Sunday, September 5, 2010
Merdekakan Diri Anda...
Suatu hari, dua sahabat sedang bermain, berkejar-kejaran di dalam sebuah tempat yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan. Akibat keletihan, mereka berhenti berehat di tepi sebuah kincir air yang sedang berputar-putar menentang arus.
“Cik Lisa, kamu tahukah hari ini hari apa?” Cik Wana, sahabatnya mula bertanya.
“Hari apa? Selasa lah kan? Kenapa tanya? Birthday kamu hari ni ka Cik Wana?”
“Birthday tu dah betul dah, tapi bukan birthday saya Cik Lisa oii. Cuba la teka.”
“Aduh, saya ni sebenarnya tak minat sangat nak main teka-teki ni Cik Wana. Maklum lah, kecil-kecil dulu tak sempat nak bersekolah.” Cik Lisa sempat berseloroh.
“Alah, kamu ni Cik Lisa. Budak-budak yang tak bersekolah pun boleh jawab lah. Kamu tu saja yang malas nak berfikir. Kan hari ni kita sambut kemerdekaan. Tahun ni dah masuk 53 tahun Negara kita merdeka.” Jelas Cik Wana bersungguh-sungguh.
“Owh, merdeka rupanya. Cuti kan? Patut lah ramai semacam saja saya tengok hari ni. Merdeka rupanya.”
“Tahu takpa.”
“Baik, Cik Wana. Kamu sibuk nak menyambut merdeka kan? Jadi saya nak tanya kamu satu soalan cepumas. Sudikah kamu menjawab?”
“Soalan apa yang kamu nak tanya tu Cik Lisa? Kalau kena dengan gayanya, boleh lah saya jawab. Kalau soalan ntah apa-apa, I’m so sorry lah.” Cik Lisa berbahasa ala-ala orang Malaysia yang tercelup budaya Amerika.
“Soalannya ialah, apa yang kamu faham pasal merdeka.” Cik Lisa mahu menduga.
“Alah, soalan tu tahap budak tadika lah Cik Lisa. Merdeka tu ialah kita bebas daripada penjajahan para penjajah terkutuk yang menjajah tanah air kita waktu zaman kepenjajahan dahulu.” Sengaja ditekan perkataan jajah tersebut. Mahu melahirkan rasa kebencian terhadap penjajah. Itulah yang hendak disampaikan oleh Cik Wana.
“Amboi, marah benar kamu dengan penjajah tu ya Cik Wana? Kamu pernah jumpa ka?” Cik Lisa sengaja mahu berseloroh.
“Idak ler. Kita mestilah marah dengan penjajah. Mereka ni hanya tahu ikut nafsu saja. Negara sendiri ada, nak jajah Negara orang lain. Dah tu pulak, kaut untung berjuta-juta, bawak lari ke Negara mereka. Yang susah, penduduk Negara kita jugak.” Wajah Cik Wana serius menerangkan.
“Maksudnya, Cik Wana nak bagi tahu yang masa Negara kita kena jajah dulu, rakyat hidup susah lah ya?”
“Memang lah. Rakyat waktu tu tak bebas. Semuanya kena ikut telunjuk penjajah. Kalau masa Jepun dulu, dia mengawal penduduk dengan kekuatan, menyebabkan penduduk jadi ketakutan. Kalau Orang putih pulak, dia buat undang-undang macam-macam. Semua orang kena ikut apa yang mereka cakap. Mana bebas kalau begitu.
“Jadi?”
“Jadi, kita patut bersyukur kerana negara kita sudah merdeka. Dah takdak masalah lagi. Kita bebas.” Ucap Cik Wana penuh rasa bangga.
“Betulkah tak ada masalah Cik Wana? Saya tengok, sekarang ni banyak masalah yang melanda Negara? Bila Negara dah bebas, orang pun dah rasa dia bebas, macam-macam benda pelik berlaku. Kalau dulu penjajah yang larikan kekayaan Negara, sekarang ni kekayaan Negara ‘hilang’ dalam Negara sendiri. Kalau dulu orang takut keluar rumah kerana takut ditangkap penjajah, sekarang ni pulak orang takut nak tinggalkan rumah kerana takut perompak merompak harta. Malah, tinggal dalam rumah pun tak selamat. Merdeka kah macam tu?”
“Hmmm, itu lain la Cik Lisa. Kita cakap pasal merdeka daripada penjajah. Bukan pasal perompak.”
“Ya lah, kalau merdeka sepatutnya kita aman, tapi tidak. Cuba tengok pulak. Kalau dulu sebelum merdeka, anak-anak dengar cakap mak bapak. Sekarang ni, anak-anak pun bunuh mak bapak. Ngeri aku CIk Wana. Selamat aku ni belum ada anak.”
“jauh benar kamu melencong Cik Lisa. Cik Wana kurang selesa dengan komen negative Cik Lisa terhadap Negara merdekanya.
“Kalau nak pergi lagi jauh pun boleh Cik Wana oii. Saya ni walaupun tak bersekolah, tapi saya lihat dengan mata hati. Satu lagi kes. Kalau dulu waktu dijajah, orang ikut telunjuk penjajah. Kena buat begitu, kena buat begini. Orang patuh. Sekarang ni pulak, orang ikut TV. TV kata kena beli ini, orang beli. TV kata kena pakai begini, orang pakai. TV kata kalau nak sambut merdeka kena menyanyi, menari, orang pun ikut menyanyi, menari. Nasib baik lah saya ni tak boleh menari. Kalau tidak macam mana lah gayanya ya?”
“Jadi, apa yang kamu nak maksudkan Cik Lisa?
“Saya nak kata yang Negara kita ni belum merdeka, sebab rakyatnya tak merdeka. Lebih kurang begitu lah.”
“Apa buktinya?”
“Buktinya? Kan tadi saya dah bagitau. Dan kita perlu sedar Cik Wana, kita berdua ni pun sebenarnya belum merdeka. Entah lah kita boleh merasa nikmat merdeka atau tidak?”
“Kenapa kamu cakap macam tu?”
“Kamu lihat lah tu. Orang tu, depan kita ni. Kamu nampak tak apa yang ada dekat tangan dia tu?”
“Ya Allah. Cik Lisa. Saya takut. Jangan-jangan dia nak apa-apakan kita.”
“Sabar Cik Wana. Kita serahkan saja nasib kita kepada tuhan. Andai kata ini pertemuan terakhir kita, saya nak mintak maaf banyak-banyak daripada kamu.”
“Saya jugak Cik Lisa. Hmmm, Cik Lisa, dia dah dekat. Saya rasa dah tiba giliran saya. Saya tak mahu. Tolong Cik Lisa. Toloooonggggg….”
Suara Cik Wana tidak lagi kedengaran. Cik Lisa hanya mampu melihat sahabatnya itu dibawa pergi. Dalam ramai-ramai pengunjung yang berkunjung ke kedai aquarium itu, ada seorang pembeli yang tertarik dengan kecantikan ikan arowana di dalam aquarium kaca tersebut. Cik Lisa, si ikan kelisa hanya menghitung hari. Sama ada akan ada pembeli yang datang membelinya, lantas menambah penderitaan hidupnya yang dikurung dalam aquarium, ataupun dia akan mati di situ saja. Nasib badan.
MERDEKAkan diri anda!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment