Sunday, September 26, 2010
Kita kan saudara. (Episod 1)
“Assalamualaikum…..” Sepatah-sepatah kalimah suci itu kedengaran dari luar rumah. Ada bunyi tapak kaki orang sedang berjalan, semakin lama semakin hampir dari pintu rumah.
“Waalaikumussalam.” Hafizul yang sedang menonton televisyen di ruang tamu terus bergegas menuju ke hadapan rumah untuk membuka pintu. “Siapa pula yang datang ni. Nak rehat pun tak senang.” Ngomel Zul di dalam hati. Dia menyelak langsir, menjenguk ke luar untuk melihat tetamu yang datang. Dia tersenyum. Setelah melihat wajah tetamunya itu, dia terus membuka pintu yang tidak berkunci itu.
“Eh, maksu Ina, paksu Man. Ija dengan Sara pun ada. Jemput masuk.” Zul mempelawa adik kepada ibunya itu masuk ke dalam rumah. “Mak, maksu dengan paksu datang.!” Zul menjerit memberitahu ibunya yang sedang memasak di dapur.
“Ija, Sara, salam abang Zul.” Maksu Ina menyuruh anak-anaknya yang berdua itu bersalaman dengan tuan rumah. “Kak Nurul kau mana Zul?”
“Kak Nurul tak balik minggu ni. Masih di Perak.” Sambil itu, Zul menyambut tangan Sara, adik kepada Ija. Lantas dia bersalaman pula dengan paksu Man dan maksu Ina. Sampai giliran Ija, Zul mengacah tangannya untuk bersalam, lalu menarik semula dan menyelak rambutnya yang tegak terpacak.
“Ish, abang Zul ni, main-main pulak. Salam lah betul-betul.” Ija memuncungkan mulutnya kepada Zul sambil mencekak tangan ke pinggang. Garang benar lagaknya.
“Hehehe.” Zul hanya tersenyum melihat gelagat Ija. Dia terus masuk ke dalam rumah setelah mempelawa tetamunya itu duduk di sofa.
“Kejap ya, duduk dulu. Nak panggil ayah sekejap. Dia ada dekat belakang rumah. Sedang bakar sampah agaknya.” Zul terus berlalu. Ibunya segera ke ruang tamu, ingin berjumpa dengan adik bongsunya yang sudah lama tidak berjumpa.
Tiga tahun lepas, maksu Ina tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Hanya selang beberapa rumah sahaja. Hampir setiap minggu, mereka akan berkunjung ke rumah Zul. Tapi sekarang, mereka tinggal di Kuala Lumpur, mengikut suaminya yang ditukarkan tempat kerja ke sana. Kalau dahulu, Noriza, atau panggilan manjanya Ija, sering sahaja tidur di rumah mak longnya itu. Dia sangat rapat dengan keluarga mak longnya itu, terutamanya dengan Zul.
Kebetulan, Zul merupakan anak bongsu. Tiada adik untuk bermesra, jadi Ija sudah dianggap seperti adik kandung sendiri. Ketika itu, Sara masih kecil, jadi dia jarang dibenarkan tinggal di rumah mak long, bersama-sama kakaknya Ija. Maka, dia dengan Zul tidak terlalu rapat walaupun hubungan mereka juga seperti adik beradik. Ija pula, walaupun sebagai kakak, dia sangat manja. Tidak hairanlah dia menjadi adik sepupu kesayangan keluarga mak longnya, terutama sekali dengan Zul.
“Ija ni yang beriya-iya sangat suruh balik Kedah. Katanya rindu dekat mak long dengan abang Zul dia tu.” Mak Su menjeling ke arah Zul yang sedang berjalan ke ruang tamu, diiringi ayahnya.
Kali terakhir maksu Ina sekeluarga berkunjung ke rumah mereka ialah ketika hari raya tahun lepas. Sudah hampir 5 bulan tidak berjumpa. Mereka kembali ke Kedah sempena cuti persekolahan.
“Apa dia? Ija rindu dekat Zul. Hehehe, betul ka Ija?” Zul sengaja mahu menyakat adik sepupunya itu.
“Perasan.” Ija menjelir lidah ke arah Zul.
Mereka berbual panjang sampai ke petang. Ija dan Sara pula asyik menonton televisyen bersama-sama Zul. Kalau dulu, Zul dengan kakaknya Nurul lah yang selalu melayan Ija jika dia tinggal di rumah mereka. Dibawanya memancing di sungai, bersiar-siar menaiki motorsikal, kekadang bershopping di pasaraya. Masakan mereka tidak rapat seperti adik beradik kandung.
“Kak, Ina tak boleh lama dekat sini sebenarnya. Dah janji dengan mak nak sampai ke Penang sebelum maghrib. Kami kena bertolak petang ni jugak.” Maksu Ina memberitahu ibu Zul. Tangannya mencapai kuih tepung talam yang terhidang di meja, lalu disuapkan ke mulut.
“Lah, kenapa sat sangat. Sudah la lama tak jumpa. Tidur lah sehari di rumah.”
“Tak boleh la kak, dah janji dengan mak. Itu pun sehari sahaja kami di rumah mak. Lepas tu nak ke Perlis, rumah mak mertua.” Maksu memandang ke arah suaminya ketika menyebut perkataan ‘mak mertua’. Seolah-olah mahu suaminya itu sama-sama meyakinkan kakaknya bahawa mereka terpaksa juga pergi hari ini.
“Hmmm, takpa lah kalau macam tu. Nanti kirim salam dekat mak.” Ayah Zul sekadar memerhati perbualan mereka. Tadi dia sibuk bersembang dengan paksu Man tentang hal politik negara. Habis dikeluarkan segala surat khabar media perdana dan tabloid-tabloid alternatif untuk memperkuatkan hujah mereka. Itulah topik pilihan setiap kali mereka bersua. Ayah Zul tidak aktif berpolitik seperti paksu Man, tetapi hampir setiap perkara dan peristiwa politik tempatan pasti diketahuinya. Jika ada paksu Man, fakta-fakta dan sumber-sumber baru pasti diperoleh, memandangkan paksu Man terlibat secara langsung dengan parti politik.
“Insyaallah kak.” Keadaan sunyi seketika. Masing-masing asyik menjamu selera, menghabiskan minuman yang tersisa di dalam cawan. Ija dan Sara turut berkumpul di ruang tamu. Sudah habis melayan drama Indonesia bersama-sama abang Zul mereka.
“Abang Zul, jom pi Kuala Lumpur, tidur rumah Ija. Boleh bawak Ija jalan-jalan nanti.” Tiba-tiba Ija bersuara, memecah hening suasana.
“A’ah Zul. Dah lama Zul tak ke rumah mak su, jom lah. Zul pun cuti lagi kan?” maksu menambah bicara, menyokong cadangan yang Ija utarakan tadi.
“Kalau tak ajak pun, sebenarnya Zul memang nak pi sana. Insyaallah minggu depan Zul ada program di KL. Cadangnya memang nak bermalam di rumah Mak Su. Saja Zul tak bagitau lagi. Ingatkan nak buat ‘surprise.’ Ija dah ajak pulak. Dah tak surprise lah nanti. Apalah Ija.” Zul mengangkat tangan gaya Karam Singh Walia ke arah Ija.” Boleh ka paksu, maksu?”
“Boleh, tak dak masalah. Nak tinggal sana lama pun kami tak kisah. Ada jugak orang nak tengok-tengokkan budak-budak ni nanti.” Maksunya membenarkan. Tangannya mengusap kepala Sara. Paksu Man sekadar mengangguk.
“OK, nanti Zul bagitau balik lah macam mana.”
“Yeyeye, abang Zul nak datang rumah.” Ija bersorak sambil memegang tangan adiknya Sara. Sara juga turut gembira. Zul menjelir lidah kepada Ija dan Sara. Mereka berdua membalas kembali, lalu mereka tersenyum ceria.
“Baik kak, abang. Kami balik dulu.” Paksu Man meminta diri untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Dia menampar lembut peha isterinya, memberi isyarat bahawa mereka perlu bergerak segera.
“Hmmm, baiklah. Man, bawak kereta tu elok-elok.” Pesan ayah Zul kepada Paksu Man.
“Baik bang. Ija, Sara, salam pak Long dengan mak Long.”
Ija dan Sara menghulurkan tangan kepada pak Long dan mak Longnya. Mereka bersalaman sambil mencium tangan. Kemudian mereka menghulurkan pula tangan kepada Zul. Zul menyambut mesra tangan Sara. Sampai giliran Ija, Zul menyentuh kepala Ija, lalu menarik jambul tudungnya sedikit ke hadapan. Habis tudung Ija terlucut menutup dahinya.
“Abang Zul jahat tau. Haaaaa…!” Sara ketawa berdekah-dekah melihat kakaknya kalut membetulkan tudung. Maksu dan Paksu juga tersenyum melihat Ija dipermainkan oleh Zul. Mereka tidak pula marah. Sudah biasa melihat Zul bergurau dengan adik-adik sepupunya itu.
“Ish Zul ni. Bukan nak salam elok-elok. Yang pi tarik tudung Ija tu buat apa?” Zul dimarahi oleh ibunya.
“Hahaha. Jangan nakal-nakal tau, Ija, Sara.” Zul pura-pura tidak mendengar leteran ibunya.
“Abang Zul tu yang nakal. Tak baik tau.” Ija membetulkan tudungnya di hadapan cermin tingkap kereta yang diparkir di hadapan rumah. “Tengok la, nanti datang rumah, Ija buli abang Zul pulak.” Sara ketawa melihat kakaknya.
“Sudah tu Ija, Sara. Jom, kita dah lewat ni. OK kak, kami balik dulu, Assalamualaikum. Zul, nanti nak datang rumah, bagitau awal-awal. Boleh paksu ambil di stesen bas.” Maksu Ina memberi pesan kepada Zul.
“Insyaallah, waalaikumusalam.” Sara dan Ija melambai-lambai tangan ke arah mereka bertiga. Wajahnya ceria dapat berjumpa, melepaskan rindu setelah sekian lama tidak bersua. “Bye,bye mak long, pak long. Bye abang Zul. Nanti datang ya!” Ija begitu gembira sekali. Begitu juga dengan Sara.
Kereta paksu Man semakin mengecil pada penglihatan, tanda sudah jauh meninggalkan rumah mereka. Suasana rumah kembali seperti biasa.
“Kamu nak ke KL Zul. Tak bagitau mak dengan ayah pun.” Sambil berjalan memasuki rumah, ibunya bertanya kepada Zul.
“A’ah mak. Zul nak bagitau la ni. Semalam baru dapat tau pasal program tu. Zul nak ke sana tiga hari. Hari pertama saja Zul bercadang nak tinggal di rumah maksu. Zul akan bermalam di tempat program.” Zul sudah biasa, malah agak kerap berprogram di merata-rata tempat di seluruh Negara. Dia aktif berpersatuan di kampus. Ada saja program mahasiswa yang disertainya.
Insyaallah akan bersambung...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment