang semakin kehairanan dengan gelagat suaminya itu. Dia perempuan, mungkin saja boleh menggunakan alasan kedatangan haid. Lebih baik dia diamkan diri sahaja.

“Kain pelikat tu bukan benda wajib Karim. Sejadah pun sekadar untuk dibuat lapik, bukan syarat sah solat. Kalau tak yakin kebersihan rumput tu, surat khabar kan ada? Hang ni Karim, macam tak pernah pulak solat atas tanah. Kan dulu waktu perkhemahan di hutan kita pernah diajar solat atas tanah. Hujan pulak waktu tu.”

“Ya, ya, ya…” itu saja jawapan yang Karim berikan. Dia membelek-belek lagi laci mejanya. Sekejap-sekejap tangannya meraba-raba pula rak kaca. Habis bertaburan beg plastik dan tisu yang asalnya tersusun kemas di situ.

“Abang cari apa?” Naimah segera bertanya kepada suaminya. Kerjanya membungkus murtabak yang dipesan pelanggan terganggu.

“Air. Mana air botol.”

“Mana ada air. Abang nak buat apa? Naimah bertanya kehairanan

“Ish kamu ni. Nak berwudu’ lah.”

Faiz sekadar menggelengkan kepala melihat tindakan Karim. Dia tidak mahu berkata apa-apa. Soalannya tadi sudah cukup menyebabkan Karim jadi tak tentu arah. Dari situ dia dapat simpulkan sesuatu. Karim dan isterinya tidak bersolat di gerai. Tetapi itu hanya pendapatnya. Dia akan bertanya kepada Karim untuk mendapatkan kepastian. Mana mungkin dia mahu biarkan sahabatnya berterusan begitu.

“Air tak ada lah bang. Tu, kat sana tu ada paip air.” Naimah memuncungkan mulutnya, menunjukkan arah deretan rumah kedai lebih kurang 15 meter dari gerai mereka. Karim segera bergegas ke sana untuk berwudu’. Dua minit kemudian, dia kembali ke gerai. Dia mengambil surat khabar lama yang disimpan dalam laci, lalu menghamparkannya di atas rumput di belakang gerainya. Faiz sekadar melihat. Orang ramai dan jiran sekeliling juga melihat perbuatannya.

Pantas sekali Karim bersolat. Tidak seperti ketika dia masih belajar. Qusyu’ dan tenang. Kekadang dia tampil ke hadapan menjadi imam solat. Itu dahulu, ketika mereka masih belajar di sekolah menengah.

Karim selesai solat. Dia bergegas kembali meneruskan kerjanya yang tertangguh. Api dapur dibesarkan sedikit. Dia mula menebar doh. Sedikit pun tidak memandang ke arah Faiz. Diam.

“Karim, apa semua ni?” Faiz bertanya, mahu mengungkai segala persoalan di benaknya.

“Kenapa apa?” karim bertanya, seolah-olah tidak mengerti apa-apa. Padahal dia tahu apa yang mahu disoal oleh sahabatnya itu.

“Hang tak solat ka sebelum ni? Aku tengok gaya hang tadi macam orang yang tak biasa solat kat tempat macam ni saja?”

Karim tak menjawab. Dia meneruskan kerjanya bersahaja. Naimah memandang ke arahnya. Soalan Faiz kepada suaminya itu, juga terkena kepada dirinya.

“Karim. Hang tahu kan, solat tu tiang agama. Sibuk macam mana pun kita tetap kena solat.”

Karim masih tetap berdiam. Perbuatannya itu seolah-olah menunjukkan bahawa dia memang seorang ‘pesalah’ yang telah terbukti melakukan kesalahan.

“Tu, kopiah atas kepala tu untuk apa? Takkan pakai sekadar nak bagitau pelanggan bahawa hang ni orang baik-baik. Itu menipu namanya.” Tiada pelanggan di gerai Karim. Faiz tahu bila masa yang sesuai untuk berkata-kata demikian.

“Cuba hang bandingkan hidup hang dulu dan sekarang. Dulu hang hanya ada motorsikal lama. Dari dulu motor tu saja yang hang bawak. Tapi sekarang, hang dah boleh beli van. Rezeki ni semua dari Allah. Masa susah kita bersyukur. Waktu senang, lebih-lebih lagi kita kena bersyukur Karim.”

“Faiz, aku bukan apa. Kekadang tak sempat. Takkan aku nak tinggal. Ada orang nak beli.” Faiz mula mencipta alasan untuk menutup kesalahannya. Dia diam. Tak dapat meneruskan kerjanya. Mujur saja tiada orang waktu itu. Gerimis semakin galak turun menyembah bumi.

Faiz bangun, dia mengemaskan kain pelikat yang terlilit di tubuhnya. Lalu bergerak mendekati sahabatnya itu.

“Karim.” Bahu Karim disentuh dari belakang. Naimah menginjak sedikit ke tepi, memberi laluan kepada Faiz. Dia meneruskan kerja seperti biasa, tetapi telinganya dipasang kemas. Mahu juga dia mendengar ‘ceramah’ yang akan Faiz sampaikan sekejap lagi. Itu agakannya.

“Hang rasa dekat padang mahsyar nanti, kalau Allah tanya kenapa hang tak solat, agak-agak boleh ka hang bagitau Allah “Ya Allah, aku tak sempat solat sebab sibuk buat murtabak. Aku sibuk sebab perlu siapkan murtabak yang orang mintak. Kalau aku tinggal, nanti aku rugi Ya Allah.” Boleh ka hang bagi alasan macam tu depan Allah nanti?” Faiz menutur bicara dengan lembut sekali. Tiada niat dalam hatinya untuk memarahi Karim. Dia mahu Karim mendengar dengan hati.

“Dekat masjid tu, ada seorang lelaki takdak kaki. Dia susah payah mengesot ke masjid sebab nak solat. Takkan kita yang sempurna macam ni tak boleh solat.”

“Berapa banyak sangat hang rugi kalau tinggalkan gerai lima minit. Hang takut pelanggan marah, tapi tak takut Allah marah?” Karim melepaskan doh ditangan. Dia berpusing menghadap Faiz.

“Bukan macam tu Faiz. Aku….”

“Tak apa lah Karim. Hang tak perlu bagitau aku. Hang bukannya tak tahu. Kita belajar sama-sama dulu Karim. Aku kenal hang. Cuma tolonglah, jangan buat lagi macam ni. Hang orang yang ada ilmu. Sepatutnya hang jadi contoh dekat peniaga-peniaga lain. Aku yakin, ramai lagi yang berniaga ni tak solat. Asar tertinggal, maghrib pun tertingal. Entah-entah, balik rumah penat, isya’ pun tinggal.”

“Tolonglah Faiz, jangan buat lagi macam ni, boleh? Semua ni untuk diri hang dan keluarga hang jugak. Bukan untuk sapa-sapa.” Faiz seakan-akan merayu, meminta sahabatnya berubah. Dia menoleh ke arah Naimah. Meminta supaya Naimah juga mengerti. Lalu dia kembali menghadap Karim.

“Insyaallah Faiz. Aku..Terima kasih sebab ingatkan aku. Aku tau, selama ni aku silap. Mungkin aku terlupa rezeki ni semua Allah yang bagi, bukan sebab usaha aku saja. Terima kasih Faiz.” Karim terus memeluk sahabatnya Faiz. Air matanya begitu murah mengalir keluar. Faiz menepuk-nepuk belakang Karim. Naimah tidak dapat menahan sebak. Dia juga tersedar, mereka berdua suami isteri terlalu asyik mengejar harta yang tak seberapa sehingga meninggalkan kewajipan sebagai seorang islam.

Orang ramai kehairanan melihat gelagat mereka bertiga. Jirannya kiri dan kanan turut merasa pelik. Walaupun mereka tidak mendengar dengan jelas perbualan Faiz dan Karim, tetapi perbuatan mereka terutamanya sejak Karim tiba-tiba bersolat di belakang gerai benar-benar menimbulkan pertanyaan. Tidak pula mereka datang bertanya. Masing-masing kembali tenggelam dengan kesibukan dunia mereka.

“OK lah Karim. Aku nak beli buah ni. Lepas tu terus nak ke masjid. Dah nak masuk Isya’ ni. Nanti bila-bila kalau tak bukak gerai, datang lah masjid. Banyak perkara nak dibuat kat masjid. Tenaga hang diperlukan.”

“Insyaallah. Aku akan cuba. Hari Sabtu aku tak bukak gerai. Mungkin aku boleh pi masjid.

Terima kasih ya Faiz sebab tolong ingatkan aku.” Karim sedikit tertunduk. Malu pada Faiz. Lebih malu dirinya pada Allah.

“Sama-sama. Tu tanggungjawab aku. Lepas ni kalau hang nampak aku buat benda tak betul, hang wajib betulkan aku. OK, aku pi dulu.” Mereka bersalaman. Faiz menepuk-nepuk bahu Karim.

“Bang.” Naimah menghulurkan kepada Karim bungkusan berisi murtabak untuk diberikan kepada Faiz. Tanda terima kasih kerana sudi memberi teguran yang terbaik kepada mereka.

“Eh, susah-susah saja.” Faiz menyambut beg plastik yang dihulur oleh Karim.

“Tak susah pun Faiz. Rezeki jangan ditolak.” Masing-masing kembali tersenyum setelah keadaan yang agak ‘tegang’ sebelum ini.

Faiz beredar dari gerai Karim untuk membeli buah epal yang dikirim emaknya. Hatinya terasa begitu lapang.

“Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka berdua, dan juga kepada aku dan keluarga. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang ini kepadaku.” Faiz melafazkan puji-pujian kepada Allah, tuhan yang memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghina sesiapa yang Dia kehendaki. Semuanya rezeki dan hidayah daripada Allah.



-Tamat-

Hamba bersyukur (episod 1)

“Bang! Murtabak ayam dua, daging dua. Nak yang panas-panas punya. Bungkus ya.”

“Murtabak siap!” Karim menjawab tanpa memandang wajah pelanggan yang mahu membeli itu.

Tangannya lembut membelai adunan doh di atas meja stainless steel gerai murtabaknya. Tangan kanannya mencelup sedikit minyak, lalu dibiarkan menitik di atas meja. Saki baki minyak disapu di atas doh yang dibentuk membulat, lalu dilenyek-lenyek menjadi leper. Kemudian, dia memegang doh yang telah leper itu dengan kedua-dua tangannya, lalu tangan yang sebelah kanan disilang ke kiri dan dipusing lembut bak tangan penari inang.

Doh yang mengembang di udara dihempas ke atas meja. Dia menebar lagi sehingga doh itu benar-benar nipis. Bahagian tepi doh yang terlipat diratakan, lalu dia mengambil isi murtabak yang telah masak di atas kuali nipis dan diletakkan betul-betul di tengah doh nipis yang dijadikan kulit murtabak. Isi itu dibalut dengan sempurna. Kemudian dia mengangkatnya dan diletakkan kembali di atas kuali nipis panas yang berminyak. Sementara menunggu untuk masak, Karim membetulkan kopiah putih bersulam benang emas di atas kepalanya. Terlalu asyik menebar doh sehingga senget dibuatnya.

Setelah benar-benar masak, dia mengangkat murtabak tersebut dan diletakkan di sebelah. Lantas, isterinya Naimah segera membungkus dengan plastik jernih. Cukup bilangan yang diminta pelanggan, dia memasukkan murtabak tersebut di dalam beg plastik. Disertakan juga dua bungkusan kecil berisi bawang merah yang diperam. Semuanya berharga enam ringgit Malaysia.

Belum sempat pelanggan tadi berlalu pergi, datang pula dua tiga orang pelanggan baru yang teringin mahu menikmati keenakan murtabak ayam dan daging yang dibuat oleh Karim. Begitulah kehidupan baru Karim sejak tiga bulan lepas. Setiap hari mana-mana tempat yang ada pasar malam di sekitar Seberang Perai, pasti ada gerai murtabak Karim. Gerainya jarang-jarang putus dikunjungi pelanggan. Murah sungguh rezeki dia dan isteri.

Hari jumaat, Karim akan membuka gerai di pasar malam Bertam, tidak jauh dari rumahnya. Dia telah menetap di situ lebih lima tahun. Seperti hari-hari biasa, pelanggannya selalu ramai.

“Bang, bagi saya murtabak dua puluh.”

Terkejut, Karim terus memandang ke arah pelanggan yang meminta dengan jumlah yang banyak itu. Pelanggan itu tersenyum lebar, tertahan-tahan mahu ketawa melihat wajah Karim yang seperti orang menang loteri sejuta ringgit.

“Laa, hang rupanya Faiz. Terkejut aku tadi. Mai-mai, jemput duduk dulu. Sat, aku nak siapkan murtabak ni dulu.” Karim menyuruh isterinya memberikan kerusi kepada Faiz.

Faiz membetulkan kain pelikat cap Gajah Duduk yang dipakainya lalu duduk menyilang kaki di belakang Karim yang sedang sibuk melayan permintaan pelanggan. Matanya asyik melihat Karim menebar doh untuk dibuat kulit murtabak. Dia pernah belajar menebar roti canai, tetapi sudah lama tidak dipraktik. Mungkin sudah hilang seninya.

“Hang dari mana Faiz? Lawa semacam ja. Siap dengan baju melayu lagi ni?”

“Lawa ka? Biasa saja. Aku solat maghrib di masjid tadi. Terus singgah ke sini. Mak aku kirim buah epal. Kebetulan nampak hang dekat sini, singgah kejap. Dah lama tak jumpa hang. Maklum la, aku ni bukan rajin sangat shopping kat pasar malam ni.”

“Owh.” Ringkas jawapan Karim.

“Macam mana bisnes hang? Rancak aku tengok.”

“Alhamdulillah. Macam ni la. Tak menang tangan aku dibuatnya. Nasib baik isteri aku ada sekali. Kalau aku seorang, tak bukak gerai lah jawabnya. Hari ni macam kurang sikit pelanggan. Langit pun mendung semacam ja.”

“Dah hujan pun. Aku rasa ada dua tiga titik air hujan terkena muka. Gerimis.”

Karim terus dengan kerjanya meskipun ketika pelanggan tiada. Sengaja disiapkan banyak supaya dapat bersembang dengan tetamu gerainya, Faiz.

“Hang masih kerja dekat kedai Kak Salmah tu lagi ka? Semalam hang kat mana?” Karim sudah hampir lima tahun bekerja sebagai penebar roti canai di kedai makan Kak Salmah, sejak dia berpindah ke Bertam. Dia memang mahir membuat pelbagai jenis roti. Oleh kerana pendapatan yang tak seberapa di kedai makan itu, dia dan isteri mengambil keputusan untuk berniaga di pasar malam.

“A’ah, aku masih kerja di situ macam biasa. Semalam hari khamis. Aku kat Tasek Gelugor. Depan balai polis tu. Hang buat apa sekarang ni?”

“Macam biasa. Siang sibuk dengan kerja. Malam pulak, kekadang ada mesyuarat, hujung minggu ada program. Macam tu lah.”

“Owh.”

“Dulu kita selalu pi program sekali. Sekarang ni aku seorang saja. Boring takdak kawan.” Faiz memandang tepat ke arah Karim. Kata-katanya seolah-olah mahu mengajak Karim kembali dengan aktiviti bersamanya.

Karim tidak menjawab. Sekadar meneruskan kerjanya menebar doh. Isterinya langsung tidak mengendahkan perbualan mereka berdua.

Keadaan senyap sebentar. Masing-masing membuat kerja sendiri. Faiz memandang di sekitar gerai milik Karim. Sesekali, dia memandang jauh ke gerai-gerai lain di sekitarnya. Dia melihat gelagat seorang makcik yang sedang memilih ubi keledek. Mungkin hendak dibuat mee kuah, Faiz meneka di dalam hati.

Faiz meraba poket baju melayunya untuk mengambil telefon bimbitnya. Lalu dia menekan butang unlock, lantas lampu LED menyala menerangi skrin telefon bimbitnya. Dia melihat jam digital di skrin. Sudah pukul 8.15 malam. Sudah hampir 15 minit dia berada di gerai murtabak Karim. Dia membelek-belek lagi keadaan kawasan gerai Karim. Seperti ada benda yang mahu dicarinya.

“Hang solat dekat mana Karim?” mata Faiz masih tercari-cari kawasan yang sesuai untuk bersolat di sekitar gerai Karim.

“Apa dia Faiz?” Karim yang tersedar namanya dipanggil kembali bertanya.

“Tak, aku tanya tadi. Hang solat kat mana? Belakang tu ka?” sambil tangannya menunjukkan satu kawasan berumput di belakang gerai Karim, bersebelahan longkang berdiameter 50 sentimeter.

“Ehem.” Karim tidak menjawab. Sekadar berdehem yang tersekat-sekat. Dia memandang ke arah isterinya. Mukanya sedikit berubah. Begitu juga muka isterinya, Naimah. Faiz kehairanan melihat reaksi Karim dan isterinya.

“Kenapa? Salahkah aku tanya soalan tu Karim.?

Karim meneruskan kerjanya, seolah-olah tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Faiz. Faiz bertambah hairan. Mula timbul syak wasangka dalam hatinya.

“Takkan kot” suaranya itu sekadar berlegar-legar di dalam hati. Dia tidak mahu menuduh sesuatu kepada sahabatnya Karim. Dia kenal siapa Karim. Tak mungkin perkara seperti itu dilakukan oleh insan seperti Karim.

“Karim, kenapa tak jawab?” Faiz mahukan penjelasan.



Bersambung...Insyaallah.